Tuan puan sekalian. PRU 15 kita belum tahu bila lagi. Yang nyata, kempen al-intikhabatul ‘aammatul khamisatu ‘asyara sudah bermula sejak 3 tahun lalu. Faham atau tidak? Kalau faham tahaluf siasyi, faham tasamuh, bahkan faham ta’ayush, takkanlah tidak faham al-intikhabatul ‘aammatul khamisatu ‘asyara pula? Nak sangat cakap Arab kan?

Ya tuan puan sekalian. Kempen al-intikhabatul ‘aammatul khamisatu ‘asyara sudah lama bermula. Sebab itu, keputusan dan analisa Pilihanraya Umum Ke-15 itu sudah kita boleh gebang ya ahlul politikus sekalian. Benda senang nak faham;

“History does not repeat, but it rhymes”

Pada tanggal 6 Oktober 2022, maka berkampunglah para pemberita di Istana Negara. Kononnya Perdana Menteri akan mohon pembubaran Parlimen untuk beri jalan kepada rakyat memilih kerajaan yang teguh, ampuh, mantap dan tegap. Untuk membantu rakyat menghadapi masalah kemelesetan ekonomi global yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

Kita tunggu sajalah apa saja ya tuan puan sekalian. Bila kata tunggu, maka kita kata tunggu sungguhlah. Tunggu dan lihat sajalah. Tidak perlu buat apa-apa. Lebih baik kita jaga rumah dan harta benda kita hendak hadapi jangkaan musim tengkujuh dan banjir.

Bila sudah keluar pengumuman, PM: Agong perkenan parlimen bubar hari ini, maka dapatlah kita melihat tikus-tikus mula melatah. Yang paling hebat adalah DUN bawah PH tak dibubar serentak: Salahkan Umno, kata Loke. Nak lebih hebat lagi, boleh baca kelentong bakal perdana menteri kita yang juga merupakan bekas banduan sebanyak dua kali; KATA MP | PH bersedia berdepan pihak ‘curangi’ mandat rakyat. Dia punya sembang, memang tahap gaban. Bagi alasan banjir siap-siap, kalau kalah nanti, semua salah UMNO. Memang langkah Kajang menuju masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di Sungai Buloh jua adanya.

Kalau tuan puan memang pencinta ‘bakal perdana menteri selamanya’, eloklah telan saja retorik mandat rakyat itu. Kita hendak nasihat pun apa gunanya? Jam omega mana? Dengarkanlah dengkang politik khemah besar itu sekaliannya. Nanti, bolehlah kita semua berta’ayush sesama kita. Susah sangat, kita sama-sama masuk gua saja.

Tolong ingatkan politikus pujaan kita itu supaya jaja mansuh tol, mansuh hutang, mansuh kesusahan rakyat jelata sekaliannya. Itu sajalah kan modal laku keras mereka, kan? Tolong ingatkan juga, menang nanti, jangan sibuk gugur kes kroni pula. Jangan lantik Peguam Negara tidak tahu berbahasa hingga 67.5 billion kena bayar saja-saja. Atau terlajak pandai biarkan orang Johor berputih mata lihat Pulau Batu Putih hilang begitu saja. Cerdik sangatlah kononnya. Dia punya cerdik, buat silap bodoh pun orang lain yang disalahkan juga. Cerdik apa nama?

Kena ingatkan juga. Jangan batalkan projek semata-mata hendak tukar kontraktor kroni pula. Macamlah rakyat jelata itu bodoh sekaliannya seperti ‘raykat’ jua. Tolong jangan batal perancangan sedia ada projek tebatan banjir sebagaimana cerdik puak mereka itu sekaliannya batal Canal City sampai teruk orang Selangor menghadap banjir saban tahun. Kena ingatkanlah ya. Jangan asyik kecoh pasal banjir tapi tak tahu cara menanganinya. Jadi Ketua Menteri, kalau setakat tahu menangis lihat banjir, apa faedahnya?

Polikus Pengecut Mula Gebang Besar

Banjir, kalau berlaku, akan berlaku juga sebagaimana sunnatullah ya tuan puan sekalian. Banjir atau tidak banjir, bencana atau tidak berlakunya bencana, kita sebagai manusia kena hadap juga. Kalau berlaku banjir, politikus semua itu pergilah tolong rakyat yang kesusahan. Bukannya bawa bot melancong sampai penuh muatan. Macam tidak pernah kenal banjir. Macam tidak tahu kesusahan orang yang kena banjir. Hendak tolong selamatkan orang pun tidak boleh, hendak bawa penyokong sendiri ke pusat mengundi pun tidak boleh juga. Bot penuh dengan pelancong politik, nak tolong macam mana?

Faham atau tidak sindiran itu?

Sebab itu tuan puan. Buat kerja kena ikhlas. Bukannya malas. Dengarlah pesan orang lama;

Beberapa hari sebelum Parlimen bubar, kita sudah dengar macam-macam nasihat kepada Yang Dipertuan Agong Malaysia ini supaya dengar rintihan rakyat. Rintihan rakyat atau rintihan politikus? Nasihat paling cerdik kita dengar boleh tuan puan baca di pautan KATA MP | Krisis perlembagaan jika Agong enggan bubar parlimen? Itu belum kira lagi petisyen tidak diundang kepada YDP Agong yang boleh kita baca di pautan Rafizi lancar petisyen bantah PRU musim tengkujuh. Kaki masuk gua ini kalau keluar kenyataan, gajah duduk pun boleh terbang.

Macam mana pula dengan geng katak? Sibuk hendak nasihat juga; PN ministers petition Agong to hold off polls. Hendak nasihat buat apa kalau yakin sangat menang besar nanti?; Saya yakin selepas PRU15 adalah kerajaan PN – Azmin. Katak-katak ini semua elok diam sajalah. Menang jadi katak, kalah jadi mati katak. Hendak berdengkang, duduk dalam kolam sajalah!

Puak-puak ini buat ‘pre-emptive move’, senang nak bagi fahamlah ya tuan puan. Kuat bagi nasihat kepada YDP Agong, sebagaimana mahaguru mereka juga nasihat kepada YDP Agong tidak lama dulu. Cerdik sangat mereka ini semua seolah-olah YDP Agong kita tidak cerdas akalnya. Janganlah hendak samakan kecerdasan YDP Agong berbanding politikus itu semua. YDP Agong kita cukup cerdas berakal untuk menimbang budi bicara sebagai Ketua Negara demi kebaikan rakyat. Tidak perlulah beri nasihat tidak diundang.

Apabila YDP Agong memperkenan Parlimen dibubarkan, tentulah baginda sudah pertimbang segala kemungkinan. Ini termasuklah Agong kecewa situasi politik, tiada pilihan selain perkenan. Jadi, para politikus yang dulunya tidak sabar hendak serah mandat kepada rakyat sebaik berlakunya Langkah Sheraton, tidak usahlah kecoh sangat. Untuk kebaikan rakyat jugakan? Takkanlah kamu sekalian hendak biarkan rakyat terrkapai-kapai hadapi banjir dan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dengan kerajaan pintu belakang, kerajaan gagal dan kerajaan lemah juga? Akal, ada pakai?

Jika nanti mahu adakan PRU15 selepas bencana banjir, keluar pula alasan bencana ekonomi dunia. Nanti keluar pula syarah tidak sesuai PRU semasa kemelesetan. Kena tunggu kerajaan barai urus bencana baru sesuai, begitu? Supaya senang hendak kempen atas kelemahan orang lain. Kekuatan sendiri, ada? Kuat gebang, adalah!

Kita orang awam ini cerdik sikit, boleh?

Politikus yang bagi macam alasan tidak mahu PRU15 itu, bukan hari ini lagi ceritanya ya. Dua tahun lepas lagi. Tahun lepas lagi. Awal tahun ini lagi. Awal tahun depan lagi. Awal abad ke-30 lagi pun macam-macam alasan akan dihamburkan suruh kita telan. Sebab itu kita kata, yang tidak cerdas ini politikus juga. Cerdasnya cuma satu, merebut kuasa. Sudah dapat kuasa, berebut pula sesama sendiri. Itulah saja tahap kecerdikan mereka.

Tuan puan hendak telan alasan politikus pengecut seperti itu silakanlah. Macam-macam alasan. Sampai nanti kita kena hadap pula Pilihanraya Negeri lepas PRU15;

…. sekiranya PRU diadakan, hanya akan membabitkan parlimen di seluruh negara serta pilihan raya negeri di Pahang, Perak dan Perlis.

Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri manakala Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terenggau dan Kedah ditadbir oleh PH dan PAS.

Laporan: PM menghadap Agong petang tadi mengenai pembubaran parlimen

Maka bergembiralah kita rakyat jelata sekaliannya sebab akan berterusan disogokkan dengan pesta lompat katak dan lelong pasar jual beli kuda sehingga 2025 nanti. Bergumbiralah kalian semua!

person dropping paper on box
Photo by Element5 Digital on Pexels.com

Keputusan PRU 15

Sebab apa? Sebab keputusannya sudah kita jangkalah. Pi mai pi mai tang tu juga. Pi mai pi mai jumpa katak juga. Kalau tak jumpa katak pun, kita akan jumpa pasar jual beli kuda pula.

Macam ini sahajalah nak faham. Sama ada Akta Lompat Parti berkuatkuasa atau tidak, tikus-tikus kotor itu ada juga. Katak-katak itu wujud juga. Kalau tidak melompat sorang-sorang, dia akan lompat secara berjemaah pula. Apa faedah buat akta lompat parti itu?

Kita tidak tahulah berapa umur tuan puan yang membaca ini. Tetapi, mana yang sempat hidup sampai ke ‘5 series’ macam tukang tulis ini, tahulah kita hendak meramal bentuk PRU 15 nanti. Ramal saja pun. Bukan suruh berjudi. Ramalan itu kadang tepat, kadang ke longkang juga. Sama ada tepat, atau ke longkang, hidup kita macam ini juga. Politikus yang kita sokong itu kalau menang, dia juga makan elaun Ahli Parlimen sampai ke tua bangka. Kita yang sokong dapat apa? Boleh tumpang sekaki ke elaun Ahli Parlimen tu bila kita bersara?

Hikayat Bumipura Epik PRU15 +SANGfikir
Hikayat Bumipura – EPIK PRU15 karya +SANGfikir

Analisa PRU 15

Nanti sudah keluar keputusan, bolehlah kita baca analisa berjela-jela keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15. Bacalah sampai termuntah. Ceritanya akan sama juga. Nanti keluar juga analisa Undi Popular. Nanti digebangnya seolah-olah kita di Malaysia ini undi PRU 15 sebab hendak pilih Presiden Malaysia. Gebang macam ni, gajah terbang pun boleh jatuh ya tuan puan sekalian.

Hendak mudah faham beginilah ya. Setiap kali pilihanraya, maka gegak gempitalah seluruh negara mencanangkan bakal Perdana Menteri pilihan. Maka berkempenlah semua parti seolah-olah ini adalah pilihanraya Presiden Malaysia. Itu kita kata. Tahu sebut saja demokrasi. Bangga sangat jadi rakyat negara demokrasi. Tetapi tidak baca Perlembagaaan negara. Tidak faham sistem pilihanraya ‘firstpast-the-post‘ yang terpahat dalam perlembagaan. Bisingnya bukan main. Fahamnya satu habuk pun tiada. Sebab itu, bila kalah pilihanraya, mula jaja ‘popular vote’ pula. Hendak kelentonglah pihak yang menang itu menipu kononnya.

Suruh belajar sejarah negara tidak mahu. Dia belajar pula sejarah negara lain. Sebab itu sampai ke umur tua, tidak faham-faham juga. Pilihanraya negara Malaysia mahu pilih wakil setiap Parlimen untuk mewakili penduduk. Bukan macam pilihanraya Indonesia atau Amerika hendak pilih Presiden. Hendak faham macam mana tuan puan sekalian. Eja perkataan RAKYAT pun jadi ‘RAYKAT’. Memang kita tidak boleh hendak tolonglah puak-puak bebal seperti itu.

Apa lagi analisa akan keluar? Analisa pecahan kaum yang mengundi. Yang kuat melalak Bangsa Malaysia itu nanti, kaki undinya pun bukan faham bahasa pun. Yang kuat melalak jaga bangsa itu nanti, kaki undinya kena tindas juga oleh bangsa sendiri.

Dari analisa pecahan kaum mengundi, nanti ditambah pula pola mengundi ikut umur. Sudah boleh agak analisa ke mana? Akan dibentangkan pula ramalan kesan dari keputusan PRU15. Nanti keluarlah pula kisah sedih apa hendak jadi dengan nasib anak cucu kita. Nak sedih buat apa? Nasi sudah jadi bubur!

Ramalan itu nanti, sampai PRU16 nanti pun belum tentu habis. Maklumlah, orang kita kan semuanya ini kuat sembang politk. Hendak buat macam mana?

assorted flags
Photo by Thilipen Rave Kumar on Pexels.com

Apa Faedah Mengundi?

Tuan puan sekalian faham atau tidak sistem demokrasi yang kita laksanakan dalam negara ini? Cuba cerita sedikit apa faedah kalian mengundi selama ini? Cer-citer?

Pola pengundian PRU15 nanti, sudah boleh diduga di kalangan ‘pengundi otai’. Atas dasar perkauman dan agama juga. Hendak buat macam mana kalau yang mendakwa Bangsa Malaysia pun puak-puak itu juga? Hendak buat macam mana kalau gebang Bangsa Malaysia bila keluar kenyataan rasmi mesti ada bahasa lain pula? Hendak buat macam mana kalau memang agama itu sedap ditunggang untuk mendapatkan pengaruh juga?

Yang sukar diduga adalah pola para pengundi muda. Merekalah yang akan mencatur pemenang pilihanraya. Mereka jugalah yang akan menanggung bala atas pilihan jiwa muda. Mereka jugalah yang akan mendapat laba harta rampasan perang pilihanraya. Tuan puan dapat apa? Dapat laba atau bala? Jadi tuan puan sekalian yang sudah otai tidak lagi remaja, serahkanlah saja urusan pilih perwakilan kepada orang muda.

Budak-budak muda, bila keluar mengundi habis disapunya undi otai sekalian sampai tidak ada nilai lagi. Yalah. Bilangannya pun sangat ramai tidak terhitung. Sanggup harung banjir pun kudratnya kuat lagi. Yang kuat berlakon pun boleh tahan juga. Apa yang boleh kita harapkan kalau kapten kapal mereka terpalit dengan kes songlap duit pun diangkat jua jadi nakhoda? Apa boleh kita harapkan dari perkumpulan manusia muda yang tidak mahu baca dan amal kitab suci masing-masing ini nanti apabila menjadi para penguasa? Apa kita fikir puak-puak seperti ini bila berkuasa akan menjadi malaikat pula?

Nak harap apa kalau belum apa-apa sudah tutup mata terhadap kebobrokan akhlak para pemimpin mereka? Nak harap apa?

Golongan muda inilah yang lari masuk gua bila lihat majlis orang tua-tua ditubuhkan untuk mengemudi negara. Sudah lupa? Golongan muda inilah yang berdiam diri saja melihat pendakwaan terpilih dan pengguguran kes terpilih berlaku di depan mata. Sudah lupa? Golongan muda ini jugalah yang kuat makan atas bawah kiri kanan depan belakang sambil berpaut di kaki penguasa tua bangka. Sudah lupa? Golongan muda inilah yang telah mengorbankan idealisma politik dengan mendiamkan diri melihat pemimpin mereka berlepas diri dari menunaikan janji bulan bintang kepada rakyat jelata? Sudah lupa? Bau hancing, masih ada?

Sedarlah tuan puan sekalian. Yang namanya politikus itu, tua bangka, muda remaja atau miskin kaya, perangainya macam itu juga. Jadi, hendak mengundi juga? Faedahnya apa?

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu +SANGfikir

    […] Ia terkait dengan JERAT yang sudah membelenggu pemikiran kita selama ini. Cukup-cukuplah kita ini terjerat dengan adu domba politik, urusan agama pun hendak terjerat […]

  • ‘Perang Ustaz’: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?+SANGfikir

    […] WALJAMAAH? ini dijangka akan berlangsung tahun depan ya tuan puan; 11 Februari 2023. Barangkali selepas PRU15, atau semasa PRU 15, atau sebelum PRU 15. Lambat lagi. Jadi, tenang-tenang dahulu. Usah teruja sangat. Dialog saja pun. Bukan pertandingan […]

  • KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu +SANGfikir

    […] learned”. Ilmu sebegini pun ada faedahnya juga. Ia boleh pakai untuk keluar dari taksub kepada bakal perdana menteri Malaysia. Supaya tidaklah kita buang akal tidak tentu pasal. Sudah jelas politikus kesayangan kita itu tiada […]

  • PRU15: Keputusan dan Analisa Pilihanraya Umum Ke-15 – Siri 2

    […] puan sekalian. Dalam coretan sebelum ini, kita sudah nyatakan; politikus itu, tua bangka, muda remaja atau miskin kaya, perangainya macam […]

%d bloggers like this: