Tuan puan sekalian. Beberapa waktu yang agak lama dahulu, kita pernah membincangkan perihal Qada’ dan Qadar ATAU Qadar dan Qada’ (bergantung kepada cara kefahaman). Tuan puan boleh rujuk kembali di pautan di bawah ini;

  1. TAQDIR, Qadar dan Qada’
  2. REDHO? Faham Tapi Masih Tak Faham

Kedua-dua terbitan tersebut bersifat sangat umum dan bersifat santai sesuai dengan kelaziman kefahaman awam. Kita ada membuat beberapa deraf susulan untuk membahaskan dengan lebih dalam, khususnya memahami taqdir dalam konteks ruang masa. Tetapi kita fikirkan elok ditunda terlebih dahulu kerana ditakuti akan menimbulkan dugaan (fitnah) di kalangan awam yang membaca. Cuma barangkali, penjelasan ringkas dari Ustaz Dr. Asri ini boleh memberikan sedikit klu;

Video 1

Ia sedutan video yang ringkas, patut tuan puan dapat fahami dengan mudah. Ia adalah fakta yang kita kena faham; TUHAN MENCIPTA MASA; Tuhan menguasai masa, Allah tidak tertakluk dengan masa.

Kalau kita faham asas Allah tidak tertakluk dengan masa, barangkali kita akan lebih mudah memahami beza KETENTUAN dan KEHENDAK, juga maksud kebebasan PILIHAN MANUSIA. Barangkali ia dapat merungkai beberapa persoalan nakal yang kita bentangkan secara santai dalam terbitan sebelum ini, iaitu REDHO? Faham Tapi Masih Tak Faham, misalnya seperti di bawah ini;

JODOH

Kena ingat bang… REZEKI, JODOH, AJAL, MAUT itu Tuhan yg menentukan… Takdir semua ni… kita kena REDHO bang… 《 Terima kasih la Jah.. sebab tu abang REDHO ni.. jadi Jah pun REDHO ya hidup sekali ngan madu Jah ni… ni abang kenalkan… Pah namanya… Jah REDHO ya Jah… jodoh semua ni, Tuhan tentukan…. 》 oooo… bab kawin lain kata takdir la ya … kenapa tak ditakdirkan awak tu kawin JANDA BERANAK 10 ke, biar terbarai awak jaga pasukan bolasepak tu… kenapa takdir awak tu mesti kawin ANAK DARA COMEL dari saya!

Video 2

Ini bab paling sensitif untuk orang perempuan ya tuan puan. Boleh tonton ‘payung emas’ di bawah ini;

Itu selingan saja ya tuan puan. Mari berbalik kepada Video 1 penjelasan Ustaz Dr. Asri berkenaan Allah mencipta dan menguasai MASA. Oleh kerana penjelasan dari ustaz kita dapati lebih kredibel dan lebih mudah untuk difahami, maka si tukang tulis ini pun berkira-kira untuk menangguhkan lagi penjelasan bersifat perbahasan metaphysics dan quantum physics kesuatu masa kemudian, jika diberi keizinan oleh Allah jua adanya.

Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Baiklah tuan puan. Tujuan terbitan kali ini adalah untuk berkongsi kefahaman perkara pokok dalam Rukun Iman yang keenam, khususnya dari segi konteks KEHENDAK dan KETENTUAN Allah ‘Azza Wajalla.

Ia adalah perkara asas ya tuan puan. Kefahaman kita kepada konsep Qada’ dan Qadar hendaklah jelas. Supaya tidaklah kefahaman kita di takuk lama macam masa kita mula-mula belajar di sekolah rendah atau menengah dulu. Supaya tidaklah kita secara tidak sedar, rupa-rupanya sedang menganut pemikiran puak Jabariyah. Atau silap haribulan, terlajak kata bunyi macam puak Qadariah. Atau kita jenis Ahlul Sunnah Waljamaah Assya’irah Al-Maturidiyah katanya, tetapi tidak faham pula apakah cara pemikiran sekolah Assya’rah dan juga sekolah Maturidiyah. Jenis sebut saja, tapi tidak tahu apa pun. Juga supaya tidaklah kita terkulat-kulat hendak jawab pertanyaan anak-anak kita yang sudah terdedah dengan sistem pengajian KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi). Supaya tidaklah kita lari hendak menjawab soalan mudah dari rakan di kalangan bukan Islam berhubung persoalan akidah, khususnya berkenaan keadilan Tuhan.

Bercakap tentang Qada’ dan Qadar ini tuan puan, kena sedar jugalah ada golongan di luar sana yang sengaja meninggalkan rukun yang keenam ini atas alasan ia tidak dijelaskan dalam Al-Quran (sedangkan memang ada). Mereka cuma ambil lima yang pertama saja. Mereka tidak mahu terima hadith sahih yang menerangkan selepas yang kelima (iaitu percaya kepada Hari Akhirat / Kiamat), yang keenam adalah percaya kepada Qada’ dan Qadar. Kita tinggalkan dahulu perkara ini, sebab bahasan untuk menyangkal dakwaan seperti ini sudah jelas. Kalau mereka masih bertegas kata lima sahaja, itu urusan mereka dengan Allah. Kita orang awam yang membaca ini, khususnya di negara ini secara umumnya berpegang kepada Rukun Iman yang enam kesemuanya, bukannya lima.

Memahami KEHENDAK dan KETENTUAN Allah

Tuan puan dijemput untuk menonton dahulu video penjelasan oleh Ustaz Noor Derus di bawah ini. Sebelum itu kita hendak bagi ’amaran’ sedikitlah. Kita tahu ramai orang, terutama kalangan ’ahli makrifat’ tidak berkenan dengan ustaz ini. Maklumlah, ramai geng makrifat di Malaysia dan Singapura sudah kena bongkar dengan sang ustaz muda ini.

Ada juga kalangan yang mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah di negara ini kurang bekenan dengan sang ustaz. Ramai yang sentap, sebab cara ustaz mengulas secara mendalam dengan kemahiran berfikir aras tinggi ini jarang kita dengar selama ini barangkali. Kita kongsikan juga, sebab berdasarkan pemerhatian kita, Ustaz Noor Derus ini jenis baca kitab dan berani mengolah dengan cara berfikir di luar kotak. Mudah-mudahan ada manfaatnya bagi orang yang mahu berfikir.

Beginilah ya tuan puan kita nak pesan. Hendak mencari ilmu, kena ada sikap berlapang dada. Jangan ikut-ikutan melabel sana sini, sampai kita menutup peluang kita untuk mendengar pandangan pelbagai manhaj, apatah lagi kelihatan Ustaz Noor Derus ini adalah pendokong kuat Ahlul Sunnah Waljamaah As-Sya’irah Al-Maturidiyah juga. Cuma cara penerangan beliau agak berbeza dengan ustaz ’Aswaja’ lain yang kita biasa dengar. Ada beza ustaz yang terangkan secara ‘as it is (told)’ dengan ustaz yang terangkan cara ‘let’s think about it‘. Jangan sebab cara ustaz tak kena dengan cara kita, terus saja kita label dia pun puak ‘W’. Kalau hati sudah bersangka buruk, macam mana hendak terima penjelasan sang ustaz?

Itu yang pertama ya tuan puan sekalian. Perkara kedua hendak kita peringatkan adalah ustaz juga manusia seperti kita. Bukan malaikat. Jadi, sekiranya dalam video yang bakal kita kongsikan, ada rasa berdesing telinga dengan bahasa sindiran, atau terasa agak kasar sebutan, maka jangan mudah sentap. Sebab apa? Sebab kalau tuan puan biasa dengar atau baca Al-Quran dengan mengetahui maknanya, tuan puan boleh terima ‘desingan’ tersebut sebab begitulah caranya sebahagian manusia yang berakal sempurna dapat mengambil pelajaran. Lagi satu sebab kenapa jangan mudah sentap adalah begini. Jangan tuan puan kata tidak pernah dengar ‘desingan’ serupa bila kita dengar ceramah ustaz kegemaran kita yang lain. Ada jugakan? Jadi, tidak perlulah sentap sangat.

Jadi beginilah. Kalau tuan puan sanggup berlapang dada, sila teruskan menonton. Jika tidak, sila tinggalkan laman ini awal-awal, supaya tidak menambah dosa tidak tentu fasal ya tuan puan.

Video 3

Kemudian, minta maaflah tajuk video ini ada terselit sedikit bab Menjawab Tok Singa. Sudah jadi kebiasaan kita kalau ada video penuh, kita lebih gemar kongsi yang penuh. Supaya yang menonton dapat nilai secara konteks keseluruhan kuliah. Tuan puan boleh terus ke minit 29:38 untuk tonton bab isu Qada’ dan Qadar;

Jika tuan puan teliti bahasan Ustaz dan faham, maka besar kemungkinan kebanyakan soalan yang telah kita kemukakan dalam terbitan REDHO? Faham Tapi Masih Tak Faham sudah terjawab. Jadi, tidaklah kita faham taqdir itu sebagaiman lazim kita faham selama ini. Rupanya para ulama Assya’rah dan Al-Maturidiyah pun ada khilaf dari segi takrif dan penjelasan. Rupanya penjelasan yang sampai kepada kita selama ini hanyalah takrifan bersifat permukaan sahaja ya tuan puan. Barulah kita faham maksud keadilan Tuhan.

Allah Tidak Zalim

Video 4

Seterusnya, tuan puan boleh juga tonton video seterusnya. Ia berkenaan penjelasan bahawa, kita patut benar-benar yakin bahawa ALLAH TIDAK ZALIM. Bukan setakat sebut dibibir. Bukan setakat ikut hafal nas Al-Quran. Tetapi yakin dengan sebenar kefahaman, sesungguhnya; ALLAH TIDAK MENZALIMI HAMBANYA. Sila tonton dengan teliti video di bawah ini;

Jika tuan puan teliti, ustaz ada mulakan dengan satu soalan cepumas kepada jemaah;

Jika Allah tidak zalim, mengapa haiwan mengalami kesengsaraan? Adakah ianya ujian juga? Adakah dikira ujian sedangkan binatang itu tidak serupa manusia yang mukallaf? BAGAIMANA HENDAK JAWAB PESOALAN INI?

Kalau tuan puan jenis teliti tonton Video 4 dia atas, barangkali sudah boleh menjawab terus. Bukan setakat jawab kerana sudah ada jawapan bocor ya. Tetapi jawab sebab memang sudah faham dengan jelas penerangan ustaz.

Soalan Cepumas Lagi…

Baiklah tuan puan sekalian. Sebelum kita teruskan lebih lanjut, kita hendak tanya beberapa soalan cepumas untuk tuan puan sekalian;

  1. Tuan puan sudah dengarkan dengan teliti 2 jam 14 minit 6 saat Video 3 itu, paling kurang bermula minit ke 29:48?
  2. Tuan puan sudah dengarkan dengan teliti 1 jam 52 minit 14 saat Video 4 itu?

Kalau belum, atau dengar lompat sana sini, potong sana sini, kita sarankan tuan puan ulang dengar dengan tertib. Kerana kita khuatir, Ustaz Noor Derus bicara lain, tuan puan faham benda lain pula. Kita juga khuatir, nanti bila kita bahas apa yang ustaz bicara itu, tuan puan pening kepala pula. Kita bahas lain, tuan puan faham ikut lain.

Baiklah. Jika tuan puan sudah dengar dengan teliti, tanyalah diri tuan puan secara jujur; AKU FAHAM ATAU TIDAK APA USTAZ CAKAP INI?

Kalau sekali dengar sudah faham, ya Alhamdulillah. Kalau tidak faham, atau faham sedikit sana sini, ada kelopongan, kita nasihatkan tuan puan ulang dengar. Lagi sekali. Jika perlu ulang dengar sampai dua kali atau lebih lagi. Sebab apa tuan puan? Sebab, Ustaz berbicara ikut cara perbahasan ilmu kalam yang diselang seli dengan psikologi manusia. Hendak kata sukar sangat, tidaklah juga. Tidaklah tinggi sangat makam perbahasan hingga tidak mampu digapai oleh orang awam. Tapi, kalau tidak biasa perbahasan falsafah, istilah dan bahasa, barangkali agak pening. Tetapi kalau sudah biasa, dengan izin Allah, kita mudah faham.

Bila kita faham, tidaklah kita senang hendak terpengaruh dengan puak-puak tukang bancuh dalam ruangan komen YouYube kedua-dua video tadi. Ada komen yang baik, ada banyak jugak komen yang tiada adab dan menunjukkan tahap kecerdikan tukang bancuh tersebut; cerdik, terlajak cerdik ataupun langsung tiada kecerdikan.

Demikianlah serba sedikit peringatan dari kita. Supaya tuan puan bersedia untuk perbahasan selanjutnya.

Dengan izin Allah, kita akan sambung huraian ini dalam kemaskini terbitan kemudian ya tuan puan.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • ISLAM, Beriman atau Kafir? Takri UNBELIEVER – +SANGfikir

    […] tuan puan fahami penjelasan maksud Kehendak dan Ketentuan: Allah Tidak Zalimi HambaNya. Boleh dengar elok-elok perkongsian 1 video ringkas dan 2 video panjang perbahasan Qada’ dan […]

  • MENTEGA TERBANG: Filem Gugat Akidah? – +SANGfikir

    […] terjemahan semata-mata, lalu gagal memahami erti kebangkitan semula, erti syurga dan neraka, erti Qada’ dan Qadar dan sebagainya memandai-mandai cuba mencari kebenaran dengan membaca kitab selain Al-Quran […]

%d bloggers like this: