Tuan puan sekalian, termasuk kaum keluarga, anak, cucu, cicit barangkali sudah lazim dengan zikir munajat seperti di bawah ini;

Video 1

Secara zahir, macam tiada apa masalah ya tuan puan. Zikir ini juga dipanggil ‘Zikir Penenang Hati’. Memang begitulah zahirnya. Dan kita pun maklum, memang zikir ini diajar dan dialunkan secara meluas dalam masyarakat kita, sejak kecil lagi. Jika hendak terus amal zikir munajat seperti ini, maka eloklah tuan puan tahu dulu maksud zikir itu dan bertanyalah kepada yang arif sebelum mengamalkannya.

Kalau tidak mahu amal, itulah lebih baik khususnya bagi mereka yang cuba sebaik mungkin untuk beramal menurut cara yang jelas diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Malah dalam kalangan ilmuan, memang ada perbahasan bahawa lafaz Nur Muhammad yang terkandung dalam zikir tersebut adalah berselisihan dengan konteks asal firman Allah SWT yang menganjurkan kita supaya berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Cuba teliti betul-betul ya tuan puan sebelum ‘melenting sampai ke siling gantung’;

حسبي ربي جل الله

Cukuplah Rabbku Allah Maha Agung

مافي قلبي غيرُ الله

Tiada di dalam hati ku kecuali Allah

نورِ محمد صلى الله

Allah berselawat ke atas Nur (Cahaya) Muhammad

لا الہ اِلا اللہ

Tiada Tuhan selain Allah.

Mari kita permudahkan saja ya tuan puan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Surah al-Ahzab 33:56

Jujurlah kepada diri sendiri ya tuan puan. Siapa Nabi kita? Muhammadﷺ ATAU Nur Muhammad? Muhammadﷺ ATAU Cahaya Muhammad? Ini ringkas persoalan sahaja. Sebagai sentapan mudah saja. Rentetan dari soalan ini kita susun kemudian ya tuan puan.

Baiklah. Itu cuma selingan sahaja untuk tuan puan fikirkan dengan akal yang sihat, berpandukan wahyu dari Allah (AlQuran) dan sunnah NabiNya. Bukan niat kita hendak bahas boleh atau tidak bermunajat dengan zikir sedemikian. Apatah lagi, biarpun pernah nasihat dikeluarkan berhubung status zikir tersebut, ia tidak pernah diwartakan. Begitu juga memang terdapat fatwa yang mengharuskan Nur Muhammad, yang juga tidak diwartakan. Sebab apa tidak pernah diwartakan, sila hadam sendiri ya tuan puan sekalian. Kita semua orang awam saja. Dalam hal ini terpulanglah kepada diri sendiri untuk menentukan pendirian. Kena ingatlah. Yang hendak menjawab kelak bukan orang lain, bukan tok guru, bukan kerajaan, bukan ustaz ya tuan puan. Yang empunya diri jualah nanti kena jawab depan Tuhan di Padang Mahsyar kelak.

Niat kita menulis ini adalah berkaitan dengan perihal Nur Muhammad dan penjelasan berkaitan dengan urusan aqidah. Ada yang kata ia cuma isu furu’ (ranting). Ada yang kata ia isu ushul (pokok). Itu belum kira betapa tebalnya konsep Nur Muhammad dalam kalangan mereka yang mendakwa sebagai ahli makrifat. Itulah sebab kita ajak tuan puan teliti sama.

Nur Muhammad?

Tuan puan sekalian. Lama dahulu sebelum si tukang tulis ini menjinakkan diri dengan ilmu hadith, kita sudah terserempak dengan perihal Nur Muhammad dalam sembang kedai kopi, ceramah dan buku. Sekali dengar, sekali baca, kita sudah berkira-kira kefahaman seperti ini tiada asalnya dalam Islam. Jadi, apabila berdepan dengan dakwaan hadith Nabi kononnya mengesahkan perihal Nur Muhammad, biar pun kita jadi serba salah untuk menolak hadith sedemikian (maklumlah ketika itu kita masih bodoh (jahil) ilmu hadith), kita tetap tidak boleh hendak menerima kepercayaan Nur Muhammad ini.

Ada dua sebab;

1. Tiada sebarang penjelasan perihal Nur Muhammad di dalam Al-Quran baik secara zahir makna, tafsir muktabar mahupun takwilan (jika kita benar jujur dalam mentakwil);

2. Tiada juga sebarang penjelasan tuntas perihal Nur Muhammad yang lazim difahami dari sembang kedai kopi, ceramah dan buku apabila kita rujuk kepada ‘hadith-hadith’ yang di dakwa sebagai dalil kefahaman Nur Muhammad itu.

Benar tuan puan. Tiada satu pun dalil tuntas yang ‘shohih dan shorih’ melainkan dakwaan puak-puak ‘ghuluw’ yang suka memutar belitkan kalam. Juga pembelaan terhadap golongan melampau dalam urusan agama ini oleh puak-puak suka mengaku sebagai Ahlul Sunnah Waljamaah dan menjaja diri sebagai pengikut ahli kalam biarpun diri mereka itu tidak hadam pun kefahaman Imam Abu Hassan As-Sya’ari mahupun Al-Maturidi dan juga Al-Ghazali. Puak ‘pelampau’ dan pembela ‘pelampau’ ini hanya dakwa saja sebagai AswajaAAA, tetapi amat malang sekali kelihatan mereka itu tidaklah seperti apa yang didakwa ya tuan puan. Kita tidak akan ulas panjang perkara ini. Memadailah dengan saranan agar kita sama-sama melihat cermin, dan nilailah kefahaman masing-masing yang sedang membaca ini.

Tuan puan sekalian. Kalau kita ini jenis kaki baca AlQuran sekadar baca tanpa tahu maksud ayat dan meneliti pelbagai tafsiran muktabar, maka kita tidak akan sedar dan faham apa yang hendak dikecohkan sangat pasal Nur Muhammad. Barangkali kita akan terbuai dengan alunan zikir mengasyikkan, bercucuran air mata mengenangkan hina diri, tanpa sedar kita sedang mengungkapkan perkataan syubahat dalam berzikir. Sebab itu kita terangkan diawal tadi, secara zahirnya seolah-oleh tiada sebarang masalah dengan ‘zikir munajat penenang hati’ tersebut di atas. Memang macam tiada masalah, terutama kalau kita jenis tidak tahu bahasa Arab. Kalau kita kaki lancar bahasa Arab sekalipun, tetapi gemar memutarbelitkan kalam semata-mata berpandukan hawa nafsu, barangkali kita akan kata juga tiada masalah dengan zikir yang mengandungi lafaz Nur Muhammad di dalamnya. Apatah lagi kalau kita ini jenis ‘pencinta bidaah hasanah’ pula, lagilah kita rasa tiada sebarang masalah. Faham maksud kita ini?

Pelbagai bahasan perihal Nur Muhammad

Sebelum kita pergi jauh, elok juga kalau kita bentangkan pelbagai bahasan terkait Nur Muhammad yang sedia ada dalam laman sesawang, baik bacaan santai mahupun bacaan ilmiah;

Tuan puan boleh baca dan hadam sendiri pelbagai bahasan yang bertentangan. Ada yang dakwa ia benar. Ada yang dakwa ia batil. Ada yang mencari-cari jalan menyucikan perkara yang batil. Masing-masing bawa hujah dari AlQuran dan hadith. Ada yang memutarbelitkan maksud Al-Quran di luar konteks. Ada yang mengikut hawa nafsu menelan segala macam hadith kerana mahu membela kefahaman Nur Muhammad. Masing-masing mendakwa ia ada dalam kitab ya tuan puan. Jadi, kalau kita ini jenis telan semua benda ada dalam kitab adalah benar belaka, adakah semua bahasan yang bertentangan perihal Nur Muhammad sebagai benar belaka juga? Fungsi akal kita letak di mana?

Sebab itulah tuan puan, kita hendak berpesan sekali lagi. Bacalah AlQuran keseluruhannnya 30 juzuk dengan mengetahui makna dan tafsirnya secara berulang-ulang. Jika kesibukan, dengarlah sekurang-kurangnya bacaan AlQuran dengan maknanya sekali. Dengar, tahu makna dan khatam secara BERULANG-ULANG. Dengan izin Allah, kita akan mula sedar bahawa kebanyakan urusan agama dan aqidah yang kita sering dengar sepanjang hidup ini adalah perkara yang bercampur baur yang haq dan batil. Bila kita sedar perkara ini, ketahuilah dengan izin Allah jua kita akan mula membersihkan diri kita dari kefahaman dan amalan yang tiada asal dari wahyu Allah dan sunnah Nabi.

Ada Apa Di Sebalik Tabir Nur Muhammad?

Baiklah tuan puan sekalian. Elok juga kita kongsikan video Konsep Nur Muhammad: Huraian & Penjelasan oleh Ustaz Noor Deros terlebih dahulu, sebelum kita teruskan bahasan lanjut.

Video 2

Seperti biasa, kita sarankan tuan puan tonton dan dengar Video 2 ini dari awal hingga akhir. Usah lompat sana sini. Nanti ustaz terangkan lain, kita faham lain pula. Juga usah ’melompat sampai ke siling gantung’ jika ada pandangan ustaz yang tidak selari dengan akal kita. Kena sedarlah. Selama ini kita mengaku sebagai Aswaja+AAA, maka apa makna gelaran yang kita kejar sangat itu kalau tidak tahu menggunakan akal dengan cara yang betul. Ustaz pun baca pandangan para ulama Assyairah dalam pembentangannya. Kalau kita kata ustaz kelentong, semaklah sendiri kitab-kitab yang ustaz sebutkan itu. Setuju?

Kita hendak kongsikan tangkap layar video tersebut yang menerangkan dari mana datangnya syubahat berkaitan Nur Muhammad;

Begitu juga tangkap layar yang membuat perbandingan ilmiah tentang 2 konsep yang serupa tapi tidak sama, iaitu Logos Kristian vs. Hakikat Muhammadiah;

Benar tuan puan. Ia serupa tapi tak sama. Kita juga tidak mahu kata dapatan Ustaz Noor Derus itu tepat sepenuhnya. Tetapi secara akademik, apabila ustaz sudah membentangkan takrifan bagi setiap perkara yang diperbincangkan, suka atau tidak suka, kita kena akui ya tuan puan bahawa memang ada kesamaan kefahaman akidah kedua-dua konsep tersebut. Kita janganlah sombong sangat kata dapatan ustaz itu adalah ‘terlampau’. Jujurlah ya tuan puan. Kalau kita baca kitab Hakikat Insan dan buku yang seumpamanya yang bergentayangan dalam kalangan masyarakat di kedai kopi atau perkumpulan yang mendakwa mereka ahli makrifat, maka kita dapati benarlah perkara yang disebut sebagai Hakikat Muhammadiah atau cerminan dari Nur Muhammad itu memang ada ciri yang sangat hampir dengan apa yang telah berlaku kepada umat Nasrani selepas peristiwa The First Council of Nicea pada tahun 325 Masihi.

Satu-satunya sebab kita menolak dapatan ustaz adalah kesombongan dalam diri kita sendiri. Barangkali kita akan kata jika benarlah kepercayaan Nur Muhammad ini salah, mengapa banyak kita jumpa dalam kitab, bahkan ada dalam tulisan sebahagian ulama muktabar yang jadi ikutan kita. Lalu kita kata, takkanlah ulama kita salah. Takkanlah ulama kita ahli neraka?

Beginilah ya tuan puan sekalian. Kalau kita hendak ambil semua yang ada dalam kitab sebagai benar mutlak, kalau kita hendak ambil semua kalam para ulama sejak abad pertama hingga abad kini semuanya itu sebagai mutlak belaka, maka jadilah caca merba akidah kita semuanya. Kita hendak ikut yang mana kalau semua yang ada dalam kitab dianggap benar secara mutlak? Boleh fikir?

Itulah sebabnya Allah berulang kali berfirman dalam AlQuan suruh kita gunakan akal. Apatah lagi sejak kecil kita semua dah lalui kaedah pembelajaran aqidah dengan mendahulukan dalil aqli dahulu, dalil naqli kemudian. Bila kita jumpa kawan kita yang mendahulukan dalil naqli, dalil aqli kemudian, kita gelak dekat mereka pula kononnya mereka kurang akal. Kita gelar mereka itu golongan ‘literalist’ pula. Begitu? Jadi elok tanya diri sendiri yang kononnya lahir dari madrasah aqal; kita ini tahu atau tidak guna akal bila membaca kitab atau mendengar kalam tok guru? Fikir-fikirkanlah.

Cara Melepaskan Diri dari Syubahat

Begini ya tuan puan. Kalau hidup kita ini sudah bergelumang dengan perkara syubahat sejak hari pertama kita jejak kaki belajar agama sampailah beranak cucu, memang susah hendak melepaskan diri dari kebebalan aqidah. Sebab itu, biarpun kita kita sudah diajar supaya membenci Karl Marx yang mengatakan ‘agama itu ibarat candu’, kita tidak boleh nafikan ungkapan pengasas sosialis ini ada kebenarannya. Lihatlah diri kita sendiri hari ini; tuan puan jangan kata kita ini hendak ajar kepada pegangan athiest (tidak beragama) seperti Karl Marx. Begini sajalah; sila gunakan akal ya.

Lihatlah diri kita sendiri. Telah datang hujah kepada kita berkenaan sesuatu syubahat yang batil, telah ada di hadapan kita Al-Quranul Karim dan hadith yang sahih, apa yang menghalang kita supaya kembali kepada fitrah kejadian insan sebagaimana Allah jelaskan dalam AlQuran? Apa yang menghalang kita dari meninggalkan perkara syubahat melainkan akal kita ini sudah terkena candu khurafat dan perkara tiada asal dari agama Islam?

Kalau pun tuan puan tidak mahu hadam pandangan orang awam seperti kita ini, apa kata tuan puan dengar pandangan ustaz pula. Jadi, eloklah kita kongsikan juga soal jawab dalam video di bawah ini;

Video 3

Ustaz yang sama juga ya tuan puan. Ia adalah video sembang santai ngopi kalam yang ilmiah. Bukan video sembang santai kedai kopi puak-puak yang sering dakwa diri ahli makrifat. Tonton dan dengar dari awal hingga akhir dengan minda yang terbuka dan dada yang lapang ya tuan puan. Kalau kita rasa tidak berkenan dengan kalam ustaz ini, carilah pula kalam ‘anti-thesis’ kepada Ustaz Noor Deros ini. Carilah video sembang kosong yang lain. Ada berlambak di YouTube, ada berlambak di masjid dan surau ya tuan puan kalau hendak dicari ‘anti-thesis’ yang tuan puan mahukan.

Cuma nasihat kita, lepas dengar kedua-dua pandangan yang bertentangan, beleklah AlQuran untuk membantu akal kita membuat pertimbangan yang wajar. Kalau kita biarkan akal kita dipandu hawa nafsu tanpa kembali kepada kalam Allah, maka tanyalah diri adakah kita ini benar-benar seorang yang beriman kepada Tuhan. Kalau benarlah kita ini ahli Assyairah yang kita sering dakwa selama ini, maka eloklah kita baca sebahagian kitab yang disandarkan sebagai kalam Imam Abu Hassan Assya’ari untuk sedar diri; betul atau tidak selama ini kita menggunakan akal dengan cara yang sepatutnya ya tuan puan.

Kalau kita masih tidak mahu guna akal cara Aswaja+AAA yang telah kita diajar sejak dulu, mari kita lihat pula cara guna akal cara mendahulukan dalil naqli yang membimbing dalil aqli pula ya. Cuba dengar ceramah Ustaz Wan Syukri Wan Ismail Al-Fathoni pula;

Video 4

Macam mana tuan puan? Puak yang kita gelak sebab mereka mendahulukan dalil naqli dahulu, dalil aqli kemudian itu, bagaimana cara fikir mereka? Mantik siapa yang boleh diterima akal? Mantik kita yang suka terima saja apa yang dihidangkan depan kita, atau mantik mereka yang tahu guna akal sebelum telan apa yang dihidangkan?

Siapa yang cerdik guna akal ini sebenarnya?

Begini sajalah ya. Kalau kita bawa perbalahan kita perihal perkara khurafat ini depan hakim yang adil, cara fikir dan mantik mana yang rasa-rasanya akan diterima? Cara ambil dalil melalui mimpi atau cara ambil dalil melalui bukti? Tuan puan faham atau tidak kita hendak ajak cara berfikir yang waras?

Kemudian, sudikah kita ini berguru dengan tok guru yang memandang rendah tahap intelektual anak murid? Tuan puan sudi jadi anak murid yang bodoh mengikut saja apa kata tok guru? Atau tuan puan mahu menjadi anak murid yang tahu guna akal?

Sudikah kita ini berguru dengan tok guru yang memandang rendah tahap intelektual orang awam? Tuan puan sudi jadi orang awam yang bodoh mengikut saja apa kata tok guru? Atau tuan puan mahu menjadi orang awam yang tahu guna akal? Tuan puan faham atau tidak maksud orang awam itu?

Kita yang mengaku pengikut Assya’ariah dan Al-Maturidiyah ini, adakah kita ini benar-benar guna akal dengan cara yang waras kalau kita suka telan sahaja perkara khurafat dan tiada asal dalam agama Allah?

Atau kita ini mengaku sahaja Aswaja+AAA tapi kita tak faham pun manhaj para imam muktabar yang kita ikuti? Mengaku sajalah ya tuan puan sekalian. Bukan salah para imam muktabar, tetapi salah diri kita sendiri sebab tidak tahu menggunakan akal cara yang telah para imam muktabar itu ajar kepada kita melalui kitab mereka;

  • Hendak tahu macam mana kalau kita ini jenis tak baca kitab para ulama tersebut?
  • Hendak tahu macam mana kalau kita ini jenis telan apa saja yang tok guru kita ajar?
  • Hendak tahu macam mana kalau kita ini jenis malas hendak semak urusan agama?

Jangan berdalih pula kata kita sibuk, tiada masa hendak semak, tiada masa hendak fikir dan sebagainya. Suruh berfikir hal agama pun sibuk jugakah? Kalau fikir urusan dunia nak kejar pangkat, nak kejar duit, nak jadi glamor, nak jadi jutawan, tidak sibuk pula ya? Dapat surat tawaran kerja, dapat surat kenaikan pangkat, dapat dokumen tender projek bagai, boleh pula kan kita sibuk hendak semak terma dan sebagainya, ada masa pula?

Dengar cerita pelik-pelik pasal politikus atau artis pujaan kita, sibuk pula kita hendak semak betul atau tidak cerita tersebut. Bukan main lagi kita bela, minta tunjuk bukti dan sebagainya. Ada masa hendak berguling atas jalanan pula semata-mata hendak dapatkan keadilan supaya disemak dahulu betul atau tidak cerita pelik tersebut, kan?

Dengar cerita pelik-pelik pasal Nabi Muhammad SAW, bagaimana pula? Buat tak tahu saja? Tidak mahu semak? Tidak mahu teliti? Tidak pernah ada rasa mahu meletakkan kedudukan Nabi yang selayaknya sebagaimana firman Allah SWT? Ini yang kita panggil cinta Nabi, cinta Rasulullah?

Fikir-fikirkanlah wahai tuan puan sekalian.

bell shaped wicker pendant lamp with light
Photo by Linh San on Pexels.com

Baiklah tuan puan. Ayuh kita kembali kepada dua persoalan utama berkenaan dengan dalil Nur Muhammad. Benarkah sebagaimana yang didakwa ramai kalangan bahawa;

  1. Kepercayaan Nur Muhammad ini ada dalam Al-Quran?
  2. Kepercayaan Nur Muhammad ini ada dalam hadith sahih?

Hadith Nur Muhammad?

Hadith yang didakwa mengesahkan kepercayaan Nur Muhammad telah kita kongsikan sebelum ini dalam artikel Makrifatullah – Hakikat, Makrifat dan Martabat Tujuh. Tuan puan boleh lihat kembali rujukan yang telah dikongsikan. Jadi tuan puan nilailah dengan akal yang waras hendak ikut kalam ulama yang mana jadi pegangan tuan puan. Ketahuilah hadith ‘burung merak’ dan yang seumpamanya yang telah jelas para ulama hadith mengatakan semuanya adalah palsu. Jika tuan puan gemar kepada perkara yang palsu juga, kita hendak kata apa lagi?

Kemudian pula, hadith yang menjadi pertikaian sahih ATAU lemah itu tiada satu pun sebut Nur Muhammad sebagaimana dakwaan pencintanya. Kalau tuan puan baca matan hadith Jabir itu sekalipun, ia hanyalah merujuk kepada ‘cahaya Nabimu’ saja ya tuan puan. Dari kerana hadith itu pun, kita tidak pernah dengar para sahabat panggil baginda Nabi sebagai Nur Muhammad ya tuan puan. Kita tidak pernah juga dengar para ulama muktabar dan imam mazhab yang empat panggil baginda Nabi sebagai Nur Muhammad ya tuan puan. Jika tuan puan anggap ‘cahaya Nabimu’ itu layak dijadikan sebutan Nur Muhammad, dijadikan qasidah, jadi nasyid, jadi cerita penglipurlara, jadi zikir harian, maka itu terpulanglah ya. Sekarang ini, siapa yang ‘literalist’? Kita hendak kata apa lagi?

Hanya eloklah kita pesan. Dalam beberapa hadith yang jadi pertikaian sahih atau lemah atau palsu itu juga, tiada satu pun dapat mengabsahkan dakwaan ‘pancaran cahaya’ atau ‘cerminan cahaya’ atau ‘terbitan cahaya’ lalu menjadi sekian-sekian benda dan kejadian, sebagaimana dakwaan para penglipurlara dan pencinta Nur Muhammad. Lainlah kalau tuan puan boleh terima hadith palsu ‘burung merak’ itu untuk menguatkan atau menerangkan hadith Jabir yang dikategorikan tiada asal itu. Tanyalah ahli hadith, mantik sedemikian itu ada tempatkah dalam ilmu hadith?

Jadi tuan puan timbanglah sendiri dengan jujur dan akal yang waras samada hendak menerima atau menolaknya. Nasihat kita, semak dahulu dengan AlQuran sebelum gelojoh telan semua hadith yang sedemikian. Yang kedua, jika sudah ada ulama hadith yang menjelaskan hadith palsu atau lemah tidak boleh dijadikan hujah dalam beraqidah, tuan puan sedar atau tidak risiko yang tuan puan ambil jika masih mahu ambil hadith sedemikian, apatah lagi menyandarkannya kepada tanpa kepastian yang jelas kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Kita buat analogi mudah sajalah ya tuan puan. Dalam kehidupan seharian kita, dalam kerja kita, dalam perniagaan kita, adakah kita ambil saja risiko tanpa buat perkiraan? Orang putih sebut; ‘calculated risk‘. Urusan dunia pun kita pandai buat ‘calculated risk‘, mengapa dalam urusan akhirat yang kekal abadi kita tidak mahu buat ‘calculated risk‘ untuk hidup sementara ini yang akan menentukan nasib kita di akhirat kelak? Salah satu risiko paling besar apabila kita bermatian mahu ambil hadith dhaif berat dan hadith palsu adalah berdusta atas nama Nabi ya tuan puan. Tuan puan tahukan risikonya?

Macam kita selalu pesan, apapun pegangan tuan puan semasa hidup ini, nanti jawab sendirilah depan Tuhan. Kalau tuan puan berharap ada tok guru atau jabatan agama yang akan membela tuan puan kelak, fikirkanlah samada ianya adalah realiti atau fantasi. Ada dalil? Fikir-fikirkanlah.

Dalil Nur Muhammad dalam AlQuran?

Kalau tuan puan bersembang dengan mereka yang mendakwa ahli makrifat, atau mendengar ceramah kenal diri kenal Tuhan, pasti tuan puan akan dihidangkan dengan beberapa ayat AlQuran yang didakwa sebagai dalil Nur Muhammad. Jadi, kalau yang bercakap itu tok guru, ustaz atau kelihatan macam orang sholeh, tuan puan percaya hujah sedemikian? Tuan puan sendiri pernah semak maksud ayat AlQuran yang berkenaan? Pernah belek konteks ayat? Pernah cuba buat perbandingan beberapa tafsiran oleh para ulama? Atau kita cuma ambil tafsiran yang kena dengan kecenderungan kita sahaja sebab kita memang cinta Nur Muhammad?

Cuba tanya diri. Kita hendak cinta kepada Muhammadﷺ ATAU hendak cinta kepada Nur Muhammad? Kita hendak cinta kepada Muhammadﷺ ATAU Cahaya Muhammad? Kita begitu asyik sebut cinta Nabi, cinta Rasulullah; adakah sekadar ungkapan di bibir ATAU hakikatnya cinta kita itu kepada selain darinya?

Tuan puan pernah terjumpa perkataan Nur Muhammad dalam AlQuran? Janganlah kata kita ini puak ‘literalist’ pula ya. Sejujurnya, ada tuan puan jumpa? Sejujurnya, ada tuan puan jumpa penjelasan Nur Muhammad yang berbelit-belit yang selalu kita dengar di kedai kopi atau sebahagian ‘sembang ustaz’ dalam masjid atau surau?

Kita faham atau tidak apabila Allah SWT sebut ‘nuur’ (cahaya), ‘nuurun ‘ala nuur’ (cahaya atas cahaya / cahaya berlapis-lapis) itu dalam AlQuran? Ada berbagai tafsir dan takwil. Kita hendak ambil yang mana? Kita faham atau tidak pelbagai perumpamaan yang Allah SWT nyatakan dalam AlQuran? Kita ini jenis cuma ambil sekerat-sekerat ayat, atau kita ini jenis yang faham ‘AlQuran mentafsir AlQuran’ khususnya dalam bab aqidah? Atau kita jenis baca tapi tak faham apa-apa melainkan apa yang dihidangkan kepada kita oleh tok guru kita?

Macam mana tuan puan? Macam-macam persoalan kita sudah lontarkan. Elok kita teliti pula ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan yang didakwa sebagai dalil Nur Muhammad itu.

Yang tersohor dalam sembang kedai kopi dan surau adalah ayat di bawah ini;

قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan Kitab yang menerangkan.

Benar. Inilah dalil yang paling sohor. Lalu perkataan نُورٌ (cahaya) itu dijadikan hujah tidak terbantahkan sebagai dalil Nur Muhammad. Begini ya tuan puan. Kita boleh ambil maksud ‘nuur’ itu sebagai cahaya sebagaimana makna zahir, atau kita boleh ambil maksudnya sebagai petunjuk, atau kita boleh juga ambil maksudnya sebagai Nabi Muhammad SAW. Semua pilihan ini memang kita akan jumpa kalau baca tafsir para ulama yang pelbagai. Tiada sebarang masalah. Dari mana datangnya ‘nuur’ itu jadi Nur Muhammad pula? Kalau kita ini orang ‘literalist’, kita gagal faham. Kalau kita ini orang kaki takwil, maka kita gagal faham juga. Sebab apa? Mari lihat ayat penuhnya;


يَٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَٰبِ قَدْ جَآءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ ٱلْكِتَٰبِ وَيَعْفُوا۟ عَن كَثِيرٍ ۚ قَدْ جَآءَكُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyi kan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.

Surat Al-Ma’idah 5:15

Begini ya tuan puan. Kalau kita ambil sebahagian ayat dari Surah Al-Maidah ayat 15 itu dengan jiwa yang bersih, apa mantiknya hendak kita kaitkan ‘nuur’ itu adalah Nur Muhammad? Kemudian, kalau kita baca ayat 15 itu penuh, faham konteks ayat, apa mantiknya hendak kita kaitkan ‘nuur’ itu adalah Nur Muhammad? Kalau kita baca bermula dari ayat 14 hingga 19 Surah Al-Maidah ini yang menejelaskan perihal kesalahan aqidah golongan Nasrani, apa mantiknya hendak kita kaitkan ‘nuur’ itu adalah Nur Muhammad?

Perkataan ‘nuur’ itu, pusing tara mana sekalipun dengan jiwa yang bersih, boleh kita terima sebagai cahaya ATAU petunjuk (hidayah) ATAU Nabi Muhammad SAW. Bagaimana kita membiarkan hawa nafsu kita memutar belitkan kalam lalu mengatakan ‘nuur’ itu adalah dalil Nur Muhammad sebagaimana sering dijaja dan dipertahankan oleh puak melampau dalam beragama dan puak yang gemar membela kefahaman mereka?

Akal kita masih sihat? Atau kita biarkan saja akal kita itu dibelit oleh hawa nafsu kita yang sudah terpedaya dengan belitan Iblis? Begitu sukarkah bagi kita ini hendak membebaskan diri dari belenggu khurafat yang tiada asal? Sesudah kita ini ditarbiah dengan kemahiran dalil aqli sejak diasuh dengan pemikiran Assyairah, kita masih gagal memelihara roh dalam jasad kita ini dengan mantik fikiran yang masuk akal?

Tuan puan bacalah dan dengarlah hujah-hujah yang diberikan oleh mereka yang berpegang kepada kefahaman Nur Muhammad ya tuan puan. Dari segi bahasa, kita kata hujah mereka adalah gagal faham. Dari segi falsafah, gagal faham juga. Dari segi hakikat, gagal faham juga. Faham literal gagal, faham takwil juga gagal, pemikiran jenis apakah yang kita hendak telan ini? Jangan terkejutlah kalau kita menolak pemikiran seperti ini, kita dituduh tidak faham ‘dzauk’ mereka. Kita tidak faham rasa dan pengalaman rohani mereka. Lalu mereka akan kata, kita yang gagal faham. Seolah-olah sukar benarlah bagi kita orang awam ini memahami kalam Allah dan sabda NabiNya. Seolah-olah para ulama muktabar yang menolak kefahaman Nur Muhammad ini juga sama macam orang awam; gagal faham juga?

Kita hendak bersilat kalam dan bermain falsafah jenis apa jika meletakkan sesuatu maksud tidak kena dengan tempat dan konteksnya. Abstrak apa yang kita hendak jadikan kepercayaan dengan kefahaman Nur Muhammad yang penuh dengan cerita penglipur lara yang kita baca dalam kitab? Apa yang kita dapat dengan kefahaman sebegini? Nak kata lebih kenal dengan Nabi Muhammad dengan sebab Nur Muhammad pun tidak juga. Cinta jenis apakah ini jika apa yang diajar oleh Nabi pun kita tidak buat. Bahkan kita gemar pula beramal dengan perkara yang pelik-pelik pula. Allah tidak suruh, Nabi tidak ajar, kita buat; inikah makna cinta kita kepada Allah dan RasulNya?

Begitulah tuan puan sekalian. Potongan surah Al-Maidah: ayat 15 itu, mahupun ayat penuhnya, mahupun konteks ayat surah yang sama dari ayat 14 hingga 19 itu pun boleh diputar balikkan menjadi dalil mereka semata-mata ingin memuaskan kehendak kefahaman Nur Muhammad. Ayat 15 itu adalah yang ringkas. Mari kita lihat ayat-ayat lain yang sering dijadikan hujah sebagai dalil Nur Muhammad; Surah An-Nuur 24:35

burnt candle candlelight dark
Photo by Pixabay on Pexels.com

Cahaya di atas Cahaya?

Mari kita lihat terjemahan lazim Surah An-Nuur 24:35 yang sering ditakwil menjadi berjela-jela untuk menegakkan dalil Nur Muhammad oleh ramai manusia yang mengaku sayang Nabi mereka;

ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشْكَوٰةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ ٱلْمِصْبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىٓءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَيَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَٰلَ لِلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. PERUMPAMAAN (misal) cahaya[Nya] Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang [rayau] seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat PERUMPAMAAN-PERUMPAMAAN (misal) bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Surah An-Nuur 24:35
كَمِشكَوٰةٍ فيها مِصباحٌ (seperti lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar)

Kata kunci bagi ayat An-Nuur 24:35 adalah PERUMPAMAAN. Sedarkah kita dengan perkara ini? Kedua, keseluruhan ayat tersebut itu ayat muhkamat ATAU mutasyabihaat? Ketiga, apa keperluan kita mentakwil ayat tersebut menjadi perkara seputar Nur Muhammad?

Kita faham atau tidak maksud PERUMPAMAAN Allah ini? Ada banyak lagi kan ayat PERUMPAMAAN dalam Al-Quran? Pernah kita takwil pusing sana sini bila jumpa ayat PERUMPAMAAN yang lain? Atau kita ini masih belum khatam Al-Quran sehingga kita sangka ayat An-Nuur 24:35 ini satu-satunya ayat yang Allah beri PERUMPAMAAN kepada manusia?

Begini ya tuan puan. Dalam ayat An-Nuur 24:35 ini Allah membuat PERUMPAMAAN cahayaNya dengan analogi cahaya lampu pelita dalam balang kaca, yang mana pelita itu terletak dalam misqat (lubang yang tidak tembus). Kita pernah belajar sains bukan? Pernah buat pemerhatian sains? Faham atau tidak sifat limpahan ‘cahaya di atas cahaya’ apabila kita nyalakan lampu yang memantulkan cahaya kerana biasan kaca dan pantulan dinding sekitarnya, khususnya jika dinding itu berbentuk misqat?

Kemudian, sedarkah kita, dalam surah An-Nuur ini juga Allah ada beri PERUMPAMAAN lain iaitu ayat 39 (perihal fatamorgana) dan ayat 40 (perihal gelap gulita) pula? Kita pernah lalu atau tidak ayat-ayat yang berkenaan? Ada kita memerah otak dan keringat mahu mentakwil PERUMPAMAAN fatamorgana dan gelap gulita tersebut sehingga keluar berjela-jela falsafah, mantik dan kalam untuk menghuraikannya? Sedarkah kita ayat 35, 39 dan 40 dalam Surah An-Nuur itu saling ada kaitan apabila Allah menerangkan PERUMPAMAAN kepada manusia seputar hidayah Tuhan dan keadaan mereka yang mengingkari petunjuk Tuhan?

Mari kita baca firman Allah SWT dalam surah An-Nuur ayat 39;

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَعْمَٰلُهُمْ كَسَرَابٍۭ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ ٱلظَّمْـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمْ يَجِدْهُ شَيْـًٔا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

Surah An-Nuur 24:39

Kemudian, elok kita baca juga firman Allah SWT dalam surah An-Nuur ayat 40;

أَوْ كَظُلُمَٰتٍ فِى بَحْرٍ لُّجِّىٍّ يَغْشَىٰهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِۦ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِۦ سَحَابٌ ۚ ظُلُمَٰتٌۢ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَآ أَخْرَجَ يَدَهُۥ لَمْ يَكَدْ يَرَىٰهَا ۗ وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورًا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ

Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gulita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.

Surah An-Nuur 24:40

Cuba tuan puan sekalian perbandingan dua jenis PERUMPAMAAN Allah dalam ayat 35 dan ayat 40 itu. Faham atau tidak perbezaan orang yang memperoleh hidayah Allah ibarat diterangi cahaya yang berlapis-lapis (cahaya di atas cahaya) berlawanan orang yang kufur kepada Allah iaitu dilitupi gelap gulita yang bertindih-tindih (gelap berlapis-lapis)?

Kalau kita faham apa itu misqat, apa itu balang kaca, dan faham bagaimana orang zaman dahulu kala mendapat manfaat cahaya misqat, kita tidak akan tercari-cari pelbagai jenis falsafah, mantik dan kalam hendak memahami ayat 35. Jujurlah tuan puan. Pernah kita jumpa falsafah, mantik dan kalam yang berputar belit semata-mata hendak memahami ayat 40? Ada kita jumpa kitab yang begitu susah sekali ditulis lalu disyarah dalam masjid dan surau kepada orang awam supaya faham tafsir gelap gulita yang bertindih-tindih?

Tuan puan sekalian. Biarlah kita jelaskan bahawa ayat 35 dalam surah An-Nuur itu adalah ayat muhkamat ya tuan puan. Ia bukan ayat mutasyabihat / samar-samar. Kecuali jika tuan puan boleh faham ayat mutasyabihaat itu dengan makna lain iaitu ayat SERUPA dengan ayat lain, atau ayat SEUMPAMA dengan yang ayat lain. Jika itu maksudnya, tiada masalah. Tetapi jika tuan puan anggap ayat 35 itu sebagai ayat mutasyabihaat menurut kalam tok guru yang melampau dalam menjalani kehidupan beragama, tanggung sendirilah ya.

Tuan puan pernah tadabbur atau tidak keseluruhan Surah An-Nuur itu? Sudah lihat susunan tema ayat-ayatnya? Tahu atau tidak surah itu dimulai dengan beberapa yang muhkamat dan diakhiri juga dengan beberapa yang ayat muhkamat yang MENERANGKAN beberapa hukum, MEMBERI PENJELASAN peristiwa (rujuk beberapa asbaabunnuzul) dan PELAJARAN yang boleh diambil secara umum dari peristiwa tersebut? Jika belum, kita berikan pautan Tafsir Web yang barangkali dapat membantu tuan puan memahami konteks surah dan ayat yang terkandung di dalam Surah An-Nuur. Sila tekan pautan (pernomboran biru) ayat dalam laman berkenaan untuk membaca himpunan beberapa tafsir pilihan. Kita tidak kata ia benar belaka atau sempurna kerana ia adalah tafsiran ringkas. Memadailah untuk menjinakkan diri dengan tafsir yang pelbagai. Jika tuan puan mahu baca pelbagai lagi tafsir yang berjilid-jilid, sila ke pautan کتاب | BOOK | buku yang kita kongsikan dalam laman sesawang ini.

Jika tuan puan ingin faham konteks asas ayat 35 Surah An-Nuur itu, elok juga baca bermula sekurang-kurangnya dari ayat 34 hingga 36 ya tuan puan. Baca ikut jujukan 34, 35 dan 36. Baca makna. Baca tafsir. Jika tuan puan memang kaki falsafah, gemar bermain kalam sekalipun, ingin melihat jauh ke dalam hakikat roh, jiwa, hati, akal, jasad, rohani dan sebagainya, jadilah ahli falsafah yang waras. Jadilah ahli kalam yang murni. Usah biarkan diri kita dibelenggu dengan pemikiran orang mabuk kalam cinta palsu; dakwa diri fana’ dan lebur dalam cinta Allah, dakwa diri mabuk kepayang cinta Nur Muhammad, sedangkan kembara rohani dan ‘dzouk’ itu penuh dengan kemabukan yang bersulam dengan syubahat akidah yang tiada asal dari Allah dan RasulNya.

Tuan puan sekalian. Selepas perenggan ini kita akan buat selingan ya tuan puan sebelum kita sambung bahasan lebih panjang keseluruhan. Sebab nanti kita akan bahaskan bahawa ‘Cahaya di Atas Cahaya’ dalam Surah An-Nuur ini, kalau kita faham dengan jiwa yang bersih dan hati yang tulus, kita akan maklum ia tiada kena mengena langsung dengan dalil kefahaman Nur Muhammad yang didakwa oleh golongan melampau dalam beragama dan puak mengaku Aswaja+AAA yang lebih sudu dari kuah pula dalam membela golongan tersebut.

Rasulullah Cahaya Atas Cahaya?

Mari kita bersantai sebentar dengan alunan nasyid yang sohor di kalangan orang Islam kita. Ia tersohor juga sebagaimana zikir penenang hati yang di ceritakan di awal tulisan ini tadi. Tajuknya adalah ‘Cahaya atas Cahaya’.

Video 5

Ia adalah nasyid yang mengasyikkan. Biasa kita dengar. Rasa kasih kita kepada Rasulullah. Sekadar hiburan, abstrak seni dan liburan, barangkali tiada sebarang masalah. Tetapi kalau tuan puan melazimi AlQuran, berhati-hati dalam menilai hadith, pasti tuan puan dapat menangkap syubahat yang terkandung dalam lirik nasyid tersebut. Maksud syubahat ini bukan setakat nama Nur Muhammad itu sebagai pemanis mulut dan lagu ya tuan puan. Maksud syubahat itu adalah apa yang terkandung disebalik tabir Nur Muhammad itu sebagaimana telah kita kongiskan dalam Video 2 (Konsep Nur Muhammad: Huraian dan Penjelasan) di awal tadi. Kalau tuan puan belum tonton hampir 4 jam, sila tonton ya tuan puan. Nanti kita bahas benda lain, tuan puan faham benda lain pula.

Kembali kepada nasyid CAHAYA ATAS CAHAYA. Boleh tangkap atau tidak abstrak disebalik liriknya;

Rasulullah cahaya atas cahaya

Menerangi seluruh alam buana

Nur Ilahi bercahaya di langit

Nur Muhammad bercahaya di bumi

petikan lirik CAHAYA ATAS CAHAYA

Kecuali 4 bait rangkap nasyid tersebut, secara umumnya rangkap lain dalam lagi ini tiada masalah. Sangat bagus. Mari tanya diri sendiri maksud Nur Ilahi bercahaya di langit, Nur Muhammad bercahaya di bumi?

  • Firman Allah yang mana dirujuknya?
  • Hadith sahih mana di ambilnya?
  • Falsafah apa dipakainya?
  • Mantik apa diguna olehnya?
  • Kalam apa yang diputarbelit lidahnya?

Kalau kita ini hanya terdedah kepada makam 1,2,3 Ilmu Martabat 7 yang bergentayangan di alam Melayu barangkali kita tidak sedar di manakah syubahatnya. Kalau kita sudah berada di dataran lebih tinggi, iaitu makam 4,5,6,7 ilmu tersebut, kalau kita sedar sekalipun syubahat aqidah, sukar sekali kita melepaskan diri dari belenggu kebebalan beraqidah. Di tahap ‘dzouk’ dan mabuk cinta tidak bertepi itulah kegelinciran akidah yang dahsyat akan berlaku ya tuan puan.

Begitulah lumrah manusia apabila sudah khayal dengan candu agama yang batil. Akalnya entah ke mana? Hendak ada akal bagaimana kalau hidup tidak bersendikan kalam Allah yang haq dan sunnah Nabi Allah yang telah diajar kepada umat Muhammad SAW? Bagaimana tidak mabuk kalau ikut kalam tok guru yang mengajar kalau Nabi ke kanan, tok guru ke kiri, maka murid kena ikut tok guru juga ke kiri? Tok guru ajak kita menyimpang dari jalan Rasulullah SAW pun hendak ikut jugakah? Akal mana?

Video 6

Tuan puan sekalian. Video 2 dan Video 3 kita sudah hidangkan tuan puan sekalian dengan kalam ustaz yang menisbahkan dirinya dengan aliran Assyairah. Video 4 dan Video 6 di atas pula kita hidangkan kalam ustaz yang menisbahkan dirinya dengan aliran Salafus Soleh. Ringkas kata, pandangan Aswaja+AAA vs. pandangan Salafi ya tuan puan puan. Bukan pandangan puak Asamjawa vs. puak Wahabbi ya tuan puan. Salah tu. Puak Asamjawa tidak guna akal. Puak Wahabbi pula membiarkan kekejaman menakluki akal. Tolong berfikir secara objektif boleh? Jadilah pengikut Aswaja+AAA yang guna akal. Nak jadi pengikut Salafi yang guna akal pun boleh. Asal reti guna akal. Tidak kisahlah tuan puan hendak nisbahkan diri kepada golongan mana. Usah jadi golongan Asamjawa dan Wahabi sudah. Faham maksud sindiran kita ini?

Tuan puan sekalian. Terbitan ini sudah panjang meleret-leret. Terpaksa begitulah ya tuan puan sebab kita hendak ajak supaya masyarakat cerdik guna akal. Kita minta maaflah kalau banyak sangat guna bahasa sindiran.

Terbitan ini akan menyusul Bahagian 2 pula. Dengan izin Tuhan kita akan susun keseluruhan ayat Surah An-Nuur dari ayat 34 hingga ayat ke 46 ya tuan puan. Supaya jika kita sibuk sekalipun tiada masa hendak baca tafsir para ulama yang pelbagai, sekurang-kurangnya kita tahu cara memahami Al-Quran dengan kaedah tafsir paling asas; AlQuran mentafsir Al-Quran. Itu asas pertama. Ada kaedah lain, jika tuan puan berminat, sila tonton video di bawah ini oleh seorang awam iaitu Kapten Firdaus bin Abdullah – Tiga Kaedah Tafsir Yang Patut Diketahui;

Video 7

Kita sengaja hidangkan kefahaman AWAM KEPADA AWAM.

Tujuannya apa? Tujuannya nak kata tidak semua orang awam itu jahil dalam agama ya tuan puan. Jahil itu apa? Jahil itu bodoh. Bahasa lembut sikit, jahil itu tidak tahu. Kalau tak mahu orang awam kecil hati, sebut sajalah orang awam jahil. Nanti yang mendengar itu tidaklah rasa dia bodoh, atau tidak tahu. Maksudnya sama juga la kan?

Kita nak tambah juga teguran terbuka secara terus terang kepada para asatizah kita; usahlah kalian anggap orang awam itu tidak layak mengetahui dalil dalam beragama. Terangkan sajalah dalil. Kedekut sangat tidak mahu bagi orang awam sudah kenapa? Susah sangatkah orang awam hendak faham dalil? Takut orang awam sesat sebab tahu dalil Al-Quran dan hadith sahih? Begitu? Atau… [sila habiskan ayat ini menurut kefahaman pembaca sekalian ya].

ALLAH MAHA MENGETAHUI SEGALA SESUATU.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • Makrifatullah – Hakikat, Makrifat dan Martabat Tujuh

    […] Kalau kita hendak kenal diri, hendak kenal Tuhan, rupa-rupanya di bawa pemikiran kita kepada kenal Nur Muhammad, itukah makam makrifat yang kita hendak capai? […]

  • Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (2) – +SANGfikir

    […] persoalan di atas itu adalah soalan yang sama kita bentangkan dalam Bahagian 1 terbitan ini ya tuan puan. Sengaja kita ulang. Ada akal hendaklah kita guna dengan waras. Kita mohon perkara ini […]

  • EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tak Serupa Bikin? +SANGfikir

    […] semua sudah diajar perkara ini. Dari mana muncul kelancangan mulut sebahagian orang menyebut-nyebut Nur Muhammad pula? Bagaimana dibiarkan saja dalam zikir, dalam qasidah dan pelbagai hasil seni karya manusia […]

  • MAULIDUR RASUL: Sendiri Buat Sendiri Tanggung – +SANGfikir

    […] yang tidak diajar oleh Nabi. Dibuat qasidah supaya terhuyung hayang manusia itu memuji sambil memuja Nur Muhammad. Siapakah imamnya. Tidak lain dari kalangan puak-puak yang berlebihan melampau dalam […]

  • Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (3) – +SANGfikir

    […] kaedah awam untuk meluruskan cara beragama, termasuklah isu yang dianggap hal furu’ aqidah; Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (1) dan Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam […]

  • Mengambil Pendirian Status Kitab Al-Ibanah – +SANGfikir

    […] bermazhab Assyari. Cuma kita kita hendak tanya, Imam Abu Hassan Assyaari ada bersungguh-sungguhkan cerita perihal ruh, Nur Muhammad dan pelbagai kisah pelik dalam memahami ilmu hakikat dan mengenal A…? Tanya saja. Tidak perlu jawab! Mari kita tonton pula kupasan seorang lagi ustaz yang mengaku tegar […]

  • Baru Hendak Kecoh: Ajaran Si Hulk Sesat! – +SANGfikir

    […] Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (1); […]

  • Himpunan Ceramah Bahaya Wahabi – +SANGfikir

    […] sesat dan menyeleweng. Yang tidak menyeleweng cuma puak ‘Assyairah celup’ yang menjaja akidah Nur Muhammad dengan bebas keliling kampung sejak zaman berzaman ya tuan puan sekalian. Puak batiniah tidak […]

%d bloggers like this: