Tuan puan sekalian. Mari kita bincang pasal dakwaan orang awam keliru pasal urusan agama. Ada 2 senario;
- Orang awam mengaku keliru;
- Ustaz kata orang awam mudah keliru.
Dari mana kita dapat kedua-dua senario itu? Kita dapat dari sembang sesama awam baik di masjid, surau, kedai kopi mahupun dalam laman sosial. Kita dapat dari mulut para asatizah kita juga, ustaz, agamawan tersohor yang risau takut orang awam mudah keliru dalam urusan agama.
Sebab itu dalam catatan sebelum ini, kita ada sentuh sepintas lalu berkenaan jenis orang awam dan juga jenis ustaz. Lalu kita sebut secara umum JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN. Maka kita dapat permintaan supaya menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN yang tersebut. Jadi eloklah kita terangkan ya tuan puan, biarpun pahit hendak ditelan iaitu;
- Ada orang awam JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN;
- Ada juga orang awam JENIS TIDAK BACA KITAB, JENIS TIDAK BACA HADITH dan JENIS TIDAK BACA AL-QURAN;
dan berdasarkan pemerhatian kita, jangan terkejut kalau kita dapati;
- Ada agamawan JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN;
- Ada juga agamawan JENIS TIDAK BACA KITAB, JENIS TIDAK BACA HADITH dan JENIS TIDAK BACA AL-QURAN;
Macam mana?
JANGAN SENTAP SANGAT! Maklumlah kita biasalah kalau dengar ada orang awam JENIS TIDAK BACA KITAB, JENIS TIDAK BACA HADITH dan JENIS TIDAK BACA AL-QURAN. Makna kata, orang awam jahil (iaitu BODOH) ini perkara biasalah dalam masyarakat.
Kalau ustaz kata depan batang hidung dalam ceramah masjid dan surau dengan ungkapan “KAMU JAHIL” sekalipun, orang awam tadah saja. Jarang kita dengar ada jemaah surau atau masjid bantai ustaz lancang mulut itu. Malah, orang awam pakat-pakat gelak sambil mengangguk mengakui kebodohan mereka. Maaf, agak kasar sedikit. Kita tukar ayat; “orang awam pakat-pakat gelak sambil mengangguk mengakui kejahilan mereka”.
Tapi tuan puan; takkanlah ada agamawan JENIS TIDAK BACA KITAB, JENIS TIDAK BACA HADITH dan JENIS TIDAK BACA AL-QURAN? Ya, benar. Takkanlah ustaz berbohong. Begitu?
Kau biar betik! Mana ada ustaz tak baca Quran!
Agak-agaklah nak sembang! Ada ke patut ko cakap ustaz kita tak baca kitab! Tak baca hadith! Abis tu, dia ajar kita, ambik ilmu mana?
Ko jangan celupar sangat mulut tu eh! Aku pelangkong kang!
– SEKADAR UNGKAPAN: Contoh-contoh perkataan orang awam terlebih cerdik membela ustaz kesayangan mereka.

Pesanan Penaja
Sebab itu tuan puan sekalian, kita dah pesan banyak kali. Kena faham betul-betul makna, maksud dan takrif BACA! Kalau tidak faham juga, itu yang ramai seminggu sekali kita ramai-ramai ‘baca’, tapi sebenarnya tidak membaca pun.
Beginilah kita nak bagi mudah faham ya. Burung kakaktua; kalau ‘bercakap’ dengan kita, ikut bahasa kita, benarkah burung itu sedang bercakap dengan kita?
Faham atau tidak tuan puan? Boleh fikir? Atau;
– Nak tolong macam mana lagi!
SELINGAN: Jawapan Kepada Soalan Kurang Cerdik
Para penuduh orang awam itu bodoh ini pura-pura bertanya; kalau awak bukan bodoh, kenapa nak bela Orang Awam Bodoh?
Kita katakan begini sajalah kepada soalan kurang cerdik ini; kamu label Orang Awam Bodoh, mereka tidak mengaku sebab mereka memang bukan bodoh. Sebab kamu asyik tuduh Orang Awam Bodoh, lama-lama gelaran Orang Awam Bodoh itu lekat kat batang tubuh mereka sampai satu dunia kata semua Orang Awam Bodoh. Satu dunia kata memang ORANG AWAM ITU BODOH. Lalu kamu buat-buat tanya kenapa mereka membela Orang Awam Bodoh?
Adakah semua orang dalam dunia ini bodoh seperti kamu?
Mari kita gelar si penuduh itu sebagai tidak cerdas baca kitab; Kamu adalah Ustaz Buta Kitab , tetapi kamu tidak mengaku sebagai Ustaz Buta Kitab sebab kamu boleh baca kitab (cuma tidak faham saja, sebab itulah selalu hafal dan telan begitu saja tanpa fikir panjang). Sebab kami asyik tuduh kamu Ustaz Buta Kitab lama-lama gelaran Ustaz Buta Kitab itu lekat kat batang tubuh kamu sampai satu dunia gelar kamu Ustaz Buta Kitab. Satu dunia kata kamu BODOH SEBAB BACA KITAB TAK FAHAM-FAHAM JUGA. Lalu kami buat-buat tanya kenapa kamu membela Ustaz Buta Kitab?
– Faham ATAU Gagal Faham?
Maaflah tuan puan. +SANGfikir itu, kalau dia tidak menulis panjang berjela dan suka berlapik macam dalam Mukadimah, terkadang bila tulis pendek, kira ‘laser mulut’ jugalah dia. Barangkali terbawa-bawa perangai sebahagian manusia bila diberi mikrofon dalam masjid!
Cerita Fasal Orang Awam Keliru
Sebelum kita lanjutkan perbahasan JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN, eloklah kita paparkan dahulu beberapa sedutan berkenaan dakwaan orang awam keliru;
Video 1
Video 2
Dengar tu tuan puan. Ustaz kata, kita orang awam ini layak tahu dalil dari kalam ulama sahaja. Adakah kita tidak layak tahu dalil dari Al-Quran dan hadith? Nak kata apa? Nak kata orang awam ini memang bodoh tidak akan faham Al-Quran dan hadith? Eh, tidak ada angin tidak ada ribut, sebut pulak pasal itu Wahabi? Pulak! Lalu kata kita orang awam tidak layak? Tuan puan hendak ikut kalam ustaz seperti ini, silakanlah ya. Elok dengar pula cakap ustaz seorang lagi di bawah ini;
Video 3
Video 4
Video 5
Jadi tuan puan sudah tonton semua 5 video di atas? Nak ikut cakap ustaz mana satu? Semua ustaz-ustaz tersebut bukan kaleng-kaleng. Semua JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN. Takkanlah ada salah seorang yang menipu dan hendak memperbodohkan orang awam?
Video 6
Sebab itu tuan puan, kita nak pesan sekali lagi;
Bila sebut baca, bukan setakat baca buku, bukan setakat baca pemikiran manusia, BUKAN BACA SEBARANG BACA!
Jadilah orang awam JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN.
– DEMO TOKSEY DENGA? Ikut suka demo lah!
BACA!
Apa itu baca? Apa tujuan membaca? Kalau tuan puan sudah baca hingga ke ayat ini, sudahkah tuan puan faham setiap butir perkataan kita yang menulis ini? Adakah tuan puan telan saja semua perkara yang dilontarkan? Setuju semuanya? Atau bantah semuanya? Atau tuan puan cukup cerdas untuk ambil manfaat tulisan yang baik dan membuang jauh-jauh tulisan yang kasar dan jahat maksudnya?
Begitulah ya tuan puan sekalian. Kita semua tahu berfikir mana yang elok, mana yang buruk. Kita tahu mana hendak terima, mana hendak simpan dulu dan mana yang hendak tolak terus bila membaca. Dalam hati kita akaj terdetik juga; “BENDA INI AKU KENA SEMAK DULU! Aku kena terima kebenaran. Aku kena tolak kesesatan.” Sebab, secara fitrahnya, kita manusia memang begitu. Lainlah kalau kita sengaja memilih kebebalan sebagai jalan hidup kita!
Kemahiran Membaca
Tahap kemahiran kita membaca juga penting ya tuan puan sekalian. Cara kita baca masa tadika dan sekolah rendah tidak sama dengan cara kita membaca waktu sekolah menengah. Cara kita membaca peringkat lebih tinggi di kolej, universiti dan kajian lebih tinggi juga berbeza.
Sebab itu tuan puan, kalau faham maksud BACA, kita tidak akan baca semberono tanpa mahu tahu apa yang kita baca. Kalau faham maksud BACA, kita akan mahir bahawa membaca bukan setakat baca tulisan, menyebut perkataan; malah mendengar pertuturan dan melihat cara sesuatu dituturkan itu juga adalah MEMBACA.
Kalau pun tuan puan yang membaca ini tidak habis sekolah, pastinya cara tuan puan baca surat khabar, buku dan laman internet juga berbeza. Dalam sibuk kita membawang berpolitik, adalah sangat bebal kalau kita berhujah berpatah arang dalam laman sosial dan kedai kopi kalau sumber bacaan kita atau sumber TikTok kita itu cuma datang dari satu jenis aliran politik yang kita suka. Lama kelamaan, jadi taksublah kita. Ini adalah kebebalan yang nyata, sebab, sejak bila semua orang politik dalam dunia ini boleh kita percayai seratus peratus!
USAH BEBAL! – Politik dan Agama
Sebab itu tuan puan sekalian. Cukup-cukuplah jadi marhaen (ORANG AWAM) yang diperbodohkan oleh orang politik. Tetapi, kalau tuan puan masih mahu jadi bebal, masih mahu pertahan politikus kesayangan tuan puan sampai ke titisan darah terakhir, nasihat kita cuma satu;
Ikut suka hatilah hendak bebal dalam berpolitik, JANGAN PULA BEBAL DALAM BERAGAMA!
Sebab bebal itu serupa macam jadi orang awam yang bodoh. Bodoh dalam politik, paling lebih kita melepas tidak dapat projek, bodoh dalam beragama melepas kita mencium bau syurga!
Begini tuan puan sekalian. Ada sebab kita sentuh pasal POLITIK bila bercakap pasal AGAMA, sebab kita pernah sebut dalam beberapa terbitan sebelum ini;
HENDAK FAHAM CARA BERAGAMA adalah serupa dengan cara hendak faham berpolitik.
– Tolong jangan jadi ‘pembaris’ bila baca kenyataan di atas; SILA BACA BETUL-BETUL!
Kalau orang kebanyakan, kita orang awam ini berani dan boleh membuat keputusan dalam berpolitik, mengapa kita orang awam ini takut pula hendak membuat keputusan dalam beragama?
Kalau dalam urusan kita membawang berpolitik kita pandai membaca sana sini sebelum membuat keputusan, kenapa dalam urusan agama kita tiba-tiba jadi kurang cerdik tidak mahu membaca pula?

TABIAT: Orang Awam Cerdik vs. Orang Awam Bodoh
Sebenarnya tuan puan, sama ada kita hendak jadi orang awam yang cerdik atau bodoh dalam beragama ini boleh ditentukan dengan tabiat kita juga.
Adakah kita ini;
- JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN; atau kita ini;
- JENIS TIDAK BACA KITAB, JENIS TIDAK BACA HADITH dan JENIS TIDAK BACA AL-QURAN.
Pertama sekali, orang yang bodoh dalam mengambil keputusan berpolitik lazimnya adalah JENIS TIDAK MEMBACA. Begitulah juga, orang awam yang menerima sahaja gelaran bodoh yang diberikan oleh tok guru dalam beragama lazimnya adalah JENIS TIDAK MEMBACA juga.
Kedua, orang JENIS MEMBACA masih boleh jadi bodoh dan bebal dalam mengambil keputusan berpolitik mahupun dalam beragama sekiranya;
- Dia tidak faham apa yang dibaca, atau;
- Dia cuma baca hanya berita yang di suka dengar dari satu jenis aliran atau satu sumber sahaja, atau;
- Dia baca banyak perkara tetapi tidak ada kemahiran untuk membuat keputusan yang betul.
Dalam apa juga keadaan, JENIS MEMBACA ini setidak-tidaknya lebih cerdik dan lebih baik berbanding dengan JENIS TIDAK MEMBACA. Sekurang-kurangnya, peluang untuk dia digelar bebal atau bodoh itu adalah lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan manusia yang satu lagi itu.
Pak turut hanya menurut jika digelar JAHIL atau BODOH. Dia cuma menurut sebab dia memang tiada ilmu. Sebab dia tidak tahu atau tidak pernah dengar peribahasa;
MEMBACA JAMBATAN ILMU
– Jauh Perjalanan Luas Pemandangan, Banyak Membaca Luas Pengetahuan
Maka dia kekal dalam keadaaan bebal dan bodoh sebagaimana dikehendaki oleh pemimpin atau tok gurunya! Demikianlah yang kita boleh perhatikan, baik dalam urusan politik mahupun dalam urusan agama.

Orang Awam Yang Cerdik
Sebab itu tuan puan sekalian, menjadi orang awam JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN ini pun ada cara dan kaedahnya.
Kena faham jugalah. Kita tidak mengharap semua orang awam itu boleh jadi pandai macam para agamawan, macam para ulama mujtahid dan mujaddid! Takkanlah semua orang nak ambil alih tempat jadi ustaz atau ustazah. Kalau begitu, siapa nak buka restoran, kerja jadi peguam, doktor atau pemandu grab!
Seruan kita supaya orang awam jadi cerdik dengan menjadi kalangan manusia JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN ini adalah dengan menghormati para agamawan dan para ulama dengan cara yang betul dan berpada-pada. Mengambil ilmu yang baik daripada mereka yang memang kerjanya mendalami bidang agama untuk memandaikan umat. Bukannya menelan segala perkara yang ditulis atau dituturkan oleh mereka tanpa mahu belajar kemahiran mengambil yang baik dan menolak yang tidak baik.
Mengapa kita kata begitu?
Sebab para ulama dan agamawan yang kita sanjungi itu adalah manusia biasa macam kita. Bezanya, mereka diberi anugerah dan kedudukan oleh Allah agar menjadi pemimpin umat, pembimbing orang awam dan marhaen sekaliannya. Kelebihan yang Allah berikan kepada mereka itu bukanlah jaminan mereka itu suci dari dosa, tidak pernah buat kesilapan atau mungkin salah dalam istinbat hukum-hakam.
Tidaklah pula kita hendak memandai buat hukum sendiri! Memadailah kita sedar bahawa adalah satu kebebalan kepada kita orang awam ini bermati-matian mahu mempertahankan tradisi atau kefahaman atau amalan yang biasa kita lakukan sepanjang hidup ini, apabila telah sampai kepada kita sebenarnya terdapat perbezaan pendapat para ulama berkenaan urusan tersebut.
Kerana kalau kita rajin sedikit membaca, pasti kita akan ketahui bahawa ada dalam kalangan para agamawan, malah para ulama yang tersohor itu telahpun membincangkan perkara yang kita sedang perselisihkan itu. Kerana kalau kita rajin sedikit jengok Al-Quran dan hadith, pasti kita lebih berhati-hati dalam urusan tersebut. Tentulah kita mula terdetik untuk menimbang semula pendirian kita.
Apabila kita ketahui bahawa ada perbahasan berkaitan perkara yang kita perselisihkan, eloklah kita sekurangnya tahu serba sedikit pandangan yang berkaitan. Supaya tidaklah kita ini jadi orang awam yang jumud, jahil dan bodoh sepanjang hidup kita!
Sekiranya tuan puan sudah tahu tujuan kita menjadi orang awam JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN, maka dengan izin Allah, sampailah masanya bagi tuan puan sudah bersedia untuk tahu perincian dan kaedah yang kita maksudkan dengan menjadi orang awam yang;’
- JENIS BACA KITAB;
- JENIS BACA HADITH, dan;
- JENIS BACA AL-QURAN.
Tujuannya apa tuan puan?
Supaya kita jadi ORANG AWAM YANG CERDIK, bukannya orang awam yang bodoh. Beginilah saja kalau hendak bagi lunak sedikit;
Supaya kita jadi ORANG AWAM YANG CERDIK, bukannya orang awam yang jahil.

Orang Awam Jenis Baca Kitab
Menjadi orang awam jenis baca kitab ini penting ya tuan puan sekalian. Sebab kena ada rasa malu kalau kita beragama ini, kitab-kitab yang kita sudah khatam baca cuma buku-buku teks zaman kita sekolah rendah atau menengah dulu. Bersungguh-sungguh kita mengaku Mazhab Syafie tapi kalau tidak pernah belek Kitab Al-Umm pun masalah juga. Bersungguh-sungguh kita petik nama Imam An-Nawawi sebab nak bela sangat perkara bidaah hadasanah kegemaran kita pun tiada makna juga kalau belum baca tulisan imam tersebut perihal maksud bidaah hasanah. Bersungguh-sungguh kita gelar kawan kita Wahabi dan sesat pun bebal juga kalau tidak pernah tahu para imam kita yang tersohor pun pernah mengata sesat manusia yang membuat bidaah!
Sebab itu kenalah baca kitab. Baca kitab satu hal. Menilai apa yang terkandung dalam kitab-kitab pun satu hal juga. Adalah bebal kalau kita mengambil pendirian bahawa semua hal yang terkandung dalam kitab jawi, kitab kuning, kitab terjemahan, kitab asal dalam bahasa Arab itu semuanya murni belaka. Kalau kita ambil pendirian seperti ini, maka tiadalah beza kita dengan Ustaz Buta Kitab yang +SANGfikir telah sebutkan tadi semasa aktiviti gelaran balas kepada Orang Awam Bodoh.
Baik orang awam, mahupun ustaz, da’ie, asatizah, pencetus ummmah dan segala macam jenis agamawan dalam dunia ini, kalau cuma ambil saja perkataan dalam kitab dan menganggap itulah satu-satunya hukum yang ada dalam dunia ini, tanpa tahu membuat perbandingan pelbagai bahasan dalam isu yang sama, tanpa tahu menilai hujah mana boleh pakai hujah mana tidak terpakai; maka samalah saja manusia itu dalam kalangan ‘buta kitab’.
Kita katakan ‘buta kitab’ sebab manusia yang waras, yang cerdas, yang bijaksana patut tahu merumuskan apa yang dibaca dalam kitab dan menetapkan pendirian untuk diri sendiri. Kalau manusia itu adalah orang awam, barangkali pendirian yang diambil setelah menilai pelbagai ilmu yang sampai kepada dirinya itu cukup untuk diri sendiri.
Kalau manusia itu adalah cikgu agama yang memang kerjanya dalam bidang agama, maka wajarlah dia mengajarkannya kepada manusia lain yang sedang belajar agama. Adalah tidak wajar sekali dia petik saja nama tok guru kesayangannnya lalu mengajar begitu saja apa yang ditulis atau ditutur oleh gurunya itu tanpa ada sedikit rasa tanggungjawab sama ada perkara yang disampaikan itu gurunya, ataupun perkara yang menjadi pendirian gurunya itu benar atau tidak. Apabila berurusan dengan perkara yang menjadi khilaf para ulama, sepatutnya ustaz yang mengajar itu menjelaskan perbezaan pandangan ulama yang berkenaan terlebih dahulu sebelum memberi tahu jemaah, misalnya; “saya cenderung menetapkannya begini, sebab begitu begini…”. Bukannya hanya sebut; “…perkara khilaf, tidak usah tanya, kalau saya hurai pun bukannya kamu boleh faham!”
Mana ustaz itu tahu orang awam boleh faham atau tidak?
Kita biarkanlah saja hal berkenaan ustaz yang sedemikian ya tuan puan. Sebab, kalau kita belajar dengan ustaz yang sudi menerangkan kepada awam perihal beza pendapat para ulama, sebenarnya kita orang awam mudah saja nak faham. Kita tidak rasa keliru pun. Lainlah kalau masa ustaz itu terangkan, kita tidur!
Baiklah tuan puan. Menjadi orang awam jenis baca kitab ini kena cerdas jugalah. Macam kita sebut tadi. Oleh sebab memang ada kalangan ustaz yang main telan saja apa yang ada dalam kitab, begitulah sebahagian orang awam juga ikut perangai ustaz; main telan begitu saja! Janganlah kita buat-buat tidak sedar pula. Ada dalam kalangan ustaz kita yang sangat cerdas menilai apa yang terkandung dalam pelbagai macam kitab, maka begitulah kita orang awam yang cerdas ini patut ikut perangai ustaz yang cerdas juga.
Maksudnya apa? Maksudnya kita orang awam ini ada pilihan. Antara dua pilihan; ikut ustaz jenis cerdas baca kitab ATAU ikut ustaz jenis buta kitab, kita patut pilih yang mana? Takkanlah benda mudah macam ini pun kita nak tanya ustaz juga?
Bila kita orang awam juga jadi jenis baca kitab, kita akan dapat mengambil manfaat dengan cara menilai pelbagai bahasan dan pandangan dalam sesuatu perkara. Kalau pandangan tersebut datang dari kalangan para ulama dan agamawan, lazimnya juga mereka memberikan bahasan berdasarkan kefahaman mereka terhadap Al-Quran dan hadith. Sebab itu, kenalah juga kita menjadi orang awam jenis baca hadith juga.

Orang Awam Jenis Baca Hadith
Kalau tuan puan memang jenis banyak masa, bolehlah cuba baca beberapa koleksi kitab hadith yang kita kongsikan dalam bahagian کتاب | BOOK | buku. Cuma seperti kita selalu pesan, kena pandailah juga menilai buku hadith. Kena tahu jugalah jenis-jenis hadith. Sebab itu kita selalu pesan. Sudah ada ramai pakar hadith di negara ini, jangan pula kita celupar mulut mencela para ustaz yang mengajar hadith kepada orang awam.
Kalau awak memang jenis tidak suka dengar atau baca hadith, ikut suka awaklah kalau lebih gemar baca kitab atau dengar cerita penglipurlara tanpa mahu semak hadith. Janganlah dengki pula kepada orang awam yang hendak berjinak-jinak dengan ilmu hadith.
Mengapa kita perlu jadi orang awam JENIS BACA HADITH?
Sebabnya begini. Begitu ramai penglipurlara main petik sana sini, lalu kata; Nabi kata begini. Nabi kata begitu. Nabi buat ini. Nabi buat itu. Nabi tidak larang itu. Nabi tidak larang ini. Ikut sedap mulut saja tanpa mahu ambil tahu, benarkah begitu. Benarkah konteks maksud Nabi sebegini atau sebegitu?
Kita kena ambil tahu ilmu hadith juga. Jika tidak, nanti orang baca atau sebarkan hadith, lalu petik hadith di luar konteks ikut suka hati tukang tular, jenuh kita hendak menjawab kalau kita ikut sama menularkan hadith tanpa usul periksa.
Sebab paling utama adalah kerana kita sering diajar bahawa hukum hakam juga diambil bersumberkan hadith. Jadi, kita orang awam patut tahu; ulama tersebut, tok guru tersebut, ustaz tersebut rujuk hadith yang mana? Dia rujuk satu hadith saja, atau dia rujuk kepada beberapa hadith dalam isu yang sama? Tidaklah ini bermakna kita hendak mempersoalkan keilmuan mereka. Kita sekadar ingin tahu sahaja. Sekurang-kurangnya kita orang awam ini terdedah secara langsung dengan sabda dan perbuatan Nabi dari hadith yang sahih. Bukankah itu lebih baik?
Bila kita orang awam baca hadith, tidaklah bermakna kita ambil sembrono matan hadith secara literal. Kita baca juga syarah hadith. Kita selak juga hadith berkenaan bab mana. Kita dengar juga syarah dari ustaz kita. Sebab kita tahu, pelbagai macam hadith ada di pelbagai kitab juga. Kita pun tahu kita mungkin tidaklah mampu sampai jadi ahlul hadith. Sebab itu kita orang awam ini, masih merujuk juga kepada mereka yang memang pakar dalam bidang hadith. Sekurang-kurangnya kita tahu cara hendak amal hadith yang benar, menurut konteks hadith. Sekurang-kurangnya kita boleh faham rasional mengapa imam besar kita boleh berbeza dalam istinbat hukum biarpun mereka merujuk kepada atsar hadith yang sama.
Kita juga patu tahu hadith mana yang sahih, mana yang hasan, mana yang daif ringan, mana yang daif berat dan MANA YANG PALSU!
Dalam dunia hari ini, sudah terdedah mana satu tok guru kaki sebar hadith palsu. Sudah terdedah mana satu tok guru syarah hadith ikut sedap mulut. Sudah kita ketahui mana satu tok guru syarah hadith ikut disiplin ilmu hadith. Mana satu kelompok yang katanya mengikut sunnah tetapi banyak sekali amalannya tidak terdapat pun dalam hadith yang sahih. Mengaku ikut sunnah, banyak pula cara beraqidah dan beramal mereka sebenarnya adalah perkara yang diada-adakan. Tiada dalam hadith. TIADA DALAM SUNNAH NABI.
Inilah yang membezakan orang awam jenis baca hadith dengan mereka yang tidak baca hadith. Jenis baca hadith, paling kurang cerdik hadith juga, biarpun tidak sampai tahap pakar hadith. Kita sudah ada pakar hadith, kita rujuklah juga kepada mereka. Itulah gunanya agamawan pakar hadith. Itulah maksudnya, tidak kurang kedudukan ustaz ahlul hadith kalau semua orang awam sudah cerdik ilmu hadith.
Jenis manusia tidak membaca hadith, baik orang awam mahupun penglipurlara yang diberi kedudukan dalam masjid lazimnya juga adalah jenis pak turut yang menghamburkan apa saja yang mereka dengar tanpa semak status hadith. Mujurlah sekarang sudah ada kesedaran awam berhubung perkara ini. Sedikit demi sedikit, kita orang awam boleh meninggalkan puak-puak yang berkenaan.
Mengapa ini penting tuan puan sekalian. Supaya kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang berdusta atas nama Nabi. Supaya kita tidak terus menjadi orang awam yang diperbodohkan oleh sebahagian manusia yang mengambil kesempatan atas kejahilan manusia yang lain. Supaya kita ikut jalan yang selamat. Supaya kita ikut apa yang disuruh oleh Allah iaitu menjadikan Nabi sebagai panutan kita dalam urusan agama. Supaya kita boleh berlepas diri dari pelbagai dakwaan kononnya ada manusia yang lebih baik dari Nabi dalam urusan aqidah dan ibadah kita.
Supaya kita sedar juga, satu-satunya hadith yang tidak ada keraguan status hadithnya, yang mutawattir sampai kepada kita tanpa ragu adalah AL-QURAN. Sebab, Al-Quran itu adalah AL-HADITH yang agung. Sebab itu juga, kita orang awam ini, mestilah jadi JENIS BACA AL-QURAN.

Orang Awam Jenis Baca Al-Quran
Tuan puan sekalian. Kita pernah buat terbitan sebelum ini untuk menilai semua perkara dengan Al-Quran, termasuklah belajar menyemak hadith dengan Al-Quran. Orang yang beriman, tidak akan ragu-ragu untuk percaya bahawa satu-satunya kitab yang tidak terbantahkan di dunia ini untuk dipercayai adalah; AL-QURAN.
Sebab itu kita orang awam ini kena belajar cara hendak memahami Al-Quran. Usah telan bulat-bulat omongan sebahagian manusia yang mendakwa orang awam tidak layak hendak faham Al-Quran. Puak yang lancang mulut sedemikian, cuba minta mereka tunjuk dalil dari firman Allah dan sabda Nabi Muhammad SAW yang menyatakan demikian. ADA?
Jawapannya: TIADA.
Yang ada, puak-puak ini cuma menukil kalam para ulama, menukil kalam tok guru tanpa mahu menilai layak atau tidak kalam ini ditularkan kepada keselurahan masyarakat awam. Kita patut katakan puak-puak ini, kalau benar susah sangat kami orang awam hendak faham Al-Quran, hal ini menunjukkan bahawa mereka sekaliannya itu tidak tahu cara mengajar Al-Quran dengan betul dan berkesan kepada orang awam. Bukan salah kita orang awam semata-mata, bahkan mereka yang mengajar itu pun ada ‘saham salah’ juga sebab kita orang awam ini masih tidak faham-faham juga isi kandungan Al-Quran biar sudah berkali-kali khatam membacanya!
Kemahiran Menilai Dengan Akal
Eloklah kita kongsi video di bawah ini, semoga bermanfaat;
Tuan puan hendak dengar sila. Tidak mahu dengar pun sila juga. Kita tidak kata setiap butir percakapan ustaz itu ditelan begitu saja. Kan sudah selalu kita pesan; JADILAH MANUSIA YANG BIJAK MENILAI.
Cuma sebelum buat keputusan, eloklah tuan puan cuba belajar ambil pengajaran dari kalam Allah;
الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
Surah Az–Zumar 39:18
Untuk memahami konteks ayat, sila semak ayat sebelumnya;
وَٱلَّذِينَ ٱجْتَنَبُوا۟ ٱلطَّٰغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ
Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku.
Surah Az-Zumar 39:17
Tuan puan boleh teruskan bacaan hingga ayat ke-21 surah Az-Zumar tersebut untuk konteks kefahaman yang lebih menyeluruh.
Jadilah orang awam yang tergolong dalam kalangan Ulul Albab ( أُولُو الأَلبٰبِ) ya tuan puan. Bila kita sebut ulul albab itu, janganlah tuan puan fikir jenis ulul albab yang dijenamakan disebahagian sekolah hari ini. Kurang tepat juga kalau kita lihat cara sekolah uruskan aliran ulul albab tersebut. Kembalilah kepada takrif dan tafsiran ulul albab yang sebenar ya tuan puan. Hendak tahu, kenalah belajar menjadi orang awam JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN. Mudah-mudahan dengan demikian, dapatlah tuan puan keluar dari kepompong yang membelenggu diri selama ini.

UNGGUL Di Kalangan Orang Awam: Al-Quran, Hadith atau Kitab?
Apabila berhadapan dengan pelbagai bahasan dan pandangan yang hadir di hadapan kita hari ini, tuan puan hendak buat pilihan yang bagaimana? Semua orang boleh mendakwa jalannya mengikut Al-Quran, Sunnah dan Ijma Ulama. Kita hendak percaya begitu sahaja? Sedangkan jalan mereka itu kelihatannya macam ijma’ ulama tetapi lari dari Al-Quran dan Sunnah?
Dalam situasi seperti ini, tuan puan hendak pegang yang mana? Kitab dulu, baru hadith dan kemudian Al-Quran? Atau, berpegang teguh dengan Al-Quran apabila membuat keputusan, dan merujuk kepada hadith dan kitab sebagai pertimbangan?
Berkatalah +SANGfikir;
Jadi orang awam biarlah bijak. HANYA ADA SATU AL-QURAN, ada banyak kitab hadith, ada ratusan ribu kitab karangan para ulama, baik yang muktabar mahupun dalam kalangan mengaku ulama (masuk bakul angkat sendiri).
Baik orang awam, mahupun agamawan, sukar untuk kita percaya semuanya mampu membaca ratusan ribu kitab yang telah terbit dan beredar sejak ratusan tahun lalu. Tetapi tidak sukar untuk kita percaya, ramai kalangan awam dan ustaz mampu membaca kitab hadith dan syarah bagi kitab hadith yang utama. Biar bilangannya banyak, masih boleh juga dicapai oleh mereka yang mahu menggapai ilmu hadith.
Bagi orang awam, jika memang tidak mampu baca semua ratusan ribu kitab, membaca berjilid-jilid syarah hadith; APA YANG MENGHALANG ANDA UNTUK MEMBACA DAN MEMAHAMI AL-QURAN?
- Apa yang menghalang anda baca terjemahan Al-Quran?
- Apa yang menghalang anda baca tafsiran Al-Quran?
- Apa yang menghalang anda ikut kelas tadabbur Al-Quran?
Ya. Hanya ada SATU AL-QURAN. Sumbernya satu. Terjemahan, tafsiran, cara tadabbur mungkin berbeza-beza, tetapi sumbernya HANYA SATU.
Jika anda berkeyakinan Al-Quran itu adalah kalamullah, apa yang buat anda fikir orang awam tidak layak untuk belajar memahami Al-Quran?
Anda hendak percaya juga orang awam boleh sesat jika baca Al-Quran? Dakwaan ini, asalnya dari mana?
Jika benar dakwaan ini, apa peranan tok guru agama dalam membimbing orang awam memahami Al-Quran?
- Adakah dengan menyindir mereka tidak layak faham Al-Quran? atau;
- Dengan mencari jalan supaya orang awam melazimi Al-Quran?
Lalu mereka sedar adalah perlu untuk mendalami ilmu hadith jika mahu tahu perincian sunnah Nabi. Lalu orang awam juga sedar perlunya bimbingan ulama dan tok guru untuk memahami tafsir Al-Quran dan syarah hadith
Mana lebih baik?
- Anda menjauhkan Al-Quran dari orang awam, atau;
- Anda permudahkan jalan supaya orang awam memahami Al-Quran.
Fikir-fikirkanlah.
– Sila baca Mukadimah +SANGfikir untuk mengetahu fikrahnya. Hendak terima atau tidak, terpulanglah kepada diri.
Jadilah Orang Awam Yang Berakal Cerdas
Demikianlah ya tuan puan tujuan kita membaca Al-Quran. Supaya kita memahaminya. Supaya menjadi jalan untuk kita mempelajari pula ilmu hadith. Supaya menjadi jalan pula untuk kita memahami cara beragama yang benar setelah menilai pelbagai bahasan di kalangan para ulama dan tok guru. Supaya dapat kita jadikan Al-Quran itu sebagai Al-Mizan yang menjadi neraca kita dalam membuat sesuatu keputusan dalam urusan agama.
Dengan izin Allah, demikianlah cara kita menjadi orang awam JENIS BACA KITAB, JENIS BACA HADITH dan JENIS BACA AL-QURAN. Demikianlah cara kita orang awam belajar menjadikan AL-QURAN sebagai rujukan yang unggul dalam apa jua keadaan. Pastinya, dengan bimbingan para ustaz kita juga, bukan?
Jadilah orang awam yang cerdas menggunakan akal. Barulah kita boleh buang gelaran Orang Awam Bodoh itu dari batang tubuh kita. Biar ada malu teramat kalau kena gelaran jelik itu. Kita bukan budak tadika atau sekolah rendah yang telan saja apa yang sampai. Zaman tersebut sudah berlalu. Sudah beranak pinak dan bercucu cicit, masih mahu jadi orang jahil?
Jadilah orang awam yang cerdik dan cerdas akalnya, dengan izin Allah jua.
Fikir-fikirkanlah.
Comments
[…] teliti, jenis mahu mencari kebenaran, jenis analitikal terhadap sejarah perkembangan umat Islam, JENIS BACA BUKU, JENIS BACA HADITH, JENIS BACA AL-QURAN, maka tidaklah tuan puan akan hanyut dalam politiking agamawan tidak tentu […]
[…] Sebab itu tuan puan sekalian, kita sudah pesan sebelum ini. Jadilah orang awam yang cerdik dan cerdas. Jadilah orang awam jenis baca kitab, jenis baca hadith, jenis baca Al-Quran. […]
[…] AWAM FAHAM BUKAN TAK FAHAM […]
[…] sekalian. Tidak usah melenting sangat. Usah mudah percaya sangat. Kita sudah sebut sebelum ini, JADILAH ORANG AWAM YANG CERDIK. Maksudnya, tidak perlulah kita berlakon jahil sangat seolah-olah sukar sangat hendak menilai mana […]
[…] ulasan dalam saluran YouTube orang lain, bukan bermakna kita ini bagus sangat. Kita pun sama-sama orang awam yang hendak belajar agama dengan mereka yang mendalami ilmu agama. Tidak kisahlah mereka itu seorang ustaz mahupun seorang […]
You must log in to post a comment.