Tuan puan sekalian. Setelah menapis hadith dengan Al-Quran berdasarkan prinsip hadith tidak sepatutnya bercanggah dengan firman Allah, perkara kedua yang perlu dilakukan adalah dengan membuat semakan. Sama ada semak online di SEMAKHADIS.COM atau dengan merujuk kepada kitab berbahasa Arab dan terjemahannya baik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Kalau rajin boleh juga ke laman SUNNAH.COM; yang ini ada himpunan hadith dalam bahasa Arab dan terjemahan Inggeris.
Cuma kita hendak ingatkan tuan puan sekali lagi. Terjemahan tidak semestinya tepat dengan maksud asal dan konteks sebenar hadith.
Satu perkara kita kena ingat, apa juga rujukan secara onlina atau membaca kitab, kita tidak boleh dapat jaminan apa yang kita ambil itu tulen 100%. Maklumlah zaman sekarang ini bukan semua yang ada di internet itu boleh percaya 100%. Bukan semua buku yang kita beli itu juga tulen 100%. Itu belum kira ada atau tidak sanad, ISSN atau ISBN. Yang ini kes berat tuan puan.
Rujuk kepada Pakar Hadith
Cara orang awam hendak tahu status hadith adalah dengan merujuk juga pakar hadith. Kalau yang berbahasa Arab itu memang ramai. Masalahnya, kita ini faham atau fasihkah berbahasa Arab?Kalau kita ini memang jenis tidak faham Arab, janganlah sombong tidak tentu pasal. Rujuklah dengan ahli atau pakar hadith yang sedia berkongsi ilmu dalam bahasa yang kita boleh fahami; Bahasa Melayu.
Kita patut bersyukur di Malaysia ini ada beberapa orang yang memang bidang pengkhususan mereka adalah kajian hadith. Yang paling tersohor sekarang ini adalah Ustaz Dr. Rozaimi Ramle. Sebab utama jadi sohor adalah kerana beliau lantang menyebarkan kefahaman yang mudah untuk orang awam faham, dalam bahasa yang mudah kita faham. Kalau tidak faham juga barangkali ada dua sebab utama.
Satu, memang tak faham bahasa Melayu. Yang ini, nak kata macam mana ya?
Kedua, memang sengaja tidak mahu faham. Ini memang kita tidak boleh hendak tolonglah.
Jangan Mudah Melabel ‘W’
Kita hendak pesan begini sajalah. Tuan puan usah terpengaruh dengan dakwaan ‘W’ yang selalu dituju kepada ustaz itu. Pertama, sebab dia pun tidak mengaku ‘W’. Kedua, kita orang awam ini siapa memandai kata orang ‘W’? Apa amal perbuatan kita ini 100% menepati ciri-ciri bukan ‘W’? Pernah semakkah? Cuba semak, silap haribulan, kita pun geng ‘W’.
Kita orang awam jangan masuk campur urusan sesetengah ustaz atau ustazah suka gelar orang ‘W’. Mungkin ilmu mereka sudah terlalu tinggi sampai boleh keluar fatwa sedemikian. Kita orang awam inikan rendah ilmu. Janganlah ikut cara orang tinggi ilmu. Kalau kita silap gelar, kawan tu tidak suka, hakikatnya dia pun memang bukan ‘W’, kita relakah tanggung dosa kering tidak tentu pasal. Sudahlah amal kita sedikit, tidak macam orang tinggi ilmu, hendak tambah dosa pula sudah kenapa?
Kita orang awam ini, niat kita nak pelajari ilmu. Gunalah akal. Masakan kita orang awam ini bodoh sangat tidak tahu menilai mana satu intan mana satu permata?
Ramai Sudah Mula Berhati-hati Dengan Hadith
Satu perkara yang kita kena akui, dengan sebab kelantangan beliau juga, sekarang orang awam sudah mula berhati-hati dengan sebarang hadith yang sampai kepada mereka. Sampai ustaz dan ustazah pun sekarang kena hati-hati juga. Sudah tidak boleh sembrono sebar hadith tanpa usul periksa. Baguslah begitu. Kita pun tak suka juga datang kuliah atau ceramah asyik hendak gelak ketawa saja kerjanya. Kita nak tuntut ilmu atau hendak berliburan?
Usaha Dr. Rozaimi dan rakan-rakan seangkatan dengannnya patut kita sanjungi. Bukan kita keji pula dengan pelbagai gelaran tidak sedap telinga mendengarnya. Lagi sekali, kita tidaklah kata ahli hadith itu suci belaka. Mereka juga ada salah dan silap juga. Maklumlah, manusia jugakan. Bukannya malaikat. Kena ingat itu.
Ilmu Hadith bagi Orang Awam
Mari kita kongsikan apa yang sudah menjadi maklum kepada awam dalam beberapa siri memahami hadith untuk orang awam. Ini adalah siri kuliah pada tahun 2015/16;
Yang kita kongsikan tadi hanya beberapa siri asas. Dengar sajalah. Kalau berminat, boleh hadiri kuliah secara bersemuka. Atau, kalau sibuk sangat atau tiada duit nak bayar yuran seminar, dengar sajalah siri lebih mendalam dalam laman Facebook beliau. Ilmu percuma, takkanlah kita ini malas nak dengar. Kata sayang Nabi SAW. Jadi, dengarlah hadith Nabi dan memahaminya dengan kaedah dan cara yang betul. Jangan main sapu saja semua cerita penglipur lara yang sampai ke telinga tuan puan sekalian.
Tuan puan kena ingatlah. Sampai bila kita ini hidup jadi orang awam, pengetahuan kita tentang ilmu hadith masih sejak sekolah rendah sampai beranak cucu masih di takuk lama. Kita sebagai orang awam ini mahu tambah ilmu sini sikit, sana sikit, bukan hendak jadi pakar pun. Cukup setakat hendak pastikan kita berada di jalan sunnah Nabi SAW. Itu pun malas jugakah? Yang ini, memang kita tak boleh nak tolong.
Fikir-fikirkanlah.
Comments
[…] Yang kita pasti, kefahaman sebelum dan selepas video terpotong berkenaan hakikat Muhammad itu kita tidak jumpa masa di sekolah. Tetapi kalau tuan puan jenis baca kitab, memang akan jumpa dalam kitab-kitab karangan ulama tersohor. Hakikat Muhammadiyah itu akhirnya akan membawa kepada kefahaman Nur Muhammad. Kefahaman ini pula datang dari hadith qudsi yang ramai para ulama hadith menjelaskan; IA HADITH PALSU. Jadi tuan puan, kita hendak ingatkan; semaklah hadith dengan merujuk kepada pakar hadith. […]
[…] apa ya tuan puan sekalian? Tidak lain adalah kalam Allah dalam Al-Quran. Tidak lain adalah kalam Nabi melalui hadith sahih. Usah dengarlah dongeng penglipur lara kata ikut Al-Quran dan Sunnah jadi sesat. Jadi orang awam, […]
[…] BACA HADITH, […]
[…] Al-Quran kita tidak mahu ikut. Jadi sebegitu sebab bila ada ustaz yang bersungguh-sungguh ajak umat celik ilmu hadith kita gelar dia ‘W’! Hendak faham macam mana kalau tok guru yang mengajar pun tidak […]
You must log in to post a comment.