Tuan puan sekalian. Kita hendak mula dengan bersantai. Hayati lirik lagu BIASAN nyanyian To’Ki;
Biasan kaca itu Tersenyum memandangku 🎶Membongkar satu noda Menghiris satu jiwa 🎶Memaksa senyum madu Dibalik raut lesu Tersingkap impianmu Dicemar janji palsu 🎶Aku yang bersalah Janji takku endah Terperangkapku dengan bisikannya 🎶Bebaskanlah aku Dari dibelenggu Dari pintu kaca yang bermadu 🎶Bantulah diriku Arah mana satu Memecah pintu balik kaca ohh… 🎶Ku cinta dia Bayang wajahmu Genggam bersama Cinta itu
Lirik lagu BIASAN – To’Ki
Tuan puan sekalian. Dalam terbitan sebelum ini, kita mengakhiri coretan dengan doa yang disulami dengan muzik; sudah jadi qasidah yang lunak didengar telinga. Cuba tanya diri. Apa hukum dengar muzik? Tuan puan pasti sudah dengar pendapat ulama muktabar dan dengar pendapat ulama pinggiran. Lalu, mengapa masih lagi dengar muzik? Maksudnya apa tuan puan? Maksudnya; kita ini masih ada akal untuk mengambil sekadar yang ada pilihan harus, dan masih ada akal untuk ketepikan perkara melampaui batasan. Sebab itu, dalam tebitan ini, kita tidak keberatan berkongsi muzik yang berlagu dengan lirik yang penuh dengan makna tersirat di sebalik yang tersurat.
Bagaimana tuan puan hendak fahami maksud lirik itu, terpulanglah kepada diri sendiri, sebagaimana penyanyi asal faham apa yang dinyanyikan itu faham, kita pun tidak tahu. Lirik itu boleh bawa maksud kepada percintaan monyet kita semasa remaja, atau boleh bawa maksud melampau golongan sufi yang berlebihan hingga gagal beza tasawuf dan aqidah, atau boleh bawa maksud lain pula seperti hendak kita kongsikan kemudian nanti.
Sebelum tuan puan lanjut membaca ini, eloklah tuan puan berjinak-jinak dengan tulisan berjela-jela yang belum cukup masak dalam EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tidak Serupa Bikin? Biarlah termuntah hendak membacanya, biarlah pening hendak hadam isinya. Memang sudah kita ini diajar supaya masak dahulu sebelum hadam, bukan? Pernah dengar kalam seumpama ini?
Kita akan teruskan coretan kali ini dengan kembali kepada yang tersirat di sebalik apa yang tersurat dalam BIASAN, mengikut faham lirik lagu cara kita. Ia terkait dengan JERAT yang sudah membelenggu pemikiran kita selama ini. Cukup-cukuplah kita ini terjerat dengan adu domba politik, urusan agama pun hendak terjerat jugakah?

BIASAN: Yang Menerangkan vs. Yang Memesongkan
Tuan puan sekalian. Dalam terbitan Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (2), kita ada menerangkan sifat cahaya pelita yang terbias dengan balang kaca dan dipantulkan pula oleh dinding miskat sehingga menjadilah cahaya kebenaran itu jelas terang benderang.
Yan kita hendak bicarakan dalam konteks lagu yang kita kongsikan tadi adalah biasan yang memesongkan. Pesongan ini boleh menyebabkan kita hidup dalam kebebalan. Bukannya kebenaran. Sebab apa? Sebab memang kita selama ini hidup dalam dunia yang penuh dengan biasan yang memesongkan, diajar dalam hidup seolah-olah itu adalah mutlak kebenaran. Sebab itu kita ini tidak hentinya mengajak manusia supaya menggunakan akal, supaya dapat kita pecahkan kaca yang menyelubungi diri kita itu supaya tidak menyeliputi kita dengan ilmu yang nampak benar, sedangkan ilmu itu bukanlah apa yang diajar oleh Tuhan, bukanlah apa yang diajar oleh Pesuruh Tuhan, dan bukanlah apa yang diajar oleh para pengikut yang Pesuruh Tuhan itu.
Benar, segala ilmu sumber dari Allah. Termasuk ilmu sains, ilmu sihir, ilmu agama. Kita yang sudah dididik dengan pengajara Asssyariah AlMaturidiah ini sudah belajar ilmu Sifat 20. Jadi sepatutnya kita betul-betul faham patut faham Qudrah & Iradah Allah untuk memahami ilmu yang benar untuk mengenal Tuhan. Bukannya termakan bujukan sisa-sisa ajaran Muktazilah yang mengajar manusia apa yang Allah tidak pernah ajar manusia cara mengenal diriNya.
Benar, segala ilmu sumber dari Allah. Ilmu sihir; adakah kita hendak amal juga? Ilmu yang terbias dan terpesong dari jalan Allah, kita hendak ambil juga? Biasan sehingga ilmu yang benar jadi terbalik sehingga membawa kita kepada jurang kebinasaan, kita hendak turut juga?
Benar, kita kena faham ilmu hakikat segala sesuatu. Ilmu hakikat yang membawa manusia kepada dongeng makrifatullah yang terpesong sehingga mendewakan seolah-olah Nur Muhammad itu punca segala kejadian alam ini, hendak kita ikut juga?
Kita belajar Ilmu Sifat 20 dan Sifat 50 itu sepatutnya meletakkan diri kita kepada akal yang sangat waras. Akal yang boleh membezakan maksud ‘TIADA YANG SERUPA DENGAN ALLAH’ apabila membicarakan tentang Tuhan. Mengapa jauh sekali kita terpesong dengan biasan ilmu sehingga selangkah demi selangkah kita ini sebenarnya menjauhkan diri dari ilmu yang diajar oleh Tuhan melalui Al-Quran dan NabiNya?
Sebab itu tuan puan sekalian. Kita kena belajar membersihkan diri kita dengan cahaya Al-Quran. Selangkah demi selangkah kita cuba berlepas diri dari ilmu yg tidak diajar Allah, tidak dijar Nabi, tidak diajar para ulama zaman yang mengikuti jalan Nabi. Adakah ia mudah? Ia susah.
Memang susah. memang berat kita ini hendak ‘UNLEARN WHAT YOU HAVE LEARNED. Ia ibarat kita ini hidup di zaman pertengahan yang mana ramai manusia percaya bumi ini datar, tiba-tiba datang seorang memberitahu bumi ini bulat macam bola. Ibarat kita hidup hari ini yang mana hampir seluruh manusia di dunia ini percaya bumi ini bentuk macam buah pear, tiba-tiab datang seorang manusia memberitahu bumi ini macam piring terbang melayang. Ini hanya ibarat sajalah ya. Bukan kita hendak ajak tuan puan beriman dengan bumi datar pula tanpa usul periksa.

Keluar Kepompong: Bebaskan Diri dari Belenggu
Tuan puan sekalian. Kita sekarang ini hidup pada zaman yang mana pelbagai maklumat itu datang tanpa diundang. Sebab itu kita zaman ini beruntung dalam melihat perang pemikiran sesama ustaz kita depan mata. Perang ini baik bagi kita sebab kita sudah boleh memperoleh maklumat di hujung jari semua hujah mencari pengaruh dan hujah mengekalkan kekuasan agama ke atas manusia.
Perang mulut antara ustaz ini juga baik sebab ia boleh membantu kita keluar dari kepompong yang selama ini membaluti pemikiran kita sehingga kita ini biarpun mengaku pandai serba-serbi hukum akal, tidaklah cerdas mana akal kita ini sehingga terpaksa para penguasa kita melindungi umat ini dari bencana aqidah yang sepatutnya boleh kita benteng jika kita diajar dengan cara yang betul.
Bila berhadapan dengan pelbagai maklumat yang datang dari pelbagai hala itu, kita hendak buat apa ya tuan puan? Hendak terus hidup bawah tempurung? Hendak terus hidup dalam kepompong yang belum tentu selamat dari dimakan pemangsa? Atau hendak keluar dari kepompong itu lalu menghadapi realiti dunia yang penuh dengan pura-pura lalu kena makan pemangsa juga? Atau hendak menggunakan akal mencari jalan kebenaran? Hendak pilih yang mana satu kebenaran kalau yang berperang itu kedua-duanya tok guru yang mendakwa ikut Al-Quran, ikut sunnah Nabi dan ikut jalan para ulama? Hendak pilih yang mana satu kalau kedua-dua pihak yang perang mulut itu mendakwa merekalah Ahlul Sunnah Waljamaah yang tulen?
Hendak keluar kepompong dengan cara selamat itu, tiada jalan lain melainkan berpegang kepada kalam Nabi; Ikutlah AlQuran dan Sunnahnya. Itulah 2 perkara yg Nabi tinggalkan buat umat Muhammad.
Dengan segala kemusykilan terhadap banyak perkara yg digelapkan dari pengetahuan awam oleh tok guru yang berselindung di sebalik serban besar itu, tuan masih mahu lagi percaya kononnya akan sesatlah orang awam yang mahu kembali kepada Al-Quran dan hadith? Dogma sedemikian menyalahi kalam Nabi. Menyalahi kalam Allah. Baik secara literal mahupun secara hakikat. Baik secara tersurat mahupun secara tersirat. Kita masih mahu turut lagi kalam yg terangan menyalahi kalam Allah dan Nabi Allah?
Kita telah terangkan sebelum ini; orang awam itu tidaklah bodoh semuanya hingga apabila kembali kepada Al-Quran dan hadith sahih, mereka itu tidak tahu cari jalan memahaminya dari kalam para ulama yang benar. Orang awam itu tidaklah lembab semuanya hingga tidak tahu bezakan ulama benar dan ulama palsu.

“You must unlearn what you have learned”
Tuan puan pernah dengar ungkapan seumpama itu tadi? Ia bukan dari Al-Quran. Ia bukan dari hadith Nabi. Ia dari dongeng Star Wars. Ia diungkapkan oleh Master Yoda dalam fiksyen Hollywood. Jadi, tidak perlu ikut. Apatah lagi ikut secara bodoh membabi buta macam orang tidak tahu guna akal.
Cuma, tidaklah salah juga untuk renung ungkapan “You must unlearn what you have learned” khususnya jika kita hendak belajar keluar dari kepompong jumud pemikiran. Bukankah kita juga telah diasuh supaya ambil ilmu dari mana saja hendak pertahankan akidah kita cara golongan mutakallimun. Sedar atau tidak kita semua Assyairah AlMaturidiah ini sebenarnya adalah sepupu kalau pun bukan adik beradik ahlul mutakallimun? Biarpun cara kita guna akal berbeza dengan Muktazilah, mengaku sajalah prinsip ilmu kita itu dicedok dari Aristotle yang merupakan ahli falsafah dan mantik barat. Sebab itu, memang beratlah kalau mahu ikut. Kalau sudah memang suku-sakat puak mutakallimun, hendak tolak mentah-mentah dongeng Master Yoda, sudah kenapa? Asal maknanya baik, apa salahnya? Begitukan cara kita diajar guna akal?
Dongeng Master Yoda tidak jauh beza dengan cara ahli mutakallimun berfikir. Guna falsafah dan mantik juga. Ambil dari pemikiran barat juga. Sebab itu kita tidak segan untuk berkongsi cara fikir Master Yoda untuk belajar meruntuhkan cara fikir guna akal berlebihan yang sudah bersarang dalam tempurung kepala. Bukankan kita diberitahu bahawa cara untuk puak Muktazilah itu guna cara fikir orang Nasrani yang mengambil cara Aristotle itu untuk mengalahkan hujah. Lalu kita pula yang mengaku Assyairah AlMaturidiah guna pula cara Muktazilah untuk mengalahkan hujah mereka? Kalau begitu, mari kita cuba cara Master Yoda untuk mengalahkan cara fikir kita yang sudah semakin mengarut terlebih guna akal. Boleh? Hendak ajak ikut cara golongan salafussoleh, tidak mahu, kan? Kita ajak ikut cara fikir ahlul hadith, tidak mahu juga. Takut nanti kena cop Wahabi. Cuba guna cara Master Yoda, boleh?
Maksudnya begini ya tuan puan. Dalam sesetengah keadaan, khususnya keadaan kita yang sudah mabuk akal sehingga tidak boleh keluar dari kepompong, apa kata kita bakul sampahkan seketika apa yang telah kita pelajari selama ini. Bukan suruh buang terus dan bakar sampai jadi abu. Jangan salah faham. Masuk ‘recycle bin’ saja. Boleh kutip balik nanti asal kita tidak ‘delete permanently’. Nak hapus macam mana? Benda dah kita belajar, mana boleh lupa!
Ya. Buang seketika apa yang kita anggap sudah benar mutlak selama ini, khususnya cara berfikir guna akal semata-mata. Cuba belajar ilmu lain. Cuba dengar ceramah ustaz yang jadi kebencian kita itu. Cuba nilai ilmu mereka. Cuba hadam rasional pemikiran mereka. Luaskan pendedahan kita terhadap ilmu dan pendapat ustaz dan para ulama yang berbeza. Kemudian, jengok kembali ilmu yang sudah kita bakul sampahkan itu. Letak sebelah menyebelah dengan ilmu baru kita belajar itu. Cuba buat perbandingan.
Cuba guna akal dengan waras. Antara kedua pengetahuan yang sudah kita ketahui itu, mana satu kita hendak campakkan ke dalam bakul sampah itu? Salah satunya? Atau kedua-duanya? Kalau kedua-duanya pun kita campak dalam bakul sampah juga, carilah jalan untuk mempelajari ilmu akal dari jalan lain pula. Buatlah kaedah ini sampai jelas bagi kita, mana yang haq dan mana yang batil. Yang haq kita ambil, yang batil, kita campak buang sajalah. Ada berani? Atau takut guna akal juga?
Kalau gagal juga, mengapa menyusahkan diri? Kembali sajalah kepada Al-Quran dan sunnah Nabi. Ia adalah jalan yang pasti menuju kebenaran. Jalan senang ada, kenapa hendak pilih jalan sukar? Akal mana?
Kalau tuan puan tidak mahu juga ikut jalan mudah, maka pilihan yang ada untuk keluar dari kepompong, ikutlah jalan sukar; “You must unlearn what you have learned”. Ilmu sebegini pun ada faedahnya juga. Khususnya apabila berurusan dengan perkara politik, sains dan agama. “Kasi cuci dulu otak, baru boleh pakai”. Ia boleh pakai untuk keluar dari taksub kepada bakal perdana menteri Malaysia. Supaya tidaklah kita buang akal tidak tentu pasal. Sudah jelas politikus kesayangan kita itu tiada ahlak, hendak sokong juga kenapa? Sudah jelas kena bohong mendarat di bulan, hendak percaya juga sudah kenapa?
Sudah nampak cara guna akal berlebihan hendak kenal Tuhan tidak ke mana, mahu berdegil juga sudah kenapa?

Fahami Hakikat Yang Benar
Begini ya tuan puan. Kita mengaku beriman kepada Allah, maka kita turutlah saja bagaimana Allah menerangkan diriNya. Kita mahu berterusan membiarkan hidup dalam kepompong yang membelenggu hidup kita dari kebenaran sudah kenapa?
Sebab itu, kita pernah tanya dua persoalan berikut sebelum ini?
Pertama; Yang memberi faham Al-Quran itu, Tuhan Yang Maha Mengetahui atau tok guru kalian?
Kedua; Tuan puan faham atau tidak maksud ayat 4 Surah Al-Alaq ini?
ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ
قَلَمِ; Faham maksudnya? Fikir-fikirkanlah.
-petikan CURANG AKADEMIK? Isu Tukar BERSEMAYAM kepada ISTAWA
Biarlah kita berikan sedikit huraian kepada persoalan hakikat yang tersebut tadi.
Yang memberi kita faham itu adalah Allah Yang Maha Mengetahui.
Benar secara zahir, yang mengajar kita adalah tok guru kita. Lalu, secara zahir, kita anggap yang memberi faham itu tok guru kita juga. Hakikatnya apa? Hakikatnya. Tuhan yang menetapkan sunnatullah (sistem Allah), dengan cara sedemikian, dengan belajar sedemikian, dengan bertalaqi sedemikian, maka secara sunnatullah, bila kita belajar, kita akan faham. Sebab, sunnatullah juga manusia itu diberi akal supaya dapat faham apa yang dipelajari. Tok guru kita adalah asbab kepada kita faham. Sunatullah itu adalah sistem Allah yang menentukan kita faham. Jadi, hakikatnya apa? Hakikatnya, Allah jualah yang memberi kita faham. Bukan tok guru, bukan tok wali, bukan tok mufti.
Belajar berguru. Belajar dengan guru itu salah satu cara kita faham. Apa cara lain yang kita tidak mahu akui sama ada secara sedar atau tidak? Apa caranya? Caranya adalah dengan cara Allah mengajar manusia dengan قَلَمِ. Dialah Yang Mengajar dengan Qalam. Fahamkan kita maksud ayat in?
Jika benar kita faham, maka kita tidak akan menyibukkan diri kita dengan perbahasan sama ada Al-Quran itu makhluk atau kalam Allah. Sebab kita tidak faham, maka kita cipta pelbagai falsafah bahasa menurut hawa nafsu puak Muktazilah pada zaman Bani Abbassiyah itu. Sebab apa mereka jadi begitu?
Sebab mereka itu terlebih cerdik guna akal sehingga mati hujah bila berhadapan dengan puak Nasrani zaman itu yang mendakwa Nabi Isa AS itu ‘anak Tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ sebab putar belit ayat Al-Quran di luar konteks;
Di dalam Al-Qur’an dinyatakan bahawa Isa AS adalah ‘kalimah’ dari Allah yang diberikan kepada Maryam (QS Ali Imran: 45). Kemudian ada pula pernyataan ;bahwa Isa adalah ‘kalimah Allah’ (QS An-Nisa’: 171). Lalu dipetik pula bahawa dan Isa adalah ‘ruh dari Allah’ (QS An-Nisa’: 171).
Sebab apa puak-puak Muktazilah itu tidak tahu membalas hujah? Sebab pemikiran mereka itu sudah jauh dari memahami Al-Quran mengikut konteks juga. Sebab itu, cucu-cicit terbitan Muktazilah itu juga wujud sehingga hari ini dalam jelmaan puak-puak Liberalist. Tidak faham Al-Quran ikut konteks. Tidak faham Al-Quran ikut asbaabunnuzul. Faham Al-Quran ikut sekerat-sekerat. Potong sana sini ayat. Tebuk sana sini lalu memandai buat tafsir baru ikut kepala yang kononnya cerdas itu. Dari mana mereka belajar? Dari pemikiran leluhur Muktazilah juga. Suka takwil di luar konteks.
Itulah puncanya mereka itu memerah otak hendak fikir Al-Quran itu makhluk atau bukan. Itulah penggunaan akal manusia dengan cara yang tidak berfaedah. Perkara semudah hendak kenal Sang Maha Pencipta pun mereka pening kepala bagaimana mahu bezakan dengan yang dicipta; makhluk. Lalu jadilah mereka itu golongan mutakallimun yang kononnya hendak menyucikan Allah dari sebarang persamaan dengan makhluk. Malangnya melalui kaedah akal yang melampau. Sedangkan jawapannya sudah Allah berikan dalam Al-Quran.
Semua ini berpunca dari tidak memahami قَلَمِ dalam ayat ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ tadi. Hendak faham macam mana kalau sudah ditanam tidak mahu ambil pendekatan Al-Quran mentafsir Al-Quran sebagai salah satu jalan memahaminya, sebagaimana yang telah diajar oleh para ulama hadith zaman itu? Hendak faham macam mana kalau puak Muktazilah itu kuat menentang hadith atas alasan terlalu banyak hadith yang bercampur baur yang sahih dan yang palsu? Hendak pilih yang sahih macam mana kalau datang seorang manusia mengajar ilmu hadith, maka dimusuhi pula orang tersebut? Ia berlaku di zaman Bani Abassiyah, ia juga berlaku zaman ini ya tuan puan sekalian.
Jadi, kita mahu tanya lagi. Tuan puan faham atau tidak قَلَمِ dalam ayat 4 Surah Al-Alaq itu?
Kita berhenti setakat ini. Supaya nanti, dengan izin Allah jua, kita akan bahaskan perkara ini dalam terbitan yang lain.
Sementara itu; fikir-fikirkanlah.
Comments
[…] itu tanpa jati diri. Usah jadi pemalas yang kerjanya asyik bergantung kepada karya orang lain. Keluarlah dari kepompong. Sila guna akal. Bukan main […]
[…] Sesudah menonton ketiga-tiga siri video di atas, apa pandangan tuan puan tentang perkara yang kita telah sebut dalam terbitan sebelum ini berjudul KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu? […]
[…] Tuan puan sekalian. Inilah adalah sambungan kisah perang sebelum ini; ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi dan ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi? Perang mulut saja ya. Bukan perang dunia ketiga. Kita orang awam kena ikutilah cerita perang ini. Ikut bukan suruh taksub. Ikut bukan suruh kafir mengkafirkan orang lain ya. Ikut ini supaya kita boleh ambil pelajaran agar kita ini nanti boleh KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu. […]
[…] puan sekalian. Dalam terbitan KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu, kita sudah memberikan beberapa kaedah awam untuk meluruskan cara beragama, termasuklah isu yang […]
[…] kita jadi ORANG AWAM YANG CERDIK, bukannya orang awam yang […]
You must log in to post a comment.