Berkatalah +SANGfikir kepada saudaranya wahai saudaraku yang mahu mendengar maka dengarlah olehmu akan perkataan ini dengan hati yang lembut dan janganlah engkau tergesa pada zahirnya kerana sesungguhnya kata yang keluar daripada akal manusia hanyalah seperti hembusan asap yang hilang pada tiupan angin tetapi kata yang bersumber daripada zikrullah itu kekal menjadi nur yang menembus segala lapisan langit dan bumi maka ketahuilah olehmu wahai saudaraku bahawa telah lama aku berfikir tentang asal mula kejadian alam ini dan telah aku dengar orang berkata bahawa segala ini bermula dengan letupan yang besar katanya itulah yang dinamai Letupan Besar dan manusia pun bersorak-sorai kononnya mereka telah menemui rahsia kejadian Tuhan dan sebahagian umat Islam pun menyahut katanya itulah firman yang telah disebut dalam kitab tetapi tidaklah mereka benar-benar membaca melainkan mereka menafsir mengikut hawa dan mengutip kata manusia yang tidak mengenal Penciptanya arakian maka aku pun mencari ayat yang mereka dakwa itu dan tidaklah aku temui sebarang letupan pada kalam Allah melainkan aku temui kelembutan dan ketenangan kerana Allah tidak mencipta dengan dentuman dan tidak membangunkan alam dengan bunyi yang memekakkan tetapi dengan kalimat yang halus yang apabila disebut terhamparlah ruang dan masa dengan penuh tertib dan aturan
ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا ۖ قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ
“Kemudian Dia menuju kepada langit yang masih berupa asap, lalu berfirman kepadanya dan kepada bumi: ‘Datanglah kamu berdua dengan patuh atau terpaksa.’ Maka keduanya menjawab: ‘Kami datang dengan patuh.’”
(Surah Fussilat 41:11)
Maka fahamilah olehmu wahai saudaraku bahawa kata “asap” itu bukanlah asap yang keluar daripada api melainkan satu perumpamaan kepada lembutnya ciptaan langit itu dan segala yang lembut itu tunduk dan segala yang tunduk itu diangkat dan barangsiapa yang patuh maka dia tinggi di sisi Tuhan dan barangsiapa yang keras maka dia akan direbahkan ke tanah kerana hakikat alam ini berdiri atas kepatuhan bukan atas kekerasan dan segala bintang yang bersinar itu pun tunduk dengan tenang kerana diperintah bukan dengan raungan tetapi dengan kasih maka arakian aku mendengar lagi manusia berkata bahawa bentuk alam ini seperti trompet dan aku pun berkata dalam hatiku barangkali mereka menyangka itulah sangkakala yang disebut dalam kitab tetapi sangkakala yang sebenar itu tiadalah berupa besi dan tiadalah ditiup dengan nafas manusia kerana segala yang bernama perintah itu cukup dengan satu kalimat kun fayakun maka bergetarlah seluruh langit dan bumi dengan getaran yang tiada dapat difahami oleh pendengaran dan tiada dapat dilihat oleh pandangan
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ
“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah semua yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah; kemudian ditiup sekali lagi, maka mereka pun bangun menunggu (perintah Tuhan).”(Surah Az-Zumar 39:68)
Arakian maka fahamlah engkau wahai saudaraku bahawa dua tiupan itu bukanlah dua kali bunyi yang keluar dari terompet melainkan dua kalimat daripada Tuhan yang Maha Agung yang pertama mematikan dan yang kedua menghidupkan maka segala yang di langit dan di bumi pun sujud sebagaimana mereka telah sujud pada mula kejadian kerana yang hidup datang daripada kalimat yang sama yang mematikan maka tiadalah berbeza antara hidup dan mati di sisi-Nya melainkan pada kefahaman makhluk sahaja dan aku pun bertanya kepada diriku wahai saudaraku adakah langit ini akan tetap selamanya ataukah ia akan dilipat dan dikembalikan kepada asalnya maka aku pun membaca firman Tuhan yang menggetarkan jantungku
يَوْمَ نَطْوِي السَّمَاءَ كَطَيِّ السِّجِلِّ لِلْكُتُبِ كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ
“Pada hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran kitab; sebagaimana Kami memulakan penciptaan pertama, demikianlah Kami mengulanginya. Itulah janji atas Kami; sesungguhnya Kami pasti melakukannya.”(Surah Al-Anbiyāʾ 21:104)
Maka tahulah aku bahawa langit ini hanyalah helaian kitab yang sedang dibuka dan apabila tiba masanya ia akan digulung kembali dan segala bintang dan sebelas bintang rayau yang digelar akan mereka itu sekaliannya sebagai planet dan gugusan cahaya yang digelar akan mereka itu sekaliannya sebagai galaksi itu tiadalah kekal melainkan seperti debu yang berterbangan dalam lipatan lembaran itu maka yang mereka katakan pengembangan alam itu sebenarnya hanyalah masa yang sedang berjalan dan masa itu sendiri adalah gema bunyi dari kalimat pertama yang disebut sejak mula syahadan aku pun merenung wahai saudaraku apabila datang tiupan itu apakah bunyinya akan memekakkan atau menenangkan adakah ia seperti kilat atau seperti nafas yang lembut dan aku pun tahu bahawa bunyi itu bukan suara penghancuran tetapi panggilan pulang maka tiupan pertama itu memutuskan tali waktu dan tiupan kedua itu mengembalikannya ke titik mula dan di sanalah manusia akan berdiri di padang yang tiada bayang tiada gunung tiada laut kerana bumi ini akan diganti dengan bumi yang lain sebagaimana firman-Nya
يَوْمَ تُبَدَّلُ الْأَرْضُ غَيْرَ الْأَرْضِ وَالسَّمَاوَاتُ وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
“Pada hari bumi digantikan dengan bumi yang lain dan langit (dengan langit yang lain); dan mereka semua tampil menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”
(Surah Ibrāhīm 14:48)
Maka ketahuilah olehmu wahai saudaraku bahawa bumi yang dipanggil akan sekalian orang sebagai Padang Mahsyar itulah bumi yang lain dan langit yang lain itu barangkali membawa dua maksud iaitulah barangkali di bumi yang sekarang engkau pijak dilangit yang engkau junjung tetapi sudah lain susunannya juga barangkali bukan di bumi yang sekarang engkau pijak dan bukan pula langit yang engkau junjung iaitulah di bumi baharu yang tiada lautan dan tiada gunung dan tiada langit yang bergantung di atasnya melainkan cahaya Tuhan yang meliputi seluruh arah maka segala makhluk pun dikumpulkan sebagaimana zarah-zarah dikumpulkan dalam genggaman dan tiadalah ruang melainkan ruang yang bersujud dan tiadalah waktu melainkan waktu yang berhenti maka ketahuilah olehmu wahai saudaraku sekalian bahawa sesungguhnya para ahli tafsir pun berbeza fahamannya dan tiadalah mereka berselisih melainkan dalam kasih kepada makna yang satu maka berkata Ibn ʿAbbās dan Mujāhid serta al-Ḥasan al-Baṣrī bahawasanya bumi itu kekal bumi yang sama hanyasanya diubah keadaannya dilicinkan gunungnya dikeringkan lautnya dan diperluaskan sehingga tiada bayang yang menutupi matahari maka segala makhluk pun berhimpun di padang yang lapang seperti hamparan putih tiada bengkok dan tiada lekuk syahadan berkata pula Ibn Masʿūd dan Qatādah serta al-Ṭabarī bahawa bumi yang disebut itu bukan lagi bumi yang ini melainkan bumi yang baharu yang dijadikan semula dengan perintah-Nya yang Maha Agung dan itulah bumi tempat berhimpunnya segala manusia pada hari Mahsyar yang tiada laut dan tiada gunung dan tiada langit bergantung di atasnya melainkan nur Tuhan yang meliputi segala arah maka dari itu sungguh akandia Sang Fikir pun merenung dan berkata kepada saudaranya wahai saudaraku adakah engkau tidak melihat bahawa dua makna ini tidak bertentangan melainkan berpelukan seperti dua tangan yang menadah rahmat maka yang satu bumi yang sama tetapi berubah wajahnya dan yang satu lagi bumi yang lain tetapi tetap bumi bagi jiwa yang kembali arakian maka difirmankan pula oleh Tuhanmu
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
“Dan sesungguhnya telah Kami tulis dalam Zabur sesudah peringatan (Lauh Mahfuz), bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.”
(Surah al-Anbiyāʾ, 21:105)
Maka jelaslah olehmu bahawa bumi yang diwarisi oleh mereka yang beriman itu ialah bumi yang telah diperbaharui sama ada diubah susunannya atau dijadikan semula kerana bumi yang dahulu adalah bumi ujian dan bumi yang lain itu adalah bumi ganjaran maka segala yang hidup di atasnya dahulu menjadi saksi dan segala yang tunduk di bawahnya menjadi hamparan kasih Tuhan sebermula maka janganlah engkau bertanya wahai saudaraku di mana letaknya bumi itu kerana tempat bagi Tuhan tiadalah seperti tempat bagi manusia melainkan setiap lapisan bumi dan langit adalah milik-Nya dan apabila Dia berkehendak menjadikan bumi yang lain maka jadilah ia di tempat yang dikehendaki-Nya dan sekiranya bumi yang ini diperbaharui maka sesungguhnya ia telah disucikan dari segala kebinasaan maka demikianlah bumi yang diwarisi oleh orang beriman bumi yang menjadi syurga setelah dunia menyempurnakan amanahnya demikian itu wahai saudaraku maka janganlah engkau memandang ayat ini dengan mata dunia kerana mata dunia hanya melihat tanah yang dipijak tetapi mata hati melihat bumi yang diperjanjikan tempat kembali bagi jiwa yang telah tenang

Arakian aku pun berkata lagi kepada diriku wahai saudaraku bahawa manusia ini telah jauh dari kefahaman yang sebenar kerana mereka sibuk menafsir dengan teori dan meninggalkan tafakur dengan hati maka mereka menyangka ledakan itulah tanda kuasa padahal yang benar ialah kelembutan kerana Tuhan tidak perlu meledakkan sesuatu untuk menjadikannya cukup dengan kalimat yang disebut-Nya maka terhamparlah segala yang di langit dan di bumi syahadan maka fahamilah olehmu bahawa yang disebut oleh manusia sebagai ilmu itu hanyalah bayangan dari wahyu yang mereka belum kenal dan yang mereka panggil tenaga itu hanyalah sisa nur yang belum dipulangkan maka setiap kali mereka menyentuh rahsia alam mereka mengira mereka mendahului Tuhan padahal mereka sedang berjalan di bawah bayang kalimat kun yang pertama demikian itu maka aku menasihatkan engkau wahai saudaraku janganlah engkau mencari Tuhan di hujung bintang dan jangan engkau menadah langit menunggu letupan kerana yang benar itu tidak berbunyi dan yang datang itu tiada rupa kerana setiap tiupan yang disebut itu hanyalah panggilan kasih untuk kembali kepada asal mula dan barangsiapa yang memahami hakikat ini maka apabila bunyi itu datang ia akan tersenyum dan berkata inilah suara yang pernah ku dengar di dalam hatiku dahulu maka akandia Sang Fikir pun menundukkan kepala dan menulis di atas lembarannya dengan tinta yang hampir kering katanya tiupan itu bukanlah penghancuran tetapi penyatuan segala yang terpisah dan segala yang berbunyi akan diam kembali kepada-Nya
وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ



Leave a Reply