Tuan puan sekalian. Hujung bulan Mei yang lalu telah berlangsung Perkampungan Sunnah di negeri Perlis. Temanya adalah MEMBENTERAS SYIRIK MENGHAPUS KHURAFAT.

Lalu kita ada terdengar dakwaan semisal kata “macam mana nak bawa kebenaran kalau dia itu sesat”? Benda dah tular, hendak buat macam mana lagi? Tonton sajalah video tular berikut;

Video tadi cuma cuplikan yang viral. Yang sampai kepada kita, ada orang tanya, lalu ustaz jawab. Jadi ramai yang terasa dan membuat video reaksi, termasuklah di bawah ini;

Itu baru dua video reaksi. Belum tengok lagi ustaz lain komen dan para pembela perkampungan sunnah membuat video reaksi. Kalau tuan puan larat, silakan tonton sendiri bermacam bentuk saling ‘komen mengomen’ dalam YouTube. Kita tengok pula seorang lagi ustaz memperkatakan tentang perkampungan sunnah berkenaan;

Begitulah dia ceritanya. Membela ulama katanya. Yang bercakap itu bukan calang-calang. Ustaz ada tauliah mengajar dalam masjid. Orang awam hendak kata apa lagi?

Beginilah ya tuan puan sekalian. Tidak usah melenting sangat dengar ceramah berdegar-degar tapi isinya entah ke mana. Usah mudah percaya sangat kalau jumpa orang pegang mikrofon dalam masjid langsung tidak ingat dunia. Kalau jumpa jenis ustaz lancang mulut, nasihat kita tinggalkan sahajalah ceramah sedemikian. Orang putih kata; “buang karen je dengar!“. Usah khuatir; ada ramai lagi ustaz yang berakhlak mulia yang boleh orang awam jadikan panutan.

Kita sudah sebut sebelum ini, JADILAH ORANG AWAM YANG CERDIK. Maksudnya, tidak perlulah kita berlakon jahil sangat seolah-olah sukar sangat hendak menilai mana satu intan, mana satu kaca. Yang mana satu jaga mulut, yang mana satu mulutnya tidak terjaga. Yang mengaku kononnya ikut Nabi pun tidak begitu teruja suruh umat ikut Nabi. Jadi, mana satu ustaz patut orang awam hendak ikut?

Biar kita ulang sekali lagi. Kalau jahil, usah bangga sangat. Keluarlah dari daerah kebodohan tersebut. Sebabnya; JAHIL dan BODOH itu lebih kurang sama saja. Jadi, untuk jadi cerdik, apa kata tuan puan layan video koleksi Perkampungan Sunnah selama 3 hari itu di bawah pula;

Macam mana tuan puan sekalian? Sudah tonton semua hampir 36 jam?

Beginilah ya. Memang ada sedikit sana sini ahli panel tergeliat lidah. Tersasul. Terkasar bahasa. Terlebih sindir. Biasalah manusia. Bukan malaikat belaka yang bercakap atas pentas tu. Yang bertanya soalan dan memberi pendapat awam pun serupa juga. Ada yang cerdik. Ada yang baru hendak belajar. Ada yang celupar juga. Faham sajalah. Semuanya bukan malaikat. Ada salah dan silap. Yang kita musykil; SESAT TANG MANA?

Cuba tuan puan berlaku jujur. Tang mana yang sesat dalam perbicaraan ahli panel? Boleh beritahu?

Jika adapun perkataan “sesat barat” dan sebagainya yang terpacul dari mulut seorang dua penceramah, setakat yang kita dengar, ia hanyalah ungkapan tergeliat lidah secara umum. Tidak ada pula menyebut si polan bin si polan itu sesat sampai kena hukum jadi murtad dan terkeluar daripada agama Islam. Yang kita dapat tangkap hanyalah penerangan kalau buat amalan sebegini sebegitu, maka itu adalah amalan khurafat atau syirik. Setakat penerangan umum hendak jelaskan kepada orang awam, apa masalahnya?

Benda Betul / Salah / Benar / Sesat

Kalau dalam kelas pun tidak boleh sebut mana benda betul, mana benda salah, mana benda benar, mana benda sesat, hendak sebut macam mana lagi? Lebih baik tidak perlu masuk kelas, begitu?

Kalau kita teliti ceramah puak-puak yang ‘anti-perkampungan sunnah sekalipun’ kita akan dengan perkara yang serupa. Janganlah tuan puan buat-buat tuli seolah-olah ungkapan puak-puak tersebut jenis tulus mulus belaka tanpa cela. Bahkan selalunya memang kita dengar lancang sekali dan kuat sekali puak sedemikian melabel ikut sedap mulut. Bila ditanya maksud perkataan cela itu, bukan main ‘pusing sekitar semak’ (go around the bush) menjawabnya sampai para jemaah pun terkebil-kebil nak faham. Punyalah pusing, akhir sekali dia kata jangan ikut Wahabi. Itu sajalah modal yang ada hendak menjawab persoalan jemaah.

Begini ya tuan puan sekalian. Faktanya, kedua-dua belah pihak tidak dapat mengelak. Iaitu terpaksalah mereka terangkan mana benda betul, mana benda salah, mana benda benar, mana benda sesat kepada orang awam. Benda fakta sedemikian hendak dinafikan sudah kenapa? Memang itulah cara manusia belajar! Kalau benda sesat kita kata benar, macam mana manusia hendak beza yang betul dan salah?

Jadi tuan puan sekalian. Kita orang awam memang suka atau tidak pasti akan terdedah kepada ajaran mana benda betul, mana benda salah, mana benda benar, mana benda sesat oleh para ustaz dan ustazah. Barulah kita boleh menilai. Bila orang awam menilai, kena tengoklah kecerdikan orang awam itu;

  • ORANG AWAM 1: Kalau manusia itu jenis suka ikut sentimen tok nenek, maka dia pun akan sukalah ambil pandangan agamawan yang secocok dengan amalan tok nenek mereka. Peduli apa kalau pandangan itu menepati atau tidak dengan Al-Quran mahupun sunnah Nabi SAW. Hendak peduli macam mana kalau baca Al-Quran pun tidak faham-faham juga biarpun umur sudah separuh abad. Hendak peduli macam mana kalau tidak pernah mahu belajar serba sedikit berkenaan ilmu hadith. Senang cerita, puak awam jenis sebegini memang sebulu dengan ustaz jenis sebegini juga. Kita hendak kata apa lagi?
  • ORANG AWAM 2: Kalau manusia itu jenis mahu mencari kebenaran, maka dia akan menggunakan akal yang sihat supaya menilai pelbagai pandangan dari pihak-pihak yang bertelagah. Dia lebih gemar mendekati ustaz yang tidak lokek ilmu dan sangat berbaik sangka bahawa jemaah yang hadir itu mampu untuk hadam dalil-dalil yang dikemukakan. Sebabnya ustaz sebegini itu bijak. Dia tahu tidak selamanya orang awam itu mahu hidup sebagai orang bodoh dan jahil. Dia tahu kalau cermat dan bijak menyampaikan ilmu, orang awam mudah saja hendak faham Al-Quran dan hadith, sekadar tarafnya sebagai awam.

Sebab itu tuan puan sekalian, kena belajar menjadi orang awam yang cerdik. Barulah ada akal orang kata cara kita beragama. Janganlah kita sudah belajar hukum akal dan hukum adat sejak kecil, sudah besar kita buang akal lalu ikut adat semata-mata. Kalau adat itu benar, maka baguslah. Kalau adat itu salah, silap haribulan sia-sia saja hidup kita di dunia ini. Tidak begitu?

Perkampungan Sunnah atau Sesat

Jadi kita hendak simpulkan begini. Terpulanglah tuan puan jenis ORANG AWAM 1 atau ORANG AWAM 2, kita hendak tanya sekali lagi; Perkampungan Sunnah itu, sesatkah?

JAWAB, jangan tak jawab. Benda mudah saja, bukan?

Beginilah ya tuan puan sekalian. Sebagai orang awam, biarpun kita tidaklah habis khatam beribu-ribu kitab, memadailah kita menggunakan akal kita yang waras untuk menilai mana satu intan, mana satu kaca. Kita pernah sebut sebelum ini, cukup-cukuplah berbangga menjadi orang jahil dalam beragama. Cukup-cukuplah membiarkan diri diperbodohkan oleh manusia. Belajarlah menilai apa yang sampai kepada kita dengan neraca Al-Quran. Belajarlah berjinak-jinak dengan ilmu hadith. Hanya dengan cara ini kita boleh jawab secara tuntas persoalan mudah tadi; Perkampungan Sunnah itu, sesatkah? ATAU, benarkah mereka yang mengajak kepada kebenaran dalam Perkampungan Sunnah itu sesat?

Biarlah kita sebut secara terus terang. Setelah mengikuti rakaman hampir 36 jam dalam 3 siri video yang kita kongsikan dalam terbitan ini, tiadalah pula kita dapati mereka yang mengajak kepada kebenaran itu sesat. Yang kita dapati hanyalah seruan mengajak masyarakat menjauhi khurafat dan syirik dengan memahami maksud perkara yang perlu dihindari itu menurut kefahaman Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Bahkan para penyeru itu turut mengetengahkan pendapat para ulama yang menegah manusia daripada percaya kepada perkara khurafat dan bersekongkol dengan perbuatan syirik.

Adakah dengan ajakan supaya tidak mempercayai khurafat dan menjauhkan diri daripada syubahat syirik itu adalah sesat? TIDAK SESAT.

Adakah penyeru yang mengajak manusia memahami agama menurut dalil Al-Quran, dalil hadith sahih, syarah para ulama muktabar itu boleh kita gelar sesat? TIDAK BOLEH.

Maka bolehlah kita tolong simpulkan kepada tuan puan yang membaca ini memberikan jawapan tuntas; Perkampungan Sunnah itu sesatkah? TIDAK SESAT.

Demikianlah coretan kita kali ini ya tuan puan. Kita pun orang awam macam tuan puan sekalian. Sama-sama belajar. Sama-sama ambil manfaat dari pengajaran para asatizah. Benda elok atas kebenaran kita ambil. Benda buruk dan merapu tiada asal dalam agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, kita tinggalkan. Hidup beragama ikut jalan yang diredhai oleh Tuhan itu mudah. Membuat pertimbangan berdasarkan neraca Al-Quran itu juga mudah. BENDA MUDAH, kita hendak bagi susah, sudah kenapa?

Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.

Comments

  • Polemik Di Manakah Allah? – +SANGfikir

    […] Tahukah kamu Ustaz Syihabudin Ahmad (yang mengacara program REACT pada hari 1 & 2 di Perkampungan Sunnah 8) itu juga ahli […]

%d bloggers like this: