Tuan puan sekalian. Dalam coretan sebelum ini, kita sudah nyatakan; politikus itu, tua bangka, muda remaja atau miskin kaya, perangainya macam itu juga. Orang awam macam kita, rakyat jelata yang bijaksana, usahlah biarkan diri masuk lubang ular berkali-kali. Lainlah kalau kita ini cuma ‘raykat’ melata. Jenis macam ini tidak boleh hendak ditolong ya.

Kita juga sudah maklum. Keputusan dan analisa PRU 15 ini nanti gebangnya apa. Hendak tahu kesan kepada kehidupan seharian kita rakyat jelata pun, kita sudah boleh telah. Sudah nama politik, sepak terajangnya macam itu juga. Lainlah kalau ini kali pertama kita hendak pergi mengundi. Kasihan la juga.

Sebab itu kita nak pesan. Ambillah peluang seminggu dua ini untuk menilai kata-kata para politikus itu semua. Kena pandai juga. Yang tersirat, tidak semestinya dihamburkan sebagai yang tersurat. Politikus ini ada yang jenis cerdik. Ada yang tak cerdik juga sembang tak ingat dunia; Ucapan Zahid di himpunan MIC tarik perhatian ramai.

Ini dipanggil bunuh diri. Hendak buat jahat, cerita terus terang depan orang ramai sudah kenapa? Hendak ‘cover line’ pun tiada guna; ‘Ucapan Zahid rujuk kepada politik balas dendam’. Cerdiklah sikit. Bukan sehari dua duduk bergelumang dalam politik. Tidak sedar lagikah kebodohan diri sendiri itu mengundang bencana?

Kita tahulah, kalau puak sebelah sana menang nanti, mereka akan buat perkara serupa. Mana tidaknya, baru sehari dua menang sudah bergegas mohon keampunan untuk banduan dua kali itu. Mana tidaknya, dek kerana hendak lantik jadi menteri, digugurkan kes tiba-tiba sampai pihak SPRM pun terpinga-pinga. Jadi, orang putih cakap; ‘track record’ buat jahat itu sudah ada. Macam mana rakyat yang bijaksana mahu percaya jiran sebelah itu tidak akan buat perkara yang serupa?

Jiran sebelah itu bolehlah gebang. Macam suci sangat. Gebang macam itu, cuma ‘raykat’ melata saja sudi dengar. Rakyat jelata, hendak dengar kelentong buat apa? Dia menang nanti, apa jaminan mereka tidak akan tukar Peguam Negara? Apa jaminan, mereka tidak akan gugurkan kes puak-puak khemah besar? Apa jaminan tidak akan dibekukan sekali lagi projek tukar kroni? Apa jaminan ekonomi akan mencanak naik melawan arus kemelesetan global? Nanti, Rusia dan Amerika juga yang disalahkan puak-puak itu.

Kalau masuk dalam manifesto pun, bukan boleh percaya. ‘Track recordMANIFESTO BUKAN KITAB SUCI sudah ada, nak percaya buat apa? Tapi, kalau tuan puan memang peminat tegar Maharaja Lawak, mari kita belanja kata-kata tersurat tukang lawak antarabangsa pula;

Klip video potong sana sini senang kita nak jadikan bahan. Sama ada bahan politik atau bahan lawak. Ikut kecenderungan kita ke arah manalah. Kalau memang cenderung anti-BN, ke situlah dia. Kalau memang cenderung anti-PH, ke sanalah pula. Kalau memang berharap khemah besar menang, bolehlah kita berangan tak sudah macam bekas ahli majlis orang-orang tua ini menelah ramalan; PRU15: Umno/BN masih ada harapan menang.

Kita jangan sedih sangatlah baca ramalan itu. ‘Reverse psychology’ saja. Niat artikel itu, hendak bagi PH menang juga. Macamlah kita tidak tahu mainan katanya. Ayat penutupnya ‘rakyat jelata tolak rasuah’. Itu sajalah dijaja sejak berkurun lamanya. Seolah-olah suci sangatlah jiran kita itu bebas rasuah. ‘Raykat’ melata yang asyik tutup mata salah laku pemerintah mengganggu prinsip pengasingan kuasa, tak mahu kritik jugakah? Ini kita hendak tanya; 2 X 5, berapa jawabnya?

Yang Tersurat dan Yang Tersirat

Sebab itu tuan puan sekalian. Catatan kali ini kita hendak tuan puan telusuri maksud yang tersurat dan yang tersirat dari gelagat politikus kesayangan kita. Ilmu pak nujum ini, tidaklah sukar mana kalau kita tahu guna akal. Orang putih cakap; history does not repeat, but it ryhmes.

Sebab tidak mahu guna akal, maka sampai ke tua bangkalah nanti kita kena perdaya sampai masuk kubur. Sudahlah dalam bab agama pun kita kena perdaya. Dalam bab sains pun diperdaya juga. Dalam bab politik kegemaran kita membawang pun, mahu kena tipu hidup-hidup jugakah? Itu kita pesan. Otak belum masuk kubur, pakai elok-elok. Sudah masuk kubur nanti, baru hendak dengar talkin soal jawab dalam kubur, apa gunanya?

Yang tersirat daripada suratan ‘Usah salahkan rakyat jika BN menang, kata Agus‘ ini apa? Yang tersirat adalah supaya pembangkang bersatu padu menentang musuh ketat negara. Tidak kisahlah kan kalau lepas menang berpecah pun. Tidak kisahlah kalau lepas menang berebut kuasa macam dulu juga. Tidak kisahlah kan kalau menang nanti tukar Peguam Negara dan gugur kes kroni pula. Asalkan bukan BN, begitu? Tuan puan sekalian hendak bermimpi indah sedemikian, silakanlah. Kalau belum serik lagi bau hancing tidak hilang lagi, silakanlah.

Yang tersirat dari soalan gila seperti ‘Bolehkah Najib jadi calon PRU15?‘ ini apa pula maksudnya? Sengaja menempah maut kasi bola tanggung kepada PH dan PN kah? Sudah-sudahlah itu menjaja nama yang sudah berada di dalam penjara. Berilah peluang kepada yang empunya nama itu hendak berehat. Kes mahkamah pun belum selesai. Tanya soalan sedemikian, apa faedahnya?

Yang tersirat dari suratan ULASAN | Mengundi untuk kalahkan ‘pencuri’ ini apa pula? Tidak mahu buat ulasan ‘mengundi untuk gugurkan kes kroni’ kah? Sampai bila hendak jaja berita basi pencuri, penyamun dan perompak itu? Ada baca sebutan kes mahkamahkah? Faham bahasa Malaysia atau tidak? Sabitan kes sedia ada itu, kes mencurikah? Ini yang kita panggil bodoh tidak boleh diajar ya tuan puan. Adakah puak-puak kaki kelentong itu fikir negara ini penuh dengan ‘raykat’ melata semuanya? Tiadakah rakyat jelata dalam kalangan 33 juta penduduk Malaysia ini?

Ayat kelentong paling ampuh adalah kononnya banduan akan dibebaskan. Usah terpedaya sangatlah benda macam ini. Sebab, kalau ikut ‘track record’, yang buat kerja macam ini adalah puak-puak manifesto bukan kitab suci; Bebaskan Najib? BN tak akan ‘campur urusan kehakiman’ seperti PH – Asyraf. Kita marhaen usah bebal sangat, boleh? Kita hendak risau bekas PM akan dibebaskan buat apa? Kita patut risau, kaki kelentong itu nanti, kalau menang, mereka akan bebaskan kaum kerabat mereka dengan cara gugur kes. Sudah lupa?

Jam Omega Mana?

Tuan puan sudah lupa? Atau tuan puan sekalian masih berhingus lagi semasa drama jam omega berlangsung? Atau belum lahir lagi?Kalau masih belum tahu dimanakah jam omega tersebut, maka layaklah kita telan saja dongeng penglipurlara jam omega; Rakyat tak perlu risau dikhianati lagi, PH ada ‘chief’ baru – Anwar. Inilah calon terbaik ‘Presiden Malaysia’ alaf ke-21 ini. Kita ucapkan selamat maju jaya kepada tuan puan sekalian kalau memang sudah taksub sangat kepada ‘anugerah Tuhan‘ pilihan tuan puan sekalian.

Kita akan memasuki fasa kempen rasmi PRU15 tidak lama lagi. Nampaknya, rakyat jelata dan ‘raykat’ melata seluruh Malaysia akan disajikan dengan sekurang-kurangnya empat gabungan pasukan berkuda yang akan berperang sesama sendiri. Antara pasukan berkuda tersebut, sudah ada seruan Dr M saran ‘pembangkang’ lupakan permusuhan sesama sendiri. Kita faham sangatlah. Sebab, dalam kalangan penganalisis politik, juga masih bermimpi basah supaya Jangan pendam dendam panjang dalam berpolitik.

Seruan supaya bersatu ini kita faham sangatlah. Supaya dapatlah pasukan berkuda yang kuat berak sepanjang jalan itu menyambung kerja-kerja terbengkalai memporak perandakan badan kehakiman negara. Supaya dapatlah mereka jual beli lagi hasil rampasan perang agar projek pembangunan negara terbengkalai juga. Seruan Jomo: Pembangkang yang ‘serius’ boleh berpakat walau ada perbezaan ini adalah kebodohan berulang oleh bekas ahli majlis orang-orang tua. Nanti bila menang, bertikam sesama sendiri sampai marhaen sekaliannya dapat bala. Yang dapat laba, para politikus itu juga. Kalau tidak dapat sapu projek, dapat gugur kes mahkamah kroni sendiri itu pun sudah puas bagi mereka. Jika tuan puan sekalian masih mahu diperbodohkan selamanya, percayalah nanti selepas PRU15, pasukan berkuda yang saling berperang ini akan bergabung sesama sendiri. Mereka akan telah balik ludah yang dihamburkan ke langit atas seribu satu alasan; demi untuk kebaikan rakyat!

Maka demikianlah para politikus kesayangan kita sekaliannya itu berjual beli sebelum tarikh rasmi kempen bermula. Kita rakyat marhaen layan sajalah. Hendak buat macam mana kalau sudah diasuh hak asasi manusia itu ikut suka hati mereka yang gila kuasa. Kita tunggu sajalah nanti manifesto berjela-jela. Hendak baca boleh. Tak baca pun boleh juga. Manifesto bukan kitab suci, kan?

Jadi, kita nak tanya sekali lagi. Pergi mengundi, apa faedahnya?

Kalau BN menang, kita akan dapat apa? Kalau PN menang, kita dapat makan katak? Kalau PH menang, kita dapat naik kuda? Kalau GTA menang, makan petailah kita semuanya? Kita marhaen ini mengundi, dapat apa?

Pergi mengundi, apa faedahnya?

Pasar Jual Beli Kuda

Kita katakan begini. Melainkan terdapat satu perikatan yang ampuh dibentuk sebelum hari pengundian, dan pakatan itu menang besar, maka bersedialah kita rakyat jelata dan ‘raykat’ melata untuk menonton tayangan filem perdana Pasar Jual Beli Kuda. Sebab itu tuan puan sekalian, kita tunggulah dulu barisan mana yang akan dibentuk sebelum hari pengundian. Kalau ada lebih dari dua kumpulan perang mulut nanti, eloklah kita duduk rumah makan Super Ring saja. Musim tengkujuh, hujan lebat sana sini, elok kita tidur saja. Jangan terlebih lena sudah. Takut banjir nanti, tidur dalam air kita sekaliannya!

Akan bersambung kemudian. Dengan izin Allah jua.

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • ‘Perang Ustaz’: Wahabiah Aliran Sesat atau ASWJ?+SANGfikir

    […] bahaya ancaman wahabi ini lebih teruk dari bahaya para politikus kita yang akan berperang tidak lama lagi. Memang bahaya kalau dengar ceramah ustaz. Seram lagi mengerikan. Kita pun pelik juga, berapa ramai […]

  • Nur Muhammad dan Penjelasan Berkaitan Aqidah Islam (3) – +SANGfikir

    […] Tonton dari mula sampai habis. Usah lompat sana sini. Kita tonton syarahan agama, bukannya syarahan politik ya tuan puan […]

%d bloggers like this: