Fikrah +SANGfikir – Malaikat, Dewa dan Cahaya

green hill near body of water

Berkatalah +SANGfikir ketahuilah olehmu wahai saudaraku bahawa pada sekalian makhluk yang dijadikan Tuhan di antara langit dan bumi tiadalah ada yang lebih taat melainkan malaikat kerana malaikat itu tiada nafsu dan tiada tidur dan tiada makan dan tiada minum dan tiadalah mereka itu berselisih faham dalam menjalankan perintah yang telah diamanahkan kepada mereka bahkan tiap-tiap yang disuruh diperbuat dan tiap-tiap yang ditegah ditinggalkan sebagaimana firman-Nya

لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maka demikianlah malaikat itu sifatnya tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan dan adapun manusia itu dijadikan dengan dua kekuatan yang bertentangan iaitu nafsu dan akal yang saling berperang dalam dirinya dan kerana itulah manusia ini tidak pernah tetap hatinya ada masa tunduk kepada cahaya ada masa condong kepada gelap maka pada tiap-tiap zaman manusia yang melupakan Tuhannya akan meniru rupa malaikat yang tidak dapat mereka lihat lalu mereka lukiskan wajah malaikat itu dengan wajah mereka sendiri ada yang berkulit putih bermata biru lalu mereka katakan itulah malaikat dari langit utara ada yang bermata sepet berwajah lembut lalu mereka katakan itulah malaikat dari timur ada yang berkulit gelap lalu mereka katakan itu dewa hujan dari selatan dan kerana mereka tidak melihat maka mereka membentuknya daripada bayangan hawa nafsu dan hayal maka lahirlah berhala yang mereka panggil Dewa dan Dewi ada yang menjaga laut dinamai Poseidon ada yang memegang kilat dinamai Zeus ada yang duduk di kayangan dinamai Dewata ada pula yang disembah di tanah Melayu dengan Batara Guru dan tiadalah mereka itu tahu bahawa semua nama itu hanyalah nama yang mereka ada-adakan bagi menggantikan nama Tuhan yang telah mereka lupakan

splashing wave on rock
Photo by Sebastian Voortman on Pexels.com

Syahadan bermulalah kesyirikan di muka bumi ini bukan dengan kejahatan tetapi dengan kekaguman maka tatkala manusia kagum kepada yang dilihatnya di langit maka disembahnya cahaya tatkala anusia kagum kepada yang menurunkan hujan maka disembahnya air tatkala manusia kagum kepada yang memanaskan bumi maka disembahnya api dan mereka berkata inilah perantaraan kami kepada Tuhan kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya maka demikianlah firman-Nya

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى

Ingatlah hanya bagi Allah agama yang suci dan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada-Nya berkata kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya maka di situlah terbitnya segala kekeliruan manusia tentang malaikat dan dewa dan cahaya dan tatkala kaum-kaum yang dahulu melihat guruh dan kilat mereka berkata itulah suara Tuhan dan tatkala mereka melihat ombak mengganas mereka berkata Tuhan sedang murka dan tatkala mereka melihat matahari terbit mereka sujud kepadanya dan berkata inilah sumber segala kehidupan sedangkan Tuhan telah berfirman bahawa Dia tiada menyerupai sesuatu pun daripada ciptaan-Nya dan tiadalah sesuatu yang menyerupai Dia

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Tiada sesuatu yang menyerupai-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat maka dari kerana itu wahai saudaraku janganlah engkau tertipu dengan lukisan dan khayalan manusia yang menamakan malaikat itu dengan wajah mereka sendiri kerana malaikat itu bukan manusia yang mati lalu menjadi dewa bukan juga roh yang tersesat lalu menjadi penjaga langit dan ketahuilah olehmu malaikat itu adalah ciptaan yang dijadikan daripada nur daripada cahaya yang tiada boleh digenggam dengan tangan dan tiada boleh difahami oleh akal dan jika mereka memiliki sayap maka sayap itu bukan daripada bulu bukan daripada daging tetapi daripada nur yang berlapis-lapis demikianlah telah disebut oleh Nabi ﷺ

رَأَيْتُ جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ يَسُدُّ الْأُفُقَ

Aku melihat Jibril memiliki enam ratus sayap yang menutupi seluruh ufuk langit

Dan sayap itu bukan untuk terbang tetapi untuk bergerak dengan kecepatan cahaya yang diperintahkan oleh Tuhan sebagaimana firman-Nya

تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Malaikat dan Ruh naik kepada-Nya dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun

Maka fahamilah olehmu bahawa kecepatan malaikat itu bukanlah kerana sayapnya tetapi kerana ketaatannya tiadalah yang lebih laju daripada perintah Tuhan dan tiadalah yang lebih lambat daripada dosa manusiandan adapun manusia yang suka meniru langit maka mereka pun membuat cerita bahawa setelah mati mereka akan menjadi malaikat dan berpakaian putih dan terbang di langit dan menjadi penjaga kepada yang hidup maka inilah kebodohan yang halus kerana manusia tidak faham beza antara ruh dan malaikat kerana ruh adalah rahsia kehidupan manakala malaikat adalah rahsia ketaatan dan kedua-duanya tiadalah bercampur maka berhentilah engkau wahai saudaraku daripada membayangkan malaikat itu seperti burung dan berhentilah engkau daripada menamakan makhluk langit itu dewa kerana pada tiap-tiap nama yang engkau ada-adakan ada bahaya yang besar bagi imanmu dan tatkala manusia mula melukis wajah Tuhan maka lenyaplah rasa takut kepada-Nya tatkala manusia mula membayangkan malaikat maka lenyaplah rasa tunduk kepada-Nya dan tatkala manusia mula menyebut dewa maka lenyaplah makna tauhid daripada jiwanya arakian demikianlah manusia lupa bahawa yang patut disembah hanya Dia yang tiada rupa dan tiada bayangan yang menciptakan cahaya dan menciptakan kegelapan sebagaimana firman-Nya

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Allah adalah cahaya bagi langit dan bumi

Dan ketahuilah olehmu bahawa barang siapa mengenal cahaya itu bukan dari bentuknya tetapi dari sumbernya maka dia telah mengenal Tuhannya tetapi barang siapa mengenal cahaya dari bentuknya maka dia telah terperangkap dalam bayang-bayang dirinya sendiri syahadan berkatalah+SANGfikir lagi bahawa manusia itu tidak perlu menjadi malaikat untuk menjadi taat cukup dia menjadi manusia yang sedar bahawa cahaya yang di dalam dirinya itu bukan datang daripada dirinya sendiri tetapi dipinjam daripada Tuhan dan bila pinjaman itu ditarik maka gelaplah seluruh alam sekelilingnya dan demikian itulah hakikat nur yang sejati bukan pada sayap bukan pada wajah bukan pada nama tetapi pada ketaatan yang tidak pernah putus kepada Tuhan Yang Esa


photo of moon on a dark sky
Photo by Rok Romih on Pexels.com

Berkatalah +SANGfikir maka ketahuilah olehmu wahai saudaraku bahawa sesungguhnya manusia itu sejak dahulukala telah berpaling daripada maksud sebenar kalam Tuhan demikian itulah mereka mengambil bahasa yang diwahyukan dengan jernih lalu dicampurinya dengan khayal dan syair dengan tafsiran dan kias yang menambah-nambah di luar batas makna maka jadilah wahyu yang jernih itu keruh dalam cawan nafsu mereka sendiri arakian ketika wahyu mula turun di lidah para nabi dalam bahasa kaum masing-masing maka bahasa itu hanyalah wadah bukan sembahan bahkan tiap kata yang disebut Allah di dalam kitab-Nya membawa makna sebenar sebagaimana difirmankan bukan sebagaimana disyairkan oleh manusia tetapi manusia itu memang suka bermain-main dengan kata menjadikan puisi sebagai tafsir menjadikan kias sebagai akidah lalu hilanglah batas antara makna dan metafora maka demikianlah yang terjadi pada umat-umat dahulu kala tatkala mereka mendengar sebutan bene ha-Elohim mereka terpesona pada keindahan bahasanya lalu diangkatlah makhluk-makhluk langit itu menjadi anak-anak Tuhan maka demikian itulah kitab suci diseleweng tangan-tangan manusia sebelum kedatangan baginda Nabi Muhammad SAW syahadan beberapa kurun selepas wafatnya baginda ketika manusia generasi umat akhir zaman membaca tentang nur, mereka menjadikannya Nur Muhammad yang berdiri di sisi Tuhan seolah-olah ada dua sumber cahaya dalam satu langit syahadan mereka terlupa bahawa Allah telah berfirman dengan jelas

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌۭ

“Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya.”

(Surah ash-Shura 42 : 11)

Maka barang siapa menjadikan sesuatu itu bandingan bagi-Nya baik melalui puisi dan khayal ganja atau kias cinta sesungguhnya ia telah meniru kesalahan kaum terdahulu yang menjadikan malaikat sebagai dewa dan menjadikan manusia sebagai anak Tuhan adapun kaum yang kemudian yang dinamai ahli sufi sebahagiannya mencari Tuhan melalui rasa dan bahasa yang lembut lalu terperangkap dalam kelunakan itu lalu semuanya mendakwa mereka mengenal Tuhan dalam cinta tetapi cinta itu mereka pakaikan dengan syair yang terlalu tinggi hingga habislah digoyangnya kepala mereka lalu habis dipusing tarbus dan jubah mereka semuanya hingga jadilah khayal tidak bertepi hingga tersilap mereka menuturkan apa yang hanya layak bagi Yang Esa maka lahirlah kata-kata yang indah tetapi menyesatkan yang mempersenda batas antara hamba dan Pencipta adapun perihal inilah yang menjadi kegusaran +SANGfikir itu kerana dilihatnya manusia khayal seperti ini mula telah menyelinapi dan mengitari sang penguasa agama dengan tiada berselindung lagi di Nusantara ini seraya menari menjerit-jerit nama Tuhan seraya memuja-muja nama Muhammad seolah-olah seperti dewa seraya diselang-seli dengan nama guru mereka jua adanya biarpun sanad emas mereka jelas terputus ditengah jalan

man in traditional clothing dancing
Photo by Musa Emin Özdemir on Pexels.com

Maka berkatalah sang Fikir lagi bahawa puisi yang lahir dari lidah manusia itu tidak seharusnya dijadikan hujah dalam urusan Tauhid kerana sesungguhnya Tauhid itu bukanlah bahasa tetapi kenyataan maka ketahuilah olehmu wahai saudaraku sekalian demi sesungguhnya firman Allah itu sudah cukup sabda Nabi itu sudah nyata amalan Khulafa Ar-Rashidin itu sudah memadai bahkan tinta Imam Empat Mazhad itu sudah melengkapi maka barang siapa yang menambah dengan rasa dan tafsiran yang tidak diizinkan maka dia seperti menambah air ke dalam susu yang sudah tulen kelihatan banyak tetapi hakikatnya cair dan hilang khasiatnya dan ingatlah pesanku ini wahai saudaraku sesungguhnya Al-Qur’an itu diturunkan bukan sekadar untuk dibaca dengan lidah tetapi untuk dihidupkan dalam akal dan perbuatan sebagai al-Furqan iaitulah dia pemisah antara yang hak dan yang batil maka berhati-hatilah kalian semuanya apabila manusia mula menukar makna maka yang hak menjadi batil dan yang batil dianggap indah maka demikian itulah maka lihatlah bagaimana puisi boleh menjadi racun apabila tidak disaring dengan ilmu bagaimana tafsir boleh menjadi bid‘ah apabila tidak dipandu oleh sanad dan bagaimana cinta boleh menjadi syirik apabila tidak dikawal oleh akidah lalu +SANGfikir itu menyambung bicaranya wahai saudaraku berpeganglah engkau kepada firman-Nya yang terang dan janganlah engkau cari makna lain di balik makna yang sudah disebut dan janganlah engkau mengikuti jalan umat terdahulu yang lancang menyebut anak Tuhan apabila maksudnya hanyalah makhluk-Nya yang mulia dan jangan engkau sesekali menyebut “cahaya Muhammad” apabila maksudnya hanyalah cahaya Ilahi yang memberi hidup kepada seluruh wujud dari kerana itu saudaraku sekalian peganglah apa yang pasti dan biarkan yang tidak pasti kembali kepada-Nya kerana firman Allah itu bukan puisi tetapi kebenaran yang mutlak maka tatkala +SANGfikir menutup lembaran fikirannya yang panjang itu menunduklah wajahnya ke bumi dan memandang sejenak kepada langit yang birunya seakan memeluk segala rahsia yang belum terjawab seraya berkatalah ia dalam hatinya wahai Tuhan yang telah menjadikan aku daripada tanah dan menjadikan malaikat-Mu daripada cahaya dan menjadikan jin daripada api yang halus maka aku akui Engkaulah Tuhan yang Esa iaitulah tiada sekutu bagi-Mu dalam ciptaan dan dalam kekuasaan syahadan berdolah lagi +SANGfikir tu seraya berkata ya Allah janganlah Engkau biarkan aku terpesona pada kata-kata manusia hingga aku lupa kalam-Mu yang suci dan janganlah Engkau biarkan aku mencari makna di luar makna yang Engkau nyatakan dan janganlah aku menukar keindahan firman-Mu dengan syair yang menyesatkan demi sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada puisi yang menggoyahkan akidah daripada tafsir yang menambah-nambah tanpa izin-Mu daripada cinta yang melampaui batas hamba terhadap Tuhannya oleh itu wahai Tuhan yang mengajar Adam nama-nama segala benda maka kembalikanlah kefahaman kami kepada maksud-Mu yang sebenar dan jadikanlah kami di antara mereka yang membaca wahyu-Mu dengan hati yang mengulang kalam-Mu bukan sekadar di bibir tetapi di jiwa dan dalam amal perbuatan kami dan jika Engkau izinkan maka jadikanlah tulisan dan fikiranku ini saksi bahawa aku telah cuba menyeru manusia kembali kepada Tauhid-Mu kepada keesaan-Mu yang tidak beranak dan tidak diperanakkan kepada cahaya-Mu yang satu yang menerangi segala cahaya di langit dan di bumi.

اللهم اجعلنا من الذين يسمعون القول فيتبعون أحسنه

“Ya Allah, jadikanlah kami di antara mereka yang mendengar perkataan lalu mengikuti yang terbaik daripadanya.”

(Asy-Syūrā 42:18)


Amin, ya Rabbal ‘alamin.

Maka +SANGfikir pun menutup mata seketika,

mendengar desiran angin yang datang dari laut,

dan di bawah cahaya yang lembut itu,

ia tahu — fikirannya telah kembali ke tempat asalnya,

iaitu kepada Tuhan yang menciptakan cahaya dan fikiran itu sendiri.


وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ

Leave a Reply

Discover more from +SANGfikir

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading