Tuan puan sekalian. Sekarang ini sedang hangat saling berbalas hujah melalui video berkenaan isu ISLAM, beriman atau kafir menurut tafsiran puak-puak yang berbalah.

Maka eloklah kita tumpang semangkuk mengulas juga. Supaya tidaklah kita bergaduh sesama Islam. Supaya tidaklah kita mengata orang awam jangan bercakap pasal agama. Juga supaya orang awam sedarlah diri juga ilmu agama mereka tidaklah setara mana. Supaya tidak kita lupa saling menghormati sesama ustaz, orang awam dan sesiapa juga yang membahaskan isu ini.

Rentetan Perbahasan

Sebelum kita masuk bab ulasan, elok kita ketahui juga rentetan saling berbalas react video di saluran Youtube. Supaya kita faham isu. Mari kita kongsikan dulu video-video yang berkenaan.

Punca utama adalah kerana seorang awam mengajak umat supaya tidak mudah menuduh sesat ulama besar Sheikh Nazim Al-Haqqani yang telah dibahaskan dalam Dialog Terbuka: Pemikiran Sheikh Nazim Al-Haqqani Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah pada 25 Jun 2022 di antara antara Ustaz Salman dengan ASWJ Reasearch Group (ARG) yang diwakili oleh Ustaz Ustaz Engku Ahmad Fadzil dan Baba Abdul Rashid Muhamat Akip. Salah satu sebab perbahasan ini adalah kerana ada ura-ura untuk mengeluarkan ajaran Syaikh Nazim Al-Haqqani dari senarai ajaran yang telah difatwakan menyeleweng terbitan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia;

Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani (2000).

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 April 2000 telah membincangkan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani. Muzakarah telah memutuskan bahawa Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam. Pengamal ajaran ini hendaklah segera bertaubat.

Kompilasi Pandangan Hukum: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Cetakan Kelima, 2015)

Video 1

Orang awam itu, dikenali sebagai Dr. Haris Ismail dari saluran Youtube Protagonist Insight menuntut supaya Ustaz Salman meminta maaf kepada wakil tarekat Naqsabandiyah kerana menuduh Sheikh Nazim Al-Haqqani sebagai seorang yang sesat;

12 Julai 2022: KESILAPAN YANG USTAZ SALMAN ALI PERLU MOHON MAAF – DIALOG ARG KUIPS NAQSYABANDIAH

Baiklah tuan puan, mari kita lihat slide asal yang dikongsikan oleh Ustaz Salman Ali apabila beliau mendakwa Sheikh Nazim Al-Haqqani membawa ajaran orginal sin yang didakwa oleh Protaganist Insight sebagai satu kesilapan besar sehingga perlu memohon maaf kepada wakil tarekat Naqsabandiyah untuk mengelakkan beliau dibicarakan di mahkamah akhirat kelak;

Beginilah tuan puan. Dalam pembentangan Dialog Terbuka: Pemikiran Sheikh Nazim Al-Haqqani Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah memang Ustaz Salman ada menyentuh sekali lalu saja perihal original sin. Lebih kurang 2 minit sahaja berbanding 1 jam pembentangan menerangkan 20 fakta yang dibahaskan secara lebih terperinci. Sekali tengok, memanglah macam Ustaz Salman buat kesilapan besar. Cuba tuan puan lihat muka surat 194 hingga 196 dari buku Shaykh Nazim Mercy Oceans 2, dan cuba fahami konteks hujah Ustaz Salman itu;

Original Sin

Kita dapati, konteks penulisan buku itu adalah mengulas pertanyaan seseorang kepada Sheikh Nazim Al-Haqqani berkenaan original sin, lalu tuan sheikh pun menjawablah pertanyaan itu mengikut konteks soalan juga, iaitu berkenaan kononnya keturunan Nabi Adam Alaihissalam yang berada di dalam tulang sulbi baginda mendorong baginda melakukan dosa. Mukasurat surat 194 hingga 196 dari buku Shaykh Nazim Mercy Oceans 2 itu juga membicarakan perihal kepercayaan kepada hari akhirat (Belief in the hereafter). Jadi itulah yang menjadi perbahasan yang meleret-leret pula dalam susulan react video yang kita himpunkan di laman ini.

Secara tersuratnya, kita boleh kata jugalah Ustaz Salman tersilap dalam dakwaannya, sebab, setakat pembacaan 3 mukasurat itu, Sheikh Nazim Al-Haqqani tidaklah menyebut original sin secara langsung. Kesilapan ini, jika benar sekalipun, hanyalah kesilapan kecil sahaja, sebab maksud yang tersirat apabila tuan syeikh membicarakan tentang keturunan yang berada dalam tulang sulbi Nabi Adam itu, secara tidak langsung, beliau mengesahkan pertanyaan berkenaan original sin itu. Jadi, tidak perlulah kata ianya sebagai kesilapan besar.

Kefahaman Ustaz Salman Ali itu TIDAKLAH MENYIMPANG JAUH dari apa yang hendak disampaikan dalam buku Shaykh Nazim Mercy Oceans 2. Cuba tuan puan baca buku tersebut dan ulang baca mukasurat 194, 195 dan 196. Di mana hendak dikatakan menyimpang jauh? Secara literal, ya boleh dikatakan meyimpang sedikit. Secara konteks, tiada penyimpangan yang jauh pun dakwaan Ustaz Salman itu.

Lagi pula, isu original sin ini hanyalah salah satu isu saja daripada 20 dakwaan lain oleh Ustaz Salman. Ia bukanlah satu-satunya perkara yang dijadikan hujah. Hujah itu pula mendakwa kesesatan pemikiran. Hujah itu bukanlah hujah dalam mahkamah dunia mengatakan Sheikh Nazim Al-Haqqani itu kafir. Itu urusan dia dengan Allah. Secara zahirnya, dia mengaku Islam dan kita orang awam tiada kuasa mendakwa dia itu kafir. Itu bukan urusan orang awam. Urusan kita adalah mengambil maklum dakwaan Ustaz Salman berdasarkan 20 hujah yang dibentangkan, lalu beliau merumuskan pemikiran Sheikh Nazim Al-Haqqani itu sesat dan perlu kita hindari. Itu saja.

Apa yang lebih utama dalam buku tersebut adalah dakwaan kononnya keturunan Nabi Adam Alaihissalam yang berada di dalam tulang sulbi baginda mendorong baginda melakukan dosa memakan buah dari pohon larangan. Lalu dikatakan beliau tidak berdosa, atas alasan itu dorongan keturunan yang jahat dan tidak beriman. Dari mana datang dakwaan ini? Sumber dari Al-Quran? TIADA. Sumber dari hadith sahih? TIADA. Sumber dari mimpi? Boleh terimakah alasan seperti ini? Fikir-fikirkanlah.

Video 2

Apabila kita membuat react video, maka janganlah terperanjat kalau ada pihak lain pula membuat react video untuk menyanggah reaksi kita. Salah satunya adalah video di bawah ini. Tuan puan jangan terperanjat menatap paparan video caption dengan tulisan dan grafik berbentuk komik. Ia adalah kemahiran mendapatkan penonton, terutama kalau pihak yang kita hendak balas reaksi memulakan dengan video caption yang menarik minat orang tonton sehingga menjadi tular. Ini adalah strategi pembikinan video Youtube yang biasa orang gunakan.

15 Julai 2022: Salah Tafsir Al-Quran: Protagonis Insight (Harris Ismail) Yang Perlu Bertaubat : Ustaz Suhili Nain

Video Ustaz Suhili Nain ini adalah berbentuk teguran yang baik. Beliau jelaskan sekali lagi, ajaran Sheikh Nazim Al-Haqqani adalah menyimpang dari ajaran Islam, selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Beliau kongsikan pula terjemahan buku dalam bahasa Melayu;

Lalu beliau menegaskan konsep original sin yang didakwa oleh Ustaz Salman itu berkenaan adalah selaras dengan apa yang dibicarakan oleh Sheikh Nazim Al-Haqqani dalam buku Mercy Ocean 2 yang disebarkan kepada para pengikutnya. Beliau juga menyanggah pandangan Sheikh Nazim Al-Haqqani yang mengatakan Nabi Adam Alaihissalam tidak berdosa memakan buah dari pohon larangan atas alasan Nabi itu mestilah maksum, menurut kefahaman tuan syeikh. Beliau membawakan dalil ayat Al-Quran berikut;

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَٰنُ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: “Hai Adam, maukah saya tunjukkan kepada kamu pohon keabadian dan kerajaan yang tidak akan binasa?

Surah Thaha 20:120

فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ ٱلْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰٓ ءَادَمُ رَبَّهُۥ فَغَوَىٰ

Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) surga, dan durhakalah Adam kepada Tuhan maka terpedayalah ia.

Surah Thaha 20:121

ثُمَّ ٱجْتَبَٰهُ رَبُّهُۥ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ

Kemudian Tuhannya memilihnya maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.

Surah Thaha 20:122

Seeloknya kena baca surah Thaha itu dari ayat 115 hingga 124 supaya kita dapat memahami konteks ayat lebih tepat berdasarkan ayat mengikut tema dalam surah.

Jika kita hanya baca sahaja ayat 115 hingga 124, kita akan faham bahawa perbuatan Nabi Adam memakan buah khuldi itu adalah dari hasutan syaitan. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada Iblis. Bukannya syaitan lain dari kalangan jin dan manusia. Apatah lagi ketika itu hanya ada dua manusia, iaitu Nabi Adam dan isterinya sahaja yang tinggal di dalam syurga. Bagaimana boleh timbul tafsiran keturunan tidak beriman yang berada di dalam tulang sulbi boleh menghasut pula sebagaimana dakwaan Syeikh Nazim?

Tuan puan sekalian. Kisah Nabi Adam Alaihissalam dan pertentangan dengan Iblis diceritakan berulang kali sebagai peringatan kepada manusia supaya tidak melakukan dosa. Ayat-ayat tersebut berupa ayat muhkamat, bukanlah ayat mutasyabihat yang memerlukan kita mentakwil kepada perkara yang tiada asal,dalam Al-Quran dan juga hadith sahih. Akibat kesalahan melanggar perintah Allah itu juga baginda dikeluarkan dari syurga. Ia adalah fitrah manusia yang melakukan kesilapan, kemudian bertaubat.

Dalam ayat 122, Allah telah menjelaskan permohonan taubat itu telah diterima. Lalu Allah memberikan petunjuk agar kembali ke jalan yang benar. Ayat itu adalah jelas. Apakah keperluan kita menyingkap (takwil) maksud ayat kepada keturunan yang didalam tulang sulbi pula yang mendorong baginda berbuat dosa?

Tuan puan boleh buat semakan pelbagai tafsiran yang dinyatakan dalam pautan di atas. Atau boleh muat turun banyak lagi tafsir para ulama muktabar dari pautan کتاب | BOOK | buku. Kena faham, tafsir memang pelbagai, tetapi kita hendaklah memilih yang lebih tepat. Hal ini tuan puan kenalah mengaji kitab dan bertanya kepada ustaz yang lebih memahami jika ada kemusykilan.

Beliau turut berkongsi beberapa hadith dan menjelaskan konteks hadith yang berkenaan dalam memahami konteks ayat yang surah Thaha 120-122 itu.

Ustaz juga memaklumkan secara ringkas konsep maksum para nabi menurut pandangan para ulama termasuk oleh Ibnu Hajar Askalani dan Imam Fahruddin Ar-Razi. Tuan puan boleh semak maksud maksum itu.

Ustaz Suhili juga menerangkan maksud ayat beliau dakwa dipetik oleh Dr. Harris untuk menyelaraskan pandangan Sheikh Nazim Al-Haqqani lalu beliau jelaskan ia menyelisihi maksud nas asal;

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَٰفِلِينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Surah Al-A’raf 7:172

Lebih elok jika ayat 172 ini disambung baca dengan ayat 173 dan 174;

أَوْ تَقُولُوٓا۟ إِنَّمَآ أَشْرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِّنۢ بَعْدِهِمْ ۖ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلْمُبْطِلُونَ

atau agar kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedang kami ini adalah anak-anak keturunan yang (datang) sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami karena perbuatan orang-orang yang sesat dahulu?

Surah Al-A’raf 7:173

وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْءَايَٰتِ وَلَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu, agar mereka kembali (kepada kebenaran).

Surah Al-A’raf 2:174

Tuan puan sekalian. Ketiga-tiga ayat 172, 173 dan 174 itu adalah penjelasan berhubung hakikat perjanjian manusia dengan Allah siapakah Tuhan bagi manusia. Ia semudah itu difahami. Kalau kita baca tafsir para ulama pun, penjelasannya adalah hakikat tauhid yang perlu kita akui. Asal kejadian kita memang berasal dari air mani yang hina, berasal dari tulang sulbi bapa kita. Fitrah manusia asalnya memang memperakui tauhid kepada Tuhan.

Dari mana datangnya kefahaman bahawa sebelum itu kita sudah jadi penentang Tuhan? Sudah boleh diketahui semasa masih berada di tulang sulbi kita ini jenis beriman atau kafir? Kita faham atau tidak perihal qada’ dan qadar? Cuba jengok sebentar selingan pesanan di bawah.

Elok tuan puan fahami penjelasan maksud Kehendak dan Ketentuan: Allah Tidak Zalimi HambaNya. Boleh dengar elok-elok perkongsian 1 video ringkas dan 2 video panjang perbahasan Qada’ dan Qadar. Jika tidak faham, ulang dengar dan rujuk kitab-kitab yang ustaz nukilkan dalam video itu. Kena faham beza IRADAH dan ILMU Tuhan apabila hendak bahaskan KEHENDAK dan KETENTUAN Allah. Jangan kita jadi seperti puak Qadariyah. Jangan pula kita jadi seperti puak Jabariyah. Jangan pula asyik mengaku Ahlul Sunnah Waljamaah, tetapi masih tidak faham lagi konsep Qada’ dan Qadar yang menjadi teras ke-6 dalam Rukun Iman.

+SANGfikir

Diakhir video itu, Ustaz Suhili menegaskan, bahawa Dr. Haris lah yang perlu mohon maaf pula kepada Ustaz Salman. Bagi kita yang menonton, kita tidaklah ambil pusing sangat hal ini. Sebab kena faham jugalah. Perbahasan sepatutnya bersifat akademik. Tidak perlulah kita bersikap terlalu peribadi hendak membela seseorang tokoh. Lainlah halnya kalau seseorang itu menyentuh peribadi. Itu pun kalau tuan punya badan ada ambil kisah.

Secara umumnya, bolehlah dikatakan Ustaz Suhili cuba menggunakan bahasa yang baik menegur orang awam apabila pada pandangan sang ustaz menyelisihi apa yang patut kita faham dalam urusan agama. Kita patut berlapang dada dengan teguran seperti ini. Malah beliau juga menasihatkan Dr. Haris supaya membuat kajian dan rujukan dengan teliti sebelum mengulas sesuatu perkara.

Video 3

Selepas teguran oleh Ustaz Suhili, maka Dr. Haris menerbitkan pula react video untuk membalas hujah dan menerangkan beberapa penjelasan tambahan;

15 Julai 2022: PROMEDIA TAJDID GAGAL DENGAN 5 KEKELIRUAN FATAL DALAM MENYESATKAN SYEIKH NAZIM AL HAQQANI

Dalam video hujah balas ini, Dr. Haris menjelaskan tujuannya membuat Video 1 di atas tadi adalah untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menyesatkan orang lain. Kalau menurut konteks perbicaraan beliau, ia bermaksud jangan menuduh orang lain sesat. Beliau juga memperingatkan kita supaya jangan membuat kesimpulan sendiri berkenaan sesorang itu sesat berdasarkan maklumat yang kita ada.

Pekara ini kita setuju sangatlah. Sebab tuan puan kena ingat ya. Kita hanya orang awam sahaja. Urusan menentukan kesesatan kita patut serahkan kepada badan agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, biarpun kadangkala adalah juga yang kita tidak setuju. Cuma kena ingatlah, Majlis Fatwa itu dianggotai oleh mereka yang diiktiraf kelayakan oleh pemerintah. Sama ada mereka itu benar atau salah, maka itu urusan mereka dengan Allah.

Begitu juga, kita sebagai orang awam janganlah pula melenting kalau ada sebahagian ustaz memberitahu kita berkenaan sesat sesetengah amalan orang. Sebab, mereka ada tanggungjawab di bahu mereka untuk menerangkan kepada masyarakat, berdasarkan hujah dan dalil mereka. Tujuan mereka terangkan supaya kita masyarakat tidak terjerumus dalam kesesatan, sekurang-kurangnya menurut kefahaman ustaz berdasarkan ilmu yang mereka ada. Kalau kita tidak mahu terima pandangan ustaz, cukuplah sekadar untuk diri kita sahaja. Kalau kita bersedia untuk berbalas hujah dengan ustaz, pastikan kita juga ada ilmu yang sepadan. Jika tidak, memadailah kita bertanya sahaja jika ada kemusykilan.

Dalam Video 3 ini juga, Dr. Haris turut mengetengahkan prinsip ainul yakin dan haqqul yakin secara sepintas lalu, supaya tidaklah semudah itu menuduh seseorang (boleh rujuk di pautan ini jika mahu mengetahui serba sedikit perihal ilmu yakin). Lalu beliau kemukakan 5 perkara yang beliau anggap merupakan kesalah fahaman Ustaz Suhili;

  1. Believer dan unbeliever; maksudnya beriman dan tidak beriman. Tidak boleh mengatakan unbeliever (tidak beriman) sebagai kafir;
  2. Menegaskan bahawa perkongsian Surah Al-A’raf adalah untuk menunjukkan bahawa adalah benar ada keturunan dalam tulang sulbi Nabi Adam bukan untuk menyokong kenyataan Sheikh Nazim;
  3. Menegaskan beliau tidak pernah sebut bahawa keturunan dalam tulang sulbi Adam itu ada yang berdosa dan mengaitkannya dengan dakwaan bahawa Ustaz Suhili sedang melakukan ’straw man fallacy’;
  4. Menegaskan bahawa hanya apabila sudah berada di dunia, barulah dibezakan keturunan yang beriman dan tidak beriman;
  5. Bersetuju dengan Ustaz Suhaili berkenaan hadith riwayat Abu Daud yang menyatakan bahawa keturunan Nabi Adam di dalam tulang sulbi adalah di dalam fitrah dan hanya apabila berada di dunia ada yang kufur lalu menjadi ahli neraka di akhirat.

Lalu beliau mengajak supaya bersangka baik dengan teks Sheikh Nazim berhubung original sin dan dakwaan Syeikh Nazim keturunan tidak beriman yang berada di dalam tulang sulbi mendorong Nabi Adam supaya melanggar larangan Allah. Dr. Harris juga mempersoalkan adakah cukup dengan dakwaan yang dinyatakan oleh Ustaz Suhili (dalam Video 2) untuk mendakwa bahawa Sheikh Nazim telah sesat.

Itu yang boleh kita nukilkan dari Video 3 di atas. Tuan puan elok tonton secara teliti. Takut tukang tulis ini pula yang melakukan ’straw man fallacy’ pula. Mana tahu kita salah faham pula. Maklumlah, kefahaman lain orang mungkin berbeza. Ini kita kena akurlah.

Baiklah tuan puan, kita boleh bersetuju dengan apa yang dibicarakan dalam perkara 2, 3, 4, 5 itu. Perkara sudah dijelaskan oleh Ustaz Suhili dalam Video 2 dan diterangkan kembali oleh Dr. Haris. Kita tidak mahu ulas lanjut. Tetapi kita berminat untuk ulas perkara yang pertama;

Believer vs. unbeliever; maksudnya beriman dan tidak beriman. Tidak boleh mengatakan unbeliever (tidak beriman) sebagai kafir.

Perkara ini timbul kerana dalam teks mukasurat 195 dalam buku Mercy Ocean Book Two, Sheikh Nazim ada menyebut berkenaan believer dan unbeliever;

Minta maaf ya tuan puan. Kena cari sendirilah perkataan itu dalam teks tersebut. Kita tidak mahu garis atau serlahkan. Takut nanti tuan puan baca salah konteks pula. Kena hati-hati ya.

Menurut Dr. Haris, Ustaz Suhili sudah salah faham maksud unbeliever itu lalu menyebut unbeliever sebagai kafir. Itulah kesalahan Ustaz Suhili, menurut dakwaan beliau. Lalu beliau menunjukkan tangkap layar maksud kafir;

Beliau menegaskan, unbeliever tidak boleh diterjemahkan sebagai kafir. Sepatutnya teks beliver dan unbeliever diterjemahkan sebagai beriman dan tidak beriman. Beliau juga jelaskan, ada juga orang Islam yang tidak beriman. Kita boleh faham apa beliau maksudkan. Iaitu ada juga orang Islam, tetapi dari segi tingkatan iman, barangkali belum beriman sepenuhnya. Istilah seperti ini, orang yang mengaji tentu faham. Itu belum lagi masuk tingkatan ikhlas kepada Allah. Ini bab tasawuf yang lebih tinggi darjatnya ya tuan puan. Jika diizin Tuhan, kita boleh bincang lain kali.

Berbalik kepada teks believer dan unbeliever. Kita tidak tahu apa dalam fikiran Dr. Haris. Kita pun tidak mahu cipta satu lagi straw man fallacy. Ia lebih kurang begini; jangan kata apa yang orang tidak kata. Atau ‘jangan meletakkkan perkataan ikut kefahaman kita terhadap apa yang orang lain perkatakan ke dalam mulutnya’. Atau, kawan cakap lain, awak faham lain. Lebih kurang begitulah maksudnya.

Bahasa dan Istilah

Beginilah ya tuan puan. Terma-terma dalam urusan keagamaan secara umumnya, setakat yang kita semua sudah belajar, perlu dilihat dari beberapa sudut. Yang umum diketahui adalah;

  1. Dari sudut bahasa;
  2. Dari sudut istilah

Inilah kaedah yang di ajar oleh para ulama sejak zaman salaf, khalaf hinggalah ke hari ini dalam pelbagai urusan. Semua orang yang mengaji agama tahu kaedah ini. Menilai perkataan dari sudut bahasa dan istilah ini sangat penting, termasuklah juga urusan harian kita ya tuan puan sekalian. Jangan lupa itu.

Baiklah tuan puan. Apabila kita membicarakan urusan agama, tidak boleh sembrono mengambil sudut bahasa sahaja, atau sudut istilah sahaja. Lazimnya kita akan menjelaskan perkataan itu menurut apa yang sudah dimaklumi umum. Misalnya begini, secara umum kita faham jika orang itu tidak beriman, maka dia kafir. Jika dia tidak Islam, maka dia kafir. Itu dari segi istilah pengajian umum agama. Istilah seperti ini memang ada. Cuma, dari segi siasah dan pergaulan harian dengan khalayak berbilang agama, elok kita sebut mereka yang tidak beriman itu sebagai orang bukan Islam. Itukan lebih elok.

Sama jugalah, kawan kita yang bukan Islam itu, tidak akan mengatakan kita kafir atau infidel, biarpun menurut agama mereka, kitalah pula yang kafir, sebab kita tidak beriman dengan cara mereka beriman. Jangan pelik pula kalau orang bukan Islam gelar kita infidel, sebab kita tidak mahu beragama dengan cara majoriti umat manusia di dunia hari ini beragama. Kita tidak perlu bersikap ofensif dan defensif dalam perkara ini. Memang dalam pengajian umum, masyarakat sudah didedahkan bahawa orang yang tidak Islam itu kafir. Orang yang tidak beriman itu kafir.

Cuma, orang yang mengaji tahu, perkataan kafir itu merujuk kepada orang. Perkataan kufur itu boleh merujuk kepada perbuatan. Juga ada pecahannya lagi. Ada tingkatannya lagi. Itu belum kita uji perkataan kuffar pula. Sebab itu jangan terkejut pula. Kalau ada kesempatan dan diberi keizinan oleh Allah, nanti kita boleh sambung perbahasan maksud kafir itu dalam bab lain. Tetapi, secara umum yang sedia maklum, kafir yang kita faham memang merujuk kepada;

  1. Infidel (orang tiada agama atau beragama lain dari majoriti kepercayaan orang)
  2. Disbeliever (orang yang enggan terima untuk percaya / menolak untuk beriman)
  3. Unbeliever (orang yang tidak percaya / tidak beriman)
  4. Non-believer (orang yang tidak serupa kepercayaan / lain keimanannya)

Begini ya tuan puan. Perkataan iman itu kita pinjam dari perkataan Arab. Perkataan yang paling hampir ikut bahasa Melayu asal adalah percaya. Jadi, kalau seseorang itu unbeliever, maka kita kata dia tidak beriman, iaitu orang yang tidak percaya. Percaya apa? Percaya kepada Allah, Rasul, Malaikat, Kitab, Hari Akhirat dan juga Qada’ & Qadar. Dalam urusan agama Islam, itulah enam teras kepercayaan dalam Rukun Iman yang kita belajar sejak kecil lagi. Lainlah kalau kita berpegang kepada mazhab yang lain. Itu cerita lainlah pula.

Itulah istilah kafir yang orang awam telah faham. Iaitu orang kafir itu adalah orang yang tidak beriman. Kita hendak ulas panjang dari segi tingkat keimanan dan keikhlasan pun, setakat ini belum ada keperluan lagi. Sebab apa? Sebab dalam bahagian glosari dalam buku Mercy Ocean Book Two yang menakalkan ucapan Syaikh Nazim Al-Haqqani TURUN mentakrifkan KAFIR sebagai UNBELIEVER dan juga INFIDEL;

Glossary, page 217; Mercy Ocean Book Two

Jadi macam mana ya tuan puan sekalian? Sudah bacakah buku Mercy Ocean Book Two yang kita berikan pautan awal-awal tadi? Glosari itu sendiri merujuk kafir itu adalah unbeliever, infidel. Kalau teks ucapan Sheikh Nazim dalam buku Mercy Ocean Book Two setakat bermaksud bahawa unbeliever itu hanya sebagai ‘tidak beriman’ (menurut bahasa literal) dan tidak merujuk kepada orang kafir (merujuk maksud istilah), kita hendak kata apa ya?

Kita hendak faham macam mana ya?

Dalam memahami teks, lengkap dengan glosari seperti ini, adakah kita setakat baca buku hanya dari segi bahasa literal, atau kita harus memahaminya dari segi istilah yang bersesuaian dengan konteks buku itu ditulis?

Kita hendak pilih yang mana ya tuan puan? Fikir-fikirkanlah.

Video 4

Hari berikutnya, Dr. Haris memetik pula nama Ustaz Dr. Rozaimi dalam perbahasan lanjut. Ini kerana Dr. Rozaimi turut membuat ulasan menyokong pandangan Ustaz Suhili dalam laman Facebook beliau. Fokus bahasan video ini adalah berkenaan dengan takrif KAFIR, BERIMAN dan TIDAK BERIMAN;

16 Julai 2022: PROMEDIA TAJDID MINTA TALIAN HAYAT DARI Dr ROZAIMI (RORA): REKTOR KUIPs TERPAKSA BANTU

Dalam video ini, Dr. Haris menerangkan serba sedikit urusan berbalas komen dengan Ustaz Suhili. Termasuklah urusan Ustaz Dr. Rozaimi turut memberikan komen. Hal ini kita tidak mahu masuk campur sangatlah. Elok kita fokus kepada perkara yang hendak diterangkan oleh Dr. Haris berkenaan takrif beriman dan tidak beriman.

Menurut Dr. Haris, kufur adalah denial atau reject (menolak untuk beriman) atau tidak percaya. Bagaimanapun, menurut beliau, tidak percaya, tidak semestinya kafir. Beliau tidak menerima penjelasan Ustaz Suhili bahawa berdasarkan teks ucapan Sheikh Nazim, unbeliever adalah kafir. Beliau turut menjelaskan fakta bahawa ramai orang Islam masih belum sampai kepercayaan ke dalam hati. Maksudnya dia tidak percaya lagi sepenuhnya Rukun Iman, termasuklah belum masuk lagi dalam hati kepercayaan tentang hari akhirat. Adakah orang Islam yang tidak percaya hari akhirat itu kafir?

Sebab itu beliau menegaskan bahawa kafir boleh ditakrif sebagai unbeliever TETAPI unbeliever atau tidak beriman tidak boleh ditakrif sebagai kafir. Beliau menegaskan TIDAK PERCAYA dan MENOLAK adalah dua perkara yang berbeza. Jika orang menolak untuk beriman dengan hari akhirat, maka dia tentulah kafir. Tetapi jika orang tidak percaya kepada hari akhirat kerana belum sampai di hatinya, tidak bolehlah kita kata mereka kafir. Ini adalah sangat bahaya, kerana takut kita pula sebenarnya jadi kafir. Tetapi Dr. Haris tidak mahu memaksa kefahamannya ke atas Dr. Suhili, kerana kalau Dr. Suhili sudah mahu berpegang kepada kefahaman tidak beriman itu semestinya kafir, maka itulah titik perbezaan di antara mereka berdua.

Begitulah pemerhatian kita ya tuan puan. Elok tuan puan tonton dengan teliti. Takut si tukang tulis ini salah faham pula. Kita yang jadi pemerhati ini tidaklah mahu mengatakan siapa salah siapa yang benar. Kita cuma hendak menentukan siapakah yang lebih tepat penjelasannya. Kita juga boleh faham bahawa tahap kefahaman orang memang berbeza ya tuan puan. Tetapi, apabila membicarakan tentang sesuatu konteks yang spesifik, kita tidak sepatutnya bermain dengan kalam ikut kehendak kita. Tuan puan faham apa yang kita maksudkan ini?

Usah tenggelam dalam lautan kalam

Mari kita bawakan contoh permainan kalam dalam perkara ini;

  1. Kafir boleh ditakrif sebagai infidel TETAPI infidel tidak boleh ditakrif sebagai kafir;
  2. Kafir boleh ditakrif sebagai disbeliever TETAPI disbeliever tidak boleh ditakrif sebagai kafir;
  3. Kafir boleh ditakrif sebagai unbeliever TETAPI unbeliever tidak boleh ditakrif sebagai kafir;
  4. Kafir boleh ditakrif sebagai non-believer TETAPI non-believer tidak boleh ditakrif sebagai kafir;

Sekarang ini sudah macam mana ya tuan puan? Kita ambil takrif maklum penggunaan bahasa Inggeris yang mengatakan kafir itu sebagai infidel, disbeliever, unbeliever dan non-believer, lalu kita terbalikkan pula sebegini;

  1. Kafir boleh ditakrif sebagai infidel, OLEH ITU, infidel boleh ditakrif sebagai kafir;
  2. Kafir boleh ditakrif sebagai disbeliever, OLEH ITU, disbeliever boleh ditakrif sebagai kafir;
  3. Kafir boleh ditakrif sebagai unbeliever, OLEH ITU, unbeliever boleh ditakrif sebagai kafir;
  4. Kafir boleh ditakrif sebagai non-believer, OLEH ITU, non-believer boleh ditakrif sebagai kafir;

Macam mana tuan puan? Masih waras? Masih boleh berfikir dengan baik? Permainan kalam ini adalah kebiasaan golongan ahli falsafah dalam merungkai sesuatu perkara. Kita pun tahu, kebanyakan ahli sufi memang gemar bermain dengan kalam. Sehingga ramai orang tidak faham. Sehingga ramai orang menjadi sesat. Jadilah pula mereka golongan yang tenggelam dalam kalam.

Sebab itulah kita ada Imam Al-Ghazali yang menyelam dalam kalam dan kemudiannya menentang penyalah gunaan kalam oleh golongan sufi pada zamannya. Sebab itulah kita ada Imam As-Sya’ari yang mengajar disiplin ilmu kalam apabila berhadapan dengan golongan Muktazilah, Jabariyah dan Qadariyah pada zamannya. Seperti mana ilmu yang lain, ilmu kalam boleh membawa kepada kebaikan. Ia juga boleh membawa kepada kesesatan, jika kita menggunakannya pada jalan yang salah. Jika kita minat hendak berfalsafah, ikutlah disiplin ilmu kalam cara Assyairah. Bukankah kita di Malaysia ini asyik mendakwa kita ini Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah Al-Maturidiyah Al-Ghazaliyah? Hendak ikut, ikut cara yang betul. Jangan pula ikut cara kalam golongan batiniah. Susah kita nanti.

Kafir dan infidel

Tadi kita sudah bawakan 2 jenis permainan kalam. Mari kita petik berkenaan infidel dan cuba bandingkan;

  1. Kafir boleh ditakrif sebagai infidel TETAPI infidel tidak boleh ditakrif sebagai kafir;
  2. Kafir boleh ditakrif sebagai infidel, OLEH ITU, infidel boleh ditakrif sebagai kafir;

Kita ambil infidel sebab kalau tuan puan guna Google Tranlate, memang akan dapat jawapan kafir (Bahasa Melayu) diterjemah sebagai infidel (Bahasa Inggeris). Juga sebab ini salah satu sebab isu beriman dan tidak beriman menjadi leretan perbahasan.

Dalam permainan kalam membandingkan kafir dan infidel di atas, apakah pilihan tuan puan?

  1. infidel tidak boleh ditakrif sebagai kafir; ATAU
  2. infidel boleh ditakrif sebagai kafir;

Hendak jawab itu, jangan tepuk dada tanya selera ya tuan puan. Tepuk dada, tanya iman.

Sudah pilih? Kita tidak tahu apa pilihan tuan puan.

Tetapi si tukang tulis ini memilih infidel boleh ditakrif sebagai kafir. Sebab kalau hendak kata infidel sebagai orang belum beriman, atau belum sampai di hatinya iman, dari segi konteks, itu tidak tepatlah. Sebab itu, jika kita boleh terima infidel boleh ditakrif sebagai kafir, apa masalah pula kalau kita hendak terima unbeliever boleh ditakrif sebagai kafir. Apatah lagi kalau kita baca buku-buku siri Mercy Ocean, kita akan sentiasa dapati penjelasan believer lawannya unbeliever. Kita akan sentiasa dapati penjelasan orang beriman lawannya orang tidak beriman. Contoh-contoh yang diungkapkan dalam penjelasannya, menurut kefahaman umum, sudah maklum the unbeliever yang dimaksudkan adalah merujuk kepada orang kafir.

Kalau tuan puan hendak pilih infidel tidak boleh ditakrif sebagai kafir, itu terpulanglah kepada diri tuan puan.

Islam, Kafir, Infidel, Disbeliever, Unbeliever, Non-Believer

Kalau mahu bermain bahasa dan takfir lagi, cuba tanya kepada diri soalan-soalan ini apabila tuan puan hidup bersosial dengan khalayak berbilang agama iaitu dengan kalangan orang Islam dan orang bukan Islam (non-Muslim). TANYA KEPADA DIRI SENDIRI. Jangan tanya pula kepada orang bukan Islam di di hadapan tuan puan ya. Tiada pasal, jangan cari pasal. Cuba tanyakan ini kepada diri anda;

  1. Orang infidel, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang Islam?
  2. Orang disbeliever, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang Islam?
  3. Orang unbeliever, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang Islam?
  4. Orang non-believer, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang Islam?

Kita sudah sampai sini, harap tuan puan sudah faham. Maksudnya, apabila kita mentakrif sesuatu perkataan, kita bukan hanya ikut bahasa secara literal. Kita takrif secara istilah menurut konteks.

Tuan puan sudah baca atau belum Mercy Ocean Book Two? Sudah baca atau belum Mercy Ocean Book One? Sudah baca atau belum pelbagai lagi siri buku Mercy Ocean dan juga buku-buku lain yang disandarkan kepada Sheikh Nazim Al-Haqqani? Kalau belum, kita nasihatkan supaya jangan jump on the bandwagon. Jangan tergesa-gesa memilih pandangan Ustaz Suhili sebab kita suka dia. Jangan tergesa-gesa memilih pandangan Dr. Haris sebab kita suka dia. Jangan pula kita tolak pandangan Ustaz Dr. Rozaimi sebab kita dengar ramai orang gelar dia geng Wahabi. DO NOT JUMP ON THE BANDWAGON, ini orang putih cakap ya.

Mari kita tanyakan soalan cepumas seterusnya, mengikut konteks KAFIR lawannya orang beriman;

  1. Orang infidel, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang beriman?
  2. Orang disbeliever, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang beriman?
  3. Orang unbeliever, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang beriman?
  4. Orang non-believer, tuan puan kata dia orang kafir ATAU dia orang beriman?

Langsung, ayuh kita teruskan dengan soalan cepumas terakhir, mengikut konteks pelbagai penjelasan kafir menurut bahasa Inggeris pula;

  1. Orang infidel, tuan puan kata dia orang yang tiada beriman ATAU hendak kata apa pula?
  2. Orang disbeliever, tuan puan kata dia orang menolak untuk beriman ATAU hendak kata apa pula?
  3. Orang unbeliever, tuan puan kata dia orang tidak beriman ATAU hendak kata apa pula?
  4. Orang non-believer, tuan puan kata dia orang bukan beriman ATAU hendak kata apa pula?

Kita rasa cukuplah setakat ini perbahasan dengan pendekatan bahasa falsafah. Sebab kalau hendak sambung, sampai kiamat tidak akan habis pelbagai bentuk persoalan jika benar hendak berfalsafah.

Kembali ke Pangkal Jalan

Beginilah ya tuan puan. Kalau pendekatan falsafah pun masih tidak jelas, elok kita kembali kepada cetusan asal perbahasan orang beriman dengan orang tidak beriman ini bermula. Ia dari takrif ringkas;

KAFIR (Bahasa Melayu) = INFIDEL (Bahasa Inggeris)

Kalau tuan puan rajin, cuba belek telefon tuan puan itu. Cuba perisian Google Translate. Apakah makna unbeliever ke dalam bahasa Melayu?

UNBELIEVER (Bahasa Inggeris) = KAFIR (Bahasa Melayu)

Tuan puan. Kalau tak faham juga falsafah, rujuk Google Translate pun sudah diketahui, unbeliever dalam bahasa Inggeris itu adalah kafir dalam Bahasa Melayu.

Cuba tuan puan semak pula, apakah makna unbeliever dalam bahasa Inggeris itu adalah kafir dalam Bahasa Arab?

UNBELIEVER (Bahasa Inggeris) = KAFIR (Bahasa Arab)

Begitulah tuan puan. Kalau rujuk Google Translate pun sudah diketahui, unbeliever dalam bahasa Inggeris itu adalah kafir dalam Bahasa Arab.

Dari segi tingkatan iman, kita boleh bincang lebih jauh nanti apabila sudah habis menonton Video 5. Dari segi kefahaman umum, hendak bincang apa lagi?

Kita sudah bentangkan dua kaedah; satu secara bahasan falsafah, satu lagi secara ringkas. Sekarang tuan puan pilih la mana satu. Kita tidak mahu paksa. Hendak pilih ikut bahasa? Hendak pilih ikut istilah kefahaman tuan puan sendiri? Hendak pilih ikut kalam di ambil luar konteks? Atau hendak pilih kalam mengikut konteks? Dari segi kefahaman awam, tuan puan hendak ikut kefahaman Dr. Haris, atau tuan puan hendak ikut kefahaman Ustaz Suhili?

Yang kena pilih itu adalah tuan puan. Tepuk dada, tanya iman. Kena ingat ya tuan puan; yang menilai iman itu Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

KAFIR, Beriman, Tidak Beriman

Tuan puan sekalian. Kita sudah menonton dan mengulas empat video yang asalnya hendak menyangkal dakwaan Ustaz Salman Ali berkenaan dakwaan ajaran original sin oleh Sheikh Nazim Al-Haqqani, sehingga meleret pula perbahasan istilah kafir, beriman dan tidak beriman. Ada tiga lagi video yang kita sudah himpunkan untuk kita sambung perbahasan. Oleh kerana terbitan ini sudah panjang berjela, maka kita akan sambung dalam bahagian kedua nanti, dengan izin Allah jua.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer) 2 – +SANGfikir

    […] baca Bahagian 1 terlebih dahulu […]

  • ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer) 3 – +SANGfikir

    […] yang telah kita sebutkan dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2 dahulu, kalau kita jenis kaki buat react video, janganlah kita sentap kalau ada […]

%d bloggers like this: