Tuan puan sekalian. Setiap tahun kita di Malaysia ini akan bercuti sempena sambutan Maulidur Rasul. Tahun ini kita ada tema istimewa; Sambutan Maulidur Rasul 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran. Mari lihat apa yang menarik pada tahun ini;

… Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, persembahan khas juga diadakan bagi mengambil semangat kecintaan sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW

Tema sambutan Maulidur Rasul 2022 tahun ini bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad …

Katanya, aktiviti dimulakan dengan perarakan kontinjen Maulidur Rasul SAW yang disertai 22 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah penyertaan sekitar 660 orang.

Katanya, majlis turut diserikan dengan acara persembahan nasyid dan pantomim oleh murid dari Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ).

“Acara kemuncak majlis ini adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1444H/2022M iaitu Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Individu, Anugerah Khas Organisasi Kategori Masjid, Surau, Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Menengah Agama, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya…

Sambutan Maulidur Rasul 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

Demikianlah pengisiannya. Kita tidak mahu ulas panjanglah. Cukuplah sekadar bertanya; ini sambutan kelahiran Nabi atau [sila teruskan pertanyaan sendiri]? Jawab sendiri. Elok tonton rakaman sambutan Maulidur Rasul di bawah ini untuk ketahui sendiri sambutan apakah itu;

Kita orang awam ni jangan tanya banyak. Benda bid’ah hasanah, hendak kecoh apa? Benda khilafiyah, hendak gaduh apa? Kita hendak nasihat sedikitlah kepada tuan puan sekalian. Jangan kata bid’ah berkenaan sambutan Maulidur Rasul ini. Sensitif! Baca petikan ini;

Menurut fatwa tersebut, ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan ajaran ASWJ ialah membidaahkan pelbagai amalan dan ajaran ASWJ yang bersifat khilafiyyah (boleh berbeza pandangan).

Antara amalan yang dilarang untuk dibidaahkan ialah majlis perarakan Maulid Rasul, majlis sambutan memperingati Maulid Rasul, berzanji, burdah dan marhaban dan selawat yang tidak warid dalam majlis Maulid Rasul.

– Masih ada pihak beranggapan sambutan Maulidur Rasul perbuatan bidaah? Ketahuilah fatwa peringkat antarabangsa ini

Sedarlah tuan puan sekalian. Kalau tuan puan adalah ahli Aswaja berdaftar atau Aswaja+AAA paksa rela, maka jangan celupar mulut membid’ahkan sambutan Maulidur Rasul ya. Silap haribulan, dapat cop Wahabi!

Guna akal sikit, boleh? Kalau sudah fatwa yang mengharuskan boleh sambut Maulidur Rasul atas alasan bid’ah hasanah, apa maksudnya? BID’AH jugalah kan. Cuma bukan bid’ah dholalah. Ikut takrifan para pencinta bid’ah hasanah, ia memang perkara baru yang diada-adakan. Jadi, ia BID’AH, bukan? Logik akal mana pakai sebut bid’ah itu bertentangan dengan ASWJ? ASWJ tidak pernah baca hadith Nabi? Tidak pernah dengar sabda Nabi perihal bid’ah dan dholalah? Akal mana?

+SANGfikir

Hendak sambut juga Maulidur Rasul persilakanlah. Jangan putar belit ayat Al-Quran kononnya ia adalah perintah Tuhan;

Tuan puan. Tadi itu hanyalah ulasan orang awam. Hendak dengar boleh. Kalau tidak mahu dengar, silalah dengar pula ustaz yang terkenal sebagai pencinta bid’ah hasanah ini pula;

Ya. Dengarkanlah (sambil menyanyi). Ikut suka tuan puanlah kalau mahu sambut juga. Cuma, kita tetap mahu sebut juga;

Maulidur Rasul Tiada Asal Dari Sunnah Nabi

Maulidur Rasul seperti yang kita raikan ala Malaysia setiap tahun ini, tiada asal dari Sunnah Nabi. Itu, tidak dapat dinafi. Tanyalah ustaz yang waras cara fikirnya, jawapannya sama. Tiada asal. Lainlah kalau tanya ustaz pencinta bid’ah hasanah, mungkin lain jawabnya. Nanti akan dikaitkannya juga; ada asal! Alasan sedemikian itu nanti, tuan puan cubalah buat analogi praktik hidup seharian kita ini. Masuk akal?

Jika tuan puan hendak tahu sedikit sebanyak alasan mengapa kita sambut Maulidur Rasul, boleh baca secara ringkas Asal Usul Sambutan Maulidur Rasul. Kalau baca, nampak tulus dan mulus sekali tujuan diadakan Maulidur Rasul. Setiap tahun kita berzanzi, bermarhaban, berqasidah itu, faham atau tidak maksud setiap perkataan Arab yang kita sebut itu?

Tuan puan sekalian ambillah pendirian sendiri hendak turut serta atau tidak dalam sambutan tahunan Maulidur Rasul ala Malaysia. Kita tidak mahu cucuk jarum mahupun cucuk punggung. Kalau ada yang memang suka hidup ibarat lembu dicucuk hidung, maka persilakanlah. Masing-masing sudah besar panjang, sudah beranak cucu. Pandai-pandailah menilai.

Kalau rasa ada faedah untuk diri, sambutlah. Kalau rasa lepas dari program sambutan itu tiba-tiba terus jadi manusia yang bersungguh-sungguh beramal dengan Sunnah Nabi, maka sambutlah. Kalau dengan asbab ikut perarakan Maulidur Rasul menjadikan tuan puan cinta hadith sahih dan benci hadith palsu, maka sambutlah. Ya, sambutlah benda baik, apa salahnya. Begitu?

Macam mana tuan puan sekalian?

Sudah tahu siapa yang memperkenalkan tradisi Maulidur Rasul yang kita sambut setiap tahun itu? Sudah kenal Al-Muiz Lidinillah Al-Fathimi dari Daulah Fatimiyah Mesir? Sudah kenal Raja Al-Muzaffar Abu Said dari kota Irbil, Iraq? Mereka semua itu, Ahlul Sunnah Waljamaah? Mereka itu orang yang terpuji akhlaknya? Tahukah kita apa lagi perayaan sambutan lain oleh para penguasa abad ke-4 dan ke-6 itu perkenalkan kepada rakyat jelata selain Maulidur Rasul?

Lumrah Manusia Suka Berlebihan

Siapakah lagi manusia selain Nabi yang mereka agung-agungkan secara berlebihan? Apakah tujuan semua perayaan itu? Hendak mengingati orang yang diangkat namanya atas perayaan sambutan itu atau untuk menyelitkan agenda mengajak umat supaya berkumpul bersama para penguasa sambil mendengar cerita penglipur lara dan menjamu selera secara besar-besaran?

Sang penguasa dari Daulah Fatimiyah itu buat perayaan kerana terdorong melihat orang Nasrani merayakan kelahiran Nabi Isa AS pada tanggal 25 Disember. Masa bila pula Nabi Isa AS itu lahir pada musim sejuk? Ini benar-benar perkara yang diada-adakan yang tiada asal dari fakta sejarah kelahiran Nabi Isa AS.

Bagaimana pula fakta sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW? Benarkah pada 12 Rabiul Awal? Atau ’12’ itu ada helah lain? Kenalkah kita siapa penulis Sirah Nabi bernama Ibnu Ishaq itu? Pernah tahu bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan tarikh lahir Nabi?

Tahukah kita ada beberapa kebarangkalian tarikh kelahiran Nabi pada bulan Rabiul Awal itu termasuklah 2, 8, 9, 10 atau 12. Yang paling menepati fakta dari segi sejarah dan ilmu falak adalah 9 Rabiul Awal. Lalu mengapa dipilih 12? Adakah sebab 12 Rabiul Awal itu tarikh wafat Nabi? Siapakah yang memulakan perayaan sambutan Maulidur Rasul? Daulah Fatimiyah Mesir itu bermazhab apa? Tidak terdetikkah di hati kalian mengapa 12 Rabiul Awal itu dijaja selama hampir 12 abad lamanya?

Masih lagi mahu ambil fatwa yang mengharuskan sambutan Maulidur Rasul?

Sang Penguasa dari kota Irbil itu beralasan mengadakan perayaan Maulidur Rasul kerana kononnya semakin ramai manusia tinggalkan Sunnah Nabi. Ya, cerdik sangatlah itu. Ajak manusia ke jalan Sunnah Nabi dengan jalan lain dari Sunnah Nabi. Dan kita terima alasan kononnya berhimpun semua para ulama Islam zaman silam dan berduyun-duyun rakyat jelata belajar sunnah Nabi semasa perayaan tersebut. Mahunya tidak berhimpun kalau sudah dipaksa kesemua mereka itu? Mahunya tidak berhimpun manusia kalau sudah mahu dijamu dengan kambing golek, ayam golek, kuda golek dan taburan dinar kepada para hadirin? Semua ini, kerana paksa. Kerana habuan dunia.

Tuan puan pernah fikirkan perkara ini? Pernah cuba guna akal apabila melihat senarai aktiviti yang kita sering lakukan semasa perayaan sambutan Maulidur Rasul? Faktanya apa? Autanya apa? Mahu diajak cinta kepada Nabi atau cinta kepada penguasa yang menganjurkan sambutan itu?

Apa yang disajikan kepada kita? Cara untuk beramal dengan Sunnah Nabi? Atau cara untuk mengagungkan Nabi secara berlebihan dengan pelbagai dongeng penglipurlara perkara pelik lagi ajaib semasa peristiwa kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW? Dicampur gaulnya kisah benar dengan kisah yang dinukilkan dari hadith palsu. Disadurkan kebatilan dengan kebenaran supaya terngangalah orang awam menelan kisah tiada asal.

Tidak cukup dengan sambutan Maulidur Rasul, diadakan pula program lain hari dengan program berselawat dengan cara yang tiada asal juga;

Lalu disuruhnya Putrajaya berselawat. Disuruhnya Melaka berselawat. Retorik semuanya ini. Yang berselawat itu adalah manusia ya tuan puan sekalian. Lalu apakah caranya manusia itu diajak berselawat ke atas Nabi? Diajarnya cara berselawat yang tidak diajar oleh Nabi. Dibuat qasidah supaya terhuyung hayang manusia itu memuji sambil memuja Nur Muhammad. Siapakah imamnya. Tidak lain dari kalangan puak-puak yang berlebihan melampau dalam beraqidah dan mengada-adakan perkara baru dalam ibadat. Bid’ah hasanah katanya.

Laku Keras Menunggang Agama

Kita sedar atau tidak perkara ini? Hendak sedar macam mana kalau bahasa Arab pun tidak faham? Hendak sedar macam mana kalau marhaban pun sebut ikut-ikutan? Hendak sedar macam mana kalau berzanzi itu dalam bahasa Arab? Hendak sedar macam mana kalau tok wali yang cerdas bahasa Arab sudah kata asal maknanya baik boleh saja? Nak sedar diri macam mana?

Tuan puan sekalian. Hendak menghimpun manusia dengan liburan penglipurlara ini salah satu cara paling mudah selain ceramah politik dan perlwanan bolasepak. Aktiviti kena ada makan-makan. Kena ada umpan dongeng dan anugerah tiada kaitan dengan sirah Nabi. Begitulah laku kerasnya bila manusia itu menunggang agama mencari habuan dunia.

Begitulah laku kerasnya menjaja nama Nabi dengan cara yang batil. Seolah-olah berhimpunnya manusia itu belum cukup lagi sembahyang berjemaah lima waktu. Belum cukup lagi sembahyang Jumaat setiap minggu. Belum cukup lagi bergembira menyambut Aidil Adha. Belum cukup lagi melanjutkan Aidil Fitri yang cuma satu hari itu jadi satu bulan lamanya untuk menjamu manusia. Sudah nama manusia, hendak cukup bagaimana?

Masih mahu teruskan amalan tiada asal dari Nabi? Jadi, asalnya dari mana? Asal dari cerita raja zaman silam yang mencari alasan menghimpun manusia atas nama agama. Supaya boleh mencari jalan menghimpun manusia mendengar cerita penglipur lara. Tidakkah ini yang disajikan kepada kita tiap kali adanya sambutan Maulidur Rasul?

Jadi bagaimana tuan puan sekalian? Mahu teruskan atau mahu berhenti, faktanya tetap sama; Maulidur Rasul itu tiada asal dari Sunnah Nabi. Melainkan jika kalau kita ini memang kaki qiyas tidak ikut konteks. Apa kena mengena riwayat Nabi berpuasa setiap hari Isnin kerana baginda lahir pada hari Isnin itu dengan sambutan Maulidur Rasul setahun sekali?

Kemudian para pencinta bid’ah juga gemar beralasan katanya apa masalah sambut hari lahir sendiri, atau sambut hari lahir isteri, anak, ibu dan bapa. Boleh pula? Memanglah boleh. Nanti bila kita dah masuk kubur, mahu sambut jugakah hari lahir. Nanti bila isteri, anak, ibu dan bapa kita sudah meninggal, masih adakah kita hendak raikan hari lahir mereka? Ada? Hujah ke laut sungguh para pencinta bid’ah hasanah itu, kan?

Qiyas ikut akal jenis apakah ini? Begitulah manusia itu kalau ikut hawa nafsu meng-qiyaskan segala perkara. Para ulama ajar qiyas cara lain, kita buat qiyas cara lain. Pernah fikir perkara ini dengan akal yang waras?

Berdepan Perkara Khilaf

Tuan puan sekalian. Seperti kita telah kongsikan dalam beberapa pautan dalam coretan ini, sambutan Maulidur Rasul ini dianggap sebagai perkara khilaf, di kalangan para ulama katanya. Jadi, tidak patut kita mencela sampai bermasam muka kepada saudara kita dan juga memberontak terhadap para penguasa dan tok guru kita yang kerjanya memang suka mengajak manusia berbuat bid’ah hasanah menurut dakwaaan mereka itu sekaliannya. Juga tidak patut bagi kita hendak menahan diri dari berpegang dengan pendirian, sememangnya Maulidur Rasul itu adalah BID’AH jua.

Bid’ah hasanah adalah BID’AH. Jika ianya bukan, sebab apa para pencintanya menngelar perbuatan mereka itu sebagai bid’ah hasanah pula? Faham atau GAGAL FAHAM?

‘Call a spade a spade’; as it is.

Jika ada di kalangan tuan puan sekalian memang gemar menjadi salah seorang pencinta bid’ah hasanah, maka eloklah baca ulasan tema Maulidur Rasul yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM. Sejujurnya selepas baca ulasan tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran itu, apa kaitannya dengan kelahiran Nabi? Di mana dakwaan sambut Maulidur Rasul itu dengan mengenang ulang tahun kelahiran Nabi, yang para ulama berbeza pendapat tarikh sebenar? Apa kena mengena slogan politik Keluarga Malaysia dengan aktiviti mengingati kelahiran Nabi? Akal, ada pakai?

Cuba tuan puan nilai 21 lagi tema yang telah disuapkan kepada kita bersama-sama dengan jamuan Maulidur Rasul sebelum ini;

  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1443H / 2021 : “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1442H / 2020 : “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1441H / 2019 : “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1440H / 2018 : “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1439H / 2017 : ”Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1438H / 2016 : “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1437H / 2015 : “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1436H / 2014 : “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1435H / 2013 : “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1434H / 2012 : “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1433H / 2011 : “Satu Malaysia Satu Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1432H / 2010 : “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1431H / 2009 : “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1430H / 2008 : “Insan Cemerlang Insan Terbilang”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1429H / 2007 : “Insan Cemerlang Insan Terbilang”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1428H / 2006 : “Keunggulan Ilmu Teras Kegemilangan Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1427H / 2005 : “Negara Maju Matlamat Kita”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1426H / 2004 : “Kedatangan Muhamad Rasulullah Membawa Rahmat Kepada Alam”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1425H / 2003 : “Bersama Hayati Keindahan Islam”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1424H / 2002 : “Perpaduan Pemangkin Ummah”
  • Tema Sambutan Maulidur Rasul 1423H / 2001 : “Perpaduan Pemangkin Pemangunan Ummah”

Selain satu atau dua sahaja, slogan lainnya yang menggunakan bahasa Arab yang sudah di-Melayukan itu, hendak ingat kelahiran Nabi, atau hendak ingat agenda politik?

Wahai politikus sekalian. Tidak cukup lagikah segala jentera kerajaan dan ceramah kalian hendak menerangkan agenda kalian kepada rakyat jelata? Tiada jati dirikah kamu? Masihkah kalian menunggang nama Nabi Muhammad SAW yang mulia itu sebagaimana para penguasa Daulah Fatimiyah dan Raja Kota Ibril itu melakukan perkara yang sama?

Begini sajalah kalau memang sudah mahu jadikan Maulidur Rasul itu bid’ah hasanah sampai kiamat. Hentikan sajalah tema-tema berbaur politik itu. Bersihkanlah unsur-unsur syubahat dalam marhaban, berzanzi, burdah dan qasidah itu. Murnikanlah lirik atau bacaannya. Tiadakah dalam kalangan cerdik pandai agama yang faham perkara syubahat yang terkandung di dalamnya. Sudah berabad lamanya, mengapa hendak teruskan tradisi syubahat dalam lirik dan bacaan itu?

Jika benar mahu teruskan bid’ah hasanah, biarlah benar-benar hasanah. Hentikanlah segala macam anugerah tiada kena mengena dengan kelahiran Nabi itu. Hentikanlah perarakan tiada faedah sekaliannya. Hendak tunjuk apa?

Perarakan di atas jalanraya bawa sepanduk dan bermacam benda hiasan itu, apa faedahnya?Adakah jadi semakin tebal cinta kepada Nabi? Adakah jadi semakin cerdik beramal ikut Sunnah Nabi? Hentikanlah cerita penglipurlara tiada asal. Hentikanlah membodohkan umat Islam. Hentikanlah menjaja 12 Rabiul Awal itu sebagai tarikh pasti kelahiran Nabi. Perkara tiada kepastian, hendak jaja jugakah?

Jika benarlah hendak mengingati kelahiran Nabi, memadailah jadikan bulan Rabiul Awal itu bulan yang mulia, sebagai ingatan salah satu hari dari bulan itu adalah hari kelahiran dan kewafatan Nabi. Berterus terang sajalan kepada orang awam bahawa Maulidur Rasul itu adalah sambutan budaya, bukan sambutan agama yang dianjurkan oleh Nabi. Begitu sukar sekali kita hidup ini tidak tahu beza tradisi, budaya atau agama?

Simpan sajalah tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran itu untuk sambutan Maal Hijrah. Berilah anugerah sebesar gunung kepada sesiapa pun kalau hendak sangatlah menghimpun manusia. Jelaskan jugalah sambutan Maal Hijrah itu hanyalah budaya. Ia bukanlah perayaan agama. Orang awam bukan hendak mengamuk pun kalau tahu kalendar hijrah itu asalnya diambil daripada bulan-bulan yang digunakan oleh kaum Musyrikin zaman jahiliyah berkurun lamanya sebelum berlaku peristiwa hijrah baginda Nabi ke Madinah.

Susah sangatkah hendak mengajar orang yang sudah Islam itu beragama? Susah sangatkah hendak berlaku jujur kepada awam supaya jelas beza agama dan budaya? Atau penguasa dan cerdik pandai itu sekaliannya memang gemar mengasimilasi budaya dalam agama? Untuk tujuan apa?

Sudah berabad-abad lamanya Islam bertapak di Nusantara ini, masih lagi guna alasan para Wali Songo mengasimilasikan agama dalam tradisi dan budaya masyarakat untuk berdakwah? Masih mahu biarkan orang awam terperangkap hanyut dalam urusan agama yang bercampur baur kebenaran dan kebatilan? Sudah berbilion wang dibelanjakan atas nama kemajuan Islam, masih gersang cerdik pandai agama yang tahu memurnikan agama Islam anutan awam dari perkara tiada asal yang jelas batil? Masih mahu bermain kalam takkanlah ulama Nusantara zaman tok nenek moyang kita salah dalam urusan agama?

Masih tidak faham lagi urusan nenek moyang kita itu terserahlah kepada Allah menilai amalan mereka? Masih tidak faham urusan agama kita hari ini, kita semua yang akan menanggungnya?

Dalam urusan politik, pandai pula kita menyahkan amalan tiada faedah dan membazir harta negara. Pandai pula ajar masyarakat supaya memupuk amalan baik dalam urus tadbir negara. Dalam urusan agama, kita masih belum cerdik lagi selepas berabad lamanya untuk melakukan perkara sedemikian rupa demi memelihara kesucian agama? Akal mana? Cakap serupa bikin?

Ya. Jika benar alasan Maulidur Rasul itu hendak ajak umat mengingati Nabi, mengenal Nabi, hentikanlah dongeng politik dan penglipur lara dalam pengisian program. Buat forum seperti di bawah ini, ada manfaatnya juga;

Kan elok kalau kita muhasabah diri. Sambut hari lahir Nabi, kalau sunnah Nabi tidak mahu ikut juga, macam mana?

Macam mana tuan puan sekalian? Jiran sebelah kita tak buat perarakan. Mereka buat majlis Forum Zikra Rasul. Zikra itu apa? Mengingati juga. Kita hendak mengata ‘Wahabi tidak mengaku Wahabi‘ pun buat bid’ah hasanah juga? Eh, benda baik, apa salahnya? Kita juga yang kata, kan?

Noktah.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • PRU15: Keputusan dan Analisa Pilihanraya Umum Ke-15

    […] bila keluar kenyataan rasmi mesti ada bahasa lain pula? Hendak buat macam mana kalau memang agama itu sedap ditunggang untuk mendapatkan pengaruh […]

%d bloggers like this: