Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini.Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata berdasarkan analisis awal, GST menawarkan hampir dua kali ganda pendapatan cukai kerajaan berbanding SST.

Berita Harian (13 Jun 2022)

Ya. Sudah satu dekad rakyat negara ini bercakap pasal GST. Sampai hari ini masih belum habis pasal GST. Ketika lebih dari 170 negara di dunia telah melaksanakan GST atau VAT, Malaysia masih tidak keluar dari kepompong SST. Sebab apa? Sebab kerajaan yang memperkenalkan GST pada tahun 2015 telah ditumbangkan oleh kerajaan baru yang memansuhkannya, lalu kembali kepada sistem lapuk SST pada tahun 2018.

Ini dilakukan biarpun menyedari bahawa GST sebenarnya adalah pelaksanaan cukai lebih meluas yang boleh mengelakkan ketirisan atau pengelakkan cukai, seterusnya akan meningkatkan hasil kerajaan. Ini dilakukan semata-mata ingin memenuhi kebebalan manifesto yang tidak pun boleh dilaksanakan.

Ya. Memang bebal. Bebal di atas bebal. Kebebalan yang berlapis-lapis sehingga tidak dapat membezakan sistem percukaian dan sebab musabab ketirisan perbendaharaan negara.

Dikatakan bebal kerana politikus yang sama mencanang langkah progresif sana sini agar Malaysia berjalan seiring dunia memperjuangkan demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan sebagainya demi kemakmuran bersama, sebaliknya memilih jalan regresif demi mempertahankan SST. Apabila kerajaan hari ini menimbang untuk memperkenalkan semula GST, kita dapat jawapan cerdik dari politikus ini supaya perbaiki sahaja SST sedia ada.

Ya, perbaiki sistem, katanya. Tidakkah mereka pernah terfikir untuk menambah baik kelompongan yang didakwa berlaku semasa awal pelaksanaan GST? Tidakkah mereka terfikir untuk belajar dari Singapura misalnya, agar kelompongan sistem GST yang sudah dilaksanakan ketika itu diperbaiki?

Jawapan cerdik tadi seolah-olah ingin mengatakan bahawa 7 negara ASEAN (Thailand, Singapura, FIlipina, Kemboja, Vietnam dan Laos) itu bebal kerana meninggalkan sistem percukaian SST. Hari ini kelihatan ekonomi mereka pesat membangun berbanding Malaysia yang jatuh merudum.

Ia seolah-olah ingin mengatakan bahawa 19 negara Asia, 53 negara Eropah dan 44 negara Afrika semuanya adalah bebal kerana pelaksanaan GST telah menyebabkan ketirisan perbendaharaan negara.

Inilah politik GST. Dicanang seluruh negara bahawa GST akan membolehkan si polan dan si polan mengaut kekayaan negara untuk menambah koleksi beg tangan dan cincin permata. Ia seolah-olah semasa berpuluh tahun Malaysia melaksanakan SST, tiada ketirisan perbendaharaan biar pun juak-juak kroni dan anak-anak mereka kaya raya kerana kononnya pandai berniaga.

Sedarlah tuan puan, samada SST atau GST atau VAT atau apa-apa juga sistem percukaian yang kononnya sedang dikaji lagi dan lagi dan lagi itu, tiada jaminan tidak akan berlaku ketirisan perbendaharaan selagi mana salah guna kuasa masih berleluasa. Ini semua politik GST yang bebal oleh ahli politik bebal untuk mengail sokongan rakyat.

Sudahkah politikus ini semua membentangkan kajian untuk membuktikan laungan kononnya GST menyebabkan ketirisan?

Sudahkan mereka membentangkan kaji selidik dan analisa empirikal lalu membuktikan SST boleh mengelakkan ketirisan?

Pernahkah tuan puan bertanya kepada politikus bebal ini hubungkait ketirisan perbendaharaan berbanding kaedah percukaian di semua 170 negara yang melaksanakan GST?

Benarkah dakwaan ketirisan perbendaharaan negara itu berlaku semata-mata kerana GST?

Tidak kira apa pegangan atau kecenderungan politik tuan puan, jangan biarkan diri diperdaya oleh politikus bebal.

Tuan puan sekalian pastinya cerdik, bukan?

mukadimah | blogکتاب | siapa? | YouTube

Comments

%d bloggers like this: