Semua umat Islam sudah maklum kelebihan membaca Al-Quran. Dapat pahala. Dapat manfaat. Dapat kelebihan. Seterusnya, dapat apa? Mari tonton sebentar klip video kelebihan membaca Al-Quran.
Ustaz kita ada mengulas tentang perbezaan kelebihan membaca Al-Quran dan membaca terjemahannya. Secara umumnya kita setujulah apa ustaz sebut. Ini kita kongsikan hadis yang ustaz sebut tadi.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.
Riwayat al-Tirmizi (2835) dinukil dari artikel IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-163: KEPENTINGAN MEMPELAJARI AL-QURAN
Perhatikan baik-baik ya tuan puan. KEBAIKAN ( حَسَنَةٌ). Bukan pahala sebagaimana kita fahami selama ini. Tapi nak faham kebaikan itu pahala juga ya silakan. Tiada siapa kata ia salah. Cuma biasalah. Kalau asyik kira butir pahala, maka mulalah kita mengira-ngira berapa banyak pahala sudah kita kumpulkan selama hidup ini. Tuan puan sekalian pernah kirakah pahala yang tuan puan sekalian kutip itu?
Baca Tidak Faham atau Baca Dan Faham?
Baiklah tuan puan sekalian. Tujuan kita bukan setakat nak membaca Al-Quran. Bukan setakat nak baca terjemahannya. Kita tak tahu umur tuan puan yang membaca ini sekarang, tetapi kalau umur sudah lanjut masih belum mempelajari Al-Quran, maka itu kes berat tuan puan. Mari tuan puan kita sama-sama jawab soalan-soalan di bawah ini;
- Kita faham atau tidak bahasa Arab?
- Kita fasih atau tidak berbahasa Arab?
- Jika faham, jika fasih, maka Bahasa Arab yang mana?
- Bahasa Arab kontemporari atau bahasa Arab klasik?
- Jika faham bahasa Arab klasik, maka adakah kita faham keadaan masyarakat Arab zaman klasik?
5 soalan tadi sengaja kita lontarkan supaya tuan puan memikirkannya. Sebabnya begini. Barangkali tuan puan biasa dengar ceramah atau baca buku tentang kelebihan membaca dan mendengar Al-Quran. Seronok, bukan?
Cuba fikirkan ini dahulu. Apabila para ulama silam mengatakan baca dan dengar AlQuran itu beroleh pahala, pernahkah anda fikirkan siapakah hadirin yang mendengar fatwa mereka itu? Ulama silam itu berbahasa Arab, betul? Pendengar kuliahnya juga berbahasa Arab, betul? Jadi, mereka berbahasa Arab, maka tentulah apabila mereka membaca dan mendengar Al-Quran yang berbahasa Arab, mereka memahaminya. Maka, seharusnya layaklah mereka itu memperoleh pahala. Sifirnya begitulah kan? Sebab faham. Maka dapat kebaikan. Dapat pahala.
Sekarang tuan puan tanyakan kepada diri sendiri. Tuan puan baca dan dengar, tetapi tidak faham apa yang dibaca dan didengar. Agak-agak adakah layak tuan puan sekalian mendapat kebaikan yang serupa sebagaimana ulama silam dan pendengar kuliah mereka yang sememangnya mereka itu berbahasa Arab itu memperoleh kebaikan? Atau tuan puan hanya mendapat ‘pahala’? Fikir-fikirkanlah ya.

Baiklah. Memang benar. Baca Al-Quran kena betul tajwid, kena ikut tartil dan sebagainya. Tartil satu hal, taranum juga satu hal. Nak sempurna lagi kena tahu pula tingkatan tahqiq, tartil, tadwir dan hadr dalam ilmu membaca Al-Quran.
Berat, bukan?
Baca kena betul. Kalau tak betul, nampaknya kita ada masalah dalam sembahyang. Sebab itu tuan puan, jangan ambil mudah kemahiran membaca Al-Quran. Sebab itu sejak kecil kita diajar supaya membaca Al-Quran dengan betul. Supaya bila sudah besar, sepatutnya kita beralih kepada membaca Al-Quran dengan betul dan memahaminya dengan betul. Kalau asyik baca dengan betul, tetapi tidak memahaminya, apakah kebaikan hakiki yang kita dapat selain kebaikan membaca sahaja?
Baca, faham atau tidak perkara kedua? Begitu?
Kena tengok umurlah tuan puan. Kalau umur baru 12 tahun, boleh kira jugalah. Maklumlah, secara umumnya;
- Kita TIDAK faham bahasa Arab.
- Kita TIDAK fasih berbahasa Arab.
- Jika faham, jika fasih, maka Bahasa Arab jenis mana pun barangkali masih terkial-kial. Sebab apa? Pak Arab zaman sekarang pun belum tentu arif bahasa klasik mereka.
- Jika faham bahasa Arab klasik pun belum tentu arif maknanya.
- Jika faham bahasa Arab klasik, belum tentu kita faham keadaan masyarakat Arab zaman klasik. Kalau tidak mengkaji sejarah, macam mana nak faham konteks ayat. Macam mana nak faham aplikasi dalam kehidupan kita hari ini?
Kalau umur sudah 21 tahun, maka agak-agaklah. Sibuk sangatkah dunia ini sampai baca terjemahan pun tak ada masa. Kalau umur sudah 30, 40, 50, 60, 70, 100 tahun, kira teruk sangatlah tu kalau baca Al-Quran tapi masih tak mahu ambil tahu juga sekurang-kurangnya terjemahan Al-Quran. Terjemahan saja, belum tafsirnya lagi. Jadi agak-agaklah kebaikan apa yang tuan puan dapat kalau masih tidak tahu apa yang tuan puan baca selama ini selain dari pahala yang tuan puan sekalian kejar itu?
Ini hanyalah pesanan. Hendak ambil silakan. Hendak buang terpulanglah kepada kebijaksanaan tuan puan sekalian.
Begini tuan puan. Ada banyak lagi ingin dikongsikan kemudian, dengan izin Tuhan. Kita tinggalkan dahulu catatan ini supaya tuan puan sekalian memikirkannya.
Oh ya. Kita kongsikan juga pautan Al-Quran Audio & Terjemahan. Ia tidak sempurna. Sekurang-kurangnya, jika betul sekalipun sibuk memanjang sampai umur pencen, dengarkanlah Al-Quran ayat demi ayat dengan terjemahannya sekali.
DENGARLAH BERULANG-ULANG. Biar khatam berkali-kali. Dengar saja pun. Sibuk jugakah?
Cuma satu kita nak pesan. Terjemahan tidak semestinya tepat dengan maksud asal bahasa Arab. Sebab itu, kena mula rajin belajar bahasa Arab, rajin baca terjemahan, rajin baca tafsir Al-Quran. Ada lagi satu, jagalah adab kita apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan.
Semoga bermanfaat.
Comments
[…] awak tu dengar atau tidak apa yang awak pasang kuat-kuat tu? Awak faham tak maksud ayat-ayatnya. Jangan-jangan sampai surah Al-A’raf 204 itu pun awak tak sedar ia berlalu begitu […]
[…] Sebab itu kita pernah pesan. Terjemahan AlQuran tidak semestinya tepat dengan maksud asal bahasa Arab. […]
[…] Alasan tuan puan itu akan diterimakah jika semasa hidup di dunia ini tuan puan sekalian malas membaca dan memahami Al-Quran, malas ambil tahu pasal hadith, dan yang paling teruk sekali malas […]
[…] dari pelbagai sumber. Apa pun ilmu yang kita pelajari, turaslah segala ilmu dengan semak dan baca ALQURAN DENGAN TAHU MAKSUD AL-QURAN SECARA BERULANG-ULANG. InsyaAllah nanti kita akan tahu mana yang haq, mana yang batil. Ilmu yang HAQ kita amal, yang […]
[…] dengan ‘zikir munajat penenang hati’ tadi. Sebab itulah kita hendak berpesan sekali lagi. Bacalah AlQuran keseluruhannnya 30 juzuk dengan mengetahui makna dan tafsirnya secara berulang-ulang… Jika kesibukan, dengarlah sekurang-kurangnya bacaan AlQuran dengan maknanya sekali. Dengar, tahu […]
[…] ke kanan, kita ikut tok guru ke kiri. Tauladannya apa ya tuan puan sekalian? Tidak lain adalah kalam Allah dalam Al-Quran. Tidak lain adalah kalam Nabi melalui hadith sahih. Usah dengarlah dongeng penglipur lara kata ikut […]
[…] jenis analitikal terhadap sejarah perkembangan umat Islam, JENIS BACA BUKU, JENIS BACA HADITH, JENIS BACA AL-QURAN, maka tidaklah tuan puan akan hanyut dalam politiking agamawan tidak tentu […]
[…] JENIS BACA AL-QURAN. […]
You must log in to post a comment.