Berkatalah +SANGfikir bahawa sesungguhnya telah datang ke dalam hatiku suatu lintasan yang halus tatkala aku menatap air yang mengalir di hadapanku maka aku pun termenung melihatnya kerana pada tiap riak air itu ada zikir yang tidak didengar oleh telinga manusia melainkan oleh hati yang telah dibersihkan dari karat dunia maka aku pun berkata dalam diriku wahai air engkau dijadikan Tuhan sebagai rahsia kehidupan dan kematian dan di antara keduanya engkau menjadi lambang ketundukan dan kesucian engkau mengalir ke bawah mencari rendahnya bumi tetapi darjatmu tinggi di sisi Tuhan engkau tidak pernah angkuh walau seluruh alam menumpang di atasmu maka demikian itu teringatlah aku akan firman Allah ta‘ala
وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ وَكَانَ عَرْشُهُۥ عَلَى ٱلْمَآءِ
“Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa dan adalah ‘Arasy-Nya di atas air.”
(Surah Hūd, 11:7)
Maka aku pun berfikir bahawa kalam Allah itu tiada terikat oleh waktu kerana waktu itu makhluk yang diciptakan sedangkan kalam Allah bersifat kekal tidak berubah tidak berakhir dan tidak bermula maka tatkala Allah berfirman bahawa Arasy-Nya di atas air bukanlah ia kisah dahulu kala tetapi kenyataan yang sentiasa ada selama-lamanya bahawa singgahsana kebesaran itu memang di atas air bukan dahulu bukan nanti tetapi hakikat yang tidak berubah sebagaimana tidak berubahnya kebesaran Allah Tuhan semesta alam lalu aku pun menundukkan pandanganku kerana aku tahu bahawa yang disebut air itu bukanlah sekadar air yang aku lihat mengalir di bumi ini tetapi air yang lain air yang menjadi asas kepada kewujudan segala yang hidup air yang tiada warna tiada bau tiada rasa tetapi daripadanya lahir segala warna segala bau dan segala rasa maka aku pun berkata dalam hati bahawa air ini seperti tauhid yang tidak kelihatan tetapi daripadanya terbit segala makna iman maka teringatlah aku akan sabda Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa tujuh langit itu di sisi Kursi hanyalah seperti cincin kecil di tengah padang luas dan keagungan Arasy di atas Kursi itu seperti padang luas dibanding cincin kecil maka aku pun terdiam kerana aku melihat betapa kecil bumi yang aku pijak betapa kerdil manusia yang berjalan di atasnya dan betapa agung Tuhan yang menzahirkan semua ini daripada tiada kepada ada dan adapun dalam pandangan seorang arkitek yang memahami tertib dan susunan maka aku melihat bahawa ciptaan Tuhan ini juga memiliki hierarki bahawa ada yang di bawah ada yang di tengah dan ada yang di atas maka bumi ini berada di bawah langit dan langit di bawah air dan air di bawah Arasy dan Arasy di bawah kekuasaan Allah dan kekuasaan Allah di atas segala yang ada tiada yang lebih tinggi daripadanya maka aku pun memahami bahawa susunan ini bukan hanya susunan fizikal tetapi susunan martabat bahawa semakin tinggi kedudukannya semakin dekat ia dengan kesucian semakin tinggi semakin bersih dari kekotoran dunia maka apabila Allah menyebut bahawa Arasy di atas air maka itu tanda bahawa air itu lapisan terakhir makhluk sebelum sampai kepada had kudus kebesaran Tuhan yang tiada bandingan dan demi sesungguhmya telah aku lihat dalam kehidupan bahawa air memiliki sifat yang sangat halus bahawa ia tunduk kepada bentuk bahawa ia menyesuaikan diri bahawa ia menanggung segala kotor tetapi tidak pernah menjadi kotor bahawa ia memberi kehidupan kepada yang memusnahkannya dan menyucikan yang menajiskannya maka aku pun berkata wahai air engkau mengajar manusia erti kehambaan bahawa tunduk itu bukan kehinaan tetapi kemuliaan bahawa memberi itu bukan kehilangan tetapi kekayaan bahawa mengalir ke bawah itu bukan jatuh tetapi pulang kepada asalmu maka ketahuilah olehmu wahai saudarku sekalian bahawa sesungguhnya aku perhatikan bahawa air itu mempunyai tiga keadaan yang nyata dan tiga keadaan itu tidak memadamkan hakikatnya maka tatkala ia menjadi wap ia terbang ke langit membawa rahmat tatkala ia menjadi cair ia mengalir di bumi membawa kehidupan dan tatkala ia menjadi beku ia menjadi batu menyimpan rahsia masa hadapan namun dalam ketiga-tiganya tetap ia air maka aku pun memahami bahawa begitulah manusia dalam tiga keadaan kehidupan yakni tatkala ia tinggi dengan ilmu tatkala ia mengalir dengan amal dan tatkala ia kaku dengan mati namun dalam ketiga-tiganya tetap ia hamba yang sama yang akan kembali kepada Tuhan yang menciptakannya maka demikian pula aku memikirkan tentang ayat lain yang telah disebut oleh Allah
إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنشَقَّتْ
“Apabila langit terbelah.”
(Surah Al-Inshiqāq, 84:1)
Dan aku pun berkata dalam diriku bahawa jika langit itu boleh terbelah maka langit itu bukan kosong tetapi sesuatu yang padu kerana tiada yang boleh retak melainkan sesuatu yang mempunyai jasad maka aku pun menyangka dengan sangkaan yang lembut bahawa langit itu air dalam bentuk yang tiada diketahui manusia dan bahawa apabila ia retak maka pecahlah rahmat yang tertahan di atasnya maka tumpahlah kasih Tuhan ke bumi sebagaimana hujan yang menyucikan dosa-dosa manusia yang lupa kepada-Nya maka tatkala aku membaca tulisan orang-orang sains yang menyebut telah ditemukan takungan air raksasa di ruang angkasa yang luasnya beribu kali ganda daripada semua lautan di bumi maka aku tersenyum sendiri kerana mereka baru menemukan apa yang telah disebut Tuhan dalam kalam-Nya sejak empat belas abad yang lalu bahawa di atas langit itu ada air dan di atas air itu Arasy dan di atas Arasy itu tiada lagi makhluk melainkan kebesaran Allah semata

Dan berkata lagi +SANGfikir itu bahawa air itu bukan sekadar zat yang menampung kehidupan tetapi cermin yang menzahirkan tauhid bahawa di atasnya berdiri kekuasaan Tuhan dan di bawahnya mengalir rahmat Tuhan bahawa air itu menyucikan jasad dan menyucikan roh bahawa siapa yang menatap air dengan mata hatinya akan melihat wajah hikmah bukan rupa Tuhan tetapi tanda-Nya yang mengalir di dalamnya maka aku pun berkata lagi bahawa apabila engkau melihat sungai yang mengalir maka itu tanda takdirmu yang sedang berjalan apabila engkau mendengar ombak memukul pantai maka itu tanda doa yang tidak pernah putus apabila engkau meneguk air maka itu tanda bahawa engkau diberi peluang untuk hidup sekali lagi maka jangan engkau lupa bahawa setiap titis yang masuk ke dalam tubuhmu adalah amanah yang akan ditanya di hadapan Tuhan kelak lalu aku menulis lagi bahawa air itu makhluk yang paling sabar bahawa ia menanggung hujan ribut tetapi tetap mengalir bahawa ia dipukul tetapi tidak melawan bahawa ia dihalang tetapi mencari jalan bahawa ia dipecah tetapi bersatu kembali maka aku pun berfikir bahawa jika seluruh manusia belajar daripada air nescaya dunia ini damai kerana air tidak pernah membenci ia hanya terus berjalan demikianlah saudaraku sekalian maka aku mengingatkan diriku bahawa tatkala air turun dari langit menjadi hujan maka setiap titisan itu adalah kasih Tuhan yang turun dari langit dan tatkala hujan itu berhenti maka yang tinggal di bumi bukanlah air tetapi berkat yang tidak terlihat dan tatkala air itu menguap naik ke langit maka ia kembali membawa doa makhluk kepada Penciptanya maka demikianlah kitaran kehidupan manusia dari Allah kembali kepada Allah maka kemudian dari itu aku menulis lagi bahawa sifat air itu menyucikan kerana ia lembut lembutnya menembus kerasnya batu lembutnya menghakis besi lembutnya menenangkan api maka aku pun berkata bahawa lembut bukan kelemahan tetapi kekuatan yang tersembunyi maka siapa yang ingin menjadi kuat hendaklah ia belajar menjadi lembut sebagaimana air yang lembut tetapi menghancurkan gunung dengan waktu dan demi Tuhanku yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya adalah tatkala aku menulis aku menangis kerana aku tahu bahawa aku sendiri pun sering lupa kepada air yang telah menghidupkan tubuhku bahawa aku minum setiap hari tetapi jarang bersyukur bahawa aku mandi dengan nikmatnya tetapi jarang berzikir maka aku pun menunduk dan berkata dalam hati wahai air ampunilah aku kerana telah memandangmu sebagai benda sedangkan engkau ayat Tuhan yang hidup

Demikianlah saudaraku sekalian akan bicara +SANGfikir bahawa Arasy di atas air itu tanda bahawa segala kehidupan di bawahnya bersumber daripada rahmat bahawa air yang di atas itu menanggung perintah dan air yang di bawah itu menjalankan kehendak bahawa di antara keduanya bergeraklah segala urusan Tuhan maka segala yang hidup bernafas dengan izin-Nya dan segala yang mati kembali dengan perintah-Nya maka tiadalah yang keluar dari lingkaran air melainkan yang sesat dari tauhid-Nya maka demikianlah akhirnya aku menulis bahawa air itu juga lambang keadilan kerana ia turun kepada semua tanpa memilih antara mukmin dan kafir antara kaya dan miskin antara raja dan hamba maka siapa yang belajar daripada air akan memahami bahawa kasih Tuhan itu adil bahawa rahmat-Nya meliputi segalanya maka aku pun menutup kalamku dengan doa
اللهم علّمنا مما علمتَ الماءَ الصبرَ والطهارةَ والرحمةَ والسكينةَ
“Ya Allah, ajarkanlah kami sebagaimana Engkau ajarkan kepada air sifat sabar, kesucian, kasih, dan ketenangan.”
Maka diamlah aku lama menatap air di hadapanku kerana pada air itu kulihat wajah segala ciptaan pada air itu kulihat perjalanan masa pada air itu kulihat diriku sendiri yang datang dari-Nya dan akan kembali kepada-Nya maka aku pun menunduk dan berbisik perlahan bahawa segala puji bagi Allah Tuhan yang Arasy-Nya di atas air Tuhan yang menyembunyikan kebesaran-Nya dalam lembutnya air dan yang menzahirkan rahmat-Nya dalam titisan yang jatuh dari langit
الله أعلمُ بالـصـواب
Allah Maha Mengetahui yang sebenarnya


Leave a Reply