Tuan puan sekalian tentu biasa dengar kata mengata antara dua golongan ustaz di Nusantara ini. Satu golongan gelar yang satu itu ‘Wahabi yang tidak mengaku Wahabi’. Satu golongan yang digelar Wahabi memang ada yang terang-terangan mengaku Wahabi, ada pula yang memang tidak mengaku Wahabi sebab mereka dakwa sebagai Salafi, bahkan mereka dakwa merekalah Ahlul Sunnah Waljamaah yang sejati.

Golongan yang gemar mengata orang lain Wahabi pula selalunya mendakwa merekalah Ahlul Sunnah Waljamah, malah mentakrif pula Ahlul Sunnah Waljamaah (nama singkatan Aswaja) itu mestilah dari kalangan Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah. Kena lengkap Aswaja+AAA ya tuan puan barulah layak digelar Ahlul Sunnah Waljamaah.

Kita tidak tahulah tuan puan sokong puak mana. Tuan puan sokong puak Wahabi, atau sokong puak Tak Mengaku Wahabi, atau tuan puan nak sokong puak Aswaja, atau tuan puan nak sokong puak Aswaja+AAA? Itu belum kira lagi dalam kalangan Aswaja+AAA itu pula ada yang digelar ‘asamjawa‘. Itu belum kira lagi golongan yang mengaku Salafi disindir sebagai Salah-Pi!; “Hang nak pi mana? Salah pi tu!”

‘Perang Ustaz’

Dia macam inilah ya tuan puan. Kita panggil kata mengata ini sebagai PERANG USTAZ. Janganlah lurus bendul sangat. Perang mulut saja. Belum lagilah saling berbunuhan macam yang berlaku dalam sejarah negara di Timur Tengah. Tapi sudah saling sekat menyekat. Itu kena tengok negeri ya tuan puan. Kalau negeri yang tuan puan duduk itu jenis sekat Wahabi, tidak usahlah bermimpi nak dengar ceramah dari kalangan ustaz yang digelar Wahabi. Kalau tuan puan duduk di negeri yang Muftinya digelar sebagai Wahabi, susah sikitlah nak dengar ceramah dari ustaz yang suka mendakwa sebenarnya mereka sedang amalkan bidaah hasanah.

Tuan puan nak harapkan apa? Biasalah orang bila ada kuasa maka mereka akan gunakan kuasa. Janganlah pelik pula. Kena fahamlah, dari puak mana pun ustaz yang berkenaan, mereka tetap akan kata merekalah yang benar, biarpun lazimnya sebelum atau selepas habis ceramah mereka akan kata; “saya tidak semestinya betul, tuan puan tidak semestinya ikut saya”. Inilah yang orang putih kata caveat atau disclaimer. Masalahnya, berapa kerat jemaah yang dengar ambil kira caveat atau disclaimer para ustaz? Samalah juga, tuan puan yang membaca blog ini pun belum tentu sudah baca caveat atau disclaimer si tukang tulis ini dalam ruangan Mukadimah.

Wahhabi Malu Nak Mengaku Wahhabi

Video 1

Siapa nak mengaku Wahabi? Lainlah kalau sudah terang-terangan pentaksub Wah-habi, mungkin dia akan mengakulah dia itu Wahabi. Tetapi kalau kawan itu memang bukan Wah-habi, macam mana dia hendak mengaku Wahabi? Takkan nak paksa pula?

Video 2

Beginilah tuan puan. Jangan hendak nafi puak Wahabi memang ada dalam negara ini. Cuma kalau kawan sebelah kita itu cuma nak ikut sunnah Nabi sebagaimana dia faham, tidak bolehlah kita gelar dia Wahabi. Orang baru nak belajar sunnah Nabi, baru hendak berjinak-jinak dengan hadith Nabi, janganlah lancang mulut kita kata dia Wahabi. Kita katalah saja dia masih belum habis belajar lagi. Setuju?

Sepatutnya kita bagi sokongan kat kawan kita itu. Sekurang-kurangnya dia ada usaha hendak beramal menurut hadith Nabi yang dia dengar. Barangkali dia belum habis mengaji. Jadi, barangkali juga dia tidak tahu di sana ada hadith lain yang menerangkan sesuatu perkara yang menjadi pertikaian dalam rangka hadith Nabi yang berbeza. Kalau kita tahu, kita kongsilah pula kepada dia. Kalau kefahaman dia salah, maka kita beritahulah cara dia fahami hadith salah. Kita hendak gelar kawan kita yang tidak pernah jumpa pun Muhammad bin Abdul Wahab itu sebagai Wahabi sudah kenapa? Sudah terlebih pahalakah? Tanya saja. Jangan marah ya tuan puan.

Dakwaan Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah (Aswaja+AAA)

Beginilah ya tuan puan. Sebab ustaz yang mendakwa mereka adalah Ahlul Sunnah Waljamaah itu mestilah dari kalangan Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah, maka lebih elok kita sebutkan saja nama penuh aliran kefahaman sebagaimana mereka sendiri inginkan. Kalau hendak ringkas, bolehlah kita sebut Aswaja+AAA. Tidak patut kita ringkaskan jadi Aswaja saja. Sebab puak-puak yang kena tuduh Wahabi pun mengaku Aswaja juga. Nanti susah hendak bezakan pula. Cuba tuan puan dengarkan bukti-bukti dakwaan Wahabi dalam video di bawah ini;

Video 3

Sampai sekarang kita masih tidak faham kenapa ramai melenting bila ada orang sebut bid’ah itu sesat. Yang sebut sesat itu siapa ya tuan puan? Sudah baca hadith sahih? Kalau belum sila baca. Kemudian, kalau kita ikut pandangan bahawa bid’ah itu boleh dibahagi dua; bid’ah dholalah dan bid’ah hasanah, kenapa kita marah pula kalau orang kata kita buat bid’ah? Macam ustaz kata, buat bid’ah hasanah mudah-mudahan dapat pahala. Risau kenapa pula?

Tenang sahajalah kalau kita tidak buat bid’ah. Tenang sajalah kalau kita cuma buat bid’ah hasanah. Bukan ada sesiapa pun di negara ini pernah dihadapkan ke mahkamah syariah sebab buat bid’ah hasanah. Kita pun tahu puak yang suka kata kita buat bid’ah pun bukan boleh jatuhkan apa-apa hukuman kepada kita. Mereka bukan ada kuasa. Mereka bukan pemerintah. Abaikan sajalah kalau kita rasa kita sudah berada di jalan yang benar. Sentap sangat sudah kenapa?

Dalam pembukaan kuliah, Ustaz Wadi Anuar ada sebut 95% umat Islam bermazhab Syafie, Maliki dan Hanafi berpegang kepada fahaman akidah Assyairah dan AlMaturidiyah. Maksudnya, apa tuan puan? Maksudnya 5% barangkali bermazhab Hanbali itu tidak berpegang kepada akidah Assyairah dan AlMaturidiyah. Maka kita fahamlah, tidak semestinya Ahlul Sunnah Waljamaah itu mestilah juga Ahlulsunnah Waljamaah Assyairah AlMaturiyah AlGhazaliyah. Betul tuan puan? Jadi, apa masalah kalau kita jumpa sahabat kita yang tidak berpegang kepada fahaman Assyairah AlMaturidiyah? Kita nak kata mereka sesatkah?

Yang jadi masalah menurut ustaz, bila gerakan Wahabiyyah yang muncul 200 tahun kebelakangan ini didakwa menuduh orang yang berfahaman Assyairah AlMaturidiyah macam kita ini sebagai sesat dan menyesatkan. Yang ini kita pun sentaplah. Memang tak patut. Jadi, kita yang bersungguh-sungguh jadi Aswaja+AAA ini janganlah lancang mulut pula kata kefahaman orang bermazhab Hanbali yang tidak mahu berpegang kepada faham Assyairah AlMaturidiyah itu sesat pula.

Sebab kita kena tahu jalur masa sejarah. Faktanya, SEMUA IMAM 4 MAZHAB tidak pernah bermazhab akidah Assyairah dan AlMaturidiyah ya tuan puan. Sebab, kalau ikut takrif Ustaz Wadi, maka fahamlah kita bahawa Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad Hanbal, Imam Abu Hanifa semuanya itu adalah generasi salaf (menurut tarikh wafat). Jadi, Imam Assyaari (wafat 324H) dan Imam AlMaturidi (wafat 339H), menurut takrif generasi berdasarkan tarikh wafat adalah generasi khalaf ya tuan puan.

Kena tahu juga Imam Assyaari yang lahir pada tahun 260H itu keluar dari mazhab Muktazilah pada umur 40 tahun. Maksudnya, lahir fahaman Assyairah itu paling awal mula berkembang pada tahun 300H, mula masuk abad ke-4 Hijrah. Inilah permulaan zaman khalaf. Jadi, usahlah kita Aswaja+AAA ini menjaja seolah-olah Imam Assyaari dan Imam AlMaturidi itu generasi salaf 100% ya tuan puan. Berlaku adillah dengan takrifan yang kita sendiri tetapkan ya.

Kita pernah tanya kepada ustaz apa akidah imam mazhab fekah yang empat? Pernah tanya? Memang imam yang empat itu ahli fekah, tetapi adakah kita hendak kata mereka itu bukan ahli akidah? Tuan puan pernah baca habis semua kitab-kitab yang disandarkan kepada imam yang empat inikah? Pernah belek apa pendirian imam yang empat ini dalam urusan akidah? Kalau belum pernah belek, janganlah yakin sangat 95% Aswaja+AAA itu lebih benar berbanding 5% Aswaja dalam dunia ini. Orang putih cakap; DO NOT OVER CONFIDENT. Macam mana kalau 5% Aswaja itu pula yang benar? Kena fahamlah tuan puan, urusan agama ini bukan semestinya ikut majoriti. Ini bukan politik demokrasi ya tuan puan. Kena tahu beza politik dengan agama. Jangan telan begitu saja pendapat majoriti sebelum kita faham Al-Quran sepenuhnya.

Jangan sebab adanya perangai puak Wahabi yang buruk, kita pun nak ikut berperangai buruk pula. Tak payahlah hendak main balas kata mengata pula. Kalau kita buat macam itu, apa beza perangai kita dengan puak yang kita gelar Wahabi itu?

Kemudian, kalau tuan puan memang Wahabi, jangan dengar rakaman video di bawah ini. Nanti panas telinga pula. Tapi kalau tuan puan memang Aswaja mahupun Aswaja+AAA, maka eloklah dengar sebagai peringatan. Sebab apa, takut nanti tergugat pula pegangan Aswaja+AAA tuan puan kalau terpengaruh dengan puak-puak Salah-Pi atau Wah-habi;

Video 4

Satu perkara yang tuan puan patut kutip dari Video 4 di atas apa ya tuan puan? Mari kita jelaskan dengan sejelas-jelasnya. Kita setuju dengan kata-kata Ustaz Zamihan, iaitu kuasa menjatuhkan hukuman adalah KUASA PEMERINTAH.

Kena ingat ini betul-betul ya tuan puan. Supaya tidaklah tuan puan mudah menuduh sesat secara terbuka orang yang tidak sealiran dengan tuan puan dalam urusan agama. Orang awam usah memandai-mandai tuduh saudara seagama sebagai syirik atau kafir. Kita cuma ambil maklum pandangan semua ustaz tentang ciri-ciri Wahabi, tetapi janganlah kita memandai jatuhkan hukuman kepada orang lain ya tuan puan.

Bahaya RADIKAL Wahabi Salafi

Bila sudah habis tonton dan dengan keempat-empat video di atas, rasanya tuan puan sudah kenal ciri-ciri Wahabi. Antaranya adalah mudah menuduh orang buat bid’ah, melakukan syirik dan menuduh kafir mereka yang tidak sealiran dengan pendirian mereka. Itu antara beberapa cirinya. Benar atau salah, kena nilailah betul atau tidak apa yang orang kata. Kalau salah nilai, nanti kita di tuduh kata apa yang kawan kita tak kata pula. Bahaya tu tuan puan.

Kemudian, elok pula tuan puan teliti kertas kerja Fahaman Salafi Wahabi: Origin Kepada Ekstremisme dan Radikalisme Kontemporari yang dibentangkan oleh Lt Kol Dr Zulkarnain bin Haron pada tahun 2017. Kita kongsikan kesimpulan kertas kerja;

Perbincangan tentang ideologi dan matlamat perjuangan Daesh @ ISIS adalah merupakan satu perbincangan yang kompleks dan garis pemisah di antara isu-isu tauhid, jihad, radikalisme, fundamentalisme dan Irhabiyah terlalu sukar untuk dikenalpasti. Artikel ini telah membincangkan dengan terperinci bagaimana ideologi Salafi Wahabi mendapat tempat dalam kalangan pengikut kumpulan radikal seperti Al Jamaah Al Islamiyah dan Daesh @ ISIS. Perbincangan juga telah mengenal pasti persamaan antara istilah Wahabi dan Salafi yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum. Di dalam ajaran Salafi Wahabi sendiri juga telah muncul beberapa lagi aliran yang lebih ekstrem seperti Salafi Yamani, Salafi Takfiri dan Salafi Jihadi di samping terdapat juga aliran yang lebih moderat seperti Salafi Haraki. Walau apapun aliran atau pecahan dalam fahaman Salafi Wahabi ini, umumnya kesemua aliran tersebut jelas berbeza dengan aliran dan fahaman arus perdana Islam yang sebenar.

Pemahaman tentang doktrin Salafi Wahabi telah dapat menjelaskan bagaimana radikalisme, jihad dan Irhabiyah (keganasan) berkembang dalam suasana dunia Islam kontemporari. Dengan berselindung di sebalik seruan ke arah kembali kepada Manhaj Salaf segelintir umat Islam memberi definisi dan interpretasi serta Ijtihad yang berbeza dengan golongan dalam aliran arus perdana Islam. Sebagai kesimpulannya, doktrin agama yang bermula daripada doktrin keimanan melalui pemahaman tauhid inilah yang menterjemahkan segala bentuk matlamat, aksi, tindakan, aktiviti, gagasan, doktrin perjuangan serta matlamat akhir gerakan radikal seperti Daesh @ ISIS. Kefahaman terhadap doktrin tauhid dan aliran Salafi Wahabi yang berbeza inilah yang telah menjelaskan bagaimana kedudukan dan tindakan beberapa kumpulan radikal dalam senario gerakan Islam kontemporari serta pelbagai implikasinya terhadap masyarakat Islam mahupun bukan Islam global dan di Asia Tenggara. Fahaman atau pemikiran Salafi Wahabi ini sememangnya merupakan satu fahaman yang agresif, provokatif, jumud, rigid, represif, literalis dan reproduktif. Justeru, tidak sukar bagi memahami bagaimana segelintir umat Islam terjebak di dalam strategi dan ideologi yang mereka cipta sendiri melalui fahaman Salafi Wahabí.

Fahaman Salafi Wahabi: Origin Kepada Ekstremisme dan Radikalisme Kontemporari

Jadi kita fahamlah dari segi keselamatan negara, rupanya dikatakan bahawa aliran Wahabi ini membawa kepada radikalime. Makna kata, isu utama adalah gerakan politik radikal. Kita ulang; GERAKAN POLITIK RADIKAL. Maka kita sebagai rakyat negara ini tidak patut pertikai bila melibatkan urusan keselematan negara. Kita hendak pertahan macam mana kalau puak-puak Wahabi itu terjerumus dalam gerakan menjatuhkan kerajaan secara kekerasan dan membunuh orang sesuka hati semata-mata kerana berbeza aliran. Jadi, bab ini kita setuju sangatlah.

Cuba tuan puan renung sejenak. Berfikir dengan dada yang lapang. Cuba jawab persoalan ini;

Adakah semua gerakan politik radikal yang berlaku dalam negara Islam di seluruh dunia itu dipelopori oleh puak-puak Wahabi Salafi sahaja?

Cuba belek sejarah sedikit ya tuan puan.

Hanya Wahabi sahaja boleh bertindak radikal?

Begini ya tuan puan. Yang menyerang balai polis Batu Pahat Batu Pahat pada 16 Oktober 1980 itu puak Wahabi Salafi?

Adakah kumpulan Al-Maunah tewas di Bukit Jenalek, Kedah pada tahun 2000 itu puak Wahabi Salafi? Sudah baca kertas putih? Ketua Al-Maunah itu dikenali sebagai pengamal ilmu batin ya tuan puan. Sejak bila pula puak-puak Wahabi ini berminat amal ilmu batin. Yang kita tahu, puak-puak suka amal ilmu batin ini lazimnya terdiri dari kalangan Sufi Batiniah.

Salafi RADIKAL dan Aswaja+A(Sufi) RADIKAL?

Cuba tuan puan kaji gerakan awal Wahabi di Jazirah Arab dan Ikhwaniul Muslimin di Mesir. Nanti akan diketahui bahawa gerakan Wahabi itu berpemikiran Salafi manakala gerakan Ikhwanul Muslimin itu berpemikiran Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah (bertarekat Sufi). Kedua-dua gerakan ini menurut catatan sejarah adalah gerakan menentang pemerintah. Adakah kita hendak pertahankan juga Ikhwanul Muslimin itu bukan berasal dari kelompok Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah? Kalau kita kata gerakan Wahabi itu radikal, maka kita tidak mahu kata gerakan Ikhwanul Muslimin itu radikal juga? Adakah Wahabi jadi radikal itu salah Salafi dan Ikhwanul Muslimin jadi radikal itu salah Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah?

Yang menjatuhkan Hosni Mubarak di Mesir itu dari gerakan Ikhwanul Muslimin yang berpegang kepada Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah ya tuan puan. Mereka bukan Wahabi. Yang memberontak seluruh Libya sampai Muammar Gaddafi dibunuh di Libya itu, adakah kesemua rakyatnya berfahaman Salafi yang hendak kita gelar Wahabi?

Beginilah tuan puan. Kalau ada pihak lain hendak bentang kertas kerja gerakan radikalisme, mereka juga boleh senaraikan satu persatu gerakan ekstrim dari kalangan Ahlul Sunnah Waljamaah juga. Maksudnya apa? Kita kena faham, SEMUA INI ADALAH GERAKAN POLITIK RADIKALISME. Tidak semestinya ia berpunca dari kefahaman Wahabi, atau kefahaman Ahlul Sunnnah Waljamaah, atau kefahaman Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah Almaturidiyah AlGhazaliyah, atau berpunca dari kesesatan sebahagian golongan Sufi Batiniah yang berselindung disebalik nama Ahlul Sunnnah Waljamaah. Gerakan radikalisme dan ekstrimisme memang boleh wujud dalam semua kumpulan. Akui sahajalah fakta ini.

Ciri-ciri Wahabi?

Umumnya juga puak Wahabi didakwa bersikap keras. Ini kita pelik juga. Sebab ikut pemerhatian kita, puak Aswaja+AAA pun ramai yang bersikap keras juga. Terkadang, lebih kuat pula dentumannya berbanding puak sebelah itu. Puak kaki buat bid’ah dholalah yang mengaku Aswaja pun ramai yang bersikap keras juga. Akhlak buruk juga biarpun dakwa sudah capai martabat tasawuf makam paling tinggi. Gelar orang buaya juga. Selar orang sebagai ahli neraka juga. Mulutnya melaknat orang juga kerjanya. Jadi, perangai puak Khawarij (sikap keras melampau dan suka kafirkan orang) ini sebenarnya memang wujud dalam semua puak.

Bacalah sejarah. Jangan buta sejarah ya tuan puan. Jangan asyik ambil sekerat cerita sejarah, kambus pula sekerat sejarah yang lain. Takut nanti perangai kita sama macam tukang komen Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang masih bebal berkenaan sejarah negara.

Wahabi menurut penjelasan para ustaz adalah aliran yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau turut dikenali sebagai seorang tokoh kuat melawan amalan khurafat dan turut bekerjasama dengan keluarga Saud menentang kerajaan pada zaman keruntuhan empayar Othmaniah. Beliau tegas menentang kemungkaran akidah puak-puak sufi batiniah zaman itu kerana menganggap golongan itu adalah kaki pembuat bid’ah. Faktanya, memang buat bid’ah. Sesat atau tidak, dholalah atau hasanah, kena fahamlah konteks hadith Nabi. Kita biasa dengar hadith bahawa bid’ah dholalah itu sesat. Jadi, faham setakat itu sajalah. Tidak perlu kita orang awam ini terikut-ikut gelar pembuat bid’ah itu kafir pula.

Kalau dilihat dari segi sejarah, kita tidak boleh nafikan memang telah berlaku pendekatan keras dan peperangan sesama orang Islam diawal penubuhan kerajaan Arab Saudi. Memang berlaku kafir mengkafir, sebab politik. SEBAB POLITIK ya tuan puan. Bukan sebab tuduhan golongan tertentu itu kaki bid’ah. Ada beza urusan POLITIK berbanding urusan AGAMA.

Tapi kita boleh fahamlah kalau memang ramai ustaz anti Wahabi. Sudah macam mana kalau zahirnya agama sudah dijadikan alat politik. Zahirnya juga kita boleh kata ustaz anti Wahabi itu berniat baik. Mereka hendak elak pecah belah. Hendak elakkan negara ini jadi porak peranda, sekurang-kurangnya mengikut perspektif mereka, berdasarkan apa yang telah berlaku sebelum ini.

Sudah semak?

Tuan puan yang asyik dengar dakwaan para ustaz ini sudah bacakah beratus jilid para ulama yang didakwa mengatakan aliran Wah-habi itu sesat? Sudah semak? Atau telan saja bulat-bulat semua dakwaan? Kemudian, sudah bacakah kitab karangan Muhammad bin Abdul Wahab? Kalau belum, elok baca dulu. Usah risau. Setakat baca saja takkanlah kita terus jadi Wahabi? Macam kita baca Harry Porter, setakat baca takkanlah terus jadi sesat buat perkara sihir dan khurafat. Biar cerdik sikitlah akal kita orang awam ini. Kita kongsikan pautan ini; Kitab At-Tauhid (Terjemahan).

Wahabi kena tendang keluar Aswaja ATAU Aswaja+AAA?

Secara ringkas nak mudah faham, golongan Wahabi itu bukanlah dari kalangan Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah. Itu sudah kira betul kalau ikut takrif para ustaz. Tetapi kalau tuan puan hendak kata golongan Wahabi itu juga bukan dari kalangan Ahlul Sunnah Waljamaah, itu tuan puan tanggung sendirilah ya. Kita tidak dapat hendak tolong. Sebab kita pun faham. Persidangan ulama sedunia di Chechen 2016 memang sudah keluarkan Wahabi dari Ahlul Sunnah Waljamaah. Eloklah begitu. Semakin kuranglah bilangan orang yang layak masuk syurga. Begitu?

Nasib baik persidangan tersebut tidak keluarkan juga ‘ahli tarekat’ dan ‘ahli ibadat yang suka buat perkara BUKAN bid’ah hasanah dari kelompok Ahlul Sunnah Waljamaah. Kalau tidak, tinggal berapa kerat sajalah manusia yang layak ke syurga. Begitu?

Mujurlah orang yang mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah tetapi tidak begitu ambil kisah status hadith Nabi dan sangat gemar telan semua cerita penglipur lara (yang tiada asal dari sabda, perbuatan atau isyarat Nabi) tidak dikeluarkan dari senarai Ahlul Sunnah Waljamaah.

Kalau semua kena tendang dari ‘kelab’ Ahlul Sunnah Waljamaah, berapa kerat manusia yang layak mencium bau syurga?

Beginilah tuan puan ya. Kalau tuan puan rasa cenderung untuk bersetuju dengan semua ‘ulama sedunia’ yang bersidang di Chechen itu, ya dipersilakan. Kalau alasannya adalah ungkit kembali peristiwa berdarah semasa pembentukan kerajaan Saud di Tanah Arab, maka elok juga kalau tuan puan jengok golongan Sufi yang cenderung kepada Syiah Ismailiyah yang membentuk Daulah Fatimiyah di Mesir dengan pertumpahan darah sesama Islam juga. Kita hendak ungkit semuanya ini? Hendak ungkit sangat, apa faedah hantar anak-anak kita belajar di Universiti Al-Azhar yang asalnya didirikan oleh puak Syiah Ismailiyah juga? Apa jaminan Ahlul Sunnah Waljamaah yang sekarang ini mentadbir universiti tersebut bebas dari pemikiran Syiah Ismailiyah yang terkenal kuat dengan amalan sufi batiniah? Hendak ungkit lagi?

Kalau semua hendak diungkit, lalu keluarkan golongan tertentu dari ‘kelab’ Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah itu boleh kira jugalah. Yalah, kalau kawan itu tak mahu ikut sekolah Assyairah, sekolah AlMaturidiyah dan pemikiran Imam AlGhazali, takkanlah layak mereka itu digelar Aswaja+AAA, betul?

Tapi kalau sudah para ulama pun mengeluarkan semua yang terpalit dengan kes berbalah sesama Islam pada zaman silam dari ‘kelab’ Ahlul Sunnah Waljamaah, maka tuan puan fikirkanlah sendiri dengan akal yang waras. Tapi kalau hendak terima begitu sahaja resolusi persidangan tersebut, silakanlah. Manalah tahu memang di Padang Mahsyar nanti semua para ulama yang menendang keluar Wahabi dari kelompok Ahlul Sunnah Waljamaah itu boleh menjadi pembela atau pemberi syafaat? Manalah tahu? Soalan KBAT ya tuan puan. Jangan jadi pembaris ya.

Fikirkan Dulu

Kita hendak ajak tuan puan sekalian berkenaan suatu perkara; KESEDARAN. Atau, SEDAR DIRI;

Ramai orang bukan ahli Quran tetapi mengaku Quraniyyun. Ramai orang sesat tetapi tidak mengaku sesat. Ramai golongan anti hadith tidak mengaku benci hadith. Ramai orang berfahaman Jabariyah tetapi tidak mengaku golongan Jabariyah pula. Ramai berperangai macam Khawarij tapi tidak mengaku Khawarij. Ramai orang macam Muktazilah tidak sedar pun mereka rupa-rupanya memang berfahaman serupa dengan golongan Muktazilah.

Ramai pula di antara kita mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah tetapi tidak sedar rupa-rupanya kita dipaksa beramai-ramai jadi Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah. Kita sebut ini supaya sedar ya tuan puan. Kalau tidak sedar, alamat sesaklah semua orang kena pindah keluar dari negeri tempat tinggal mereka.

Tuan puan sedar atau tidak perkara-perkara seperti yang kita sebutkan tadi? Ini pula tambahan persoalan kalau tuan puan sudi fikirkan;

  1. Tuan puan setuju setiap butir perkataan para ustaz itu benar belaka?
  2. Tuan puan sudah semak semua dalil dan hujah yang para ustaz sampaikan?
  3. Jika benar aliran Wah-habi atau Salah-Pi itu jauh berbeza dari segi akidah berbanding dengan aliran Aswaja atau Aswaja+AAA; apa maksudnya? Hendak kata apa? SESAT? Masuk Neraka? Kafir?

Kita tidak pernah dengarkah cerita kafir mengkafir ini juga berlaku kerana perbezaan politik, bukannya sebab perbezaan aliran dalam beragama Islam?

Sejujurnya, kita tonton ‘perang ustaz’ ini, ia berkenaan agama atau lebih kepada urusan politik dalam menguruskan perbezaan pandangan. Hendak kukuhkan pengaruh atau hendak hapuskan pengaruh? Kalau kita jenis malas mengaji perbezaan pandangan, perbezaan mazhab, perbezaan aliran, janganlah kita sekat kawan kita yang memang suka mengaji agama dengan mengetahui dalil dan hujah. Apa salah kawan itu kalau dia ada keupayaan memahami urusan agama. Jangan anggap dia macam majoriti orang awam yang dianggap kurang cerdik oleh kebanyakan ustaz.

Lainlah kalau kita memang hendak orang awam ini tidak cerdik belaka sejak dalam buaian sampailah masuk ke liang lahad. Kita sukakah kalau masyarakat Islam ini semua jenis tiada kecerdikan? Semua jenis pak turut tidak tahu apa-apa? Kita yang bersungguh-sungguh paksa orang ikut cara kita ini ber’Aswaja+AAA’ boleh beri jaminan yang laku keras di akhirat kelak? Usahlah terlebih yakin macamlah kita ini mendapat wahyu dari Allah. Berpada-padalah.

Sejarah Pecah Belah?

Kemudian kita hendak pesan ya tuan puan. Kita rasa cuma dalam 10 – 20 tahun inilah berlaku perpecahan. Berlaku kekeliruan. Seolah-olah teruk sangatlah perbezaan pandangan dalam urusan agama. Seolah-olah ia tidak pernah berlaku sebelum Indonesia dan Malaysia mencapai kemerdekaan. Tolong toleh ke belakang kaji sejarah, boleh?

Beginilah tuan puan. Sebelum tuan puan yang membaca ini dilahirkan, awal tahun 1920an hingga 1940an sebenarnya para guru agama kita sudah saling ‘berperang’ antara golongan yang digelar Wahabi dan golongan yang bersungguh-sungguh mendakwa Aswaja+AAA.

Pernah baca kisah pertembungan Allayarham Abdul Karim Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul (bapa kepada Allayarham Buya Hamka) di Sumatera? Ulama Nusantara dari kalangan mana yang berani lawan Jeneral Jepun dan berterus terang dalam surat utusan kepada Maharaja Jepun demi menegakkan kebenaran akidah Islam?

Tuan puan pernah baca sejarah pertentangan Kaum Muda dengan Kaum Tua atau tidak? Faham atau tidak apa kisah di sebalik pertembungan dua golongan itu? Tahu apa sebenarnya berlaku?

Ia adalah ‘perang’ yang sama juga. ‘Perang’ antara dua aliran pemikiran yang berbeza ini juga. Adakah tok nenek kita dulu bergaduh besar sampai pecah semua negeri pasal kekeliruan dalam kefahaman agama? Adakah mereka bergaduh besar sampai hendak ugut mengugut bunuh semata-mata perihal berbeza mazhab fekah? Adakah pecah belah masyarakat di Nusantara ini sampai kita tidak boleh merdeka?

Kena faham beginilah ya tuan puan. Perbezaan pandangan memang akan wujud sampai kiamat. Kita yang hidup bermasyarakat ini kena cerdik menguruskan perbezaan pendapat. Bukan hanya cerdik menekan orang yang berlainan pendapat.

Kita hendak beragama Islam secara harmoni atau hendak berpolitik?

Fikir-fikirkanlah.

Sebab itu tuan puan. Hidup kita ini jangan taksub kepada ustaz. Jangan taksub kepada ulama. Jangan taksub kepada sesuatu aliran macam kita taksub kepada parti politik biarpun pemimpin sesetengah parti itu layak kita ‘humban ke longkang’. Apa yang tuan puan dapat dengan sikap fanatik seperti itu? Apa jaminan ustaz atau ulama yang tuan puan taksub itu membawa tuan puan ke syurga? Ada?

Ini persoalan cepumas; APAKAH AGAMA YANG DIREDHAI DI SISI ALLAH? Agama Wahhabi? Agama Salafi? Agama Ahlul Sunnah Waljamaah? Agama Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah? Agama apa?

Jawapannya: AGAMA ISLAM. Hendak kita ulas lanjut? Sudah faham?

Masuk kubur nanti kalau malaikat tanya; “siapa saudara kamu?“, kita hendak jawab apa? Hendak jawab; “saudaraku orang Wahhabi / orang Salafi / orang Ahlul Sunnah Waljamaah / orang Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturudiyah AlGazaliyah” ATAU kita jawab ringkas; “orang Islam saudaraku“?

Hendak kita ulas lanjut?

Kalau tuan puan tegar sangat hendak digelar Aswaja+AAA, maka persilakanlah. Kalau tuan puan tegar sangat hendak sokong Wahabi, maka persilakanlah juga. Asal jangan porak perandakan masyarakat sudah. Asal tahu semua itu hanyalah LABEL, bukan AGAMA, maka memadailah. Hendak bergaduh sesama Islam sudah kenapa?

Apa Bantahan Golongan Tidak Mengaku Wahabi?

Baiklah. Jadi tuan puan, kita sudah dengan penjelasan sebelah pihak. Untuk berlaku adil, jika ada kelapangan, sila ke perbincangan seterusnya dalam judul; ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi?

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • Ulasan Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan Kutipan 84 Juta

    […] Itu satu hal. Bagaimana pula bangsa yang sibuk menjadikan agama Islam itu sebagai hak miliknya? Bangsa yang bercakaran merebut gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah sebagai milik kumpulannya? Dalam keadaan hidup tak menentu dalam era 1890-an sewaktu kebangkitan Mat Kilau itu, adakah tuan […]

  • ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi? – +SANGfikir

    […] puan sekalian, dalam terbitan ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi sebelum ini, kita sudah kongsikan kertas kerja Fahaman Salafi Wahabi: Origin Kepada Ekstremisme dan […]

  • Makrifatullah – Hakikat, Makrifat dan Martabat Tujuh

    […] perkongsian ustaz adalah sangat bagus. Ini benar. Terutama jika tuan puan sudah letih tengok ‘perang ustaz‘ berhubung beza pandangan syariat (khususnya urusan ibadat dan akidah) dalam YouTube antara […]

  • Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam

    […] Puak ‘pelampau’ dan pembela ‘pelampau’ ini hanya dakwa saja sebagai AswajaAAA, tetapi amat malang sekali kelihatan mereka itu tidaklah seperti apa yang didakwa ya tuan puan. […]

  • EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tak Serupa Bikin? +SANGfikir

    […] kegelinciran akidah itu banyak berlaku dalam kalangan kita juga. Atau kita ini semua Asamjawa? Bukan Aswaja+AAA? Kita ini Asamjawa atau Aswaja+AAA? Kalau benar kita ini Aswaja+AAA, sepatutnya kita ini satu jalan […]

  • KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu +SANGfikir

    […] mana pelbagai maklumat itu datang tanpa diundang. Sebab itu kita zaman ini beruntung dalam melihat perang pemikiran sesama ustaz kita depan mata. Perang ini baik bagi kita sebab kita sudah boleh memperoleh maklumat di hujung […]

  • Benarkah Dakwaan Ulama Salaf Berhujah Dengan Ilmu Kalam?

    […] Sudah nampak atau tidak beza ilmu disampaikan kepada orang awam dalam perang ustaz secara terbuka hari ini? […]

  • ‘Perang Ustaz’: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?+SANGfikir

    […] puan sekalian. Inilah adalah sambungan kisah perang sebelum ini; ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi dan ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi? Perang mulut saja ya. Bukan perang dunia ketiga. […]

  • MAULIDUR RASUL: Lumrah Manusia Suka Berlebihan – +SANGfikir

    […] Mereka buat majlis Forum Zikra Rasul. Zikra itu apa? Mengingati juga. Kita hendak mengata ‘Wahabi tidak mengaku Wahabi‘ pun buat bid’ah hasanah juga? Eh, benda baik, apa salahnya? Kita juga yang kata, […]

  • ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja

    […] ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi  […]

  • Perkampungan Sunnah atau Sesat ? – +SANGfikir

    […] menjawabnya sampai para jemaah pun terkebil-kebil nak faham. Punyalah pusing, akhir sekali dia kata jangan ikut Wahabi. Itu sajalah modal yang ada hendak menjawab persoalan […]

  • Himpunan Ceramah Bahaya Wahabi – +SANGfikir

    […] ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi; […]

%d bloggers like this: