Tuan puan sekalian. Baru-baru ini kita diberi kesempatan untuk menonton video ceramah berkenaan makrifatullah. Dalam bahasa mudahnya, kenal hakikat diri, belajar arif tentang Tuhan, atau kita panggil ilmu makrifat. Tuan puan boleh tonton dari mula sampai habis video yang dikongsikan oleh sebuah keluarga di Shah Alam, yang menjemput Ustaz Wan Hizam untuk memberikan tazkirah lebih 2 jam;
Video 1
Kalau tuan puan dapat tangkap, nampak ustaz marah betul dengan orang yang mengatakan bahawa amalan sebahagian orang kita basuh beras atau sayur sambil berselawat itu adalah bid’ah. Ini kita musykil jugalah. Perkara Nabi tidak ajar, sahabat tidak amal, kalau kita buat itu kita bid’ah ya tuan puan. Jangan tidak mengaku pula. Cuma, kalau tuan puan nak kata bid’ah hasanah, itu terpulanglah kefahaman tuan puan. Cuma, jangan tidak mengaku buat bid’ah pula. Tidak perlulah kita yang dengar ini hendak ikut sama melenting. Memang bid’ah pun kan? Sentap sudah kenapa?
Itu hanya sebahagian picisan video sebagai selingan ya tuan puan. Yang kita hendak kupas adalah apa yang tuan puan pelajari dari ‘kuliah’ ustaz?
Jika tuan puan tonton selama 2 jam 45 minit, kita percaya tuan puan akan sedar. Selama ini kita beramal cara syariat yang kita belajar, kita sedar atau tidak amal perbuatan kita itu? Kita tahu atau tidak hakikat amal kita itu. Yang lebih utama, kita kenal atau tidak Tuhan kita? Kita arif atau tidak siapa Tuhan kita. Arif berkenaan Tuhan yang ustaz terangkan juga dikenal sebagai ilmu makrifat.
Itulah serba ringkas; syariat, hakikat dan makrifat.
Kalau kita baca ulasan tukang bancuh ruangan komen di laman YouTube video tersebut, kita dapati rata-rata menganggap perkongsian ustaz adalah sangat bagus. Ini benar. Terutama jika tuan puan sudah letih tengok ‘perang ustaz‘ berhubung beza pandangan syariat (khususnya urusan ibadat dan akidah) dalam YouTube antara kalangan yang digelar Wahabi dengan kalangan yang mendakwa diri Ahlul Sunnah Waljamaah. Maka, ceramah dengan pendekatan sembang Ustaz Wan Hizam itu memberi kita alternatif untuk melihat amalan dan pegangan kita dari perspektif hakikat dan makrifat pula.
Sembang Ustaz: Kenal Diri, Kenal Tuhan?
Ya tuan puan. Kita kata sembang sebab memang format kuliah ustaz itu berbentuk sembang dengan jemaah. Inilah kelebihan majlis ilmu hakikat dan makrifat, khususnya pada peringkat pengenalan. Sesi ilmu adalah secara soal jawab dua hala, biarpun kebanyakan masa sang ustaz yang lebih banyak melontarkan persoalan dan menjawab kemusykilan jemaah. Kaedah seperti ini jarang kita dapati dalam majlis ilmu syariat. Biasanya kita akan dengar dari mula sampai habis, kemudian barulah dibuka kepada sesi soal jawab.
Dalam Video 1 di atas, kita akan faham bahawa seolah-olah segala amalan kita mengikut syariat selama ini adalah kulit, bukannya isi. Seolah-olah kita tidak tahu apa-apa pun hakikat amal ibadat kita selama ini. Sebab apa? Sebab, kalau kita tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan, bagaimana mungkin kita dapat mengabdikan diri kepada Allah yang menciptakan kita? Jadi, secara umumya, apa yang ustaz sembang dengan jemaah yang mendengar itu adalah sangat bermanfaat untuk kita bermuhasabah diri. Bahkan hakikat taubat yang ustaz ceritakan itu juga adalah selaras dengan apa yang kita biasa dengar kupasan Imam Al-Ghazali. Jadi persoalan yang berulang-ulang kepada jemaah itu adalah baik supaya kita menilai kembali apa yang telah kita perbuat dalam amalan kita selama ini.
Yang mungkin sukar untuk kita faham adalah hakikat diri kita sebagai insan. Yang mungkin sukar kita faham dari sembang ustaz adalah, macam mana hendak kenal Tuhan? Yalah. Dari mula sampai habis hampir 2 jam 43 minit 9 saat itu, masih belum jelas lagi siapakah Tuhan, selain daripada ulangan persoalan; Kenal Tuhan atau tidak? Itu saja. Kemudian setelah tuan puan dengar keseluruhan video itu, cuba bertanya kepada diri. Sudahkan tuan puan kenal diri? Apa yang tuan puan pelajari dari majlis ilmu tersebut?
Cuba tuan puan jawab dengan jujur.
Beginilah tuan puan ya. Kita nak bawa tuan puan fikir beberapa perkara yang dapat kita nukil dari perkongsian Video 1 tadi;
- Benarkah Allah ciptakan segala sesuatu itu sebab kita ini; MANUSIA?; “Allah cipta semua benda ini sebab hang!”
- Kita berselawat ke atas Nabi Muhammad Shallalahu ‘Alaihiwasalam itu, adakah hakikatnya kita berselawat kepada diri kita? Atas pertanyaan; “Akak berselawat kepada Muhammad yang di Madinah itu atau yang ada dalam diri akak tu?”
Soalan pertama tadi membawa kefahaman kita ke mana ya tuan puan? Adakah ia bermaksud hakikat bahawa segala alam semesta ini dicipta sebab kita sebagai khalifah di muka bumi ini? Itukah yang tuan faham? Apa maksud kefahaman sebegini? Adakah ini yang Allah ajar kepada kita dalam Al-Quran? Adakah ini yang Nabi ajar kepada kita jika kita baca hadith Nabi? Fikir-fikirkanlah.
Soalan kedua pula itu hendak membawa kita kepada kefahaman apa? Adakah hendak kata selama ini kita berselawat setakat faham kulit saja? Tidak faham isi selawat itu? Ke mana hendak dibawa konsep selawat itu? Yang biasa kita dengar dari hadith yang disandarkan kepada Nabi, kita faham fadhilat selawat setakat dijelaskan dalam hadith. Dari mana datangnya kefahaman kita berselawat (kepada Muhammad) yang berada dalam diri kita? Kita hendak faham segala benda dalam alam semesta ini dijadikan sebab ‘Muhammad’ itukah? Atau kita sepatutnya faham secara mudah bahawa Nabi Muhammad Shallahu ‘Alaihi Wasalam itu adalah rahmat kepada sekalian alam. Dan berhenti setakat kefahaman itu?
Kenal Diri Kenal Tuhan?
Jadi tuan puan. Setelah habis dengar sembang ustaz itu, kita hendak tanya lagi; Sudah kenal diri? Sudah kenal Tuhan?
Tuan puan cuba nilai elok-elok. Cuma kita hendak pesan. Dalam kalangan masyarakat kita memang sudah tersohor adanya ajaran melampau atas riwayat ‘awalludin makrifatullah’ sehingga tersebar buku Hakikat Insan Mengenal Diri Mengenal Tuhan. Buku ini memang popular di kalangan puak-puak yang hendak mengenal ilmu hakikat dan makrifat ya tuan puan. Itu belum lagi macam-macam buku sempadan yang kita turut kongsikan sebahagiannya dalam کتاب | BOOK | buku. Tuan puan boleh nilai sendiri ya. Cuma sebelum tuan puan terfikir hendak baca buku-buku seumpama Hakikat Insan Mengenal Diri Mengenal Tuhan, atau menyerah kepercayaan tuan puan kepada mereka yang bergelar mursyid tarikat, elok hadam dahulu pesanan Dr. Jahid Sidek dalam Video 2 ini;
Video 2
Hendak Kenal Siapa?
Ada sebabnya mengapa kita kongsikan Video 2 di atas. Harap-harap tuan puan sudah hadam pesanan Ustaz Dr. Jahid.
Kembali kepada sembang Ustaz Wan Hizam. Setelah kita dengar berulang-ulang persoalan kenal diri, kenal Tuhan dalam Video 1 tadi, kita pun masih belum dapat jawapan tuntas dari sang ustaz. Tapi kalau tuan puan teliti, masuk masuk minit 1:51:28 sudah jadi kes berat. Betul ustaz sebut roh itu adalah urusan Tuhan. Tetapi apabila masuk persoalan roh lebih terperinci sebagai akal, nafs, qalb dan fuad, kemudian masuk pula persoalan tentang ‘Muhammad’; bentuk muhaddat, luar atau dalam dan ungkapan ‘Muhammad itu qadim‘, kita agak musykil jugalah.
Jadi kita musykil juga. Hendak kenal diri? Hendak kenal Tuhan? Atau hendak kenal Muhammad? Kita hendak ajak manusia kenal Tuhan, atau hendak ajar manusia kenal Nur Muhammad? Kita hendak kenal siapa? Tuan puan fikirlah sendiri ya. Kalau kita hendak kenal diri, hendak kenal Tuhan, rupa-rupanya di bawa pemikiran kita kepada kenal Nur Muhammad, itukah makam makrifat yang kita hendak capai? Fikir-fikirkanlah.
Video Terpotong?
Kemudian, secara tiba-tiba kelihatan seperti video terpotong, lalu sambung bab perumpamaan mimpi. Kita tidak pasti sebab apa video terpotong. Tetapi zahirnya begitulah. Jadi kita musykil, adakah semasa minit terpotong itu ustaz ada terangkan lebih terperinci perihal ‘Muhammad itu qadim’ atau barangkali terpotong sebab masalah teknikal mikrofon dan sebagainya. Itu kita kurang pasti ya tuan puan.
Yang kita pasti, kefahaman sebelum dan selepas video terpotong berkenaan hakikat Muhammad itu kita tidak jumpa masa di sekolah. Tetapi kalau tuan puan jenis baca kitab, memang akan jumpa dalam kitab-kitab karangan ulama tersohor. Hakikat Muhammadiyah itu akhirnya akan membawa kepada kefahaman Nur Muhammad. Kefahaman ini pula datang dari beberapa hadith yang mana para ulama hadith sejak berabad lamanya menjelaskan; SEMUA HADITH NUR MUHAMMAD ADALAH HADITH PALSU.
Video 3
Maklumat Hadith Palsu
أَوَّلُ ما خَلَقَ اللهُ نُور نبيِّكَ يا جابِرُ
“Makhluk yang pertama kali diciptakan adalah cahaya Nabi-mu, wahai Jabir!”
Hadits ini sangat masyhur di kalangan ahli khurafat dan ahli tashawwuf, yang seringkali mengucapkan sanjungan-sanjungan berlebihan kepada Nabi. TIDAK ADA ASALNYA. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menegaskan bahwa hadits ini adalah dusta berdasarkan kesepakatan Ahli Hadits. Demikian juga ditegaskan oleh Syaikh Sulaiman bin Sahman. As-Suyuthy juga menegaskan bahwa hadits ini tidak ada sanadnya. Demikian juga Jamaluddin Al-Qasimy dan Muhammad Rasyid Ridha, keduanya menegaskan bahwa hadits ini tidak ada asalnya.
Imam al-Hakim meriwayatkan dalam al-Mustadrak meriwayatkan bahawa:
أَوْحَى اللَّهُ إِلَى عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ يَا عِيسَى آمِنْ بِمُحَمَّدٍ وَأْمُرْ مَنْ أَدْرَكَهُ مِنْ أُمَّتِكَ أَنْ يُؤْمِنُوا بِهِ فَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُ آدَمَ وَلَوْلَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُ الْجَنَّةَ وَلَا النَّارَ وَلَقَدْ خَلَقْتُ الْعَرْشَ عَلَى الْمَاءِ فَاضْطَرَبَ فَكَتَبْتُ عَلَيْهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولٌ اللَّهِ فَسَكَنَ
Allah mewahyukan Isa AS, wahai Isa berimanlah kepada Muhammad dan perintahkan kepada sesiapa yang sempat bersamanya (Muhammad) daripada kalangan umatmu untuk beriman kepadanya (Muhammad). Kalau tidak kerana Muhammad tidak akan Aku ciptakan Adam AS dan kalau tidak kerana Muhammad tidak akan Aku ciptakan syurga dan neraka. Sesungguhnya Aku ciptakan Arasy ke atas air lalu dibolak balikkan kemudian Aku menulis ke atasnya tiada tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah lalu kekal ia.
Imam al-Hakim menyebutkan hadis ini sanadnya adalah sahih. Walaupun begitu, Imam al-Zahabi tidak bersetuju dengannya dan menyebutkan bahawa HADITH INI PALSU ke atas Saʻid. Saʻid yang dimaksudkan adalah Saʻid bin Abi ʻArubah (salah seorang perawi dalam sanad hadis di atas) – rujuk IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 540: STATUS HADIS PENCIPTAAN ALAM SEMESTA DISEBABKAN NABI MUHAMMAD SAW
Ada banyak lagi cerita pelik-pelik yang tuan puan boleh dengar atau baca kalau rajin menelaah kitab-kitab karangan ulama dahulu kala. Semua hadith pelik-pelik ini tiada sanad, atau jika ada, matannya bertentangan dengan zahir hadith sahih dan Al-Quran. Ada yang cukup sanad, tetapi ada masalah besar dari segi perawi dan periwayatan, maka hadith sedemikian juga dihimpunkan sebagai hadith palsu oleh ahli hadith ya tuan puan. Sebab itu, usahlah kita orang awam yang tiada ilmu hadith yang mendalam main telan saja semua hadith yang datang kepada kita. Semak dahulu.
Jika tuan puan ada kesempatan, sila dengar penjelasan Maulana Asri berkenaan Nur Muhammad dalam artikel MENYINGKAP RAHSIA DI SEBALIK KEJADIAN NUR MUHAMMAD. Kita kongsikan petikan video untuk tuan puan nilai;
Video 4
Di akhir artikel yang kita kongsikan tadi, tuan puan boleh ke pautan dua lagi video penjelasan sang ustaz dalam majlis yang lain; 1j 45m 2s dan 1j 49m 39s. Kita sarankan tuan puan dengarlah dengan teliti dan buatlah keputusan yang matang dan bijak dalam menentukan pegangan akidah tuan puan sekalian.
Semak Hadith
Jadi tuan puan, kita hendak ingatkan sekali lagi; semaklah hadith dengan merujuk kepada pakar hadith. Elok tuan puan dengar petikan ringkas Ustaz Dr. Rozaimi Ramle berkenaan golongan yang cuba meneutralkan hadith palsu;
Video 5
Kita kena sedarlah tuan puan. Kita sekarang hidup dalam zaman teknologi maklumat. Kita tidak lagi boleh hidup macam 30 atau 50 tahun lepas yang mana kita boleh berlepas diri atas alasan tidak tahu status hadith. Hidup kita sekarang ini, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada SEORANG ustaz hendak memahami agama. Kita tidak boleh mengharap jabatan agama untuk menjaga agama Islam ini. Pihak yang berkenaan usah sentap pula jika orang awam nanti tidak mengendahkan fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan agama ya. Sebab kita orang awam ‘sudah serik’ bila dapat tahu pihak yang sepatutnya memelihara kemurnian agama kelihatan tidak ambil berat perihal hadith palsu yang bergentayangan dalam masyarakat.
