Tuan puan sekalian. Inilah adalah sambungan kisah perang sebelum ini;

Sebagaimana saranan kita sebelum ini supaya tuan puan sekalian belajar KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu, maka kita bentangkan dalam terbitan ini video Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah.

Video 1

Lebih 6 jam ya tuan puan sekalian (termasuk waktu rehat). Pandai-pandailah nak dengar macam mana. Cuma nak pesan. Dengarlah kesemua hujah kedua-dua belah pihak. Nilai sendiri. Mana tahu tuan puan sudah jelas cara fikir ‘Pencinta Sunnah’ vs ‘Pencinta Bidaah Hasanah’?

Mujurlah kali ini kita tidak ketemu gaduh pasal ISBN. Kita cuma ketemu dakwaan Ustaz Salman lari tajuk. Kalau nak kira akademik, bolehlah beri jari jempol kepada ARG. Siapa paling kuat pusing? Tuan puan nilai sendirlah ya. Kita hendak buat macam mana lagi kalau tujuan dialog nak menang saja, maka ambil sahajalah Gunung Ledang sebagai ganjarannnya. Faham atau tidak maksud kita ini?

Pembentangan ARG

Eloklah kita teliti 139 slaid pembentangan ARG untuk mengatakan bahawa Wahabiah itu adalah aliran sesat lalu terkeluarlah ia dari golongan Ahlul Sunnah Waljamaah menurut tafsiran pilihan ARG;

Slaid 1

Maka akhirnya kita ketahuilah bahawa ‘kaedah ilmiah’ yang dibanggakan oleh para pembentang ARG berkenaan takrif sesat adalah;

Oleh kerana begitu ilmiah sekali takrifan tersebut, eloklah kita terangkan kepada tuan puan, dari segi tatabahasa ilmiah juga, bahawa;

aliran sesat itu adalah yang menyalahi Al-Quran DAN Al-Sunnah DAN Ijma’ para ulama;

BUKANnya;

aliran sesat itu adalah yang menyalahi Al-Quran DAN Al-Sunnah ATAU Ijma’ para ulama;

juga BUKANlah pula;

aliran sesat itu adalah yang menyalahi Al-Quran ATAU Al-Sunnah ATAU Ijma’ para ulama;

Ringkasnya begini ya tuan puan sekalian. Untuk layak bagi tuan puan dalam ALIRAN TIDAK SESAT, seterusnya menjadi Ahlul Sunnah Waljamaah, hendaklah tuan pastikan aliran yang dipegang dan di amalkan itu hendaklah mematuhi Al-Quran DAN Al-Sunnah DAN Ijma’ para ulama.

Jadi tuan puan fikirkanlah ya. Kalau tuan puan ikut budaya dan cara beragama masyarakat Islam di Nusantara hari ini yang melakukan pelbagai perkara bidaah yang katanya mematuhi Ijma’ para ulama TETAPI bercanggah dengan Al-Quran DAN Al-Sunnah, maka terkeluarlah tuan puan sekalian dari kalangan Ahlul Sunnah Waljamaah.

Begitu? Tuan puan sedar atau tidak perkara ini?

Manakala di bawah ini adalah 187 slaid kedua yang dikongsikan oleh ARG dalam dialog tersebut;

Slide 2

Eloklah tuan puan kaji satu persatu slaid berjumlah 326 paparan itu sambil menonton video 6 jam yang kita kongsikan awal tadi dengan teliti satu persatu hujah para pembentang ARG supaya jelas dan faham cara fikir golongan yang gemar menisbahkan diri mereka dengan Ahlul Sunnah Waljamaah yang tidak lekang pula gelaran sebagai ‘pencinta bidaah hasanah’ itu. Jangan pula tuan puan lancang mulut gelar mereka ‘pencinta bidaah’ saja, nanti tak cukup tanah kena kejar keliling kampung!

Pembentangan Ustaz Salman Ali

Maaf ya tuan puan kita masih belum dapat cari slides yang Ustaz Salman bentangkan semasa Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah. Jadi, memadailah kalau tuan puan tonton saja video dialog tersebut untuk menukil hujah-hujah beliau dalam mematahkan serangan ARG. Kita kongsikan apa yang dikongsikan oleh Uataz Salman berkenaan debat tersebut;

Video 2

Benar tuan puan. Sebenarnya, tidaklah susah sangat bagi kita memahami hujah-hujah Ustaz Salman. Kebanyakannya ‘straight to the point’ kata orang putih. Kalau nak kata tidak ilmiah pun tak kena juga. Sebab kalau tuan puan teliti, hujah-hujah beliau pun bukan main petik atas angin. Semua ada rujukan juga. Baca buku habis juga.

Beginilah ya tuan puan kalau nak jadi akademik sangat. Usah kita main petik rangkap (quote) tanpa baca keseluruhan buku atau artikel atau ketahui keseluruhan konteks perbahasan. Silap hari bulan nanti kena tanya;

Sudah baca atau atau belum?

Sudah baca tapi lupa?

Kes berat ni tuan puan!

Siapa Menang, Siapa Kalah?

Begini ya tuan puan sekalian. Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah itu bukan pertandingan debat antarabangsa. Tiada siapa dapat hadiah kemenangan. Yang kita pasti, penganjur KUIP telah memberikan cenderahati kepada para pembentang yang professional. Yang pasti, tiada adegan baling kerusi meja atau tumbuk menumbuk berlaku dalam kalangan para penonton debat tersebut di Perlis.

Yang kita pasti, para netizen kedua-dua belah pihak masih berterusan ‘troll’ sesama mereka mendakwa pihak merekalah yang menang. Perkara ini barangkali akan berlanjutan sampai kiamat!

Tidak percaya? Cuba tonton video rentetan di bawah ini;

Video 3

Itu ulasan ringkas pro Ustaz Salman. Cuba tonton pula penjelasan lanjut berkenaan takrif Salafi aka Wahabi dan juga takrif tawassul, tabarruk dan istighasah pula, menurut Kiyai Nur Hidayat, yang merupakan salah seorang pembentang ARG dalam dialog tersebut;

Video 4

Macam mana tuan puan? Sudah jelas bukan? Masing-masing berkeras ikut fahaman dan kecenderungan masing-masing.

Itu belum kira kalau tuan puan baca komen-komen dalam beberapa saluran Youtube atau Facebook kumpulan masing-masing. Kira tak habis tuan puan nak kira mata mana satu pemenang! Hendak buat macam mana sudah puluhan atau ratusan tahun memang begitulah kelompok umat Islam berpecah, kan?

Kita orang awam ni tuan puan bukan peduli siapa menang atau kalah. Kita hanya peduli ilmu apa boleh kita ambil dari sesi dialog tersebut.

Kalau tuan puan peduli sangat gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah aka Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA versi Nusantara itu, ambil sajalah gelaran itu masuk dalam almari. Ikut saja ‘Ijma’ para ulama TETAPI TIDAK PERNAH MAHU SEMAK dengan kalam Allah dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam hadith Nabi yang sahih; cuba tuan puan fikir, ada faedahnya?

Gelaran Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA mahupun AsamJawa mahupun Wahabbiyah itu tidak bawa masuk kubur ya tuan puan. Sila semak soalan bocor dalam kubur ya!

Takrif Kabur Tak Masuk Kubur

Jadi, tuan puan sekalian sedarlah. Kefahaman manusia yang berbeza akan membawa kepada takrif berbeza. Sebab semua takrif baik Wahabiyah mahupun Ahlul Sunnah Waljamaah yang dibahaskan dalam dialog anjuran KUIP itu memang kabur. Sebabnya mudah; kedua-dua nama gelaran kumpulan itu memang tiada dalam Al-Quran mahupun hadith Nabi.

Nama gelaran itu datang kemudian. Maka ikut suka para pendokong gelaran itulah nak tentukan takrif kumpulan mereka. Ikut suka para penglipur lara hendak masukkan atau keluarkan sesiapa saja dalam kumpulan mereka. Cuma kita boleh tanyalah; semua gelaran itu penting sangatkah buat bekal masuk kubur? Dalam Al-Quran, dalam hadith sahih, adakah diterangkan manusia akan ditanya kumpulan Ahlul Sunnah Waljamaah atau Syiah atau Sufi atau Wahabi di Padang Mahsyar kelak?

Cuba belek Al-Quran. Cuba belek hadith Nabi. Ada jumpa? Kalau tuan puan jumpa, tolong berikan pautan di ruang komen. Manalah tahu kita yang menulis ini jahil tidak habis mengaji lagi, maka tuan puan bantulah saudara seagama tuan puan ini keluar dari keadaan jahil. Kita nak tahu juga; jahil basith ATAU jahil murakkab, kan?

Siapa Golongan Wahabi di Malaysia?

Begini sajalah ya tuan puan. Dalam beberapa terbitan berkaitan sebelum ini, sudah panjang lebar kita bahaskan perihal Wahabi vs Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA mahupun Asamjawa. Jadi, tuan puan sudah boleh agak juga analisa orang awam macam kita ni nak bawa ke mana.

Cuma kita kena sebutlah. Nisbah bilangan orang awam ini tidak terperi bilangannya kalau nak dibandingkan dengan bilangan para ulama, ustaz, kiyai, asatizah, pencetus ummah, da’ie, cikgu agama dan pelbagai lagi gelaran golongan agamawan dalam dunia ini. Jadi kita nak kata begini; kalau para agamawan pun saling berbalah pelbagai takrifan dalam urusan agama, adakah tuan puan berharap bahawa orang awam yang menulis ini akan sama pendapat dengan apa yang tuan puan sekalian pegang?

Jika nanti analisa kita tidak sejajar dengan kefahaman dan kecenderungan tuan puan, adakah tuan puan hendak kata kita yang menulis ini sesat, puak Wahabi, puak Salah-Pi, geng Wahabiol dan sebagainya semata-mata kerana pandangan kita lain dari apa yang tuan puan mahu dengar?

JIka nanti analisa kita ini selari pula dengan pandangan Aswaja ala Nusantara, adakah tuan puan sanggup masukkan kita yang menulis ini sekapal dengan Ahlul Sunnah Waljamaah dalam salah satu kategori Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA atau Asamjawa?

Sebelum kita analisa panjang, elok kita ketahui pengakuan pembentang ARG yang terkenal, iaitu Ustaz Engku Ahmad Fadzil bahawa Ustaz Salmah Ali dan para penguasa agama negeri Perlis itu BUKAN WAHABI.

Jadi beginilah ya tuan puan. Mana satu negeri dalam Malaysia ini NEGERI WAHABI seperti mana telah dipalu bertahun-tahun oleh ‘ustaz striker’ dan rakan seangkatan dengannya dalam siri ceramah pelusuk negara selama ini?

Kami orang awam diajar dalam masjid dan surau bahawa puak Wahabi itu sesat, ekstrim dan berbahaya. Jadi apa tindakan pihak penguasa terhadap golongan tersebut?

Mari kita tanya secara terus terang kepada para ustaz dan penglipur lara dalam masjid dan surau; adakah Salman Ali, Dr. MAZA, Dr, RORA yang ada dalam senarai 31 Wahabi Malaysia yang tular dalam laman Facebook itu adalah Wahabi? Jawab YA atau TIDAK sajalah. Senang sedikit nak bawak kes. Orang awam pun tak pening. Kita pun letih juga layan para agamawan jenis baling batu sembunyi tangan yang lancang mulut menuduh sesiapa jua yang tidak sealiran dengan pemikiran mereka sebagai Wahabi.

Belajarlah ada sikap tanggungjawab sebagai agamawan.

Kasihan kami orang awam tidak tentu pasal terpalit juga kena gelar Wahabi gara-gara tidak sekepala dengan cara pemikiran sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini yang mengaku sebagai Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturidiah AlGhazaliah AlJunaidi sedangkan satu buku para ulama pengasas itu belum pernah dibaca oleh penuduh itu. Belum habis khatam lagi kelas telaah karya para ulama agung itu dalam siri ceramah masjid dan surau.

Kasihan juga ada dalam kalangan kami orang awam kena gelar Salah-Pi oleh pentaksub Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA sekaliannya itu sedangkan majoriti penuduh itu sendiri tidak tahu beza pemikiran Mazhab Assyairah dan Mazhab Al-Maturidiah yang mereka junjung atas batu jemala mereka.

Begini sajalah. Wahabiyah itu hanya gelaran longgar yang dipalitkan kepada sesiapa saja yang berbeza pendapat dengan pegangan majoriti umat Islam Nusantara ini. Itu saja kan?

Berkatalah +SANGfikir;

Para penuduh Wahabi ini pura-pura bertanya; kalau awak bukan Wahabi, kenapa nak bela Wahabi?

Kita katakan begini sajalah kepada soalan kurang cerdik ini; kamu label orang Wahabi, dia tidak mengaku sebab dia memang bukan Wahabi. Sebab kamu asyik tuduh dia Wahabi, lama-lama gelaran Wahabi itu lekat kat batang tubuh dia sampai satu kampung gelar dia Wahabi. Satu kampung kata dia sesat. Lalu kamu buat-buat tanya kenapa dia membela Wahabi?

Adakah semua orang dalam dunia ini bodoh seperti kamu?

Mari kita gelar si penuduh itu sebagai bodoh; Kamu si Bodoh, tetapi kamu tidak mengaku si Bodoh sebab kamu memang bukan si Bodoh. Sebab kami asyik tuduh kamu si Bodoh, lama-lama gelaran Si Bodoh itu lekat kat batang tubuh kamu sampai satu kampung gelar kamu Si Bodoh. Satu kampung kata kamu jahil murakkab. Lalu kami buat-buat tanya kenapa kamu membela Si Bodoh?

Kasi cili taruk, biar hadam betul-betul;

Mari kita gelar penuduh itu, yang suka buat lawak, mengajak manusia supaya cenderung kepada bidaah berbanding Sunnah dan suka bercerita macam penglipur lara itu sebagai cikgu bidaah; Kamu adalah Ustaz Bidaah, tetapi kamu tidak mengaku sebagai Ustaz Bidaah sebab kamu tidak mengajar buat bidaah, melainkan bidaah hasanah saja. Sebab kami asyik tuduh kamu Ustaz Bidaah, lama-lama gelaran Ustaz Bidaah itu lekat kat batang tubuh kamu sampai satu dunia gelar kamu Ustaz Bidaah. Satu dunia kata kamu BODOH SEBAB SUKA AJAR BIDAAH. Lalu kami buat-buat tanya kenapa kamu membela Ustaz Bidaah?

Faham ATAU Gagal Faham?

Baling Batu Sembunyi Tangan

Kalau ikut takrifan yang dibentangkan oleh ARG itu, sepatutnya jelaslah kepada kita siapa golongan Wahabiyah itu. Jadi, SIAPAKAH WAHABI DI MALAYSIA?

Apa kena mengena golongan pendokong gerakan politik Wahabi di semenanjung Arab itu dengan negara Asia Tenggara? Atau kita masih tidak tahu beza gerakan politik dan mazhab dalam agama? Urusan politik patut diurus secara politik, bukan dengan cara memomokkan kepada masyarakat seolah-olah Wahabiyah itu satu mazhab baru? Jadi kita mahu bertanya; kayu ukur apakah yang digunakan oleh para penuduh Wahabi itu?

Anda hendak berpolitik atau hendak mengajar agama?

Jadi kita orang awam ingin bertanya; SIAPAKAH WAHABI DI MALAYSIA? Bolehkah kita orang awam dapat salinan KERTAS PUTIH senarai individu dan organisasi di negara ini yang tergolong dalam kalangan Wahabiyah.

Setakat menularkan nama kemudian tidak mahu ambil tanggungjawab sebagaimana diakui sendiri oleh pembentang ARG Ustaz Engku dalam dialog tersebut, apa makna semua ini?

Anda hendak berpolitik atau hendak mengajar agama?

Anda dan kumpulan anda berceramah seluruh negara tentang bahaya Wahabi seolah-olah ia satu ancaman besar kepada negara sedangkan senarai yang tular itu pun anda nafikan ada sebahagiannya yang anda kata bukan Wahabi.

Boleh kemuka senarai baru dari senarai yang tular itu secara rasmi?

  • Si Fulan itu Wahabi;
  • Si Fulan itu Bukan Wahabi;
  • Si Fulan itu dulu Wahabi, sekarang bukan lagi Wahabi;
  • Si Fulan itu Wahabi, tetapi dia tidak mengaku Wahabi;
  • Si Fulan itu dulu bukan Wahabi, sekarang sudah jadi Wahabi.

Boleh ambil tanggungjawab kepada masyarakat awam senarai baru yang jelas? Atau para agamawan kita cuma kuat bermain politik?

Asyik BALING BATU SEMBUNYI TANGAN? Anda yakin tuduhan anda itu benar?

Usah berselindung di sebalik takrif longgar Wahabi yang dijaja dalam masjid dan surau. Beginilah saja. Kita orang awam ini dianggap bodoh tidak tahu agama dan mudah keliru katanya. Jadi eloklah kita bertanya; adakah orang awam ini mahu terus dikelirukan dengan takrif Wahabi oleh jenis agamawan yang tidak berani ambil tanggungjawab ke atasnya?

Perkara ini penting ya tuan puan. Sebab kalau benarlah senarai mereka yang dituduh Wahabi itu, ambil tindakan sajalah. Kalau tidak, para penuduh itu sebenarnya telah melakukan kejahatan mulut yang keji sampai masyarakat memandang serong mereka yang digelar Wahabi itu. Kita ambil contoh Dr Abu Hafiz, seorang ahli akademik tidak tentu fasal kena gelar Wahabiyah;

Video 5

Kemudian, kita orang awam ini pelik jugalah, macam mana ustaz pro Assyairah macam Ustaz Nor Derus pun kena gelar Wahabi?;

Video 6

Sengaja kita kongsikan Video 5 dan Video 6 kerana kedua-dua manusia ini adalah manusia yang ada kelayakan membahaskan isu Wahabi dari segi ilmiah juga. Maklumlah pembentang ARG Ustaz Engku sudah dua kali mencela kononnya Ustaz Salman itu kurang ilmiah katanya dalam Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan juga dialog yang pertama iaitu Dialog Terbuka: Pemikiran Sheikh Nazim Al-Haqqani Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh kerana kita dapati gemar sekali kedua-dua pembentang ARG itu mendakwa bahawa cara bentang mereka itu begitu ilmiah sekali, marilah kita buat analisa akademik juga berkenaan apa yang kita orang awam boleh belajar dari Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah.

AKADEMIK: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja

Pertama sekali, berdasarkan dialog Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah, jelaslah kedua-dua belah pihak mempunyai takrifan yang saling berbeza berkenaan Wahabiyah dan Ahlul Sunnah Waljamaah. Apabila takrifan ini tidak dapat diselarikan dari mula dialog hingga ke penutup, maka dari segi akademik, kita boleh saja abaikan takrif Wahabiyah dan Ahlul Sunnah Waljamaah itu. Hal ini kerana, sia-sia sahaja mereka yang menuduh orang lain Wahabiyah jika takrif itu saling bercanggah. Juga sia-sia sahaja mereka yang mendakwa diri adalah Ahlul Sunnah Waljamaah kalau takrifan itu saling berbeza antara dua puak yang saling bertelagah.

Kedua, kita patut sedar bahawa;

  • Takrifan Ahlul Sunnah Waljamaah yang dijadikan kayu ukur sama ada Wahabiah itu termasuk atau tidak dalam kalangan mereka itu sudah disempitkan sebegitu rupa oleh pihak ARG berdasarkan hujah ilmiah mereka kepada kitab para ulama pilihan mereka;
  • Manakala takrifan Ahlul Sunnah Waljamaah oleh Ustaz Salman Ali itu lebih umum mendekati takrifan para ulama zaman Salafaus Soleh;
  • Jadi kita dapati dua jenis takrifan berbeza Ahlul Sunnah Waljamaah; yang satu cenderung ambil sehingga zaman khalaf dan mutaakhirin, satu lagi cenderung ambil setakat zaman salaf dan mutaqaddimin;

Apabila satu pihak cenderung menyempitkan takrif bahawa Ahlul Sunnah Waljamaah hendaklah mereka yang berpegang kepada mazhab Assyairah DAN/ATAU mazhab Al-Maturidiah DAN/ATAU mazhab Al-Atthariyah saja, manakala satu pihak lagi cenderung meluaskan takrif tersebut, maka sampai kesudah kita tidak akan jumpa titik temu.

Berkatalah +SANGfikir;

Kita orang awam hendak ambil takrif mana satu?

Memadailah kita rujuk hadith Nabi yang merujuk kepada golongan Al-Jamaah (iaitu golongan mengikuti jalan Nabi Muhammad SAW, dan para khulafa’ ar-rashidin, sahabat dan pengikut sahabat yang diberi petunjuk). Boleh juga kita ikut jalan Ahlul Sunnah sebagaimana disebut oleh Ibnu Abbas. Boleh juga kita ikut jalan Ahlul Hadith yang layak diberikan gelaran itu kepada imam Mazhab yang empat (dan mereka yang benar-benar pakar hadith dan tahu syarah hadith yang benar).

Patutkah kita orang awam ini menelan saja takrif Ahlul Sunnah Waljamaah yang dihidangkan di hadapan kita?

Tahukah kita jenama Ahlul Sunnah Waljamaah ini tiada dalam Al-Quran dan hadith?

Apabila menghadapi pertentangan takrifan seperti ini, jalan yang selamat adalah kembali merujuk kepada syarah terawal para ulama hadith yang mengungkapkan maksud asal golongan Ahlul Sunnah Waljamaah.

Kita hendak ikut sama bertegang leher dengan para agamawan tanpa tahu asal usul terma Ahlul Sunnah Waljamaah ini, hendak ke mana?

ANDA PERNAH TERFIKIR UNTUK SEMAK SUMBER ASAL?

– Bahasan perkara ini akan diperincikan dalam terbitan lain, dengan izin Allah jua adanya.

Kerana kecenderungan dua belah pihak yang bertentangan menyempitkan atau meluaskan takrif Ahlul Sunnah Waljamaah, sampai kesudah kita dapati dialog tersebut memberikan kita orang awam beberapa pilihan;

  • Wahabiah itu aliran sesat DAN bukan aliran Ahli Sunnah Waljamaah – ikut takrifan ARG;
  • Wahabiah itu aliran TIDAK sesat DAN tergolong dalam aliran Ahli Sunnah Waljamaah – ikut takrifan Ustaz Salman;
  • KITA SEMUA BUKAN WAHABIAHhendak kecoh apa lagi?

Jika begitu, dialog tersebut hanya tinggal akademik saja. Jadi kita ringkaskan saja rumusan analisa sebab kalau tuan sudah dengar semua Video 1, Video 2, Video 3, Video 4 dan Video yang kita kongsikan dalam terbitan ini, maka tuan puan akan dapati memadailah apa yang telah dibahaskan.

Jadi, apa yang boleh kita orang awam pelajari adalah berikut;

1. Beza Pendapat:

Menuduh orang lain sebagai Wahabi hanya kerana orang itu berbeza pendapat dengan penuduh adalah tidak ilmiah sama sekali. Faktanya, golongan Assyairah, Al-Maturidiah dan Al-Athariyyah saling bercanggah pendapat sesama mereka.

2. Tuduhan Bidaah:

Menuduh orang lain sebagai Wahabi hanya kerana orang itu mengatakan orang tertentu melakukan bidaah adalah tidak ilmiah sama sekali. Faktanya, sesama mereka yang digelar Wahabi itu juga saling berbeza pendapat berkenaan hal bidaah. Faktanya, kalangan yang mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah (versi Nusantara) juga menuduh orang selain mereka melakukan bidaah, maka adakah patut puak Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA ini dipanggil Wahabi juga?

3. Tuduhan Sesat:

Menuduh orang lain sebagai Wahabi hanya kerana orang itu mengatakan orang sesat adalah tidak ilmiah sama sekali. Faktanya, sesama mereka yang digelar Wahabi itu juga saling berbeza pendapat berkenaan hal sesat sesuatu perkara itu. Faktanya, kalangan yang mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah (versi Nusantara) juga menuduh orang yang tidak selari dengan kefahaman mereka sebagai sesat, maka adakah patut puak Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA ini dipanggil Wahabi juga?

4. Tuduhan Kafir:

Menuduh orang lain sebagai Wahabi hanya kerana orang itu mengatakan kafir sesuatu perbuatan itu adalah tidak ilmiah sama sekali. Faktanya, sesama mereka yang digelar Wahabi itu juga saling berbeza pendapat berkenaan mengatakan kufur seseorang itu. Faktanya, kalangan yang mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah (versi Nusantara) juga menuduh kafir mereka yang tidak berpegang dengak akidah fahaman mereka, maka adakah patut puak Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA ini dipanggil Wahabi juga?

5. Tuduhan Ekstrimis:

Menuduh orang lain sebagai Wahabi hanya kerana orang itu ekstrim adalah tidak ilmiah sama sekali. Faktanya, sesama mereka yang digelar Wahabi itu tidak semuanya ekstrim, taksub dan fanatik. Faktanya, dalam kalangan golongan Assyairah, Al-Maturidiah dan Al-Athariyyah juga ada yang fanatik, taksub dan ekstrim; maka adakah patut puak Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA ini dipanggil Wahabi juga?

Tuduhan Berbalik Kepada Diri Sendiri!

Seperti yang telah kita jelaskan tadi, tuduhan Wahabi itu sesat dan terkeluar dari Ahlul Sunnah Waljamaah itu boleh berbalik kepada penuduh mereka.

Video 7

Kalau tuan puan masih kurang nak dengar sebab Dr.MAZA itu pernah dituduh oleh puak baling batu sembunyi tangan sebagai ‘kepala Wahabi’ (dalam senarai tular yang sungguh tidak ilmiah itu; “nak ilmiah macam mana kalau keluar senarai dalam kejahilan, bukan dengan ilmu!”), kita hendak buat macam mana lagi!

Kembali kepada tuduhan berbalik kepada diri sendiri; apabila kita telah menetapkan ciri-ciri yang patut bagi Wahhabiyyah dan dapati bahawa ciri 1 hingga 5 yang kita bincangkan tadi juga ada dalam mereka yang menuduh itu, maka secara akademiknya, adakah kita patut kata bahawa penuduh itu juga adalah Wahabbi?

Lalu, oleh kerana dua orang penuduh itu adalah pendokong tegar Ahlul Sunnah Waljamaah (versi Nusantara), adakah kita hendak kata pula Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA sesat dan terkeluar dari Ahlul Sunnah Waljamaah?

Secara akademik, kita katakan begitu. Setuju?

Tuduhan AQIDAH SESAT

Salah satu perkara yang menjadi titik perbahasan Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah adalah penentuan sesat atau tidak sesuatu golongan ini adalah dalam URUSAN AQIDAH. Perkara ini akan kita perhalusi di terbitan lain, dengan izin Allah jua. Cuma barangkali eloklah tuan puan berhenti sejenak, muhasabah diri dan cuba jawab lontaran persoalan berhubung prihal aqidah.

Berkatalah +SANGfikir;

Memahami aqidah yang paling ulung adalah dengan aqidah sebagaimana diajar oleh Allah dalam Al-Quran. ADAKAH ANDA FIKIR PARA SAHABAT NABI ITU BERAQIDAH sebagaimana Tauhid 3, Sifat 7, Sifat 13, Sifat 20, Sifat 50 dengan pelbagai aliran yang digembar gemburkan kepada orang awam? Manusia yang gemar mengatakan SESAT AQIDAH manusia lain sebab tidak sama cara belajar aqidah yang mereka banggakan itu, SUDAHKAH MEREKA AJAR AQIDAH SEBAGAIMANA TUHAN TELAH AJAR DALAM AL-QURAN?

Kamu saling berbalah menyesatkan aqidah manusia itu atas dasar apa kalau kamu sendiri mencipta pelbagai istilah kalam berasaskan ilmu teologi yang tiada asal dari Al-Quran dan As-Sunnah?

Lalu kamu menetapkan kayu ukur sendiri begitu begini cara mentauhidkan Allah dan memaksa orang awam bertaqlid buta dengan kaedah kamu?

Kamu beralasan orang awam itu bodoh dan khuatir mereka akan keliru untuk memahami Al-Quran dan As-Sunnah?

Apa yang kamu buat sehingga orang awam itu jadi keliru untuk memahami Al-Quran dan As-Sunnah? Bagaimana cara kamu mengajar umat?

Apa guna kamu berbangga dengan cara kamu memahami aqidah begitu begini JIKALAU kamu masih menyebut dan menyeru nama selain Allah dalam beribadah? Kamu ada kayu ukur sendiri menilai sesuatu perbuatan itu syirik?

‘AL-QURAN IMAMI’, atau ‘(pendapat) manusia imami’?

REALITI Wahabi vs Aswaja

Begini ya tuan puan sekalian. Jika hendak mendabik dada sebagai Wahabi ya silakan. Jika hendak mendabik dada sebagai Ahlul Sunnha Waljamaah ya silakan. Cuma kita hendak berpesan; tiada guna mendakwa sungguh-sugguh sebagai Aswaja mahupun AswajaA+++ ataupun AswaAAAAA kalau tuan puan puan tidak tahu pun apa itu A+++ atau AAAAA yang ditempelkan kepada jenama Aswaja.

Tiada makna juga jika tuan puan menganggotai pertubuhan atau kumpulan penyelidik Aswaja kalau kalam para ulama A+++ atau AAAAA itupun tidak pernah mahu ambil tahu DAN/ATAU mengambil rumusan daripadanya dengan cara yang benar. Mengaku Aswaja tapi tidak tahu rinci perkembangan ilmu Sifat 7 jadi Sifat 13 jadi Sifat 20 sehinggalah jadi pelajaran Sifat 50, layakkah kita mengaku sebagai Aswaja sejati sampai lancang mulut kita mengata orang sebagai Wahabi sesuka hati?

Cerita pasal puak-puak Aswaja, atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA mahupun Asamjawa jenis tidak baca kitab ini dalam mengatakan sesat mereka yang digelar Wahabi ini bukan cerita baru ya tuan puan sekalian. Zaman sebelum penjajah lagi puak-puak ini sudah ada. Zaman penjajah lagilah subur puak-puak ini. 6 tahun lepas pun sudah ada debat tersohor antara Ustaz Abu Syafiq dan Ustaz Salman perihal isu yang sama;

Video 8

Sembang depan jemaah masjid dan surau senanglah tuan puan hendak mengata orang Wahabi dan sesat. Tuan puan tonton dan nilai sendirilah ya bagaimana terkulat-kulatnya seorang pencinta bidaah hasanah bila kena taji dengan pencinta Sunnah.

Memang tak boleh nak tolong kalau baca kitab pun tidak faham-faham juga, kan?

  • Hendak faham macam mana kalau tok guru pun sendiri pun mengkafirkan orang yang tidak mahu mengatakan kafir orang lain;
  • Hendak tolong macam mana kalau syarah hadith pun tidak baca dan faham?;
  • Hendak tolong macam mana kalau tok guru kelab Aswaja pun ambil dalil tidak kena tempat?
  • Hendak tolong macam mana kalau asyik serang peribadi sebab sudah kering hujah tidak jumpa juga hendak pertahan perbuatan yang didakwa bidaah hasanah?
  • Hendak tolong macam mana kalau masih mahu jadi orang bebal?

Jadi, tuan puan fikir-fikirkanlah ya.

Jika tuan puan hendak melabel kawan, sahabat handai, rakan taulan, sanak saudara sebagai Wahabi juga, biar kita bantu jelaskan takrif Wahhabi atau Wahabiyyah dari segi AKADEMIK dan juga PRAKTIKAL kehidupan. Supaya nanti tuan puan tidak kutip dosa kering. Supaya nanti tuan puan tidak kena saman dengan orang yang digelar Wahabi mahupun Salafi. Kita nak pesan, semua itu adalah kebodohan yang nyata menggelar orang dengan gelaran yang tidak kena tempat dan cara. Kalau tuan puan hendak menuduh atau gelar orang lain Wahabi, maka ini pesan kita;

Wahabi atau Wahabiah itu ejaan yang kurang tepat dari segi sebutan. Patut dieja sebagai WAHHABI atau WAHHABIYYAH.

silhouette of man standing on hallway
Photo by Vojtech Okenka on Pexels.com

Siapa Wahabi?

Berikut adalah golongan yang layak digelar WAHHABI atau WAHHABIYYAH;

  1. Mereka mengaku Wahhabi; Kalau jumpa orang mengaku Salafi, panggil saja mereka Salafi. Bukan Wahabi atau Salah-Pi;
  2. Mereka yang memilik ideologi politik yang menjadikan Muhammad bin Abdul Wahab (dari daerah Najd, Arab Saudi) sebagai panutan. Kita katakan ia sebagai gerakan politik sebab memang dari segi sejarahnya memang Wahabiyyah memang ada perjanjian khusus dengan pendiri kerajaan Arab Saudi yang kekal berkuasa hingga ke hari ini. Tuan puan kena fahamlah beza ideologi dengan akidah. Kena tahu jugalah takrif mazhab. WAHABI ITU BUKAN MAZHAB (dok sembang keliling kampung macam satu jenis mazhab baru sudah kenapa?)
  3. Mereka yang menjadi pendokong ideologi Wahhabiyyah baik di jazirah Arab dan mahupun negara selain jazirah Arab dengan tujuan menguasai negara dengan ideologi Wahhabiyyah tersebut.

Takrif biar jelas ya tuan puan. Jadi berbaloi juga kalau tuan puan kena saman masuk penjara nanti sebab telah jelas takrifan Wahhabi atau Wahhabiyyah itu. Sebab itu tuan puan, hendak gaduh pasal Wahabi vs Aswaja ini kena faham juga beza apa itu TEOLOGI, apa itu IDEOLOGI. Kena tahu beza PERTUBUHAN dengan MAZHAB. Bukan main pukul rata macam golongan tertentu yang sengaja meletakkan TAWASSUL dan ISTIGHASAH dalam satu bakul. TAWASSUL takrif lain. ISTIGHASAH takrif lain.

Gelar orang Wahhabi satu hal. Mengata Wahhabiyah itu sesat satu hal. Urusan pihak ARG dari mula dialog hingga penutup dialog yang tetap menuduh Wahhabiyyah itu sesat, kita orang awam serahkan saja urusan itu kepada Allah. Berhati-hatilah ya tuan puan sekalian. Sebabnya begini; kalau kita terikut-ikut menuduh sesat Wahabbiyyah itu, lalu didapati tuduhan kita itu adalah salah, adakah tuan puan fikir kumpulan ARG itu akan jadi wali mempertahankan tuan puan sekalian di Padang Mahsyar kelak? Siapa akan beri jaminan itu?

Kita yang mengaku Aswaja atau AswajaAAA atau AswajaAAAAA ini yakin sangatkah kita tidak sesat? Kita yang hidup lebih mencintai bidaah hasanah berbanding mencintai sunnah, yakin sangatkah amalan kita tidak sesat? Kalangan kita yang gemar mencari pelbagai alasan menyebut nama selain Allah dalam memohon pertolongan dalam hidup, ANDA YAKIN SANGAT ANDA TIDAK SESAT?

Boleh kemukakan dalil yang sahih dan shorih dari Al-Quran dan hadith untuk menyokong dakwaan itu? Jika ada, sila kemukakan dalam ruang komen. Mudah untuk kita nilai kemudian. Cuma eloklah kita patut pesan awal-awal. Kalau tuan puan cuma salin tampal apa yang didakwa sebagai ijma’ para ulama atau apa yang didakwa oleh para agamawan (dalam menukil dalil Al-Quran dan hadith), tanpa tuan puan sendiri mahu merumuskannya; pesan kita, usah buang masa!

Orang Awam Bukan Jahil

Orang awam macam kita ni janganlah asyik mahu digelar jahil. Tuan puan marah kalau digelar Wahabi, adakah tuan puan akan marah kalau digelar jahil? Bagaimana kalau tuan puan tahu jahil dan bodoh itu maknanya sama saja? Kita tanya saja. Tuan puan tidak perlu jawab. Cuma fikir-fikirkanlah.

Tujuan kita tanya supaya sel-sel otak kita saling berhubung supaya tidak menelan bulat-bulat apa yang sampai ke telinga kita. Belajarlah menapis maklumat. Belajar analisa maklumat yang sampai. Barulah ia jadi pengetahuan. Bila jadi pengetahuan, barulah ada guna dalam kehidupan seharian kita ini.

Mari kita dengar ulasan seorang awam tentang Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah;

Video 9

Pilot kapal terbang pun tahu menilai ya tuan puan sekalian. Tidak semestinya kena jadi ustaz baru nak sembang. Beginilah ya. Orang awam pun boleh nilai sama ada ilmiah atau tidak rujukan oleh pihak ARG. Sekarang ini, siapa yang GAGAL FAHAM? Ustaz Salman Ali atau ARG? Takkanlah kita hendak kata Kapten Hafiz Firdaus itu Wahabi juga sebab tak sekepala dengan kita?

Akal kita hendak letak mana?

– Masih tak faham lagikah takrif Wahabi?

Kalau tidak puas hati dengan pilot, apa kata tuan puan tonton pula analisa dari seorang awam yang lain, Dr. Haris;

Video 10

Macam mana? Satu menang persepsi, satu lagi menang mata sebab ikut topik dialog. Cuma kita nak ingatkan sedikitlah. Dialog ini bukan debat ya tuan puan. Kalau hendak juga pemenang, ambillah Gunung Ledang dan gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah atau pun Wahhabiyyah pilihan hati masing-masing!

Itu satu hal. Hal satu lagi jangan lupa. Dialog KUIPS 2.0: WAHABIAH – Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunnah Waljamaah ini diadakan atas kehendak ARG juga sebagai syarat setuju adakan dialog yang pertama iaitu Dialog Terbuka: Pemikiran Sheikh Nazim Al-Haqqani Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Aktiviti Kata Mengata Sesama Agamawan dan Sesama Awam

Oleh kerana dalam dialog pertama ada seorang pembentang buat-buat kehairanan katanya; “Kalau bukan Wahabi, kenapa hendak bela Wahabi?“, barangkali elok juga kalau ungkit berkenaan dialog pertama jika kita pun buat-buat tanya; “Kalau bukan pengikut Sheikh Nazim Al-Haqqani, kenapa hendak bela Sheikh Nazim Al-Haqqani?“.

Jadi, kalau ada di kalangan tuan puan masih tidak faham juga kenapa perlu ada dialog kedua itu, eloklah kita ulang kembali petikan kata-kata pedas +SANGfikir awal-awal tadi;

Mari kita gelar penuduh itu, yang suka buat lawak, mengajak manusia supaya cenderung kepada bidaah berbanding Sunnah dan suka bercerita macam penglipur lara itu sebagai cikgu bidaah; Kamu adalah Ustaz Bidaah, tetapi kamu tidak mengaku sebagai Ustaz Bidaah sebab kamu tidak mengajar buat bidaah, melainkan bidaah hasanah saja. Sebab kami asyik tuduh kamu Ustaz Bidaah, lama-lama gelaran Ustaz Bidaah itu lekat kat batang tubuh kamu sampai satu dunia gelar kamu Ustaz Bidaah. Satu dunia kata kamu BODOH SEBAB SUKA AJAR BIDAAH. Lalu kami buat-buat tanya kenapa kamu membela Ustaz Bidaah?

Bodoh ATAU Cerdik?

Jadi, elok kita bagi pesanan penaja. Kalau tidak mahu dialog sebegini, lain kali tidak perlulah gelar orang Wahabi kalau tidak berani sebut terus terang Si Fulan itu Wahabi. Cuba sebut terus terang. Usah sebut; “Kamu Wahabi. Eh, Kamu bukan Wahabi. Eh, saya pun tak tahu kamu Wahabi atau tidak!” Takut kena samankah?

Usah berselindung di sebalik kata; “Wahabi mana ada nak mengaku Wahabi!” Kalau begitu, apa kata kita gelar si penuduh itu Wahabi. Mengaku atau tidak? Lalu kita kata; “Wahabi mana ada nak mengaku Wahabi!“. Jadi nasihat kita, sudah-sudahlah tu gelar orang Wahabi. Kata mengata sebegini tidak ada faedahnya ya tuan puan sekalian.

Kalau hendak main kata mengata sesama agamawan mahupun sesama orang awam, sejak lebih 1000 tahun dahulu sampai kiamat memang tak habis cerita ini tuan puan sekalian. Kalau hendak laga mulut juga, barangkali kita boleh sindir begini;

  • Kamu Wahabi tapi TIDAK MENGAKU Wahabi;
  • Kamu Wahabi tetapi menyamar sebagai Salafi;
  • Kamu Ahlul Bidaah tetapi TIDAK MENGAKU Ahlul Bidaah;
  • Kamu Ahlul Bidaah tetapi menyamar sebagai Ahlul Sunnah Waljamaah.

Macam mana tuan puan sekalian? Hendak tunggu kiamat baru habis perbalahan tidak ada faedah sesama agamawan dan orang awam ini, saling kata mengata untuk merebut kelayakan satu-satunya kumpulan manusia yang selamat dalam kalangan 73 golongan umat Islam yang berpecah itu?

Pendirian Orang Awam

Beginilah ya tuan puan sekalian. Kita sebagai orang awam ini, tidak usah terpengaruh sangat dengan segala macam tuduhan yang dilemparkan dalam masjid dan surau itu. Sebab, kalau tuan puan jenis teliti, jenis mahu mencari kebenaran, jenis analitikal terhadap sejarah perkembangan umat Islam, JENIS BACA BUKU, JENIS BACA HADITH, JENIS BACA AL-QURAN, maka tidaklah tuan puan akan hanyut dalam politiking agamawan tidak tentu pasal.

Kita dah pesan awal-awal. Gelaran kumpulan yang tuan puan dok kejar sangat itu tiada nilai dalam kubur. Tiada nilai di Padang Mahsyar. Yang ada nilai adalah sama ada pegangan tuan itu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi.

Tapi kalau tuan puan memang kaki politik, bab kaum pun asyik politik, bab merebut harta dan kuasa pun asyik berpolitik, BAB AGAMA PUN TIDAK HABIS MAHU BERPOLITIK, maka tiadalah daya kita hendak tolong tuan puan sekalian.

Suruh baca Al-Quran, tidak mahu. Baca tafsir Al-Quran malas. Kelas tadabbur Al-Quran tidak pernah mahu jengok. Belajar ilmu hadith pun jauh sekali. Asyik dok tala telinga depan penglipur lara mengata sana sini tanpa mahu semak fakta, tanpa mahu belajar sejarah, tanpa mahu belek buku, maka kita hendak tolong macam mana?

Soalan Cepumas: Awak BACA atau tidak?

Tidak perlu jawab ya tuan puan sekalian. Cuma, fikir-fikirkanlah.

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • ORANG AWAM Keliru: Cerdik ATAU Bodoh? – +SANGfikir
    Reply

    […] itu dalam catatan sebelum ini, kita ada sentuh sepintas lalu berkenaan jenis orang awam dan juga jenis ustaz. Lalu kita sebut […]

  • MENTEGA TERBANG: Filem Gugat Akidah? – +SANGfikir
    Reply

    […] ada kalangan ustaz kita saling kafir mengkafir sesama manusia. Tuan puan tonton sajalah bahasan ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja. Asyik sibuk mempersoalkan akidah sesama Islam, sampai perihal segelintir manusia yang sibuk […]

  • Al-Quran Terbiar, Sunnah Ditinggalkan & Imam Diagungkan – +SANGfikir
    Reply

    […] pula mereka mengambil pandangan Imam Ahmad Hanbal, sedangkan dalam banyak hal tidaklah lekang mulut mereka menuduh manusia yang cenderung kepada Mazhab Hanbali itu sebagai Wahabi, semata-mata kerana bebalnya mereka itu tidak mahu menelaah ilmu perbandingan mazhab 4 yang […]

  • Polemik Di Manakah Allah? – +SANGfikir
    Reply

    […] Takrif Ahlul Sunnah Waljamaah itu sangat longgar ya tuan puan. Kita pernah nyatakan sebelum ini; Nabi tidak pernah sebut, Allah tidak pernah sebut. Jikalau begitu, sudah kenapa kita kedekut […]

  • Mengambil Pendirian Status Kitab Al-Ibanah – +SANGfikir
    Reply

    […] Siapa yang seleweng? Boleh dengar sendiri dalam video di atas. Cuma kita nak pesan sedikitlah. Kalau tidak sebut Wahabi tidak bolehkah? Itu sajakah modal yang […]

  • Himpunan Ceramah Bahaya Wahabi – +SANGfikir
    Reply

    […] ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja […]

Leave a Reply

Discover more from +SANGfikir

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading