Tuan puan sekalian. Inilah adalah sambungan kisah perang sebelum ini; โPerang Ustazโ: Aswaja+AAA vs. Puak Tidak Mengaku Wahabi dan โPerang Ustazโ: Bila Masa Aku Jadi Wahabi? Perang mulut saja ya. Bukan perang dunia ketiga. Kita orang awam kena ikutilah cerita perang ini. Ikut bukan suruh taksub. Ikut bukan suruh kafir mengkafirkan orang lain ya. Ikut ini supaya kita boleh ambil pelajaran agar kita ini nanti boleh KELUAR KEPOMPONG: Bebaskan Dirimu Dari Dibelenggu.
Elok kita kongsikan pengesahan melalui media sosial Ahlul Sunnah Waljamaah Research Group (ARG) di bawah ini;
Nampaknya sudah setujulah itu. Jawapan bocor pun sudah diberi. “Wahabiah adalah aliran sesat, bukan ASWJ“. Sesat tang mana? Sesat ikut takrif ARG jugalah, kan. Takrif ikut mana? Takrif ikut ulama jugalah, kan? Ulama mana? Ulama pilihan hati jugalah kan? Takkanlah nak bentang kalam ulama yang kata Wahabi tidak sesat, kan? Jadi, dialog itu nanti, elok juga kita dengar sekali lagi, biarpun kita sudah dengar berkali-kali takrif Wahabi ikut sedap mulut sebelum ini.
Manalah tahu, ada hujah baru yang kita belum pernah dengar, kan? Manalah tahu, nanti kita dapat dengar 100 dalil mengapa Wahabiyah itu sesat? Sebab, katanya 45 minit tak cukup, 1 jam pun tak cukup, kena 1 jam 15 minit baru cukup. Tak tahulah berapa ratus slides hendak tunjuk! Ilmu baru, kena dengar jugalah. Hendak telan, semak dahulu. Jangan semak dengan puak yang digelar Wahabi itu. Nanti tidak ke mana. Semaklah dengan fakta Al-Quran. Semaklah dengan hadith sahih. Cuma kena ingatlah; jangan guna kaedah takwil atau qiyas cara salah pula. Jangan semak dengan hadith palsu pula. Perangai suka benda palsu itu, kita hendak ikut sudah kenapa? Faham, atau GAGAL FAHAM maksud kita ini?
Kita tidak tahulah isi kandungan surat menyurat rasmi antara kedua-dua belah pihak yang hendak ‘berperang’ itu. Zahirnya, jika tiada aral melintang, dialog WAHABIAH; ALIRAN SESAT ATAU ALIRAN AHLU SUNNAH WALJAMAAH? itu dijangka akan berlangsung pada satu tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak KUIP, sebagaimana diwar-warkan oleh Dr. Rozaimi dalam media sosialnya juga;
Jadi tuan puan bolehlah ke laman Facebook untuk melihat asal usul ‘perang ustaz’ itu ya. Boleh juga baca komen-komen para pengikut yang lebih sudu dari kuah. Ini yang jenis taksub ya. Tidak dapat kita hendak tolong. Kita baca pun sudah tahu. Mana satu jenis mengaji kitab, mana satu jenis main telan saja cakap ustaz. Jenis malas berfikir ini yang paling ramai. Ikut sedap mulut saja. Tapi hendak kata apa? Komen masing-masing, kan?
Orang kalau mengaji kitab pelbagai fikrah, tenang sajalah. Kita faham. Sebab, sudah rujuk kedua-dua hujah lebih awal. Pusing tang mana pun, hujah serupa juga akan diguna pakai. Tidak perlu tunggu dialog pun, kita sudah tahu. Masing-masing ada sisi benar, ada pula sisi melampau. Mana-mana puak pun, adalah nanti terlajak pandai. Tok guru ajar lain, dia faham lain. Dia tidak faham, patut diam saja. Bukan tunjuk pandai, tapi tak nampak pandai pun, kan?
Bercakap pasal mengaji kitab pelbagai fikrah ini, eloklah kita selitkan pesanan. Mengaji beribu-ribu kitab pun, kalau tidak tahu menuras ilmu dengan akal berpandukan Al-Quran tiada gunanya. Sebab, kitab yang ditulis oleh para ulama itu, karangan manusia juga. Kena fahamlah, manusia ada salah dan silap juga. Pandangan manusia, tiada yang mutlak benar belaka. Kalau guna akal semata-mata, senang saja kita diperdaya oleh nafsu untuk memilih pandangan yang kita suka.
Hendak pilih pandangan ulama, bukan ikut apa kita suka. Kena ikut apa Allah redho. Jauhi apa Allah larang. Kena ikut apa Nabi redho. Jauhi apa Nabi larang. Sebab itulah kena baca juga hadith. Kalau jadi kaki tolak hadith sahih, silap haribulan, jadi puak Liberal pula. Faham Al-Quran tak ikut konteks. Walhasil balik asal, jadi macam golongan melampau beragama petik ayat Al-Quran di luar konteks. Beratlah kes macam ini. Mana tak berat? Hadith palsu pun ditelan semuanya!

Kemenangan atau Kebenaran?
Dialog WAHABIAH; ALIRAN SESAT ATAU ALIRAN AHLU SUNNAH WALJAMAAH? ini dijangka akan berlangsung tahun depan ya tuan puan; 11 Februari 2023. Lambat lagi. Jadi, tenang-tenang dahulu. Usah teruja sangat. Dialog saja pun. Bukan pertandingan debat siapa menang akan dapat piala. Hendak bangga sangat menang sudah kenapa?
Sebab apa? Sebab kita pernah pesan dahulu dalam terbitan sebelum ini;
Kalau ada di kalangan tuan puan mahu ambil semua pangkat dan gelaran Aswaja, Aswaja+AAA, Salafi, Wahabi, Sufi Batini, Syiah malah pelbagai gelaran lagi, silakanlah. Sebab apa tuan puan? Sebab, kalau kita faham kalam Allah, cukup bagi kita ini ikut jalan Allah. Kalau kita faham sabda Nabi, cukup bagi kita ini menisbahkan diri sebagai Al-Jamaah (perkumpulan di jalan Nabi Muhammad SAW dan para Khulafaโ Ar-Rashidin dan pengikut yang benar-benar mengikuti jalan para sahabat Nabi) biarpun cuma seorang dua di dalamnya. Bilangan sedikit, asal ikut jalan Allah, ikut jalan Nabi, maka itu sudah memadai. Yang penting, bagi kita, semua orang Islam adalah saudara kita. Hendak gaduh sangat sudah kenapa?
Kalau tuan puan hendak sangat ambil gelaran pelbagai itu, silakanlah. Ambillah sekali Gunung Ledang, Gunung Lambak, Gunung Kinabalu, Gunung Jerai itu sekaliannya sebagai tanda kemenangan tuan puan sekalian mendapat gelaran yang diidamkan itu. Ambillah segala habuan dunia gunung ganang itu sampai ke benua Afrika dan Amerika dan segala isi bumi sekaliannya kalau hendak sangat berebut gelaran Ahlul Sunnah Waljamaah yang tidak pernah disebut oleh Nabi itu. Ambillah jika itu gelaran yang kalian mahukan atas dunia ini. Seolah-olah gelaran itu laku keras di Padang Mahsyar nanti. Ambillah ya. Macam kita cakap tadi. Kita tidak mahu gaduh. Kita ikut saja jawapan bocor atas kubur; Al-Muslimun Wal-Muslimat Ikhwani. Muslimin dan Muslimah saudaraku.
Sebab kita kata tuan puan sekalian itu yang mengucap dua kalimah syahadah itulah kita terima tuan puan sebagai saudara kita. Sebab tuan puan sekalian itu saudara kitalah, maka membiarkan jari jemari kita bengkak untuk menulis, membuat teguran secara terbuka kepada saudara seagama kita, biarpun tidak diminta. Niat kita, hendak sentap akal tuan puan sekalian. Supaya sedar diri. Supaya mahu guna akal dalam urusan agama. Kalau tidak mahu sentap juga, tidak mahu sedar juga, tidak mahu guna akal juga, apa yang kita boleh buat?
Kita hanya mampu berdoa kepada Allah agar seluruh manusia yang mengaku diri mereka itu Islam, agar berakidah, beramal dengan cara yang benar Islam. Bukan dengan cara tradisi yang belum tentu betul. Bukan dengan cara budaya yang belum tentu betul. Bukan dengan cara tidak tahu beza agama, tradisi dan budaya. Faham? Atau masih GAGAL FAHAM juga? Kalau tidak faham juga, eloklah kita kongsi gambar …
EDISI SENTAP: Akal Mana? Cakap Tak Serupa Bikin?

Benar. Kita orang awam ini bukan hendak tahu siapa yang menang. Kita cuma berminat untuk menilai kebenaran. Kita tidaklah begitu dungu seperti anggapan sesetengah Pak Lebai bahawa orang awam itu kerjanya telan saja apa tok guru cakap. Kalau telan saja macam itu, macam mana kita hendak nilai hujah kedua-dua belah panel yang pastinya mempunyai fikrah yang bertentangan itu? Nak jawab macam mana?
Jadi, kepada para penyokong kedua-dua belah pihak itu, gunalah akal dengan waras supaya dapat menilai dengan adil. Kita lihat sahajalah nanti siapa yang berikan hujah dengan dalil yang mantap, siapa pula yang asyik beri hujah dengan dalih yang ke laut. Kepada golongan pentaksub ustaz yang gemar ulang tayang ayat penglipur lara tanpa guna akal, eloklah kita pesan. Sudah cermin diri? Kalau sudah, silap haribulan, ‘kita semua Wahabi’!
Macam mana tuan puan? Kalian itu Wahabi atau tidak? Mengaku, atau tidak?
Itu cuma selingan sahaja. Sementara tunggu 11 Februari 2023. Kita juga sudah mendapat maklum balas Dr. Rozaimi, bahawa pihak penganjur bersetuju untuk memberikan masa 1 jam 15 minit kepada panel pendebat. Maka bergembiralah kita orang awam. ARG ada cukup masa hendak bentang slides yang berjilid-jilid itu.
Maka akan bergembiralah juga nanti kita orang awam semua, sekiranya dapat diadakan dialog itu di luar negeri Perlis. Elok jugalah kalau dialog itu diadakan stadium yang boleh muatkan berpuluh ribu orang. Elok juga kalau RTM, TV3, Astro buat siaran langsung. Masalah besar satu negara ini patut kita sebarkan kepada seluruh orang awam. Maklumlah kan, Wahabi ini bahaya, kan?
Orang awam seperti kita yang jahil, bodoh dan dungu ini juga berdebar hendak tahu siapa Ustaz ARG(1) dan Ustaz ARG(2) yang akan berdepan dengan Ustaz Salman nanti. Kita juga berdebar hendak tahu sama ada kedua-dua Ustaz ARG itu akan berbahas, atau yang seorang lagi itu setakat jadi pemerhati. Kita juga berdebar berapa bilangan Pak Pacak yang lengkap berkeris bertanjak yang akan berdiri berjam-jam macam tok wali menjaga 2 orang Ustaz ARG itu nanti.
Ya, benar. Kita orang awam yang dikatakan tidak layak memilih jalan salafussholeh dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah ini benar-benar berdebar. Siapakah gerangannya Ustaz ARG(1) dan Ustaz ARG(2) itu nanti?
Kita berharap nanti Ustaz ARG yang hebat itu terdiri dari kalangan tok wali yang mengikut Sunnah Nabi, bukan tok wali yang kuat membela golongan yang melampau melakukan amalan tiada asal dari Nabi. Itulah harapan kita orang awam yang jahil ini. Tolong jangan bawa datang tok wali selak tirai pula. Nanti lagi bodoh dan dungu orang awam yang jahil sekaliannya itu. Faham, atau GAGAL FAHAM?
Oleh kerana kita sudah maklum pendirian ARG bahawa aliran Wahabiyah itu sesat, maka eloklah pula kita tonton pandangan yang mempersoalkan; adakah Wahabi sesat?
Macam mana? Ikut suka tuan puanlah hendak ambil pendirian ya. Kita tumpang tayang saja.
‘Perang Sebelum Perang Besar’
Tuan puan sekalian sedar atau tidak? Perang di laman sosial ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Di masjid dan surau pun genderang perang sudah bertahun lamanya dipalu. Malangnya, tindakan ke atas Wahabi masih malu-malu. Sebab apa? Sebab takrif Wahabi itu samar-samar. Ikut sedap mulut mengata orang. Tidak samar macam mana kalau Tok Lebai kaki pukul gendang perang itu tidak tahu beza gerakan politik dengan mazhab dalam beragama. Kita hairan juga. Sejak bila Wahabi ini jadi salah satu mazhab orang Islam? Kita orang awam macam itu juga. Kalau ikut rasa binasa, ikut hati mati.
Ini kita pesan awal-awal. Sebab, kalau umur panjang, kalau ada rezeki, sempatlah nanti kita tonton dialog ‘WAHABIAH; ALIRAN SESAT ATAU ALIRAN AHLU SUNNAH WALJAMAAH?‘. Sementara itu, kita jengok sajalah main tembak-tembak antara kedua-dua belah pihak. ‘Bukan kaleng-kaleng’ juga Dr. Rozaimi main Facebook. Penuh dengan bidasan dan bidalan. Boleh makan dalam. Kalau fahamlah. Kalau jenis tak faham, hendak tolong macam mana? Sempat jugalah nanti kita baca komen para penyokong yang cerdik dan penyokong yang tidak berapa cerdik. Kita layan sajalah ‘perang sebelum perang besar’ ini.
Jadi, kita mintalah tuan puan ikut akal. Bila kita kata ikut akal, kita bukan suruh ikut akal tanpa tauladan. Buat perangai macam ini, Nabi jalan ke kanan, kita cari pasal ikut tok guru jalan ke kiri pula. Tauladannya apa ya tuan puan sekalian? Tidak lain adalah kalam Allah dalam Al-Quran. Tidak lain adalah kalam Nabi melalui hadith sahih. Usah dengarlah dongeng penglipur lara kata ikut Al-Quran dan Sunnah jadi sesat. Jadi orang awam, biarlah cerdik sikit. Ramai lagi para ulama dan tok guru yang sudi ajar kita bagaimana hendak ikut Al-Quran dan Sunnah Nabi. Kita hendak turut penglipur lara, sudah kenapa?
Ustaz ARG(1) Sudah Diketahui
Tuan puan sekalian. Seminggu yang lalu, maka sudahlah kita ketahui calon Ustaz ARG(1), tidak lain tidak bukan adalah Ustaz Engku Ahmad Fadzil. Ini adalah panel yang sama bertembung dengan Ustaz Salman Ali semasa Dialog Terbuka: Pemikiran Sheikh Nazim Al-Haqqani Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Oleh kerana sudah tahu, maka eloklah kita kongsi bahaya ancaman Wahabi yang Ustaz Engku baru tarbiyahkan kepada orang awam baru-baru ini;
Kalau belum cukup, kita tambah satu lagi rakaman video;
Nampaknya, bahaya ancaman wahabi ini lebih teruk dari bahaya para politikus kita yang akan berperang tidak lama lagi. Memang bahaya kalau dengar ceramah ustaz. Seram lagi mengerikan. Kita pun pelik juga, berapa ramai pengikut Muhammad Abdul Wahab di Malaysia ini? Lagi pelik, sejak bila Wahabi ini jadi mazhab dalam beragama?
Tuan puan kena tonton. Bukan apa. Takut nanti tuan puan tidak cukup ‘antidote’ asyik tonton video para ustaz yang digelar Wahabi dalam terbitan ini. Jadi tontonlah sampai puas. Mana tahu kena dengan kehendak kita supaya berpegang teguh dengan ajaran Sifat 20 yang ustaz terangkan dalam video di atas. Jangan mudah terpengaruh dengan Tauhid 3 pula. Takut rosak aqidah. Hendak telan, maka persilakanlah. Ustaz pun sudah terangkan, ilmu Sifat 20 itu bukan bid’ah katanya.
Jadi, macam mana? Sudah tenangkah jiwa belajar ilmu tauhid sedemikian? Sudah mantapkah iman sehingga tidak perlu lagi bertabarruk, beristighasah dan bertawassul dengan orang yang sudah mati? Tuan puan boleh pusing sana sini untuk membolehkan segala amalan. Boleh nukil sana sini. Boleh qiyas sana sini takwil sana sini ayat Al-Quran biarpun di luar konteks. Ikut sukalah, hendak buat juga, kita hendak kata apa lagi? Kita cuma hendak kata, Nabi tak buat, kita memandai buat sudah kenapa?
Kalau memang iman sudah mantap baguslah. Kalau dalam hati masih lagi terdetik menyebut nama selain Tuhan apabila meminta pertolongan, maka TIDAK DAPATLAH HENDAK KITA TOLONG ya tuan puan sekalian. Sendiri buat, sendiri tanggunglah ya.

Pesan Tidak Diundang
Tuan puan sekalian. Mari kita baca pesanan tidak diundang ini. Kalau ada dalam kalangan tuan puan ada kabel besar dengan pihak penganjur tolong sampaikan pesan;
Mohon pihak penganjur tolong pesan kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil dan Ustaz ARG(2). Buku rujukan ada ISBN? Ada pun kalau rujukan ke laut, apa gunanya? Kalau Ustaz Salman beri rujukan, minta Ustaz Engku Ahmad Fadzil dan Ustaz ARG(2) baca sampai hadam, biar faham. Boleh kaji secara berjemaah, bukan rebus dan telan. Jenuh nanti orang awam nak layan.
+SANGfikir
Itu cuma pesanan +SANGfikir. Tidak semestinya kita setuju. Lagipun, +SANGfikir itu pernah sebut, ikut suka hatilah hendak ikut atau tidak mahu ikut. Cukup ajal, masuk kubur nanti, tanggung sendiri.
Sebagai orang awam, kita hendak pesan sajalah ya kepada kedua-dua belah panel itu nanti. ‘Tolong semak ISBN’. Kalau ada ISSN pun bagus juga. Kalau ada e-ISSN lagi bagus. Bukan apa, nanti jenuh kita orang awam ini tonton sesi semak ‘serial number’ pula. Tolong kongsi sesama panel siap-siap. Dalam dialog itu nanti, tak perlulah hendak bergaduh pasal ISBN, ISSN atau e-ISSN. Kita hendak dengar hujah mantap saja. Bukannya hendak dengar dalih mengelak jawab hujah. Faham atau tidak bila kita bicara tentang ISBN ini?
Kita hendak pesan lagi. Kalau tiba-tiba hilang hujah waktu berbahas, minta tolong dengan Allah, jangan minta tolong dengan pokok pula ya.
Fahamkan maksud kita itu?
Dengan izin Allah, terbitan ini akan dikemaskini lagi kemudian. Sementara itu eloklah juga dengar rakaman isu Wahabi. Mana tahu dapat ilmu sedikit;
Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.
Comments
[…] Kita tunggu sajalah apa saja ya tuan puan sekalian. Kalau tidak sabar juga hendak tahu, sila baca berita Parlimen bubar esok. Macam mana? Dah siap sediakah hendak berperang? […]
[…] Sedarlah tuan puan sekalian. Kalau tuan puan adalah ahli Aswaja berdaftar atau Aswaja+AAA paksa rela, maka jangan celupar mulut membid’ahkan sambutan Maulidur Rasul ya. Silap haribulan, dapat cop Wahabi! […]
[…] โPerang Ustazโ: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?ย […]
[…] โPerang Ustazโ: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ? […]