Tuan puan sekalian. Dalam Bahagian 2 sebelum ini, kita ada menyentuh perihal budaya tuduh menuduh dalam Youtube. Mari kita lihat semula peringatan sebelum ini supaya tuan puan berhati-hati dengan kaki suka manipulasi video orang, sehingga menyebabkan;

  1. Dr. Haris cakap lain, tuan puan faham lain pula;
  2. Ustaz Suhili cakap lain, tuan puan faham lain pula;
  3. Ustaz Dr. Rozaimi cakap lain, tuan puan faham lain pula.

Usah Sentap. Jangan Melenting

Sebab itu tuan puan, bila tonton react video, jangan cepat buat keputusan. Jangan juga mudah melenting melabel ikut sedap mulut ya.

Makan super ring dulu ya.

Kena ingatlah. ‘Kita tidak pernah undi sesiapa’ suruh mereka buat video react. Kena faham itu.

Kepada orang awam yang menonton, jangan sentap sangat.

Serupa juga. Ustaz pun kena tenang dulu. Barulah mantap buat teguran.

Itu satu hal ya tuan puan. Sekarang, elok kita sambung bab adab membuat react video pula.

Adab Membuat Video Reaksi (React Video)

Sebelum kita bicara lebih lanjut, cuba tuan puan lihat paparan tangkap layar semua video caption yang telah kita tonton sebelum ini;

Pertama sekali tuan puan, usah terpedaya dengan video caption. Paparan yang anda lihat tidak semestinya bertepatan dengan kandungan sebenar video. Yang kedua, kalau tidak bertepatan sekalipun, jangan sentap sangat. Sebab kaedah video caption ini memang sudah jadi trend dalam kalangan pembuat react video. Kalau tidak buat macam itu, susah hendak tarik penonton, khususnya kalau itulah tujuan membuat video. Nanti mesej tidak sampai pula. Ia adalah ilmu pemasaran dan teknik bikin video.

Yang ketiga kena faham betul-betul ya tuan puan. Orang yang berbicara dalam video itu tidak semestinya orang yang membuat video caption. Boleh jadi orang lain. Biasanya adalah pasukan yang bekerja menerbitkan video. Kalau hendak kata ‘fitnah’, janganlah tuju kepada yang berbicara, barangkali pasukannya yang buat pasal, dia pula yang terpalit. Pun begitu, kita tidak nafi, biasa juga, yang buat video caption itu adalah yang berbicara itu sendiri. Ini pun ada kebarangkalian juga.

Sebab itu, jangan mudah menuduh orang membuat tuduhan, setakat kita lhat video caption. Tonton dari mula sampai habis. Ulang dengar. Semak rujukan. Cari perkaitan video. Kalau video jenis potong sana sini, elok cari video asal yang penuh. Fahami konteks perbicaraan. Barulah kita tidak terjebak dalam aksi tuduh-menuduh tidak bersudahan dalam ruangan komen video tersebut.

Seperti yang telah kita sebutkan dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2 dahulu, kalau kita jenis kaki buat react video, janganlah kita sentap kalau ada orang lain pula membuat react video untuk menjawab video kita. Kita boleh bicara apa yang kita suka, orang lain pun boleh bicara apa yang mereka suka.

Cuma kena ingatlah. Apa pun perkara perbicaraan itu dari pihak mana sekalipun, yang akan menilai adalah khalayak ramai. Terpulanglah kepada khalayak hendak berpihak kepada kita, atau berpihak kepada lawan kita.

Ini sebagai teguran umum ya tuan puan. Jangan ambil hati. Sebab kita dapati ramai orang tidak tonton habis, terus buat reaksi dalam ruang komen. Terus jadi panas. Elok-elok tukang buat video asalnya santai, tiba-tiba boleh jadi naik angin pula. Ini contoh sahaja.

Akhir sekali ya tuan puan, jangan harap semua orang faham penerangan kita. Pekara ini sudah kita jelaskan dalam Bahagian 2;

  1. Perkara yang kita faham, tidak semestinya orang lain faham yang serupa kita;
  2. Perkara yang orang lain faham, tidak semestinya kita faham serupa orang itu pula.

Begini ya tuan puan. Yang memberi faham itu bukan manusia, bukan guru, bukan malaikat. Yang memberi faham itu adalah Allah Azzawajal. Itulah ilmu hakikat yang ringkas. Kita harap ini jelas.

Berpada-pada Membela Ulama

Berpada-padalah dalam semua perbuatan kita. Termasuklah membela ulama kesayangan kita. Ada sebabnya kita kata begitu ya tuan puan. Sebelum tuan puan bermati-matian membela seseorang ulama atau tokoh besar, tanya diri terlebih dahulu;

  1. Tuan puan ada mengaji secara langsungkah dengan ulama atau tokoh besar tersebut?
  2. Tuan puan ada bertalaqi dengan mereka?
  3. Sudah habis baca semua buku-buku mereka yang beratus-ratus jilid?
  4. Sudah lihat apa yang berlaku kepada anak murid mereka hasil pembelajaran dengan tokoh tersebut?
  5. Sudah semak apa kritikan ulama lain terhadap ulama atau tokoh besar tersebut?

Macam mana tuan puan? Semua soalan di atas di jawab ‘YA ‘ kesemuanya? Atau ada jawapan ‘TIDAK‘. Atau tuan puan hendak jawab; ‘TIDAK BERKENAAN‘? Atau tuan puan hendak jawab; ‘ADA AKU KISAH?’

Jujurlah kepada diri sendiri ya tuan puan.

Untuk memudah faham, biar kita sebutkan bahawa Imam Al-Ghazali yang kita semua sanjung tinggi itu adalah guru tasawuf yang hebat. Diiktiraf seluruh dunia. Beliau bermazhab As-Syafie. Beliau digelar Hujjatul Islam. Beliau adalah tokoh sufi. Beliau juga lantang membenteras kegelinciran akidah golongan sufi pada zamannya. Kehebatan beliau tidak kita sangkal.

Tetapi, sedarkah tuan puan perkara ini;

  1. Ada kalangan ulama besar dan tersohor mengkritik buku karangannya;
  2. Ada terselit lebih kurang 800 hadith dhaif dalam buku karangannya?
  3. Ada terselit lebih kurang 200 hadith palsu dalam buku karangannya?

Tuan puan jangan melenting dengar perkara ini ya. Jangan seolah-olah tidak pernah mengaji kitab.

Perkara fakta, jangan hendak kita nafi. Tetapi adakah kita dengar sesiapa di dalam negara ini menuduh Imam Al-Ghazali itu sesat? Ada? Ada sesiapa pernah kutuk ulama yang mengkritik Al-Ghazali itu sebagai jahat? Barangkali ada jugalah terutama jenis kalangan tak habis baca kitab.

Kalau orang yang mengaji kitab, kita akan faham bahawa ulama yang mengkritik itu telah membersihkan ilmu tasawuf yang diajar oleh Al-Ghazali supaya kita hari ini beroleh manfaat, bersih dari hadith dhoif berat dan palsu yang ada dalam buku karangan beliau. Ilmu tawasuf Al-Ghazali adalah yang banyak kita rujuk hari ini dalam pengajian di masjid dan surau. Imam Al-Ghazali tetap kita hormat sebagai ulama agung. Adakah kita nak kata hanya kerana ada hadith palsu dalam bukunya maka kita hendak buang semua ilmu yang beliau sampaikan?

Kemudian, pernahkah kita dengar tuduhan Ibnu Arabi sesat? Tuduhan Syaikh Nazim Al-Haqqani sesat? Siapa yang menuduh? Adakah mereka orang awam biasa macam kita? Atau mereka adalah dalam kalangan ulama besar yang kita baca buku-buku mereka juga? Kita hendak laknat jugakah ulama yang arif dalam bidang mereka semata-mata kerana mereka menuduh Ibnu Arabi atau Syeikh Nazim Al-Haqqani sesat?

Begini ya tuan puan. Kita orang awam ini usah terjerumus dengan budaya mengata orang sesat. Sebab ilmu kita tidaklah setara mana. Kalau ada ulama besar mengatakan ulama besar lain sesat, itu urusan mereka dengan Allah. Itu urusan ulama yang dituduh dan ulama yang menuduh. Kita jangan masuk campur beria-ria hendak membela, atau beria-ria hendak pandai-pandai menuduh pula.

Seperti telah kita sebutkan dalam bahagian 1 dan 2, kita janganlah melenting jika dengar sebahagian ustaz memberi tahu kita pemikiran seseorang tokoh itu sesat. Ustaz sedemikian ada ilmu dalam dada mereka. Mereka ada tanggungjawab memberitahu kita. Kalau tidak, apa guna ilmu yang mereka ada kalau tidak disampaikan kepada masyarakat.

Setelah mendengar ulama atau ustaz mengatakan sesat pemikiran seseorang, kita sebagai orang awam patut ambil berat. Barangkali benar, barangkali salah. Barangkali tepat, barangkali kurang tepat. Sebab itu jangan malas mengaji. Jangan malas hadiri kuliah. Jangan malas semak. Kalau malas juga, elok diam saja. Ikut sajalah fatwa apapun yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri, atau ikut sajalah bicara ustaz yang jadi kegemaran kita. Begitu?

Kita orang awam, berpada-padalah membela ulama. Khususnya ulama yang kita sendiri pun tidak pernah bertemu. Tidak pernah menjadi muridnya. Tidak pernah habis baca semua kitabnya. Apa jaminan bahawa ulama yang kita bela itu benar-benar berada di atas jalan lurus?

‘Ada suara dari langitkah memberitahu seluruh manusia di dunia ini bahawa ulama tersebut itu benar?’

Kita tidak pernah jumpakah orang yang kita anggap lurus itu rupa-rupanya tidak? Fikir-fikirkanlah.

Kalau tuan puan tidak jelas lagi perkara ini, cuba baca saranan di bawah ini;

Pautan kepada buku-buku Syeikh Nazim Al-Haqqani

Begini sajalah ya tuan puan. Oleh kerana punca asal perbahasan adalah melibatkan rujukan kepada buku-buku Syaikh Nazim Al-Haqqani, maka elok juga tuan puan baca dahulu 2 buku yang disandarkan kepada tuan syeikh yang berkenaan, supaya tuan puan boleh menilai sendiri, pihak mana yang salah faham dan pihak mana pula yang memutarbelitkan perkataan.

Jika ada kelapangan, tuan puan boleh juga membaca buku-buku lain yang disandarkan kepada Syaikh Nazim Al-Haqqani di pautan کتاب | BOOK | buku. Bila kita hendak pertahan hujah, jangan ambil satu buku saja untuk tegakkan dalil. Kena baca pelbagai buku, tafsiran para ulama dan hujah yang bersangkutan, supaya tidaklah kita terkurung dalam dunia pemikiran yang sempit seumur hidup sebagai orang awam.

Tuan puan boleh rujuk dulu buku-buku yang berkenaan, supaya tidaklah kita tergolong dalam kalangan orang awam yang mudah diperdaya oleh sesiapa jua yang berbicara, baik dari kalangan ahli tarekat dan penyokong Syaikh Nazim Al-Haqqani, orang awam yang mempertahankannya dan para ustaz yang mengulas isu yang berkenaan.

+SANGfikir

Orang Awam Perlu Berbicara Perihal Agama

Jangan nafi. Jangan halang. Hanya perlu jaga adab sahaja. Orang awam kena belajar berlapang dada terima kritikan ustaz kalau kita jenis suka bercakap perihal agama. Usah rasa diri kita sahaja yang benar. Belajarlah terima kritikan. Itulah adab orang awam bercakap perihal agama. Kita kena ingat, bila kena kritik, ada beberapa kebarangkalian;

  1. Kita melakukan kesilapan KECIL dan ada pihak sengaja memperbesarkan isu;
  2. Kita melakukan kesilapan BESAR yang perlu ditegur dan diperbetulkan;
  3. Kita salah konteks dalam penjelasan yang memerlukan penelitian semula;
  4. Kita hanya ambil satu pandangan saja lalu anggap itulah satu-satunya pegangan, sedangkan perkara itu telah menjadi maklum ramai para ulama muktabar khilaf tentangnya;
  5. Kita memang tidak layak berbicara sebab biarpun kefahaman kita benar, cara penerangan kita salah.

Kita tidak pasti apa latar belakang tuan puan. Tetapi si tukang tulis ini sudah biasa berhadapan dengan pelbagai kritikan dalam dunia akademik. Kita tahu bezakan kritikan membina dan kritikan membinasakan. Apa juga kritikan yang mendatang, kita patut sentiasa bermuhasabah diri. Nilai kembali apa yang kita faham. Kena sedar, banyak juga apa yang kita faham dahulu kurang tepat, atau tersasar habis barangkali. Kena sentiasa belajar perbaiki diri. Itulah pentingnya belajar terima teguran.

Kita yang menonton rasa senang hati ada orang awam melalui saluran YouTube seperti Protagonist Insight dan Kapten Hafiz Firdaus yang ada keberanian mengupas isu-isu agama. Ini menunjukkan tidaklah semua orang awam dangkal urusan agama sebagaimana dakwaan sebahagian ustaz. Ini menunjukkan ramai orang awam faham, bukannya tidak faham. Tidak kisahkan apa pun manhaj pilihan mereka. Biarlah mereka hendak saling berbalas hujah. Kita hendak pelik apa? Sesama ustaz pun berbeza manhaj. Sesama ustaz pun berbalas hujah. Kita biarkan saja asalkan tidak sampai kepada cerca mencerca sesama orang Islam. Suburkan budaya berfikir tentang ilmu agama. Ini lebih baik daripada kita lihat orang awam lalai dengan saluran tiada faedah dalam YouTube.

Janganlah anggap semua orang awam itu tidak cerdik belaka ya tuan puan. Orang awam pula, janganlah rasa diri terlajak cerdik pula. Sesiapa juga ada kelebihan dan kekurangan diri. Kita tidak sempurna sepenuhnya. Kena ingatlah.

Bila orang awam berbicara perihal agama, sekurang-kurangnya para ustaz kita tahu, ada orang awam yang memahami dengan baik, ada orang awam yang memahami dengan kurang baik, dan ada juga orang awam yang masih tidak faham-faham lagi apa yang para ustaz sudah ajar. Bukankan ini sangat baik. Sekurang-kurangnya tidaklah ustaz kita sangka semua orang awam itu cerdik belaka. Atau orang awam itu semua kurang cerdik belaka. Atau orang awam itu semua tidak cerdik langsung. Jadi, para ustaz bolehlah juga muhasabah diri, apa lagi yang tidak kena dengan kaedah pengajaran. Boleh perbaiki cara penyampaian barangkali.

Kesilapan Dr. Haris dalam perkongsian Video 1, Video 3, Video 4 dan Video 7, jika ada pun, sepatutnya kita berlapang dada. Begitu juga, barangkali ada silap sedikit sana sini dalam perkongsian Video 2 dan Video 6 oleh Ustaz Suhili, juga Video 5 oleh Ustaz Dr. Rozaimi. Ada tegur, ada sindir, ada silap, berlapang dada sajalah. Biasalah kalau manusia buat silap. Bila kita kata manusia, ini termasuklah orang awam dan juga para ustaz ya tuan puan. Jangan kita keji atau laknat pula. Tuan puan kena lihat diri sendiri jugalah. Adakah kita ini sempurna sangat ilmu agama sampai hendak kutuk orang tidak tentu pasal? Yang paling utama, orang yang faham agama, yang ada iman dalam hati, yang bertakwa kepada Allah tidak akan sesekali mencerca sesama agama Islam. Faham ini tuan puan?

Akhir sekali, tukang komen video Youtube, janganlah pula melalak seolah-olah tidak pernah tahu ulama zaman dahulu pun saling berbalas hujah. Janganlah anggap orang awam zaman dahulu kala itu jahil belaka tidak ambil tahu urusan agama. Jangan kata keliru atau pening kepala pula apabila pelbagai khalayak berbicara pasal agama. Jangan buat alasan sebab macam-macam orang berbicara pasal agama, kita hendak lari pula dari urusan agama. Ringkas kata; jangan jadi bebal agama.

Kita di Malaysia ini saja baru nak dapat perbahasan seperti ini. Saudara seagama kita di Indonesia sudah lama berlapang dada bila berdepan dengan perbahasan serupa ini. Buku-buku agama pelbagai manhaj bertentangan berlambak-lambat dalam pasaran Indonesia. Mereka celik urusan agama, kita pula masih terperap macam katak bawah tempurung. Inikah jenis masyarakat Islam yang hendak kita bangunkan?

Sudah berpuluhan tahun masyarakat Indonesia terbuka membicarakan agama. Indonesia masih wujud, bukan? Ada pecah belah? Kita hendak kecoh kata pecah belah sudah kenapa?

Kita takut orang sesat sudah kenapa? Kita hendak sekat orang awam bercakap perihal agama sudah kenapa? Jika orang awam salah, tegur sajalah. Jika ustaz salah, tegur sajalah. Tegur saja pun. Kita tidak suruh tuan puan pukul orang ya. Ada undang-undang pun, puak-puak sesat berlambak juga dalam negara.

Kita hanya perlukan hujah yang baik, tidak kiralah dari kalangan ustaz, mahupun dari kalangan orang awam yang ada sedikit ilmu dan kesedaran untuk sama-sama berganding bahu membenteras amalan sesat dalam masyarakat. Menegakkan kebenaran dengan hujah. Kalau masih wujud lagi golongan degil mahu kekal dalam kesesatan, itu urusan mereka dengan Allah. Itu urusan mereka dengan pemerintah. Sesama kita orang awam, kita peliharalah diri kita dan kalangan yang dekat dengan kita supaya menjauhi kesesatan. Faham?

ISLAM, Beriman atau Kafir?

Tuan puan sekalian. Dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2 kita sudah mengemukakan ulasan kita. Elok kita rumuskan ikut kefahaman kita. Jika tuan puan tidak bersetuju, itu terpulanglah. Yang hendak menjawab depan Allah nanti diri kita masing-masing. Kena bertanggungjawab sendirilah apa yang kita faham dan apa yang kita perbuat di dunia ini.

Cuma kita nak pesan. Yang menjatuhkan hukuman di dunia ini adalah pemerintah. Yang memberi fatwa untuk dijadikan asas hukuman di dunia adalah golongan agamawan yang di iktiraf pemerintah. Umara’ dan Ulama’ ada tanggungjawab mereka menjaga kemaslahatan umat. Itu urusan mereka. Kita orang awam, kalau tidak bersetuju dengan pandangan ulama sekalipun, khususnya mereka yang dilantik oleh pemerintah, tidak usahlah hendak bertegang leher sampai berguling-guling atas jalan. Kita tidak setuju, kita tidak iktiraf, cukup untuk diri kita sahaja. Kena ingat, akhirnya kita juga sendirian yang akan menjawab di Padang Mahsyar kelak. Bukan pemerintah. Bukan ulama. Bukan ustaz. Ini satu lagi ilmu hakikat yang mudah dan patut kita faham ya tuan puan.

Baiklah tuan puan, mari kita rumuskan perbahasan perbahasan ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer) mengikut 3 kaedah berikut;

  1. Rumusan ikut kefahaman awam yang umum;
  2. Rumusah ikut konteks ucapan atau teks yang disandarkan kepada Syeikh Nazim Al-Haqqani;
  3. Rumusan ikut tingkatan iman dan takwa.

Rumusan Kefahaman Awam

Kafir yang kita faham memang merujuk kepada;

  1. Infidel (orang tiada agama atau beragama lain dari majoriti kepercayaan orang)
  2. Disbeliever (orang yang enggan terima untuk percaya / menolak untuk beriman)
  3. Unbeliever (orang yang tidak percaya / tidak beriman)
  4. Non-believer (orang yang tidak serupa kepercayaan / lain keimanannya)

Yang di atas itu kita kutip dari ulasan Video 2.

Dalam ulasan Video 3, kita sudah rumuskan berikut ikut kefahaman awam, iaitu jika kita boleh terima infidel boleh ditakrif sebagai kafir, apa masalah pula kalau kita hendak terima unbeliever boleh ditakrif sebagai kafir.

Itulah secara ringkasnya tuan puan. Sila rujuk ulasan Video 3 dalam Bahagian 1 jika tuan puan hendak lihat huraian panjang. Kalau hendak mudah, maka kita ulang tayang Google Translate. Sudah nama pun orang awam, maka apa masalah guna Google Translate hendak bagi mudah faham?

UNBELIEVER (Bahasa Inggeris) = KAFIR (Bahasa Melayu)

Rumusan ikut konteks Syeikh Nazim Al-Haqqani

Bila kita berbantah tentang sesuatu perkara, maka kita patut kembali kepada akar perbincangan, iaitu berkenaan teks yang disandarkan Syeikh Nazim Al-Haqqani. Kalau kita buka tajuk lain, sampai kesudah kita tidak akan habis perbincangan.

Jadi beginilah ya tuan puan. Tuan puan dengar kembali hujah Ustaz Suhili dalam Video 2 dan Video 6, jawapannya jelas sekali iaitu teks dalam buku Mercy Ocean Book Two itu adalah merujuk kepada golongan manusia secara umum. Maka, apabila kita membicarakan iman manusia secara umum, khususnya orang yang beriman kepada hari akhirat dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, rujukannya adalah jelas merujuk kepada orang beriman dengan orang kafir. Hal ini sudah kita terangkan dalam ulasan Video 6 dalam Bahagian 2.

Apabila tuan punya badan, Syeikh Nazim itu sendiri sudah menerangkan bahawa kafir, unbeliver saling berdampingan (rujuk kembali buku Mercy Ocean Book 2, halaman 157 & 158).

maksudnya; unbeliever adalah kafir.

maksudnya; TIDAK BERIMAN adalah KAFIR.

Jadi, hujah Ustaz Suhili dalam Video 2 dan Video 6 itu sudah terang lagi bersuluh. Kalau tuan puan hendak bantah juga, terpulanglah kepada tuan puan ya. Takkan kita hendak paksa pula?

Rumusan ikut tingkatan iman dan takwa.

Hal ini adalah perkara yang dimaklumi oleh semua orang yang mengaji. Dr. Rozaimi telah mengulas panjang. Dr. Haris juga telah ulas panjang lebar berkenaan tingkatan iman. Dalam urusan orang yang sudah Islam, memang kita tahu ada perbicaraan mengenai berkenaan perbezaan muslim (orang Islam) dan mukmin (orang beriman).  Ia adalah merujuk kepada tingkat keimanan seseorang Islam. Begitu juga terma mukhlisin dan mukhsinin.

Kedua-dua Ustaz Dr. Rozaimi dan Dr. Haris telah membicarakan perkara yang sama-sama maklum. Kedua-duanya merujuk kepada dalil yang sama, Kefahaman yang agak serupa juga, iaitu dari segi kefahaman tingkatan iman dalam kalangan orang Islam. Sekurang-kurangnya adalah juga titik persamaan kedua-duanya dalam hal ini.

Jadi, perkara ini kita terima seadanya. Hendak gaduh apa lagi?

Photo by Jeremy Bishop on Pexels.com

Sekadar Renungan

Akhir kalam, elok juga jika kongsikan sebahagian petikan dari Mukadimah blog ini untuk renungan tuan puan sekalian;

Berkatalah +SANGfikir;

Wahai saudara seagama dengan aku sekalian ketahuilah olehmu bahawa sungguh orang yang percaya kepada Tuhan itu bersaudara maka dengarlah akan kalian suruhan Tuhan iaitulah dia damaikanlah antara saudaramu sekalian dan takutlah kamu sekalian kepada Tuhan demikian itu supaya beroleh akan rahmat Tuhan Sekalian Alam maka dari karena itulah ingin daku berpesan tatkala melihat akan kamu itu beberapa golongan yang saling berbantahan akan sesuatu perkara itu maka perhatikanlah butir perkataan yang diucapkan dan setelah itu gunalah akan akal yang telah dikurnia akandia oleh Tuhan agar diketahuilah oleh kamu sekalian akan segala ucapan dan janganlah kamu itu menelan semua perkataan sebagaimana buaya menelan semua yang berdatangan dan janganlah kamu sekalian degil tidak mahu menggunakan akal demi sungguh khuatir akandaku ini kita sekalian menyanggah firman Tuhan supaya hidup mengguna akan akal dan janganlah kamu melampaui batas dalam mengguna akan akal sungguh khuatir akandaku ini kita sekalian terjerumus dalam lembah kegilaan maka peliharalah akan kamu sekalian nikmat akal yang diberi akandia oleh Tuhan supaya tidaklah kita sekalian hidup dalam kesesatan sebagaimana sesatnya sebahagian orang bersedap-sedapan akan mereka itu menyingkap apa yang tidak diberitahu akandia oleh Tuhan hingga habis hidupnya sepanjang siang dan malam mengerjakan perbuatan yang tiada usul dari Tuhan dan Nabi mereka itu sekalian demikianlah itu maka jadilah kita sekalian orang yang mencari pengetahuan kerana telah jelas firman Tuhan iaitulah tidaklah akan sama orang yang berpengetahuan kalau mahu dibanding akandia dengan yang tidak berpengetahuan dan carilah jalan untuk kita sekalian menyempurna akan akal karena demi sungguh Tuhan telah menerangkan sungguh dengan akal sempurna akandia itu maka beroleh akan manusia itu mengambil pelajaran maka tatkala berhadapan akan kamu sekalian pelbagai bantahan maka kembalilah kamu kepada Al-Quran dan letakkanlah ia mengatasi segala pengetahuan mudah-mudahan akan beroleh akan kita sekalian ilmu yang diberi akandia oleh Tuhan Yang Menguasai Hari Pembalasan.

+SANGfikir

Demikianlah pesan +SANGfikir kepada semua yang beragama Islam supaya tidak sesuka hati menyalah guna ilmu kalam untuk menyingkap maksud yang tiada asal . Itulah pentingnya hidup di dunia ini menyempurnakan akal fikiran. Firman Allah S.W.T:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Surah Az-Zumar 39:9

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3

mukadimah | blog | کتاب | siapa? | YouTube

Comments

  • ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer) 2 – +SANGfikir

    […] teruskan bacaan di Bahagian 3 AWAM FAHAM BUKAN TAK FAHAM […]

%d bloggers like this: