Bab 7.6 Bicara Dua Jiwa – Bintang Utara dan Arah Pulang

rocks on body of water during sunset

Sang Bidadari:

Kanda, lihatlah langit itu. Di utara, bintang tetap di tempatnya. Di selatan, buruj Crux membentuk salib cahaya di angkasa. Kedua-duanya menandakan arah, tetapi membawa jiwa yang berbeza.

Sang Fikir:

Benar, dinda. Yang satu menuntun pelaut pulang ke tanah asalnya, yang satu menuntun manusia memandang ke tempat terbitnya fajar. Tetapi keduanya tetap tunduk kepada Tuhan yang sama.

Sang Bidadari:

Manusia hari ini mengira mereka lebih pintar dari nenek moyang mereka. Mereka berkata, umat dahulu mundur kerana tidak punya teleskop, tidak punya mesin. Tetapi mereka lupa, umat dahulu hidup beratus-ratus tahun — mereka memerhati dengan mata, mencatat dengan jiwa. Mereka membuat kiraan bukan dengan formula, tetapi dengan kesabaran dan kejujuran.

Sang Fikir:

Ya, dinda… manusia hari ini hidup hanya enam puluh atau tujuh puluh tahun, tetapi bercakap seolah-olah mereka sudah memahami rahsia langit dan bumi. Sedangkan ilmu mereka hanyalah pinjaman dari catatan manusia terdahulu. Dari zaman Idris, dari bangsa Babylon, dari tangan-tangan yang mencatat lintasan bulan dan matahari berdasarkan apa yang mereka lihat, bukan apa yang mereka reka.

Sang Bidadari:

Maka kerana itulah, kanda, apabila manusia sudah lupa langit dan lupa arah, mereka kehilangan jalan pulang. Polaris tetap di sana, tetapi mata mereka buta. Crux bersinar di selatan, tetapi hati mereka gelap.

Sang Fikir:

Dan ketika mereka tidak lagi memandang ke langit, maka hilanglah tanda-tanda untuk pulang kepada Tuhan. Sedangkan arah itu tidak pernah berubah — hanya mata manusia yang berpaling.

dramatic coastal sunset over cliffs
Photo by Francesco Ungaro on Pexels.com

Malam di Mauritius itu seakan tiada penghujung

Langitnya biru gelap berlapis hitam

Lautnya tenang seperti cermin besar yang memantulkan cahaya langit

Sang Fikir duduk di tebing batu, matanya tertancap pada bintang yang tidak berkelip

Bintang yang tetap di tempatnya walau segala yang lain berputar.


Sang Fikir:

Lihatlah, adinda,

bintang yang di utara itu tetap pada tempatnya.

Yang lain semua beredar, berlari ke timur dan barat,

tapi yang ini, ia tidak berpindah.

Seolah-olah Tuhan memaku langit dengan cahaya supaya manusia tahu di mana dia berdiri.

Sang Bidadari:

(menatapnya lembut)

Itulah tanda kasih Tuhan, kekanda.

Supaya manusia yang sesat di laut tetap tahu arah pulang.

Sang Fikir:

(tersenyum hambar)

Ya, arah pulang.

Tapi manusia sekarang lebih sesat dari pelaut yang hilang peta.

Kerana pelaut masih mencari bintang,

sedangkan manusia kini sudah tidak memandang langit lagi.”

(menarik nafas panjang)

Adinda, mereka menganggap langit itu sekadar ruang kosong

dan bintang-bintang itu hanya gas panas yang terbakar di hujung galaksi.

Mereka lupa bahawa bintang itu bukan sekadar cahaya,

tetapi tanda,

dan tanda itu adalah kata Tuhan di langit.

Sang Bidadari:

(mendengar, wajahnya redup dalam cahaya rembulan)

Tidakkah ilmu mereka memberi sedikit kefahaman, kekanda?

Sang Fikir:

(tersenyum pahit)

Ilmu?

Ilmu mereka penuh andaian.

Formula atas formula, sangkaan atas sangkaan.

Dan mereka menyebutnya sains.

Padahal mereka hanya meniru apa yang telah umat dahulu lakukan.

Mereka fikir mereka maju.

Padahal, mereka hanya membongkar semula serpihan ilmu umat yang telah dibinasakan Tuhan.”

Engkau tahu, adinda, mereka menghina zaman Nabi Idris,

menganggapnya zaman batu, zaman gelap,

sedangkan akulah yang yakin —

teknologi mereka jauh lebih tinggi daripada apa yang ada hari ini.

Mereka membina dengan hikmah, bukan dengan kesombongan.

Mereka mengira dengan mata yang menyaksi, bukan dengan mesin yang menipu.

Tetapi semuanya dibasuh oleh banjir besar zaman Nuh,

kerana manusia mula cuba menjadi tuhan.”

Sang Bidadari:

(terdiam, suaranya bergetar lembut)

Mengapa manusia selalu mengulang kesilapan yang sama, kekanda?

Sang Fikir:

(memandang jauh ke ufuk laut)

Kerana mereka lupa asal mereka, adinda.

Mereka lupa mereka daripada tanah dan air.

Mereka lupa bahawa setiap zarah di tubuh mereka masih tunduk kepada perintah-Nya.

Dan apabila mereka mula mencipta dengan niat untuk menandingi Tuhan,

maka di situlah kehancuran bermula.”

Ia menulis sesuatu di dalam bukunya:

“Ilmu tanpa tunduk adalah sombong.

Teknologi tanpa sujud adalah api yang membakar.

Dan manusia yang lupa arah akan tenggelam, walau di darat sekalipun.”

Engkau tahu, adinda,

“umat terdahulu tidaklah mundur seperti yang manusia sekarang fikirkan.

Mereka membina tamadun di bawah tanah dan di atas gunung.

Mereka mencipta alat untuk mengangkat batu yang tidak mampu diangkat oleh manusia zaman kini.

Mereka memahami cahaya, air, dan bunyi dengan cara yang tidak lagi difahami oleh kita.

Tetapi apabila mereka mula meninggikan menara-menara mereka untuk menandingi langit,

maka datanglah air — bukan sekadar hujan, tetapi banjir yang menelan segalanya.

فَفَتَحْنَا أَبْوَٰبَ ٱلسَّمَآءِ بِمَآءٍۢ مُّنْهَمِرٍۢ

وَفَجَّرْنَا ٱلْأَرْضَ عُيُونًۭا فَٱلْتَقَى ٱلْمَآءُ عَلَىٰٓ أَمْرٍۢ قَدْ قُدِرَ

“Lalu Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang mencurah-curah, dan Kami pancarkan bumi dengan mata-mata air, maka bertemulah air dari langit dan dari bumi pada satu urusan yang telah ditetapkan.”

(Surah Al-Qamar 54:11–12)

Sang Fikir:

(menatap ayat itu dengan lama, suaranya merendah)

“Begitulah, adinda.

Apabila manusia terlalu tinggi, Tuhan akan rendahkan mereka dengan air.

Kerana air itu asal kejadian mereka.

Dan Tuhan tidak pernah lupa cara untuk mengingatkan manusia tentang asalnya.”

Sang Bidadari

(memandang ke langit, matanya berkilau seperti bintang di atas kepala)

Maka, kekanda, apakah bintang utara itu juga tanda untuk mengingatkan manusia supaya kembali ke asalnya?”

Sang Fikir:

Ya, adinda.

Bintang utara itu bukan sekadar arah.

Ia adalah doa yang diam di langit.

Selagi manusia masih memandang ke situ,

masih ada harapan untuk mereka pulang.

وَعَلَٰمَٰتٍۢ ۚ وَبِٱلنَّجْمِ هُمْ يَهْتَدُونَ

Dan Dia menjadikan tanda-tanda di bumi, dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.”

(Surah An-Naḥl 16:16)


starry night sky
Photo by Алексей Вечерин on Pexels.com

Dan malam itu, tatkala laut menjadi kaca hitam yang menyimpan bayangan langit, Sang Fikir menutup bukunya perlahan-lahan dan berkata dengan suara yang hampir seperti doa,

“Wahai Tuhan, Engkau yang menjadikan bintang utara tetap di tempatnya, jadikan juga hatiku tetap di poros-Mu,

agar aku tidak berpaling dari arah pulang.”


Penutup Bicara Dua Jiwa – Bintang Utara dan Arah Pulang

Di bawah langit yang luas itu,

Sang Fikir menyedari bahawa yang tetap bukanlah bintang di langit,

tetapi cahaya di dalam hati yang tidak pernah padam —

selagi manusia masih mahu mencari jalan pulang kepada Tuhan.


Leave a Reply

Discover more from +SANGfikir

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading