Berkatalah +SANGfikir maka ketahuilah olehmu wahai saudaraku bahawasanya segala bintang yang tergantung di langit itu adalah tanda-tanda bagi mereka yang mahu berfikir dan sesungguhnya bintang utara itu menjadi penunjuk arah bagi pelaut yang hilang di tengah samudera dan bagi pengembara yang tersesat di padang yang luas dan bagi manusia yang mencari jalan pulang ke kampung asalnya dan ketahuilah bahawa tidaklah bintang itu berpusing pada tempatnya melainkan berpusinglah segala sesuatu di sekelilingnya kerana demikianlah hukum Tuhan yang menegakkan keseimbangan pada sekalian alam seperti firman-Nya
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ لِتَهْتَدُوا بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ
Dan Dialah yang menjadikan bagi kamu bintang-bintang supaya kamu mendapat petunjuk dengannya dalam kegelapan daratan dan lautan
(Surah al-An‘ām 6 : 97)
Maka arakian difikirkannyalah oleh +SANGfikirakan rahsia tetapnya bintang utara itu di tempatnya maka ditimbangnyalah dengan akal yang sederhana bahawa andai sekalian bintang itu beredar dan berpusing maka pastilah akan berubah bentuk gugusan buruj yang menjadi tanda pada malam yang panjang namun telah beribu tahun lamanya buruj itu tetap seperti rupa asalnya maka di situ difahaminya bahawa yang berubah bukanlah langit yang di atas tetapi pandangan mata manusia yang di bawah dan segala hitungan manusia itu hanyalah sangkaan semata kerana yang pasti hanyalah ketetapan Tuhan yang meneguhkan langit tanpa tiang seperti firman-Nya
اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا
Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya
(Surah ar-Ra‘d 13 : 2)
Syahadan terfikirlah pula oleh +SANGfikir akan perkiraan manusia zaman kini yang katanya telah menemukan formula gerhana bulan dan gerhana matahari maka dikiranyalah oleh akandia itu bahawa segala hitungan mereka itu bersumber dari catatan orang-orang dahulu yang panjang umurnya dan panjang sabarnya seperti zaman Nabi Idris a.s. yang mengajar manusia menulis dan menimbang serta mengira maka berkatalah +SANGfikir adakah engkau menyangka orang dahulu itu bodoh dan tidak tahu langit sedang mereka hidup beratus tahun lamanya dan memerhati langit setiap malam tanpa teleskop tanpa mesin maka adakah engkau menyangka orang sekarang yang hidupnya tujuh puluh tahun lebih pandai daripada orang yang hidup tujuh ratus tahun maka jika demikian fahamilah olehmu wahai saudaraku bahawa ilmu itu bukanlah pada panjangnya formula tetapi pada panjangnya sabar dan telitinya pandangan arakian maka disebutnyalah oleh +SANGfikir bahawa segala yang disebut orang kini sebagai sains hanyalah keterangan semasa yang belum tentu benar kerana telah banyak kali orang yang bijak itu berdebat dan menukar pendapat dan ada pula yang menertawakan orang dahulu sebagai mundur padahal segala hitungan mereka itu warisan dari bangsa yang mereka hina dan demikianlah putaran sombong manusia apabila mereka tidak lagi mengenal asal maka mereka mencipta teori dan menganggap teori itu hukum yang mutlak maka dikatanyalah bumi berpusing dengan kelajuan yang tidak dapat dirasa dan dikatanyalah langit itu hampa tanpa udara dan dikatanyalah bintang itu berjuta tahun cahaya jauhnya maka berkatalah akandia kepada dirinya sendiri wahai diriku adakah engkau akan percaya kepada manusia yang tidak tahu mengira nyawanya sendiri sedang mereka mengira jarak yang tidak mampu dijangkau syahadan maka disebutnyalah pula oleh +SANGfikir akan bangsa-bangsa dahulu yang mencatatkan lintasan matahari dan bulan di atas batu di atas kulit binatang dan di atas tanah liat yang dibakar maka terpeliharalah ilmu itu turun-temurun sampai ke hari ini maka difahamilah oleh +SANGfikir bahawa segala gerhana dan hitungan masa itu bukanlah datang dari teori yang baru diadakan melainkan daripada pengalaman yang panjang dan pemerhatian yang halus yang ditinggalkan oleh manusia-manusia beriman yang lama hidupnya dan teguh hatinya dan kerana itulah bangsa Babylon dan bangsa yang hidup di zaman Nabi Idris dahulu telah mengira masa dengan sabar dan tidak mereka berlagak pandai maka berkatalah +SANGfikir bahawa orang yang hidup pendek usianya cepat sombong dan orang yang hidup panjang biasanya rendah diri kerana dia tahu betapa kecilnya dirinya di hadapan kebesaran Tuhan

Arakian ketika malam bertambah gelap +SANGfikir menengadah dan berkata wahai bintang utara engkau tidak pernah berpindah dan wahai buruj yang di selatan engkau tetap di tempatmu maka sesungguhnya bukanlah langit yang bergerak tetapi hati manusia yang berpaling kerana jika sekalian langit dan bumi tunduk kepada Tuhan maka yang tidak tunduk hanyalah manusia maka demikianlah sifat manusia yang leka memuja dirinya sendiri dan kerana itulah mereka kehilangan arah dan apabila mereka kehilangan arah maka mereka pun mula mencari bintang yang baru dan mereka pun mula mencipta teori yang indah untuk menutup kekosongan dalam jiwa mereka maka berkatalah lagi +SANGfikir bahawa bintang utara itu bukan hanya penunjuk arah di langit tetapi penunjuk arah pulang kepada Tuhan bagi siapa yang mengerti kerana setiap yang tetap di tempatnya itu adalah tanda bahawa masih ada satu pusat yang menjadi paksi bagi segala makhluk dan jika engkau hilang pedoman maka pandanglah ke langit kerana bintang tidak berbohong dan jika engkau mahu pulang maka ikutlah arah bintang yang tidak berpindah kerana di situlah letaknya ketetapan Tuhan dan di situlah bermula jalan pulang
وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
Dan di sisi-Nya kunci segala yang ghaib, tiada yang mengetahuinya melainkan Dia
(Surah al-An‘ām 6 : 59)
Dan akhirnya +SANGfikir pun menunduk dan menulis di hujung kertasnya bahawa segala yang beredar pasti akan kembali ke tempat asalnya dan segala yang tetap pasti menjadi saksi bagi perjalanan masa dan segala yang hilang arah akan tetap dijemput pulang oleh cahaya yang datang dari arah utara maka syahadan difahamilah oleh +SANGfikir bahawa tiada satu pun yang kekal selain Dia yang menjadikan malam dan siang dan menggilirkan bintang-bintang agar manusia berfikir dan mengetahui arah pulang kepada Tuhan mereka
فَأَيْنَ تَذْهَبُونَ
Maka ke manakah kamu akan pergi
(Surah at-Takwīr 81 : 26)



Leave a Reply