Bab 7.4 Fikrah – Padang Mahsyar dan Langit yang Bergulung

black mountains under the stars at nighttime

Langit petang itu seperti helaian sutra yang diangkat dari hujung dunia. Cahaya senja memantul dari awan yang berlapis-lapis, seolah-olah menandakan sesuatu sedang bersiap untuk dilipat.

Langit itu sepi.

Tiada warna, tiada bunyi, tiada bayang yang bisa dijadikan arah.

Semuanya putih — lembut seperti kabus, datar seperti hamparan yang tidak bertepi.

Sang Fikir berdiri sendirian di padang yang asing itu, memandang sekeliling dengan mata yang masih mencari bentuk dunia yang pernah dikenali.

“Adakah ini bumi?” bisiknya perlahan.

Suaranya sendiri seolah tenggelam dalam keluasan yang tidak bertepi.

Tiada pantulan, tiada gema.

Hanya hembusan yang tidak datang dari mana-mana arah.

Dia menarik nafas panjang, dia pernah cuba memahami ayat ‘bumi dan langit yang lain’ itu bukan sekadar dengan akal, tetapi dengan jiwa yang sedang menyaksikannya.

“Barangkali inilah bumi yang lain itu,” hatinya berbisik.

“Atau mungkin, bumi yang sama — cuma wajahnya sudah disucikan.

Lautannya dikeringkan, gunungnya diratakan, dan langitnya digulung seperti kain halus yang disimpan kembali.”

Dia tunduk, menggenggam segenggam tanah putih di bawah kakinya — lembut seperti debu roti.

Tidak ada bau tanah, tidak ada hangatnya matahari.

Hanya diam yang panjang, dan di kejauhan, angin seperti berbisik sesuatu yang belum difahami manusia.

Sang Fikir memandang ke langit.

Sangkakala —

kata itu bergetar di dalam dadanya.

“Tiupan,” fikirnya, “bukan bunyi, tetapi perintah.”

Satu perintah yang mematikan, dan satu lagi yang menghidupkan semula.

Dua kali “kun” — jadi, dan jadi semula.

Langit di atasnya mula berubah warna.

Dari putih ke perak, dari perak ke hitam, lalu perlahan-lahan bergulung ke satu arah.

Hanya gerakan yang lembut, seperti lembaran halus disapu angin.

Dia melihat bintang-bintang jatuh, yang dahulu megah kini hilang seperti kelip lilin dihembus bayu.

Dan dia tahu, semua itu bukan kehancuran — tetapi pengembalian.

“Begitulah Tuhan,” katanya dalam hati.

“Segala yang dibentang, pasti digulung.

Segala yang dihidupkan, pasti dimatikan.

Dan segala yang mati, akan dihidupkan semula untuk kembali.”

Langit itu terus bergulung.

Sang Fikir menunduk, sedar dirinya begitu kecil —

sekecil zarah dalam kitab ciptaan yang sedang dilipat Tuhan.

“Apakah Padang Mahsyar ini di bumi yang kupijak dulu?”

Ia persoalan yang muncul tanpa jawapan.

“Mungkin ya,

mungkin juga bukan.

Barangkali bumi ini sama,

tetapi susunannya sudah lain.

Atau mungkin inilah bumi baharu yang dijanjikan —

bumi yang tiada lautan,

tiada gunung,

tiada langit yang bergantung,

melainkan cahaya Tuhan yang meliputi seluruh arah.”

Dia menutup matanya.

Semuanya kini sunyi.

Tiada apa lagi untuk ditakuti.

Yang tinggal hanya cahaya — dan dalam cahaya itu, dia mendengar bisikan lembut dari dalam jiwanya sendiri:

“Pulanglah.

Langit telah digulung,

dan masa telah selesai.”


cropland duiring night time
Photo by Aron Visuals on Pexels.com

Di kaki gunung, Sang Fikir berdiri dalam diam, membiarkan fikirannya berkelana pada firman yang pernah dibacanya dalam kitab suci:

يَوْمَ نَطْوِي السَّمَاءَ كَطَيِّ السِّجِلِّ لِلْكُتُبِۚ كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُۚ وَعْدًا عَلَيْنَاۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ

“(Ingatlah) pada hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran kitab, sebagaimana Kami telah memulakan penciptaan, begitulah Kami mengulanginya kembali. Itulah janji yang pasti Kami tunaikan.”

— Surah Al-Anbiyā’ (21:104)

Angin gunung bertiup, dingin, lembap, membawa bau tanah yang baru disirami hujan.

Sang Fikir memejamkan mata — membayangkan saat segala yang di langit ini benar-benar digulung;

bintang-bintang padam, matahari dilipat, bulan hilang cahayanya.

إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

وَإِذَا النُّجُومُ انكَدَرَتْ

وَإِذَا الْجِبَالُ سُيِّرَتْ

“Apabila matahari digulung, apabila bintang-bintang berguguran, dan apabila gunung-gunung dihempas lalu menjadi debu.”

— Surah At-Takwīr (81:1–3)

Dia menghela nafas panjang, lalu berbisik kepada dirinya sendiri:

“Kalau semua ini akan digulung,

kalau gunung yang kukuh ini akan jadi debu,

kalau bumi ini akan diratakan —

di manakah nanti manusia akan berdiri?”

Pertanyaan itu bergema di dadanya.

Dia menatap tanah di bawah kakinya, memijak rumput yang basah.

“Adakah di sinilah, di bumi yang kupijak ini,

Padang Mahsyar akan dibentangkan?”

Dia teringat akan firman lain, yang selalu menggetarkan hatinya:

يَوْمَ تُبَدَّلُ الْأَرْضُ غَيْرَ الْأَرْضِ وَالسَّمَاوَاتُ وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

“(Ingatlah) pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain, dan langit pun demikian, lalu manusia semuanya tampil menghadap Allah, Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

— Surah Ibrāhīm (14:48)

“Bumi diganti dengan bumi yang lain,”

ulangnya perlahan.

“Jadi bukan bumi ini?”

Matanya memandang ke cakrawala,

seakan cuba mencari di mana letaknya bumi yang lain itu.

Di dalam dirinya, persoalan bergema tanpa henti —

Bagaimana dengan planet-planet yang mereka katakan bergentayangan di angkasa?

Apakah ia juga akan digulung bersama langit, atau akan hilang lenyap seperti bintang yang padam?

Dia teringat kepada sebuah hadith Nabi ﷺ yang pernah dibaca dalam kitab tafsir:

“Manusia akan dikumpulkan di atas bumi yang putih bersih seperti roti yang belum pernah dilakukan dosa di atasnya.”

— (Riwayat al-Bukhārī & Muslim)

“Bumi yang putih bersih…”

bisiknya, sambil memejam mata.

“Tiada gunung, tiada lembah, tiada pohon, tiada tempat bersembunyi.

Hanya manusia dan amal mereka berdiri di hadapan Tuhan.”

Mata Sang Fikir mulai basah.

Dia memandang langit, lalu memejam mata lagi.

Dan di antara hela nafasnya, terbit doa kecil dari hatinya yang paling dalam:

“Ya Allah, bila langit-Mu digulung,

bila bumi-Mu diganti,

bila segalanya menjadi putih dan sunyi —

izinkan aku berdiri dalam teduhan rahmat-Mu,

bukan dalam panas murka-Mu.”


Kemudian dia teringat. Dahulu dia pernah melihat gambar alam semesta itu seperti trompet, lalu teringat firman Allah tentang tiupan sangkakala:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَّنظُرُونَ

“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah semua yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sekali lagi, maka tiba-tiba mereka bangun dan menunggu (perintah Tuhan).”

— Surah Az-Zumar (39:68)

Apakah kebetulan bahawa gambaran saintifik itu juga menyerupai bentuk alat tiupan?

Adakah ini cuma analogi?

Atau mungkin, langit dan masa itu sendiri adalah terowong tiupan yang akan mengembang, lalu kelak — dengan satu tiupan lagi — akan digulung kembali ke asalnya?

Sang Fikir menunduk.

Dia melihat skema Big Bang yang para saintis lukis di layar dunia, kemudian dikembangkan pula hyphotesis garis masa yang bermula dari titik cahaya, melebar seperti corong.

Tetapi fikirnya:

“Jika alam ini diledakkan, nescaya pusatnya hancur — namun Tuhan tidak menyebut ‘meletup’, Dia berfirman — فَفَتَقْنَاهُمَا — Kami pisahkan keduanya.”

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ

“Tidakkah orang-orang kafir itu mengetahui bahawa langit dan bumi dahulu adalah satu yang padu, lalu Kami pisahkan keduanya?”

— Surah Al-Anbiyā’ (21:30)

Pisah.

Bukan letupan.

Dan Sang Fikir tersenyum — kerana dalam bahasa Tuhan, pemisahan boleh saja lembut, seperti helaian kain yang ditarik dari lapisannya, bukan seperti nuklear yang mengganas.

natural stone stuck in melting ice
Photo by Mikhail Nilov on Pexels.com

Di bawah langit malam, Sang Fikir menulis di dalam jurnalnya:

“Jika langit digulung,

maka mungkin ia juga pernah digelar — dibentang.

Maka segala antara bentangan dan gulungan itu adalah masa.

Dan masa itu sendiri adalah bunyi,

kerana Sangkakala itu bunyi yang membelah segala dimensi.”

Dia lalu teringat hadith tentang dua tiupan —

yang pertama mematikan, yang kedua membangkitkan:

“Kemudian ditiup sangkakala, maka matilah semua makhluk di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Lalu ditiup untuk kali kedua, maka mereka pun berdiri menanti (perintah Tuhan).”

— (Riwayat Muslim, 2940)

Dua tiupan itu…

barangkali itulah dua lengkungan masa —

satu mengembang, satu menggulung.

Dan antara keduanya,

adalah kehidupan.


Di hadapan teori sains yang berkata “Big Bang” dan “Big Crunch”,

Sang Fikir hanya tersenyum — nampaknya letusan semua arah yang digembar gemburkan akhirnya disanggah sendiri dengan bentuk pengembangan seperti corong — lalu dia tersentak — kalau corong, maka tempat asalnya harus kekal — dan seharusnya, itulah bumi.

Dia tersenyum lagi — kerana baginya, al-Qur’an telah lama menyebut penciptaan dan penggulungan,

dengan bahasa yang lebih indah dan tepat:

buka – pisah – bentang – lipat – gulung.

Dan apabila bumi telah sempurna kejadian, langit masih berasap. Lalu dia tersenyum lagi — kali ini agak hairan;

“Mengapa manusia tetap memilih jalan sendiri menerangkan apa yang mereka tidak ketahui? Seolah-olah mereka melihat sendiri kejadian langit dan bumi dipisahkan oleh Tuhan?”


Leave a Reply