Tuan puan sekalian. Sebelum ini kita sudah menonton dan mengulas empat video yang asalnya hendak menyangkal dakwaan Ustaz Salman Ali berkenaan dakwaan ajaran original sin oleh Sheikh Nazim Al-Haqqani, sehingga meleret pula perbahasan istilah kafir, beriman dan tidak beriman.
Mari kita teruskan menonton baki 3 lagi react video yang berkaitan untuk meneruskan sambungan bicara tentang ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer).
Video 5
Video ini asalnya disiarkan di laman Facebook Ustaz Dr. Rozaimi yang menegur orang awam tersebut berkenaan takrif ISLAM, iman dan kufur menurut pandangan para ulama. Ustaz memaklumkan dia terpaksa mengambil tanggungjawab untuk menerangkan takrif yang patut difahami awam;
Tuan puan sekalian. Kita orang awam ini berdesing telinga jugalah terkadang mendengar ceramah Ustaz Dr. Rozaimi. Kita janganlah sentap sangat. Elok kita ambil ilmu baik yang beliau kongsikan. Itu yang lebih utama. Jarang kita dengar Dr. Rozaimi berbicara dengan suara lunak seperti video di atas. Biarpun ada sedikit sindiran bahasa, secara umummya, ia adalah teguran yang sangat berhemah dari Dr. Rozaimi supaya takrif Islam, kafir dan khususnya tidak beriman kepada hari kiamat bukanlah perkara yang boleh diambil sambil lewa.
Kita secara umumnya menerima penjelasan tuntas dari Dr. Rozaimi. Ia sangatlah jelas, biar apapun pandangan kita terhadap peribadi beliau. Beliau membicarakan perkara yang sudah jelas kepada umum. Jadi, eloklah tuan puan hadam sendiri penjelasan ustaz. Antara yang ustaz tegaskan adalah tidak percaya kepada hari akhirat, maka kafir hukumnya menurut pandangan para ulama. Ustaz bentangkan dalil dengan kitab sekali. Kalau kita hendak bantah, tunjukkanlah pula kitab kita. Ada?
Ada satu hal ya tuan puan. Faham atau tidak kitab yang kita baca atau bertalaqi itu satu hal lain pula. Sebab itu, hormatilah keilmuan yang ada pada Dr. Rozaimi, khususnya apabila beliau membicarakan tentang perkara yang sangat penting perihal iman dan Islam. Dengar jugalah apa pandangan para ustaz yang lain berkenaan iman dan Islam, mudah-mudahan kita buat keputusan yang tepat, dengan izin Tuhan.
Ustaz Dr. Rozaimi ada memetik beberapa potongan ayat Al-Quran dalam tegurannya. Elok juga kita teliti Surah Al-Hujurat ayat 14 berikut;
قَالَتِ ٱلْأَعْرَابُ ءَامَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا۟ وَلَٰكِن قُولُوٓا۟ أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلْإِيمَٰنُ فِى قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَٰلِكُمْ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu tidak (belum) beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’ (Islam), karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surat al-Hujurat 49:14
Ustaz Dr. Rozaimi ada bentangkan dua pandangan ulama. Kita boleh simpulkan ringkas begini ikut fahaman kita; satu menerangkan لَّمْ bermaksud TIDAK beriman (dari asbabunnuzul Quran), satu lagi menerangkan لَّمْ bermaksud BELUM beriman. Elok tuan puan rujuk tafsir yang ustaz telah maklumkan. Cuma, kalau hendak fahami konteks ayat itu dengan cara meneliti konteks ayat, elok tuan puan teruskan bacaan Al-Quran hingga ayat berikutnya;
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا۟ وَجَٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.
Surat al-Hujurat 49:15
Itulah maksud iman yang ustaz telah terangkan tadi. Percaya tanpa ragu-ragu dengan lisan, perbuatan dan hati. Jika kita sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, apa yang menghalang kita untuk percaya pula firman Allah dan sabda Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasalam untuk mempercayai adanya hari kiamat dengan sepenuh kepercayaan?
Elok tuan puan teruskan bacaan ke ayat yang seterusnya pula;
قُلْ أَتُعَلِّمُونَ ٱللَّهَ بِدِينِكُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
Apakah kamu akan memberitahukan kepada Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?
Surat al-Hujurat 49:16
Tuan puan sekalian. Jika tuan puan ingin faham lebih mendalam, boleh tekan pautan di atas untuk merujuk beberapa himpunan tafsir. Secara ringkas, zahir ayat di atas adalah amaran kepada kita. Siapa kita yang hendak memandai-mandai mengatakan apa yang Allah tidak katakan tentang agama Islam yang kita anuti? Allah hanya beritahu ada keturunan dalam tulang sulbi. Itu saja. Bagaimana kita boleh terima begitu sahaja kononnya keturunan dalam tulang sulbi Nabi Adam Alaihissalam itu ada yang beriman dan ada yang tidak beriman pula? Kita faham atau tidak fitrah kejadian manusia? Fikir-fikirkanlah.
Baca dua lagi ayat seterusnya, dengan izin Tuhan, kita akan khatam Surah Al-Hujurat yang mengandungi 18 ayat;
يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا۟ ۖ قُل لَّا تَمُنُّوا۟ عَلَىَّ إِسْلَٰمَكُم ۖ بَلِ ٱللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَىٰكُمْ لِلْإِيمَٰنِ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ
Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah: “Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar”.
Surat al-Hujurat 49:17
Inilah ayat yang merujuk kepada asbabunnuzul Quran tadi. Iaitu, ayat 14 itu ditujukan kepada golongan yang menyangka mereka sudah beriman, padahal mereka tidak beriman. Seperti dinyatakan tadi, pandangan satu lagi adalah merujuk kepada golongan yang belum beriman sepenuhya. Pandangan seperti ini juga boleh diterima. Sebab, perkataan لَمَّا dalam ayat 14 tadi;
… وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلْإِيمَٰنُ فِى قُلُوبِكُمْ….
adalah merujuk kepada ‘waktu’ yang boleh disingkap maksud menjadi belum masuk iman ke dalam hati. Begitulah secara ringkasnya ikut kefahaman kita yang menulis ini. Ketahuilah sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mengetahui.
Mari kita habiskan bacaan hingga ayat terakhir;
إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Surat al-Hujurat 49:18
Tuan puan yang beriman. Gentarlah hatimu mendengar ayat ke-18 ini. Percayalah dengan penuh yakin perkara ghaib yang sampai kepada kita melalui Al-Quran. Hari kiamat ada. Neraka ada. Janganlah kita mudah terpesong dengan sebahagian pemikiran yang mengatakan sebegini;
Orang beriman akan kembali ke syurga, orang tidak beriman akan kembali ke tempat masing-masing.
Ke tempat masing-masing? Ke mana? Kekal dalam dunia? Kembali ke tulang sulbi? Mengapa tidak sebut sahaja orang tidak beriman akan ke neraka? Kita hendak pusing apa lagi? Benarkah kita sudah beriman?
Demikianlah ya tuan puan perkongsian ayat 14 hingga 18 Surah Al-Hujurat. Semoga ada manfaatnya. Jika tuan puan ada kelapangan, bacalah pelbagai tafsiran ulama muktabar yang kita kongsikan. Jangan ambil satu tafsiran saja, lalu kita bermati-matian mempertahankannya, sedangkan di sana ada lagi tafsiran yang lebih tepat untuk kita ambil manfaat darinya.
Kita kembali kepada teguran Dr. Rozaimi. Tuan puan dengarlah dengan hati dan minda yang terbuka. Untuk kebaikan tuan puan juga. Ustaz sudah jelaskan dengan penuh ketenangan. Bicara pula satu persatu penjelasan menurut turutan kefahaman yang mudah bagi orang awam faham. Maka, nasihat Dr. Rozaimi yang baik kita ambil. Sindiran yang kita rasa tak kena, abaikan sajalah. Jangan kita hendak nafi, ilmu yang beliau sampaikan itu selaras dengan kefahaman yang para ulama kita telah ajar kepada umat Islam. Kita berkeras hendak nafi juga sudah kenapa? Fikir-fikirkanlah.
Video 6
Untuk makluman tuan puan, Ustaz Suhili tampil kembali pada 17 Julai 2022 untuk menghujah balas Video 4 yang telah kita ulas dalam Bahagian 1. Berikut adalah hujah balas beliau;
Seperti yang telah kita sebutkan dalam Bahagian 1 dahulu, kalau kita jenis kaki buat react video, janganlah kita sentap kalau ada orang lain pula membuat react video untuk menjawab video kita. Terpulanglah kepada khalayak yang menonton YouTube hendak berpihak kepada kita, atau berpihak kepada lawan kita.
Ustaz Suhili masih muda. Tetapi kita kagum dengan ketelitian beliau dalam mengulas dan menjawab hujah. Sebagai contoh, beliau jelaskan dulu butiran perkara yang hendak dibicarakan dalam Video 5 di atas sebagaimana di bawah ini;

Ini adalah nilai akademik yang baik. Mudah orang awam hendak faham. Mudah pula pakar hendak nilai. Jadi tuan puan nilai sendirilah huraian 5 perkara yang tersenarai di atas. Dalam 5 perkara itu, elok kita kongsikan apa yang Ustaz Suhili huraikan dalam penegasan bahawa memang unbeliever itu boleh dirujuk sebagai kafir;

Tuan puan sekalian, perihal glosari yang Ustaz Suhili sebutkan itu sudah kita hurai dan bahas panjang lebar apabila si tukang tulis ini menilai Video 3 dan Video 4 dalam Bahagian 1. Apa pegangan tuan puan hingga ke saat ini, itu terpulanglah kepada kefahaman tuan puan. Kita tidak mahu tanya lagi setakat ini. Elok kita kongsikan konteks penuh 2 lagi perkongsian oleh Ustaz Suhili.
Mercy Ocean Book One (halaman 95)
Kita kurang pasti Ustaz Suhili rujuk cetakan versi mana. Tetapi salinan yang ada pada kita, perihal berkahwin dengan perempuan tidak beriman itu ada di halaman 94 buku Mercy Ocean Book One, seperti di bawah ini;

Kita kongsikan juga halaman 93 ya tuan puan. Sebab dari situ tuan puan boleh lihak konteks soal jawab antara Sheikh Nazim dan anak muridnya dengan lebih luas. Dalam mukasurat 93 itu, ada menjelaskan perbezaan urusan berkenaan perempuan bukan Islam (non-muslim) dan perempuan Islam (muslim) sebagai isteri. Dalam perenggan terakhir itu pula soal jawab lelaki beriman (believer) jika berminat mengahwini perempuan tidak beriman (unbeliever).
Jika tuan puan masih bertegas tidak patut mengatakan unbeliever sebagai kafir jika rujuk mukasurat 93 dan 94 di atas, kita boleh terima jugalah. Kalau itu kefahaman tuan puan, hendak buat macam mana?
Cuba tuan puan rujuk pula buku yang jadi asas pertikaian dari Video 1 hingga ke Video 6 ini, iaitu;
Mercy Ocean Book Two (halaman 157)
Kita kongsikan penuh ya tuan puan halaman 157 dan 158. Tujuannya supaya tuan puan baca penuh konteks ucapan Sheikh Nazim. Lihat perenggan yang kita serlahkan kuning di bawah ini;

Jadi, apa penilaian tuan puan? Tuan sheikh itu sendiri menerangkan kafir, unbeliver saling berdampingan. Maksudnya apa ya tuan puan kalau unbeliever itu tidak kafir pula? Hendak pusing macam mana lagi ya? Fikir-fikirkanlah.
Kita ulang pesan sajalah. Tepuk dada, tanya iman. Bukan tepuk dada tanya selera pula.
Berkenaan hujah 2, 3, 4 dan 5 itu, kita fikir tuan puan cukup matang untuk menilai yang mana intan yang mana kaca. Terserahlah kepada tuan puan hendak mengambil ketetapan ya. Tetapi bagi kita si tukang penulis ini, penjelasan Ustaz Suhili sudah cukup teliti dan rapi. Kalau tuan puan menonton dengan teliti Video 6 ini, fahamlah maksud kita.
Cuma macam kita pernah sebutlah, kita tidak berapa berkenan juga bila Ustaz Suhili mendesak lagi Dr. Haris minta maaf pula dengan Ustaz Salman. Itu kita tidak mahu masuk campurlah. Lainlah kalau Ustaz Salman sendiri tiba-tiba membuat permintaan tersebut. Itu lain cerita.
Demikianlah ya tuan puan ulasan serba ringkas kita berkenaan Video 6 di atas.
Video 7
Maka pada 21 Julai 2022 pula, Dr. Haris menegakkan sekali lagi hujah beliau dalam video berikut;
Dalam Video 7 di atas, nampaknya Dr. Haris masih lagi mempertahankan hujahnya mengikut kefahamannya. Asal dari hendak mempertahankan Sheikh Nazim Al-Haqqani, perbahasan original sin, meleret kepada beriman atau kafir, beliver dan unbeliever. Yang menarik, beliau tidak lagi membincangkan hujahan balas Ustaz Suhili berkenaan original sin, yang menjadi isu asal saling berbalas react video antara mereka. Dalam video ini, beliau memfokuskan untuk menghuraikan lebih lanjut perihal beriman dan tidak beriman.
Konteks Asal: Ucapan Sheikh Nazim Al-Haqqani
Beginilah ya tuan puan. Perihal Islam, beriman, tidak beriman, belum beriman, sudah beriman dan sebagainya adalah isu yang lain dari topic asal perbincangan dalam Video 1.
Kalau tuan puan teliti semua hujah Ustaz Suhili dalam Video 2 dan Video 6, kita boleh jelas bahawa Ustaz Suhili menerangkan berkenaan takrif kafir, takrif unbeliever menurut konteks buku Mercy Ocean Book Two yang menjadi punca asal perbahasan. Beliau menerangkannya; as it is, kata orang putih. Fakta yang beliau kemukakan konsisten merujuk kepada takrif yang bersangkutan dengan ucapan Sheikh Nazim, itu saja. Isu tingkatan iman adalah perkara yang berbeza, tiada kena mengena dengan konteks asal berkenaan ucapan Syeikh Nazim.
Huraian Beriman dan Tidak Beriman
Kembali kepada ulasan Video 7. Huraian tentang kefahaman beriman dengan perkataan, perbuatan dan membenarkan dengan hati, sudah pun dijelaskan oleh Ustaz Dr. Rozaimi dalam Video 5 tadi. Kena fahamlah tuan puan, bila kita membicarakan perihal seperti ini, kita merujuk kepada hakikat seseorang itu sudah Islam, kemudian kita berbicara tentang iman.
Begini ya tuan puan, bila baca Al-Quran, jangan leka untuk faham konteks berbeza seperti; wahai manusia, wahai orang Islam, wahai orang beriman, wahai ahli kitab, wahai bani Adam, wahai bani Israel dan sebagainya.
Kalau kita berbicara tentang manusia secara umum, bila kita lihat orang tidak beriman, maka kita kata dia kafir. Orang bukan Islam, maka kita kata dia kafir. Itulah isu asalnya.
Manakala, berkenaan perbezaan muslim (orang Islam) dan mukmin (orang beriman) itu adalah merujuk kepada tingkat keimanan seseorang Islam. Jika diberi izin Allah, kita akan ulas juga mukhlisin (orang yang ikhlas kepada Tuhan) juga. Itu belum lagi mukhsinin ya tuan puan. Orang yang mengaji faham perkara ini. Orang awam yang biasa dengar ceramah ustaz pun faham perkara ini. Tiada orang Islam yang waras akan menafikan perkara ini.
Perihal BELUM atau TIDAK, SUDAH atau TOLAK dan sebagainya yang diterangkan dalam Video 7 itu tadi, terpulanglah kebijaksanaan tuan puan ya. Tidak perlulah kita ulang lagi permainan kalam sebagaimana telah kita ajukan kepada tuan puan semasa mengulas Video 4 dalam Bahagian 1. Nanti kalau kita keluarkan sekali lagi Google Translate, tuan puan komplen pula.
Dr. Haris turut berkongsi rujukan beliau perihal hakikat iman, iaitu buku Allah Syariat & Hakikat – Satu Penghuraian;

Hanya satu saja kita ulas sedikit. Buku 90 mukasurat yang Dr. Haris tunjuk itu, apa masalah kalau orang awam hendak baca? Tidak cadangkan beli atau baca? Takut salah faham? Takut nanti ada orang sanggah pula buku tersebut kalau baca?
Kalau takut salah faham, pada pandangan kita tidak perlulah hendak jadikan hujah untuk menegakkan juga kefahaman kafir, iman dan beriman. Perkara yang menjadi urusan awam, khususnya video yang tular, maka berhujahlah dengan rujukan yang orang awam mudah faham.
Itu pandangan kita sajalah. Tuan puan tidak semestinya setuju dengan kita ya. Mengapa begitu tuan puan? Sebab kita kena faham beberapa perkara;
- Perkara yang kita faham, tidak semestinya orang lain faham yang serupa kita;
- Perkara yang orang lain faham, tidak semestinya kita faham serupa orang itu pula.
Jadi, tidak perlulah kita risau kalau selepas habis kita terangkan hujah, orang masih tidak faham juga. Samalah juga kepada para ustaz di luar sana, tidak perlulah kecewa sangat kalau masyarakat masih tidak faham juga biar sudah berulang kali diberi peringatan. Kena sedar. Yang memberi faham itu bukan manusia, bukan guru, bukan malaikat. Yang memberi faham itu adalah Allah Azzawajal. Fahamkah kita hakikat ini?
Kita tidak mahu ulas panjang lagi. Terutama bab ‘testimoni’ dari para tukang komen Protaganist Insight. Kita juga tidak berminat sama ada seseorang itu ada bertalaqi atau tidak dalam pengajian. Kita pun tidak berminat hendak tahu latar belakang pengajian agama seseorang. Sudah mengaji bertahun-tahun atau baru mengaji tidak sampai setahun, itu bukan ukuran kebijaksanaan seseorang ya tuan puan.
Mengapa begitu tuan puan? Sebab kita sudah biasa lihat orang yang bertahun-tahun mengaji, bertalaqi, ada sanad berjela-jela pun tidak lari dari kesilapan menyebarkan perkara sesat. Mengelirukan masyarakat juga. Ukuran kebijaksanaan, bukan semata-mata siapa gurunya, bukan semata-mata berapa lama dia belajar. Orang yang mengaji, fahamlah perkara ini. Kalau orang lain hendak tanya juga, itu bukan urusan kita ya tuan puan. Urusan kita menilai secara zahir apa yang disampaikan. Sebab kita tidak boleh nilai hati orang. Kita tiada kelayakan nilai iman seseorang. Kita lihat zahir, kita boleh tahu keilmuan seseorang. Itu saja.

Budaya Tuduh Menuduh Dalam Youtube?
Baiklah tuan puan sekalian. Sebelum kita merumuskan perbahasan ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer) ini elok kita jengok pula apa yang diperkataan berkenaan budaya tuduh menuduh dalam Youtube.
Perkara ini kita kena hadam betul-betul ya tuan puan, sebab kita tidak mahu terjerumus dalam lembah kemaksiatan saling melaknat sesama orang Islam. Terutama kalau tuan puan baca semua komen-komen para penyokong ketiga-tiga pihak yang kita sudah kongsikan 7 video tadi. Yang saling mencerca dan melaknat ini kita boleh faham kedudukan mereka. Inilah puak-puak yang lebih sudu dari kuah; pentaksub. Para pentaksub ini ada di mana-mana ya tuan puan. Dalam kes 7 video tadi, kita boleh jumpa pentaksub Dr. Haris Ismail, pentaksub Ustaz Suhili Nain dan juga pentaksub Ustaz Dr. Rozaimi Ramlee dalam komen-komen yang muncul dalam video 1 hingga video 7 tadi. Kena ke laman Youtube yang berkenaan untuk baca komen tukang bancuh tersebut.
Kita yang menonton pun faham, apa juga perbezaan pandangan dan hujah, secara umumnya kita dapati ketiga-tiga tuan punya badan itu sangat berbudi pekerti mulia. Mereka tidak mencerca peribadi. Mereka fokus kepada hujah. Sindir menyindir itu biasalah tuan puan. Hendak ambil hati sangat sudah kenapa? Kalau tak tahan kena sindir, tidak payahlah muncul di khalayak Youtube. Itu saja.
Yang selalu jadi masalah adalah pihak ketiga. Ini tuan puan kena faham. Pihak ketiga ini ada yang baik. Ada yang jahat. Ada yang sangat nakal suka potong sekerat-sekerat video orang lain, dia buat perbandingan di luar konteks perbahasan asal.
Puak jenis kaki manipulasi ini tuan puan kena hati-hatilah ya;
- Nanti Dr. Haris cakap lain, tuan puan faham lain;
- Nanti Ustaz Suhili cakap lain, tuan puan faham lain;
- Nanti Ustaz Dr. Rozaimi cakap lain, tuan puan faham lain.
Begini ya tuan puan. Kita akan sambung peringatan tentang budaya tuduh menuduh dalam Youtube ini di bahagian seterusnya. Sebab ia ada perkaitan dengan rumusan perbahasan ISLAM, Beriman atau Kafir? Perbahasan takrif INFIDEL (disbeliever / unbeliever / non-believer) yang kita akan sudahi kemudian.
Comments
[…] teruskan ke Bahagian 2 AWAM FAHAM BUKAN TAK FAHAM […]
[…] baca Bahagian 2 terlebih dahulu […]
[…] baca Bahagian 2 terlebih dahulu […]
You must log in to post a comment.