Tuan puan sekalian. Ini adalah edisi sentap. Dalam beberapa terbitan sebelum ini kita banyak menyentuh perihal akal. Bukan setakat sentuh, malah kita banyak sindir. Sindiran kita itu bukan setakat sentap, bahkan boleh makan dalam. Kalau tahu makanlah ya. Itu pun kalau terasa. Kalau buat ‘ADA AKU KISAH?’, kita hendak buat macam mana lagi?

Kita juga hendak maklumkan awal-awal. Barangkali terbitan ini akan menjadi panjang meleret-leret sampai tuan puan boleh termuntah hendak membacanya. Sebab kita memang berhasrat untuk membicarakan beberapa perkara supaya orang-orang yang mendakwa guna hukum akal, guna dalil aqli dan meletakkan akal di atas segala-galanya dalam semua urusan itu benar-benar guna akal tahap maksimum. ‘Tahap gaban’.

Bagi tujuan terbitan ini, kita juga akan mengelak menukil dalil naqli secara langsung ya tuan puan. Kita cuba elak nukil ayat Al-Quran secara langsung, mahupun hadith secara langsung. Jika ada pun,  kita sebut sekali lalu saja. Sebab apa? Sebab hendak guna akal ya. Ajar masyarakat guna akal sangatlah kan?

Baiklah tuan puan. Terbitan ini akan cuba menyentap akal dengan rangka pendekatan berikut;

  • Falsafah, Mantik dan Kalam;
  • Politik, Kuasa & Tipu Daya;
  • Seni, Sastera & Sains;
  • Mendengar, Membaca & Menulis;
  • Agama, Tradisi & Budaya

Ya. Rangka di atas itu kita cuba olah dengan akal. Sebab, kita diajar supaya guna akal. Disuruh pula mendahulukan akal. Kita pun mengakulah kita jenis guna akal. Cakap saja. Buat atau tidak? Atau cakap tidak serupa bikin? Ajak manusia supaya guna akal sedangkan yang diajar itu membodohkan akal. Ajak manusia sayang Nabi tetapi yang dilakukan tidak ikut sunnah Nabi. Ajar manusia baca Quran tetapi diajar pula cara memutar belitkan kalam Allah. Ajar manusia ‘MIND YOUR HEAD’ tetapi diajak pula bermabuk kepayang dengan cinta palsu. Macam-macam ya tuan puan sekalian.

Peminat Kubur

Kita juga dapati memang ramai orang meminati kubur. Punyalah suka kubur sampai bagi gelaran macam-macam kepada kubur. Sedangkan Allah sebut kubur. Nabi sebut kubur. Kita pula suka sebut makam. Nak elok lagi, sebut pula makam wali. Kalau sebut kubur wali, takut orang tidak faham. Maklumlah, nanti tiada orang akan ziarah sambil bertawassul, bertabarruk, beristighasah dan bermadat dengan orang yang sudah mati pula.

This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2022-10-03-at-14.18.18-1-1008x1024.jpeg
Sekadar gambar perhiasan; BERSANGKA BAIK. Tidak semestinya sejadah itu digunakan untuk bersembahyang dekat kubur. Ia cuma untuk tukang tangkap gambar bersila saja. Barangkali begitu. Cuma, kita hendak beritahu sedikitlah. Memang ada hadith mengharuskan sembahyang JENAZAH di perkuburan (jika ada keperluan). Kita belum jumpa lagi hadith sahih kata boleh sembahyang atas kubur. Apatah lagi dengan cara bertawassul dan bertabaruk sebagaimana diamalkan sebahagian manusia. Kita belum jumpa. Yang kita jumpa, memang ada riwayat Nabi larang kita bersembahyang di tandas dan kubur. Kalau ada jumpa galakan sembahyang di kubur, mohon sampaikan kepada kita ya tuan puan sekalian. Manalah tahu, kita belum habis mengaji kitab hadith lagi?

Suruh ziarah kubur supaya ambil pelajaran, kita pula ziarah kubur sebab hendak minta tolong. Dengan pokok macam mana? Boleh, atau tidak? Soalan mudah seperti ini pun berbelit lidah nak pusing. Kalau tebang pokok, ambil manfaat jadikan kayu, buat rumah, buat sampan, buat kayu api, minta tolong sama pokok lah ya? Apa jenis hujah akal seperti ini?; “kamu fikir kami orang awam yang mendengar ini semuanya kurang cerdas seperti kamu?” Budak sekolah rendah pun tahu itu adalah penggunaan perkataan dan tatabahasa Melayu yang tidak betul.

‘Pokok dan Kubur Berpisah Tiada’

Eh, hendak cerita pasal kubur, kenapa cakap pasal pokok pula? Pokok dan kubur berpisah tiada ya tuan puan sekalian. Ya, benar. POKOK DAN KUBUR BERPISAH TIADA. Tonton dulu video di bawah;

Video 1

Macam mana? Tanya pasal pokok pun sudah goyang sana sini hendak menjawab.

Manusia berakal ziarah kubur orang soleh, ziarah kubur para Nabi, akan melakukan perkara yang sama jika ziarah kubur kaum kerabatnya yang lain. Mengenang jasa mereka. Mendoakan kebaikan untuk mereka. Sebab kita sanjung orang soleh, kita sanjung para Nabi, kita kenang kebaikan ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan leluhur kita. Itu orang berakal. Tahu kenang budi, tahu berbuat perkara yang betul bila ziarah kubur. Bukannya bertawaf keliling kubur, lontar duit atau surat cinta atas kubur, atau bersembahyang bersuluk atas kubur. Apatah lagi bertawasul, berisitighasah, bermadat atau macam-macam lagi istilah Arab yang kita putar belit untuk menghalalkan perbuatan bid’ah kita itu.

Saidina Umar dan para ulama bila sebut bid’ah hasanah, mereka maksudkan dengan cara yang benar. Kita pula, GAGAL FAHAM. Putar belit takrif bid’ah hasanah ikut nafsu. Ajar pula masyarakat kaedah qiyas cara salah. Saidina Uthman, bila memperkenalkan laungan azan (sebelum masuk zohor pada hari Jumaat), guna qiyas yang betul dengan azan sebelum Subuh, kita pula putar belit qiyas yang salah dengan cara azan dua kali selepas masuk waktu Zohor pada hari Jumaat. Cerdik sangatkah cara kita ber’qiyas’ itu? GAGAL FAHAM. Tidak faham konteks. Hendak faham macam mana kalau baca AlQuran pun tidak faham juga. Cerdik sangatkah perbuatan kita itu memutar belitkan lisan bukan hanya kalam Allah, malah kalam Nabi, kalam para sahabat Nabi, kalam para ulama, lalu berdusta atas kesemuanya? Akal mana?

Manusia berakal jumpa pokok ambil buahnya. Elok boleh makan. Ambil daunnya, elok buat masakan. Elok buat ramuan, jadi herba dan perubatan. Ambil manfaat dari pokok. Berteduh di bawahnya dari terik panas mentari. Ada tukang petik daun teh kata; “Wahai pokok teh. Tolonglah aku. Aku hendak ambil daunmu untuk buat minum teh..” Minta tolong buat apa? Betul, itu bodoh namanya, sama bodoh kalau kita minta tolong dengan orang dalam kubur. Soalan minta tolong dengan pokok itu soalan mudah. Jawapannya; TIDAK BOLEH. Puak kaki bid’ah itupun sudah jawab; TIDAK BOLEH. Yang kita pusing kata boleh itu sudah kenapa? Sejak bila pula takrif asal istilah tawassul, istIghasah, madat bagai itu kena mengena dengan pokok. Jawab ‘straight to the point’ sajalah. Jangan ’play victim’ pula. Sejak bila pula pengikut ahli kalam ini kurang cerdas akalnya? Kita ini ahli kalam atau ahli kolam? ‘Tanyalah sama pokok’ macam pemuda Asamjawa; Ada juga faedah kalau pokok itu boleh jawab.

Itulah maksud kita tadi POKOK DAN KUBUR BERPISAH TIADA. Faham maksud kiasan kita ini? Atau masih belum hadam ilmu qiyas yang para ulama muktabar ajar? Kalau tidak faham juga, usah bermimpi hendak berfalsafah pasal pokok dengan perkara yang tiada faedah. Lebih baik kalau pokok kita jadikan inspirasi buat lagu;

Video 2

Elok kita berhenti di sini. Cerita pasal pokok ini tak seram sangat macam cerita pasal Wahabi ya tuan puan. Mari kita kembali kepada cerita dalam kubur. Cerita atas kubur.

Jadi, dalam terbitan ini, kita hendak sambung sentapan rohani tuan puan dengan soalan bocor dan jawapan bocor yang selalu di baca atas kubur bila ada kematian. Ada yang kata talqin sedemikian itu bid’ah. Ada yang kata benda baik, apa salahnya, bid’ah hasanah kan, bukannya bid’ah dholalah! Jadi, biarkanlahlah saja orang yang suka buat bid’ah hasanah itu. Kita hendak tegur lebih-lebih nanti marah pula. Para PENCINTA BID’AH HASANAH, tentunya mereka gembira dengan amalan mereka itu. Takkanlah mereka hendak malu tersipu macam siput pula. Buat benda baik, nak malu apa? Bukannya songlap duit negara sampai masuk jel pun. Baiklah mari kita lihat soalan bocor yang kita maksudkan tadi;

Pertanyaan Malaikat Dalam Kubur

Tanya : Man Rabbuka? Siapa Tuhanmu?
Jawab : Allahu Rabbi. Allah Tuhanku.

Tanya : Man Nabiyyuka? Siapa Nabimu?
Jawab : Muhammadun Nabiyyi. Muhammad Nabiku

Tanya : Ma Dinuka? Apa agamamu?
Jawab : Al-Islamu dini. Islam agamaku

Tanya : Man Imamuka? Siapa imammu?
Jawab : Al-Qur’an Imami. Al-Qur’an Imamku

Tanya : Aina Qiblatuka? Di mana kiblatmu?
Jawab : Al-Ka’batu Qiblati. Ka’bah Qiblatku

Tanya : Man Ikhwanuka? Siapa saudaramu?
Jawab : Al-Muslimun Wal-Muslimat Ikhwani. Muslimin dan Muslimah saudaraku.

Petikan talqin atas kubur

Tuan puan sekalian. Pertanyaan itu diambil dari riwayat. Jawapan itu diajar kepada kita seluruh negara, sampailah kita sudah masuk kubur. Mari kita guna akal sikit, boleh? Kita ambil satu persatu soalan dan jawapan bocor atas kubur di atas, lalu kita tanya kepada diri. Benarkah kita ini?

seashore during nighttime
Photo by Dominika Roseclay on Pexels.com

Siapa Tuhan Kamu?

Tanya : Man Rabbuka? Siapa Tuhanmu?
Jawab : Allahu Rabbi. Allah Tuhanku.

Allah Tuhanku. Kita kenal atau tidak Tuhan? Benar kita ini beriman dengan Tuhan? Kalau beriman dengan Tuhan, kenapa lidah kita ini berdegil tidak mahu mengajar manusia supaya mengenal Tuhan sebagaimana Dia Yang Maha Agung itu memperkenalkan diriNya sebagai Tuhan dalam Al-Quran? Mengapa lidah kita ini tidak lekang menyebut selain dari Tuhan dalam berzikir dan berdoa kepadaNya, melampaui apa yang Nabi telah ajar kepada kita?

Kemudian, mengapa kita masih bersilat kalam mahu memaksa orang awam supaya belajar Ilmu Sifat 20, Ilmu Sifat 50, Ilmu Tauhid 3, dan pelbagai jenis ilmu akidah yang pelbagai, sedangkan ilmu mengenal Allah itu sudah jelas terang lagi bersuluh kalau kita faham ajak orang awam itu melazimi Al-Quran? Jangan salah faham pula ya. Apa kaedah hendak memahami akidah itu terpulanglah dengan pelbagai jalan. Yang kita hendak kata, tolong jangan menjaja seolah-olah Ilmu Sifat 20, Ilmu Sifat 50, Ilmu Tauhid 3 dan sebagainya itu wajib sampai boleh jadi tidak sempurna iman kalau tidak mengetahuinya.

Lebih buruk lagi, lancang mulut kita mengata sesat orang yang tidak mahu ikut jalan ilmu-ilmu yang dipaksakan kepada orang awam itu. Tolong tunjuk dalil Allah berfirman sedemikian, boleh? Tolong tunjuk dalil Nabi bersabda sedemikian, boleh? Tolong jelaskan dalil aqli yang jelas tidak terbantahkan salah satu ilmu yang kita sebutkan itu satu-satunya jalan paling muktamad untuk mengenal Tuhan? Adakah kita fikir hujah akal kita itu tidak boleh dipatahkan oleh orang bukan Islam? Pernah cuba secara nyata dengan kawan-kawan dari kalangan bukan Islam?

Benar kita ini kenal Tuhan? Dari mana dalil kita ambil Allah-maujud-bila-makan? Akal apa kita pakai kalau setiap hujah kita itu menafikan adanya Tuhan pula? Mantik apa kita pakai kalau hujah kita itu dijadikan peluru menggugat iman? Jangan buat tak faham pula ya. Tolong semak balik kalam yang kita biasa pakai bila berhujah dengan akal itu. Mengapa kita asyik sibuk berkalam sana sini mahu tegakkan hujah ada atau tidak Tuhan? Berapa ramai orang bukan Islam negara ini masuk Islam dari hal kerana kepetahan kita berhujah ada atau tidak Tuhan? Kita terpengaruh dengan faham Muktazilah dan terbitan seumpamanya hendak membuktikan ada atau tidak Tuhan itu sudah kenapa?

Adakah kita fikir kita orang Islam ini sajalah yang percaya adanya Tuhan? Pernah baca Al-Quran? Adakah orang kafir itu tidak percaya adanya Tuhan? Seolah-olah kita ini tidak pernah baca sejarah peradaban manusia. Pernah buat kajian? Pernah buat kaji selidik kepada seluruh manusia yang hidup hari ini, benarkah manusia sekaliannya yang hidup atas muka bumi itu dakwa tiada Tuhan? Susah sangatkah hendak berdakwah cara Allah ajar dalam AlQuran? Susah sangat hendak berdakwah cara Nabi? Tahukah kita, adanya Tuhan itu sudah maklum? Fitrah kejadian semua makhluk, termasuk manusia, memang sudah maklum Tuhan itu ada. Apa hendak kita buktikan dengan kalam kita itu? Allah sudah tunjuk, Nabi sudah ajar, kita fikir kita ini lebih baik dalam urusan dakwah kepada manusia seluruh dunia ini?

Ya tuan puan sekalian. Sampai pening habis kepala kita hendak hafal, hendak faham hujah sifat 20, sifat 50 dan pelbagai ilmu kalam itu, tergamak kita biarkan saja masyarakat Islam terpengaruh dengan pelbagai dakwaan tiada asal tentang CAHAYA TUHAN? Apa alasan kita? Perkara khilaf? Sudahlah kita biarkan, bahkan kita sokong pula golongan yang mabuk akal, kononnya cinta mabuk kepayang tidak sabar bertemu Tuhan, dengan pelbagai hujah gagal dari segi mantik, hujah gagal dari segi falsafah dan kalam? Apa tujuan kita membela puak yang melampaui batas akal dalam beragama seperti mereka itu?

Kita mengaku Allah itu Tuhan. Jadi mengapa kita biarkan saja manusia yang mengaku Islam menyeru selain Tuhan apabila memohon kepadaNya dengan pelbagai takwilan dan belitan kalam?

Boleh tolong fikir? Akal mana?

desert field
Photo by Francesco Ungaro on Pexels.com

Siapa Nabi Kamu?

Tanya : Man Nabiyyuka? Siapa Nabimu?
Jawab : Muhammadun Nabiyyi. Muhammad Nabiku

Sudah hafal jawapan bocor tuan puan sekalian? Muhammad adalah Nabi kamu.

Muhammadﷺ itu Rasullullah. Sebagaimana kita maklum Isa AS itu Rasullullah. Musa AS itu Rasullullah. Ibrahim AS itu Rasulullah.

Muhammadﷺ itu adalah Nabi kita umat akhir zaman ya tuan puan. Baik sekolah, pondok, madrasah, universiti, kita semua sudah diajar perkara ini. Dari mana muncul kelancangan mulut sebahagian orang menyebut-nyebut Nur Muhammad pula? Bagaimana dibiarkan saja dalam zikir, dalam qasidah dan pelbagai hasil seni karya manusia perkataan seperti itu?

Begini ya tuan puan sekalian. Cuba buat semakan sedikit. Puak yang beria-ia menjaja dan membela kefahaman Nur Muhammad lazimnya dari kumpulan mana? Kumpulan yang mengaku Aswaja+AAA atau kumpulan yang mengaku mengikuti jalan Salafussoleh? Cuba jujur sikit. Kita yang mendakwa pandai guna akal ini rupanya tidaklah cerdas mana sampai tidak boleh beza perkara yang haq dan batil. Tidak tahu beza manusia dengan bukan manusia. Tidak tahu beza manusia yang diangkat darjatnya sebagai Nabi Allah dengan manusia biasa macam kita semua ini. Tidak cerdik juga baca Al-Quran sampai buat dongeng tiada asal tentang Nabi Muhammadﷺ.

Bukan main lagi kita cemuh mereka yang cenderung dengan Tauhid 3 itu sebagai Mujassimah atau Musyabbihah, sesat lagi menyesatkan. Bertahun-tahun lamanya kita ini belajar Sifat 50 (20 Sifat wajib Allah, 20 sifat mustahil , 1 sifat Allah yang harus bagi Allah; 4 sifat yang wajib bagi Nabi Muhammad SAW, 4 sifat yang mustahil, 1 sifat yang harus bagi Rasulullah) itu masih gagal pula membersihkan Nabi Muhammad dari syubahat Nur Muhammad. Hingga kita biarkan sebahagian orang dalam tarekat menceritakan dongeng penglipur lara dengan hadith palsu sehingga mabuk tidak tahu beza Tuhan Maha Pencipta dan makhlukNya. Dan kita mendabik dada boleh mengalahkan hujah orang kafir dengan kelemahan aqidah seperti itu?

Hebat sangatlah ilmu kalam kita ini menjaga akidah ya? Sampai kegelinciran akidah itu banyak berlaku dalam kalangan kita juga. Tidak pernah pula kita dengar pencinta Nur Muhammad ini di kalangan puak yang kita sering ejek sebagai ‘W’. Atau kita ini semua Asamjawa? Bukannya Aswaja+AAA barangkali. Kalau benar kita ini Aswaja+AAA, sepatutnya kita ini satu jalan dengan kumpulan satu lagi itu (pengikut Salafussoleh ya, bukan ‘W’ itu) membersihkan nama Nabi Muhammad dari perkara syubahat yang tiada asal dari kalam Nabi.

Sayang Nabi? Cinta Nabi? Bergendang sana sini sebut cinta Nabi, cinta Rasul, begitu? Cinta apakah ini jika lidah jadi bercabang tidak mahu menyebut namanya sebagaimana layak baginda itu disebut sebagai Rasulullah Muhammadﷺ. Utusan Allah. Pesuruh Allah. Nabi Allah.

Masih GAGAL FAHAM?

Muhammadun Nabiyyi. Muhammad Nabiku. Sekadar atas bibir atau kita masih mahu membiarkan syubahat tiada asal dalam agama menguasai nafsu mabuk kepayang kita? Sayang Nabi apakah namanya jika kita biarkan saja puak-puak pemalsu hadith bergentayangan seluruh negara begitu saja? Bila ada manusia yang mahu ajar kita ilmu hadith, lancang mulut kita gelar dengan pelbagai ejekan jelik pula? Masih mahu dakwa sayang Nabi dengan perangai seperti ini?

Cinta apakah ini? CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN.

white and brown mosque beside body of water
Photo by Indra Gunawan on Pexels.com

Apa Agama Kamu?

Tanya : Ma Dinuka? Apa agamamu?
Jawab : Al-Islamu dini. Islam agamaku

Tuan puan sekalian faham atau tidak agama itu apa? Adakah agama itu kita faham sebagai Ad-Din sebagaimana Allah sebut dalam AlQuran, atau kita faham agama itu sebagai agama sebagaimana takrif manusia hari ini? Kalau kita faham agama itu sebagai teologi yang mencampur adukkan kepercayaan, tradisi dan budaya, maka beratlah kita hendak ajak bincang. Takut tidak faham nanti.

Itu satu perkara. Perkara lagi satu. Mengaku Islam agamaku, tahu atau tidak Islam itu apa? Islam, sebagai agama Allah tidak menunjukkan jalan kepada kita cara berwasilah, cara berisitghasah, cara bertabarruk, cara bermadat sebagaimana puak-puak kaki belit dakwa ya tuan puan sekalian. Allah suruh kita cari jalan mendekatkan diri kepadanya dengan wasilah yang haq, bukan wasilah palsu rekaan ahli bid’ah. Tidak ada satu ayat pun dalam AlQuran menyuruh kita berwasilah, beristighasah, bertabarruk, bermadat dengan orang yang sudah mati. Tidak ada satu hadith sahih pun Rasulullah SAW bersabda atau mengisyaratkan supaya boleh bagi kita berwasilah, beristighasah, bermadat dengan orang yang sudah mati. Puak yang kata boleh itu tidak lain hanyalah guna kaedah qiyas dengan cara yang salah. Tolong baca kitab para ulama muktabar tentang disiplin ilmu qiyas, boleh? Jangan telan saja kalam tok guru ya.

Orang guna akal, kalau jumpa perbezaan pendapat antara tok guru, ustaz dan para ulama, kita hendak pakai yang mana? Guna akal sikit boleh? Mana yang lebih tinggi darjatnya? Kalam manusia biasa atau kalam Nabi Allah? Kalam cerdik pandai dikalangan manusia itu lebih tinggi darjatnya hendak dibanding dengan kalam Allah? Faham atau tidak Islam itu apa? Islam itu bahasa mudahnya berserah diri kepada Allah. Sebab itu Islam itu agama yang damai. Mendamaikan hati manusia sebab berserah diri kepada Allah, bukan berserah diri kepada manusia yang belum tentu betul ajar kita cara beragama dengan benar.

Tuan puan sekalian. Mari kembali kepada Islam. Ya, benar. Kita ulang seruan ini; MARI KEMBALI KEPADA ISLAM. Kembali kepada Islam sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran, sebagaimana diajar oleh Nabi.

Dan marilah kita betulkan akal kita lagi. Islam itu agama Allah yang menjadi panutan manusia beriman sejak zaman Nabi Adam AS, Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Ya, benar, syariat setiap umat berbeza. Kita umat akhir zaman ikut syariat Nabi Muhammad SAW. Bukan ikut puak melampau dalam beragama dan puak-puak yang lebih sudu dari kuah membela golongan tersebut.

Tuan puan sekalian. Dapat jawapan bocor; Al-Islamu dini. Islam agamaku, maka biar kita ini benar-benar kenal Islam ya. Agama Islam membimbing manusia menggunakan akal dengan waras. Ya. Fikir biar waras. Orang yang waras berserah diri kepada Tuhan. Bukannya berserah diri kepada makhluk tidak bernyawa. Bukannya mabuk kepayang hidup tanpa tujuan. Itulah tujuan kita beragama Islam. Sudah jelas? Hendak faham ini hanya perlu guna akal ya tuan puan. Jadi biarlah kita ulang. Hendak beragama Islam, biarlah guna akal, bukannya buang akal.

person flipping pages of a book
Photo by Alena Darmel on Pexels.com

Tanya : Man Imamuka? Siapa imammu?
Jawab : Al-Qur’an Imami. Al-Qur’an Imamku

Tuan puan sekalian. Apa kata jawapan bocor itu. Jawapannya adalah Al-Quran itu imam kita. Pemimpin kita adalah Al-Quran. Bukan tok imam, bukan tok guru, bukan tok kadi, bukan tok wali, bukan wali nikah ya tuan puan sekalian. Bila kita sebut pemimpin kita adalah Al-Quran, janganlah lurus bendul sangat buat-buat tidak faham. Kena fahamlah, yang memimpin pemikiran kita kita ini ke jalan yang benar, adalah Al-Quran. Jadi, bacalah Al-Quran. Fahamilah Al-Quran. Kajilah Al-Quran. Bukannya bertahun-tahun baca tidak faham-faham juga.

Benar, nanti ada tok guru kata orang awam hendak faham Al-Quran tara mana. Hendak faham hadith tara mana. Tok guru macam inilah yang tidak sudah-sudah menganggap bodoh sekalian orang awam itu. Ini adalah fikiran yang tidak cerdas ya tuan puan. Tujuan kita belajar supaya cerdik. Kita hendak telan jugakah adu domba orang awam tidak layak faham Al-Quran dan hadith. Biarlah kita beritahu ya. Orang awam yang baca Al-Quran dan hadith itu, mereka itu tidaklah bodoh sangat sampai tidak tahu hendak cari jalan kaji kalam para ulama muktabar.

Tidak faham bahasa Arab pun, orang awam tahu di mana hendak cari tok guru yang ikhlas mengajar kepada masyarakat pelbagai beza pandang para ulama dalam mentafsir AlQuran, mensyarah hadith Nabi dan menerbitkan hukum untuk orang awam ikut. Cukup-cukuplah membodohkan orang ramai seolah-olah kita ini tidak tahu menilai yang mana kaca, yang mana permata. Memang ada orang awam yang bodoh, sebagaimana ada juga tok guru yang bodoh. Tetapi ramai orang awam yang cerdik, sebagaimana ramai juga tok guru yang cerdik. Tok guru yang cerdik, dia tahu perkara ini. Tok guru yang tidak cerdik, kita diam saja sudah, jangan ikut dia sudah. Kita tegur nanti, dia tuduh kita lemah iman pula.

Inilah fitrah manusia. Ada yang cerdik, ada yang bodoh. Kalau kita jumpa orang bodoh, kita ajarlah dia supaya lebih cerdik, bukan biarkan dia terus hidup dalam kebodohan. Lainlah kalau dia sudi biarkan diri dia diperbodohkan dalam beragama sebagaimana dia itu sudi diperbodohkan oleh para politikus yang kerjanya siang malam hendak pastikan rakyat bodoh; senang sikit ‘tikus-tikus’ itu hendak cari makan. Faham kiasan kita ini? Atau, GAGAL FAHAM?

Kalau sungguh bagai dikata Al-Quran itu adalah pemimpin kita, maka sepatutnya kita yang berakal ini mencari jalan supaya benar-benar hidup kita ini dipimpin oleh Al-Quran. Cakap biar serupa bikin. JANGAN CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN. Usah biarkan diri kita dipimpin oleh orang yang kelihatan warak, soleh dan tebal serbannya semata-mata, tetapi kosong ilmunya. Maksud kosong di sini adalah kosong dengan ilmu yang benar, yang berasal dari Al-Quran. Kalau ilmu selak tirai, ilmu tadbir mimpi, atau ilmu memutarbelitkan maksud sabda Nabi, itu ilmu kosong ya tuan puan. Tiada nilai.

Begitulah ya tuan puan sekalian. Al-Qur’an Imami. Al-Qur’an Imamku itu biar hadam betul-betul. Bukan setakat hafal jawapan bocor tapi tidak faham maksudnya. Itulah tujuan guna akal.

a crowd on a square in mecca
Photo by Mustafa Fathy on Pexels.com

Tanya : Aina Qiblatuka? Di mana kiblatmu?
Jawab : Al-Ka’batu Qiblati. Ka’bah Qiblatku

Qiblat kita adalah Ka’bah ya tuan puan. Ia adalah arah kita kita ke mana bila sembahyang. Ka’abah itu juga adalah rumah ibadat pertama yang didirikan oleh manusia. Bila kita sebut Ka’bah Qiblatku, maka biarlah benar bagai dikata. Ka’abah itulah simbolik penyatuan kita supaya berpegang teguh dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan Nabi kita yang lahirnya di kota Mekah, yang di dalam kota itu ada Ka’abah. Itulah arah tujuan kita dalam cara beragama. Bukannya kita mengarah ke Amerika tempat bersarangnya anak murid kepada seorang tok syeikh yang sudah meninggal itu menyebarkan perkara khurafat dalam beribadat kepada Allah. Ramai pula ikut. Buat cawangan pula di seluruh nusantara ini. Dibiarkan pula oleh para penguasa agama.

photo of people gathered at kaaba mecca saudi arabia
Photo by Konevi on Pexels.com

Tanya : Man Ikhwanuka? Siapa saudaramu?
Jawab : Al-Muslimun Wal-Muslimat Ikhwani. Muslimin dan Muslimah saudaraku.

Tuan puan sekalian. Tadi kita cerita ringkas sahaja jawapan bocor Ka’abah Qiblatku. Bahasan panjang lebarnya adalah selepas jawapan bocor terakhir; Al-Muslimun Wal-Muslimat Ikhwani. Muslimin dan Muslimah saudaraku. Inilah tujuan disebalik arah qiblat itu, kalau kita ini tahu menggunakan akal.

Begini ya tuan puan. Setiap kali kita bersembahyang, kita mengarah ke qiblat. Bila kita mengerjakan haji dan umrah, kita bertawaf keliling Ka’bah dengan kumpulan manusia apa ya tuan puan? Kita bertawaf bersama-sama orang-orang Islam, lelaki dan perempuan. Kita bersembahyang bersama-sama orang Islam, lelaki dan perempuan. Sebelum tawaf atau sembahyang, selepas tawaf atau sembahyang, ada kita sibuk tanya apa mazhab jemaah sebelah kita? Ada kita pertikai mazhab tok imam? Ada kita hendak gaduh sebab puak sebelah kita itu Aswaja+AAA atau Wahabi? Pentingkah bagi kita semua gelaran itu?

Yang kita beria-ia hendak pakai gelar Aswaja+AAA sampai menolak orang yang tidak sependapat kita terkeluar dari Ahlul Sunnah Waljamaah sudah kenapa? Kita Aswaja+AAA ini benar-benar ikut sunnah? Cuba lihat kembali cara kita beramal. Cuba lihat pula golongan yang kita bela sangat itu beramal. Ikut Sunnnah?

Itu satu hal. Satu hal lagi, kita ini pernah belajar sejarah peradaban Islam atau tidak? Dari mana datangnya terma Ahlul Sunnah Waljamaah itu? Dari Al-Quran? Dari sabda Nabi? Atau dari takrifan bijak pandai Islam selepas kewafatan Nabi? Kita hendak rebut sangat gelaran itu seolah ia satu agama baru yang wajib kita anuti ini sudah kenapa? Kita berperang sesama Islam merebut gelaran itu sesama sendiri itu, sebab apa? Adakah tidak Islam kita ini kalau gelaran itu tidak lekat atas batu jemala kita? Dalil mana? Akal mana?

Bila kita tanya soalan sedemikian, jangan lancang sangat mulut kata kita mahu keluar dari jemaah. Kalau maksudnya jemaah yang tidak habis-habis ajak manusia jauh dari sunnah Nabi, lalu hendak kata kita bukan kumpulan Aswaja+AAA sebagaimana puak Asamjawa faham, itu kita tidak kisahlah. Kita pun tidak terkejar sangatlah Aswaja mahupun Aswaja+AAA itu sebagaimana kita tidak terkejar juga gelaran Salafi mahupun Wahabi. Malah kita pun tidak mahu kejar pangkat Sufi Batini mahupun Syiah.

Kalau ada di kalangan tuan puan mahu ambil semua pangkat dan gelaran Aswaja, Aswaja+AAA, Salafi, Wahabi, Sufi Batini, Syiah malah pelbagai gelaran lagi, silakanlah. Sebab apa tuan puan? Sebab, kalau kita faham kalam Allah, cukup bagi kita ini ikut jalan Allah. Kalau kita faham sabda Nabi, cukup bagi kita ini menisbahkan diri sebagai Al-Jamaah (perkumpulan di jalan Nabi Muhammad SAW dan para Khulafa’ Ar-Rashidin dan pengikut yang benar-benar mengikuti jalan para sahabat Nabi)biarpun cuma seorang dua di dalamnya. Bilangan sedikit, asal ikut jalan Allah, ikut jalan Nabi, maka itu sudah memadai. Yang penting, bagi kita, semua orang Islam adalah saudara kita. Hendak gaduh sangat sudah kenapa?

Kalau tuan puan hendak sangat ambil gelaran pelbagai itu, silakanlah. Ambillah sekali Gunung Ledang, Gunung Lambak, Gunung Kinabalu, Gunung Jerai itu sekaliannya sebagai tanda kemenangan tuan puan sekalian mendapat gelaran yang diidamkan itu. Ambillah segala habuan dunia gunung ganang itu sampai ke benua Afrika dan Amerika dan segala isi bumi sekaliannya kalau hendak sangat berebut gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah yang tidak pernah disebut oleh Nabi itu. Ambillah jika itu gelaran yang kalian mahukan atas dunia ini. Seolah-olah gelaran itu laku keras di Padang Mahsyar nanti. Ambillah ya. Macam kita cakap tadi. Kita tidak mahu gaduh. Kita ikut saja jawapan bocor atas kubur; Al-Muslimun Wal-Muslimat Ikhwani. Muslimin dan Muslimah saudaraku.

Sebab kita kata tuan puan sekalian itu yang mengucap dua kalimah syahadah itulah kita terima tuan puan sebagai saudara kita. Sebab tuan puan sekalian itu saudara kitalah, maka membiarkan jari jemari kita bengkak untuk menulis, membuat teguran secara terbuka kepada saudara seagama kita, biarpun tidak diminta. Niat kita, hendak sentap akal tuan puan sekalian. Supaya sedar diri. Supaya mahu guna akal dalam urusan agama. Kalau tidak mahu sentap juga, tidak mahu sedar juga, tidak mahu guna akal juga, apa yang kita boleh buat?

Kita hanya mampu berdoa kepada Allah agar seluruh manusia yang mengaku diri mereka itu Islam, agar berakidah, beramal dengan cara yang benar Islam. Bukan dengan cara tradisi yang belum tentu betul. Bukan dengan cara budaya yang belum tentu betul. Bukan dengan cara tidak tahu beza agama, tradisi dan budaya. Faham? Atau masih GAGAL FAHAM juga? Kalau tidak faham juga, eloklah kita kongsi gambar lubang kubur.

Bahasan seputar kubur ini sengaja kita lontarkan supaya tuan puan guna akal. Kita hendak sentap tuan puan supaya cerdas guna akal sebelum otak kita pun masuk kubur bersama-sama jasad kita yang sudah ditinggal roh. Sebab apa? Sudah masuk kubur nanti otak kita sudah tidak boleh pakai. Sudah menjadi tanah. Sebab ada otak maka kita ada akal. Usah jadi macam orang tidak ada akal. Jadi, sementara hidup atas dunia ini, dengarlah nasihat Imam Abu Hassan Assy’ari supaya guna akal yang dengan cara yang waras. Bukan dengar nasihat tukang penglipur lara yang gemar ikut cara fikir anak murid mutaakhirin yang sudah jauh jalannya dari imam yang agung itu. Bukan pula ikut nasihat tok guru yang baca kitab pun tidak khatam melainkan memutarbelitkan kalam mengikut nafsu, tidak mahu ajak manusia belajar cara memahami kalam Allah, kalam Nabi Allah dengan akal yang cerdas. Tok guru seperti ini kita tidak perlu ikut ya tuan puan sekalian. Kita jaga kubur masing-masing, boleh?

Baiklah, Kita hendak uji sikit. Cuba baca perkataan jawi di bawah ini. Jawi ya tuan puan. Tahu baca?

مناقشة باحثن فندوستان مريد حسن السقاف  الجاوي دنكارا مليزي هاري ايت ٠ 

Lepas baca, sila tonton dulu videonya.

Video 3

SUDAH TONTON SAMPAI HABIS? Boleh fikir? Faham atau tidak apa yang Ustaz Wan Syukri Wan Ismail Al-Fathoni jelaskan? Atau kita ini telan saja tuduhan sebelah pihak tanpa mahu menyemak hujahan pihak sebelah lagi. Ada kita mahu guna akal? Ada kita mahu bersikap adil dalam menilai?

Kita cemuh ustaz seangkatan dengan yang diatas itu dengan pelbagai gelaran. Kita kata mereka ‘literalist’ bagai. Cuba fikirkan pula diri kita. Kita ini cerdik sangatlah kan semua perkara, semua kalam mahu ditakwil, adakah kita membuat takwilan itu menurut konteks yang selayaknya bagi perkara yang kita takwilkan? Cuba tuan puan baca satu persatu kebanyakan hujah puak yang mengaku Aswaja+AAA itu, kena atau tidak dengan konteks asal sesuatu perkara. Jujur sahajalah ya. Kita hendak sebut di sini satu persatu nanti tuan puan terasa hati pula. Tonton semula hujah ustaz di atas tadi itu jika mahu faham maksud kita.

Kalau GAGAL FAHAM juga, biarlah kita bantu dengan perumpamaan penilaian ini. Kita tidak tahu apa latar belakang tuan puan sekalian. Tetapi si tukang tulis ini yang biasa bergelumang dengan dunia akademik dan telah lama menjalani dunia praktik, bila baca kebanyakan hujah menukil data tetapi membuat interpretasi di luar konteks, memang kita bagi ‘F’. Hantarlah thesis bertimbun-timbun, kalau takwil atau tafsir tak kena tempat, memang kita buang ke laut sajalah hujah sedemikian.

Apa yang kita hendak ajak tuan puan fikir sekarang ini? Kita hendak beritahu. Usah mudah melabel satu puak itu jahat belaka. Dengar hujah dulu. Kita bukan hendak bergaduh sesama Islam. Kita cuma orang awam saja. Hendak menilai dengan akal. Macam ustaz sebut, orang awam patut tahu dalil. Otak kita ini tidaklah lemah sangat hendak menilai dengan akal yang waras. Yang benar kita ambil. Yang gemar sangat memomokkan susah sangat hendak faham dalil, yang kata orang awam tidak perlu tahu dalil, kita hendak ambil jugakah pendapatnya? Begitu cara kita otak kita bekerja selama ini? Akal mana?

person dropping paper on box
Photo by Element5 Digital on Pexels.com

Agama Sebagai Alat Kuasa dan Politik

Baiklah tuan puan sekalian. Awal tadi kita sudah sebutkan pendekatan rangka perbahasan akal iaitu;

  • Falsafah, Mantik dan Kalam;
  • Politik, Kuasa & Tipu Daya;
  • Seni, Sastera & Sains;
  • Mendengar, Membaca & Menulis;
  • Agama, Tradisi & Budaya

Kebanyakaannya sudah kita sebut secara tidak langsung kecuali perihal spesifik SAINS dan POLITIK. Jadi, selepas kita ajak tuan puan guna akal dengan ‘kaedah kubur’, maka eloklah kita bercakap pasal politik pula. Sebab, kalau bercakap pasal politik ini lazimnya kita masyarakat Islam ini memang cerdik belaka. Boleh bersekang mata tidak tidur pun tidak mengapa kalau sembang bab politik. Kalau bersembang bab agama, terus layu mata kita. Padahal, kalau nak kita apa yang kita hadapi hari ini, agama itu sudah dijadikan agenda politik tidak berkesudahan. Malah sejak wafat baginda Rasulullah SAW lagi, orang Islam sudah bermain politik tidak berkesudahan hingga muncul pelbagai aliran pemikiran dan permainan kuasa politik sambil menunggang nama agama.

Tuan puan lihatlah ‘perang sesama tok guru’ hari ini. Memang sudah kira ‘tahap gaban’. Sama macam ‘perang mulut’ para politikus dan para pengikut mereka yang taksub dengan pemimpin mereka. Hingga sudah jelas seseorang pemimpin itu akhlaknya tiada, sudah dibuktikan oleh mahkamah melakukan perkara jijik umat Nabi Lut AS pun masih mahu dicanang-canang juga sebagai bakal pemimpin negara. Macam mana tuan puan? Sentap atau tidak dengar perihal ini? Hendak kata mahkamah tidak adil jugakah? Hendak kata mahkamah yang jatuhi rasuah dan salah guna kuasa bakal banduan yang telah akhirnya dinobatkan sebagai banduan itu tidak adil jugakah? Hendak buat undang-undang sendiri? Sudahlah undang-undang Tuhan pun kita abakan, undang-undang pemerintah pun mahu abaikan juga?

Sebab itu tuan puan, kita pernah sebut sebelum ini. Hendak faham urusan agama ini, lebih kurang sama hendak faham urusan politik. Kita pernah sebut, bandingkan epal dengan epal, bukan bandingkan epal dengan oren. Hendak sangat bandingkan epal dengan oren, lebih baik bandingkan epal dengan durian kalau tidak faham juga mahu guna akal. Kita bentangkan cuplikan yang pernah kita bahas dalam bahagian Kitab / Buku;

Bandingkan epal dengan epal, bukan dengan oren

Begini tuan puan. Ada orang kata kita awam ini serah saja urusan agama kepada yang pakar. Tuan puan hendak ambil ini silakan. Apa katanya? 

Setiap urusan ada pakarnya. Awak sakit jumpa doktor, bukan sendiri jadi doktor sampai mabuk ubat. Kereta rosak jumpa mekanik, bukan baiki sendiri kereta sampai barai. Naik kapal terbang serah kepada pilot untuk pandu, bukan bawa sendiri kapal terbang macam bawa kereta! Ini adalah bandingan epal dengan oren. Tuan puan hendak terima perumpamaan seperti ini ya dipersilakan.

Tuan puan sekalian. Hendak buat perbandingan biarlah yang seiras dengannya. Bandingkanlah epal dengan epal.

Begini sajalah. Kita nak bagi mudah faham. 

Tuan puan sokong parti mana dalam hal politik negara? Sokong parti penipu atau sokong parti pelahap khazanah negara? Tuan puan mengundi atau tidak? Tuan puan jadi ahli parti atau tidak? Tuan puan jadi penyokong atau tidak? 

Kita nak tanya sedikit lagi.

Tuan puan dulu belajar ilmu politikkah semasa di sekolah? Ada baca buku silibus politikkah? Ada berguru perihal politikkah? Macam mana tuan puan tahu parti politik pilihan tuan puan itu berada di jalan yang benar? Macam mana tuan puan tahu presiden parti politik tuan puan itu bukan kaki belit? Bukan kaki tipu bini dan anak beranak? Bukan kaki kelentong rakyat marhaen? 

Ada atau tidak tuan puan sentiasa bertanya kepada guru untuk buat keputusan politik?

Bagaimana mungkin kita boleh cerdik sendiri dalam berpolitik? Bagaimana mungkin boleh pula kita tidak mahu cerdik-cerdik juga dalam beragama? Mana lebih penting? Politik atau agama? Kalau kita boleh cerdik dalam berpolitik, tetapi membiarkan kita tidak cerdik dalam beragama, jadi apa maksudnya secara jujur ya tuan puan? Adakah kita nak kata politik itu lebih utama dari agama? Fikir-fikirkanlah.

Begitulah kalau nak buat perbandingan ya tuan puan. Cara beragama ini layaknya dibanding dengan cara kita berpolitik. Itu lebih tepat banding epal dengan epal, bukan epal dengan oren.

Maksudnya begini. Kalau dalam hal politik, kita boleh saja mencerna akal untuk memilih mana satu hendak dipilih, mengapa dalam hal agama nampaknya sukar benar kita hendak mencerna akal mana satu lebih tepat untuk dipilih? Jika dalam politik kita tidak pernah tanya guru mana satu yang benar, mengapa dalam urusan agama tidak lekang kita hendak bertanya setiap perkara apa yang salah dan apa yang benar? Seolah-olah kita tidak pernah belajar agama? Tidaklah pula kita kata hendak memandai buat hukum sendiri. Bukan begitu. Kita hanya perlu mendengar pendapat 2 atau 3 orang ustaz yang berbeza dan dalil mereka, kemudian kita buat semakan sebelum membuat keputusan. Perlukah kita hendak tanya ustaz no. 4, 5, 6, 7 dan seterusnya? Kalau ada 7 jawapan, kita hendak pilih yang mana?

Tuan puan setuju atau tidak perbandingan agama dengan politik ini terpulanglah. Tapi kalau tuan puan tengok karenah dan perangai golongan agamawan di kebanyakan ‘negara Islam’, memang agama itu sudah dijadikan macam politik. Hal ini akan kita ulas pada bahagian lain. Cuma, buat masa ini, tuan puan fikir-fikirkanlah sendiri dengan akal yang sempurna.

+SANGfikir

Gunalah akal ya tuan puan sekalian. Hendak memahami agama itu tidaklah sesukar mana. Ia mudah. Sebagaimana mudahnya kita hendak memahami politik. Dan sedarlah tuan puan sekalian. Sebagaimana mudahnya kita ini taksub kepada pemimpin politik, begitulah juga kita ini mudah taksub pula kepada tok guru. Sebagaimana mudahnya kita diperdaya oleh kumpulan politik yang mendakwa merekalah yang paling benar, begitulah mudahnya kita ini diperdaya oleh kumpulan agama yang mendakwa mereka itulah yang paling benar. Sebab apa? Sebab dalam urusan politik, kita tidak baca dan hadam pun Perlembagaan Persekutuan. Dalam urusan agama, kita juga masih berdegil tidak mahu baca dan hadam Al-Quran. Sebab itu kita mudah terpedaya hidup-hidup biarpun otak kita masih bersarang dalam tempurung kepala kita.

Hendak mudah faham beginilah ya. Setiap kali pilihanraya, maka gegak gempitalah seluruh negara mencanangkan bakal Perdana Menteri pilihan. Maka berkempenlah semua parti seolah-olah ini adalah pilihanraya Presiden Malaysia. Itu kita kata. Tahu sebut saja demokrasi. Bangga sangat jadi rakyat negara demokrasi. Tetapi tidak baca Perlembagaaan negara. Tidak faham sistem pilihanraya ‘firstpast-the-post‘ yang terpahat dalam perlembagaan. Bisingnya bukan main. Fahamnya satu habuk pun tiada. Sebab itu, bila kalah pilihanraya, mula jaja ‘popular vote’ pula. Hendak kelentonglah pihak yang menang itu menipu kononnya.

Suruh belajar sejarah negara tidak mahu. Dia belajar pula sejarah negara lain. Sebab itu sampai ke umur tua, tidak faham-faham juga. Pilihanraya negara Malaysia mahu pilih wakil setiap Parlimen untuk mewakili penduduk. Bukan macam pilihanraya Indonesia atau Amerika hendak pilih Presiden. Hendak faham macam mana tuan puan sekalian. Eja perkataan RAKYAT pun jadi ‘RAYKAT’. Memang kita tidak boleh hendak tolonglah puak-puak bebal seperti itu.

Jadi tuan puan nampak atau tidak betapa jeliknya orang yang tidak mahu belajar sejarah, tidak mahu baca kitab yang dijadikan asas perlembagaan negara. Begitulah jeliknya orang yang tidak mahu ambil tahu sejarah peradaban Islam, tidak mahu pula baca Al-Quran yang dijadikan asas perlembagaan Islam dalam kehidupan. Bila kita sebut baca itu, maksudnya baca dan faham ya tuan puan sekalian. Bukan baca tidak faham-faham juga.

Sebagaimana sebahagian besar politikus dalam negara ini tidak bersungguh-sungguh rakyat negara ini faham perlembagaan negara, begitulah nampaknya sebahagian besar para ustaz kita tidak bersungguh-sungguh mahu ajar masyarakat benar-benar mefahami Al-Quran. Kita disibukkan dengan cara bacaan, tajwid dan taranumnya saja. Kita di suruh serahkan kefahaman itu kepada yang ahli saja. Kononnya orang awam ini tidak boleh faham Al-Quran. Takut sesat. Kita musykil juga. Allah tidak pernah berfirman baca dan faham Al-Quran itu boleh sesat. Nabi Muhammad SAW pun tidak pernah bersabda sedemikian. Orang awam baca dan faham Al-Quran jadi sesat ini kalam siapa?

Kalau hal politik, kita boleh faham jugalah. Sebab kalau semua rakyat faham perlembagaan, susahlah ‘tikus-tikus’ itu semua mahu kelentong rakyat. Susahlah hendak main sentimen. Susah mahu laga-lagakan rakyat. Nanti, susah pula hendak cari makan.

Kalau dalam urusan agama, kita hendak faham macam mana ya tuan puan kalau sebahagian besar cerdik pandai agama tidak mahu galakkan orang awam memahami Al-Quran? Kalau yang ajar itu golongan melampau dalam agama itu kita faham jugalah. Sebab, bila mereka jadikan kefahaman itu khusus untuk tok guru dan wali mereka, senanglah hendak jadikan pengikut pak turut. Ikut sajalah biarpun salah. Ikut sajalah biarpun tidak betul. Sebiji perangai macam kebanyakan pengikut taksub kepada para politikus dalam negara.

Itu kita musykil ya tuan puan sekalian. Sebab, yang menjaga urusan agama ini semuanya paling kurang mengaku Aswaja. Yang paling ramai, wajib mengaku Aswaja+AAA. Jadi kita hairan juga. Cara fikir Assyairah dan AlMaturidiah itu memang begitukah? Tidak mahu guna akal supaya faham Al-Quran? Kalau tidak galakkan awam supaya faham Al-Quran, macam mana kita hendak tahu cara takwil kita itu bertepatan atau paling tidak hampir dengan maksud yang hendak disampaikan bila kita baca kalam Allah dalam Al-Quran?

Demikianlah lontaran ringkas hendak faham politik dan agama dalam kehidupan seharian ya tuan puan. Kita tulis ini berlapik juga. Kalau faham, fahamlah. Kalau GAGAL FAHAM, kita tidak boleh hendak tolong.

Tuan puan sekalian, tolong baca kitab Imam Abu Hassan Assy’ari, boleh? Kalau tidak baca pun, cuba dengar syarahan ustaz-ustaz kita yang menerangkan ajaran sebenar imam agung itu. Kalau hendak faham asal kefahaman, kita ambil pendapat yang mutakaddimin ya tuan puan, yang keluar dari kalam dan tulisan imam itu. Bukan pendapat mutaakhirin. Kalau sudi baca atau dengar, nanti tuan puan akan sedar, perkara yang dijaja kepada kita setiap hari itu, bukanlah apa yang diajar oleh imam agung itu. Nanti kita akan sedar juga, tiada satu pun perkara yang diajar ‘wajib’ kepada awam itu adalah wajib mutlak, seolah-olah berdosa kalau dilanggar.

Padahal itu cuma ‘wajib’ ikut pendapat manusia sahaja. Sebab apa? Sebab benda wajib itu terkait dengan urusan politik negara. Kalau hendak faham lebih dalam, kena belajar sejarah. Ini kita hendak bawakan beberapa analisa orang yang mengkaji peradaban Islam. Barangkali, kita akan sedar, agama yang sampai kepada kita ini tidak boleh lari dari adu domba politik sejak zaman berzaman. Sila tonton video di bawah ini dahulu;

Video 5

Video 6

Tuan puan sekalian. Kita tidak kata semua pembentangan kajian atau kalam Guru Gembul itu benar belaka. Memadailah paling kurang kita nampak perkaitan politik dan agama. Sebab, kalau kita nampak, maka kita akan sedar bermacam perkara yang dikatakan wajib dan haram kepada kita orang awam itu bukanlah mutlak dari kalam Allah, juga bukan mutlak dari kalam Nabi Allah. Kebanyakannya adalah kalam manusia. Ada yang berasal dari para ulama, ada yang berasal dari para umara’ zaman silam. Kalam manusia, tidak boleh diambil secara mutlak ya tuan puan. Sebab, kalau kira mutlak, beratus-ribu kalam ulama dan beratus-ratus kalam para umara’ agung peradaban orang Islam sejak 15 abad lamanya, kita hendak ambil yang mana?

Guru Gembul banyak ulas tentang sejarah dan kaitan peradaban. Kita kongsikan pula dua lagi video, kali ini menilai sejarah peradaban kerajaan umat Islam dan perkaitannya dengan perkembangan pelbagai aliran akidah yang ada pada hari ini;

Video 7

Sila tekan pautan ini untuk tonton Bahagian 2 pula.

Sama macam Video 5 dan 6 tadi. Kita tidak suruh tuan puan telan begitu saja apa yang dijelaskan oleh Ustaz Muhammad Asrie Sobri. Khususya kalau dalam minda itu sudah ‘elergik’ dengan perkataan ‘W’ atau ‘S’. Mana tidaknya, dalam masjid luar masjid dalam corong radio pun macam-macam cerita seram pasal ‘W’ atau ‘S’ itu. Tetapi, kalau tuan puan hendak berlaku adil, cuba semak sendirilah dengan kitab-kitab.

Cubalah tanya pengkaji sejarah jujur yang bidang pengkhususannya adalah aqidah. Jangan tanya para penglipur lara yang kerjanya telan semua perkara dalam kitab, lalu dihamburkan semuanya juga tanpa buat kajian, tanpa buat semakan. Susahlah kita hidup macam ini kalau semua benda yang datang kepada kita telan dan hambur begitu saja. Posmen pun tapis dulu barang-barang yang hendak dihantar ke destinasi ya tuan puan sekalian. Faham maksud kita?

Apa tujuan kita tayangkan Video 5, 6 dan 7 (termasuk bahagian 2) itu tadi? Tujuan kita hendak beritahu, menjadi ramai orang Islam berpegang dengan aliran Assyairah dan AlMaturidiah hari ini (hampir 95%) adalah kerana empayar ‘kerajaan Islam’ agung yang terakhir, iaitu empayar Uthmaniah itu adalah pendokong kuat aliran AlMaturidiah yang memang ada persamaan yang sangat hampir dengan aliran Assyairah. Itulah sebabnya. Kalaulah benteng akhir yang hampir dengan zaman kita hari ini adalah pendokong kuat Syiah seperti empayar Fatimiyah di Mesir, barangkali 95% umat Islam hari ini beraqidah sebagaimana orang Syiah dan Sufi Batini itu berpegang kepada kepercayaan mereka.

Biar kita buat nota sedikit sebelum teruskan;

Dakwaan 95% itu kita agak ragu juga ketulenannya. Sebab kalau benarlah begitu, sepatutnya tiadalah kita jumpa dalam kalangan 95% itu ramai yang terpengaruh, baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kepercayaaan tiada asal dalam Al-Quran dan kuat pula mempertahankan cara bertawassul, berisitighasah dan bermadat, semata-mata hendak membela rakan se-Aswaja+AAA. Kita tidak tahulah barangkali dalam kalangan 95% itu cuma memakai topeng sahaja, sedangkan tidak amal pun faham aliran Assyairah dan AlMaturidiah.

Sebab, kalau sungguh bagai dikata hafal dan faham Sifat 20 yang dikembangkan pula jadi Sifat 50, yang dikatakan khilaf perihal bertawassul, berisitighasah dan bermadat itu tidak sepatutnya timbul. Ya, memang tidak patut timbul jika benar ikut jalan Al-Quran. Itu kita tidak tahulah, 95% itu, ada yang pakai topeng atau memang betul-betul 95% tulen Aswaja+AAA. Hati manusia, kita hendak nilai macam mana?

Zahirnya semua mengaku Aswaja+AAA, maka kita kira yang zahir sajalah. Jadi, bagi tujuan perbincangan lanjut, kita ambil sajalah dakwaan seorang ustaz yang lantang mempertahankan aqidah Aswaja+AAA dalam negara ini dari ‘serangan Wahabi’.

+SANGfikir

Berbalik kepada sejarah peradaban Islam, perkembangan ilmu, termasuk ilmu aqidah yang ditayangkan dalam video-video tadi. Kalau kita faham bagaimana ilmu berkembang dalam sejarah peradaban itu, kita patut akur bahawa majoriti 95% itu bukanlah semestinya kebenaran mutlak, sampai kita hendak paksa orang awam berpegang kepadanya seolah-olah sesatlah sesiapa yang tidak mahu ikutinya.

Biar pun kita yang hidup hari ini kita bersyukur kerana tok nenek moyang kita telah bernaung sebelum ini di bawah empayar Uthmaniah, maka kita umat Islam seluruh dunia masih dapat berkembang pesat sebelum empayar itu runtuh. Namun, agak kurang cerdik juga kalau guna hujah; dari hal kerana 95% itu berpegang kepada aliran Assyairah dan AlMaturidiah, maka itulah pastinya sebagai kebenaran mutlak. Sebab itu pernah ada pihak sebelah sana sindir; “salah tidak mengapa, janji muka konfiden”.

Tuan puan sekalian. Orang guna akal akan tahu, kebenaran bukan diukur dengan bilangan pengikut. Kebenaran bukan diukur dengan kita bermain sentimen tradisi dan budaya tok nenek moyang kita. Bukan boleh ditegakkan dengan berpolitik dalam masjid mengata puak lain sesat belaka. Kebenaran bukan disukat dengan sedikit mahupun ramai. Itu bukan kayu ukur kalau benar kita memahami Al-Quran. Kalau hendak kira paling ramai itu yang paling benar, maka cuba kira berapa bilangan umat Islam hari ini berbanding dengan umat bukan Islam. Kita yang paling ramai? Cuba fikir dengan akal waras, boleh?

Kena sedarlah. Urusan agama ini bukan macam urusan demokrasi. Main ikut nombor. Urusan agama ini; benda kalau benar, maka benarlah. Benda kalau salah, maka salahlah. Benda benar atau salah, kena timbang dengan Al-Quran. Kalau mahu semak hadith, timbang dengan hadith sahih, bukan dengan hadith yang palsu. Bukan pula timbang ikut nombor. Kalau kita terikut cara demokrasi, nanti puak yang ramai itu, benda yang benar pun boleh jadi salah, benda yang salah pun boleh jadi benar. Masih belum belajar lagi tipudaya para politikus selepas PRU14? Tuan puan sekalian, kita hendak mengajak orang beragama ini, biarlah dengan cara yang benar, dengan hujah yang benar. Bukannya dengan cara berpolitik sebagaimana sebahagian besar politikus kita mengadu domba rakyat dengan cara yang kotor.

Kita hendak pesan jangan sentap pula. Kita tidak kata setiap ilmu yang disandarkan kepada aliran Assyairah dan AlMaturidiah itu tidak benar belaka. Apa jua jenis ilmu yang sampai kepada kita, yang elok kita ambil, yang buruk kita buang. Sila berfikir secara objektif dan kolektif ya. Sebab kita boleh menduga, yang membaca ini barangkali 95% adalah Assyairah, atau AlMaturidiyah, atau yang gemar gabungkan kedua-duanya jadi Assyairah dan AlMaturidiyah. Jadi, kita percaya 95% yang membaca ini akalnya tinggi, peribadinya terpuji.

Yang kita hendak sampaikan adalah, jangan mudah tuduh yang lagi 5% itu salah mutlak. Lumrah manusia, ada beza cara faham. Ada beza cara pilih jalan. Bahkan yang 95% itu pun bermacam rencam cara faham dan jalannya. Tidak semuanya benar belaka. Yang lurus ada. Yang bengkok sampai tidak tahu beza Pencipta dan yang dicipta pun ada juga. Yang asyik mabuk kepayang mahu lebur fana mencapai darjat makrifat pun ramai juga.

Sama jugalah puak yang 5% itu. Usah dabik dada lurus sangat. Dalam 5% itu pun serupa juga. Yang lurus ada. Yang bengkok pun ada juga.

Perkongsian Video 5, 6 dan 7 (termasuk bahagian 2) itu tadi itu juga bertujuan supaya tuan puan berupaya meneliti, beza agama, budaya dan tradisi. Kalau kita kaji sejarah peradaban ‘kerajaan Islam’ sehingga hari ni, kita tidak akan telan begitu saja perkara yang disuapkan kepada kita hari-hari itu sebagai agama mutlak. Tiada yang mutlak ya tuan puan. Sila buat kajian. Kita akan jumpa campur baur tradisi dan budaya dalam cara kita beragama. Kita akan faham perbezaannya. Bila kita sudah faham, dengan izin Allah maka kita akan lebih mudah membersihkan diri kita dari perkara tiada asal dalam agama. Kita tidak akan memberatkan diri kita dengan perkara tiada asal dari sunnah Nabi. Kita akan faham, Islam itu mudah. Sebagaimana kita patut faham Al-Quran dengan mudah juga, jika benar kita ini orang beriman kepada Allah.

Tuan puan sekalian. Hidup beragama kita hari ini, ini biarpun kelihatan agak seiras dengan cara kita berpolitik, natijahnya tidaklah sama.

Kalau berpolitik, paling teruk pun kita salah dalam berideologi, kita dapat makan dedak. Parti yang kita sokong itu kalah. Pemimpin yang kita sokong itu masuk jel. Kita macam itu juga. Pagi petang siang malam kerja, kejar kontrak, hendak sara anak bini. Kawan tu masuk jel, anak bini dia cukup makan pakai tujuh keturunan. Hendak tolong tumpang sekaki bermuram durja sudah kenapa?

Kalau beragama, salah cara kita berteologi, kita dapat makan api neraka. Sia-sia amal kita tiada nilai barang sebutir zarah sekalipun. Kelompok yang kita sokong itu pula, sama-sama dengan kita dalam neraka. Tok guru selak tirai yang ajar kita kuat sangat bertawassul, beritighasah dan bermadat itu pula, dapatkah dia memberi pertolongan kepada kita. Hendak tolong macam mana? Dia pun awal-awal sudah berlepas diri. Dia pun sama-sama tidak dapat menolong diri sendiri. Eloklah tu sama-sama duduk dalam neraka sebab degil tidak mahu faham dan ikut kalam Allah dengan cara yang benar. Degil juga menyeru selain Allah bila berdoa dan memohon pertolongan.

Jadi tuan puan. Macam mana kita hendak tentukan siapa yang paling benar dalam beragama? Bukan kerja kita hendak tentukan siapa yang paling benar. Kerja kita adalah guna akal, tentukan apa yang benar, supaya kita boleh pakai untuk diri kita. Kita dengar dan lihat sajalah semua dakwaan itu. Masing-masing dakwa ikut Al-Quran, masing-masing dakwa ikut Sunnah, masing-masing dakwa iktu ulama muktabar. Kita orang awam ini usah pusing kepala sangat. Dengar dengan teliti kedua-dua pihak ini. Semak hujah dengan apa yang terkandung dalam Al-Quran. Semak hujah dengan apa yang terkandung dalam hadith yang sahih.

Kita yang kena buat keputusan sendiri dalam hidup ini. Pilihan kita ini, tiada siapa dalam kalangan tok guru, tok mufti mahupun tok wali dapat jamin, biarpun sejalan dengan mereka. Di hadapan Allah kelak, masing-masing akan kesibukan dengan urusan masing-masing. Aqidah yang benar maka mudah-mudahan Allah akan terima amal perbuatan kita. Kalau aqidah terpesong, sedangkan jelas aqidah Al-Quran itu di hadapan kita semasa hidup ini, namun kita sedikit pun tidak mahu memahaminya, kita hendak jawab apa?

Itulah rencam manusia. Itulah liku-liku kehidupan kita dalam mencari jalan kembali kepada Tuhan. Tiada jaminan jalan yang kita pilih dalam beraqidah itu benar selagi mana kita tidak mahu belajar cara kembali kepada perlembagaan sebenar dalam hidup ini; Al-Quran.

cloth with artistic design
Photo by Frank Cone on Pexels.com

Baiklah tuan puan sekalian. Kita sudah bentangkan tadi beberapa video perihal peradaban ‘kerajaan Islam, bagaimana ia mempengaruhi cara beragama yang kita ada hari ini, dan mengapa, dari segi aqidah, aliran Assyairah AlMaturidiah itu adalah yang paling dominan dalam kalangan umat Islam. Hakikatnya adalah berkait rapat dengan politik juga. Adakah ini salah? tidak juga. Kita kena terima hakikat, bukan mudah untuk menyatukan umat manusia, biarpun mereka itu dalam agama yang sama. Cuma kena fahamlah, tidak semua tindakan penguasa agama itu benar semuanya.

Kemana hendak kita bawa bahasan agama sebagai alat kuasa politik? Kita mahu ajak tuan puan fikir apa yang penting dalam urusan agama sebagai teras politik sesuatu bangsa dan negara. Yang paling penting adalah; PERSAUDARAAN SESAMA ISLAM. Itulah asas penyatuan ummah bila kita beragama. Itu yang patut dipaksakan ke atas orang awam jika para penguasa benar hendak beragama dengan cara yang benar. Sebab, sepanjang sejarah berbelas abad lamanya, apabila umat Islam membiarkan diri mereka dengan taksub kepada mazhab, taksub kepada pendapat guru tertentu dalam urusan fekah, tasawuf dan aqidah, maka pasti akan berlaku kezaliman sana sini.

Apabila pemerintah memaksa pegangan sesuatu mazhab, maka lihatlah apa yang berlaku dizaman kerajaan Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah, Daulah Fatimiah dan sebagainya. Zalim kepada para ulama, berlaku kekejaman kepada para pengikut ulama. Lebih teruk, berlaku cerca mencerca, kafir mengkafir, tindas menindas dan berbunuhan antara pentaksub pengikut mazhab yang berlainan. Ini tidak memberi sebarang faedah kepada PERSAUDARAAN SESAMA ISLAM, malah menjadikan permusuhan sesama saudara Islam semakin membarah. Tiada sebarang bukti empirikal bahawa pemaksaan hanya satu mazhab atau aliran pemikiran itu dapat menyatukan orang Islam. Ia hanya membawa kepada dendam, dan apabila pihak yang ditindas itu mendapat kuasa, pasti mereka akan melakukan perkara yang sama apabila mendapat peluang. Sebab apa? Sebab kita yang memegang kuasa sekarang ini tidak berlaku adil.

Barangkali, itulah sebabnya adu domba memburukkan orang yang tidak sealiran cara pemikiran semakin kuat hari ini. Sebab, takut hilang pengaruh. Sebab takut hilang kuasa. Cara paling mudah menjatuhkan pihak lawan adalah dengan memomokkan masyarakat dengan gelaran jelik. Biasa dengar dalam perbalahan politiking negara ini? Biasa dengar perkataaan PENYAMUN, PENCURI, BANDUAN? Biasa dengar kelentong seperti ini. Ia adalah perkatan membodohkan rakyat. Tetapi, rakyat telan juga kan? Biasa dengar perkataan WAHABI, WABABI, WAHABIOL? Biasa dengar kelentong seperti ini. Ia adalah perkatan membodohkan orang awam. Tetapi, orang awam telan juga kan?

Rumah Kata Pergi, Kubur Kata Mari

Demikianlah manusia mendapatkan pengaruh dengan cara yang kotor dan keji. Kalau dalam politik merebut takhta kuasa negara itu kita fahamlah juga. Sebab para politikus itu, membelit dan menipu itu memang seni matlamat menghalalkan cara. Mereka kisah apa pasal dosa atau pahala. Sebab, kalau mereka kisah, tidaklan negara kita porak peranda macam yang kita lihat hari ini. Sebab itu kita sebut, politikus ini (kalau tidak semuanya pun) memang kerjanya memastikan rakyat marhaen jadi bodoh selamanya. Sebab, kalau rakyat cerdik belaka, macam mana mereka hendak jadi pemimpin. Sebab mereka itu politikus itu bukanlah cerdik semuanya. Boleh dikira dengan jari. Cerdik apa ya tuan puan sekalian bila dapat kuasa, asyik sibuk lantik kroni sendiri jadi ‘ahli majlis orang tua-tua’. Habis tu, di kalangan 112 yang menjaja kononnya cerdik sangat uruskan negara, tidak ada yang cerdik akalkah hendak tadbir negara? Mana ‘raja formula’ dan ‘ahli silap mata hapuskan tol’ yang digembar-gemburkan tinggi ilmu makrifatnya? Hendak harap orang tua-tua juga? Berilah peluang orang tua-tua itu hendak pencen. Duit bertimbun-timbun duduk diam-diam sudahlah. ‘Rumah kata pergi, kubur kata mari’. Maaflah bahasa terus terang saja bila masuk bab politik ini. Sudah puluhan tahun rakyat diajar begitu, kan? “YOU REAP WHAT YOU SOW“. Kalau faham, fahamlah. Kalau GAGAL FAHAM, nak tolong macam mana?

Kembali ke Pangkal Jalan

Panjang juga perenggan tadi. Mari kembali ke pangkal jalan. Kita hendak kata, dalam politik merebut takhta kuasa negara itu kita fahamlah juga. Sebab ada kuasa, senanglah hendak bahagi-bahagikan harta rampasan pilihanraya kepad kroni juga. Yang kita musykil, dalam urusan agama, hendak main kotor macam para politikus itu apa gunanya? Berapa billion duit masuk poket? Berapa banyak pahala dapat gelar orang Wahabi? Berapa banyak pahala dapat gelar orang Salah-Pi? Sudah kira?

Begini ya tuan puan sekalian. Urusan politik negara itu, kita biarkanlah sahaja kepada orang yang mengaku cerdik serba serbi uruskan. Biarlah mereka itu bergelumang dengan tipu daya dan muslihat membodohkan rakyat jelata dan ‘raykat tidak tahu eja’. Kerja kotor memutar belit kalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia ini kita serahlah kepada politikus dan para pengikut taksub mereka yang membuta tuli tidak mahu guna akal. Biarlah mereka itu hidup dalam kebodohan mereka. Kita kata bodoh, sebab percaya bulat-bulat kelentong pemimpin mereka sebab hidup tidak mahu baca Perlembagaan Negara, sebab pemimpin pun tidak galakkan baca. Susah nak faham. Takut sesat!

Urusan agama, khususnya berkaitan dengan aqidah, biarlah kita jaga elok-elok. Macam kita sebut tadi, salah aqidah, sia-sia sahaja bertimbun-timbun kitab fekah kita baca, sia-sia saja kita minta tolong dengan pokok, sia-sia saja kita ambil berkah dari para wali, sia-sia saja kita berzuhud, bersuluk bagai kalau yang kita jumpa adalah para pengikut Iblis yang memperdaya umat manusia.

Kalau dalam politik kita memang tidak reti akal, maka cukup-cukuplah. Sekurang-kurangnya dalam agama, khususnya bab aqidah, kita guna akal. Politik negara ini, kalau kita bodoh pun, paling busuk melepas tidak dapat kontrak. Hidup pun tidak lama. Kubur pun hari-hari panggil mari. Hendak biarkan diri kita diperbodohkan juga, cukup-cukuplah dalam politik. Dalam agama, kita usah biarkan diri diperbodohkan, boleh?

Sebab itu tadi kita sebut, penguasa agama tidak patut memaksa orang awam kepada satu aliran pemikiran saja. Biarkan awam terdedah kepada hujah akal yang waras, boleh? Barulah ilmu boleh bercambah dengan elok. Cukup-cukuplah kata orang awam tidak boleh faham Al-Quran dan hadith sebab tidak sampai akal. Yang berkalam sedemikian itu faham sangatkah? Kalau faham sangatlah bagai dikata, tidaklah patut sanggup membela puak pemutarbelit Al-Quran dan penyebar hadith palsu.

Kalau akal itu lebih baik dari orang awam, tunjukkanlah kepakaran akal untuk menyanggah hujah pihak yang dimomokkan sebgai menyeramkan itu dengan hujah akademik dan hujah praktik yang masuk akal. Bukannya dengan cemuhan, atau asyik tanya ‘ISBN mana?’ Cerdik sangatkah hujah ISBN itu? Kita orang awam pelik juga, sudah terang lagi bersuluh, sumber dibentangkan itu memang dari puak pentaksub wali, hendak nafi jugakah sebab tidak mahu jawab dakwaan? Kita pelik juga, dialog itu hendak nilai pemikiran tok wali, atau nilai ISBN? Dakwaan tidak disanggah juga sampai ke sudah. Jadi, kita hendak harap apa lagi?

Ajar sangat masyarakat guna akal, bukan? Cakap biar serupa bikin.

gray newton s cradle in close up photogaphy
Photo by Pixabay on Pexels.com

Tidak Ada Akal. Tidak Reti Guna Akal.

Tuan puan sekalian. Sebab kita guna akal inilah maka kita patut sedar cara kita diajar untuk guna akal kenal Tuhan itu bukanlah satu-satunya cara mutlak benar belaka melainkan tiadalah kebenaran di dalamnya. Kalau kita hendak mengikut jalan ahli kalam, cukuplah sekadar tahu pelbagai jenis ilmu manusia hendak kenal Tuhan. Bukannya bermati-matian pertahan cara pemikiran Assyairah Al-Maturidiah itu wajib ikut jalannya. Ada Allah suruh begitu? Ada Nabi suruh begitu? Ada imam mazhab yang 4 kita suruh begitu? Ada Imam Abu Hassan Assy’ari kata begitu? Ada kita menukil kalam Imam Abu Hassan Assyari bila hendak tegakkan hujah kononnya pemikiran beliau begitu? Pernah dengar para ustaz yang kuat main sentimen mesti ikut akidah Assyairah nukil kalam Imam Abu Hassan Assy’ari kata begitu? Ada? Cuba pakai akal sikit, boleh?

Pernah tuan puan tanya kepada para penglipur lara dalam masjid dan surau mengapa begitu langka mereka menukil kalam imam-imam agung kita bila membicarakan tentang ahli kalam? Cuba tonton dua video berikut;

Video 8

Video 9

Apa yang dibentangkan oleh Ustaz Wan Shukri itu tidak akan dapat kita mendengarnya dari mulut para penglipur kalam yang kita sanjungi ya tuan puan. Yang ada, para penglipur lara itu sekaliannya menukil kalam anak murid atau pengikut taksub imam yang agung itu, lalu menisbahkannya sebagai pemikiran Imam Abu Hassan Assy’ari. Ini adalah jenayah akademik ya tuan puan. Serupa dengan menisbahkan perkataan anak murid atau pengikut taksub Imam As-Syafie menisbahkan kalam yang tidak ditulis atau disebut oleh imam agung kita itu. Perangai ini bukan hanya jenayah akademik, malah jenayah praktik juga ya tuan puan sekalian.

Beginilah. Kita percaya ada dalam kalangan membaca ini doktor, jurutera, pensyarah, pelajar dan orang bijak pandai. Memandai-mandai menisbahkan sesuatu perkara kepada orang yang tidak melakukannya, tidak menuturkannya, itu perangai apa ya tuan puan sekalian? Kalau anak tuan puan, atau anak murid tuan puan sekalian menisbahkan perkataan dan perbuatan yang tuan puan tidak pernah lafaz, tidak pernah buat, apa tuan puan hendak kata kepada anak dan anak murid yang kurang ajar itu ya tuan puan sekalian?

Hendak tanya ustaz jugakah mahu dapatkan jawapan? Tidak reti fikir sendiri? Akal mana?

Guna akal berlebihan, asyik bertanya Allah ada di mana, asyik menafikan sifat dan perbuatan Tuhan, sampai kesudah tidak kenal Tuhan juga melainkan ikut kepala otak kita berfalsafah tidak sampai-sampai juga. Cuba guna akal sikit boleh? Kita tahu atau tidak apa yang berlaku dalam badan kita, apa yang darah dalam pembuluh darah kita itu sedang buat, tahu atau tidak bentuk jantung kita, tahu atau tidak hati kita di mana? Kalau setakat jawab tahu sebab belajar sains, sebab tonton video anatomi badan manusia itu bukan tahu namanya. Itu tahu sebab cikgu beritahu. Itu tahu sebab baca buku. Itu tahu sebab tonton video Discovery Science.

Begitulah perumpamaan jika kita in hendak kenal Tuhan. Kita ikut sajalah apa yang Allah beritahu dalam Al-Quran. Kita ikut sajalah apa yang kita baca dalam Al-Quran. Kita ikut sajalah manusia agung yang telah dilantik sebagai Rasul, sebagai Nabi terangkan kita perihal Tuhan. Kita hendak pakai kepala sendiri menerangkan tentang ada atau tidak Tuhan, tentang zat Tuhan, tentang sifat Tuhan sampai akhirnya kita menentang kalam Tuhan itu sudah kenapa?

Apa ada dalam badan sendiri pun kita tidak tahu. Berapa helai rambut atas kepala kita setiap kali bangun pagi pun kita tidak tahu. Berapa helai rambut yang gugur daripada kepala kita pun kita tidak tahu. Diri sendiri pun kita tidak tahu, mahu ajak manusia supaya tahu Tuhan ikut kepala kita juga? Mahu lagi bercakap tentang Tuhan yang kita tidak tahu apa-apa melainkan Dia menerangkan tentang diriNya. Tak reti guna akal?

Cuba tuan puan sekalian lapangkan minda. Tonton video di bawah ini. Ustaz pesan, JANGAN KATA APA YANG ORANG LAIN TIDAK KATA. Kalau hendak mengata juga, kita hendak tolong macam mana lagi?

Video 10

Macam mana tuan puan? Sudah tonton? Mari kita pesan sedikit. Hendak jadi pengikut ahli kalam, ikutlah yang memang pakar seperti Imam Abu Hassan Asy’ari. Bukannya ikut kaedah kalam puak Jahmiyah dan Muktazilah yang imam agung kita itu sudah berlepas diri darinya. Kita patut ikut golongan mutakallimin yang guna akal berpandukan Al-Quran, bukan ikut golongan mutakallimin yang guna akal sampai tidak kenal juga Tuhan.

Orang berakal yang benar-benar kenal Tuhan tidak akan membela golongan yang mencampur adukkan kalam Allah menjadi dongeng Nur Muhammad dan Hakikat Muhammadiyah sampai sama tara dengan Tuhan. Sampai tidak boleh beza Tuhan dengan makhluk. Hendak bela sangat sudah kenapa? Sebab kawan sekapal? Atau kita juga percaya dengan dongeng seperti ini tetapi tidak mahu mengaku. Kalau tidak percaya, usahlah buat ‘research group’ sebar dan pertahan juga kefahaman yang tiada asal dari kalam Allah dan sabda Nabi. Dakwa pandai akal, kalau setakat ulang cetak dan jual saja buku karangan ulama tanpa tahkik, tanpa semak betul atau tidak pun, apa faedah buat ‘research group’? Bila diajak muzakarah, cari pelbagai alasan lari. Datang muzakarah pula, mesti kena ada teman. Asyik berbicara perkara luar topik pula. Berbicara di luar konteks memanjang. Cerdik sangatkah itu? Akal mana?

Jadi macam mana tuan puan sekalian? Hendak turut membabi buta jugakah puak-puak terlebih cerdik akal kononnya hendak membersihkan Tuhan berlainan daripada makhluk sampai menafikan sifat Tuhan? Masih tidak tahu beza juga khaliq dan makhluk? Hendak ikut membabi buta jugakah puak-puak yang kuat membela perkara bid’ah yang dilakukan oleh golongan melampau dalam beragama? Tidak pernah dengar kalam Allah jangan melampau dalam agama? Tidak pernah dengar sabda Nabi supaya jangan berlebihan memuji baginda? Atau hendak putar belit juga kalam Allah, hendak putar belit juga sabda Nabi semata-mata ikut hawa nafsu kita guna akal? Pakai akal sangatlah itu? Cerdik sangatlah begitu?

Hendak ikut juga? Hendak juga ikut puak-puak yang endah tak endah bila dengar manusia berdusta atas nama Nabi? Hendak ikut juga puak penguasa yang tidak hirau masyarakat beramal dengan hadith palsu? Hendak ikut juga orang yang berperangai macam politikus pemutar belit yang kita kutuk hari-hari itu? Hendak ikut juga pemegang PhD yang memakai tarbus merah Al-Azhar ke mana-mana seolah-olah tiada lagi pemegang PhD di negara ini yang lebih waras akal fikirnya? Hendak kata susah juga nak faham agama? Sila tonton video ringkas di bawah ini. Kasi cerdik sikit boleh?

Video 11

Perkara Allah tidak suruh kita memandai buat. Perkara yang Nabi tidak suruh, kita memandai buat. Semua ini kerja apa ya? Kerja sia-sia. Kita orang awam ini banyak lagi perkara lain hendak urus dalam kehidupan. Kita hendak menyibukkan diri dengan cara mengenal Tuhan yang Allah tidak ajar, Nabi tidak ajar, para sahabat Nabi tidak buat, sudah kenapa? Kita hendak menyibukkan diri dengan cinta kepada Nabi dengan jalan yang batil, sudah kenapa? Kita tidak mahu beramal ibadat dan beraqidah cara Nabi, sudah kenapa? Ia kerja sia-sia. Elok kita ulang siar perumpamaan orang yang buat kerja sia-sia ya tuan puan;

Perumpamaan Perbuatan Sia-sia

Dia begini ya tuan puan sekalian. Manusia memang begitulah perangai. Perkara mudah dibuatnya susah. Perkara kena buat, dia tak mahu buat.

Perkara tak suruh buat, rajin pula dia buat.

Kita nak bawa pemikiran tuan puan beginilah dalam kehidupan seharian. Ambil contoh saja. Tuan puan sekalian bekerja, berniaga dan berusaha pagi petang siang malam, ada tuan puan fikirkan tentang ini?

Katalah tuan puan bekerja dengan seorang majikan yang kaya raya. Tuan puan pun tak pernah jumpa. Cuma tahu nama syarikat dan tempat bekerja saja. Majikan, melalui penyelia suruh buat kerja A. Dia sudah jelaskan apa faedah buat. Apa hukuman kalau tak buat. Tuan puan pun angguklah kepala. Lepas tu tuan puan buatlah kerja A itu. Kemudian tuan puan tokok tambah pula +, dan + dan + kepad kerja A itu dengan harapan dapat gaji lebih, dengan harapan dapat pujian melangit. Masalahnya, tuan puan tak tahu pun majikan itu suka atau tidak dengan +, dan + dan + itu. Sebab, jumpa pun tak pernah. Tuan puan cuma kuli sahaja dapat arahan melalui penyelia. Penyelia pula tak pernah suruh tuan puan supaya tambah +, dan + dan + itu. Cuba tuan puan fikirkan.

Ada faedahkah tuan puan tambah +, dan + dan + itu jadi A+++?

Tuan puan yakinkah penyelia tuan akan gembira dengan A+++ itu?

Tuan puan yakinkah majikan tuan puan itu akan menghargai kerja A+++ itu?

Kita sangka lain, dapat benda lain!

Bagaimana pula jika penyelia tuan puan itu marah sebab dia suruh buat benda lain, tuan puan memandai tambah hendak tunjuk hebat? Nak ambil jawatan diakah? Nak suruh majikan nampak penyelia itu bodohkah?

Bagaimana pula jika majikan yang tuan puan hanya tahu namanya tetapi tidak pernah berjumpa itu campakkan saja kerja A+++ itu? Majikan suruh buat A sahaja. Supaya tuan puan ada masa untuk perkara lain. Supaya ada cukup masa buat kerja B, C, D, E, F, G,…..Z dengan berkualiti sebagaimana suruhan majikan. Supaya ada ada masa cukup luangkan masa dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah untuk diri tuan puan selain kerja-kerja yang diberikan.

Photo by Steve Johnson on Pexels.com

Jadi, kita nak tanya soalan tambahan kepada tuan puan sekalian;

Apa faedah tuan puan buat kerja A+++ itu jika tuan puan tidak tahu secara pasti bahawa penyelia tuan akan menerimanya?

Apa faedah tuan puan buat kerja A+++ itu jika tuan puan tidak tahu secara pasti bahawa majikan tuan akan menerimanya?

Tuan puan hanya menyangka saja majikan akan gembira menerimanya. Hanya menduga-duga. Tidak pernah mahu semak SOP. Tidak pernah mahu semak JD. Hanya mendengar-dengar saja. Itu pun agak-agak saja. Tidak pasti pun, hanya berharap saja, sedangkan perkara yang jelas telah diberitahu. Masih pilih perkara yang samar-samar. Tiada pengesahan.

Apa faedah perbuatan tuan puan yang sedemikian itu?

Fikir-fikirkanlah ya tuan puan.

– petikan dari Diskusi Ilmiah: Penilaian Bid’ah Hasanah Adakah Satu Kesesatan

Cukuplah dahulu ya tuan puan. Tuan puan hendak ikut para penglipur lara berpolitik dalam masjid macam ikut para politikus menipu rakyat jelata juga, maka persilakanlah. Kalau tuan puan mahu ikut alasan kena pertahan tradisi kefahaman dan budaya tok nenek moyang kita juga, maka persilakanlah. Hendak ikut sangat? Patutlah tradisi dan budaya kerajaan yang kita jatuhkan itu sebelum PRU14 itu pun kita buat juga lepas pilihanraya. Salah guna kuasa juga. Gugur kes kroni juga. Makan suap juga. Songlap duit parti juga. Buat terowong tidak siap juga. Rakyat kena bayar tol juga. Hutang PTPN kena bayar juga. Menipu rakyat juga. Benda salah, mahu ikut sudah kenapa? Mahu pertahan sudah kenapa? Faham atau tidak perumpamaan politik kita ini? Atau sengaja tidak mahu faham juga?

Mahu jadi orang GAGAL FAHAM juga, silakanlah. Cuma kita risau juga. Benda guna akal semudah itu pun, kalau GAGAL FAHAM juga, macam mana kita hendak ajak tuan puan bahas perihal sains dan agama nanti?

Akal mana? Sains itu Agamakah?

Sudah kita sembang pasal agama dan politik, maka elok kita sembang pula pasal agama dan sains. Sebab apa? Sebab sebahagian besar dari kita itu secara tidak sedar sudah jadikan sains itu sebagai agama baru. Maka kita salin tampal cuplikan kata-kata +SANGfikir agar tuan puan sekalian mula membiasakan diri dengan bahasa kitab. Lenggok bahasa sahaja. Isinya kita berbicara pasal sains yang sudah dijadikan agama baru ramai umat manusia hari ini, sama ada secara sedia atau tidak. Cuplikan ini kita ambil dari ruangan Mukadimah. Ia berkaitan dengan kecenderungan manusia ‘menjadikan sains sebagai agama baru’.

Dipersilakan baca dengan teliti. Jangan GAGAL FAHAM pula. Berkatalah +SANGfikir;

Telah datang kepadaku dari orang-orang negeri atas angin demi akan perihal علوم maka kehairananlah diriku karena sudah mendengar aku ini akan إحياء علوم الدين karangan Al-Ghazali maka sungguh maksud Ihya’ ‘Uluumuddiin itu adalah artinya Penghidupan Pengetahuan Agama katanya sekian banyak orang maka bertambah kehairananlah diriku karena tiadalah orang mahu menyebut علوم itu pengetahuan bahkan menyebut akan sekian banyak orang suatu yang baharu iaitulah dia sains iaitulah dia ‘uluum maka bertambah kehairananlah diriku ini tiadalah suka akan manusia di bumi bertuah ini menyebut akan ‘uluum akan mereka itu sekaliannya sedang telah menjadi kegemaran sekian banyak orang di negeri ini menukar akan mereka itu sekaliannya akan segala perkataan Melayu agar disebut-sebut akandia itu menjadi Arab bunyinya maka berkumandanglah di seluruh negeri ini akan perihal tahaluf siasi maka berkumandanglah di seluruh negeri ini akan perihal tasamuh maka jenohlah akan daku ini memikirkannya perihal kegilaan ini demikian cukuplah sudah pertanyaan ini maka beralihlah kembali aku ini kepada sains itu iaitulah apa yang diperkatakan oleh orang banyak sebagai jalan kebenaran sehingga tidak kenal mereka itu akan pengetahuan sehingga tidak kenal mereka itu akan ‘uluum itu maka inilah perkara yang ingin daku lontarkan kepada kalian adakah sains itu pengetahuan menakjubkan yang hendaklah kita beriman kepadanya yang hendaklah kita percaya sepenuhnya akandia itu maka apakah tidak diketahui oleh sekalian orang bahawa sains itu hanyalah kaedah menetapkan sesuatu perkara dengan kajian dan ujian maka tatkala gagal ujian itu maka runtuhlah akandia itu kebenaran kerana telah menjadi dugaan itu tidak ketahuan maka apakala dugaan itu telah diuji akan dia kebenaran maka itulah dia pengetahuan sebenar maka dari itu layaklah akan dia digelar sains sebenar maka apakah tidak diketahui olehmu sekalian sungguh banyak pengetahuan digelar akan orang sains itu masih lagi menduga menduga jua adanya dan sungguh masih banyak lagi berubah akandia itu dapatan daripadanya maka bagaimana mungkin orang banyak sekalian menelan segala yang disuapkan ke mulutnya maka bagaimana mungkin orang banyak sekalian menjadi akandia sains itu rukun iman demikianlah wahai sekalian orang ingatlah akan pesan daku ini janganlah kalian menetapkan barang yang tidak diuji sebagai kebenaran janganlah kalian menetapkan barang yang tidak diuji sebagai bukti kebenaran Al-Quran demi karena ketahuilah olehmu sekalian Al-Quran itu tiadalah ia memerlukan sains untuk membuktikan kebenaran bahkan sains itulah yang perlu akandia dia itu akan pengetahuan yang terkandung di dalam Al-Quran untuk menentu akan dia hujah kebenaran maka janganlah kamu sekalian menuruti jejak langkah orang-orang yang berjualan akan sains itu tanpa diperiksa akandia itu kebenaran takut terkulat-kulat akan sekalian tatkala terbukti dongeng yang disampaikan itu kepalsuan maka tatkala itu nanti di manakah hendak diletak muka kalian hendak diletak manakah hujah kalian demikian itu hendaklah sains itu dijadikan alat untuk kehidupan dan bukanlah dia itu menjadikan kamu sekalian alat tunggangan maka bermuhasabahlah akan diri kalian sekalian agar kembalilah kepada apa yang telah diturunkan dalam Al-Quran demi sesungguhnya itulah kitab yang menerangkan kebenaran yang disampaikan ia oleh Rasulullah SAW iaitulah sungguh dia itu adalah Nabi Penutup Segala Nabi yang diutuskan oleh Tuhan.

+SANGfikir

Bagaimana tuan puan sekalian? Tahu di mana (,), tahu di mana (.), tahu cara membacanya? Tahu cara memahaminya kalam +SANGfikir itu?

Biar kita bantu permudahkan begini. +SANGfikir itu menyindir kita yang tidak faham-faham juga علوم atau SAINS itu. Lalu dia sindir juga kecenderungan kita orang Nusantara hari ini tidak habis-habis meng-Arab-kan perkataan Melayu sehingga kebanyakan manusia Islam di nusantara ini tidak lagi bersembahyang lima waktu. Sebab apa? Sebab mereka hanya ber-صَّلَاة‎ lima waktu sahaja. Kita rasa geli-geleman takut sesat barangkali hendak sebut bahasa tok nenek moyang kita; SEMBAHYANG, yang banyak kita dapati dalam kitab-kitab kuning. Tidak mahu tahkik jugakah semua kitab-kitab yang ada perkataan SEMBAHYANG takut generasi hari ini sesat? Cuma kita hendak pesan. Hendak tahkik, jangan jadi curang akademik pula ya.

Sains Bukanlah Agama

Sindiran +SANGfikir itu tadi hanya sebagai selingan sahaja ya tuan puan sekalian. Ayat lenggok kitab sebelum ini yang berjela-jela panjang itu isinya menyuruh tuan puan sekalian supaya guna akal. Supaya faham SAINS itu apa? Supaya tidaklah hidup kita ini telan sahaja bulat-bulat kalam ahli sains sebagaimana kita telan saja bulat-bulat kalam para ustaz. Sains itu supaya kita berfikir dan menetapkan keputusan dengan kaedah yang betul dan sudah dibuktikan. Kena faham juga, dapatan sains itu sentiasa berubah dari zaman ke zaman. Jadi kena fahamlah.

Sains itu bukan agama. Sains itu juga tidak lari dari tipudaya politik para penguasa. Begitulah kalau kita faham falsafah sains. Tahu atau tidak. Sains itu hasil dari falsafah sains yang dikembangkan oleh Al-Ghazali juga. Bukan tiba-tiba muncul atas meja kita. Di sebalik sains itu ada falsafahnya. Kalau tidak faham falsafah sains, jadilah sains itu sampah; ‘pseudo-science‘, iaitu sains palsu. Sains palsu, kita hendak jadikan hujah jugakah, sebagaimana kita gemar ambil hadith palsu sebagai hujah? Sains yang lemah belum dibuktikan sepenuhya, kita hendak jadikan hujah jugakah, sebagaimana kita gemar ambil hadith lemah sebagai hujah?

Setakat ini, sudah dapat tangkap arah perbahasan lanjut kita? Kena tangkap cepatlah ya tuan puan sekalian. Kita semua inikan pengikut Assyairah AlMaturidiah yang cerdik guna akal. Takkanlah GAGAL FAHAM juga?

AMARAN: Sila Berhenti Sekarang Jika Tidak Mahu Guna Akal

Ya tuan puan sekalian. Sila berhenti baca jika tidak mahu guna akal. Sebab, kalau tidak mahu guna akal, nanti tuan puan sekalian akan anggap bahasan sains dan agama itu cuma perkara remeh-temeh. Buang masa. Baca tidak menambah iman. Tidak baca pun bukan jadi kurang iman. Kita belanja lagu dulu;

Video 12

Ya, benar. Jika tuan puan sekalian anggap remeh perihal pembohongan sains dan tidak ingin tahu bagaimana ia memporak perandakan agama yang tuan puan berpegang dengannya sekarang, sila pergi dan jangan kembali lagi ke laman sesawang ini. Turut sahajalah hidup tuan puan sekalian dengan para pemimpin, tok guru dan tok wali kesayangan tuan puan sekalian. Jadilah Pak Pandir yang bodoh tidak boleh diajar, cerdik tidak boleh berfikir. Teruskanlah hidup tuan puan sekalian diperbodohkan para politikus dan penunggang agama sekaliannya itu, yang hidupnya mahu kalian hidup pagi petang siang malam mengampu para politikus dan menyanjung para wali suci itu sekaliannya. Jika itu pendirian tuan puan sekalian, maka inilah salam perpisahan kita.

Memang ia sering dipandang remeh jika kita membicarakan perihal sains dan bahaya ‘psedo-science’ dalam urusan agama. Lain halnya kalau kita membicarakan hal politik. Ia jadi perkara paling utama seolah-olah habuan dari berpolitik itu adalah syurga yang kekal abadi selamanya.

Mengapa kita beri amaran ini? Sebab ikut pengalaman kita selama ini, jumpa 1 orang hendak bicara politik, 10 orang yang datang. Hendak jumpa 10 orang hendak berbicara perihal penipuan sains, belum tentu 1 orang sudi mendengarnya. Sebab mereka pantang kalau sains itu disentuh. Kalau sentuh urusan sains, maka ‘jadi kafirlah’ kita sebab tidak mahu ikut arus sains perdana sebagaimana kita semua dipaksa mengikuti arus agama perdana. Lalu disanjunglah para perawi sains itu seolah-olah maksum dan suci. Tidak mahu semak siapakah perawi sains itu. Tidak pernah disemak matan sains itu. Yang diambil dari sains itu adalah; asal maknanya betul, ambillah. Diambilnya ‘ilmu menapis hadis dengan cahaya’ lalu diterapkan pula jadi ‘ilmu menapis sains dengan cahaya’ juga. Kalau perlu selak tabir, selak tabir juga bertanya kepada penipu sains juga. Sucinya ahli sains itu, sucinya para saintis itu, sucinya para angkasawan itu sekaliannya seperti ‘lembu suci’ sehingga tidak boleh dibantah barang sepatah pun.

Inilah dua tempat di mana golongan yang mendakwa kuat guna akal akan ini akan meninggalkan otak mereka yang cerdas itu;

  • Hendak mencapai iman, tidak boleh pakai akal;
  • Hendak mencapai sains, tidak boleh pakai akal;

Buang saja akal. Turut saja kalam tok guru. Turut saja kalam ahli sains. Jangan guna akal. Jangan tanya, nanti tok guru marah. Jangan tanya, nanti ahli sains marah;

  • Siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya;
  • Siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah sainsnya.

Begitulah sikap kebanyakan manusia yang mengaku Aswaja+AAA itu beriman dengan akal cerdas mereka. Dakwa kuat guna akal tetapi tidak cukup cerdas untuk memperbetulkan akal. Mereka hanya ingin dengar apa yang mereka mahukan. Mereka tidak mahu dengar apa yang tidak selari dengan nafsu mereka. Mereka tidak mahu dengar sesiapa pun bantah sains, seolah-olah pembantah sains itu kufur semuanya.

Dari mana perangai seperti ini diturunkan? Kalau tonton Video 8 dan Video 9, barangkali akan ketemu jawapannya. Dapat tangkap atau tidak? Kasi fikir sikit, boleh

colorful color play concentration
Photo by Pixabay on Pexels.com

FAKTA sains, atau AUTA sains?

Jadi tuan puan masih membaca ini? Jika tuan puan sekalian masih ada di sini, maka bolehlah kita teruskan dengan huraian selanjutnya mengajak tuan puan sekalian mengambil ilmu sains dengan cara yang waras. Sebagaimana tidak hentinya kita ini mengajak tuan puan sekalian beramal agama dengan cara yang waras juga.

Ya, kena berfikir cara yang waras.

Kalau tidak waras, kita tidak akan dapat membezakan fakta atau auta. Kalau tidak waras, kita tidak akan membezakan SCIENCE atau PSEUDO-SCIENCE. Kalau tidak waras, kita tidak akan membezakan sains benar atau sains palsu.

Ya, kita akan gagal nanti. Sehingga kita mengambil sains palsu, lalu kita katakan itu sains benar. Sehingga kita mengambil PSEUDO-SCIENCE, lalu kita katakan itu SCIENCE. Sehingga kita mengambil auta, lalu kita katakan itu fakta.

Kegilaan terhadap sains ini sudah menjadi trend sejak Harun Yahya (Adnan Oktar – yang telah dipenjarakan di Turki) itu mengangkat budaya sains sebagai hujah pembuktian kebenaran agama. Lalu disambut para ulama kontemporari seluruh dunia mahu menegakkan hujah agama dengan alasan sains juga. Sehinggalah hari ini, tidak lepas manusia itu sudah ‘meyembah sains’ itu sebagai satu agama baru. Sehingga kalau kita jumpa orang yang menyanggah sains palsu pun kita akan pandang serong kepada mereka seolah-olah bodoh mereka itu tidak mahu ikut ajaran sains. Benda palsu, hendak ikut sudah kenapa? Siapa yang bodoh ini sebenarnya? Atau memang sudah biasa telan hadith palsu, maka sains palsu pun hendak telan juga? Akal mana?

Dari mana kegilaan menjadikan sains sebagai hujah kebenaran agama ini? Ia dari akal yang diguna secara berlebihan juga, dari leluhur Muktazilah juga. Orang berakal sempurna guna sains untuk manfaat kehidupan harian, untuk memajukan teknologi dan memudahkan urusan harian. Bukannya guna sains untuk membuktikan kebenaran agama ya tuan puan. Kebenaran agama tidak tertakluk kepada sains. Kebenaran agama tertakluk kepada akal yang berpandukan kepada wahyu dari Tuhan. Bukannya tertakluk kepada akal yang mendahului wahyu Tuhan. Lalu kita hendak mendakwa kita ini beriman kepada Tuhan? Beriman bagaimana caranya kalau kita ini mendahulukan akal melebihi wahyu Tuhan? Kita ini, cakap serupa bikin?

Mengapa kita kena berhati-hati dengan sains apabila hendak mensabitkan sesuatu hujah itu dengan kebenaran agama? Sebabnya begini ya tuan puan. Sebabnya, kita hari ini masih belum tahu beza sains benar dengan sains palsu. Kita ini tidak sedar kepalsuan itu dibaluti dengan kebenaran yang indah sehingga terpedaya akal  kita yang kononnya cerdas itu. Kita juga hanya sibuk ambil ilmu sains, sedangkan kita tidak faham pun falsafah di sebalik sains. Sikap seperti ini sungguh pelik. Kita diajar supaya berfalsafah bermantik berkalam bagai hendak tegakkan agama, tetapi kita tidak pernah ambil tahu supaya berfalsafah bermantik berkalam hendak menerima sains pula. Main telan begitu saja sains yang disuapkan ke dalam mulut kita. Kita ini sudah hilang akal? Atau kita ini memang sudah menjadikan budaya telan apa saja menguasai fikiran?

Kegagalan kita dalam memahami sains berpunca dari ketidakfahaman tentang falsafah sains itu sendiri. Sains itu terdiri daripada falsafah bahawa semua ilmu itu boleh didirikan berasaskan pemerhatian yang selaras dengan hakikat kejadian. Malangnya, sains yang kita faham hari ini disempitkan dengan pembuktian melalui kaedah empirikal yang boleh dianalisa secara statistikal yang koheren. Inilah inferens yang dijual oleh sebagai pembuktian sains yang diajar selama ini. Realitinya, adakah semua yang dikatakan sains pada hari ini memenuhi kriteria yang telah disempitkan sendiri oleh pejuang sains? Tidak juga!

Teori Am vs. Teori Sains

Sebab itu kita dapati, kebanyakan teori sains yang diajar kepada kita hari ini sebenarnya bukanlah teori, sebaliknya hanyalah hipothesis yang belum diuji dengan antithesis, sehingga layak perihal itu digelar thesis, yang melayakkannya dipanggil teori. Teori sains, pada dasarnya adalah hypothesis yang telah diuji berkali-kali sehingga inferens yang diperolehi tidak dapat disangkal lagi. Itulah teori sains, yang boleh dibuktikan secara empirikal, sebagaimana takrifan sains yang telah disempitkan sendiri oleh para saintis dunia hari ini. Malangnya, adakah kita sedar, yang dikatakan teori sains hari ini sebenarnya masih kekal sebagai hipothesis yang masih mentah dan belum lagi cukup teruji? Kita sedarkah perkara ini? Atau kita masih berkhayal serahkan saja urusan sains kepada para saintis sebagaimana kita serahkan urusan agama kepada agamawan?

Sedarkah kita dengan sikap yang sedemikian, kita sebenarnya mendedahkan kebodohan kita dengan menelan apa saja yang dihamburkan sebagai teori sains sedangkan hakikatnya kebanyakan teori itu layaknya digelar hipothesis saja? Sains, sebagaiman dijual oleh para saintis itu, tidaklah suci atau benar mutlak sehingga kita tanpa segan silu mengambil banyak hipothesis lalu menjaja sebagai teori kebenaran dalam menegakkan dalil agama.

Tuan puan sekalian. Kita sedar atau tidak saintis jenis apa yang gemar menjaja ‘teori’ yang tidak layak dipanggil teori sains itu sebagai ‘kebenaran’? Tahukah kita, mereka itu juga akan berlepas diri sekiranya dibuktikan ‘teori’ mereka itu salah? Sudah berapa kali dalam hidup kita ini, telah berlangsung banyak ‘teori’ baru menggantikan ‘teori’ lapuk dan ketinggalan zaman? ‘Teori’ yang tidak layak dipanggil teori sains inilah yang menghasilkan sains palsu, atau digelar pseudo-science. Malang sekali, para agamawan peminat sains itu sedar atau tidak perkara ini?

Yang kita sering dengar adalah ungkapan; serahkan urusan sains kepada ahlinya. Biasa dengar? Sebagaimana kita dengar juga; serahkan urusan agama kepada ahlinya. Biasa dengar, kan?

sky earth space working
Photo by Pixabay on Pexels.com

Biasa dengar kegilaan ini dalam kalangan ustaz yang meminati sains? Biasa kita dengar ustaz dan ulama yang bersungguh-sungguh menetapkan maksud ayat Al-Quran lalu disesuaikan dengan hipothesis sains yang masih belum teruji kebenarannya? Hipothesis, kekal sebagai hipothesis. Dalam perkembangan sains, pasti akan ada antithesis yang akan merobohkan hipothesis selagi mana ia belum benar teruji menjadi thesis. Sebab itu kita sering dapati, pengakuan oleh saintis sendiri, banyak perkara yang dikatakan sebagai teori sains telah dibuktikan salah. Bila ‘teori’ yang tidak layak dipanggil teori itu roboh, apa akan jadi dengan kegilaan agamawan yang gemar sandarkan teori sedemikian? Hendak tukar penjelasan dalil pula?Apa natijahnya?

Natijahnya adalah kita orang awam ini akan telan bulat-bulat apa yang disuapkan ke dalam minda kita. Natijahnya adalah, benar atau salah perkara kedua. Natijahnya adalah, kalau benar apa dikata, maka benarlah kita. Natijahnya adalah, kalau salah apa dikata, maka salahlah kita. Natijahnya adalah, kalau tukang suap ke longkang, maka ke longkanglah kita. Natijahnya adalah, kalau tukang suap ke laut, maka ke lautlah kita.Natijahnya adalah, kalau tukang suap ke neraka, maka ke nerakalah kita. Begitu?

Inilah masalahnya bagi kita. Diasuh supaya guna akal, supaya faham falsafah segala sesuatu, malangnya gagal guna akal. Gagal faham falsafah agama. Gagal falsafah sains juga. Sebab apa? Sebab cakap tidak serupa bikin. Akal, tiada mahu guna juga.

Tuan puan sekalian jangan salah faham. Kita tidak harapkan semua orang jadi cendekiawan agama mahupun sains. Cukuplah dalam urusan agama kita berpandukan kepada Al-Quran sebagai neraca kebenaran. Cukuplah dalam urusan sains kita berpandukan pancaindera kita menilai pemerhatian. Bukankah sains itu didirikan atas falsafah pemerhatian? Pernahkah kita uji pemerhatian kita ini dengan model ujian kebenaran? Pernah? Kalau belum pernah, sedarkah kita perihal ‘malam tidak mendahului siang dan siang tidak mendahului malam’ itu boleh diuji ke atas dua model yang berbeza mengikut pembolehubah yang berbeza, lalu tetap akan menghasilkan koheren dan inferens yang serupa? Sedarkah kita?

Pemerhatian kita, tidak lepas dari illusi yang boleh saja terhasil dari lebih dari satu model yang boleh diuji. Apabila kedua-dua model itu boleh menghasilkan fenomena yang serupa, bolehkah kita menetapkan salah satu model itu sebagai kebenaran mutlak? Atau, kita biarkan saja illusi memperdaya diri kita, semata-mata ingin bersama dengan kepercayaan majoriti penduduk dunia tentang dakwaan sains?

Sudah acapkali kita dibentangkan dengan pertukaran satu demi satu ilmu sains yang saling bercanggahan. Seperti dalam urusan agama, terdapat pelbagai mazhab dalam sains juga. Takrifan sains menurut Al-Ghazali tidaklah sama dengan takrifan sains modern yang kita pegang hari ini. Falsafah sains yang dipegang oleh para saintis juga tidaklah sama sebagaimana anggapan kita orang awam ini sekaliannya. Jika kita rajin membaca pelbagai jurnal sains, kita akan dapati terdapat banyak percanggahan ilmu sains yang tidak pernah kita sedari selama ini. Percanggahan itu, masih belum diputuskan secara mutlak. Masih dalam kajian demi kajian. Perkara yang masih dalam kajian, layakkah kita ambil sebagai pegangan mutlak?

Sebab itu, kita patut khuatir perihal kegilaan mentakwil ayat-ayat Al-Quran untuk menyesuaikan apa saja dapatan sains yang dikatakan benar pada hari ini, sedangkan dapatan itu sebenarnya masih dalam peringkat hipothesis yang masih belum dibuktikan lagi. Adakah kita masih mahu teruskan mengambil sains secara sembrono untuk menegakkan hujah kebenaran agama? 100 tahun dari sekarang, apabila kebohongan sains palsu itu terdedah semuanya, bagaimana kita hendak menegakkan hujah agama dari sains yang telah roboh itu?

Pernah fikirkan ini?

mukadimah | blogکتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • CURANG AKADEMIK? Isu Tukar BERSEMAYAM kepada ISTAWA – +SANGfikir
    Reply

    […] Tuan puan sekalian yang jujur, kita hendak bertanya; patutkah bagi orang lain menukar perkataan kita tanpa sebarang izin dari kita? Kalau tuan puan sekalian jawab patut, kita tidak mahu tanya selain daripada ini; Akal mana? […]

  • KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu – +SANGfikir
    Reply

    […] ini, eloklah tuan puan berjinak-jinak dengan tulisan berjela-jela yang belum cukup masak dalam EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tidak Serupa Bikin? Biarlah termuntah hendak membacanya, biarlah pening hendak hadam isinya. Memang sudah kita ini […]

  • PLANET, Bintang & Bintang Rayau – +SANGfikir
    Reply

    […] mana? Pernah kita guna akal untuk menimbang semua […]

  • ‘Perang Ustaz’: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?+SANGfikir
    Reply

    […] EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tak Serupa Bikin? […]

  • MAULIDUR RASUL: Sendiri Buat Sendiri Tanggung – +SANGfikir
    Reply

    […] Masih mahu teruskan amalan tiada asal dari Nabi? Jadi, asalnya dari mana? Asal dari cerita raja. Mahu teruskan atau mahu berhenti, faktanya tetap sama; Maulidur Rasul itu tiada asal dari Sunnah Nabi. Melainkan jika kalau kita ini memang kaki qiyas tidak ikut konteks. SENDIRI BUAT, SENDIRI TANGGUNG. […]

  • KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu +SANGfikir
    Reply

    […] Kalau gagal juga, mengapa menyusahkan diri? Kembali sajalah kepada Al-Quran dan sunnah Nabi. Ia adalah jalan yang pasti menuju kebenaran. Jalan senang ada, kenapa hendak pilih jalan sukar? Akal mana? […]

  • PRU15: Keputusan dan Analisa Pilihanraya Umum Ke-15 – Siri 2
    Reply

    […] Sebab tidak mahu guna akal, maka sampai ke tua bangkalah nanti kita kena perdaya sampai masuk kubur. Sudahlah dalam bab agama pun kita kena perdaya. Dalam bab sains pun diperdaya juga. Dalam bab politik kegemaran kita membawang pun, mahu kena tipu hidup-hidup jugakah? Itu kita pesan. Otak belum masuk kubur, pakai elok-elok. Sudah masuk kubur nanti, baru hendak dengar talkin soal jawab dalam kubur, apa gunanya? […]

  • Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (3) – +SANGfikir
    Reply

    […] Kita tidak pasti apa pendirian tuan puan sekalian. Hendak ikut kalam ustaz Aswaja+AAA, hendak ikut puak ‘Asamjawa’, hendak ikut kalam ustaz Salafi atau hendak ikut golongan yang dicemuh sebagai Wahabi. Tetapi kita sudah jelaskan berkali-kali; GUNA AKAL DENGAN WARAS. […]

  • ‘Perang Ustaz’: Analisa Orang Awam Terhadap Wahabi vs Aswaja
    Reply

    […] Kalau tuan puan peduli sangat gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah aka ASWAJA atau ASWAJA+++ versi Nusantara itu, ambil sajalah gelaran itu masuk dalam almari. Gelaran ASWAJA mahupun ASWAJA+++ mahupun AsamJawa itu tidak bawa masuk kubur ya tuan puan. Sila semak soalan bocor dalam kubur ya! […]

  • ORANG AWAM Keliru: Cerdik ATAU Bodoh? – +SANGfikir
    Reply

    […] – Faham ATAU Gagal Faham? […]

  • Al-Quran Terbiar, Sunnah Ditinggalkan & Imam Diagungkan – +SANGfikir
    Reply

    […] faham macam mana kalau sudah diajar soalan bocor “Al-Quran Imami” (Al-Quran adalah pemimpinku) tapi hidup kita masih juga berpaut setiap saat dan ketika kepada pak lebai dan pak imam untuk […]

  • Bidang Pengelihatan: Percaya Diri /Cakap Orang? – +SANGfikir
    Reply

    […] tuan puan dengan sepenuh jiwa dan raga beriman kepada sains seolah-olah sains itu agama baru? Tuan puan tahukah beza sains dengan ‘pseudo science’? Tuan […]

Leave a Reply

Discover more from +SANGfikir

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading