Tuan puan sekalian, dalam terbitan ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi sebelum ini, kita sudah kongsikan kertas kerja Fahaman Salafi Wahabi: Origin Kepada Ekstremisme dan Radikalisme Kontemporari untuk tuan puan ketahui bahaya gerakan radikal. Sebab itu ramai ustaz kita risau pasal aliran Wahabi. Kemudian, kita juga sudah jelaskan, radikalisme boleh berlaku dalam mana-mana puak. Ia juga berlaku dalam kalangan puak Aswaja, boleh berlaku dalam kalangan Aswaja+AAA dan telah pun berlaku dalam kalangan puak batiniah.

Jadi sekarang ini kita kongsikan pula artikel Apakah Wahabi & kaitan Wahabi dengan kejatuhan Khilafah Utsmaniyah oleh Ustaz Fathul Bari Mat Jahya. Tuan puan jangan senyum kambing pula. Kita tahulah sang ustaz ini termasuk dalam senarai yang digelar Wahabi. Kita sudah pesan lama dulu. Kalau hendak bersikap adil, kenalah dengar penjelasan dari pihak mana pun. Kemudian, timbanglah sendiri hendak kutip atau tidak. Kita tuduh puak lain jumud dan tertutup, maka janganlah pula kita bersikap jumud dan tertutup pula ya tuan puan. Seperti sebelum ini, maka kita kongsikan pula bahagian kesimpulan artikel;

Wahabi menyesatkan orang?

Masalah menyesatkan orang, tidak adil diletakkan kepada wahabi sahaja. Semua kumpulan ada di dalamnya yang suka menyesatkan orang. Yang menentang wahabi juga kerjanya menyesatkan orang. Jika begitu bolehlah kita mengatakan golongan Asy’ari dan golongan sufi ekstrim, suka menyesatkan orang, mengkafirkan orang, membid’ahkan orang dan sebagainya. Kerana ramai juga di kalangan mereka yang melakukan demikian. Kalau hendak bercakap seperti ini, ceritanya tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.

Jadi tindakan kita adalah menilai dan mengkaji maklumat yang diperoleh dengan nilaian Al Quran dan As Sunnah sesuai dengan petunjuk ulama-ulama ahlus sunnah wal jamaah.

Apakah Wahabi & kaitan Wahabi dengan kejatuhan Khilafah Utsmaniyah

Mati kita tonton beberapa video ringkas orang yang dituduh Wahabi pun pelik bila masa mereka jadi Wahabi.

Video 1

Tuan puan dengar sendirilah. Tuan punya badan tidak mengaku Wahabi. Jadi berhentilah gelar sang ustaz itu Wahabi ya tuan puan. Nanti tidak ada fasal kita semua menambah dosa pula.

Kemudian, takrifan WAHHABI itu kenalah jelas. Macam Dr. Rozaimi cakap, Wahhabiyyah itu adalah gerakan politik oleh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia bukan mazhab. Lainlah kalau kita puak-puak Aswaja atau Aswaja+AAA ini memang iktiraf Wahhabi itu sebagai mazhab. Ini kita musykil. Berapa banyak kitab yang Syeikh Muhammad itu sudah karang? Berapa tebal? Berapa jilid? Layakkah kita kata WAHHABI itu mazhab?

Sebab itu tuan puan, kita selalu pesan. Gunalah akal dengan waras. Usah main sentimen. Bila suka guna sentimen, akal kita tidak boleh berfikir. Tidak tahu beza POLITIK dan AGAMA. Jadi kes beratlah kalau semua aliran pemikiran politik pun kita hendak kata mazhab. Kita juga yang selalu sebut, kena terangkan ikut lazim orang awam faham. Orang awam faham, kalau mazhab itu macam Mazhab Syiah, Mazhab Sunni, Mazhab AsSyafie, Mazhab Maliki misalnya. Cubalah belajar terangkan kepada awam ikut fakta, bukan ikut persepsi. Kita ini hendak beragama atau hendak berpolitik?

Video 2

Begini ya tuan puan. Sepatutnya jelaskan sajalah mana satu negeri di Malaysia ini yang Muftinya adalah Wahabi. Jangan asyik jaja ‘negeri pasir berdengung’ sana sini, bila diminta pertanggungjawaban, tidak mahu nyatakan dengan jelas pula. Jadi kita setujulah dengan Dr. Rozaimi dalam Video 2 ini; cakap biar jelas. Usah pusing sana sini. Jangan nanti jemaah yang mendengar buat kesimpulan salah, yang mengata itu kelihatan macam cuci tangan pula. Masyarakat awam yang keliru, siapa hendak tanggung?

Setakat penjelasan ringkas oleh Dr. Rozaimi dalam kedua-dua video tadi, kita dapati takrif dan ciri-ciri Wahabi yang dikemukakan dalam beberapa video yang kita kongsikan dalam terbitan ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi itu nampaknya tersasar. Bahasa mudahnya, tak mengena ya tuan puan. Beginilah ya kalau hendak mengena; rasanya kalau ikut beberapa ciri yang disebutkan sebelum ini, nampaknya memang ramailah orang kita ini WAHABI dalam beberapa ciri. Macam mana? Tuan puan sekalian hendak mengaku?

Cuba lihat contoh ini;

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada 19 Februari 2014 Kali Ke 1/2014 telah memutuskan dilarang mana-mana orang Islam menyebar dan menyimpan bahan bacaan Ajaran As-Salafiah @ Al- Wahabiyah dan seumpamanya. Tindakan secara penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan kepada sesiapa yang melanggar larangan tersebut mengikut kesalahan yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah 2013. Sesiapa yang mempunyai tauliah dan melanggar larangan tersebut boleh diambil tindakan undang-undang dan ditarik tauliah atau kebenaran mengajar yang telah di berikan.

  1. Ajaran As Salafiah @ Wahabiyah adalah ajaran yang berlainan dengan apa yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia yang berlandaskan mazhab Asyirah dan Maturidiah di dalam akidah dan mazhab Syafie di dalam bab Fekah.
  2. Ajaran As Salafiah @ Wahabiyah kebiasaanya menganggap apa yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia sejak sekian lama adalah sebagai bidaah. Sedangkan amalan-amalan seperti tahlil, bacaan Yasin malam Jumaat, bacaan Qunut dan sebagainya itu hanyalah khilafiyah di kalangan ulama Islam.
  3. Adalah terbukti di sesetengah tempat kewujudan ajaran As-Salafiah @ Wahabiyah ini membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia. Oleh itu, ajaran ini adalah di larang diajar dan diamalkan di Negeri Pahang khususnya. 
Sumber Maklumat Al-Ahkam Al-Fiqiyah

Asal Beza Amalan, Terus Gelar Wahabi?

Tuan puan nilai sendirilah dengan jujur. Tuan puan yang tidak kenal pun Muhammad bin Abdul Wahhab, tidak sokong pun pergerakan Wahhabiyah, tidak pernah tinggal lebih sebulan di Arab Saudi pun, secara tiba-tiba digelar beramal dengan ajaran As Salafiah @ Wahabiyyah? Tuan puan elok saja berpegang kepada aliran Assyairah AlMaturidiyah, belajar Sifat 20; hanya dengan sebab tuan puan beza pendapat, ada amal sedikit sebahagian pandangan mazhab Maliki atau Mazhab Hanafi, maka tuan puan digelar Wahabi? Atau tuan puan barangkali cenderung kepada cara Imam As-Syafie berinteraksi dengan ayat-ayat mutasyabihat, maka tuan puan digelar Wahabi? Bila masa tuan puan amal ajaran As Salafiah @ Wahabiyyah? Bila masa tuan puan jadi Wahabi? Tuan puan Salah-Pi ka?

Kita tidak suruh tuan puan buat demonstrasi depan pejabat mufti ya tuan puan. Bila fatwa sudah dikeluarkan, kita kena terima sahajalah. Cuma, cubalah tuan puan nilai sendiri. Pandai-pandailah tuan puan hendak buat keputusan. Di Padang Mahsyar nanti, yang hendak menjawab depan Allah itu masing-masing ya tuan puan. Semua jabatan, semua pangkat ulama dan ustaz sudah tidak ada nilai di hari akhirat ya tuan puan. Jadi, tuan puan buatlah keputusan sendiri ya.

Berbalik kepada Video 2 tadi, begitulah beza bila orang bercakap dengan sentimen dengan takrif kabur berbanding orang yang bercakap dengan terma dan takrif yang jelas. Sebab itu tuan puan, berhujah biar jelas. Kalau main ikut sentimen, sampai kiamat memang tak akan padam perang mulut sesama ustaz. Yang ruginya siapa? Orang awam akan mula menjauhi perbalahan seperti ini. Mereka akan mula mencari-cari ketenangan ilmu hakikat sampai tersandung makrifat. Bukankah ini lebih bahaya dari segi akidah?

Kita Semua Wahabi?

Ini kita kongsikan pula 2 video panjang cerita pasal puak Wahabi juga. Yang kita pelik, Ustaz yang kuat pegangan Assyairah juga kena gelar Wahabi sampai beliau kata; KITA SEMUA WAHHABI!

Video 3

Begini ya tuan puan. Sila tonton Video 3 dengan teliti dari awal sampai habis. Sebahagian perkara yang masyarakat kita biasa buat itu memang ada yang dianggap bid’ah atau syirik oleh sebahagian ulama yang kita kenal sebagai pendokong Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah AlMaturidiyah AlGhazaliyah. Jadi kita hendak gelar apa kepada para ulama kita sendiri? Itu belum lagi kira mengambil hadith secara literal oleh ulama yang dijadikan panutan dalam kalangan ahli tasawuf kita? Hendak gelar ulama besar itu Wahabi jugakah? Bagaimana pula kita hendak kelaskan fatwa-fatwa yang mengambil pendapat dari pelbagai mazhab? Adakah orang awam saja jika ambil pendapat pelbagai mazhab saja yang dikira sebagai Wahabi? Yang membuat fatwa pula bagaimana?

Susahlah begini ya tuan puan. Main pukul rata saja ‘ulama muktabar’. Tuan puan pernah tanyakah senarai ‘ulama Nusantara yang muktabar’ dari ustaz? Berapa senarainya? Macam mana kalau ‘ulama muktabar’ itu saling mempertikai sesama mereka pada zamannya? Yang pertikai itu hendak kita gelar ulama Wahabi juga?

Sebab itu, apa yang dihujahkan oleh Ustaz Noor Derus itu mesti diambil berat oleh para ustaz yang gemar menuduh Wahabi ustaz yang tidak sealiran dengan mereka. Takrifan longgar yang diberikan kepada awam boleh meyebabkan ramai pihak secara tidak sedar sudah menjadi Wahabi. Dia beginilah. Baik dalam bidang akademik mahupun dalam bidang perundangan, khususnya perundangan syariah, takrif hendaklah jelas. Kalau beri 13 senarai takrif yang kabur, usah bermain dengan api dengan sentimen awam. Nanti sesama awam bergaduh pasal agama, saling ancam mengancam berbunuhan, siapa yang hendak tanggung semua ini? Kena fahamlah. Takrif kabur lebih sesuai adalah dalam urusan politik, bukannya urusan agama ya tuan puan.

Momok Wahabi

Video 4 di bawah ini pula ustaz tanya; Sampai bila hendak momokkan masyarakat dengan Wahabi? Sila tonton ya tuan puan.

Video 4

Jadi macam mana tuan puan? Sudah dengarkah semua hujah puak yang menuduh orang Wahabi dan hujah orang yang tidak mengaku Wahabi? Tuan nilai sendirilah, puak mana bermain dengan sentimen, puak mana pula menjelaskan dengan fakta. Tuan puan pilihlah sendiri jalan hidup. Hendak hidup ikut sentimen, atau hendak hidup ikut fakta. Hendak hidup ikut fakta ni, akal kena cerdas. Kena cerdik fikir agama sebagaimana kita biasa cerdik bila buat kerja. Pendek kata, biarlah cerdik dalam semua perkara. Usahlah kita orang awam memilih untuk tidak jadi cerdik dalam urusan agama.

Ustaz Syiabuddin ini jenis suka memandaikan umat. Bukan memandai-mandai ya tuan puan. Memandai-mandai itu kalau kita ikut kepala buat hukum sendiri tanpa belajar apa yang para ulama sudah ajar. Jangan jadi macam puak-puak liberal pula. Bila jumpa ustaz yang gemar lihat orang awam jadi pandai, jadi cerdik dalam urusan agama, maka kita pun setujulah juga.

Apa masalah kalau orang awam tahu serba serbi tentang hujah dan dalil dalam beramal? Bukankah itu lebih afdal daripada menjadi orang awam yang hanya ikut secara buta sesuatu amalan yang diajar secara turun temurun. Kena tahulah. Amalan turun temurun itu ada yang benar, barangkali ada juga yang salah. Ustaz bagi contoh pasal mandi safar. Siapa tekongnya? Mereka yang bergelar ustaz juga. Tuan puan kena faham, ustaz pun manusia macam kita juga. Boleh jadi benar, boleh jadi melakukan kesilapan juga. Jadi beginilah tuan puan kita selalu pesan. Usah taksub kepada ustaz. Usah taksub kepada ulama.

Perkara taksub dalam beragama ini tidak serupa dengan taksub dalam berpolitik. Dalam politik, kita taksub kepada seseorang pemimpin, untung sabut dapat kontrak, untung batu sama-sama masuk jel. Dalam beragama, taksub kepada tokoh agama, untung sabut kita masuk syurga, untung batu masuk neraka. Kena ingat pula, masa timbang amal nanti, tokoh yang kita taksub itu bukan boleh tolong kita. Kita bertanggungjawab atas amalan kita sendiri ya tuan puan. Nak amal betul macam mana kalau kita sendiri tidak faham Al-Quran, bahasa Arab pun berterabur nak faham, lepas itu cuma hadap telinga kepada satu tafsiran sahaja. Malas hendak buka minda berfikir dengan waras pula. Macam mana kita hendak nilai, hendak timbang kalau kita tidak mendengar tafsiran dari pihak lain pula.

Mari kita lihat pergaduhan dalam masyarakat secara umum ya tuan puan. Selalu punca pergaduhan itu sebab SENTIMEN, atau sebab FAKTA? Yang kita biasa dengar, punca gaduh itu sebab sentimen. Sentimen bangsa. Sentimen agama. Ia berbalik kepada TAKSUB juga. Bila kita mula taksub, sentimen pun mula masuk, maka kita tidak akan dapat menilai sesuatu perkara dengan adil. Kena fahamlah TAKSUB dan SENTIMEN ini barangkali sesuai untuk urusan politik sahaja. Politik memang berlegar dalam sentimen. Para politikus memang suka permainan persepsi. Mereka memang suka buat persepsi supaya marhaen sokong parti mereka. Bila marhaen sudah taksub, pemimpin ajak masuk longkang pun mereka akan ikut juga. Itu urusan politik.

Untuk urusan agama, biarlah kita orang awam ini dibentangkan fakta dengan jelas ya tuan puan. Kita hendak beragama, hendak mengikuti jalan Allah, hendak ikut sunnah Nabi, kita hendak ikut sentimen atau hendak ikut fakta yang dibentangkan dalam Al-Quran dan hadith yang sahih?

Fikir-fikirkanlah ya tuan puan sekalian.

Baiklah tuan puan sekalian. Kita sudah dengar kedua-dua hujah puak Aswaja+AAA (sebab mereka dakwa AhlulSunnah Waljamaah Assyairah AlMaturidiyah AlGhazaliyah) dan Puak Tidak Mengaku Wahabi (sebab mereka tidak sokong pun pergerakan politik Wahabiyyah). Kedua-dua puak ini bersandarkan syariat ya tuan puan. Cara beragama ikut syariat. Orang yang hidupnya semata-mata ikut syariat, umumnya memang tidak akan dapat jumpa titik temu dalam cara pemikiran. Sebab, suka atau tidak, puak-puak ini akan mendakwa merekalah yang paling benar. Jadi, tuan puan boleh agak ‘perang ustaz’ ini tidak akan pernah berakhir.

Tuan puan hendak pilih ikut puak yang mana, itu terpulanglah kepada diri tuan puan. Sekarang ini kita hendak ajak tuan puan berfikir cara orang memahami agama secara hakikat dan makrifat pula. Sebelum itu, biarlah kita terangkan lebih selamat kalau tuan puan jenis tidak suka berfikir, ikut sajalah jalan syariat pilihan tuan puan. Ikut sajalah apa yang para ustaz pilihan tuan puan ajarkan, jika itu cara tuan puan menjalani urusan agama. Cuma kita hendak pesan, eloklah tuan puan nilai semua perkara dengan kembali kepada Al-Quran. Itu lebih selamat, jika kita faham isi kandung Al-Quran. Syaratnya, kena baca dan faham, bukan hanya baca tapi tidak pernah faham ya tuan puan.

Tuduhan Sesat – Biar Adil

Seperti kita sebutkan tadi, barangkali elok juga kalau hendak menilai sesuatu perkara itu kita lihat dari sudut hakikat pula. Ini kita terpaksalah kongsi pula video berkaitan kefahaman makrifat. Oleh kerana video yang akan kita kongsikan nanti adalah berkenaan menolak tuduhan sesat oleh Haji Shaari, maka tuan puan kena maklum bahawa ajaran makrifat yang dibawa olehnya itu telah difatwakan sesat oleh JAKIM; Ajaran Ilmu Ma’rifat (Mengenal Allah/ Diri) Oleh Mohd Yusof Che’ Wok Yang Disebarkan Oleh Shaari Bin Mohd Yusof. Tuan puan dengar dengan teliti ya bantahan Haji Shaari dalam dua pautan video di bawah ini;

Tujuan kita kongsikan bukan untuk tuan puan ikut pula ajaran Haji Shaari. Sebab, ada juga sebahagian dari apa yang beliau sampaikan tidak dapat kita terima kalau ikut ilmu syariat ya tuan puan. Kalau ikut falsafah hakikat dan makrifat, barangkali sebahagian dari hukum hakam yang kita faham selama ini tidak terpakai dari sudut pandang golongan ahli makrifat ya tuan puan. Kita tidak kata Haji Shaari itu benar. Kita juga tidak berani kata beliau salah sepenuhnya. Kita cuma hendak ajak tuan puan fahami cara beliau berfikir. Dalam video yang kedua, bahagian akhir, beliau akui beliau adalah Ahlul Sunnah Waljamaah ya tuan puan. Cuma beliau ambil pendekatan mengenal Allah dan mengenal diri menurut cara yang guru beliau ajar; ilmu makrifat.

Yang menarik adalah pesanan ayahanda Haji Shaari yang beliau kongsikan. JANGAN LUPA BALIK RUMAH. Maksudnya apa tuan puan? Senang faham begini. Belajarlah apa jua ilmu yang ada untuk memahami agama, akhirnya kembalilah ukur diri sendiri. Amalkanlah ilmu ikut apa yang kita faham setelah kita menilainya dengan adil. Elakkanlah diri dari menuduh sesat sewenang-wenangnya orang yang tidak sealiran dengan kita. Itu bagi orang awam. Bagi pihak yang ada kuasa dalam urusan agama, terpulanglah kepada tuan puan yang berada dalam jabatan yang berkenaan. Usah berselindung disebalik takrif kabur. Sampaikanlah hujah dengan jelas, terangkanlah secara ilmiah dan laksanakan hukuman dengan adil.

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Wahabi +SANGfikir

    […] Baiklah. Jadi tuan puan, kita sudah dengan penjelasan sebelah pihak. Untuk berlaku adil, jika ada kelapangan, sila ke perbincangan seterusnya dalam judul; ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi? […]

  • SENTAPAN ROHANI: Akal Mana? Cakap Tak Serupa Bikin? – +SANGfikir

    […] kita berhenti di sini. Cerita pasal pokok ini tak seram sangat macam cerita pasal Wahabi ya tuan puan. Mari kita kembali kepada cerita dalam kubur. Cerita atas […]

  • ‘Perang Ustaz’: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?+SANGfikir

    […] kisah perang sebelum ini; ‘Perang Ustaz’: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi dan ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi? Perang mulut saja ya. Bukan perang dunia ketiga. Kita orang awam kena ikutilah cerita perang ini. […]

  • ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja

    […] ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi?  […]

  • ORANG AWAM Keliru: Cerdik ATAU Bodoh? – +SANGfikir

    […] tidak akan faham Al-Quran dan hadith? Eh, tidak ada angin tidak ada ribut, sebut pulak pasal puak Wahabi bodoh? Pulak! Lalu kata kita orang awam tidak layak? Tuan puan hendak ikut kalam ustaz seperti ini, […]

  • Bidang Pengelihatan: Percaya Diri /Cakap Orang? – +SANGfikir

    […] sesat macam kebanyakan manusia mengaku beragama Islam hari ini menganggap mereka yang digelar Wahabi itu sebagai sesat dan […]

  • Polemik Di Manakah Allah? – +SANGfikir

    […] Kalangan manusia yang menjawab Allah bersemayam di atas singgahsana ATAU Allah berada di atas ‘arsy ATAU Allah istiwa di atas ‘arsy tanpa keraguan ini lazimnya terdiri dari kalangan golongan Salafi. Bezanya, orang lama sebut singgahsana, budak-budak muda atau para ustaz hari ini pula sebut ‘arsy. Bezanya, orang lama sebut bersemayam, budak-budak muda atau para ustaz hari ini pula sebut istawa. Kita orang lama fahamlah maksud bersemayam itu; budak-budak muda hari ini tak tahulah mereka faham atau tidak perkataan istawa. Yang selalu kita nampak, sebut saja istawa, nanti akan adalah perang mulut antara budak-budak baru belajar! […]

  • Himpunan Ceramah Bahaya Wahabi – +SANGfikir

    […] ‘Perang Ustaz’: Bila Masa Aku Jadi Wahabi?; […]

%d bloggers like this: