Tuan puan sedar atau tidak selama ini kita disuapkan dengan fakta yang kurang tepat menjelaskan peranan aliran Assyairah dan AlMaturidiah menurut apa yang kita diajar itu. Salah satunya adalah seolah-olah kedua-dua aliran itu, atau gabungan keduanya yang sohor digelar Assayirah AlMaturidah adalah benteng agung mempertahankan aqidah pada zaman kekuasaan puak Muktazilah. Itu semua tidaklah sungguh bagai dikata kalau tuan puan sekalian menelusuri fakta sejarah.

Kita himpunkan di sini beberapa siri penjelasan oleh Ustaz Wan Syukri berkenaan beberapa fakta penting yang jarang diterangkan secara jujur kepada kita orang awam yang dipaksa menjadi Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturidah AlGhazaliah (Aswaja+AAA).

Sebelum tonton, kita hendak pesan. Usah sentap sangat. Dengar, kemudian nilai sendiri. Hujah yang dibentangkan oleh ustaz itu, lengkap dengan kitab-kitab rujukan supaya kita boleh menyemaknya kemudian. Sila buat catatan ya.

Macam mana tuan puan? Mahu percaya atau tidak kalam ustaz yang langka kita dengar ceramahnya ini? Mahu tolak begitu saja dakwaan sang ustaz sebab terlalu tebal cinta kita kepada penglipurlara dalam masjid dan surau? Nasihat kita, semaklah sendiri dakwaan ustaz dengan membuat semakan terhadap kitab-kitab yang dikemukakan. Kemudian, buatlah keputusan dengan waras.

Sedarlah tuan puan sekalian. Yang menjadi benteng aqidah adalah aliran pemikiran para ahlul hadith seperti Imam As-Syafie dan muridnya Imam Ahmad Hanbal, bukannya aliran ahlul mutakallimun sebagaimana diberitahu kepada kita sejak kecil hingga beranak cucu. Inilah fakta yang digelapkan dari pengetahuan kita selama ini. Terimalah kebenaran biarpun pahit.

Sesudah menonton ketiga-tiga siri video di atas, apa pandangan tuan puan tentang perkara yang kita telah sebut dalam terbitan sebelum ini berjudul KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu?

Benarkah dakwaan yang diajar kita selama ini bahawa pemikiran ulama salaf termasuk imam mazhab kita yang empat semua itu sejalan pemikiran aqidah dengan golongan yang taksub dengan aliran Assyairah AlMaturidiah? Mengapa kita tidak pernah disuapkan dengan kalam-kalam imam mazhab yang empat itu dalam bab aqidah? Imam yang empat itu bukan ahli aqidah, begitu?

Pernahkah kita terfikir mengapa kita diasuh bersungguh sungguh oleh para penguasa agama supaya wajib berpegang kepada Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturidah AlGhazaliah (Aswaja+AAA). Diulang-ulang beribu kali seolah-olah kalau kita tidak berpegang kepada Aswaja+AAA, boleh sesat kita ini jadi Mujassimah dan Musyabihah? Boleh jadi kafir kita ini? Mengapa? Kalau sebut Ahlul Sunnah Waljamaah (Aswaja) sahaja, tidak memadaikah? Jika benar bagai dikata bahawa para imam mazhab yang empat; Imam As-Syafie, Imam Hanbali, Imam Malik, Imam Abu Hanifah; kesemuanya itu berhujah dengan cara ahlul kalam, mengapa perlu sebut juga Assyairah AlMaturidah AlGhazaliah (+AAA) itu? Cuba fikir sejenak, boleh?

Tuan puan jangan salah faham maksud kita ya. Seperti kita telah jelaskan dalam terbitan sebelum ini, hargailah apa jua ilmu yang telah kita belajar, termasuklah kefahaman aliran Assyairah AlMaturidiah yang telah kita diasuh sejak sekian lama. Kita juga telah jelaskan, berlapang dadalah menerima penjelasan pihak satu lagi yang sering kita cemuh sebagai golongan ‘literalist’ itu. Bahasa lembutnya; Puak Salafi, bukan Salah-Pi. Bahasa kasarnya pula; puak Wahabi. Hendak kasar lagi, sebutlah Wababi atau Wahabiol pula. Begitu lancang mulut kita mengata begitu terhadap orang yang tidak sependapat dengan kita? Pernah tanyakah puak yang kita cemuh itu, mereka sokong atau tidak pergerakan politik Wahhabiyah itu? Atau pak lebai kita tidak tahu beza gerakan politik dengan mazhab dalam beragama? Cerdik sangatlah mengajar orang awam sebegitu?

Sebab apa tuan puan sekalian? Sebab, puak yang selalu kita cemuh itu, bila berhujah, mereka tunjuk dalil, tunjuk kitab, tunjuk buku, nukil sana sini. Puak kita pula, bila berhujah, sedih mengenang nasib nenek moyang, mengadu jadi mangsa, kitab tidak buka juga, rujukan tidak tunjuk juga. Yang kita selalu dapat, air liur sahaja. Kalau dapat nukilan pula, nanti ditakwilkan sana sini. Nanti di-qiyas sana sini. Yang kena dengan nafsu kita, dibentangkan. Yang tidak kena dengan tradisi kita, disembunyikan pula.

Tuan puan hendak teruskan hidup menelan apa saja yang disuapkan atau mula hendak belajar cara yang betul menukil kalam para ulama sebelum menetapkan keputusan?

Macam mana tuan puan? Nampak tak beza para penglipur lara berhujah dengan orang yang memang beri bukti berhujah? Cara penglipur lara, tidak mahu ditunjuk kepada orang awam satu persatu kitab. Kita orang awam hendak semak pun sukar, benarkah bagai dikata, atau habis diputar belit segala kata? Cara puak yang kita benci sangat itu, tunjuk satu persatu kitab. Analisa satu persatu perkaitan kalam para ulama. Kalau dia kelentong pun, kita masih boleh semak lagi dalam kitab.

Sudah nampak atau tidak beza ilmu disampaikan kepada orang awam dalam perang ustaz secara terbuka hari ini?

Jadi, tuan puan yang membaca ini, fikir-fikirkanlah ya. Kita semua ini orang terpelajar. Kita hendak hidup dengan air liur, atau hendak hidup dengan bukti yang nyata?

Kita hendak mula muhasabah diri, atau kita hendak teruskan hidup taksub dengan ilmu yang didakwa mengangkat kecerdikan akal kita?

Berebut Kalimah Allah dengan Orang Bukan Islam

Darihal taksub kepada kecerdikan akal sendiri inilah juga kita lihat para penguasa agama kelihatan seolah-olah takut dengan bayang-bayang. Sehingga bergaduh dengan orang bukan Islam perihal kalimah Allah. Seolah-olah kalimah Allah itu hanya layak disebut oleh orang yang beriman. Seolah-olah masih belum faham Al-Quran biarpun setiap tahun menganjurkan Quran Hour dan Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa. Seolah-olah tidak pernah bertemu sepotong pun ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa orang-orang Musyrikin dan orang-orang kafir mengaku Allah itu Tuhan mereka. Seolah-olah tidak pernah terbaca ayat yang mengesahkan bahawa Allah itu Tuhan sekalian manusia. Itulah akibat guna akal berlebihan sampai ayat-ayat muhkamatun dalam Al-Quran pun tidak faham-faham juga.

Tuan puan sekalian, nampaknya segala ilmu Sifat 20 dan Sifat 50 yang dicurahkan kepada orang awam sejak berkurun lamanya itu masih gagal menjadi benteng aqidah orang Islam. Sehingga perlu bagi penguasa itu naik turun mahkamah menghalang penggunaan kalimah Allah di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak dibenarkan pula. Tuan puan silalah bertanya kepada para ulama yang dikatakan takut kepada Tuhan itu, yang menjadi penasihat kepada penguasa mereka, hukum akal apa mereka pakai sampai ada 2 kaedah berlainan berhadapan dengan orang bukan Islam isu kalimah Allah itu? Pendekatan hikmah? Pendekatan politik?

Tuan puan sekalian. Isu kalimah Allah itu tidak sepatutnya timbul kalau para penguasa dan tok guru kita tahu mendidik umat cara memahami Islam dengan betul. Sepatutnya biarkan sajalah sesiapa pun manusia hendak menggunakan kalimah Allah dalam kitab mereka. Hendak sebut nama Allah itu hak asasi manusia seluruh dunia, tidak kita apa pun agama mereka. Ada Allah larang? Ada Nabi larang? Manusia jenis apakah ini yang memandai hendak larang perkara yang Allah dan Nabi Allah tidak larang? Kita umat Islam sentap sangat sudah kenapa? Masih belum kuat aqidah lagikah selepas belajar ilmu kalam, Sifat 20 dan Sifat 50? Masih takut bayang-bayang sendiri?

Sila pilih jalan sendiri, dan tangunglah sendiri

Adakah tuan puan masih anggap para penglipur lara yang kuat bermain sentimen tok nenek moyang itu itu tinggi akalnya? Kuat imannya sebab berpegang kepada satu saja aliran aqidah yang Allah tidak pernah ajarkan olehNya, yang Nabi Muhammad SAW tidak pernah mentarbiyah umatnya? Tuan puan masih hendak mengharap mereka itu jaga aqidah tuan puan sekalian? Fikir-fikirkanlah.

Apapun kita hendak pesan begini. Sudah lazim kita diajar Aswaja+AAA, tidaklah bermaksud tiada guna segalanya. Jadikanlah ia ilmu bermanfaat. Usah belebihan sehingga seolah-olah Aswaja+AAA itu mutlak kebenaran. JANGAN TAKSUB. Kepada golongan yang mendakwa Salafi, usahlah terlalu berkeras berlebihan pula. Eloklah baca penilaian seimbang di pautan SALAFIAH, ASYA’IRAH DAN AHLIS SUNNAH WAL JAMAAH.

Lapangkanlah dada pelajari semua ilmu. Yang elok, ambil. Yang melampaui batas, buang saja. Itulah peranan akal kita. Faham?

mukadimah | blogکتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • CURANG AKADEMIK? Isu Tukar BERSEMAYAM kepada ISTAWA اسْتَوَى
    Reply

    […] mana, kalau kita sendiri cipta falsafah mengenal Tuhan yang Allah tidak ajar, Nabi tidak ajar. Sebab itu terbelit dengan kalam sendiri, lalu tuduh orang lain Mujassimah atau Musyabbihah pula. Puak yang kena tuduh itu faham lain, kita mengata yang lain pula. Cerdik sangatkah […]

  • KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu +SANGfikir
    Reply

    […] Sebelum tuan puan lanjut membaca ini, eloklah tuan puan berjinak-jinak dengan tulisan berjela-jela yang belum cukup masak dalam EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tidak Serupa Bikin? Biarlah termuntah hendak membacanya, biarlah pening hendak hadam isinya. Memang sudah kita ini diajar supaya masak dahulu sebelum hadam, bukan? Pernah dengar kalam seumpama ini? […]

Leave a Reply

Discover more from +SANGfikir

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading