Tuan puan sekalian. Baru-baru ini seorang ahli politik bukan Islam dari kalangan pemerintah Madani Malaysia telah memuji setinggi langit perihal ‘Islam sebenar’.

Sila baca di pautan Kor Ming puji ‘Islam sebenar’ makin subur bawah PMX.

Kita agak pelik juga bagaimana seorang bukan Islam boleh tahu ‘Islam sebenar’, terutama kalau kita tahu juga dia bukanlah dalam kalangan orang yang mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab sucinya sendiri. Kita juga kurang pasti kalau dia ada membaca kitab sucinya sendiri. Kita juga kurang pasti kalau dia tergolong dalam kalangan terlajak pandai perihal Islam.

Jadi, kita biarkan sajalah dia dengan khayalan ‘Islam sebenar’ menurut cakap-cakap orang politik. Yalah, kerja orang politik memang jual apa saja, kan? Kita patut tinggalkan saja khayalan ini kerana puak-puak yang sama jugalah akan melompat kalau dengar pasal ‘negara Islam’ atau hukum-hakam Islam. Kalau hendak sembang sangat pasal Malaysia Madani, silakanlah. Tidak perlu kait pula dengan ‘Islam sebenar’ khayalan kamu!

Selepas kita tinggalkan khayalan orang bukan Islam perihal ‘Islam sebenar’ itu, apa kata kita orang Islam sendiri jengok sebentar. Apa itu Islam sebenar?

Orang Islam kena tahu ya tuan puan sekalian. Sebab, kalau tidak tahu Islam sebenar, nanti kita seronok telan kisah para penglipur lara yang gemar menyebut;

  • Perihal sekian-sekian menurut pandangan Islam, atau;
  • Perihal sekian-sekian menurut perspektif Isam.

Biasa dengar bukan?

Perihal perkara itu dan ini menurut pandangan ATAU perspektif Islam ini dijadikan tajuk seminar dan asas soalan para jemaaah bila bertanya kemusykilan kepada ustaz. Ia seolah-olah Islam itu adalah seorang manusia yang boleh berkata-kata memberikan pandangan atau perspektif! Begitu?

Sebelum tuan puan jenuh hendak memikirkan perkara ini, atau cuba bersilat lidah mempertahankan seni bahasa “…. menurut pandangan Islam” ATAU “…. menurut perspektif Islam”, cuba renung dahulu sejenak;

Apa itu ISLAM?

  • Kalau kita tidak tahu apa itu Islam, bagaimana kita hendak tahu Islam sebenar?
  • Kalau kita tidak tahu bezakan antara manusia dengan agama, bagaimana kita mampu menjelaskan maksud Islam sebenar?
  • Kalau kita tidak tahu bila Islam itu wujud di mukabumi ini, bagaimana cara kita mentakrifkan perihal Islam sebenar?

Islam: Agama atau Manusia

Hal ini kena jelas ya tuan puan sekalian. Islam itu adalah agama. Untuk lebih tepat, Islam adalah Ad-Deen bagi manusia, iaitu jalan hidup manusia, secara ringkasnya. Islam sebagai agama, seperti kita maklum dan faham boleh diterima, sebab itu adalah bahasa kita memang sebegitu. Cuma kena tahu beza agama dan budaya. Agama adalah agama, budaya adalah budaya. Usah dicampur adukkan. Kalau dicampur aduk, jadilah kita sampai ke liang lahad masih tidak tahu apa itu agama, apa itu budaya.

Baiklah. Bila kita sebut agama, maka ia adalah pegangan bagi manusia. Agama bukanlah manusia, institusi atau kerajaan yang boleh memberikan pandangan atau perspektif berkenaan sesuatu perkara. Malangnya hari ini kita sudah terbiasa dengan “..menurut pandangan Islam…” dan “… dari perspektif Islam..”. Lebih malang lagi, lazimnya frasa ini terkenal dari kalangan manusia yang beragama Islam.

Apa kesannya? Kesannya adalah, setiap butir perkataan yang keluar dengan frasa “..menurut pandangan Islam…” dan “… dari perspektif Islam..” sudah menjadi seolah-olah Islam yang memberikan pandangan atau Islam yang menilai dari perspektif. Ini sangat tidak tepat. Ia juga mengelirukan, sama ada disengajakan mahupun tidak. Sebabnya, tulisan atau pertuturan “..menurut pandangan Islam…” dan “… dari perspektif Islam..” itu lahir dari manusia yang beragama Islam, bukannya lahir dari agama Islam!

Sebelum kita meneruskan tegasan bahawa Islam adalah agama, dan bukannya manusia, eloklah kalau kita telusuri fakta berkenaan wujudnya agama Islam di dunia ini.

Antarctic mountains
Antarctic mountains by NASA Goddard Photo and Video is licensed under CC-BY 2.0

Islam Wujud Sejak Zaman Nabi Adam AS

Benar tuan puan sekalian. Islam itu sudah wujud sejak zaman Nabi Adam AS, jika kita merujuk kepada peradaban bangsa manusia. Jangan terkejut, kalau kita merujuk peradaban bangsa jin, barangkali Islam itu sudah wujud jauh sebelum wujudnya manusia.

Kalau kita rajin tadabbur Al-Quran dan berkesempatan menyelak kitab-kitab terdahulu daripada Al-Quran, kita akan tahu hakikat bahawa Islam itu sudah ditetapkan kepada bani Adam, iaitu seluruh manusia yang hidup melata di mukabumi ini. Sebab, agama bagi manusia sejak Nabi Adam AS adalah penyerahan kepada Tuhan agar manusia mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat kelak, dan terselamat dari terjerumus ke dalam jurang neraka jahanam.

Islam adalah agama bagi manusia yang diredhai oleh Tuhan Maha Pencipta yang telah menciptakan jin dan juga manusia.

Cuma, janganlah lurus bendul sangat. Kita pun tidak boleh tahu dengan pasti bahasa apa yang digunakan oleh manusia zaman Nabi Adam AS, Nabi Idris AS dan Nabi Nuh AS dan sebagainya. Kita juga tahu bahasa Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS bukan berbahasa Arab. Maka secara logiknya, perkataan ‘ISLAM’ secara pertuturan itu barangkali tiada dalam kamus harian mereka. Namun, dari segi hakikat dan perlaksanan kehidupan, agama para Nabi sekaliannya itu adalah agama Islam juga!

Sekalipun kita berdegil mahu menolak fakta bahawa agama Islam itu telah wujud pada zaman awal para Nabi, sekurang-kurangnya kita tidak boleh menolak fakta bahawa Nabi Ibrahim AS beragama Islam. Nabi Yusof AS beragama Islam. Nabi Musa AS beragama Islam. Nabi Isa AS beragama Islam. Sekurang-kurangnya, dari segi fakta, semua Nabi sejak zaman Nabi Ibrahim AS hinggalah ke akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW itu semuanya mengaku beragama Islam.

Fakta ini kita kutip dari mana? Kita kutip dari Al-Quran. Sudah jelas? Atau kita baca saja Al-Quran tetapi tidak pernah mahu faham isi kandungannya?

Sebab itu tuan puan sekalian, kita sudah pesan sebelum ini. Jadilah orang awam yang cerdik dan cerdas. Jadilah orang awam jenis baca kitab, jenis baca hadith, jenis baca Al-Quran. Selagi mana kita masih berdegil menjadi orang awam jenis TIDAK baca kitab, jenis TIDAK baca hadith, jenis TIDAK baca Al-Quran, maka semakin jadi bebal kita kita ini bila berhadapan dengan manusia yang gemar menjual jenama ‘Islam sebenar’, baik dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam, termasuk jugalah dalam kalangan orang politik dan agamawan.

Untuk mengelakkan kita terus bebal berhadapan dengan anjuran para ahli sejarah, ahli politik dan ahli agama yang pelbagai, eloklah kalau kita jelas bahawa urusan kedatangan Islam itu adalah sama garis waktunya dengan kedatangan manusia di mukabumi ini. Luruskan pemikiran; kebangkitan Islam adalah selaras dengan kebangkitan para Nabi yang diutuskan kepada umat manusia untuk memperbetulkan jalan hidup mereka. Begitulah kebangkitan Islam di akhir zaman juga telah berlaku dengan bermulanya dakwah Nabi Muhammad SAW, kira-kira seribu empat ratus tahun yang lalu.

Beginilah cara kita faham urusan kebangkitan Islam di akhir zaman. Supaya kita tidak dibuai dengan cerita para penglipur lara yang mengharap akan berlaku satu lagi kebangkitan ‘kubra’ sebelum kiamat. Kita kenalah faham. Hakikatnya, kebangkitan Islam telah berlaku lama sebelum kita yang membaca sekarang ini lahir ke dunia.

Yang lebih penting sekarang adalah; sudahkah kita semua bangkit dari mimpi yang tidak sudah?

  • Hendak bangkit macam mana kalau fikiran kita masih dibelenggu sehingga terikut-ikut rentak sejarah arus dunia yang menyatakan bahawa kedatangan Islam itu bermula dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW?
  • Hendak bangkit macam mana kalau tidak mahu bertegas secara berterus terang kepada dunia bahawa semua para Nabi dan pengikutnya yang mengikuti petunjuk Allah pada zaman mereka sekaliannya itu sebenarnya adalah beragama Islam?
  • Hendak bangkit macam mana kalau masih tidak jelas cara fikir bahawa Islam itu adalah agama, bukannya manusia?

Islam dan Perspektif Manusia

Demikianlah tadi tuan puan sekalian. Kita sudah jelaskan bahawa Islam adalah agama bagi manusia. Kita juga sudah jelaskan bahawa dari sugi sejarah peradaban manusia, agama Islam itu juga telah wujud sejak wujudnya manusia yang pertama di dunia ini. Ini adalah bertentangan dengan apa yang dijual kepada manusia sebagai hari ini, seolah-olah Islam itu adalah agama baru yang muncul kira-kira seribu empat ratus tahun yang lalu. Gambaran ini adalah ilusi yang dicipta oleh para penguasa elit dunia untuk membodohkan manusia, untuk memecah-belahkan manusia, supaya mudah bagi segelintir elit ini terus mengaut keuntungan atas jerih payah manusia bergaduh sesama mereka atas kebebalan beragama.

Sebab itu tuan puan sekalian, adalah pelik dan jelik kita melihat perangai manusia yang mencari-cari kebenaran agama dengan cuba membandingkan ‘agama’ yang ada di dunia pada hari ini. Kita juga kehairanan melihat manusia yang mengaku beragama Islam begitu takut aqidah mereka akan terjejas hanya dengan menonton atau mendengar propaganda orang lain perihal Tuhan dan manusia. Sebabnya tidak lain kerana kefahaman pengaku Islam ini lebih kepada perspektif manusia tenting Islam. Ya, mereka lebih cenderung untuk kenal Islam mengikut pandangan manusia, bukannya mengikut ketetapan Tuhan mahupun mengikut apa yang diajar oleh Nabi mereka.

Sebab itu, dalam terbitan ini, kita hendak membawa pemikiran tuan puan bahawa untuk memahami Islam itu supaya hendaklah kita mendahului kefahaman itu menurut firman Allah dan menurut sabda Nabi Muhammad SAW. Itulah takrif Islam sebenar yang lebih tepat dan jitu. Bukannya dengan cara mentakrif Islam menurut pandangan Islam, mahupun mentakrif Islam menurut perspektif Islam! Apa yang dijaja sana sini kepada orang awam berhubung menurut pandangan Islam atau menurut perpektif Islam itu tidak lain hanyalah menurut pandangan manusia yang menuturkan atau menulisnya; ia adalah pandangan manusia, pandangan ulama, pandangan orang Islam ataupun bolehj jadi pandangan orang bukan Islam.

Tiada terma “pandangan Islam” mahupun “perspektif Islam” ya tuan puan sekalian. Usah terpedaya dengan slogan sedemikian terutama jika si tukang tutur atau si tukang tulis itu tidak pernah peduli hendak menukil kalam Allah dalam Al-Quran. Apatah lagi tidak pernah peduli pula hendak menukil sabda Nabi dari hadith yang sahih. Mereka yang berserban atau bersongkok atau berjubah Arab itu tidak semestinya mewakili Islam apabila memberikan pandangan. Sewajarnya mereka menyebut; ini adalah pandangan para ulama Islam, ini adalah pandangan mufti, ini adalah pandangan saya, bukannya membungkus pandangan pribadi mereka menjadi; inilah pandangan Islam mahupun menjajanya sebagai inilah perspektif Islam!

Perkara ini kita kena jelaskan dengan berterus terang kepada tuan puan sekalian. Sebabnya, pandangan manusia tentang agama Islam itu memang berbeza sejak zaman berzaman. Dalam zaman yang sama juga pandangan mereka saling bertentangan. Adakah patut bagi kita menerima pandangan mereka itu sebagai “pandangan Islam”? Kalau ada lebih sepuluh “pandangan Islam” dalam isu yang sama, kita hendak pilih yang mana untuk mewakili “perspektif Islam” yang benar?

Sebab yang paling utama adalah Islam itu adalah agama. Agama adalah cara hidup. Agama adalah aturan bagi manusia. Sejak bila cara hidup atau aturan bagi manusia itu boleh bertutur atau menulis untuk memberikan pandangan atau perspektif bagi manusia? Tuan puan sudah faham, atau masih belum mahu faham juga?

Kalau masih belum faham lagi, eloklah kita jelaskan sekali lagi; TIADA PANDANGAN ISLAM dan TIADA PERSPEKTIF ISLAM. Yang benar adalah;

  • Apa firman Allah, apa pandangan Allah;
  • Apa sabda Nabi, apa pandangan Nabi;

Setelah itu baru kita boleh faham pula;

  • Apa pandangan ulama Islam;
  • Apa pandangan para Ustaz;
  • Apa pandangan para penceramah;
  • Apa pandangan tok guru;
  • Apa pandangan orang awam.

Bila sudah jelas seperti ini, maka tidaklah kita orang awam ini jadi keliru atau ragu-ragu untuk menimbang dan menilai apabila mendengar atau membaca apa yang didakwa sebagai ‘pandangan Islam’ ataupun ‘perspektif Islam’. Jika kita dapati ianya jelas bertentangan dengan firman Allah dan sabda Nabi, maka kita boleh tolak untuk terima. Jika kita dapati ‘pandangan Islam’ atau ‘perspektif Islam’ itu tiada bersangkut-paut secara jelas dengan firman Allah dan sabda Nabi, maka kita boleh ketahui bahawa ia hanyalah pandangan para ulama, atau para ustaz, atau para penceramah, atau tok guru atau bahkan hanyalah pandangan manusia awam. Maka terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk menilai sama ada mahu terima atau menolaknya, setelah kita menimbang keseluruhan perkara berdasarkan kefahaman kita terhadap Al-Quran dan juga hadith yang sahih.

Sebab apa? Sebab kita sebagai orang awam ini sepatutnya cukup cerdas untuk memahami Islam sebenar. Bukannya hanya membeli begitu sahaja ‘Islam sebenar’ yang dijual oleh para politikus dan penjelasan air liur dari kalangan orang Islam mahupun dari kalangan yang bukan Islam. Sebab itulah kita minta tuan puan sekalian jadi orang awam yang cerdik, bukannya jadi orang awam yang “…..”.

Fikir-fikirkanlah.

Comments

  • MENTEGA TERBANG: Filem Gugat Akidah? – +SANGfikir

    […] objektif, filem itu tidak menghina Islam. Sebab itu kita pernah terbitkan sebelum ini, ISLAM ITU AGAMA; Islam bukanlah manusia! Berhentilah mengungkapkan retorik seolah-olah Islam itu adalah manusia. Orang awam zaman ini, baik […]

%d bloggers like this: