Berkatalah +SANGfikir;
Dikesempatan Aidilfitri ini, maka berbondonglah manusia termasuk aku menziarahi kuburan. Barangkali ia kemestian bagi manusia seluruh alam atau barangkali inilah kesempatan yang hadir apabila pulang ke kampung halaman. Maka sesungguhnya menziarahi kuburan itu boleh saja dilakukan bila-bila masa, supaya orang yang hidup mengambil manfaat, mengambil pelajaran dan mengingati mati. Demikianlah tujuan menziarahi kuburan sekiranya manusia mahu mengambil pelajaran dari Al-Quran, sekiranya mahu mereka itu memahami sunnah yang telah ditunjuk oleh Nabi mereka.
Maka aku memberi salam kepada ahlul kubur, lalu aku berdoa kepada Tuhan Bagi Manusia supaya mengampuni, merahmati dan mengasihani mereka yang telah pergi. Maka bertanyalah anakku sekiranya mereka yang didalam kubur itu boleh mendengar dan menjawab salamku; “Tiadalah aku ketahui perihal ini melainkan sekadar aku ini menuruti sunnah Nabiku dan Nabimu jua yang telah sampai kepadaku wahai anakku”. Kerana urusan orang yang telah mati itu adalah urusan Allah jua, lalu aku meninggalkan kuburan sambil mengira-ngira nasib diri yang akan meninggalkan dunia ini entah bila, hanya Tuhan mengetahui segalanya. Demikian selesailah urusanku menziarahi kuburan.
Namun yang aku lihat berbondonglah manusia berkeliaran diperkuburan, bahkan terkadang berdiri dan duduk atas kuburan, sambil berbual kosong menunggu-nunggu kehadiran sang Imam untuk memimpin mereka membaca Yasin, bertahlil lalu mengharap pahala bacaan mereka itu sampai kepada si mati buat bekalan di alam barzakh, yang hanya Tuhan mengetahui keadaan hamba-hambaNya sekaliannya itu.
Maka berbondonglah manusia meninggalkan pendapat Imam Agung As-Syafie yang menyatakan tiadalah sampai pahala bacaan Al-Quran oleh orang yang hidup kepada si mati. Berbondonglah pula mereka memuja pendapat muridnya Imam As-Syafie sebab budaya kirim mengirim ini sudah sebati sejak nenek moyang mereka sebelum ini. Maka berbondonglah pula mereka mengambil pandangan Imam Ahmad Hanbal, sedangkan dalam banyak hal tidaklah lekang mulut mereka menuduh manusia yang cenderung kepada Mazhab Hanbali itu sebagai Wahabi, semata-mata kerana bebalnya mereka itu tidak mahu menelaah ilmu perbandingan mazhab 4 yang tersohor dalam kalangan orang Islam.
Maka berbondonglah manusia cenderung mengambil pendapat para Imam yang sesuai dengan keinginan mereka agar amalan kirim mengirim bekalan yang diamal nenek moyang mereka diteruskan sehingga hari kiamat. Maka pendapat yang sesuai itulah yang diagungkan mereka, biarpun ianya tidak selari dengan pendapat Imam Agung mereka yang selalu dipuja biarpun belum pernah kitab sang Imam itu habis dibacanya.
Tidakkah mereka itu ingin mengetahui sekiranya perbuatan mereka itu jelas ada manfaatnya menurut dalil Al-Quran?
Tidakkah mereka itu sudi menyemak hadith Nabi adakah sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam urusan kirim mengirim pahala?
Lalu giat sekali imam yang masih hidup menjual pendapat imam yang telah tiada untuk mencari-cari jalan supaya orang awam dibiarkan saja meneruskan tradisi turun temurun pilihan mereka.
Maka biarkanlah manusia itu memilih jalan mereka. Aku sudah menyampaikan kepada keluargaku dan mereka yang membaca ini perihal pentingnya menimbang segala perbuatan dengan neraca Al-Quran, perihal pentingnya menilai segala amalan dengan apa yang sampai dari hadith Nabi Muhammad SAW. Maka jika manusia itu lebih cenderung mengikut apa yang sudah diajar oleh para imam yang masih hidup, yang membiarkan sahaja manusia berbondong-bondong kepanasan dan melintasi kuburan dengan sandal, selipar dan kasut tumit tinggi mereka tanpa ada usaha mahu menanggalkannya, maka biarkanlah mereka. Kubur masing-masing, begitu?
Segala urusan itu milik Allah Yang Maha Mengetahui jua adanya.
+SANGfikir
Demikianlah tuan puan sekalian coretan di pagi Aidilfitri.
Jadi kita ingin mengajak tuan puan supaya menjengok kembali amal perbuatan tuan puan dalam urusan khatam Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Sebabnya begini ya tuan puan. Jikalau tuan puan khatam sepuluh kali pun sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, tetapi masih tidak faham-faham juga kalam Allah maka fikirkanlah manfaatnya selain beroleh pahala membaca Al-Quran. Maka eloklah muhasabah diri;
- Adakah tuan puan mengambil manfaat dengan memahami isi kandungan Al-Quran?
- Adakah dengan membaca Al-Quran itu tuan puan menjadi lebih cerdik untuk menimbang segala pendapat imam yang datang kepada tuan puan?
- Atau tuan puan baca saja, tetapi masih juga menjadi orang ikut-ikutan dalam segala amal perbuatan?
Kemudian, eloklah tanya lagi;
- Adakah dengan membaca Al-Quran itu membawa tuan puan memahami agama ini dengan cuba menelusuri tinggalan hadith Nabi supaya boleh tuan puan beramal mengikut sunnahnya?
- Atau tuan puan tidak jumpa satu pun ayat dalam Al-Quran yang menjelaskan peri pentingnya mengikut sunnah Nabi sehingga tuan puan mentafsir ayat-ayat Al-Quran diluar konteks ikut suka hati dan nafsu sendiri?
- Atau tuan puan sekalian tidak mahu ambil kisah kandungan Al-Quran, tidak mahu belajar memahami ilmu hadith supaya boleh menilai mana satu amalan yang selaras dengan sunnah Nabi kalian, lalu tuan puan ikut sajalah amalan turun temurun yang menjadi tradisi sejak zaman berzaman?
Itulah maksud tajuk terbitan ini ya tuan puan sekalian;
Al-Quran Terbiar, Sunnah Ditinggalkan & Imam Diagungkan
Biarlah kita sebutkan pemerhatian kita begini. Apabila manusia mendengar radio dalam kereta memutarkan bacaan Al-Quran, apakah reaksi mereka?
- Berdiam diri untuk mendengar dan menghayati bacaan Al-Quran tersebut, atau bersikap alpa tiada apa?
- Atau lebih hebat lagi, meneruskan perbualan dan bergurau senda seolah-olah kalam Allah itu tidak menggetarkan kulit dan jiwanya?
Demikianlah Al-Quran terbiar di hadapan mata kita. Demikianlah ayat-ayat Al-Quran dijadikan hiasan cermin kereta dan dinding-dinding rumah manusia. Demikianlah hebat pula jam perhiasan dan waktu sembahyang digital dambaan orang Islam diprogram pula dengan bacaan zikir dan Al-Quran mengikut selang masa.
Maka perhatikanlah tuan puan sekalian. Apakala perhiasan dinding itu bersuara melontarkan bacaan Al-Quran, apakah reaksi manusia yang mendiami rumah tersebut?
- Berdiam diri untuk mendengar dan menghayati bacaan Al-Quran tersebut, atau bersikap alpa tiada apa?
- Atau lebih hebat lagi, meneruskan perbualan dan bergurau senda seolah-olah kalam Allah itu tidak menggetarkan kulit dan jiwanya?
Jadi bagaimana tuan puan sekalian? Tidak pernahkah kita mendengar adab apabila Al-Quran dibacakan bagaimana harus kita menyantuninya? Bagaimana kita boleh tahu menahu adab yang sepatutnya jikalau kita khatam Al-Quran berulang kali tetapi masih tidak faham-faham juga sekurang-kurangnya makna atau terjemahannya?
Sebab itu bulan Ramadhan yang lalu, kita ada dengar Ustaz Noor Deros menjelaskan peri pentingnya faham Al-Quran berbanding terkejar-kejar menghabiskan 1 juzuk dalam 1 rakaat tapi tidak faham apa yang dibaca. Tuan puan boleh tonton ulasan sang ustaz dalam minit 1:51:03 dalam video di bawah ini;
Terjemahan Al-Quran
Segala puji bagi Allah sepanjang bulan Ramadhan yang lalu kita berkesempatan menyebar bacaan Al-Quran berserta terjemahannya kepada sekurang-kurangnya 100 kenalan setiap hari. Sengaja kita berikan pautan di YouTube supaya kita boleh semak jejak pendengar dan penonton Al-Quran berserta audio visual, yang kebanyakannya adalah paparan alam ciptaan Tuhan dan kerenah hidup manusia hari ini. Dari situ, sedarlah kita bahawa tidak ramai yang berminat mendengar Al-Quran dan terjemahannya.
Atau kita bersangka baik bahawa sekalian 100 manusia setiap hari itu tiada masa mendengar barang satu surah sekalipun sebab kesibukan mereka membaca Al-Quran sepanjang hari kerana mengejar khatam Al-Quran sekadar bacaan sahaja tanpa mengetahui maknanya?
Maka, barangkali elok juga kita bersangka baik bahawa semua 100 manusia itu amat fasih berbahasa Arab sehingga tiada keperluan bagi mereka itu sekaliannya merujuk terjemahan untuk memahami Al-Quran yang dibacanya.
Atau barangkali 100 manusia itu bersikap sangat berhati-hati takut sesat kalau mendengar terjemahan Al-Quran tanpa bimbingan ustaz dan ustazah kegemaran mereka? Maklumlah, seringkali juga kita ini dimomokkan; orang awam baca Al-Quran boleh jadi sesat katanya!
Begitulah dugaan kita ya tuan puan sekalian. Sekadar dugaan saja. Barangkali betul, barangkali salah! Barangkali pula memang manusia itu lebih gemar mendengar ceramah para penglipur lara yang gemar memuaskan nafsu manusia dengan lawak santai dan gelak ketawa sepanjang ceramah supaya para pendengar tidak mengantuk katanya. Kalau setakat hidangkan isi kandungan Al-Quran atau membentang hadith Nabi ikut syarah ulama muktabar, nanti tak ramai jemaah sudi mendengarnya pula. Barangkali!
Kalau Faham Al-Quran, Sepatutnya Rajin Mahu Faham Hadith
Begini ya tuan puan sekalian. Kalau kita memang betul faham Al-Quran, maka kita patut menjadi rajin mahu belajar ilmu hadith pula. Bukanlah sampai hendak jadi ustaz atau pakar hadith! Memadailah kita orang awam ini tahu pula adab bila berurusan dengan hadith. Paling kurang, rajin-rajinlah dengar pakar hadith mengulas syarah hadith. Paling kurang, mahu ambil tahu jenis-jenis hadith. Paling kurang, tahu mana sahih, mana dhoif ringan, mana dhoif berat, mana yang maudhuk;
- Supaya kita tidak terikut-ikut golongan yang kononnya Quranist tapi tafsir Al-Quran ikut hawa nafsu mereka, atas alasan semua hadith tidak boleh pakai sebab dikumpulkan 200 tahun setelah kewafatan Nabi. Puak sedemikian adalah hipokrit besar, sebab boleh pula mereka terima temberang para ahli falsafah dan ahli sains yang sanadnya entah berantah dan perawinya entah ke mana!
- Supaya kita tidaklah jadi manusia yang lancang mempersoalkan benarkah adanya nikmat syurga dan azab neraka pada hari kebangkitan kelak. Tak lancang macam mana kalau baca kitab agama lain bukan kemain, baca Al-Quran kitab suci sendiri tidak faham sepatah pun ayat yang dibacanya!
- Supaya kita tidaklah jadi manusia yang suka menebuk ayat-ayat Al-Quran, lalu sesuka hati mencantumkan dengan hadith dhoif berat dan hadith palsu supaya bersesuaian dengan angan-angan mereka menjadi wali Tuhan dengan pelbagai keajaiban yang dijaja oleh anak murid sehingga berkurun lamanya!
Demikianlah tuan puan sekalian. Jikalau kita ini mahu berjinak-jinak dengan pakar hadith yang berbahasa serupa dengan kita, yang masih hidup sekarang; tentulah kita seronok mahu menuruti sunnah Nabi yang jelas dalam hadith sahih supaya dapat kita beramal dengan apa yang sejalan dengan apa yang dijelaskan oleh maksud Al-Quran.
Demikianlah tuan puan sekalian. Jikalau kita ini menjadikan ahlul hadith sebagai musuh nombor satu kita, maka jadilah kita manusia yang hidupnya lebih gemar menurut para imam yang hidup tanpa mahu menyemak kebenaran perkara yang disampaikan kepada kita. Hendak semak macam mana kalau hadith sahih pun kita syarah ikut suka nafsu kita. Hendak semak macam mana kalau baca Al-Quran pun takut sesat!
Lalu bagaimana kita ambil pendirian hidup ini? Al-Quran kita jadikan ia hiasan, tangkal dan azimat yang terbiar? Sunnah Nabi kita jadikan dia perkara yang paling awal kita tinggalkan? Ajaran para imam yang masih hidup jugalah kita mahu agung-agungkan seolah-olah manusia selain Nabi itu lebih hebat sehingga wajib kita ikuti segala pendapatnya?
Ikut Imam Agung
Sabar ya tuan puan sekalian! Sebelum tuan puan sekalian melompat setinggi pokok kelapa yang ada di kampung halaman tuan puan kerana menahan amarah sebab mendengar seruan supaya Imam Agung ditinggalkan, elok baca pesan kita yang telah berlambak-lambak dalam terbitan sebelum ini. Kita bukan suruh tuan puan berdemonstrasi depan para imam, para ustaz, para daei, para pencetus ummah dan sebagainya dengan tujuan menentang ajaran mereka. Kita bukan suruh tuan puan buang semua kitab-kitab para imam yang muktabar. Bukan ya tuan puan sekalian!
Bukan pula kita berniat supaya tuan puan mula tunjuk pandai tak tentu pasal buat hukum hakam sendiri sebab kononya sudah arif sangat faham Al-Quran dan hadith Nabi. Bukan pula niat kita supaya tuan puan buat mazhab baru atau buka sekolah pondok dan lantik diri sendiri jadi imam.
Tolong tarik nafas dulu, boleh?
Demikianlah pesan sang ustaz jenis mengajak manusia berfikir secara rasional. Jadi sedarlah tuan puan sekalian. Di luar sana ada saja ramai ustaz yang mengajak kita supaya jadi cerdik dalam beragama, bukan berterusan jumud tidak bertepian.
Baiklah. Mari kembali kepada maksud asal kita yang menulis ini.
Tuan puan sekalian. Kita sudah pesan acap kali bahawa para imam yang muktabar, baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia itu adalah manusia yang agung. Manusia yang diangkat darjat mereka oleh Allah SWT sebagai hamba yang mempunyai banyak pengetahuan yang berguna untuk umat sejagat. Setiap imam itu ada pandangan mereka sendiri dalam perkara yang menjadi kemusykilan orang awam. Kemudian patutlah kita ketahui bahawa, hampir semua imam tersebut (kalau pun tidak kesemuanya) tidak pernah lupa untuk berpesan bahawa segala pandangan yang mereka kemukakan itu adalah pendapat mereka, kecenderungan mereka menetapkan hukum hakam supaya mudah bagi orang awam memahami permasalahan.
Amat langka sekali kita baca atau dengar para imam sekaliannya itu mendakwa ini hukum Tuhan, itu hukum Tuhan, melainkan telah jelas perkataan itu termaktub dalam Al-Quran dan hadith yang sahih. Sebab para imam muktabar itu sangat berhati-hati supaya tidak ‘menjadikan diri mereka sebagai tuhan pula’. Sebab para imam muktabar itu sangat berhati-hati agar diri mereka itu menjadi sembahan pula oleh masyarakat sebagaimana yang telah terjadi kepada para pendeta dan rabbi penganut agama lain yang menulis kitab lalu mendakwa ini dari Tuhan, itu dari Tuhan;
- Tuan puan sedar atau tidak begitu luhur budi pekerti para imam muktabar itu yang sangat cermat dalam memberikan pandangan dan menulis kitab?
- Tuan puan sedar atau tidak beza imam muktabar itu dengan imam-imam yang tuan puan sering jumpa seharian yang terkadang seolah-olah menjadikan diri mereka itu tuhan orang awam?
- Tuan puan faham atau tidak maksud tuhan ATAU sembahan yang kita sebutkan dalam terbitan ini?
Kalau masih kurang jelas, maka eloklah kita kongsikan potongan ayat berikut mudah-mudahan tuan puan faham kalam Allah apabila menjelaskan perihal tuhan DAN sembahan;
اِتَّخَذُوْٓا اَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ اَرْبَابًا مِّنْ دُوْنِ اللّٰهِ وَالْمَسِيْحَ ابْنَ مَرْيَمَۚ وَمَآ اُمِرُوْٓا اِلَّا لِيَعْبُدُوْٓا اِلٰهًا وَّاحِدًاۚ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۗ سُبْحٰنَهٗ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ
Mereka menjadikan orang-orang alim (Yahudi), dan rahib-rahibnya (Nasrani) sebagai tuhan selain Allah, dan (juga) Al-Masih putra Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada tuhan selain Dia. Mahasuci Dia dari apa yang mereka persekutukan.
Surah At-taubah 09:31
Sebab itu tuan puan sekalian. Fahamilah Al-Quran itu dengan membaca keseluruhan konteksnya. Supaya kita sedar perkataan tuhan dan sembahan itu boleh bermaksud apa jua perkara yang kita bergantung harap kepadanya seolah-olah benda itu adalah penguasa yang memberi mudarat atau manfaat secara mutlak kepada diri kita.
Peri pentingnya kefahaman meluas sebegini supaya kita mengelakkan diri dari menjadi pentaksub para imam seolah-olah mereka sekaliannya itu benar belaka dalam semua perkara. Supaya kita mengelakkan diri dari menjadi pentaksub pak lebai yang berlagak seolah-olah sebagai Tuhan lalu menghukum orang itu dan orang ini sesat semuanya masuk neraka. Supaya kita menjauhkan diri dari menjadi manusia yang mendampingi orang alim semata-mata mahu bertabarruk (mengambil berkat) tanpa mahu mengambil ilmu dari mereka. Supaya tidak kita biarkan sikap suka bertabarruk itu sehingga apabila orang alim itu sudah mati maka kuburannya pula kita jadikan tempat bertabarruk dan mencari seribu satu alasan menyebut nama selain Allah dalam berdoa memohon hajat kita.
Semua ini kita boleh faham kalau kita sudi mencari jalan untuk memahami keseluruhan 114 surah yang terkandung dalam Al-Quran yang telah Allah janjikan sebagai kitab yang menjadi panduan dan memberi pelajaran kepada manusia;
- Hendak faham macam mana kalau setiap patah perkataan dalam Al-Quran itu kita asyik bergantung seumur hidup kepada para Imam untuk memahaminya?
- Hendak faham macam mana kalau kita masih degil tidak mahu percaya dan beriman kepada janji Allah yang termaktub dalam Al-Quran bahawa kitab itulah cahaya yang menjadi penerang kehidupan manusia?
- Hendak faham macam mana kalau sudah diajar soalan bocor “Al-Quran Imami” (Al-Quran adalah pemimpinku) tapi hidup kita masih juga berpaut setiap saat dan ketika kepada pak lebai dan pak imam untuk memahami agama?
- Hendak faham macam mana Tuhan sudah menyuruh manusia agar berfikir tapi masih malas juga lalu biarkan saja pak lebai dan pak imam fikirkan semua masalah agama untuk kita?
- Kenapa tidak kita ini bergantung kepada pak lebai dan pak imam itu untuk segalanya dalam menentukan urusan hendak beli rumah kereta, mencari jodoh, makan pakai dan sebagainya?
- Kenapa boleh pula cerdik kita untuk memikirkan apa yang baik dan apa yang buruk dalam urusan dunia yang sementara?
- Kenapa tidak boleh kita mencerdikkan diri sendiri menentukan apa yang baik dan apa yang buruk dalam urusan agama sedangkan Al-Quran dan sunnah Nabi sudah dibentangkan di hadapan kita?

IMAM AGUNG adalah Masalah Sejagat Bagi Manusia
Menjadikan imam sebagai penguasa agung yang diikuti tanpa banyak soal ini bukan perkara khusus berlaku kepada umat Islam ya tuan puan sekalian. Ia berlaku kepada semua manusia tidak kira agama sejak zaman berzaman lamanya. Khususnya bagi agama yang kitab aslinya entah ke mana. Khususnya agama yang bahan rujukannya adalah seratus peratus diambil dari cakap-cakap orang yang mengangkat dirinya sebagai wali Tuhan. Itu belum kira lagi bagi agama ciptaan manusia yang berangan-angan menyatu dirinya dengan Tuhan. Lagi teruk macam Namrud dan Firaun sampai mengaku dirinya adalah Tuhan.
Sebab itu tuan puan sekalian kita hidup ini jangan jadi macam katak bawah tempurung. Usah jadi manusia yang hidupnya hanya selesa dalam kelompok sendiri tanpa mahu mempelajari sejarah tamadun manusia dan membandingkannya dengan realiti kehidupan manusia hari ini. Sejarah memang tidak akan akan berulang. Yang berulang adalah ritma dan rentak berlakunya sesuatu itu boleh kita ambil pelajaran daripadanya jikalau kita ini sudi berdiam sejenak dan menilai telatah manusia yang beragam dalam mencari jalan menuju kepada Tuhan.
Janganlah kita pelik pada hari ini kalau sebahagian besar manusia Nasrani di benua Amerika, Eropah bahkan Asia juga mengalami masalah yang serupa dalam mendewakan para pendeta agama seolah-olah manusia itu sudah diberi tauliah oleh Tuhan untuk menentukan kelayakan manusia mendapat rahmat dan keselamatan dari kesengsaraan dosa. Janganlah pelik juga kalau kita melihat golongan musyrikun hari ini bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada jajaan manusia jelmaan Tuhan di dunia ini untuk melepaskan diri mereka dari azab sengsara dunia. Janganlah pelik pula kalau kita melihat sebahagian manusia yang mendakwa beragama Islam juga melakukan perkara yang sama;
- Menganggap setiap butir perkataan yang keluar dari imam mereka sebagai mutlak kebenaran yang tiada tolok bandingnya sehingga tidak boleh dibantah barang satu pun;
- Menganggap imam mereka mampu menyelamatkan mereka dari azab neraka dan memberi kesempurnaan ‘insan kamil’ dambaan mereka seolah-olah manusia ini disuruh supaya bertapa bertahun-tahun lamanya jauh dari hiruk pikuk dunia untuk mencapai kesempurnaan makrifat dalam diri;
Inilah yang berlaku dalam pelbagai masyarakat Islam hari ini. Sungguh kasihan sekali mereka ini kerana masih tidak tahu dek untung masih mempunyai kitab suci yang tidak diragukan sebagai kalam Tuhan. Sungguh kasihan sekali mereka ini kerana mempunyai ulama muktabar yang telah bertungkus lumus membersihkan hadith Nabi dari cela kalam dan tulisan manusia yang sengaja mereka-reka dan berdusta atas nama Nabi tanpa ada sekelumit rasa berdosa. Sungguh kasihan mereka ini biarpun menjadi umat yang beruntung boleh membezakan kalam Allah dan sunnah Nabi tetapi masih juga berdegil memilih kitab-kitab karangan manusia sebagai panduan jauh mengatasi keagungan Al-Quran dan menutup telinga mereka apabila dibacakan hadith sahih kepadanya.
Inilah penyakit yang menimpa umat manusia pelbagai agama! Mereka lebih gemar mendengar tutur kata para pemimpin mereka berbanding mencari jalan memahami kebenaran yang dimaklumkan oleh Tuhan dan Nabi mereka. Mereka lebih gemar membaca tulisan para imam, pendeta, rabbi dan pelbagai lagi gelaran agamawan masuk bakul angkat sendiri tanpa mahu ambil hirau asal usul agama mereka.
Itulah sebabnya sepanjang zaman berduyun-duyun manuisa mengeluarkan harta benda mereka untuk para penguasa agama ini sebagai jalan penyucian dosa sehingga menjadi kaya raya manusia yang kerjanya hanya memberi syarah kepada manusia seolah-olah jalan yang dicipta itu lebih baik dari jalan yang telah ditunjuk oleh Tuhan dan Nabi mereka.
Tuan puan tidak usahlah melenting sangat. Perihal manusia mengagungkan imam tanpa sempadan ini, seperti telah kita sebut tadi bukan hanya berlaku kepada umat Islam, malah berlaku di hadapan mata kita kepada seluruh umat manusia yang hidupnya bersama-sama kita di atas muka bumi Tuhan yang luas terbentang ini.
Sebab itu kita sebut tadi; usah hidup macam katak bawah tempurung. Sebab jadi macam katak bawah tempurung itulah maka bergegar amarah kita apabila sampai kepada kita seruan supaya kembali kepada Al-Quran dan Sunnah seolah-olah itu adalah seruan batil yang patut kita menyumbat telinga apabila mendengarnya sebagaimana kaum Nabi Nuh berperangai serupa beribu-ribu tahun yang lalu. Lebih jelik lagi, kita tidak habis-habis menuduh para penyeru itu sebagai pemecah belah umat, sedangkan perkara yang diserukan itu tidak lain adalah jalan supaya kita kembali beragama dengan akal yang rasional dan bukti yang nyata.
Sikap kita yang mahu terus hidup bawah tempurung tanpa mahu memahami realiti kehidupan harian ini pasti akan memakan diri. Sebahagian kita begitu asyik mengejar jalan menjadi wali sehingga habis syariat yang jelas dinyatakan dalam Al-Quran dan hadith sahih pun kita tinggalkan. Sebahagian kita begitu asyik mengendeng-ngendeng para wali yang ditabal itu dengan harapan sama-sama mencapai makrifat sehingga kononnya syurga neraka itu hanyalah khayalan bagi manusia. Sedangkan jika kita mahu telusuri sejarah tamadun manusia sejak zaman Nabi Ibrahim hingga hari ini, pastilah kita ketahui keasyikan bercinta dengan Tuhan itu tidak lain hanyalah kepalsuan yang dicipta oleh manusia yang memandai-mandai menyeleweng ajaran asal para Nabi yang diutuskan oleh Tuhan.
Begitulah manusia mudah hanyut dalam angan tidak berkesudahan. Mengharap dan menduga-duga amal mereka itu mendekatkan diri kepada Tuhan sedangkan perbuatan itu hanyalah sia-sia jikalau mereka mahu mengambil pelajaran yang diajar secara jelas oleh Tuhan kepada manusia dalam Al-Quran dan kitab-kitab suci yang telah diturunkan kepada Nabi di kalangan umat manusia sejak zaman berzaman lamanya.
Demikianlah coretan kita sempena Syawal 1444H ini tuan puan. Ia bermula dengan pemerhatian telatah manusia beragama, lalu kita lontarkan pelbagai persoalan dan coretan supaya tuan puan sekalian boleh merenung sejenak. Ya! Merenung sejenak adakah jalan hidup yang tuan puan pilih itu benar-benar bersandar kepada apa yang telah diajar oleh Raja Segala Raja Bagi Manusia, ATAU sekadar berpaut pada dahan yang rapuh!
Allah Maha Mengetahui Segalanya.
Comments
[…] Setiap tahun tuan puan sekalian khatam Al-Quran itu, sejujurnya faham atau tidak kandungan kitab yang tuan puan baca itu? […]
You must log in to post a comment.