Tuan puan sekalian. Dalam terbitan KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu, kita sudah memberikan beberapa kaedah awam untuk meluruskan cara beragama, termasuklah isu yang dianggap hal furu’ aqidah; Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (1) dan Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (2).
Ya tuan puan. Isu Nur Muhammad ini sering disapu di bawah karpet oleh golongan agamawan. Alasannya, isu furu’ aqidah. Alasan paling kerap juga ia bukan isu aqidah. Katanya nak percaya boleh, tak mahu percaya pun boleh. Tapi, bila kena dengar orang hentam Nur Muhammad, bersungguh-sungguh pula pertahan seolah-olah ia memang aqidah. Hendak pertahan buat apa kalau kata ia bukan isu aqidah?
Yang selalu sapu bawah karpet ini tidak lain tidak bukan adalah agamawan dalam kalangan yang mendakwa Ahlul Sunnah Waljamaah (Aswaja). Untuk lebih tepat, agamawan yang mengaku dan memaksa umat supaya berpegang kepada Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturidiah AlGhazaliah (Aswaja+AAA). Hal ini sangat menyedihkan dan menjengkelkan hati, khususnya jika kita ini benar-benar berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Kita tidak pasti apa pendirian tuan puan sekalian. Hendak ikut kalam ustaz Aswaja+AAA, hendak ikut puak ‘Asamjawa’, hendak ikut kalam ustaz Salafi atau hendak ikut golongan yang dicemuh sebagai Wahabi. Tetapi kita sudah jelaskan berkali-kali; GUNA AKAL DENGAN WARAS.
Kalau ada di kalangan tuan puan masih mahu anggap perihal Nur Muhammad ini adalah isu remeh atau isu furu’ sebagaimana diberitahu oleh ribuan agamawan seluruh dunia, maka terpulanglah. Jika begitu, maka eloklah kita pesan awal-awal sementara tuan puan sedang membaca ini. Supaya nanti, usah beri alasan tiada seorang pun manusia pernah ajak tuan puan supaya berfikir secara serius bahaya kepercayaan Nur Muhammad yang dibiarkan bergentayangan dalam kalangan masyarakat Islam. Pesan kita mudah;
- Baca dan fahami Al-Quran
- Belajarlah ilmu hadith dan amal dengan benar
- Sila guna akal dengan waras
Inilah pesan ringkas dari orang awam kepada orang awam. Mudah-mudahan ada manfaat buat bekal kembali kepada Tuhan dengan aqidah yang benar. Dengan izin Allah jua.
Nur Muhammad: Fakta dan Kecelaruan
Dalam terbitan kali ini, kita hendak kongsikan pula dua rakaman perbahasan ilmiah yang sarat dengan fakta dan hujah untuk tuan puan sekalian hadam. Yang pertama adalah Seminar Nur Muhammad: Fakta dan Kecelaruan;
Rakaman ini adalah lebih 5 jam ya tuan puan. Sarat dengan penjelasan ilmiah. Sama ada setuju atau tidak, kita nasihatkan dengarlah dahulu. Cukup-cukuplah kita hidup dalam kepalsuan agama yang tiada asal dari Nabi Muhammad SAW. Dengar, semak dengan Al-Quran dan hadith sahih. Nilai dengan jujur. Mudah-mudahan Allah akan beri jalan supaya tuan puan faham.
Rakaman kedua adalah Forum Apa Di Sebalik Kepercayaan Nur Muhammad;
Untuk pengetahuan tuan puan, perbahasan yang dirakam dalam kedua-dua video di atas baru saja berlangsung siang tadi. Sila tonton keseluruhan lebih 7 jam video yang sudah kita kongsikan. Tonton dari mula sampai habis. Usah lompat sana sini. Kita tonton syarahan agama, bukannya syarahan politik ya tuan puan sekalian.
Kita cuma hendak pesan. Kalau tuan puan mahu anggap bodoh si tukang tulis ini sebab hanyalah seorang awam yang menentang penyelewengan Nur Muhammad, maka eloklah dengar lebih 7 jam bahasan oleh mereka yang lebih berkelayakan dan ada kedudukan dalam masyarakat. Kemudian, nilailah kembali apa tang sudah ditanam dalam kepala tuan puan oleh para agamawan yang mendakwa sangat tajam akal mereka itu sebab gelar diri Aswaja+AAA.
Pesan akhir kita begini. Tuan puan sudah semak apa kata Imam Abu Hassan Assyaari dan Imam Abu Mansur AlMaturidi berkenaan memahami aqidah guna akal? Apa kata mereka?
Tuan puan pernah baca kalam kedua-dua imam agung itu?
Atau tuan puan hanya dengar saja cerita penglipur lara perihal aqidah Assyairah AlMaturidiah yang disajikan selama ini?
Jujurlah kepada diri sendiri tuan puan. Jika benar tuan puan itu Aswaja+AAA, sepatutnya tuan puan sudah layak untuk menjadi seorang yang tahu guna akal dengan waras. Kalau hanya mengaku sahaja, tetapi sebenarnya tidak tahu apa-apa yang disebut oleh dua imam yang agung itu, lantas hanya mahu telan sahaja kitab Al-Ghazali tanpa tahu menyaring yang hak dan batil, kita khuatir, silap haribulan kita ini hanya layak digelar puak ‘asamjawa’.
Amalan Batiniah dalam Masyarakat
Puak ‘asamjawa’ inilah yang menyebabkan ramai kalangan manusia yang mendakwa sebagai Aswaja+AAA di Malaysia ini mudah saja terima pelbagai pegangan dan amalan pelik-pelik tiada asal. Bahkan di ajar secara meluas dalam masyarakat seperti ‘The Law of Attraction’, ‘The Secret’, ‘Neuro Linguistic Programming’, amalan garpu tala dan sebagainya.
Apa kena mengena urusan ‘ajaran motivasi’ semasa yang tersebar luas ini dengan konsep Nur Muhammad? Cuba dengar dulu beberapa siri penjelasan video berkaitan Gerakan ‘New Age’ ini dahulu;
Macam mana tuan puan? Sudah nampak kemiripan pelbagai cabang ajaran lain dengan apa yang didakwa sebagai ‘kebatinan Islam’? Siapa yang bawa ilmu zahir dan ilmu batin ini kalau bukan puak-puak ‘asamjawa’ yang ramai kalangan ustaz kita kuat sokong juga? Kalangan ustaz kita yang kuat menyokong ini pernah kaji atau tidak apa di sebalik kepercayaan puak-puak ‘asamjawa’ ini?
Mari kita sambung seterusnya menonton video;
Ini pula adalah siri ketiga berkenaan kepercayaan New Age;
Penerangan oleh Ustaz Ahmad Iqram itu adalah kira-kira 7 bulan sebelum diadakan Seminar Nur Muhammad dalam dua video yang kita kongsikan awal tadi. Dua tahun sebelumnya, Ustaz Noor Derus pun ada membahaskan tentang asal usul Gerakan The New Age dan perkaitan dengan kepercayaan Nur Muhammad yang bebas dalam kalangan ahli tarekat di Nusantara.
Sila tonton dua lagi video di bawah ini;
Ini sambungannya, sila tonton sampai habis;
Apa yang kita boleh belajar? Kita boleh ketahui bahawa kepercayaan Nur Muhammmad ini berakar dari konsep yang sama, iaitu; wahdatul wujud atau kesatuan wujud. Konsep ini wujud dalam semua jenis cabang agama yang kita kenal hari ini, termasuk juga dalam kumpulan melampau dalam kalangan umat Islam.
Wahdatul wujud atau kesatuan wujud ini tiada asal dari Al-Quran dan sunnah Nabi. Dari mana asalnya? Pernah tuan puan fikirkan perkara ini?
Masih mahu kata Nur Muhammad itu bukan masalah aqidah?
Nampak macam kecil. Nampak macam tiada apa. Nampak macam itulah kalau tidak ambil kisah dari mana sumber aqidah kita. Kalau semua ayat Al-Quran mahu ditakwil, semua hadith Nabi kita ambil borong kata semua sahih lalu ikut sedap nafsu kita takwil, akhirnya membawa kepada apa? MARI LIHAT CONTOH DI SINI!
Adakah kita hendak biarkan sahaja kefahaman menyeleweng ini membesar sehingga jadi rosak akidah manusia?
FIKIR-FIKIRKANLAH.
Comments
[…] Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (3) […]
You must log in to post a comment.