Tuan puan sekalian. Pada mulanya kita bercadang untuk berkongsi fikiran berkenaan dengan Polemik kalimah Allah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Tetapi nampaknya keluar pula polemik lain; Di manakah Allah?

Jadi, untuk coretan kali ini biarlah kita berkongsi fikiran berkenaan polemik Di manakah Allah? Bukan apa tuan puan sekalian. Kasihan kita orang Islam ini tidak sudah-sudah takut dengan bayang-bayang. Kasihan kita orang Islam tidak sudah-sudah asyik takut aqidah tergugat. Kasihan kita orang Islam ini tidak sudah-sudah tidak tahu hendak menjawab; Di manakah Allah?

Sebelum itu tuan puan sekalian. Eloklah kita ketahui soalan ‘Di manakah Allah?‘ itu adalah soalan fitrah manusia yang kita tidak dapat elak. Janganlah pula kita gelar orang yang bertanya itu ahli bidaah pula. Itu bukan pertanyaan bidaah. Pertanyaan bidaah itu jika dia bertanya; bagaimana Allah beristiwa atas Aarasy. JIka demikian, bolehlah hendak kata pertanyaan bidaah. Sebab, Imam Malik pernah kata sedemikian. Memadai begitu. Jangan berlebihan sampai kata yang bertanya itu kafir sudahlah. Sanggupkah kita ambil tanggungjawab kafirkan orang?

PESANAN PENAJA#1

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak. Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGfikir

Mari kita teruskan. Kalau anak tuan puan yang masih kecil itu bertanya; “Di manakah Allah?“, tuan puan hendak jawab macama mana? Adakah salah satu dari jawapan di bawah ini?

  1. Allah di langit;
  2. Allah istawa ‘alal ‘arsy ;
  3. Allah bersemayam di atas ‘arasy;
  4. Allah berada di atas daripada langit;
  5. Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy;
  6. Allah ada di mana-mana;
  7. Allah wujud tidak bertempat;
  8. SAYA TIDAK TAHU

Cuba tuan puan berlaku jujur. Sepanjang hidup tuan puan selama ini, bagaimana caranya menjawab persoalan Di manakah Allah? Atau selalunya akan mengelak daripada menjawab persoalan tersebut atas alasan takut salah aqidah?

Kita biarkan dahulu persoalan Di manakah Allah? dan kebarangkalian jawapan tersebut. Mari kita berterus terang dengan tuan puan sekalian bahawa polemik Di manakah Allah? ini bukan persoalan yang baru timbul sehari dua ini. Ia sudah muncul lebih 1000 tahun yang lalu. Cuma, dalam konteks hari ini, ia timbul secara kuat sebab ada dakwaan seorang ustaz secara selamba kata puak Assyairah itu tidak bertuhan. Lalu timbullah reaksi daripada kalangan Assyairah supaya jangan kata apa yang orang tidak kata;

Video 1

Bahkan, di kalangan puak Salafi pun ada menegur ustaz berkenaan;

Video 2

Mujurlah ustaz berkenaan sudah tarik balik kalamnya itu. Biarpun sudah tarik balik, kita boleh faham bahawa dalam kalangan mereka yang mengaku Salafi itu ada yang tidak dapat menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang salah kerana gagal memahami manhaj mereka yang mengaku Assyairah. Kita yang kuat mengaku Assyairah ini pula jangan buat-buat terkejut pula sebab memang ramai di kalangan yang mengaku Assyairah itu juga sebenarnya tidak faham juga apa yang mereka dakwa sudah faham sangat. Sebab itu, kita janganlah terkejut pula kalau Ustaz Noor Derus mula membahaskan selama 3 jam dengan para jemaahnya manhaj Assyairah supaya tidak menjadi salah faham, bukan hanya di kalangan golongan pendakwa Salafi, bahkan di kalangan golongan pendakwa ahli Assyairah;

Video 3

Kemudian, ada pula rentetan video hampir 3 jam;

Video 4

Ustaz sudah sebut Di mana Allah menurut Ahli Sunnah Assyairah itu sudah cukup bagus. Cuma, bila ustaz mula melontarkan persoalan berkaitan cara kefahaman golongan Salafi, suka tidak suka, pastilah ada yang akan menjawabnya. Sebab itu, muncul pula Kapten Hafiz dalam video reaksi berikut;

Video 5

Kapten jawab pula Di manakah Allah menurut Ahlul Sunnah Salafiyyah. Tuan puan kena faham. Apa yang Kapten Hafiz jawab itu adalah dalam bentuk bahasa mudah hendak beri orang awam faham. Jikalau tuan puan tegar Assyairah sekalipun, tetapi mengambil sikap berbaik sangka, memang begitulah fitrahnya cara kita hendak menjawab persoalan Di manakah Allah. Ringkas dan mudah. Sebab itu, +SANGfikir ada membuat ulasan ringkas begini dalam video reaksi berkenaan;

Alhamdulillah. Kapten menjawab dengan bahasa yang mudah difahami berdasarkan ilmu dengan akhlak yang baik; STRAIGHT TO THE POINT.

Kita ikuti saluran Kapten Hafiz dan Ustaz Noor Derus dan mengambil manfaat daripada kedua-duanya. Masing-masing bawa dalil. Masing-masing sudah jelaskan kaedah, kefahaman dan hujah masing-masing.

Kita orang awam patut belajar jadi cerdik. Nilai hujah dan buat rumusan akidah yang lebih bertepatan dengan maksud dari dalil Al-Quran dan Sunnah, lalu ambil pendirian yang wajar. Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

Teruskan usaha Kapten mematangkan ummah. InysaAllah.

+sangFIKIR MENGULAS

Begini ya tuan puan sekalian. Kapten Hafiz sudah jelaskan secara mudah bagaimana kefahaman golongan Salafi, sekurang-kurangnya mengikut apa yang dia faham. Kita juga kena faham, sebagaimana Ustaz Noor Derus mencuit golongan Salafi, begitulah juga Kapten Hafiz mencuit pula golongan Assyairah. maksudnya; KRITIK. KIta yang menonton ini janganlah pula naik angin tidak tentu fasal. Walhal, kedua-duanya saling mengemukakan hujah dengan alasan masing-masing. Dan seperti kita boleh duga, Ustaz Noor Derus menjawab pula satu persatu pula kritikan sang Kapten seperti berikut;

Video 6

Hendak jadi cerita, +SANGfikir gatal tangan mengulas pula video Sidang Kalam seperti coretan berikut;

Alhamdulillah. Ustaz Noor Derus menjawab secara tertib reaksi Kapten Hafiz. Orang beradab, kita lebih lagi beradab dengan mereka.

Sebahagian orang awam mungkin semakin pening dengan cara pemikiran Assyairah, tetapi tidak bagi kita yang mengikuti secara konsisten kuliah Ustaz Noor Derus (UND) yang telah tersebar di YouTube sejak sekian lama. Cara penghujahan sedemikianlah yang kita cari. Hujah dengan dalil. Cara memahami dalil. Mengiktiraf memang wujud perbezaan manusia memahami dalil. Tidak perlu cela-mencela tidak berkesudahan. Orang awam yang mendakwa semakin pening sila teruskan belajar, sampai hilang pening. Bab cari duit bila pening pun kita belajar, takkanlah bab agama bila pening kita lari!

Kita turut terkesan kalau ada segelintir pendokong Salafi berkecil hati hanya kerana perbezaan manhaj sehingga ada cakap-cakap semisal “dia sudah tunjukkan belang sebenar..” DAN “…tidak mahu lagi jemput UND ke Perlis”. Nasihat kita secara ringkasnya ada tiga;

1. Kalau kamu baru tahu UND itu bermanhaj Assyairah, ‘mengaku saja kamu sudah tertinggal kapal’. Kena jauhkan lagi perjalanan dan luaskan pemandangan. Tahukah kamu Ustaz Syihabudin Ahmad (yang mengacara program REACT pada hari 1 & 2 di Perkampungan Sunnah 8) itu juga ahli Assyairah?;

2. Bukan kamu seorang saja pendokong Salafi. Ada ramai lagi. Kita yang menulis ini juga lebih cenderung kepada dakwah puak Salafi. Hanya barangkali berbeza iaitu berpegang kepada MANHAJ para Salafussoleh (macam UND sebut), bukan kepada ‘batang tubuhnya’;

3. Belajarlah bersikap matang dałam beragama. Usah taksub berlebihan dań kepanasan tidak keruan. Seperti yang Kapten Hafiz telah sebut (dlm video react beliau); perkara yang berlarutan lebih 1000 tahun tidak akan selesai dalam sehari dua. Hendak bergaduh / merajuk sudah kenapa?

Kita orang awam ambil sikap bertenang saja; dengar hujah kedua-dua belah pihak. Belajarlah jadi orang awam yang cerdik; buat semakan dengan Al-Quran dan hadith, lalu tetapkan pendirian. Kena ingat; yang hendak menjawab depan Allah di Padang Mahsyar kelak adalah DIRI KITA SENDIRI, bukan ustaz atau ulama kesayangan kita.

Ustaz Noor Derus teruskan dakwah menerangkan kepada umat pegangan Assyairah menurut kefahaman para ulama Assyairah yang muktabar. Biar orang awam faham betul-betul cara Ahlul Sunnah Waljamaah; bukan cara faham golongan ‘asamjawa’ (pinjam kata-kata Ustaz) dan bukan juga cara faham para ‘ustaz penglipurlara’. Hanya dengan ilmu, hikmah dan kesabaran saja kita boleh damaikan ketegangan puak Salafi dan puak Assyairah. InsyaAllah.

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGfikir mengulas

Tumpang Semangkuk Mengulas Perihal Di Manakah Allah

Begini ya tuan puan sekalian. Bila kita tumpang semangkuk turut membuat ulasan dalam saluran YouTube orang lain, bukan bermakna kita ini bagus sangat. Kita pun sama-sama orang awam yang hendak belajar agama dengan mereka yang mendalami ilmu agama. Tidak kisahlah mereka itu seorang ustaz mahupun seorang pilot, kalau kalam mereka itu ada nilai, maka kita belajarlah mengambil manfaat. Jadi orang awam in kena pandai menilai ya tuan puan sekalian. Sebab apa? Sebab kita hendak ulang di sini;

Kena ingat; yang hendak menjawab depan Allah di Padang Mahsyar kelak adalah DIRI KITA SENDIRI, bukan ustaz atau ulama kesayangan kita.

+sangfikir

Bila kita mula ulas, janganlah pula kita kecil hati pula kalau kena komen dengan orang lain. Bahkan kalau kena maki sekalipun, kita kena sabar sajalah. Sebab, kita tidak boleh anggap semua orang itu akan selari jalan pemikirannya macam kita. Hal ini tuan puan boleh nilai sendiri bila membaca komen-komen orang awam dalam media sosial yang berkenaan. Mentang-mentanglah kita boleh berselindung di sebalik nama samaran, tidak bermakna kita boleh memaki hamun sesuka hati. Tetapi kalau ada yang memang suka akhlak sedemikian, kita hendak kata apa lagi? Sendiri buat, sendiri tanggunglah nanti di akhirat kelak! Mari kita lihat contoh saling berbalas komen yang kita dapat setakat ini;

Dia beginilah ya tuan puan sekalian. Sama ada kita guna nama sebenar mahupun nama pena (samaran), kena ingatlah bila mahu tumpang semangkuk membuat komen di laman YouTube orang;

  • Pertama, kena sedarlah ‘kita cuma menumpang kat rumah orang’; hormat tuan rumah. Kalau tuan rumah salah pun, tegurlah dengan elok. Kita hendak caci memaki tuan rumah dapat pahalakah?
  • Kedua, biarpun orang tidak kenal kita di laman sosial, Tuhan kenal kita, malaikat pun kenal kita, bahkan Google crawler pun kenal kita! Kena ada sikap bertanggungjawab bila komen. Kalau kita memang silap buat komen, perbetulkan sajalah. Mengaku salah sajalah. Hilangkah satu anggota badan kita kalau kita mengaku salah?
  • Ketiga, kita komen atau jawab bila perlu sahaja. Tidak semua balasan komen orang lain kita kena jawab. Kalau ada keperluan menjawab juga, jawablah dengan tertib. Kalau hendak jawab panjang lebar, cukuplah setakat yang patut. Tulis panjang berjela pun, silap haribulan makin jadi salah faham pula! Kalau rasa hendak jelaskan lebih terperinci pandangan kita, buatlah video reaksi sendiri. Kalau muka kurang kacak macam +SANGfikir ni, buatlah blog sendiri ulas lebih lanjut. Bila buat video atau blog kena ingatlah; kena ambil tanggungjawab apa yang kita kata dan tulis. Kena tadah sajalah kalau memang kena maki hamun. Hendak buat macam mana kalau niat kita nak jelaskan tapi kawan tu hendak bergaduh!

Jikalau tuan puan sedar, ulasan +SANGfikir dalam kedua-dua saluran YouTube Kapten Hafiz dan Ustaz Noor Derus dalam isu yang sama juga agak berbeza dari segi ringkas atau kompleksiti. Sebab apa tuan puan? Sebab fahaman Salafi itu memang ringkas sahaja, jadi kita ulas juga secara ringkas. Sebab fahaman Assyairah itu sedikit kompleks, maka kita ulas sedikit kompleks. Ia memang begitu; tidak lebih, tidak kurang.

Isu Hadith Jariah

Sebelum masuk perbincangan berkenaan Di manakah Allah?, eloklah kita sentuh sedikit berkenaan Hadith Jariah. Sebabnya, Ustaz Noor Derus ada mengulas tentang kemungkinan semua hadith berkenaan hamba perempuan (jariah) itu adalah hadith yang sama. Tuan puan kena faham, kemungkinan itu hanyalah ‘sangkaan’ atau kebarangkalian. Memang benar, dalam ilmu hadith, ‘sangkaan’ itu adalah sebahagian permulaan daripada kaedah menentukan darjat hadith, baik dari segi sanad mahupun matan. Tuan puan jangan salah faham pula. Dari ‘sangkaan’ itulah dengan kebarangkalian itu dan ini, merujuk itu dan ini serta melalui disiplin yang ketat, akhirnya ahlul hadith mengkelaskan sama ada hadith itu sahih, hassan, dhoif dan sebagainya. Silakan belajar ilmu hadith dengan pakar hadith jikalau tuan puan hendak mendalami perkara ini.

Yang kita hendak katakan di sini, Ustaz Noor Derus hanya menyatakan kemungkinan semua hadith berkenaan hamba perempuan (jariah) itu adalah hadith yang sama berdasarkan hujah ilmuan yang beliau kongsikan. Beliau sendiri tidak menyatakan secara pasti. Ia hanyalah berdasarkan hujah-hujah yang beliau nyatakan itu, maka kecenderungannya adalah hadith jariah itu sebenarnya adalah bahasa isyarat yang boleh memberi maksud yang berbeza. Tuan puan usah cepat buat kesimpulan. Dengar dulu ulasan dari kalangan ustaz golongan Salafi yang bertegas ‘tiada urusan hendak bersangka-sangka’ sebab para ulama hadith mutaqaddimin sudah sepakat mengatakan hadith jariah itu adalah sahih dalam peristiwa yang berbeza, bukan peristiwa yang sama;

Video 7

Video 8

Yang di atas tadi cuma sanggahan sepintas lalu ya tuan puan sekalian. Kalau hendak tahu ‘jawapan padu’ , kenalah tonton video sanggahan di bawah ini pula. Lengkap dengan carta sanad sekali. Senang orang awam hendak faham;

Video 9

Demikianlah beberapa jawapan balas menjelaskan kedudukan semua hadith jariah berkenaan. Jadi, kita sudah boleh duga, sekiranya berlangsung dialog antara Ustaz Salman Ali dan Ustaz Noor Derus (jika dilaksanakan) akan berlegar kepada hujah yang lebih kurang sama apabila membicarakan tentang hadith jariah. Jadi, tuan puan nilai sendirilah hendak berpegang dengan hujah yang mana satu. Yang kita nampak, penerangan mereka yang itu menguatkan pendirian yang mengatakan dengan tegas bahawa ‘tiada urusan hendak bersangka-sangka’ sebab para ulama hadith mutaqaddimin sudah sepakat mengatakan hadith jariah itu adalah sahih berkenaan persoalan Di manakah Allah? (ainallah?)

Tuan puan hendak cenderung kepada penjelasan Ustaz Noor Derus, atau cenderung kepada penjelasan Ustaz Abu Mubarak, terpulanglah. Cuma, kalau tuan puan ingat lagi video reaksi oleh Kapten Hafiz, biar apa pun perbahasan berkenaan hadith jariah, beliau berkeyakinan hadith jariah itu tidak memberi bekas kepada dalil yang memang sudah jelas dalam Al-Quran (iaitu apabila golongan Salafi menjawab persoalan Di manakah Allah?).

Demikian juga, oleh kerana umumnya kalau kita rujuk ceramah para Assyairah yang lain, hadith jariah (khususnya yang menyebut pertanyaan Di manakah Allah?) tidak harus dijadikab dalil dalam pegangan aqidah, maka eloklah dalam perbincangan terbitan ini kita hanya merujuk kepada dalil Al-Quran. Kita hendak beritahu, beginilah. Sebenarnya, tidaklah sukar mana pun bagi orang awam untuk memahami ilmu tauhid jika hanya merujuk kepada Al-Quran semata-mata sekalipun. Syaratnya, kenalah belajar mentadabbur Al-Quran. Kenalah kita memahami Al-Quran secara keseluruhan mengikut konteksnya dan rajin membelek tafsiran para ulama tafsir berkaitan urusan kefahaman tauhid. Benar tuan puan sekalian. Ia tidaklah sesukar mana pun, dengan izin Allah jua.

Di manakah Allah?

Kita akan kembali kepada polemik Di manakah Allah? Mari kita ulang persoalan fitrah yang telah dilontarkan di awal terbitan ini.

Kalau anak tuan puan yang masih kecil itu bertanya; “Di manakah Allah?“, tuan puan hendak jawab macama mana? Adakah salah satu dari jawapan di bawah ini?

  1. Allah di langit;
  2. Allah istawa ‘alal ‘arsy ;
  3. Allah bersemayam di atas ‘arasy;
  4. Allah berada di atas daripada langit;
  5. Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy;
  6. Allah ada di mana-mana;
  7. Allah wujud tidak bertempat;
  8. SAYA TIDAK TAHU

Begini ya tuan puan sekalian. Lapan jawapan itu hanya salah satu contoh yang akan anak-anak kita, atau sahabat kita, atau rakan-rakan bukan Islam kita bertanyakan soalan kepada kita. Jawapan itu bergantung kepada beberapa perkara, termasuklah kecerdikan akal dan kefahaman ilmu yang para agamawan kita sampaikan kepada kita selama ini. Tuan puan jangan terkejut pula kalau kita tanyakan kepada 100 orang Islam yang ada di muka bumi hari ini, maka kita akan dapat 100 pula jawapan yang pelbagai. Ada jawapan ringkas. Ada yang jawab berbelit-belit lidah baru buat kesimpulan. Ada yang terkebil-kebil tidak mahu jawab. Bahkan memang ada yang akan jawab; SAYA TIDAK TAHU!

Sebab apa jadi begitu? Sebab memang kebanyakan manusia yang mengaku beragama Islam itu secara umumnya jauh dari memahami Al-Quran dan hadith Nabi SAW. Hendak faham macam mana kalau memang sudah dimomokkan (sejak tadika sampai gigi tinggal satu) oleh tok guru bahawa orang awam memang tidak boleh faham Al-Quran dan hadith Nabi. Jadi sebegini sebab bila ada orang ajak tadabbur Al-Quran kita tidak mahu ikut. Jadi sebegitu sebab bila ada ustaz yang bersungguh-sungguh ajak umat celik ilmu hadith kita gelar dia ‘W’! Hendak faham macam mana kalau tok guru yang mengajar pun tidak berani hendak membuat kesimpulan tuntas Di manakah Allah? Orang putih kata; “banyak sangat Disclaimer-nya!

Baiklah tuan puan sekalian. Kita akan ulas satu persatu 8 kebarangkalian jawapan kepada pertanyaan Di manakah Allah? itu nanti. Sebelum itu, kena jelas beberapa terma yang berterbangan di hadapan mata kepala kita selama ini dahulu, supaya kita perbahasan kita ini nanti tidak tersasul menjadi MENGATA APA YANG ORANG TIDAK KATA. Mari kenali dahulu 3 golongan ini;

  • Golongan Salafussholeh; ini adalah golongan orang-orang yang baik (sholeh) yang hidup 3 kurun pertama tahun Hijrah. Kita kena faham 300 tahun pertama Hijrah itu dipanggil zaman salaf. Tidak semua manusia yang tersohor dalam zaman salaf itu baik semuanya. Hanya mereka yang diiktiraf sholeh sahaja layak kita gelar salafussholeh. Yang tidak sholeh jangan pula kita masuk dalam bakul sekali. Penat lelah imam mazhab agung yang empat itu kita hendak kira macam mana kalau yang tidak sholeh pun kita panggil salafussoleh juga;
  • Golongan Salafi; ini adalah golongan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafussoleh. Mereka umummya lebih cenderung merujuk kepada pandangan para ulama zaman salaf. Kena faham bahawa Salafi itu bukan mazhab. Ia hanyalah penisbahan nama oleh golongan yang mendakwa mengikuti jalan salafussholeh.
  • Golongan Assyairah; ini adalah golongan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafussoleh juga. Bezanya, secara umumnya mereka lebih cenderung merujuk kepada kupasan para ulama zaman khalaf (selepas zaman salaf) terhadap pandangan para ulama zaman salaf. Bezanya juga, mereka menisbahkan pegangan akidah mereka kepada pegangan Imam Abu Hassan As-syaari dan anak muridnya. Kena faham bahawa secara umumnya Assyairah itu sudah dikenal sebagai mazhab dalam beraqidah.

Untuk memahami secara ringkas pertembungan golongan Salafi dan Assyairah, bolehlah tonton video ringkas di bawah ini. Tonton dahulu supaya KITA JANGAN KATA APA ORANG TAK KATA;

Video 10

Demikianlah serba ringkas ya tuan puan sekalian.

Perlu kita sedar, golongan salafussholeh itu aalah umat sudah berlalu lebih kurang 11 kurun yang lalu. Yang jadi pertembungan yang kita lihat hari ini adalah golongan Salafi dan golongan Assyairah. Golongan lain seperti Al-Maturidiyyah, batiniah, sufi dan sebagainya itu kita letak tepi dahulu. Mari kita tetapkan pendirian pula; adakah kedua-dua golongan Salafi dan Assyairah ini tergolong dalam kalangan Ahlul Sunnaah Waljamaah? Biarlah kita bantu jawab ya tuan puan sekalian. Kita kata; YA! Kedua-dua golongan Salafi dan Assyairah ini tergolong dalam kalangan Ahlul Sunnaah Waljamaah. Sebabnya begini;

  • Pertama; Jika mereka itu bersungguh-sungguh mengaku sebagai Ahlul Sunnah Waljamaah, kita hendak kata apa lagi? Takkanlah hendak kata mereka itu Syiah pula?
  • Kedua; Takrif Ahlul Sunnah Waljamaah itu sangat longgar ya tuan puan. Kita pernah nyatakan sebelum ini; perkataan Ahlul Sunnah Waljamah juga tiada dalam Al-Quran. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah sebut. Yang Nabi sebut adalah Al-Jamaah (dengan takrif yang jelas, iaitu golongan yang mengikuti sunnah Nabi, termasuk para SAHABAT yang mengikuti jalan Nabi; bukannya ‘al-jamaah’ ikut majoriti sebagaimana takrif suka hati ustaz penglipurlara!). Jikalau takrif sudah jadi begitu longgar, kira pukul rata sajalah yang mengaku ikut sunnah itu sebagai Ahlul Sunnah Waljamaah. Kita kedekut sangat tidak mahu ajak semua orang naik kapal Ahlul Sunnah Waljamaah, sudah kenapa?
  • Ketiga; Kita dapati takrif asal Ahlul Sunnah Waljamaah yang diperkenalkan itu sudah disempitkan pula menjadi ‘Ahlul Sunnah Waljamaah Assyairah Al-Maturidiyah Al-Junaidiyah Al-Ghazaliyah’ (AswajaAAAA) khususnya di negara kita Malaysia. Kita nak tanyalah; ini pertubuhan NGO atau kesepakatan parti politik atau perkumpulan manusia yang mahu ikut Sunnah Nabi?

Sebab itu tuan puan sekalian, kita yang menulis ini berbaik sangka bahawa kedua-dua golongan Salafi dan Assyairah ini tergolong dalam kalangan Ahlul Sunnaah Waljamaah. Sebab kedua-duanya memang mendakwa ikut Sunnah Nabi dan para salafussholeh. Lagipun, cuma ‘Aswaja’ saja kan? Bukan ‘AswajaAAAA’ pun. Apa masalahnya? Berebut macam budak-budak buat apa? Lainlah kalau kita sekalian memang suka tengok ramai manusia beragama Islam tidak layak masuk syurga. Lainlah kalau kita memang suka telan bulat-bulat dakwaan para penglipurlara dalam masjid dan surau yang suka mengata golongan Salafi itu sebagai ‘Salah-Pi”. Kalau sudah demikian, kita nak kata apa lagi?

Jadi orang awam ini jangan telan sahaja kalam para ustaz. Kena belajar sejarah perkembangan ilmu pengajian tauhid dalam tamadun Islam. Baru kita sedar, banyak lagi perkara kita kena TAHU dan belajar. Banyak perkara sebenarnya kita TIDAK TAHU. Kalau TIDAK TAHU, maka usahlah kita orang awam ini terikut-ikut mengeji dan mengata orang lain hanya kerana mereka itu berbeza cara memahami akidah dengan kita! Urusan ustaz itu biarlah urusan mereka. Sebab mereka cuma menerangkan sahaja itu dan ini. Kita kenalah menilai dan membuat pertimbangan yang wajar. Biar kita ulang sekali lagi;

Kena ingat; yang hendak menjawab depan Allah di Padang Mahsyar kelak adalah DIRI KITA SENDIRI, bukan ustaz atau ulama kesayangan kita.

+sangfikir

Baiklah tuan puan sekalian. Kita akan ulas kebarangkalian jawapan Di manakah Allah? itu berkisar kepada dakwaan golongan Salafi dan golongan Assyairah sahaja; iaitu mereka yang masih hidup hari ini. Perihal golongan Salafussholeh kita sentuh mana yang berkenaan, sebab memang perbahasan pokoknya adalah kedua-dua golongan Salafi dan Assyairah ini mendakwa mereka benar-benar ikut manhaj salafussoleh. Masing-masing mendakwa kefahaman mereka itu lebih tepat dengan kefahaman golongan salafussoleh. Kita kena pandai nilailah. Hendak bertanya kepada golongan salafussholeh untuk menentukan kebenaran dakwaan pun tidak boleh. Lainlah kalau kita ini adalah ‘geng mimpi yang senang-senang boleh jumpa para wali Allah yang sudah mati atau boleh selak tirai tanya Nabi (kata-nya-lah!)’.

person beside bare tree at night
Photo by Johannes Plenio on Pexels.com

JAWAPAN 1: Allah Di Langit

Jawapan seperti ini akan kita dapat daripada sebahagian golongan Salafi. Sebabnya ringkas; mereka mendakwa ada ayat Al-Quran yang mengisyaratkan Allah di langit;

ءَأَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يَخْسِفَ بِكُمُ ٱلْأَرْضَ فَإِذَا هِىَ تَمُورُ

Apakah kamu merasa aman terhadap yang di langit akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?

Terjemahan umum dibaca; Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?

Surah Al-mulk 67:16

أَمْ أَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ۖ فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Atau Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana peringatan?

Terjemahan umum dibaca; Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?

surah al-mulk 67:17

Demikian pula jika kita merujuk beberapa tafsir Al-Quran. Perkataan ‘man’ (مَّن) iaitu ‘siapa’ itu ditafsir merujuk kepada Allah. Secara konteksnya, jika kita rujuk keseluruhan surah Al-Mulk, bahkan ayat sebelum dan selepas ayat 16 & 17 tersebut, maka mudah kita fahami mengapa ‘man’ (مَّن) itu ditafsir merujuk kepada Allah. Jika tidak dirujuk spesifik kepada Allah, kita akan dapati juga kebanyakan terjemahan akan merujuk ‘man’ (مَّن) itu sebagai Dia (‘D’ huruf besar, bukan huruf kecil. Ringkasnya, itulah sebab mengapa sebahagian orang Islam memahami siapa yang di langit (مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ) itu sebagai Dia yang di langit atau Allah yang di langit. Begitulah ringkasnya kefahaman kalangan Salafi apabila membaca ayat 16 & 17 dalam surah Al-Mulk itu.

Tuan puan kena tahu juga, ada sebahagian tafsir merujuk ‘man’ itu sebagai makhluk-makhluk Allah yang berada di langit (termasuklah para malaikat). Sebab itu juga, dalam sebahagian terjemahan umum (termasuk yang kita kemukakan tadi) turut meletakkan dalam kurungan sebegini; Allah yang (berkuasa) di langit. Perkara ini kita akan angkat kembali apabila menyentuh perbahasan ilmu kalam.

Pada peringkat ini, kita perlu iktiraf bahawa, secara umumnya memang kita akan jumpa terjemahan dan tafsir dalam pelbagai bahasa yang secara jelas merujuk ‘man’ itu kepada Tuhan, bukan merujuk kapada makhluk-Nya. Sebab itu, kita hendak sampaikan kepada para pemegang mikrofon dalam masjid dan surau; usah lancang mulut mengata orang yang menyebut “Allah Di Langit” itu sebagai sesat barat atau kafir. Mereka faham ringkas sebegitu, sesat tang mananya? Ada Nabi SAW sebut orang yang berkata demikian itu sesat / kafir? Adakah kalam Allah yang menyebut secara jelas orang yang berkata demikian itu salah akidah? Ada? Lontaran sebegini akan kita teruskan apabila membahas jawapan yang lain kemudian.

PESANAN PENAJA#2

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak. Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGfikir
pink water lily flower on water
Photo by Diego Madrigal on Pexels.com

JAWAPAN 2: Allah istawa ‘alal ‘arsy

Ini adalah jawapan piawai oleh semua pihak yang tertelagah dalam persoalan Di manakah Allah? Ya. tiada siapa yang waras akalnya akan menafikan bahawa Allah istawa ‘alal ‘arsy ATAU Ar-Rahmaanu ‘ala arsyis tawa. Dalil bagi jawapan sepakat ini ada dalam Al-Quran, iaitu Surah Al-A’raf: 54, Yunus: 3, Ar-Ra’d: 2, Al-Furqan: 59, As-Sajdah: 4 dan Al-Hadid: 4, semuanya dengan lafaz berikut;

ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْش

  • TERJEMAHAN GENERASI AWAL: Kemudian Dia bersemayam di atas singgahsana.
  • TERJEMAHAN GENERASI SEKARANG: Kemudian Dia berada di atas ‘arsy.
  • TERJEMAHAN DIPAKSA KE ATAS ORANG AWAM: Kemudian Dia istawa di atas ‘arsy.

Di dalam Surah Thaha: 5 dengan lafaz berikut pula;

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

  • TERJEMAHAN GENERASI AWAL: Yang Maha PEMURAH di atas singgahsana (Dia) bersemayam.
  • TERJEMAHAN GENERASI SEKARANG: Yang Maha PENYAYANG di atas ‘Arsy (Dia) berada.
  • TERJEMAHAN DIPAKSA KE ATAS ORANG AWAM: Yang Maha PENYAYANG di atas ‘Arsy (Dia) istawa.

NOTA berkenaan perkataan الرَّحْمَنُ

Perhatikanlah bahawa perkataan Ar-Rahman diterjemah sebagai Yang Maha PEMURAH oleh generasi awal di Tanah Melayu. Ia adalah terjemahan paling tepat pada pandangan +SANGfikir. Serupa juga, terjemahan dalam bahasa Inggeri juga merujuk Ar-Rahman sebagai The Most Gracious ATAU The Most Beneficient, itu juga merupakan terjemahan lebih tepat pada pandangan +SANGfikir. Generasi hari ini umumnya menerima bahawa terjemahan Ar-Rahman itu sebagai Yang Maha PENYAYANG. Terjemahan ini tidaklah salah, tetapi kurang tepat pada pandangan +SANGfikir. Sebabnya, perkataan PENYAYANG dan PENGASIH itu saling tidak tumpah satu sama lain dalam bahasa orang awam, baik dalam percakapan biasa (mahupun dalam urusan cinta!). Hal ini menyebabkan lebih sukar orang awam hendak faham membezakan Ar-Rahman dan Ar-Rahim apabila membaca Al-Quran terjemahan, melainkan perlu penjelasan istilah yang panjang berjela hingga terbelit lidah. Demikianlah tabiat manusia yang gemar menyusahkan benda yang mudah jadi payah! Jika diizinkan Tuhan, perkara ini akan dibahaskan lebih lanjut dalam terbitan lain.

+SANGfikir

Baiklah tuan puan sekalian. Perkataan istawa dimaklumi oleh semua orang Arab dan orang yang faham bahasa Arab. Perkataan bersemayam dimaklumi oleh semua orang Melayu dan orang yang faham bahasa Melayu. Semua orang Islam maklum maksud perkataan ini apabila membaca Al-Quran dalam bahasa asal mahupun bahasa terjemahan. SEMUA MAKLUM. Semua puak yang bertelagah dalam Islam juga maklum. Dan kita semua maklum juga selepas itu mereka akan kembali bertelagah! Ini akan kita bahas kemudian.

Kita cuma musykil sedikit. Kalau orang berbangsa Arab. atau bercakap dengan bahasa Arab, kita boleh fahamlah kalau dapat jawapan Allah istawa’ ‘alal ‘arsy. Yang kedua, kita bertanya; Di manakah Allah? Adakah jawapan Allah istawa’ ‘alal ‘arsy itu menjawab secara langsung? TIDAK. Ia hanya memberi jawapan secara tidak langsung, baik yang bercakap dalam bahasa Arab, mahupun yang memahami bahasa Arab. Hal ini bermaksud, akan ada penjelasan yang lebih terperinci akan menyusul bagi jawapan sedemikian.

Juga kita amat teramat musykil dan pelik mengapa bersungguh-sungguh manusia di bumi Malaysia ini beria-ia sekarang ini menterjemah istawa sebagai istawa juga. Tuan puan baca sendirilah pautan yang kita berikan. Kita cuma nak kata begini; kalau kemaruk sangat hendak jadi orang Arab, tukar sajalah buku sejarah negara ini menyatakan Malaysia ini dahulunya dikenali sebagai Tanah Arab! Maaf ya tuan puan sekalian. Iklan sebentar, sebelum kita mengulas jawapan seterusnya, iaitu “Allah bersemayam di atas ‘arasy“.

PESANAN PENAJA#3

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak.

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGFIKIR
body of water under blue and white skies
Photo by Matt Hardy on Pexels.com

JAWAPAN 3: Allah bersemayam di atas ‘arasy

Jawapan Allah bersemayam di atas ‘arasy ini adalah YANG SAMA dengan jawapan kedua tadi, iaitu; Allah istawa’ ‘alal ‘arsy. Kita kata sama sebab itulah terjemahan bahasa Melayu yang paling hampir bagi lafaz berikut;

ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْش

  • TERJEMAHAN GENERASI AWAL: Kemudian Dia bersemayam di atas singgahsana.
  • TERJEMAHAN GENERASI SEKARANG: Kemudian Dia berada di atas ‘arsy.
  • TERJEMAHAN DIPAKSA KE ATAS ORANG AWAM: Kemudian Dia istawa di atas ‘arsy.

Kemudian kita kena maklum; ‘arsy itu memang lebih tepat disebut sebagai singgahsana dalam penterjemahan bahasa Melayu. Manusia di bumi Malaya ini boleh bersilat lidah bagai, tetapi sudah maklum sejak zaman dahulu kala hingga masa kini memang itulah kata terjemah yang paling hampir menepati makna ‘arsy dalam bahasa Melayu. Para ulama Melayu zaman awal sudah pecah kepala mencari perkataan yang paling mudah orang awam faham ya tuan puan sekalian. Namun kita lihat hari ini, berbondong-bondong manusia di bumi bertuah ini berpaling dari perkataan singgahsana itu atas alasan takut orang sesat!

Demikianlah ya tuan puan sekalian ketakutan para penguasa dan pendakwah zaman mutaakkhirin di Nusantara ini tentang berlakunya salah akidah orang awam jikalau ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْش itu diterjemah kepada “Kemudian Dia bersemayam di atas singgahsana”. Sedangkan faktanya elok sahaja tok nenek moyang kita faham terjemahan para ulama mutaqaddimin tanpa sebarang masalah. Kita cuma boleh kata begini sajalah; jadi masalah sebab memang kita cari masalah. Kalau kita tidak cari masalah, mana datang masalah itu?

Kalangan manusia yang menjawab Allah bersemayam di atas singgahsana ATAU Allah berada di atas ‘arsy ATAU Allah istiwa di atas ‘arsy tanpa keraguan ini lazimnya terdiri dari kalangan golongan Salafi. Bezanya, orang lama sebut singgahsana, budak-budak muda atau para ustaz hari ini pula sebut ‘arsy. Bezanya, orang lama sebut bersemayam, budak-budak muda atau para ustaz hari ini pula sebut istawa. Kita orang lama fahamlah maksud bersemayam itu; budak-budak muda hari ini tak tahulah mereka faham atau tidak perkataan istawa. Yang selalu kita nampak, sebut saja istawa, nanti akan adalah perang mulut antara budak-budak baru belajar!

Jawapan Allah bersemayam di atas singgahsana ATAU Allah Allah istiwa di atas ‘arsy ini juga sama seperti jawapan kedua (Allah istawa’ ‘alal ‘arsy). Ia jawapan secara tidak langsung. Macam kita sebut tadi, akan ada penjelasan yang lebih terperinci akan menyusul bagi jawapan sedemikian. Sekalipun jika orang itu menjawab Allah berada di atas ‘arsy (kelihatan seperti menjawab soalan secara terus), pasti akan ada susulan perincian jawapan.

PESANAN PENAJA#4

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak.

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGFIKIR

Masalah TEMPAT!

Kesemua JAWAPAN 1, JAWAPAN 2 dan JAWAPAN ketiga yang kita bentangkan tadi ada permasalahan besar; TEMPAT. Begitu juga dengan JAWAPAN 4 (Allah berada di atas daripada langit) dan JAWAPAN 5 (Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy ada masalah besar; TEMPAT. Manakala JAWAPAN 6 (Allah ada di mana-mana) lebih lagi besar masalahnya; TEMPAT. Bahkan JAWAPAN 7 (Allah wujud tidak bertempat) juga ada masalah juga; TEMPAT. Akhir sekali, JAWAPAN 8 (SAYA TIDAK TAHU) juga memang bermasalah juga iaitu dia tidak tahu TEMPAT. Kita akan perincikan nanti semua JAWAPAN 4, 5, 6, 7 dan 8 kemudian nanti. Cuma kita hendak beritahu, nampakya semua orang Islam satu dunia memang ada masalah dengan TEMPAT sehingga keluarlah pelbagai silat lidah kalam seperti yang kita boleh tonton dalam video berikut. Kita mulakan dahulu dengan bahasan berfikir ‘aras rendah’ berikut;

Video 11

Demikianlah perbahasan aras rendah. Biar yang bercakap itu berkedudukan tinggi dalam masyarakat, kalau cara perbahasannya sedemikian, kita katalah saja ia pemikiran aras rendah ya tuan puan sekalian. Bercakap perihal Tuhan bukanlah perkara lawak sehingga boleh kita berjenaka sambil memberi syarah kepada khalayak jemaah! Kalau takrif syirik pun berterabur (faham atau tidak maksud syirik menurut kalam Allah dan Rasullullah SAW?), maka kita hendak nilai macam mana lagi? Kita bercakap terus terang sajalah, terutama kalau tidak lekang dari mulutnya mengata apa yang orang tidak kata dan kuat mengata sesat orang lain yang berbeza cara memahami ayat yang didakwa menunjukkan ‘Allah itu berTEMPAT’. Mari kita tonton pula perbahasan aras tinggi, juga bahasan berkaitan TEMPAT;

Video 12

Tuan puan sudah dengar macam-macam perbahasan ilmu kalam dari aras rendah (oleh para penglipur lara) sehinggalah ilmu kalam aras tinggi (oleh para ustaz yang cerdas) sehingga kini. Maka kita hendak lontarkan satu persoalan sebegini;

  • Datangkanlah kepada kami orang awam di mana TEMPATnya di dalam Al-Quran, Allah Yang Maha Suci ada menyatakan terdapatnya masalah besar berkenaan dengan TEMPAT apabila kita membicarakan tentang Allah?
  • Datangkanlah kepada kami orang awam di mana TEMPATnya di dalam hadith, Nabi Muhamad SAW ada menyatakan terdapatnya masalah besar berkenaan dengan TEMPAT apabila kita membicarakan tentang Allah?

Kita lontarkan sahaja dulu untuk difikirkan. Maksud kita, kalau manusia di muka bumi dengan begitu yakin sekali akalnya sangat cerdas untuk mempermasaalahkan perihal TEMPAT apabila membicarakan tentang Allah, mereka sekaliannya ambil hujah dari mana? AKAL MANUSIA? Jikalau dari akal manusia, bagaimana mereka boleh begitu yakin akal mereka itu benar sehingga menganggap akal orang lain salah atau sesat? Siapakah dalam kalangan manusia yang hidup di mukabumi hari ini boleh memberi ‘kelulusan’ atau mengesahkan sedemikian? Kalau pun mereka itu boleh memberi ‘kelulusan’, siapakah yang memberi hak dan kelayakan untuk memberi ‘kelulusan’ tersebut?

  • Adakah Tuhan mereka yang memberi kelayakan ini?
  • Adakah Nabi mereka yang memberi kelayakan ini?
  • Adakah suara malaikat yang memberitahu manusia sekaliannya yang masih hidup hari ini perihal kelayakan ini?

Mereka (ATAU kamu sekalian) benar-benar berani ambil salah satu jawapan tadi?

Mari kita perhatikan satu fakta di bumi Malaya ini begini. Hampir satu Malaya takut kalau orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, kaabah, dakwah dan sebagainya. Cuba tuan puan renung, puak mana yang jenis ketakutan tidak bertempat ini dan selalu berlindung di sebalik kuasa politik untuk menjaga akidah mereka? Cuba tuan puan renung, puak mana yang sukar hendak meninggalkan amalan khurafat dan syirik (menurut takrif asal yang terkandung dalam Al-Quran)? Cuba tuan puan lihat sekitar dan renungkan. Puak yang mana satu? Para pengikut yang belajar ilmu kalam sampai tidak faham-faham atau puak yang hidup damai sebaik yang mungkin untuk belajar mengikuti jalan para salafussoleh? Sudah nampak gambarannya? Fikir-fikirkanlah!

Suka sangat bermain kalam, mari kita lontarkan beberapa ‘kalam’;

  • Tuhan adalah TUHAN, maka sifat dan perbuatan Tuhan adalah SIFAT DAN PERBUATAN TUHAN;
  • Makhluk adalah MAKHLUK; maka sifat dan perbuatan makhluk adalah SIFAT DAN PERBUATAN MAKHLUK.

Lalu cuba kita bersihkan hati dan jiwa dengan tulus;

  • Adakah serupa SIFAT DAN PERBUATAN TUHAN dengan SIFAT DAN PERBUATAN MAKHLUK?

TIDAK SERUPA. Berpeganglah dengan kalimah; لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ

Sila jawab sendiri ya tuan puan sekalian. Ini adalah kunci bagi merungkai perbezaan SANG MAHA PENCIPTA dengan MAKHLUK ya tuan puan sekalian. Dengan izin Allah kita akan kupas satu persatu kelompongan akal manusia yang kita selalu berbangga dengannya. Cuma kita hendak pesan secara umum begini. Semua perselisihan apabila membicarakan tentang Allah adalah berkait rapat dengan cara penggunaan bahasa dan beza kefahaman perbahasan falsafah dengan bicara orang awam. Sebab itu kena cerdik supaya tidak kita terjerumus dengan masalah ‘bodoh tidak boleh di ajar’ ATAU ‘terlajak pandai tak boleh diajak bincang’! Cuba redakan dahulu kecelaruan ini dengan penjelasan santai Ustaz Noor Derus di bawah ini;

Video 13

Tenang saja kan? Tarik nafas ya tuan puan sekalian. Jangan gopoh. Jangan gelojoh. Jangan biarkan kita tergolong dalam kalangan orang yang;

Mengata apa yang orang tidak kata!

Kemudian, marilah kita baca pesanan penaja sekali lagi sebelum membahaskan pula semua JAWAPAN 4, 5, 6, 7 dan 8 itu seterusnya.

JAWAPAN 4: Allah berada di atas daripada langit

JAWAPAN 5: Allah bersemayam di atas daripada ‘arsy

Kita akan ulas kedua-dua JAWAPAN 4 dan JAWAPAN 5 ini sekaligus ya tuan puan sekalian. Sebab ia melibatkan kefahaman bahasa dan juga sebab mengapa sebahagian manusia beraliran Salafi cenderung menetapkan perkataan ‘di atas daripada’ dalam kalam penghujahan mereka. Tidak lain kerana mereka terpaksa melepaskan diri dari syubahat bahasa oleh golongan ahli kalam (termasuklah Assyairah) yang gemar melontar tuduhan ke atas diri mereka. Apakah tuduhan tersebut? Tuduhan itu adalah di kalangan Assyairah mendakwa menyebut JAWAPAN 1- Allah di langit dan JAWAPAN 3 – Allah bersemayam di atas ‘arsy itu menunjukkan kefahaman golongan Salafi (sebahagian, kalau bukan semuanya) bahawa ‘Allah berada di dalam alam’. Ini adalah bertentangan dengan prinsip asas yang difahami sebahagian besar Assyairah, iaitu, sekiranya ‘Allah berada di dalam alam’ ini, hal ini menunjukkan bahawa ‘Allah itu bergantung kepada makhluk’ atau ‘Allah memerlukan TEMPAT’. TEMPAT, sebagaimana baru saja kita ulas secara ringkas sebelum ini adalah ‘sesuatu yang haram disebut apabila menisbahkan perihal Allah’.

Sebab itulah kita sering dengar kebanyakan ustaz aliran Assyairah seringkali terlepas cakap (sama ada disengajakan atau tidak) bahawa ‘golongan Salafi itu salah akidah’. Bahkan ada lebih teruk, sebahagian ustaz selebriti dengan lancang sekali menuduh orang yang mengatakan Allah berada di atas langit dan Allah bersemayam di atas ‘arasy itu sebagai ‘sesat barat’ dan kafir. Perihal ustaz sedemikian, kita sebagai orang awam ini hanya mampu berkata; kepada Allah jualah segala urusan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

Kita tidak usah masuk campur dengan urusan manusia yang lancang mulut mengkafirkan ahli kiblat ya tuan puan sekalian. Kita patut lebih khuatir kalau-kalau aqidah kita itu jauh dari jalan Allah sebagaimana diterangkan dalam Al-Quran dan hadith sahih. Para ustaz yang kelihatan ‘over confident’ itu belum tentu akan membela kita kelak di Padang Mahsyar sekiranya aqidah kita itu salah! Kalau tuan puan tidak percaya, cubalah bebisik kepada ustaz yang berkenaan, sanggupkah mereka bersumpah akan membela kita kelak di hari akhirat nanti. Kalau ada ustaz yang sanggup, eloklah tuan puan berundur sebentar dan cubalah fikir; “macam mana ustaz ini begitu yakin dia itu ahli syurga dan bebas sepenuhnya dari kesilapan dalam beraqidah?“. Ada suara dari langitkah yang memberi pengesahan ini?

Maaflah tuan puan sekalian. Ter-cerita pula perihal ‘ustaz over confident’!

Baiklah tuan puan sekalian. Sebelum kita merungkai JAWAPAN 4 – Allah berada di atas DARIPADA langit dan JAWAPAN 5 – Allah bersemayam di atas DARIPADA ‘arsy berbanding JAWAPAN 1- Allah di langit dan JAWAPAN 3 – Allah bersemayam di atas ‘arsy ini, eloklah kita fahami dahulu perihal TEMPAT, tanpa membicarakan perihal Allah secara langsung dalam perbahasan ini. Urusan Tuhan bukan urusan kita. Mari kita cuba fahami TEMPAT yang berkenaan mengikut kefahaman kita sebagai makhluk dahulu, yang hidup di dalam RUANG MASA (space time) atau RUANG DAN MASA (space and time). Kita bicarakan berkenaan TEMPAT-TEMPAT yang kita boleh tahu kedudukannya, berdasarkan zahir ayat-ayat Al-Quran dan juga hadith Nabi yang sahih. Kesemua tempat ini kita kenalah lukis secara relatif kedudukan dalam gambarajah, barulah mudah hendak faham. Hanya dengan cara ini kita dapat mengurangkan aktiviti; JANGAN MENGATA APA ORANG TAK KATA!

Gambarajah 1 tadi ini kita lukis secara ringkas berdasarkan ‘kefahaman bumi datar’ ya tuan puan sekalian. Kita cuma hendak bagi mudah faham saja. Mudah juga untuk kita terus memahami ayat-ayat Al-Quran dan hadith Nabi dengan gambaran kedudukan relatif di atas bila bertembung dengan perkataan ‘arsy, langit, bumi, neraka dan sebagainya.

Kemudian kita hendak pesan begini sekiranya ada di kalangan tuan puan mahu ketawa berdekah-dekah sambil berguling atas lantai melihat gambarajah tadi. Ini pesannya;

  • Sudahkah tuan puan membaca ATAU mendengar Al-Quran secara berulang-ulang dengan memahami setiap patah perkataannya?;
  • Sudahkah tuan puan membaca ATAU mendengar Al-Quran secara berulang-ulang dengan memahami setiap ayat berdasarkan konteksnya?;
  • Sudahkah tuan puan membaca pelbagai tafsir para ulama muktabar dan tahu menimbang segala perbezaan pandangan sesama ulama besar itu dalam menafsirkan Al-Quran?;

Kalau memang benar tuan puan sekalian sudah melepasi semua perkara di atas, maka persilakanlah kalau mahu berguling atas lantai. Jikalau belum, namun tetap mahu ketawa berguling atas lantai, maka dipersilakan juga. Hendak buat macam mana kalau memang sudah begitu perangai manusia bila berdepan dengan manusia sejenis dengan +SANGfikir!

Berkatalah +SANGfikir;

Eloklah kita merenung sejenak Surah Hud 11:7 dan belek-belek kitab tafsir. Ada pandangan “DAHULUNYA ‘ARSY ALLAH DI ATAS AIR”, ada pula pandangan “SESUNGGUHNYA MEMANG ‘ARSY ALLAH DI ATAS AIR”;

Langit Air +SANGfikir

وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُۥ عَلَى ٱلْمَآءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۗ وَلَئِن قُلْتَ إِنَّكُم مَّبْعُوثُونَ مِنۢ بَعْدِ ٱلْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dan adalah singgasana-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan jika kamu berkata: “Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan sesudah mati”, niscaya orang-orang yang kafir itu akan berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata”.

Berkenaan perihal tafsir Surah Hud 11:7 yang mengatakan bahawa “SESUNGGUHNYA MEMANG ‘ARSY ALLAH DI ATAS AIR” itulah Gambarajah 1 di atas ikut kefahaman +SANGfikir. Barangkali benar, barangkali salah! Kalau tuan puan lebih cenderung mengambil tafsir sebahagian ulama yang menafsirkan “dahulunya ‘arsy Allah di atas air” maka terpulanglah kepada pendirian kalian.

+SANGfikir

Bila kita kata ‘kefahaman bumi datar’, tuan puan jangan salah faham pula! Kalau tuan puan memang jenis manusia yang percaya bahawa bumi itu bulat (sfera) dengan ‘ainul-yakin’ sebagaimana dicanang oleh segelintir manusia yang mendakwa sudah ke bulan dan menghantar robot-robot ke planet marikh, maka persilakanlah lukis sendiri kedudukan semua TEMPAT yang dinyatakan dalam gambarajah yang dilukis oleh +SANGfikir tadi ikut kecenderungan tuan puan sekalian! Manalah tahu, memang ada di kalangan tuan puan yang membaca ini memang pernah sampai ke langit, kita hendak kata apa lagi?

Cuma kita hendak pesan satulah saja; kalau tuan puan lukis ikut ‘kefahaman bumi bulat’ dan alam semesta berbentuk bulat, jangan lupa letak KEDUDUKAN NERAKA dalam gambarajah tersebut. Kita hendak tahu juga, bagaimana caranya tuan puan hendak terangkan kedudukan neraka bila membaca Al-Quran dan tafsiran para ulama muktabar. Mungkin juga tuan puan boleh tunjukkan cara memahami hadith Nabi dengan mengetahui kedudukan neraka dalam gambarajah ala ‘kefahaman bumi bulat’, mana kita tahu, kan?

Baiklah. Perlu kita jelaskan, Gambararajah 1 itu kita lukis berdasarkan lapisan alam fizikal dari segi kefahaman RUANG (space) sahaja untuk memudahkan perbicaraan. Jadi, tuan puan boleh juga jika mahu mengandaikan bahawa semua alam roh, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat itu berada dalam lingkungan DALAM ALAM. Kalau kita mahu lukis juga, terpaksalah kita buat gambarajah dari segi kefahaman RUANG MASA (space time) atau RUANG DAN MASA (space and time). Nanti jadi panjang pula hendak faham. Kita permudahkan sahaja ikut kefahaman RUANG (space) sahaja ya tuan puan sekalian. Sebabnya dalam pertikaman kalam antara puak Assyairah dan puak Salafi yang sering kita dengar hari ini, gaduh besarnya adalah takrif ALAM, apa itu DALAM ALAM dan apa itu LUAR ALAM. Jadi, kita permudahkan sahaja begini; apa saja yang kita bicara dan lihat semuanya adalah di DALAM ALAM. Manakala penggunaan bahasa yang pelik seperti ‘makan adami’ (TEMPAT YANG TIADA) atau ‘makanal adami’ atau ‘makanah al-adami’ dan sebagainya (oleh segelintir golongan Salafi) dalam gambarajah tadi adalah merujuk kepada LUAR ALAM.

Begitulah juga apabila kita rujuk Gambarajah 2 di bawah ini. Kita lukis semula untuk membantu tuan puan yang berpegang kepada pandangan sebahagian ulama yang mentafsirkan bahawa “DAHULUNYA ‘ARSY ALLAH DI ATAS AIR‘. Maksudnya, ‘lapisan AIR’ dikeluarkan daripada Gambarajah 2 di bawah ini;

Gambarajah 2 ini akan lebih memudahkan kita untuk kembali membahas perihal JAWAPAN 4- Allah berada di atas DARIPADA langit dan JAWAPAN 5 – Allah bersemayam di atas DARIPADA ‘arsy berbanding JAWAPAN 1- Allah di langit dan JAWAPAN 3 – Allah bersemayam di atas ‘arsy. Sebabnya, memang sudah maklum bahawa kalangan Salafi yang bersilat lidah menjawab tuduhan sebahagian Assyairah memang amat langka sekali menyebut keberadaan air di antara langit paling atas dengan ‘arsy.

Apa itu LANGIT?

Sebelum itu, kita kena perjelaskan dahulu maksud perkataan LANGIT. Sebab, kalau tidak dijelaskan beberapa perspektif berbeza manusia apabila membicarakan perihal langit, itu menjadi sebab kata mengata APA ORANG TIDAK KATA tidak berkesudahan sampai kiamat! Kalau tuan puan lihat Gambarajah 2 tadi, juga tahu membaca gambarajah lai yang bergentayangan di alam siber, pasti akan jelas bahawa apabila kita manusia memandang ke atas, ‘bumbung atau atap’ yang berada di atas kepala kita di muka bumi itu dipanggil sebagai LANGIT. Maksudnya, bermula dari aras LANGIT HAMPIR (mengandungi bulan, bintang dan matahari bahkan awan, kapal terbang, roket, dsb.) hingga ke lapisan LANGIT ATAS, AIR (rujuk Gambarajah 1) juga sehinggalah ‘ARSY – semuanya itu – apabila dibicarakan secara relatif dengan kedudukan manusia bumi adalah dipanggil LANGIT. Kalau tuan puan pendokong tegar program angkasa, angkasaraya dan angkasawan sekalipun, semuanya itu hanya berlaku dalam lapisan LANGIT HAMPIR (langit dunia yang meliputi bumi) ya tuan puan. Usahlah kita bermimpi manusia zaman sekarang dan segala peralatan canggih mereka sudah berjaya melangkaui batas LANGIT HAMPIR!

Berbalik kepada maksud LANGIT tadi, bahasa ringkas dalam kalangan manusia yang paling bodoh sehingga yang paling cerdik, apabila berbicara secara umum, memang kita merujuk segala apa yang diluar jangkauan fizikal di atas kita itu sebabgai LANGIT! Sebab itu, apabila seorang manusia itu mengatakan JAWAPAN 1- Allah di langit dan JAWAPAN 3 – Allah bersemayam di atas ‘arsy, secara zahir kita yang mendengar memang boleh faham maksud perkataannya adalah ‘Allah di LANGIT’ (فِى ٱلسَّمَآءِ). Fis-samaa’ ini adalah perkatan yang terkandung dalam Al-Quran dan hadith Nabi, dan tiada seorang pun ulama yang takut kepada Allah berani menyangkalnya. Hanya selepas itu ada kalangan yang mengambil jalan tafwid, isbat atau takwil untuk menjelaskan maksud perkataan tersebut. Jalan-jalan yang sedemikian itulah menyebababkan terhasilnya jawapan berikut;

  • JAWAPAN 4 – Allah berada di atas DARIPADA langit
  • JAWAPAN 4 – Allah bersemayam di atas DARIPADA ‘arsy

Untuk memahami perkara ini, perlulah kita memahami prinsip asas golongan Assyairah berkenaan TEMPAT dan juga bantahan mereka terhadap golongan Salafi yang mengatakan ‘Allah di LANGIT’ atau ‘Allah berada di atas langit’ atau ‘Allah bersemayam di atas ‘arsy‘. Sila tonton video di bawah ini terlebih dahulu;

Video 14

Ringkasnya begini ya tuan puan sekalian. Golongan Assyairah mengatakan jikalau kita mengatakan ‘Allah di LANGIT’ atau ‘Allah berada di atas langit’ atau ‘Allah bersemayam di atas ‘arsy‘, maka ia seolah-olah mengatakan bahawa dzat Allah itu tertaklluk kepada TEMPAT, maka dengan demikian itu seolah-olah Allah itu berjisim sehingga Tuhan itu terhad kepada MAKHLUK. Sekarang kita boleh faham ya tuan puan, mengapa dalam kalangan Salafi, untuk berbalas hujah, mereka menyebut pula JAWAPAN 4 dan 5.

JAWAPAN 4 – Allah berada di atas DARIPADA langit itu mengisyaratkan bahawa Allah-fis-samaa’ itu bermaksud Allah-‘ala-samaa’ (Allah berada di atas langit) atau Allah-fauqas-samaaa’ (Allah berada di atas DARIPADA langit). Allah-fauqas-samaaa’ ini akan kembali kepada JAWAPAN 3 – ‘Allah bersemayam di atas ‘arsy. Kerana mahu lari dari syubahat tuduhan ahlul kalam, jawapan 3 tadi dibawa pula kepada JAWAPAN 5 – Allah bersemayam di atas DARIPADA ‘arsy. Dalam artikata lain, dzat Allah itu tidak bersentuhan dengan ‘arsy (makhluk paling besar diciptakan oleh Allah). Bahasa awam selalu disebut oleh para ustaz Salafi sebagai ‘Allah tertinggi daripada ‘arasy’ atau bahasa seumpamanya yang membawa maksud sedemikian.

Perlu kita ketahui, semua jawapan berikut;

  • Allah di langit ;
  • Allah bersemayam di atas ‘arasy;
  • Allah berada di atas daripada langit;
  • Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy;

sebagaimana menurut penghujahan golongan Salafi (menurut kefahaman yang berbeza-beza pula) juga ditolak perkataannya oleh kalangan Assyairah. Semua jawapan itu, kalau kita nisbahkan kepada kedudukan relatif TEMPAT dalam Gambarajah 1 dan juga Gambarajah 2, apa pun yang terkandung DI DALAM ALAM, semua itu itu adalah TEMPAT! Bahkan, kalau hendak lari dari DALAM ALAM, lalu ke LUAR ALAM, maka LUAR ALAM itu juga adalah ‘TEMPAT’ juga kalau mahu ikut betul permainan bahasa ahlul kalam. Dalam ertikata lain, kalau ada yang menyebut Allah berada di atas daripada langit ATAU Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy, menurut cara faham mudah Assyairah; “awak sedang menisbahkan Allah dengan TEMPAT juga!

Orang tua-tua cakap; WAL-HASIL-BALIK-ASAL!

Sekalipun golongan Salafi itu berkali-kali menegaskan dzat dan sifat Allah itu hanyalah yang selayaknya bagi Tuhan, dan tidak sesekali serupa dengan dzat dan sifat makhluk, ia juga ditolak mentah-mentah! Sebabnya, golongan Assyairah apabila berbicara tentang makhluk, mereka ada istilah lain pula; jauhar dan aradh. Jadi, pusing tang mana sekalipun, memang kedua-dua puak ini kita boleh umpamakan macam ‘ayam bercakap dengan itik‘! Memang tidak akan sepakat sampai kiamat! Bila kita buat perumpamaan AYAM DAN ITIK ini, jangan salah faham pula. Kata awak tu belajar ilmu kalam, takkanlah perumpamaan semacam ini pun tidak faham juga? Mari kita tonton dahulu ‘perang mulut’ antara 2 orang ustaz untuk memahami perumpamaan AYAM DAN ITIK;

Video 15

Macam mana tuan puan sekalian? Yang cuma ada 2 buah kitab atas meja itu gemar bicara istilah falsafah berkenaan dzat dan sifat Tuhan lalu memaksa orang lain faham cara dia faham. Yang seorang ada bertimbun-timbun kitab atas meja itu bila berbicara, tunjuk satu-satu bukti tulisan kitab para ulama. Yang cuma ada 2 kitab itu berkalam bagai sampai terbelit lidah sampai kita yang mendengar ini pun tertanya-tanya; kamu bercakap tentang TUHAN, atau kamu bercakap tentang makhluk? Yang ada bertimbun-timbun kitab itu, sekali cakap pun kita sudah faham. TUHAN adalah TUHAN. Makhluk adalah makhluk. Kita hendak sibuk memperihal akan Tuhan lebih dari apa yang Tuhan terangkan tentang diri-Nya sudah kenapa?

Sejak bila ada dalam kalangan manusia hari ini itu dilantik dengan cap mohor sebagai jurucakap untuk memperkenalkan Tuhan ikut falsafah sampai begitu jauh sekali ‘seolah-olah semua ayat-ayat Al-Quran perihal Tuhan itu adalah ayat mutasyabihat belaka?’ Kayu ukur mana dipakai? Kayu ukur akal, atau kayu ukur nas dari Al-Quran? Tanya saja. Jawapannya kita sudah maklum;

  • Ayam tanya itik, lalu itik jawab, ayam tidak faham juga!
  • Itik tanya ayam, lalu ayam jawab, itik tidak faham juga!

Kita akan berhenti setakat ni dahulu. Sebab, kalau kedua-dua golongan ini saling tidak boleh bersetuju dengan istilah bahasa dan kalam sampai kiamat, kita henda tolong macam mana lagi?

Kita akan langsung ke JAWAPAN 6 – Allah ada di mana-mana. Sebelum itu, elok kita paparkan sekali lagi pesanan;

PESANAN PENAJA#5

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak.

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGFIKIR
green bushes on desert
Photo by Francesco Ungaro on Pexels.com

JAWAPAN 6: Allah ada di mana-mana

Ini adalah jawapan budak sekolah rendah ya tuan puan sekalian. Dia belum cukup belajar ilmu bahasa, baik bahasa Melayu mahupun Bahasa Arab! Yang menjawab ini juga tergolong dalam kalangan ‘Assyairah celup’ atau jenis manusia yang tidur dalam kelas sewaktu ustaz sedang mengajar.

Bila kita kata jawapan budak sekolah rendah, maksud kita adalah dia baru belajar hendak faham Al-Quran. Itu pun belum khatam. Kalau khatam pun belum tentu faham konteks ayat. Belum pernah tahu ada disiplin ayat Al-Quran mentafsir ayat Al-Quran. Tidak faham maksud hadith menjelaskan Al-Quran. Baru terdengar-dengar sekerat hadith Nabi sana dan sini. Dia tidak tahu pun membezakan hadith mutawattir, hadith ahad. Itu belum kira lagi jenis sahih, hassan sahih, hassan, dhoif, dhoif jiddan, maudhuk dan sebagainya. Belum kira lagi sekali baca hadith hassan ghorib, dia terus buat kesimpulan itu hadith hasan sampai kata Gred A! Habis disapunya jadikan hujah! Dia tidak faham; lain ulama, lain cara pengkelasan hadith! Lebih parah lagi, dia seolah-olah anggap semua manusia yang hidup di zaman salaf itu layak digelar Salafussoleh. Jenuh macam ni! Takkanlah ulama Khawarij pun kita hendak masuk bakul dalam kalangan Salafussoleh?

Maaf ya tuan puan sekalian. Si tukang tulis ini ‘ter-lencong’ pula bagi pautan suruh tonton perihal manusia pegang mikrofon yang main suka petik-petik hadith!

Kita kembali kepada budak baru belajar Al-Quran dan hadith. Ringkas cerita, dia baru merangkak hendak belajar. Konteks ayat Al-Quran dia belum jelas. Dia tidak jelas pun konteks hadith yang didengarnya. Lalu apabila dia mendengar rangkap-rangkap berikut;

  • ‘Tuhan itu dekat dengan hambaNya’;
  • ‘Kami lebih dekat dengan urat lehernya’;
  • ‘Allah bersemayam di atas ‘arsy;
  • ‘Allah di langit’;
  • ‘Ke mana kamu menghadap, di situlah muka Allah’;
  • ‘jangan meludah di hadapan waktu sembahyang’ ;
  • ‘Allah turun sepertiga malam ke langit dunia’

dan yang seumpama dengannya, dia pun kata; Allah ada di mana-mana. Kawan tu baru belajar. Belum habis mengaji. Tidak faham sastera bahasa. Janganlah lancang mulut kita kata dia sesat atau kafir. Tegurlah dengan elok. Suruh dia belajar lagi. Cuma kena pesanlah. Ustaz mengajar jangan tidur pula. Tidak faham, kena tanya ustaz sampai faham. Kalau jenis malas berfikir, asyik hafal saja apa itu dalil aqli, apa itu dalil naqli, apa itu hukum akal, apa itu hukum adat, apa itu sifat Nafsiyah, Salbiyah, Ma’ani dan Ma’nawiyah, apa itu sifat wajib bagi Allah, apa itu sifat mustahil bagi Allah TETAPI TIDAK FAHAM-FAHAM JUGA dari kecil sampailah beranak cucu cicit bagai, kita memang tidak boleh hendak tolong manusia seperti ini. Berdegar-degar mengaku Assyairah, bila orang tanya dia jawab ‘Allah ada di mana-mana‘, itu bukan Assyairah namanya! Orang Assyairah mutaakhirin, kalau kita tanya di manakah Allah, dia akan bagi JAWAPAN 7 – Allah wujud tidak bertempat.

Demikian sekalipun, jikalau tuan puan jumpa jenis manusia tadi, usahlah pandang lekeh. Paling kurang, dia pernah belajar. Paling kurang, dia sedang belajar. Paling kurang, dia tahu dia itu makhluk DAN Allah adalah Tuhan. Kalau dia bersyahadah, dia bersembahyang, dia tahu mana satu halal mana satu haram, takkanlah kita hendak mengata dia sesat barat juga! Takkanlah kita hendak mengata dia itu kafir! Sudahlah bilangan umat Islam sedikit, ‘kalau ramai pun umpama buih di lautan’, dok pakat mengata sesat dan kafir, berapa kerat yang tinggal sebagai orang Islam?

Biarpun demikian, kita kena ambil cakna pegangan golongan yang masih bertatih ini. Sebabnya, mereka tidak cukup kukuh pegangan Assyairah DAN tidak pula tahu cara beraqidah seperti golongan Salafi. Oleh kerana mereka tidak ambil peduli mana-mana jalan baik Assyairah mahupun Salafi dengan kefahaman yang jitu, sebenarnya mereka ini mudah terdedah kepada tipu muslihat kalam puak pelampau aqidah. Kita akan membicarakannya sebentar lagi.

Kasihanilah mereka yang masih belajar. Berbaik sangkalah dengan mereka tadi, KECUALI YANG SATU INI; ‘Assyairah celup’!

Bila kita kata ‘Assyairah celup’, kita mohonlah tuan puan sekalian yang membaca ini jangan berkecil hati. Kalau memang kalian adalah ahli Assyairah sejati, pastinya tuan puan akan meremang buru roma apabila mengetahui ada ramai kalangan manusia yang mengaku bermazhab Assyairah itu sebenarnya adalah jenis celup. Bibir mereka tidak lekang membicarakan segala macam dalil aqli, dalil naqli, hukum akal, hukum adat, sifat Nafsiyah, Salbiyah, Ma’ani dan Ma’nawiyah, sifat wajib bagi Allah dan sifat mustahil bagi Allah – MALANGNYA – semua itu ditakwil mengikut hawa nafsu mereka. Mereka adalah golongan BATINIAH.

Habis penat lelah para ulama Assyairah yang muktabar berhati-hati mentakwil Al-Quran pada tempatnya (ayat yang didakwa sebagai ayat mutasyabihat) dan juga hadith Nabi supaya maksudnya tidak bertentangan dengan dzat dan sifat Allah Yang Maha Suci, semua ilmu ini diculik oleh pelampau akidah batiniah! Mana tidaknya; sampai semua sifat 20 itu dilanjutkan lagi takwil oleh puak Asyairah celup! Bahkan, ayat-ayat Al-Quran yang jelas muhkamat sehingga tiada perselisihan antara golongan Assyairah dan Salafi juga ditakwil sewenang-wenangnya oleh puak batiniah. Mereka turu memutar belitkan kalam ulama tasawuf kita Imam Al-Jujnaidi dan Imam Al-Ghazali, lalu mencampur adukkannya dengan kalam Ibnu-‘Arabi yang menjadi pertikaian para ulama. Mereka mula memasukkan jarum syubahat itu dengan kalimah ini; Allah ada di mana-mana!

Benar tuan puan sekalian. Bermula dengan ‘pancing Allah ada di mana-mana‘, ia bertukar menjadi jarum ‘Allah dalam diri‘. Perihal ini sudah kita bahaskan sebelum ini dalam terbitan;

Demikianlah tuan puan. Boleh dicongak akhirnya akan ke mana! Sebab itu kita kena ambil sikap cakna bila berdepan dengan sahabat dan keluarga yang menjawab Allah ada di mana-mana. Samada memang mereka baru belajar tetapi belum sampai, ATAU mereka belajar daripada guru yang melampau sampai (sila isi tempat kosong _____).

Kita akan beralih kepada JAWAPAN 7 – Allah wujud tidak bertempat. Sebelum itu,sila baca pesanan penaja ;

PESANAN PENAJA#6

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak. Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGfikir
desert during nighttime
Photo by Walid Ahmad on Pexels.com

JAWAPAN 7: Allah wujud tidak bertempat

Ini adalah jawapan majoriti manusia beraliran Assyairah yang betul-betul faham aqidah mereka. Seperti yang telah kita sebutkan sejak awal lagi, JAWAPAN 7 – Allah wujud tidak bertempat ini adalah jawapan tidak langsung. Maksud sebenarnya, si tukang jawab itu hendak kata begini; pertanyaan Di manakah Allah itu TIDAK RELEVAN. Sebabnya, biarpun sudah dijelaskan bahawa hadith jariah yang telah kita sentuh di awal terbitan tadi adalah hadith sahih munurut para ulama hadith mutaqaadimin, tetap di kalangan ahli Assyairah tidak mahu terima dengan alasan lain pula. Hadith itu memang sahih dari segi sanad, cuma masih ada syak dari segi matan yang berbeza-beza. Sebagaimana telah dijelaskan oleh Ustaz Noor Derus, ada kalangan yang membuat kajian hadith sekarang ini, mengatakan bahawa semua hadith jariah itu adalah peristiwa yang sama, berselisihan dengan pandangan ulama hadith awal bahawa ia adalah isu yang sama dalam peristiwa yang berbeza.

Kita tidak akan pergi jauh dari ini kerana para ustaz memang saling berbeza pendapat. Memadailah kalau kita kata, oleh kerana kalangan Asyairah menolak hadith jariah jariah itu sebagai hujah, maka persoalan Di manakah Allah itu tidak patut timbul.

Sekalipun kalangan puak Salafi menerangkan wujud dalil yang jelas dalam Al-Quran bahawa Allah di langit ATAU Allah bersemayam di atas ‘arsy ATAU Allah di atas daripada langit ATAU Allah bersemayam di atas daripada ‘arsy DENGAN CARA YANG SELAYAKNYA BAGI ALLAH, hujah ini ditolak dengan bidasan ilmu kalam yang tidak sanggup golongan Salafi itu meneruskan bicara. Sebabnya mudah; ia boleh di umpamakan seperti AYAM BERCAKAP DENGAN ITIK, seperti telah kita jelaskan sebelum ini.

Kalau menurut gebang ustaz penglipurlara Malaya, 95% orang Islam di dunia ini adalah berpegang kepada mazhab Assyairah dan Maturidiyah. Jadi, kita anggap jugalah 95% yang membaca ini, kalaupun bukan Maturidiyah pastinya terdiri dalam kalangan Assyairah! Jadi tidak perlulah kita bincang panjang lebar cara faham Assyairah dari kaca mata Assyairah. Untuk memahami Assyairah dari kaca mata Salafi, bolehlah tuan puan tonton video di bawah ini;

Apapun kalam sang ustaz, ia tidak cukup untuk menjadikan ahli tegar Assyairah menjadi goyah ya tuan puan sekalian.

Jadi, cukuplah kalau kita sekadar menyebut, selain JAWAPAN 7 – Allah wujud tidak bertempat itu adalah sebagai membantah persoalan Di manakah Allah?, sebab lainnya adalah untuk membersihkan pemikiran syubahat tentang dzat dan sifat Allah dari sebarang persamaan dengan makhluk. Sebab itu, kaedah Assyairah adalah menetapkan menetapkan kaedah dzat Allah bukan ‘jauhar’ dan sifat Allah bukan a’radh’. Kaedah ini dikembangkan untuk menolak dasar hujah falsafah dengan kaedah falsafah juga. Ia adalah kaedah mematikan hujah golongan Muktazilah dan Jahmiyah yang secara melampau ‘menolak dzat dan sifat Allah’ sehingga ‘seolah-olah Tuhan itu tiada!’ Inilah punca yang menjadi keluar perkataan celupar yang menuduh ‘Assyairah tidak bertuhan’ sehingga timbul kembali Polemik Di Manakah Allah? (rujuk perbahasan awal terbitan ini; Video 1, 2, 3 dan 4).

Mengelak Syubahat Allah Bertempat

Dalam kalangan Assyairah, cara sebut Ustaz Dr. Firanda Andirja itu seolah-olah menyamakan jauhar makhluk dengan dzat Allah DAN menyamakan a’radh makhluk dengan sifat Allah. Lintasan pemikiran syubahat inilah yang cuba dibersihkan oleh para ulama dan ustaz Assyairah dari bersarang dalam kepala manusia. Ini dipanggil mentanzihkan Allah, iaitu menyucikan Allah dari sifat-sifat yang menyerupai makhluk. Patut kita ketahui juga, prinsip mentanzihkan Allah menggunakan akal ini asalnya berpunca daripada puak Muktazilah, iaitu pelopor ilmu kalam. Dan patut kita ketahui juga, biarpun sesama ahlul kalam (Muktazilah, Jahmiyah termasuklah Assyairah dan Maturidiyah) itu berkongsi prinsip asal falsafah ketuhanan, mereka juga saling berbantahan kaedah akal yang mana paling elok dalam urusan mentanzihkan Allah. Kesemua puak ini, secara umum juga berselisihan besar dengan ahlul hadith mutaqaddimin apabila berbicara berkenaaan ‘bagaimana Allah’ yang patut orang Islam berpegang aqidah dengannya. Syubahat besarnya tidak lain adalah; TEMPAT!

Untuk memahami syubahat yang dikenakan tuduhan ke atas golongan Salafi, barangkali elok kita membentangkan dahulu syubahat pemikiran manusia (SECARA UMUM) dalam Gambarajah 3 di bawah. Sebelum itu, perlu dinyatakan bahawa Maha Suci Allah daripada menyerupai sesuatu. Dzat Allah tidak boleh dicapai oleh sebarang makhluk yang melata di alam semesta ini, termasuklah manusia. Ini perlu dipegang dahulu ya tuan puan sekalian. Gambarajah di bawah ini adalah illustrasi syubahat pemikiran manusia yang hendak di bersihkan oleh golongan Asyairah;

USAH SALAH FAHAM GAMBARAJAH di atas ya tuan puan sekalian. Tanda persoalan (?) itu bukan Tuhan! Tanda persoalan (?) itu adalah lintasan fitrah fikiran manusia apabila membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan berinteraksi dengan hadith Nabi apabila membiarakan perihal Tuhan. Lintasan pemikiran inilah yang dianggap syubahat sehingga muncul tuduhan ada manusia beragama Islam yang ‘menjisimkan’ Allah ATAU menyerupakan Allah dengan makhluk!

Mengapa boleh terjadi anggapan syubahat sedemikian? Ia kembali kepada kaedah; dzat Allah bukan ‘jauhar’ dan sifat Allah bukan a’radh’ yang dipegang oleh kalangan Assyairah.

Tanda persoalan (?) dalam Gambarajah 3 tadi itu adalah layak dinisbahkan kepada jauhar dan a’radh makhluk, bukan dinisbahkan kepada Tuhan. Maksudnya, jauhar makhluk ada bentuk (jirim dan jisim) manakala a’radh mahluk ada arah, pergerakan dans sebagainya. Sekiranya semua kedudukan (?) itu adalah merujuk kepada makhluk, maka itu tidak ada masalah. Yang menjadi masalah, bagi kalangan Assyairah; tidak boleh mengatakan (?) itu merujuk kepada dzat dan sifat Tuhan. Inilah maksud syubahat pemikiran yang mahu ditanggalkan dari bersarang dalam pemikiran manusia. Jikalau ‘Allah itu bertempat’ sebagaimana makhluk berada dalam kedudukan (?) dalam gambarajah tadi, itualah maksudnya menyerupakan Allah dengan makhluk. Sebab itu, ada kalangan ulama dan ustaz Asyairah secara terus terang menuduh orang Salafi itu ‘musyabbihah’.

Sekarang, barangkali sudah jelas mengapa Assyairah menjawab; ALLAH WUJUD TIDAK BERTEMPAT. Menurut kaedah faham mereka, inilah kaedah terbaik menggunakan mengelak lintasan fikiran Allah itu serupa dengan makhluk. Tentunya kaedah akal ini dibantah oleh golongan Salafi. Sebab, biar apa pun tuduhan puak Assyairah, puak Salafi tetap berpegang dengan cara mereka atas alasan mengambil nas daripada Al-Quran dan hadith. Dalam kamus mereka, tiada istilah jauhar dan a’rad dalam perbicaraan aqidah. Secara mudahnya mereka beralasan begini; “Dzat dan sifat Allah adalah yang selayak bagi-Nya, itu pun kamu tidak faham-faham lagikah? Bicara tentang jauhar dan a’radh sudah kenapa? Orang awam boleh fahamkah?”

Dan tentu sekali, ‘percakapan antara ayam dan itik’ berkenaan TEMPAT ini tidak akan berkesesudahan sampai kiamat! Sebab apa? Satu golongan sudah cukup faham dengan dalil naqli;

لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ

Manakala satu golongan lagi panjang akal mahu tambah dalil aqli;

ﻣﺨﺎﻟﻔﺘﻪ ﻟﻠﺤﻮﺍﺩﺙ

Sudah nampak beza cara fikir dua puak yang bertelagah ini? Sudah lebih 1000 tahun bertelagah kaedah memahami aqidah, adakah kita hendak bermimpi ia akan selesai sehari dua? Sebab itu, eloklah kita beralih kepada JAWAPAN 8 – Saya tidak tahu! Seperti biasa, kita tayangkan dahulu pesanan penaja;

PESANAN PENAJA#7

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak. Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGfikir
Photo by Daniel Reche on Pexels.com

JAWAPAN 8: SAYA TIDAK TAHU

Jawapan sebegini terpacul daripada salah satu golongan berikut;

  • Budak tadika baru belajar;
  • Orang dewasa yang tidak tahu mahu mengambil pendirian yang mana dari kalangan kelompok yang bertelagah perihal akidah!

Budak-budak tadika di negara ini umumnya memang tidak didedahkan dengan persoalan Di manakah Allah? ya tuan puan sekalian. Biarpun mereka barangkali pernah bertanya, biasanya cikgu atau orang tua mereka akan mengelak menjawab persoalan begini. Maklum sajalah. Bukankah 95% orang Islam di Malaysia ini berakidah Assyairah dan Al-Maturidiah? Takkanlah kita hendak mengharap jawapan diberikan adalah “Allah di langit”!. Boleh jadi rosak akidah budak-budak macam ini! Demikianlah menurut pegangan kalangan Assyairah.

Jadi, sebenarnya kita kasihankan budak-budak itu sekaliannya. Sejak tadika, masuk sekolah rendah, sampai masuk universiti bila ada saja orang bukan Islam tanya “Tuhan awak di mana?”, maka terkecil-kebil mereka hendak menjawabnya! Yang bertanya itu, barangkali dalam kalangan kawan-kawan mereka yang beragama Nasrani, Buddha, Hindu bahkan Yahudi sekalipun (jika adalah!). Yang bertanya itu dengan bersahaja umumnya percaya bahawa ‘tuhan yang paling hebat di kalangan tuhan-tuhan atau dewa-dewa mereka itu’ berada langit! Bahkan jikalau yang menyembah kubur, api, batu, pokok, bintang, matahari, mambang tanah, mambang api, mambang hutan, dewa laut, dewa langit, dewa-dewi dan sebagainya, umumnya semua percaya bahawa ‘tuhan yang paling hebat di kalangan tuhan-tuhan atau dewa-dewa mereka itu’ berada langit!

Bahkan dalam kalangan yang mendakwa ada mengesan ‘tadahan air yang besar di luar angkasa’, iaitu dari kalangan mereka yang tidak mahu mengaku adanya Tuhan sekalipun, percaya ada satu kuasa yang maha hebat mengatur alam semesta ini, berada ‘di luar sana’. Maksudnya, mereka hendak kata, kuasa yang maha hebat itu berada di langit! Kita sudah sebut tadi, bila sebut langit, maksudnya segala yang berada di luar jangkauan manusia. Kalau para penjual bumi bulat, TETAPI GALAKSI LEPER DAN LUBANG HITAM MENYEDUT SECARA LEPER (tetapi tidak mengapalah planet dan alam semesta mesti berbentuk bulat dalam animasi mereka); semuanya itu percaya pengembangan alam semesta yang mengarah keluar dari titik asal letusan ‘Big Bang’ – maka arah ke luar itulah di sebut langit ya tuan puan sekalian! Takkanlah penganut bumi bulat tidak faham perkara seperti ini? Arah ke luar pusat adalah atas – maka arah ke luar itu mengarah ke langit! Kalau tidak faham lagi, eloklah banyakkan menonton Discovery Channel dan sebagainya. Kalau penganut bumi datar, senang sedikit kita hendak cerita; sekali cakap sudah faham!

Beginilah kalau kita hendak ringkaskan ya tuan puan sekalian. Sejak zaman Nabi Adam sehinggalah zaman hari ini, fitrah manusia memang mengatakan Tuhan berada di langit. Hanya kira-kira 1000 tahun lalu saja baru kita dengar perkataan seperti;

  • Tuhan tidak di atas, tidak di bawah, tidak di timur, tidak di barat;
  • Tuhan bukan di dalam alam, Tuhan bukan di luar alam.

Sebab itulah, kalau kita tanya budak tadika, mereka akan jawab TIDAK TAHU di manakah Allah. Sebab akal mereka tidak dapat berhujah cara ahlul kalam untuk menjawab persoalan Di manakah Allah? Apabila mereka besar sedikit, kita akan mula mengajar bertingkat-tingkat aqidah Assyairah. Kita ajar mereka Sifat 20, sehinggalah mereka remaja dan dewasa. Malangnya, bila mereka diajukan persoalan Di manakah Allah?, mereka terkebil-kebil macam itu juga. Walhal sudah berbuih mulut ibu bapa, cikgu, ustaz dan para ulama ajar ilmu kalam; kalau orang tanya Di manakah Allah?, jawablah ALLAH WUJUD TIDAK BERTEMPAT. Umumnya, di kalangan orang awam, kalau pun mereka menjawab sedemikian, mereka masih lagi terkial-kial hendak menjawab persoalan demi persoalan kerana orang yang bertanya itu pula yang akan terkebil-kebil hendak memahami jawapan Allah wujud tidak bertempat! Sudahlah bila ditanya lain, dijawab lain. Bila minta penjelasan, panjang berjela syarah sampai terbelit lidah. Maka semakin terkebil-kebil orang yang bertanya!

Demikian tadi itulah kisah budak tadika yang membesar sehingga dewasa dan beranak cucu tidak tahu menjawab persoalan Di manakah Allah? Mereka benar-benar tidak tahu. Kebanyakan mereka juga adalah orang awam yang sudah bertahun-tahun belajar aqidah Assyairah tetapi masih belum mahir ilmu kalam untuk menjawab pertanyaan sedemikian. Maksudnya, mereka masih belum faham-faham lagi semua perkara yang dihafal berkenaan macam dalil aqli, dalil naqli, hukum akal, hukum adat, sifat Nafsiyah, Salbiyah, Ma’ani dan Ma’nawiyah, sifat wajib bagi Allah dan sifat mustahil bagi Allah. Bila ustaz berceramah, barangkali mereka tidur. Bila tidak faham, mereka malu hendak bertanya kepada ustaz. Kita hendak tolong macam mana lagi? Jalan selamat adalah menjawab; SAYA TIDAK TAHU.

Jenis kedua bagi manusia yang menjawab SAYA TIDAK TAHU adalah mereka yang menjadi pening lalat bila berdepan dengan ‘perang ustaz’ antara golongan Salafi dan Assyairah. Kalaulah Si Pendek boleh berkata, dia akan kata; MEREKA KELIRU! Mana satu hendak diikut. Yang bersilat lidah itu sesama ulama. Yang bersilat lidah itu sesama ustaz. Mana boleh kedua-duanya benar. Salah satunya mesti silap. Salah satunya mesti betul. Mahu ikut yang mana satu?

Manusia jenis kedua ini kita amat bersimpati. Mereka ibarat lalang. Kejap dengar satu puak ini, mereka rasa mahu masuk kapal puak ini. Kejap dengar satu puak itu, mereka rasa mahu masuk kapal puak itu. Mereka tidak tahu mengambil pendirian. Bila ada manusia ajak mereka membaca dan memahami Al-Quran secara keseluruhan, mereka malas. Mereka takut sesat! Sebab mereka ada terdengar-dengar orang awam tidak boleh faham Al-Quran. Mereka juga terdengar-dengar ramai manusia pegang mikrofon kata, orang awam tidak boleh faham hadith Nabi. 

Kita sudah sebut banyak kali dalam terbitan sebelum ini. BIla ada orang seru supaya kembali kepada Al-Quran dan hadith, bukan bermakna secara literal baca tanpa berguru. Ada ramai guru ajar tadabbur Al-Quran. Ada ramai guru di luar sana ajar cara memahami hadith. Mereka tiada masa hendak belajar membuat pertimbangan sendiri. Mereka lebih senang kalau jumpa ustaz penglipur lara yang kerjanya membuat para jemaah menangis atau ketawa dalam masjid, biarpun isinya entah ke mana. Penat katanya bekerja. Hendak berhibur, maka berhiburlah dengar ceramah yang diselang seli dengan lawak jenaka. Orang pergi majlis ilmu hendak dapat ilmu dan keberkatan. Dia ke majlis ilmu sebab hendak dengar ceramah maharaja lawak. Kita hendak kata macam mana lagi?

Sebenarnya kuliah atau ceramah yang benar ilmiah ada berlambak di depan mata orang awam sekarang ini. Tapi, maklum sajalah. Semua ini bukan dunia, kan? Belajar pun mengantuk. Bukan boleh dapat duit pun tadabbur Al-Quran, mendalami pelbagai tafsir para ulama muktabar. Bukan dapat duit pun mendengar berjam-jam ceramah ustaz dari pelbagai aliran supaya dapat dijadikan jalan membuat pertimbangan. Tidak begitu? Sebab tidak dapat duit? Atau sebab memang anggap ilmu aqidah tidak penting buat bekalan akhirat?

Demikianlah ya tuan puan sekalian. Kita memang tidak boleh hendak tolong manusia jenis kedua yang menjawab SAYA TIDAK TAHU bila ditanyakan soalan Di manakah Allah? Kita cuma boleh tolong doakan semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada manusia itu sekaliannya.

Demikianlah kisah berjela-jela berkenaan jawapan manusia beragama Islam apabila diajukan pertanyaan Di manakah Allah? Kita ringkaskan kembali semua jawapan itu di bawah ini;

  1. Allah di langit;
  2. Allah istawa ‘alal ‘arsy ;
  3. Allah bersemayam di atas ‘arasy;
  4. Allah berada di atas daripada langit;
  5. Allah bersemayam di atas daripada ‘arasy;
  6. Allah ada di mana-mana;
  7. Allah wujud tidak bertempat;
  8. SAYA TIDAK TAHU

Terbitan ini sudah terlalu panjang ya tuan puan.  Maka si tukang tulis ini mengira-ngira akan membuat terbitan susulan kemudian. Dengan izin Allah jua. Sementara itu, eloklah kita kongsikan luahan perasaan orang awam berkenaan dialog antara Ustaz Salman Ali dan Ustaz Noor Derus yang dinantikan oleh kedua-dua belah pihak;

Video 16

Video 17

Senang cerita begini sajalah. Ada 2 jenis kategori orang awam;

  • Ada orang awam menganggap dialog itu mungkin boleh mengelirukan masyarakat;
  • Ada juga orang awam yang lebih cerdas menganggap dialog itu boleh menjernihkan keadaan.

Tuan puan sekalian bersama anggapan yang mana?

person foot prints on sands photo
Photo by Min An on Pexels.com

PESANAN PENAJA#terakhir

Selagi mana seorang hamba Allah itu berpegang kepada firman Allah di dalam Surah As-Syura 42:11 iaitu …

ِۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat

… maka usahlah kita celupar mulut mengata hamba Allah itu sesat ATAU kafir ATAU salah aqidah ATAU yang seumpamanya dalam menjawab persoalan Di manakah Allah? Ketahuilah bahawa Tuhan itu tidak boleh digambarkan dengan segala pancaindera makhluk dan akal manusia. Tiada seorang pun manusia di muka bumi ini layak mendakwa dia kenal Tuhan dengan sebenar-benar kenal melainkan dia itu adalah Nabi Allah. Hidup di dunia ini bersabarlah. Terimalah penjelasan Allah dalam Al-Quran dan terimalah penjelasan Nabi Muhammad SAW perihal Tuhan dan ketuhanan. Segala yang kita perselisihkan ini, barangkali hanya akan terjawab di alam akhirat kelak. Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

+SANGfikir

Comments

  • Mengambil Pendirian Status Kitab Al-Ibanah – +SANGfikir

    […] hari ini, nampaknya golongan Assyairah tidak begitu berminat dengan kaedah tafwid, bahkan lebih cenderong dengan kaedah takwil. Kalau tuan puan dengar ceramah para ustaz aliran Assyairah lain, memang kebanyakan mereka […]

  • Baru Hendak Kecoh: Ajaran Si Hulk Sesat! – +SANGfikir

    […] dok sibuk tidak tahu menjawab di manakah Allah, tiba-tiba keluar cerita pula pasal ‘Nabi Muhammad itu Allah!’. Baru sekarang kita […]

  • Himpunan Ceramah Bahaya Wahabi – +SANGfikir

    […] tahu, kita boleh menjauhkan diri dari ‘syubahat Allah di langit‘ yang selalu dijaja oleh para ustaz […]

  • DALIL: Di Manakah Allah? – +SANGfikir

    […] puan sekalian. Coretan ini adalah rentetan daripada coretan asal Polemik Di Manakah Allah? yang telah kita terbitkan sebelum ini. Untuk makluman juga, dialog Merungkai Kepercayaan Hadith […]

%d bloggers like this: