Tuan puan sekalian. Kecoh satu negara dengan berita Jakim sah filem Mentega Terbang bertentangan akidah;
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan bertindak segera dengan meneliti keseluruhan kandungan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, hasil penelitian Jakim mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
“Saya menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat awam yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem ini. Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jakim sah filem Mentega Terbang bertentangan akidah
Juga kecoh sana sini perihal kandungan filem yang didakwa boleh memesong dan mencabar akidah umat Islam. Sila ke pautan yang kita berikan di bawah ini untuk menilai sendiri ulasan yang berkenaan;
- Putra lapor polis, dakwa Mentega Terbang provokasi Islam
- Filem Mentega Terbang disiasat didakwa bertentangan akidah Islam
- Indie film ‘Mentega Terbang’ contradictory to Islamic creed – Mohd Na’im
- Haramkan segera penayangan filem Mentega Terbang!
- Bertentangan akidah, pelakon Mentega Terbang hanya jalankan tugas
- Isu filem Mentega Terbang: Pengarah belum sedia komen
Demikianlah kisahnya. Kalau tuan puan hendak tonton, maaf sajalah. Anggaplah sudah tertinggal kapal; (VIDEO) ‘Mentega Terbang’ dialih keluar dari Viu. Kena fahamlah. Platform Viu itu hendak cari makan juga di negara ini. Kalau mereka tidak keluarkan, habis satu platform kena sekat SKMM, macam mana mereka hendak cari makan tayang filem-filem lain yang tidak menjadi bahan kecaman khalayak dan pemerintah? Jadi, cukuplah kalau tuan puan tonton ‘teaser’ filem tersebut yang masih ada di YouTube;
Video 1
Sebelum tuan puan sekalian melenting ikut campur ahli politik dan agamawan ‘membancuh’ filem tersebut, eloklah juga baca apa kata pengarah filem cereka tersebut , lebih sebulan yang lalu;
Pengarah filem Mentega Terbang, Khairi Anwar menjelaskan filem itu hanya mengisahkan tentang persoalan remaja mengenai pegangan agamanya.
“Dia nak cari jalan supaya mak dia stay atas muka bumi ni.
“Persoalan ini juga dalam grey-area, sebab dia tiada nak go against atau be a part of any religion. Dia cuma nak, boleh tak kalau certain things dibuat hanya untuk certain things, itu sahaja, sebab dia budak-budak kan,” jelas Khairi menerusi perkongsian video di laman Instagram @mysuketv.
Dia ditemu bual mengenai filem itu dalam program SUKE Pagi di saluran SUKE TV pada 19 Januari lalu, iaitu hari pertama filem itu ditayangkan menerusi platform penstriman Viu.
– (VIDEO) Mentega Terbang: “Tiada nak go against atau be a part of any religion” – Pengarah
Oh! Baru kita tahu. Rupa-rupanya si Aishah berumur 16 tahun itu dianggap budak-budak saja. Maka tahulah kita kayu ukur manusia liberal berkenaan kematangan. Dek kerana terikut-ikut takrif barat, maka perempuan yang sudah baligh, sudah jauh mumaiyyiz pun di panggil budak-budak. Kita tidak tahulah kematangan jenis apa yang difikirkan oleh puak-puak yang mengaku sangat terbuka dalam pergaulan sosial ya tuan puan sekalian. Kasihan!
Oleh kerana Viu telahpun mengeluarkan filem tersebut dari senarai tayangan, kita cuma boleh tahu alur cerita tersebut dari sinopsis cerita tersebut;
SINOPSIS FILEM MENTEGA TERBANG
Apakah wujud kehidupan selepas mati? Syurga, neraka, dan kebenaran hakiki, ini ialah persoalan yang terngiang- ngiang di dalam minda Aisyah. Dia merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang terpesona dengan kebenaran agama, terutamanya tentang apa yang akan berlaku pada selepas kematian.
Dengan seorang ibu yang mempunyai barah dan bila-bila masa sahaja boleh dijemput kematian. Manakala ayahnya yang liberal dari segi akal dan gaya pemikiran dan bersikap terbuka dengan apa sahaja persoalan.
Aisyah mempunya persoalan yang besar bermain di fikirannya iaitu mengenai kehidupan selepas mati. Adakah wujud hidup selepas mati? Jika wujud, bagaimanakah keadaanya? Bagaimana rupanya syurga dan neraka? Pelbagai lagi persoalan yang timbul ketika itu.
Bagi menjawab persoalan tersebut, dia mula mengembara ke satu agama ke agama yang lain. Dari Kristian ke Judaism dan kemudian ke agama Hindu. Dari situlah, dia bertemu Uncle Kasim, Suresh, Auntie Esther dan Milo.
Apakah wujud kehidupan selepas mati? Itulah yang menjadi persoalan dan pengetahuan penting yang ingin diketahui Aisyah. Dia mahu tahu tentang syurga, neraka dan kebenaran hakiki. Adakah Aisyah dapat mencari jawapan yang dicari?
– Sinopsis Filem Mentega Terbang
Nampaknya, sudah berumur 16 tahun pun masih tertanya-tanya rupa syurga dan neraka. Barangkali semasa sekolah rendah dia ponteng kelas agama Islam yang memang ada di ajar di sekolah kebangsaan. Barangkali dia asyik tidur dalam kelas waktu ustaz mengajar dalam kelas sekolah menengah. Oh! Barangkali dia dihantar oleh ibu bapanya ke sekolah antarabangsa di kejiranannya. Ya, barangkali juga di tidak pernah faham Al-Quran yang dibacanya sehingga seolah-olah tidak pernah dengar Tuhan telah menerangkan hidup selepas mati, Tuhan telah terangkan keadaan di syurga, dan Tuhan telah menjelaskan keadaan manusia di dalam neraka. Atau, adakah dia sengaja mahu mendustakan firman Tuhan?
Beginilah ya tuan puan sekalian. Kita pun kurang pasti sama ada mahu kasihan dengan manusia yang mengaku beragama Islam sedemikian. Terpulanglah. Kebebasan berfikir, bukan?
Elok juga kita kongsikan ulasan yang agak akademik oleh salah seorang yang telah menonton;
Filem Mentega Terbang (2021)
- Ramai buat review puji filem berdurasi 1 jam 44 minit ini yang mula ditayangkan di platform internet @Viu pada 19 Jan 2023.
- Sinopsis: Aishah (16 tahun) mengkaji Al Quran,Bible,Turah, Hindu dan Buddha untuk mencari jawapan ‘What happen when we die’
- Penerbit: Tan Meng Kheng & Pengarah Khairi Anwar.
- Penulis skrip: Khairi Anwar, Arjun Thanaraju, Vishnu Varman & Ting Teng Hui.
- Setelah menontonnya saya berpendapat filem ini mempunyai kriteria dan ciri-ciri blasphemy terhadap Islam.
- Aishah selepas mengkaji semua agama sangat tertarik dengan agama yang percaya pada ‘re-incarnation’ iaitu kehidupan semula selepas kematian dalam dunia yang sama bukan sahaja dalam bentuk manusia tapi juga dalam bentuk serangga seperti semut dan rama-rama.
- Ada dialoq Aishah kata pada kawan baik berbangsa India ”Saya boleh makan babi. Saya tak kisah”. Saya sangat terganggu dengan dialoq seperti ini.
- Ayah Aishah dipaparkan sebagai seorang yang solat 5 waktu tapi berfahaman liberal dan bersifat terbuka untuk menerima kebenaran agama-agama lain.
- Ada satu babak dalam dialoqnya si ayah menyebut dia tidak akan halang jika Aishah memilih agama lain jika itu pilihan anaknya.
- Filem ini sebenarnya meletakkan agama yang ada ‘re-incarnation’ adalah agama yang paling benar.
- Secara subtext ‘re-incarnation’ ini diterima oleh Aisyah ketika dia menziarahi pusara ibu bersama ayahnya. Ketika sedang berdoa Aishah nampak ada rama-rama putih hinggap di batu nisan pusara ibunya. Camera closed up pada wajah senyum Aishah lihat rama-rama. Ini subtext bagi menggambarkan Aishah akhirnya pada ending cerita percaya pada agama ‘re-incarnation’.
- Filem ini menghina,meremeh, merendah-rendahkan, menodai dan mempersendakan Islam secara terang terangan (blasphemy).
- Banyak kriteria dan ciri-ciri blasphemy ke atas Islam terdapat dalam filem ini. Cuma untuk Page ini saya hanya dua atau tiga sahaja yang dapat saya sentuh.
- Insya Allah saya akan buat akademik paper bagi membahaskan kandungan blasphemy filem ini dengan menggunakan methodologi sesuai dan akan bertanggungjawab dengan kajian, pandangan dan dapatan saya.
- Anda boleh setuju atau tidak setuju dengan pandangan saya. Sebagai seorang yang beragama Islam saya tetap berpegang kepada kebenaran adalah dengan Islam.
- Lesen berkarya dan kreativiti dalam menghasilkan filem tidak boleh melangkaui kebenaran Islam dan hakikat iman.
- Filem ini tidak tertakluk pada penapisan LPF kerana ianya ditayangkan di platform internet bukan di panggung wayang.
-ZABIDI MOHAMED
Salah satu komen di YouTube, juga boleh dibaca di (VIDEO) ‘Filem Mentega Terbang persenda Islam secara terang-terangan’
Ulasan yang kita kutip di atas itu sengaja kita paparkan di sini. Sekurang-kurangnya kita boleh menjadi lebih objektif dalam menilai sesuatu karya filem. Setuju atau tidak itu perkara kedua. Kata kuncinya adalah; OBJEKTIF.
Sebab, kalau kita kutip perspektif dari kalangan ahli politik atau agamawan sahaja, barangkali sukar untuk kita tahu alur cerita filem tersebut secara objektif. Nak tahu macam mana kalau filem sudah dikeluarkan? Kecuali kalau tuan puan cerdik sikit main ‘IP address’ untuk ‘tonton Viu dari luar negara’!

Orang Awam Tidak Kuat Iman!
Berdasarkan maklumat yang kita peroleh dari cakap-cakap menteri, ahli Parlimen dan aktiviti membawang yang tercatat dalam media sosial, maka kita fahamlah mengapa ramai manusia di bumi bertuah ini melenting dengan filem Mentega Terbang. Mereka takut manusia akan berbondong-bondong keliru dan keluar dari agama Islam seperti anak panah keluar dari busurnya barangkali. Mereka menganggap ini adalah satu penghinaan kepada agama Islam barangkali. Mereka takut iman mereka sendiri tergugat barangkali, ATAU mereka takut orang awam tidak kuat iman akan tergugat!
Kasihan! Sampai bila umat Islam hendak disorok bawah tempurung? Begitulah kalau mengajar agama pun dijadikan susah. Macam mana orang awam nak faham agama? Kan?

Patutlah demikian. Rupa-rupanya orang awam beragama Islam di negara ini memang dijauhkan dari pendedahan fikiran kritis. Dari kecil sampai besar, diajar pemikiran sehala. Macamlah negara ini akan kekal aman selamanya sehingga tiada kemungkinan generasi akan datang terpaksa memgembara ke serata dunia dan bertemu pelbagai macam manusia!
Jadi, kita boleh fahamlah mengapa tiba-tiba filem ini jadi isu negara!
Yang kita tidak boleh faham, mengapa tidak disuruh saja semua pawagam, Netflix, Viu dan YouTube ditutup saja sebab takut nanti ada filem-filem yang boleh merosak akidah, menggugat iman atau mempromosi agama lain?
Begini sajalah. Cuba tuan puan kira lambakan filem-filem dari Barat dan Korea yang ada di Netflix atau Viu yang penuh dengan tahyul, khurafat, dongeng dan pelbagai macam isi kandungan yang ‘menyentuh sensitiviti agama’ dan ‘boleh menggugat akidah’. Berlambak dan bersepah, bukan?
Atau isunya adalah kerana Mentega Terbang itu dilakonkan oleh remaja Melayu, diarahkan oleh pengarah Melayu dan diterbitkan oleh penerbit bukan Melayu?
Tuan puan tidak usah jawab. Sebabnya, sila baca Polis rujuk isu Mentega Terbang ke SKMM. Sudah jadi kes SKMM. Jadi, eloklah kita biarkan saja isu ini ditangani oleh pihak penguasa yang berkenaan. Lebih eloklah kita lihat isu-isu berikut untuk perbicaraan lanjut;
- Kitab selain Al-Quran;
- HIDUP SETELAH MATI; ‘reincarnation’ ATAU kebangkitan semula;
- Pilihan akidah manusia.
Kitab Selain Al-Quran
Kita sekarang hidup dizaman ‘big data’ ya tuan puan sekalian. Kita tiada daya dan upaya untuk halang manusia, termasuk anak kita sendiri kalau mereka baca kitab selain Al-Quran dalam urusan mencari kebenaran agama. Sekalipun pemerintah membekukan semua import Bible dan sebagainya, rakyat negara ini tidak kira agama dan bangsa masih boleh baca kitab-kitab agama lain dengan memuat turun di internet. Macam-macam versi ada; versi pdf, versi aplikasi mudah alih termasuklah versi bercetak yang boleh di beli di pelbagai platform antarabangsa!
Jadi, kalau filem cereka Mentega Terbang itu menunjukkan seorang anak remaja membaca Thorah, Bible, Al-Quran ataupun kitab-kitab lain, itulah realiti sebahagian kecil manusia yang hidupnya lahir dalam keluarga yang mengaku beragama Islam bukan hanya di Malaysia atau di Nusantara ini, malah di seluruh dunia! Jika kita menonton petikan filem dan membaca ulasan mereka yang sudah menonton filem tersebut, maka bolehlah kita simpulkan bahawa anak remaja tersebut hidup dalam lingkungan keluarga yang mengaku Islam tetapi barangkali hanya membaca TETAPI TIDAK memahami isi kandungan Al_Quran. Jangan terkejut pula jika ada di kalangan yang membaca blog ini juga tergolong dalam kalangan tersebut.
Cerita mudahnya begini. Dalam filem tersebut digambarkan remaja tersebut membaca Bible atau Thorah versi bahasa Inggeris. Kita tidak tahu dia baca kitab Veda atau Tripitaka dalam bahasa Sanskrit, atau dia hanya membaca versi bahasa Inggeris, atau dia menduga-duga cuba memahami agama lain dengan bertanya kepada penganut agama lain. Kita juga tidak tahu sama ada remaja tersebut itu faham bahasa Al-Quran, iaitu bahasa Arab. Kita juga tidak tahu sama ada remaja tersebut telah khatam membaca terjemahan Al-Quran, atau telah menyemak tafsir Al-Quran mahupun mengetahui asbabunnuzul Quran.
Apa yang hendak kita sampaikan adalah, membaca kitab-kitab selain tanpa mengetahui bahasa asalnya, baik Hebrew, Aramaic, Sanskrit adalah tidak sempurna untuk mengetahui kebenaran. Sebabnya, kalau tuan puan ahli pengkaji linguistik, maka tuan puan akan ketahui TIDAK ADA SATU PUN TERJEMAHAN BAHASA adalah tepat untuk memaknai bahasa asal!
Sebab itu, kita patut merasa kasihan sekiranya ada segelintir manusia mengaku beragama Islam di dunia ini yang tidak lancar baca Al-Quran dan tidak tahu pula serba sedikit asas bahasa Arab. Mereka hanya cuba memahaminya dengan membaca terjemahan semata-mata tanpa mahu belajar ilmu tafsir dan tadabbur Al-Quran, lalu gagal memahami erti kebangkitan semula, erti syurga dan neraka, erti Qada’ dan Qadar. Kerana itulah barangkali bangkit persoalan dalam hatinya tidak berpuas hati mengapa begitu kejam sekali hidup ini kerana ibunya akan meninggalkan dunia ini. Tidakkah dia sedar suatu hari nanti dia pun akan meninggalkan ibunya atau bapanya jika ajal sudah menjemput dirinya?
Inilah masalah terbesar kalau Al-Quran itu sekadar perhiasan dan bacaan tanpa memahami pengajarannya. Seolah-olah masih belum jelas penerangan Tuhan dalam Al-Quran perihal hakikat kehidupan manusia di mukabumi ini. Sama ada dia tidak pernah membacanya atau dia hanya baca tetapi tidak pernah mahu belajar memahaminya menurut bahasa sendiri, atau sememangnya dia bebal. Maka sangatlah pelik dan jelik jika kaedah belajar agama sendiri pun dia tidak jelas lalu memandai-mandai cuba mencari kebenaran dengan membaca kitab selain Al-Quran. Hendak gapai kebenaran berdasarkan terjemahan kitab yang tidak diketahui siapa pengarangnya atau apakah maksud bahasa asalnya, begitukah caranya mencari kebenaran?
Lebih kasihan jika dia cuba mencari kebenaran dengan bertanya kepada penganut agama lain yang belum tentu pernah membaca kitab sucinya sendiri!
Manusia kebanyakannya begitulah ya tuan puan sekalian. Mengaku beragama Islam tetapi kitab suci Al-Quran pun dia tidak faham. Mengaku beragama lain, kita pun tidak tahu mereka pernah membaca kitab suci agama mereka sendiri. Sebab itu, hendak bertanya kenalah berhati-hati. Hendak membaca, kalau setakat terjemahan, jangan mudah terima sebagai kebenaran mutlak. Sudah baca, kena guna akal yang waras untuk menilai dan membuat pertimbangan; bukan dengan cara mengulit sentimen kesedihan dengan melihat kemunculan rama-rama putih yang muncul di pusara.
Barangkali itulah yang boleh kita simpulkan dari filem cereka tersebut. Itulah yang tersirat kefahaman keluarga tersebut, termasuk si bapa, si ibu yang sedang menghitung hari kematian dan juga si anak yang terpinga-pinga cuba memahami hakikat hidup selepas kematian. Sikapnya yang mencari-cari jalan hidup kekal bersama ibu dan ayahnya telah menjauhkannya dari agama sendiri. Kalau sudah bersikap tidak kisah memakan babi, kita sudah boleh menduga barangkali belum khatam Al-Quran sehingga tidak tahu bahawa sudah jelas larangan Tuhan tentang pengharaman memakan daging babi. Begitulah hina dan terpesongnya manusia yang tidak memahami kitab sucinya sendiri.

HIDUP SETELAH MATI; ‘reincarnation’ ATAU kebangkitan semula?
Apa juga kepercayaan pelakon, penulis, pengarah dan penerbit filem tersebut berhubung urusan hidup selepas mati, itu adalah urusan mereka. Kalau mereka anggap filem itu hanya sebagai persoalan hidup selepas mati semata-mata, wajarlah kalau filem itu di biarkan tergantung tanpa ‘clue’ ATAU ‘subtext’ di akhir filem. Seni perfileman bukanlah ‘rocket science’ sampai penonton tidak boleh memahami maksud yang tersirat dalam Mentega Terbang. Jika kita menilai beberapa ulasan objektif oleh mereka yang telah menonton, kita sudah tahu garapan filem itu menjurus kearah mana.
‘Mentega terbang’ itu hanya ‘butter-fly’ saja? Tidaklah susah sangat kita hendak faham garapan filem tersebut. Sebut sajalah mahu peraga ‘kepercayaan rama-rama’!
Kepercayaan ‘reincarnation’ (kelahiran semula) bukanlah perkara yang asing dalam kebanyakan agama yang wujud di dunia ini. Kalau penganut agama lain percaya manusia boleh dilahirkan semula sebagai ‘manusia bahagia’, kuda, monyet, babi, kucing, anjing, semut, rama-rama, ‘manusia derita’ dan yang sebagainya, itu urusan kepercayaan mereka.
Kalaulah hidup sesudah mati semudah itu mengikut kepercayaan mereka, kita tidak boleh berkata apa ya tuan puan sekalian. Mereka percaya kelahiran semula. Kita pula berbeza, sebab kita percaya dengan kebangkitan semula.
Bailklah tuan puan sekalian. Kita yang mengaku beragama Islam ini; jika benar-benar Islam patut tahu kebangkitan semula manusia selepas mati memang benar-benar akan terjadi. Kita percaya kebangkitan semula di akhirat kelak, yang mana manusia akan diberi balasan oleh Tuhan apa juga perkara yang telah mereka kerjakan semasa hidup di dunia ini. Hanya ada dua pilihan; menjadi penghuni syurga atau neraka. Itu saja.
Itu kepercayaan kita sebagai orang Islam. Sebab Tuhan kita memberitahu begitu. Sebab Nabi kita menyampaikan begitu. Kalau ada manusia kaki falsafah mahu bertikam lidah dengan kita perihal hidup sesudah mati, kita sebagai orang Islam juga boleh berbicara secara rasional dalam menetapkan pendirian kita.
Kita menolak ‘reincarnation’ sebab sebagai orang Islam sejati, kita sudah di ajar supaya berfikir secara waras. Misal kata seseorang yang baik itu mati, kemudian dia dilahirkan jadi rama-rama, lalu rama-rama itu dimakan oleh burung, selepas rama-rama itu mati, dia dilahirkan jadi apa pula? Apa salah rama-rama tersebut sampai kena makan burung? Adakah selepas di makan burung, maka tercapailah makam kebenaran agama yang dicari-cari itu?
Jika rama-rama itu tidak dimakan burung, dalam beberapa minggu sahaja dia akan mati juga (jangka hayat rama-rama umumnya tidak sampai sebulan ya tuan puan sekalian). Jadi, apa erti kehidupan ini dari menjadi manusia, kemudian jadi rama-rama, kemudian jadi apa? Hidup bertahun-tahun sebagai manusia, mati juga. Hidup tidak sampai beberapa minggu sebagai rama-rama, mati juga! Kebebasan apakah yang ingin dicapai dengan menjadi rama-rama? Adakah ini akan menjawab persoalan kebenaran agama yang dicari oleh si anak remaja tersebut?
Sebab itu kita katakan tadi, jika si ayah dalam filem cereka itu membaca dan memahami Al-Quran, dia sepatutnya memandu kecelaruan fikiran anak remajanya itu supaya memahami kalam Tuhan. Beri bimbingan. Hendak paksa budak-budak zaman sekarang, usah cari pasal. Silap haribulan, lari dari rumah pula, lagi haru! Hendak bimbing macam mana kalau tuan punya badan yang hendak dibimbing sudah tiada di depan mata? Zaman sudah berubah. Tanggungjawab ibu dan bapa adalah mendidik anak-anak mereka memahami agama dengan cara yang benar. Persoalannya, hendak didik macam mana kalau orang tua pun tidak memahami agama dengan cara yang benar?

Pilihan Akidah Manusia
Tuan puan sekalian. Kita sudah bicara berkenaan baca kitab, termasuk Al-Quran dan selain dari Al-Quran. Ringkasnya begini. Jika benar hendak memahami perbandingan agama, bacalah kitab-kitab tersebut dalam bahasa asal. Jika tidak faham bahasa asal, usah bicara tentang ‘mencari kebenaran’ lalu bikin filem hanya dengan merujuk kitab terjemahan dan bertanya kepada orang yang belum tentu baca dan faham kitab mereka.
Kita juga sudah membahaskan beza kepercayaan manusia; kelahiran semula dan kebangkitan semula. Manusia beza agama, pasti akan berbeza kepercayaan. Yang penting, kita memperakui semua perbezaan ini, dan tetap berpegang kepada kepercayaan kita. Kamu dengan kepercayaan kamu, kami dengan kepercayaan kami. Tidak perlu gaduh!
Lalu, kita agak pelik juga. Di kalangan yang mengaku beragama Islam, ada juga percaya dengan kelahiran semula roh Nabi, roh wali lalu jadilah dia tok guru yang dibiarkan penguasa bergentayangan di kalangan orang awam beragama Islam. Jangan buat-buat tak tahu pula. Benda ini pernah tular beberapa ketika dulu. Dan, kita percaya, dalam kalangan umat Islam, ada yang terpengaruh dengan pegangan sebegini. Sebab, ia adalah isu basi sejak ratusan tahun dahulu. Kepercayaan sedemikian berterusan muncul sepanjang zaman dalam kalangan manusia yang mengaku beragama Islam. Ini adalah pelik dan jelik, malangnya ia berlaku juga dalam masyarakat kita!
Demikianlah kita jadi masyarakat ibarat kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak!
Perihal akidah sesama Islam juga ada kalangan ustaz kita saling kafir mengkafir sesama manusia. Tuan puan tonton sajalah bahasan ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja. Asyik sibuk mempersoalkan akidah sesama Islam, sampai perihal segelintir manusia yang sibuk mencari kebenaran agama selain dari Islam pun terabai. Kita sibuk mempersoal akidah manusia, jangan lupa itu urusan Allah, bukan urusan kita sehingga boleh memaksa manusia ikut cara faham akidah kita.
Urusan kita adalah menyampaikan akidah yang benar. Manusia, baik yang Islam mahupun bukan Islam, hendak memilih apa, itu urusan mereka dengan Tuhan. Jika mereka pilih yang benar, Tuhan akan menguruskannya. Jika mereka pilih akidah yang salah, Tuhan akan menguruskannya juga. Sejak bila Tuhan memberikan kita hak untuk memaksa manusia dalam pilihan akidah mereka?
Berbalik kepada filem Mentega Terbang. Pihak berkuasa boleh berbuat apa saja untuk menangani isu tersebut, hasil dari rungutan masyarakat Islam. Ya, sementara ada kuasa, gunakanlah. Cuma, usah berselindung disebalik perkataan; “… filem Mentega Terbang menghina,meremeh, merendah-rendahkan, menodai dan mempersendakan Islam secara terang terangan (blasphemy)…”. Itu tuduhan yang dangkal.
Secara objektif, filem itu tidak menghina Islam. Sebab itu kita pernah terbitkan sebelum ini, ISLAM ITU AGAMA; Islam bukanlah manusia! Berhentilah mengungkapkan retorik seolah-olah Islam itu adalah manusia. Orang awam zaman ini, baik yang Islam, mahupun bukan Islam sudah cukup cerdik menilai sesuatu isu secara objektif. Pengecualian tetap ada barangkali; iaitu mereka yang MAHU HIDUP JADI BEBAL.
Video 2
Filem itu cuma karya seni, menurut perspektif pengarah dan penerbit lalu dilakonkan. Jika kita masih hendak guna perkataan menghina,meremeh, merendah-rendahkan, menodai dan mempersendakan, katakan sajalah; “ia menghina penganut Islam yang TIDAK FAHAM ISLAM”. Mudah sebut, tidak faham agama sendiri. Nampak begitu lemah sekali pegangan akidah ahli keluarga tersebut biarpun tidak tinggal sembahyang berjemaah bersama keluarga.
Memang patutlah keluarga yang mengaku beragama Islam itu jadi hina sebab bapanya sendiri tidak ambil peduli untuk menerangkan kepada si anak remaja itu cara menilai agama yang benar. Dipaparkan adegan selamba si bapa boleh benarkan begitu saja jika si anak hendak menukar akidah macam lalang, tanpa ada sekelumit tanggungjawab menjaga ahli keluarganya dari terjerumus ke dalam neraka. Jadi, yang hina itu adalah penganut agama Islam dalam filem itu. Yang hina dan dipersenda bukanlah agama Islam. Ya, penganut agama Islam yang tidak faham ISLAM SEBENAR itulah yang hina!
Ya tuan puan. Begitulah hinanya penganut Islam yang tidak faham agama sendiri. Kita hendak tolong macam mana kalau anak beranak sekeluarga lebih gemar beragama secara ikut-ikutan tanpa mahu memahami firman Tuhan yang terkandung di dalam Al-Quran? Begitulah hinanya manusia mengaku beragama Islam yang gagal memahami firman Tuhan yang terkandung dalam kitab sucinya sendiri; AL-QURAN.
Sebab gagal faham firman Tuhan itulah fikiran mula melayang macam digambarkan dalam lagu latar filem Mentega Terbang;
Video 3
Irama lagu memang sedap didengar. Setakat seronok layan sambil berangan cinta tiga segi barangkali biasalah. Maklumlah lagu untuk anak remaja.
Tapi kalau bicara soal akidah, jangan cari pasal. Liriknya melayang-layang masih tidak tahu memilih yang mana satu? Hendak pilih macam mana kalau cara baca kitab pun kacau-bilau? Hendak pilih macam mana kalau bertanya kepada sesiapa saja yang ditemui tanpa tujuan?
Ya. Demikianlah bebal dan hina-dinanya manusia yang kononnya bersikap terbuka tanpa tahu sempadan akidah. Terpedaya dengan istilah kebebasan fikiran tanpa sempadan. Barangkali belum cukup kembara ke daerah paling asing di dunia ini, sebab itu masih berfikir ada kebebasan mutlak dalam kehidupan! Maka barangkali padanlah dengan muka mereka kalau ada pihak mahu mempersenda orang Islam jenis sedemikian. Tidaklah cerdik mana sikap liberal itu jika akidahnya masih terhuyung hayang.
Jadilah fikirannya celaru tidak tahu mana hendak dituju. Puncanya satu; TIDAK BACA KITAB AL-QURAN. Atau baca setakat di bibir, fahamnya entah ke mana? Hendak faham macam mana kalau cara baca pun tidak pernah mahu ambil tahu! Hendak faham macam mana kalau asas bahasa Arab pun tidak peduli biarpun lidahnya lancar bukan main hebat berbahasa Inggeris dan Korea!
Apa kata tuan puan sekalian tonton pula bicara ilmiah berikut berkenaan filem Mentega Terbang;
Video 4
Bagus bukan? Orang Islam tidaklah gersang sangat seperti yang digambarkan dalam keluarga si Aisyah Mentega Terbang. Sebab kita ada ramai juga ustaz-ustaz yang cerdas macam Ustaz Syiabuddin dan Ustaz Noor Derus. Malang sekali, ustaz sedemikian sering dicop Wahabi oleh golongan ustaz yang malas berfikir!
Video di atas juga menunjukkan kepada kita , ada saja kalangan orang Islam yang cerdik membahaskan isu-isu sensitif secara matang. Apa masalahnya kalau kita berhadapan secara berterus terang membicarakan pelbagai macam kepercayaan manusia? Ustaz Noor Derus telah pun jelaskan dalam dialog tersebut falsafah dan teologi apa disebalik ‘reincarnation‘ itu. Tidaklah sesukar mana hendak menilai agama mana yang benar. Biarpun ada kalangan para pengulas yang masih merasakan filem itu tidak adil atau menghina Islam, itu bukan persoalannya. Faktanya kita ulang sekali lagi ya tuan puan sekalian;
Yang hina dan dipersenda bukanlah agama Islam.
Ya, penganut agama Islam yang tidak faham ISLAM SEBENAR itulah yang hina! Karakter orang Islam yang digambarkan dalam filem itu, baik si ibu, baik si ayah, mahupun jiran si Uncle Kassim memang jenis manusia yang tidak faham agamanya sendiri. Mereka beragama secara ikut-ikutan tanpa faham. Hendak faham macam mana kalau baca surah Al-Asr pun sebutan ‘shad’ (صَ) tidak betul!
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.
Al-‘Ashr 103:3
Demikianlah. Faktanya apa? Faktanya umat Islam di dunia ini memang ramai. Faktanya juga, bilangan yang ramai itu bukan jaminan kualiti mereka sebagai penganut agama yang faham Islam. Kalau asas membaca pun masih belum betul, bagaimana pula cara memahami terjemahan? Belum lagi cara memahami tafsir. Belum pula kita tanya pernah atau tidak mentadabbur Al-Quran.
Ya tuan puan sekalian. Kalau hendak bersentimen juga, akuilah saja bahawa filem itu cuma menghina penganut agama Islam yang tidak faham Islam! Golongan yang asyik lari masuk gua patut kena ada rasa malu jugalah kalau mendakwa belajar ilmu kalam dan Sifat 20, masih juga mahu diajar orang awam duduk bawah tempurung bila berhadapan dengan ‘mentega terbang’! Elok kita tanya; bagaimana cara kamu mengajar ilmu kalam sampai orang tidak faham? Kamu ajar macam mana sampai akidah awam senang kena goyang?
Hendak berhujah dengan golongan tidak baca dan faham kitab ini tidaklah sukar mana kalau sistem pendidikan orang Islam didirikan dengan cara yang betul menggunakan akal. Tuan puan telitilah hujah-hujah intelektual yang dikemukakan oleh Ustaz Noor Derus dalam video ‘live reaction’ tadi. Cubaan mempromosi fikiran liberal, kepercayaan ‘reincarnation’, dan dakwaan keterbukaan masyarakat sebenarnya hanyalah kepura-puraan. Puak yang sedemikian, kalau berhadapan dengan hujah kebenaran, sebenarnya mereka pun akan terkebil-kebil juga melihat begitu rapuh sekali pegangan mereka. Dakwaan semua agama adalah sama benar hanyalah retorik sosial dan politik semata-mata. Cuba kita tanya, jika benar semua agama sama benar, apa salahnya kamu memeluk agama Islam? Cubalah! Mahu terkebil-kebil juga mereka hendak ‘go around the bush‘ memutar belitkan lidah bercabang.
Sebab itu, sebenarnya tiada keperluan bagi para penguasa agama mengharamkan tayangan filem Mentega Terbang. Biarkan sahajalah. Dengan dana berbillion setiap tahun, sepatutnya tiada masalah jika seluruh jentera dakwah digunakan untuk mengajar orang awam cara memahami Al-Quran. Jika masyarakat awam sudah dididik dengan cara yang benar, maka masyarakat Islam tidak sepatutnya melenting tidak tentu pasal dengan kerenah filem cereka seperti Mentega Terbang. Bukannya hanya sibuk pasal hukum-hakam berlakon macam yang boleh kita dengar dalam video di bawah ini;
Video 5
Kita tidak kata keperihatinan pasal lakonan itu salah. Cuma alangkah baiknya kalau si tukang tanya dan ustaz berkenaan turut mengulas isu pokok filem mentega terbang, iaitu ‘reincarnation’. Bukankah itu lebih baik? Lihat sajalah bagaimana Ustaz Noor Derus (Video 4) dan jemaah yang mengulas filem tersebut secara intelektual. Begitulah sepatutnya cara kita mendepani isu keterbukaan golongan pelakon, pengarah dan penerbit yang menjual idea liberal. Puak berkenaan bukan kisah pasal isi kandung Al-Quran. Mereka cuma peduli pasal falsafah hidul dan rasional pemikiran. Jadi, kita jawablah dengan kaedah falsafah hidup dan rasional juga kalau hendak menolak kepercayaan ‘reincarnation‘. Ilmu kalam yang kita pelajari selama ini tidak mendidik kita supaya pintar berhujahkah?
Kita biarkanlah saja terima keterbukaan Malaysia Madani mendepani filem sebegini. Kalau pengarah dan penerbit filem tersebut dengan selamba bahawa karya mereka itu hanya sebuah filem, kita biarkanlah saja. Supaya kita boleh ajar manusia yang menabur angin supaya bersedia menuai badai. Tidak perlu tunjuk perasaan bagai yang membuang masa dan tenaga.
Memadailah dengan cara kita ajar puak yang kononnya mengaku terbuka itu menerima penjelasan kita secara terbuka pula. Takkanlah nanti puak yang melaungkan agenda keterbukaaan itu meroyan kekalutan pula jika ada di kalangan orang Islam yang cerdik berupaya membongkar kekarutan falsafah hidup mereka;
- Kamu hendak sangat berfikiran terbuka, bukan?
- Adakah kamu fikir tiada manusia berakal dalam dunia ini yang boleh meruntuhkan ilmu teologi yang dianggap benar dalam Mentega Terbang?
- Adakah benar kamu sedia untuk sahut cabaran?

‘Sequel’ Filem Burung Kenyang Terbang
Ya. Kita biarkan saja karya filem puak-puak sedemikian yang gemar mengajak manusia supaya ‘berfikiran terbuka’. Supaya kita boleh sediakan skrip membidas ilusi ‘mentega terbang’. Supaya kita boleh menaja kalangan penggiat filem beragama Islam yang cerdas membuat ‘sequel’ filem rama-rama dimakan burung pula. Lepas makan rama-rama, bolehlah kita tayang pula adegan burung terbang kekenyangan. Mana tahu adegan sedemikian boleh membuka minda puak yang berkenaan itu memahami ‘kebenaran agama’? Dengan paparan adegan ‘mentega terbang’ atau ‘butterfly’ yang sudah kena makan burung, bukankah itu sudah memadai untuk meruntuhkan kepercayaan ‘reincarnation’? Hendak gaduh sangat suruh kerajaan haramkan tayangan filem Mentega Terbang, besar mana faedahnya? Orang boleh curi-curi tonton juga!
Selesai filem ‘BURUNG KENYANG TERBANG’ itu nanti, bolehlah pula kita buat ‘sequel’ filem ‘BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA‘. Takkanlah masyarakat Malaysia Madani tidak boleh faham peribahasa? Bijak sangat, bukan?
Bagaimana? Boleh sajakan. Bukan susah sangatpun kalau nak berkarya filem balas secara santai tetapi sangat intelektual bagi menjelaskan kepada orang awam perihal akidah yang benar, secara tersirat juga. Kita BALAS HUJAH DENGAN HUJAH. Apakah puak yang mendakwa ‘liberal sangat’ itu terlajak cerdik sampai tiada di kalangan kita yang boleh benamkan hujah lalang mereka itu? Barulah ada nilai orang Islam dalam dunia Malaysia Madani hari ini. Bukannya dengan cara balas hujah dengan masuk gua! Sampai bila hidup sebagai orang Islam ini mudah rasa hina dan goyah sebab takut dengan bayang-bayang sendiri.
Beginilah tuan puan sekalian. Jika kita penganut Islam merasa terhina dengan filem Mentega Terbang, eloklah bertanya kepada diri sendiri; HINA SANGATKAH KITA INI SAMPAI TIDAK TAHU JAGA AKIDAH SENDIRI?
- Begitu lemah akidah kita ini hingga setiap kali muncul filem yang didakwa menghina Islam dan menggugat akidah, maka setiap kali itu jugalah kita perlu berlindung di sebalik kuasa pemerintah?
- Adakah kita fikir sang penguasa itu akan kekal di kedudukan sekarang selamanya?
- Bila mereka sudah tiada kuasa, kita hendak berlindung dengan siapa?
- Adakah kita fikir selamanya kita hidup di negara ini akan kekal sehingga anak cucu cicit hidup di bawah naungan ‘kerajaan Islam’?
- Sedarkah kita bahawa istilah ‘kerajaan Islam’ itu hanyalah ilusi ciptaan para politikus untuk berpaut kepada kuasa?
- Sampai bila hendak kita biarkan hidup ini mahu ibarat lalang ditiup angin kerana kebebalan kita sendiri?
Sebab itu tuan puan sekalian kita sudah acap kali berpesan. Pelajari ilmu agama. Belajarlah memahami kalam Tuhan dan kalam Nabi. Mudah-mudahan, dengan izinNya, menjadilah ia perisai untuk menjaga akidah kita berlandaskan apa yang Allah kata, apa yang Nabi Muhammad SAW kata, dan bukannya ‘apa yang Islam kata’. Boleh faham?
Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.
2 responses to “MENTEGA TERBANG: Filem Gugat Akidah?”
[…] itu tuan puan sekalian, adalah pelik dan jelik kita melihat perangai manusia yang mencari-cari kebenaran agama dengan cuba membandingkan ‘agama’ yang ada di dunia pada hari ini. Kita juga kehairanan melihat manusia yang mengaku beragama Islam […]
[…] Ikut suka hatilah hendak bebal dalam berpolitik, JANGAN PULA BEBAL DALAM BERAGAMA! […]
You must log in to post a comment.