Qadar
Tuan puan sekalian tentu biasa dengar perkataan takdir yang sering diungkap oleh masyarakat kita bila berdepan dengan pelbagai peristiwa. Kata takdir berasal dari bahasa Arab, tepatnya dieja sebagai TAQDIR (تقدير) yang berakar kata dari kata qaddara (قدر، يقدر، تقديرا) iaitu ukuran terhadap sesuatu atau memberi kadar.
Dalam kefahaman awam, Taqdir menurut istilah adalah ukuran yang sudah ditentukan Tuhan sejak zaman azali baik atau buruknya sesuatu. Ia boleh berubah jika ada usaha untuk merubahnya kerana Allah telah memberi kadar atau ukuran tertentu dalam diri, sifat atau kemampuan makhlukNya. Hal ini bermaksud adanya kemungkinan perubahan Taqdir dari Allah swt. Manusia mempunyai kemampuan terbatas sesuai dengan ukuran yang diberikan oleh Allah kepadanya. Sebab itulah kita biasa dengar ustaz mengatakan menyatakan bahawa taqdir tidak menghalangi manusia untuk berusaha menentukan masa depannya sendiri dengan izin dari Allah jua.
Qadar
Dari sudut bahasa Arab, Qadar ialah menetapkan suatu kadar tertentu. Manakala dari sudut syarak, Qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahulu setiap perkara.
Beza Qada’ & Qadar menurut pendapat yang lazim
Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan.
Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah..
Pendapat lazim ini, di kalangan awam, selalunya bertukar-tukar yang mana satu dahulu, yang mana datang kemudian. Ada juga yang tidak dapat membezakan secara pasti, maksud QADA’ dan juga QADAR. Ada yang menyebut makna yang saling bertentangan apabila merujuk kepada terma yang berkenaan.
Mari kita lihat kembali asal perkataan QADA’;
QADA’
Kata nama Arab qada (قَضَى) bermaksud “suatu keputusan” and kata perbuatan qudiya (قُضِيَ) secara literal bermaksud “melaksanakan”. Dalam urusan ibadah manusia, melaksanakan ini termasuklah memenuhi sesuatu kerja atau perkara oleh sebab tertingal kerana sebab tertentu.
Qada’
Dari sudut bahasa Arab, Qada’ bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum. Manakala dari sudut syarak, Qada’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya samada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya.
Yang mana satu dahulu?
Qada’ dan Qadar diketahui wujud secara bersama. Cuma mari lihat persoalan awam ini;
QADA’ dahulu, QADAR kemudian?
atau
QADAR dahulu, QADA’ kemudian?
Apabila disebut QADA’ dan QADAR, maka takrifnya harus dibaca seperti ini;
The predestination of things
But when it is said, al-qada‘ and al-qadar, then al-qadar means the predestination of things, and when the predestined matter occurs, it is then called al-qada”.
Patutkah disebut QADAR dan QADA’?
… dan bukannya disebut; QADA’ & QADAR apabila membicarakan perihal TAQDIR kepada orang awam?
Perkara ini tentunya kalangan mereka yang lebih arif dalam masyarakat seperti ulama’, ustaz dan sebagainya lebih memahami usulnya. Kalangan awam seperti kita, khususnya yang berpegang kepada jalan AHLI SUNNAH WAL JAMAAH, kita menerima bahawa PERCAYA KEPADA QADA’ & KADAR itu adalah salah satu daripada Rukun Iman yang enam.
Lanjut urusan ini, mari kita ayat-ayat Al-Quran di bawah ini sebagaimana Allah menerangkan QADAR dalam bahasa yang mudah;

QADAR: Dalil Naqli
اللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنْثَى وَمَا تَغِيضُ الْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan QADAR (ukuran / perhitungan) yang tertentu.
Al-Quran 13: 8 (Al-Qamar)
وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا عِنْدَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَعْلُومٍ
Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut QADAR (ukuran / perhitungan) yang ketahui.
Al-Quran 15:21 (Al-Hijr)
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ
Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan berQADAR (ukuran / perhitungan).
Al-Quran 54:49 (Al-Ra’d )
Terjemahan secara literal dan tafsiran ayat-ayat yang tersebut di atas, jika sekiranya kita saling rujuk kepada konteks taburan ayat-ayat lain yang saling menjelaskan perihal kebergantungan makhluk kepada PENCIPTAnya dalam Al-Quran, dan juga Hadith berkaitan dengan TAQDIR, juga penjelasan para ulama yang tidak jemu membersihkan jiwa masyarakat yang ketandusan akal, kita akan dapat merumuskan bahawa;
QADAR itu adalah ukuran atau perhitungan berdasarkan ketentuan, manakala QADA’ pula adalah perlaksanaan yang berlaku dari perhitungan tertentu. Begitulah seharusnya kita memahami maksud TAQDIR.
Wajar diketahui bahawa KETENTUAN itu, ada yang bersifat TIDAK BOLEH BERUBAH (sejak azali), juga ada yang bersifat BOLEH BERUBAH, menurut kehendak Tuhan jua adanya. Juga wajar diketahui bahawa PERLAKSANAAN itu ada yang bersifat TETAP, ada juga yang bersifat MELAINKAN JIKA TUHAN MENGKEHENDAKI SELAINNYA, iaitu BOLEH BERUBAH juga. Walau apa pun bentuk TETAPnya atau UBAHnya sesuatu itu, ketahuilah kita bahawa hanya TUHAN MAHA MENGETAHUI segala sesuatu. Tiadalah upaya barang satu makhluk pun yang memiliki tara pengetahuan berkenaan SUNNATULLAH (cara Tuhan), melainkan Dialah Tuhan yang memiliki nama indah AL-BAARI’; Maha Pembuat / Maha Perancang / Maha Menjadikan.
Perihal ini akan dihuraikan lebih terperinci, setelah tujuan memahami Qadar & Qada’ dalam Konteks RUANG & MASA dijelaskan nantinya.
Taqdir = Qadar & Qada’
Perkataan TAQDIR, adalah merujuk kepada QADAR, sungguhpun dalam tanggapan umum, TAQDIR adalah peristiwa yang berlaku. Kita tidak pernah dengar perbualan awam; “Sabarlah tuan… itu sudah Qadar Tuhan..”. Yang biasa kita dengar adalah; “Sabarlah tuan… itu sudah Taqdir Tuhan..”.
Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa TAQDIR adalah peristiwa yang berlaku hasil dari QADAR dan QADA’.
Boleh dirumuskan secara ringkas seperti berikut;
TAQDIR = QADAR + QADA’
QADA’ + QADAR = TAQDIR
Nasib
Dalam perbualan harian, peristiwa yang berlaku, iaitu TAQDIR, selalunya akan disebut sebagai NASIB manusia. Itulah maksud lafaz; “Dah nasib badan… tadah je la..” IAITU seseorang itu menerima NASIBnya, setelah jelas berlaku TAQDIR, hasil dari QADA’ dan QADAR.
Nasib manusia ini, kita selalu rujuk sebagai NASIB BAIK atau NASIB BURUK atau NASIB KURANG BAIK atau NASIB TIDAK SELARAS KEHENDAK diri kita.
Kita kongsikan dulu kefahaman umum berdasarkan bait lirik berkaitan TAQDIR dan KARMA dalam video lagu di bawah;
Sengaja kita kongsikan lagu ini agar pemikiran boleh bersantai sebentar sebelum kita meneruskan perbincangan lebih mendalam. Ya, benar, semua orang mengharapkan NASIB BAIK dalam hidupnya. Alangkah indahnya jika hidup semudah itu? Itu untuk tuan puan fikirkan, adakah HIDUP SEMUDAH ITU, MATI JUGA SEMUDAH ITU. Fikir-fikirkanlah.
Kedua-dua terma KARMA dan TAQDIR YANG TERTULIS ini boleh hurai lebih lanjut kemudian, setelah kita dapat memahami Qada’ & Qadar dalam Konteks RUANG & MASA, sebagaimana tujuan asal penulisan ini.
Sementara itu, kita lontarkan kembali persoalan;
SEMUDAH itukah memahami erti Taqdir?
Jadi tuan puan sekalian, hendak memahami Qada’ & Qadar tidaklah semudah ungkapan ini;
Apa itu takdir [TAQDIR]?
Sebenarnya bab takdir ni mudah saja. Kita beriman dengan Qada’ dan Qadar. Kita beriman bahawa semua ketentuan dan ketetapan adalah urusan Allah. Meskipun begitu, dalam masa yang sama kita berusaha semampu yang boleh dalam urusan dan pilihan yang kita boleh buat. Sebagai contoh; Si Polan itu berusaha belajar sungguh-sungguh ingin menjadi DOKTOR, tetapi Allah mahu sebaliknya, maka ditakdirkan jadilah dia seorang PENULIS…
Adakah ianya semudah mengetahui bahawa segalanya TERTULIS?
TERTULISnya takdir seseorang itu, adakah ianya SUDAH TERTULIS, BELUM TERTULIS, AKAN TERTULIS? Bagaimana kita harus memahami maksud TERTULIS itu. Semudah itukah TERTULISnya takdir seseorang menurut kefahaman awam?
Jikalau ia semudah penjelasan biasa kita dengar, maka tidak seharusnya timbul pegangan AHLI SUNNAH WAL JAMAAH, QADARIAH, JABARIAH, atau apa juga jenis pegangan dalam memahami persolan TAQDIR. Juga tidak perlulah kalangan manusia yang percaya kepada Tuhan yang sama, Nabi yang sama, Kitab yang sama boleh saling berbantahan perihal TAQDIR sehingga kafir mengkafir, cela-mencela hingga saling berbunuhan kerana kefahaman yang berlainan.
Topik perbincangan ini adalah untuk membantu tuan puan sekalian agar dapat memahami maksud TAQDIR yang berlaku dalam konteks RUANG & MASA. Dengan izin Tuhan, kefahaman ini dapat membantu sekalian memahami hakikat sebenar QADA’ dan QADAR secara saintifik, agar mudah dihadam apabila kita berhadapan dengan pelbagai NASIB yang menimpa diri kita di sepanjang kehidupan ini, baik NASIB BAIK atau NASIB BURUK atau NASIB KURANG BAIK atau NASIB TIDAK SELARAS KEHENDAK diri kita.
Perlu dijelaskan bahawa kita tiada sebarang niat menyangkal apa jua kefahaman tuan puan sekalian, berdasarkan apa jua pegangan kalian samada AHLI SUNNAH WAL JAMAAH, QADARIAH, JABARIAH, atau apa juga jenis pegangan hidup anda. Tujuan melihat TAQDIR dalam konteks RUANG & MASA adalah untuk memudahkan hidup sebagai HAMBA TUHAN tetapi MERDEKA di atas muka bumi ini.
Comments
[…] TAQDIR, Qadar dan Qada’ […]
You must log in to post a comment.