Tuan puan sekalian. Coretan kali ini kita himpunkan beberapa ceramah tentang bahaya Wahabi untuk tontonan dan halwa telinga kalian. Bukan apa. Bahaya katanya. Seram mendengarnya. Maka eloklah kita bentangkan sahaja apa yang melintang dalam saluran YouTube;
- Mana tahu, ada manfaat untuk tuan puan sekalian?
- Mana tahu, semakin kukuh iman para jemaah yang mendengar?
- Mana tahu, kita boleh menjaga aqidah ‘Allah wujud tidak bertempat‘ yang selalu dijaja oleh para ustaz kita?
- Manalah kita tahu, kan?
Kita mulakan perihal bahaya Wahabi dengan ucapan berterus terang Kiyai Idrus Ramli;
Waduh-waduh bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian. “Terok bebenor Wahabi ni!” Itu tadi adalah ceramah beberapa tahun lepas ya tuan puan sekalian. Yang di bawah ini pula adalah video ceramah daripada Kiyai Idrus Ramli yang diterbitkan beberapa hari lepas;
Memang sedap mulut sesama Islam menerakakan orang lain. Sebabnya apa? Sebabnya hadith perihal Khawarij masuk neraka turut dinisbahkan kepada Wahabi, sebab Wahabi itu dikatakan sebahagian daripada Khawarij, menurut tafsir sang ustaz! Kita orang awam hendak kata macam mana lagi. Memang puak Wahabi pun dituduh menerakakan puak Assyairah yang berbangga dengan gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah Wal Maturidiyah. Begitulah gamaknya saling menerakakan puak-puak berlawanan seolah-olah sudah pasti puak mereka ahli syurga!
Tuan puan kena ingat juga. Ustaz sudah pesan katanya Rasulullah SAW sudah berpesan supaya mengikuti golongan majoriti sebab tidak mungkin majoriti itu sesat. Jangan ikut minoriti, sebab minoriti itu diancam masuk neraka. Ustaz main sebut saja, tidak pula dibacakan hadith secara penuh dalam matan bahasa Arab. Kita hendak semak pun sukar juga. Kita cuma boleh duga ustaz terjemah perkataan Arab ‘al-jamaah’ itu sebagai majoriti! Al-jamaah itu tidak pula dirujuk kepada majoriti para sahabat mahupun majoriti para ulama zaman salaf. Majoriti yang ustaz sebut adalah majoriti umat Islam zaman kemudian, termasuklah kita semua hari ini.
Sebab itu dengan selamba dan bersahaja sang ustaz kata majoriti tidak mungkin sesat. Hendak buat macam mana tuan puan kalau yang bergelar ustaz pun sudah syarah hadith sebegitu rupa? Biarpun puak yang berbangga sebagai Aswaja itu mencanang beribu-ribu ahlul hadith muktabar adalah pengikut Assyaairah, memang majoriti mereka itu jarang sebutkan hadith secara penuh lengkap dengan matan, sanad dan status hadithnya. Main sebut saja! Dan memang kita maklum majoriti ustaz atau ustazah hari ini memang begitu sikapnya; main sebut sahaja, lalu syarah ikut sedap mulut jadikan hujah biarpun maksudnya lari dari konteks asal hadith. Jadi, kalau tuan puan memang jenis cenderung telan kalam para asatizah sedemikian, kita memang tidak boleh hendak tolong!
Baiklah tuan puan sekalian. Kalau enjin dah mula panas, teruskan dengar pula ceramah Ustaz Mahfuz Muhammad sebelum wabak Covid-19 melanda dunia. Agaknya memang panjang senarai golongan Wahabi di Malaysia ini ya?
Maka fahamlah kita tuan puan sekalian. Ahlul Sunnah Waljamaah itu termasuklah para pencinta bidaah hasanah rupanya. Kalau kita jumpa manusia yang mahu berpegang kepada sunnah, maka itu bukanlah Aswaja bahkan itulah puak Wahabi. Teruk benar Wahabi sudah beranak pinak, bercucu cicit berpiut di negeri Selangor rupanya, sampai terpaksalah ahli jawatankuasa surau kena amaran secara terus terang oleh sang ustaz. Pak Wahab jangan diberi muka katanya. Seram sejuk kita dengar ya tuan puan sekalian. Jangan disanggah amalan nenek moyang kita yang turun temurun. Mana ada bidaah? Bidaah hasanah, adalah! Siapa sanggah, maka jadilah dia ahli kumpulan Pak Wahab. Kita yang menulis ini faham, tentunya tuan puan lebih lagi faham!
Dia gelar puak Wahabi itu Wahabon, Wahaban, Wahabin. Dia kata hari ini mana ada Salafi, yang ada cuma ‘Slurpee‘ saja! Sedap mulut mengata sebab dia pegang mikrofon! Layan sajalah. Muka ‘confident’ kata siapa hendak mengaku Salafi mesti beraqidah Assyairah, sedangkan mazhab Assyairah itu hanya berkembang pada zaman khalaf, bukannya zaman salaf. Memang senang kita orang awam kena kelentong kalau tidak mahu belajar sejarah! Tuan puan mahu percaya bulat-bulat kelentong sedemikian, ya dipersilakan.
Kemudian kena faham ya tuan puan. Biarpun di tanah Arab dan Parsi itu kedua-dua puak Wahabi dan Syiah itu saling bertelagah di padang pasir, di tanah syurga Malaya ini kedua-dua puak itu rupanya diletakkan sebakul sebagai sesat dan menyeleweng. Yang tidak menyeleweng cuma puak ‘Assyairah celup’ yang menjaja akidah Nur Muhammad dengan bebas keliling kampung sejak zaman berzaman ya tuan puan sekalian. Puak batiniah tidak mengapa boleh boleh hidup subur di seluruh dunia Islam. Jangan kacau ya tuan puan sekalian. Semuanya Ahlul Sunnah Waljamaah, kecuali Wahabi dan Syiah – demikianlah ringkasnya soal jawab dengan jemaah surau berkenaan.
Kelentong kuat katanya semua orang Melayu mazhab Syafie katanya! Kemudian bertauhid kena ikut Imam Assyaari katanya. Dia ada kuasa ikut suka dialah paksa orang awam ikut mazhab dan akidah dia. Sekali pandang macam para pemerintah Abasiyyah yang Muktazilah pun tidak mengapa. Kita orang awam ikut sajalah. Nak buat macam lagi, kan? Kalau ustaz kata Sifat 20 itu tauhid Assyairah, kita kena percaya sahaja tuan puan sekalian. Biarpun ilmu Sifat 20 itu dirumuskan oleh Imam Sanusi (abad 9 hijrah) dalam kitab Ummul Barahin dan bukannya karangan Imam Abu Hassan Assyaari (abad ke 4 hijrah), kita kena telan begitu saja kalau yang kata ilmu Sifat 20 itu adalah akidah Assyairah ya tuan puan. Jangan tanya akidah Al-Maturidiyah mahu letak mana! Takkanlah ustaz hendak kelentong, ya tak?
Jadi kalau ustaz kata Tauhid 3 itu kufur, kena dengar ya tuan puan. Sudah di beri amaran keras dalam surau. Tidak mahu dengar nanti kena cantas. Kena ikut sajalah kata ustaz. Barangkali di Padang Mahsyar nanti ustaz tersebut akan membela semua yang bertauhid Sifat 20 itu boleh masuk syurga kesemuanya. Nampak begitu yakin sekali dia melontarkan kalam biarpun Tauhid Sifat 20 itu tidak disebut dalam Al-Quran dan hadith, sebagaimana Tauhid 3 itu juga tidak disebut juga dalam Al-Quran dan hadith. Kita orang awam mana boleh faham Al-Quran dan hadith! Kita cuma boleh faham cakap ustaz saja. Sedarlah diri kita yang bodoh dan diperodohkan oleh ustaz sedemikian ya tuan puan sekalian! Itu pun kalau faham bahasa kita. Kalau tak faham juga hendak tolong macam mana?
Kalau mahu kasi cili tambah kasi taruk, dengarlah pula ceramah Ustaz Ahmad Husam di bawah ini;
Tu dia weh! Habis semua perkataan cela seperti ‘anak haram‘ dan ‘haram jadah‘ bagai keluar dari mulut dia dalam majlis ilmu. Lepas dia balun Syiah sekali lalu, dia balun habis puak Wahabi. Deras sembang sang ustaz kata ‘hang salah pi‘ depan jemaah yang dok terangguk-anguk layan sumpah seranah ‘gila babi‘ macam tidak ingat mati. Memang begitulah perangai sebahagian manusia bila kita bagi pegang mikrofon. Hendak kata apa lagi kalau gatal mulut sangat jemput kaki sembang bagi ceramah agama.
Demikian itulah. Keluar lagi perkataan cela dan sumpah seranah dalam majlis ilmu. Memang hebat. Tak sangka pula kita begitu tinggi sekali akhlak para ustaz yang anti Wahabi ya tuan puan sekalian. Kasi layan sajalah! Apatah lagi kalau yang berceramah itu adalah Presiden Aswaja kita. Tidak begitu?;
Memang dahsyat penangan Wahabi ini tuan puan sekalian. Rupa-rupanya Wahabi itu punca umat Islam berpecah belah! Wahabi itu sebakul dengan Syiah, Hizbut Tahrir, Ayah Pin, Khawarij, Muktazilah, Liberal semuanya sesat belaka! Kenapa tidak masukkan sekali tarekat Naqsyabandiah sebakul juga?
Kuat mengata orang buat bidaah, sampai lupa dia pun kuat buat bidaah juga. Maaf, lupa sebut. Dia pun kuat buat bidaah hasanah juga! Hasanah tu jangan lupa sebut ya tuan puan sekalian. Faham atau tidak?
Jadi elok juga kita orang awam ini fikir-fikirkan. Benarkah aqidah sifat 50 itu asalnya sunnah atau ia adalah bidaah hasanah? Adakah pula Tauhid 3 yang dimusuhi sang ustaz itu adalah sunnah atau bidaah hasanah juga? Jawapannya mudah; kedua-duanya adalah BIDAAH HASANAH kalau ikut takrifan para penjaja kaedah memahami tauhid yang diajar kepada orang awam. Kalau sudah kedua-duanya bidaah hasanah, kenapa hendak memaksa orang awam ikut tanpa soal? Lainlah kalau ia sunnah, masuk akal juga hendak memaksa orang awam, kan? Kalau semua orang ikut sunnah, mana ada pecah belah masyarakat, betul?
Demikianlah. Macam-macam lagi kalau kita hendak korek betapa pelik manusia yang gemar ajar bidaah hasanah berbanding ajar sunnah. Lagi teruk, dikatakan pula Wahabi memang tak mengaku Wahabi! Cuba tonton video ceramah Ustaz Wadi Annuar di bawah ini pula;
Ustaz kesayangan ramai ini memang sedap kita dengar ceramahnya. Terutama kalau jenis manusia yang hendak bertaubat atau berminat dengan ceramah motivasi. Boleh bercucuran air mata para jemaah yang mendengarnya. Jadi sang ustaz sudah jelaskan katanya sudah sekian banyak karya dan kalam ulama mengatakan puak Wahabi itu sesat. Salah satu sebabnya ialah puak Wahabi itu suka mengatakan bidaah begitu banyak amalan tradisi masyarakat Islam sedunia, biarpun memang perkara itu bidaah. Bezanya telah kita sebutkan dalam banyak terbitan sebelum ini; BIDAAH HASANAH. Dengan penuh harapan sang ustaz memberi harapan kepada para jemaah semoga mereka semua beroleh pahala dan kebaikan sebab amalkan bidaah hasanah. Sebab itu kita orang awam pelik. Kalau satu dunia para tok guru agama suka ajar bidaah hasanah kepada masyarakat sejak 1000 tahun yang lalu, mengaku sajalah memang kamu pencinta bidaah hasanah. Ia memang bidaah, bukan?
Berbalik kepada Wahabi sesat; untuk mengukuhkan dakwaan sang ustaz, disebutnya juga juga persidangan ulama sedunia yang bercampur baur dengan puak-puak sufi (yang secara umummya memang gemar buat bidaah (hasanah?) dalam aqidah dan ibadah) itu sudah sepakat menolak Wahabi keluar dari Ahlul Sunnah Waljamaah. Kena fahamlah kalau sudah sepakat sama-sama mencintai bidaah hasanah, maka memang pantang tok nenek kalau ada orang mengata mereka buat bidaah! Tak boleh sebutkah bidaah hasanah bila menegur itu?
Demikianlah ya tuan puan sekalian. Mahu berdegil tidak mahu dengar cakap ustaz sudah kenapa? Bukankah ustaz sudah sebut para ulama muktabar dan mujtahid aliran As-Syafie (lalu dijaja sebagai turut mengikut aliran Assyairah) itu bakal membela tuan puan di hadapan Allah kelak? Jangan tanya dalil seperti;
- Ada atau tidak di sebutkan dalam Al-Quran bahawa semua para ulama itu akan menjadi pembela di Padang Mahsyar nanti?
- Ada atau tidak di sebutkan dalam hadith sahih bahawa semua para ulama itu akan menjadi pembela di Padang Mahsyar nanti?
Tuan puan usah gatal mulut tanya. Nanti tidak tentu pasal kena gelar Wahabi biarpun tuan puan tidak kenal apa itu Wahabi! Nanti tuan puan kena gelak sebab soalan sedemikian dianggap bodoh. Kita orang awam bodoh mana layak tahu dalil, kan? Kalau ustaz keluarkan dalil pun bukannya kita boleh faham, kan?
Demikianlah adanya. Itu belum kira ‘soalan lucu’ oleh mereka yang digelar Wahabi ya tuan puan sekalian. Lucu atau bodoh? Elok berterus terang sajalah. Memang bodoh benar puak Wahabi itu sekaliannya kalau kita dengar ceramah Ustaz Engku Ahmad Fadzil;
Kemudian kita dapati begini pula. Tidak ada angin. Tidak ada ribut, pendokong kuat tarekat Naqsabandiyah turut tumpang semangkuk mengata kat Wahabi. Bukan calang-calang orang Ustaz Dr. Ayman Al-Akiti ya tuan puan sekalian;
Demikianlah ya tuan puan sekalian. Begitu ramai sekali para ustaz kesayangan kita sudah menjelaskan bahaya putar belit Wahabi. Kalau belum cukup puas lagi, elok tonton pula video menceritakan kebodohan puak Wahabi dari ceramah Ustaz Ahmad Rozaini;
Demikianlah beberapa koleksi yang kita kutip dari saluran YouTube Al-Kahfi Production. Makna kata, ini memang betul-betul nak kata Wahabi itu sesat!
Nasihat Orang Awam kepada Orang Awam
Memang seram kita orang awam yang mendengarnya. Sudahlah bodoh. Sesat pula! Memang patutlah kita orang awam telan saja bulat-bulat kalam para ustaz yang berkenaan. Begitu? Nasihat kita, sila teliti kembali terbitan berkaitan sebelum ini;
- ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi;
- ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi?;
- ‘Perang Ustaz’: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?
- ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja
Beginilah ya tuan puan sekalian. Kalau tuan puan hendak telan segala tuduhan dan caci maki terhadap Wahabi ya dipersilakan. Kalau hendak membela puak-puak yang digelar Wahabi ya persilakan juga. Cuma kita hendak pesan begini sajalah;
- Siapa dia kepala Wahabi di Malaysia ini?
- Mana dia senarai rasmi kerajaan / kertas putih senarai Wahabi di Malaysia ini?
- Bila lagi kerajaan Malaysia hendak bertindak kepada puak Wahabi ini?
- Bila lagi kita semua nak boikot Arab Saudi yang Wahabi itu?
- Anak haram Yahudi kot? Sesat kot? Bukan Ahlul Sunnah Waljamaah kot? Tunggu apa lagi?
Kita tambah lagi begini. Kalau puak jenis suka sesatkan orang, suka kafirkan orang itu adalah ciri-ciri Wahabi, maka segala perkataan serupa yang keluar dari mulut para ustaz kesayangan kita itu, bukan ciri-ciri Wahabi-kah?
Eh, kita tanya tu! Bukan sindir! Tapi, kalau nak terasa juga, kita tidak boleh hendak tolonglah ya tuan puan sekalian.
Comments
You must log in to post a comment.