Tuan puan sekalian. Coretan ini adalah rentetan daripada coretan asal Polemik Di Manakah Allah? yang telah kita terbitkan sebelum ini. Untuk makluman juga, dialog Merungkai Kepercayaan Hadith Jariah juga telah sempurna dilangsungkan dengan jayanya pada hari Sabtu, 19 Ogos 2023;
Seperti kita telah jangka sebelum ini, kedua-dua Ustaz Salman Ali dan Ustaz Noor Derus membentangkan hujah yang agak serupa dengan apa yang kita telah bentangkan dalam beberapa siri video yang kita kongsikan sebelum ini. Yang berbeza adalah garapan pembentangan; kelihatan lebih kemas dan lebih jelas kepada kita orang awam yang menonton dan mendengar untuk mengambil pendirian.
Benar tuan puan sekalian. Seperti yang telah berulang kali kita sebut, dan seperti yang Ustaz Noor Derus sebut dalam ucapan penggulungan dialog tersebut; setiap kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah akidah yang kita pegang. Biar kita tambah lagi begini; tidak dijumpai dalam Al-Quran mahupun hadith bahawa kita orang awam di Padang Mahsyar kelak boleh menyorok belakang para ulama atau ustaz kesayangan kita jikalau akidah yang kita pegang adalah salah! Sebab itu kita berulang kali sebut dalam terbitan sebelum ini; fahami Al-Quran dan pelajarilah ilmu hadith.
Bercakap perihal ilmu hadith, kita fikir dari dialog yang telah berlangsung tadi, tuan puan sekalian boleh menilai sendiri hendak cenderung kepada ustaz yang mana dalam isu hadith Jariah. Dari sesi soal jawab dialog, pasti tuan puan boleh tahu cara fikir mana yang lebih lurus untuk diikuti, cara fikir yang macam mana pening untuk tuan puan sekalian memahaminya. Kemudian eloklah juga tuan puan tonton video penjelasan lanjut Ustaz Noor Derus berkenaan beberapa perkara yang tidak dapat beliau jelaskan secara terperinci semasa dialog tersebut, di bawah ini;
Video di atas adalah seminggu selepas dialog berlangsung. Jelas sekali, kita dapat lihat perbezaan ketara cara berfikir golongan Assyairah, berbanding mereka yang menisbahkan diri sebagai golongan Salafi. Ungkapan sang ustaz adalah pedas, sebagaimana beliau telah pun jelaskan seminggu sebelum dialog tersebut dalam video di bawah ini;
Kesimpulan Dialog Hadith Jariah
Baiklah. Apa yang tuan puan dapat simpulkan dari dialog yang telah berlangsung?
Beginilah ya. Sebagaimana telah kita sebut sebelum ini, dialog ini tidak akan mengubah apa-apa. Ustaz Noor Derus kekal dengan pendirian beliau, manakala Ustaz Salman Ali juga kekal dengan pendiriannya. Yang berubah adalah mereka yang mendengar hujah kedua-dua ustaz tersebut. Itu pun barangkali sahajalah. Kalangan mereka yang sudah taksub dengan kedua-dua ustaz tersebut, besar kemungkinan mereka kekal dalam kem yang sama.
Bagaimana pula dengan tuan puan sekalian? Cenderung kepada hujah Ustaz Salman Ali, atau cenderung kepada hujah Ustaz Noor Derus? Ini hanyalah lontaran sahaja untuk difikirkan.
Kita cuma hendak sebut begini. Jelas sekali dialog yang telah berlangsung itu ibarat ayam bercakap dengan itik. TIDAK AKAN ADA TITIK TEMU. Dan, kita boleh kata bahawa sebagaimana telah ratusan tahun percanggahan pemikiran ini berlarutan, adakah kita berharap ia akan selesai dalam sehari dua? Maka kebarangkalian besarnya adalah; TIDAK MUNGKIN.
Kalau kedua-dua belah pihak tidak pernah mahu bersetuju dengan istilah perbahasan sejak ratusan tahun lamanya, apa lagi yang boleh kita orang awam ini harapkan?
Sebab itu, sebagai orang awam, kita kena ambil pendirian sendiri dengan membiarkan perbahasan hadith jariah itu kepada dua golongan yang berterusan akan bercanggahan selamanya, iaitu ahlul hadith dan ahlul kalam. Gelaran ini kita berikan berdasarkan kecenderungan pihak yang bercanggahan itu, yang jelas semakin kelihatan; pihak mana yang cenderung melazimi ilmu hadith sebagaimana ulama hadith yang awal menanggapinya dan membandingkan pula dengan pihak mana pula yang cenderung melazimi ilmu kalam.
Sebab itu juga, sebagaimana telah kita terangkan sebelum ini, orang awam patut mengambil pendirian sendiri, berdasarkan kefahaman Al-Quran. Maka patut kita ulang sekali lagi, kefahaman orang awam terhadap Al-Quran tidak bermakna boleh memandai tafsir sendiri Al-Quran, bahkan wajar kita ini menimbang kalam para ulama tafsir yang muktabar. Macam mana hendak timbang? Kena belajar timbanglah ya tuan puan sekalian! Macamlah selama hidup tuan puan di muka bumi ini tidak pernah tahu menimbang perkara dan mengambil pendirian? Semua perkara kena tanya ustazkah?

Kita akan lanjutkan terbitan asal “Di manakah Allah? dengan merujuk kembali kepada senarai jawapan yang telah kita kemukakan sebelum ini;
- Allah di langit;
- Allah istawa ‘alal ‘arsy ;
- Allah bersemayam di atas ‘arasy;
- Allah berada di atas daripada langit;
- Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy;
- Allah ada di mana-mana;
- Allah wujud tidak bertempat;
- SAYA TIDAK TAHU
Seperti telah kita jelaskan sebelum ini, oleh kerana umumnya hadith Jariah (khususnya yang menyebut pertanyaan Di manakah Allah?boleh dikatakan telah disepakati oleh kalangan ahli Assyairah bahawa ianya tidak harus dijadikan dalil dalam pegangan aqidah, maka eloklah rumusan kita nanti sekadar merujuk kepada dalil Al-Quran. Juga telah kita sebutkan sebelum ini, tidaklah sukar mana pun bagi orang awam untuk memahami ilmu tauhid jika hanya merujuk kepada Al-Quran semata-mata sekalipun. Syaratnya, kenalah belajar mentadabbur Al-Quran. Kenalah kita memahami Al-Quran secara keseluruhan mengikut konteksnya dan rajin membelek tafsiran para ulama tafsir berkaitan urusan kefahaman tauhid. Janganlah lupa kita juga boleh merujuk kepada kalam para ustaz yang berbeza manhaj tauhid dalam mempelajari tafsir Al-Quran.
Selepas rujuk, maka timbangkan sendiri ya tuan puan sekalian. Usah lupa bahawa akal kita orang awam tidaklah sebodoh mana sehingga tidak tahu hendak membezakan antara dua ini;
Dalil atau Dalih?
Beginilah kita hendak bagi faham. Kalau tuan puan sudah hidup atas muka bumi ini tahu cara hendak cari makan, tahu cara hendak hidup, maka teramatlah pelik bin ajaib kalau masih tidak tahu beza dalil atau dalih dalam kehidupan dunia ini.
Kita semua cerdik ya tuan puan sekalian. Kalau tidak cerdik dunia, macam mana tuan puan sekalian sedang membaca tulisan ini?
Terbitan ini akan dikemaskini kemudian. Dengan izin Allah jua.
Comments
You must log in to post a comment.