Jadi, dalam urusan yang tidak melibatkan hal perundangan syariah, nampaknya lebih elok kita dengar dari RAMAI ustaz yang berbeza pandangan untuk memahami agama. Supaya kita boleh ambil pandangan yang lebih tepat. Supaya akhirnya kita kembali kepada Al-Quran. Ketahuilah Al-Quran itu adalah pembeza kebenaran dan kebatilan.
Beginilah tuan puan. Tuan puan hendak ikut kalam ustaz dipersilakan. Tuan puan hendak ikut kalam ulama dipersilakan. Tuan puan hendak telan semua fatwa yang berbeza-beza dari 13 mufti dalam isu yang serupa ya dipersilakan. Tetapi kalau tuan puan tidak mahu ikut kalam Allah dalam Al-Quran, tidak mahu ikut kalam Nabi dalam hadith sahih, maka terpulanglah tuan puan hendak menjawab nanti di Padang Mahsyar.
Kita sekadar mengingatkan sesama saudara seagama; Kefahaman Nur Muhammad sebagaimana sebahagian dari para ustaz terangkan kepada awam itu, tiada sandaran jelas kepada Al-Quran dan juga sunnah Nabi kita. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasalam tidak ajar para sahabat perihal seperti ini. Sahabat juga tidak ajar sahabat selepasnya perihal seperti ini. Imam mazhab yang empat juga tidak ajar kita perkara tiada asal seperti ini. Maka, tuan puan timbangkanlah perkara seperti ini ya.
Martabat Tujuh
Kita agak bersimpati kepada keluarga yang menjemput Ustaz Wan Hizam sampaikan sembang pasal agama itu. Niat mereka baik barangkali; hendak dalami ilmu hakikat, hendak ketahui ilmu makrifat. Mujur ustaz berhenti setakat lapisan 1 , 2 dan 3 sahaja ilmu Martabat Tujuh. Kalau kuliah itu sambung sampai ke subuh, barangkali ahli keluarga yang mendengar itu sempat ke perbahasan lapisan 4, 5, 6 dan 7 ajaran Martabat Tujuh.
Barangkali ya tuan puan. Sebab kalau kita mengkaji perkara seperti ini, kita akan dapati kebanyakan bahasan kenal diri dan kenal Tuhan ini akhirnya akan membawa kepada kefahaman Nur Muhammad. Lebih parah sehingga membawa kita kepada kefahaman wahdatul wujud. Bab ini kena berhati-hati.
Tidak semua faham wahdatul wujud itu batil. Arif dengan cara yang luhur boleh kira lagi. Kalau arif wahdatul wujud sampai tidak tahu beza kedudukan Sang Maha Pencipta dengan kedudukan makhluk yang dicipta (termasuklah manusia), itu sudah kes berat. Sebab itu Allah telah beri amaran, Nabi sudah pesan; JANGAN MELAMPAUI BATAS. Maksudnya, usah persulitkan kefahaman yang sepatutnya mudah kita hendak faham kalau hadam Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Beginilah kita hendak pesan sesama orang awam. Baik istilah wahdatul wujud mahupun wahdatus syuhud, semua ini kita tidak jumpa dalam Al-Quran ya tuan puan. Maka eloklah tuan puan fikirlah dengan akal yang waras. Apa tujuan tuan puan hidup beragama kalau pegangan dan akidah kita ini berdiri atas perkara yang samar-samar dan tiada asal dari kalam Allah yang menciptakan diri kita semua ini?
Fikir-fikirkanlah.
Beginilah kita hendak pesan. Kita belajar ilmu biar dengar semua manhaj, semua pendapat dari pelbagai sumber. Apa pun ilmu yang kita pelajari, turaslah segala ilmu dengan semak dan baca ALQURAN DENGAN TAHU MAKSUD AL-QURAN SECARA BERULANG-ULANG. InsyaAllah nanti kita akan tahu mana yang haq, mana yang batil. Ilmu yang HAQ kita amal, yang BATIL kita tinggal.
Perbahasan Ilmu Martabat Tujuh
Terlanjur berbicara tentang Martabat Tujuh ini tuan puan, elok tuan puan dengar dengan teliti video di bawah ini;
Video 6
Kita nasihatkan tuan puan dengar dari mula sampai habis. Dengar dengan teliti. Kenapa begitu? Sebab kalau tuan puan dengar dengan teliti, tuan puan akan ketahui nanti bahawa perbahasan kenal diri kenal Tuhan yang biasa kita dengar seperti dalam Video 1 tadi itu akhirnya akan membawa kita kepada jurang kebinasaan dalam aqidah. Kita tidak kata semua. Tetapi secara zahirnya begitulah hala tuju akhirnya. Kita akan sedar akhirnya Martabat Tujuh itu membawa kita kepada kefahaman yang serupa dengan kefahaman golongan Nasrani dan golongan musyrikin yang menyembah berhala. Maka berhati-hatilah ya tuan puan sekalian.
Yang paling utama perlu tuan puan ketahui adalah ini. Tidak semua ilmu yang dikongsikan oleh para ulama kita itu benar secara mutlak. Begitu juga tidak semua ilmu yang dikongsikan oleh para ustaz kita itu pula salah secara mutlak. Kita tidak akan mengetahuinya dengan pasti ya tuan puan. Sebab itu kita kena faham betul-betul menjadi seorang Islam; berserah diri kepada Tuhan. Kalau tuan puan jenis mengkaji kitab dah syarahan para ulama dan ustaz, tuan puan akan dapati terdapat pelbagai perbezaan pandangan, termasuklah perihal Nur Muhammad dan Martabat Tujuh.
Tuan puan kena pilih jalan yang lebih tepat, berdasarkan kefahaman dan maklumat yang ada di tangan tuan puan. Jangan ikut-ikutan saja, kelak nanti boleh binasa. Ingatlah bahawa di Padang Mahsyar kelak, kita semua akan dipertanggungjawabkan atas segala amalan kita, segala pegangan kita menurut apa yang kita faham, berdasarkan maklumat yang sampai kepada kita.
Tiada ulama yang akan jadi pembela kita. Tiada ustaz yang akan menjadi pembela kita di mahkamah Allah kelak. Kemudian, tanyalah kepada diri. Bagaimana kita hendak mengharap syafaat Nabi kalau semasa di dunia ini kita tidak pernah hendak ikut sunnah Nabi, kita tidak pernah mahu ambil tahu mana satu hadith sahih, mana satu hadith palsu? Layakkah kita hendak dapat syafaat Nabi jika sepanjang kita hidup ini kita biarkan saja hadith palsu tersebar dalam kalangan masyarakat? Kita tidak rasa apa-apakah mendengar cerita orang-orang yang berdusta atas nama Nabi? Fikir-fikirkanlah.
Kita tidak boleh bersikap sambil lewa. Orang putih kata; IGNORANCE. Berdoalah kepada Allah supaya kita dijauhi dari beramal dengan ilmu yang batil.
ALLAH MAHA MENGETAHUI SEGALA SESUATU.
Comments
[…] mulut sesama ustaz. Yang ruginya siapa? Orang awam akan mula menjauhi perbalahan seperti ini. Mereka akan mula mencari-cari ketenangan ilmu hakikat sampai tersandung makrifat. Bukankah ini lebih bahaya dari segi […]
[…] Itu belum kira betapa tebalnya pegangan Nur Muhammad dalam kalangan mereka yang mendakwa sebagai ahli makrifat. Itulah sebab kita ajak tuan puan teliti […]
[…] jauh lebih menyeleweng daripada ini? Kalau belum pernah dengar, cuba baca terbitan sebelum ini; Makrifatullah – Hakikat, Makrifat dan Martabat Tujuh. Barangkali tuan puan akan faham maksud kita […]
[…] Siapakah puak ‘asamjawa’ ini? […]
[…] Makrifatullah – Hakikat, Makrifat dan Martabat Tujuh; […]
You must log in to post a comment.